Tafsir Surah Baqarah Ayat 219 (Ada manfaat pada arak dan judi)

SOALAN-SOALAN KEPADA RASULULLAH ﷺ

Baqarah Ayat 219: Ayat 219 – 242 mengandungi hukum hakam berkaitan hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Kita akan belajar hak anak yatim, larangan minum arak dan judi, hukum sumpah, hukum talaq, rujuk dan iddah, haid, larangan bersetubuh ketika haid, larangan nikah dengan orang kafir, hukum hubungan suami isteri, hukum fasakh dan khulu’, hukum wanita hamil, hukum menyusukan anak. Status persamaan dan beza lelaki dan wanita.

Ada lima perkara agama yang memberi kesan kepada kita sama ada baik ataupun buruk. Ia boleh jadi baik, dan boleh jadi buruk. Perkara-perkara ini memberi kekeliruan pada manusia. Oleh kerana kekeliruan itu menyebabkan manusia tidak dapat keluar daripada kesesatan menuju kebenaran. Ini kerana perkara-perkara yang akan disebut selepas ini boleh memberi dua hala iaitu boleh membawa kepada kebaikan dan boleh kepada keburukan. Jadi kita kena dapatkan maklumat yang sahih.

Salah satu daripadanya adalah tentang arak dan judi. Antara barang yang dirampas oleh rombongan Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adalah minuman keras yang ada pada puak Quraisy itu. Oleh kerana itu juga timbullah soalan ini. Arak itu dari satu sudut memang ada faedah sebab itu manusia ada yang minum arak kerana mereka nampak kebaikan padanya. Kalau kita tanya mereka kenapa mereka minum arak, mereka akan jawab dengan memberikan berbagai-bagai faedah pada arak itu. Dengan sebab itu mereka tidak boleh meninggalkannya walaupun mereka memang tahu ada keburukan padanya kerana mereka nampak ada faedah kepada mereka. Begitu jugalah dengan judi yang ada juga kepentingan di dalamnya. Antaranya boleh buat duit.

Oleh kerana ada potensi dua hala ini (boleh juga jadi kebaikan atau keburukan), maka seseorang itu mestilah memikirkan dengan mendalam mengenainya. Jangan nampak yang baik sahaja kerana hanya apabila mereka memikirkan dalam-dalam, baru mereka akan nampak bahawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Maka, kita kenalah bersikap bijak dalam membuat keputusan.

Manusia yang mempunyai akal yang waras, apabila nampak banyak keburukan daripada kebaikan, mereka pasti akan meninggalkannya. Bagi kita yang tidak pernah minum arak dan berjudi ini mungkin tidak ada masalah tetapi ada orang yang telah bergelumang lama dengan perkara-perkara ini. Jadi tidak boleh ajak mereka kepada kebenaran dan meninggalkannya dengan cara yang keras. Sekarang Allah ‎ﷻ ajar bagaimana caranya bercakap dengan mereka di dalam Al-Qur’an.

۞ يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ ۖ قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَّفعِهِما ۗ وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ قُلِ العَفوَ ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

SAHIH INTERNATIONAL
They ask you about wine and gambling. Say, “In them is great sin and [yet, some] benefit for people. But their sin is greater than their benefit.” And they ask you what they should spend. Say, “The excess [beyond needs].” Thus Allah makes clear to you the verses [of revelation] that you might give thought.

MALAY
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir:

 

يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.

Mereka bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang hukum arak dan judi kerana ia telah menjadi perkara yang sebati di dalam kehidupan masyarakat Arab pada waktu itu sebelum Islam. Mereka ingin tahu apakah pandangan Islam tentang dua perkara itu.

Syekh Wahbah Az-Zuhaili رَحِمَهُ اللَّهُ, dalam Tafsirul Munir mengutip Tafsir Bahrul Muhith mengatakan bahawa ayat يَسْئَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ini diturunkan berkaitan dengan sahabat Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Mu’adz bin Jabal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dan sekelompok daripada kaum Ansar yang pada waktu itu mendatangi Nabi Muhammad ﷺ seraya berkata, “Berikan fatwa kepada kami mengenai khamar dan judi, sebab keduanya melenyapkan akal dan merampas harta.” Kemudian Allah ‎ﷻ menurunkan ayat ini. (Wahbah bin Musthafa Az-Zuhaili, At-Tafsirul Munir, [Damaskus, Darul Fikr: 1991 M], juz II, hal. 270). Para sahabat رضي الله عنهم itu bertanya kepada Rasulullah ﷺ kerana mereka sendiri sudah nampak keburukan akibat daripada dua perbuatan itu.

Arak adalah apa-apa sahaja yang memabukkan. Ini berdasarkan hadith daripada Nabi ﷺ:

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ
“Semua yang memabukkan adalah haram.”
(Riwayat Bukhari No. 5263 dan Muslim No. 2001)

Hadith ini menjelaskan maksud arak, iaitu semua perkara yang memabukkan. Kalimah الخَمرِ daripada kata dasar: خ م ر yang bermaksud penutup, berubah keadaan daripada keadaan asal, bercampur bahan yang banyak, arak, wain, mekap, perkara yang memabukkan dan menutup akal/intelek, manusia ramai berkumpul, bau pewangi, jumpa dengan rahsia, penutup kepala wanita, turban bagi lelaki, sesuatu yang dijeruk. Ia dipanggil begitu kerana ia menutup akal manusia jadi hilang entah ke mana.

Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya (atau dengan cara makan) adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram. Ini penting kerana ada sahaja yang cuba mengelak daripada hukum ini. Ini berdasarkan hadith daripada Abu Malik bin al-Asy’ari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِى الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا
“Demi sesungguhnya manusia dalam kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.”
(Riwayat Abu Daud No. 3688 dan Ibn Majah No. 4020)

Ada pula yang beri alasan tidak salah minum arak kerana mereka minum bukan sampai mabuk. Ini pun fahaman yang salah juga. Ini berdasarkan hadith daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ
“Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.”
(Riwayat Abu Daud No. 368, al-Tirmidzi No. 1866 dan Ibn Majah No. 3393)

Menurut Kamus Dewan, judi diertikan sebagai permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan (seperti main ceki, main dadu, dan sebagainya); (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Judi dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-maisir atau al-qimar. Ia bermaksud permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah. Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan. Di dalam al-Mu’jam al-Wasith, judi disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan daripada kedua belah pihak. Kalau zaman sekarang, ada berbagai-bagai jenis judi yang telah direka. Malangnya ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak sangka yang mereka sedang bermain judi. Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:

    • Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
    • Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
    • Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat daripada pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan manfaat yang ia pertaruhkan.

Sebagai contoh, di negara kita selalu mengadakan pertandingan memancing. Kalau wang hadiah itu digunakan daripada kutipan yuran mereka yang menyertai pertandingan itu, maka itu sebenarnya sudah menjadi judi. Akan tetapi jikalau hadiah itu diberi oleh pihak ketiga, maka itu selamat daripada unsur judi. Akan tetapi berapa ramai orang yang tahu hal ini?

 

قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ

Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar 

Allah ‎ﷻ ajar Nabi ﷺ untuk mengajar para sahabat untuk menggunakan akal mereka. Telah diberitahu kepada mereka bahawa pada arak dan judi itu ada dosa besar. Pada sisi Allah ‎ﷻ, berdosa besar kalau minum arak dan main judi dan serta terlibat dengannya. Maksud terlibat, contohnya walaupun kita tidak minum tetapi kalau kita jual, ia adalah dosa besar juga.

Kalau kita menggunakan akal kita yang waras, kita akan nampak bagaimana buruknya arak dan judi itu. Ia membazir duit, merosakkan kesihatan, merosakkan akal, memecah belahkan keluarga dan masyarakat, membuang masa dan macam-macam lagi keburukan yang ada padanya.

 

وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ

dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia

Dalam masa yang sama, ia juga ada faedah kepada sesetengah orang. Ini tidak dinafikan. Bukan kepada semua orang, tetapi hanya kepada segelintir sahaja. Iaitu ia boleh beri ketenangan, sumber rezeki, antioksidan (contoh seperti di dalam “red wine” – wain merah) dan lain-lain lagi.

Kalau judi pula, ada orang yang boleh menjadi kaya raya sekelip mata. Ada pemain Poker yang menjadi jutawan dan hidup senang lenang kerana beriman Poker sahaja. Kalau zaman jahiliyyah dahulu, antara judi mereka adalah bertaruh unta. Yang kalah akhirnya kena bayar harga seekor unta dan unta itu bukan mereka makan, tetapi disedekahkan kepada fakir miskin. Jadi ada nampak kebaikan di situ, bukan?

Namun jangan pula kita sengaja hendak mula minum sebab kita kata ada manfaat. Jangan gunakan ayat ini sebagai dalil pula untuk minum arak selepas ini. Kena baca ayat ini sampai habis.

Ada pengajaran yang amat penting di sini. Segala perkara di dunia ini tidaklah ada yang semata-mata buruk; dalam buruk ada baiknya. Tidaklah semata-mata baik; dalam baik ada buruknya. Malah pada berperang pun, di ayat yang telah lalu telah dikatakan bahawa peperangan pada umumnya tidak disukai. Namun tidaklah segala yang tidak disukai itu ada bahayanya bagi kamu. Begitu juga tidaklah pula barang yang disukai itu semuanya bermanfaat. Maka mempertimbangkan suatu hal adalah dengan mengkaji mana yang lebih besar manfaat daripada mudarat. Dengan demikian orang diajak berfikiran jauh dan cerdas. Jelaslah larangan di dalam hukum hakam yang Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia itu pastilah kerana mudaratnya yang lebih besar daripada manfaatnya, sekiranya ada.

 

وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَّفعِهِما

akan tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya

Walaupun ada kebaikan, namun Allah ‎ﷻ tekankan bahawa dosa arak dan judi itu lebih besar daripada faedah yang ada padanya. Oleh kerana itu dua perkara itu mesti ditinggalkan. Keburukan arak tidak perlu disebut lagi kerana ramai sudah tahu bagaimana ia merosakkan masyarakat dan mengakibatkan kejadian pembunuhan kerana mabuk. Di dalam Nahl: 67 Allah ‎ﷻ berfirman:

وَمِن ثَمَرٰتِ النَّخيلِ وَالأَعنٰبِ تَتَّخِذونَ مِنهُ سَكَرًا وَرِزقًا حَسَنًا
Dan daripada buah kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu kita daripada buah kurma dan anggur itu boleh dijadikan benda baik dan satu lagi benda yang tidak baik (yang memabukkan). Sedangkan keuntungan seorang penjudi itu adalah dengan merugikan orang yang lain. Orang yang sudah mabuk judi sudah tidak produktif mencari rezeki lagi kerana mata mereka hanya nampak bagaimana mengambil hak kawannya. Ini termasuk cara mengambil harta dengan haram seperti disebut di dalam Baqarah: 188

وَلا تَأكُلوا أَموالَكُم بَينَكُم بِٱلبَـٰطِلِ
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah

Mereka jadi kemaruk kerana mereka nampak itu cara senang dan cepat dan kerana itulah judi dinamakan الميسر yang diambil daripada kata dasar ي س ر yang bermaksud mudah. Masalahnya bukan setakat senang dapat duit banyak, dia sendiri pun senang kehabisan duit sampai licin muflis. Kesannya perkelahian dan porak peranda di dalam keluarga dan masyarakat. Sepatutnya jangan buat lagi.

Ramai dalam kalangan para sahabat sudah berhenti daripada meminum arak setelah ayat ini diturunkan, namun masih ramai lagi yang tidak berhenti. Ini kerana ayat ini bukanlah ayat mengharamkan arak lagi. Islam mengharamkan arak secara bertahap melalui beberapa peringkat. Ini kerana masyarakat Arab ketika itu sudah terbiasa dengan minuman keras, dan perubahan secara beransur-ansur lebih berkesan dalam membentuk tabiat baru. Berikut adalah tiga peringkat pengharaman arak dalam Al-Qur’an:

Peringkat Pertama adalah ayat Baqarah: 219 ini. Ini sebagai langkah mendidik masyarakat supaya mula berfikir tentang keburukan arak.

Peringkat Kedua adalah ayat Nisa’: 43

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَقرَبُوا الصَّلَوٰةَ وَأَنتُم سُكٰرىٰ حَتّىٰ تَعلَموا ما تَقولونَ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.

Ini memberi kesedaran bahawa arak boleh mengganggu pemikiran dan ibadah. Secara tidak langsung, umat Islam mula mengurangkan pengambilan arak kerana solat dilakukan lima kali sehari.

Peringkat Ketiga adalah pengharaman penuh seperti disebut di dalam ayat Maidah: 90-91

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا الخَمرُ وَالمَيسِرُ وَالأَنصابُ وَالأَزلٰمُ رِجسٌ مِّن عَمَلِ الشَّيطٰنِ فَاجتَنِبوهُ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perkara buruk termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.

إِنَّما يُريدُ الشَّيطٰنُ أَن يوقِعَ بَينَكُمُ العَدٰوَةَ وَالبَغضاءَ فِي الخَمرِ وَالمَيسِرِ وَيَصُدَّكُم عَن ذِكرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلوةِ ۖ فَهَل أَنتُم مُنتَهونَ
Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingat Allah dan sembahyang; maka adakah kamu hendak berhenti?

Hebatnya para sahabat pada waktu itu, apabila diumumkan sahaja yang arak telah diharamkan, mereka telah meninggalkannya. Mana-mana arak yang ada pada mereka terus dibuang serta merta, hatta yang ada di tangan dan hampir diminum. Madinah pada waktu itu bergenangan dengan air arak dan selama beberapa minggu berbau arak sahaja. Ada seorang peniaga arak yang baru pulang daripada mengambil arak dari Syria. Beliau telah melaburkan kesemua wangnya untuk memberi bekalan arak untuk diniagakan. Apabila beliau sampai sahaja, beliau mendapat maklumat yang arak telah diharamkan. Beliau bertanya kepada Rasulullah ﷺ yang mengarahkan arak itu dibuang dan beliau telah melakukannya dengan tangannya sendiri. Begitulah hebatnya para sahabat taat kepada arahan Allah ‎ﷻ!

Bandingkan dengan percubaan yang lain. Masalah sosial, peningkatan kadar jenayah dan pengurangan produktiviti rakyat akibat ketagihan kepada minuman beralkohol menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat terpaksa mengambil pendekatan drastik untuk menangani masalah ketagihan arak yang dialami sebahagian besar ramai rakyatnya. Maka, antara tahun 1920 dan 1933, kerajaan Amerika Syarikat telah memperkenalkan era atau kempen Prohibition (bermaksud “larangan” jika diterjemahkan) sebagai usaha ke arah mengurangkan ketagihan rakyatnya pada arak. Prohibition merupakan satu fasa di mana kerajaan telah melarang rakyatnya daripada menghasilkan dan menjual minuman beralkohol di mana-mana tempat dalam Amerika Syarikat. Akibat daripada sekatan ini, rakyat mula bergantung pada minuman beralkohol yang diseludup. Menjelang tahun 1926, kerajaan akhirnya sedar bahawa usaha melalui kempen Prohibition ini mungkin gagal. Hal ini disebabkan mereka mengalami kesukaran menyekat penyeludupan masuk minuman keras ini ke negara tersebut dan penghasilan arak oleh kilang-kilang arak haram. Akhirnya Prohibition telah ditamatkan.

Umat Islam dilarang meminum, menjual, membeli, atau terlibat dengan arak dalam apa jua bentuk. Kita perlu ingat, bahawa arak itu bukan sahaja diharamkan untuk diminum sahaja, tetapi ada banyak lagi kesalahan yang melibatkannya. Seperti yang disebut dalam hadith:

عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: لعن رسُول الله صلى الله عليه وسلم في الخمر عشرةً: عاصرها، ومعتصرها، وشاربها، وحاملها، والمحمولة إليه، وساقيها، وبائعها، وآكل ثمنها، والمشتري لها، والمشتراة له. أخرجه الترمذي وابن ماجه

“Rasulullah ﷺ melaknat tentang arak, sepuluh golongan:

(1) yang memerahnya,
(2) yang minta diperahkan untuknya,
(3) yang meminumnya,
(4) yang membawanya,
(5) yang minta dihantarnya,
(6) yang menuangkannya,
(7) yang menjualnya,
(8) yang makan harganya,
(9) yang membelinya,
(10) yang minta dibelikannya.

(Jami’ Tirmidzi No. 1295, Ibnu Majah No. 3381, daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Sahih lighairih menurut Syeikh Al-Albani dalam Takhrij Misykatul Masabih No. 2707. Hasan menurut Al-Wadi’ie dalam Sahih Musnad No. 59)

Kenapa pengharaman arak dan judi ini bertahap dan Allah ‎ﷻ tidak terus haramkan dari awal? Inilah kehebatan Islam. Ia melihat kepada keadaan masyarakat dan amat praktikal. Ketika itu masyarakat Arab memang bergelumang dengan arak dan judi dan kalaulah ia diharamkan terus, tentu akan kecoh dan ramai yang akan keluar daripada Islam terus. Kaedah ini dinamakan التَّدريج فى التَّشريع (menurunkan syariat dengan beransur). Pendekatan berperingkat membantu umat Islam memahami keburukannya sedikit demi sedikit dan lebih mudah menerima pengharaman penuh. Pepatah Arab ada mengatakan فطام العادة أشد من فطام الرضاعة (menukar kebiasaan lebih sukar daripada menahan bayi yang menyusu). Jika sesuatu amalan yang sudah lama diamalkan diharamkan secara mendadak, manusia cenderung memberontak atau menolaknya. Dengan peringatan awal, umat Islam diberi masa untuk berfikir dan bersedia untuk berubah. Pada peringkat awal Islam, umat Islam masih dalam proses memperkukuhkan iman dan akidah. Jika arak diharamkan serta-merta sebelum keimanan mereka mantap, mereka mungkin tidak dapat menerima larangan ini dengan baik. Setelah iman mereka mantap, mereka lebih mudah menerima hukum Allah ‎ﷻ tanpa bantahan. Begitulah Islam adalah agama fitrah, yang memahami sifat dan kelemahan manusia. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 286

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ membandingkan antara ‘dosa’ dan ‘faedah’ – bukannya ‘keburukan’ dan ‘faedah’. Maknanya, bukanlah kita boleh buat senarai apakah kebaikan dan keburukan arak dan judi itu. Takut nanti ada yang hendak juga minum arak maka dia senaraikan kebaikan yang lebih banyak pula. Ini tidak boleh kerana kalau ada lebih faedah pun tidak berguna kerana Allah ‎ﷻ telah meletakkan hukum-Nya iaitu arak dan judi itu adalah dosa besar. Tidak boleh kita gunakan akal kita lagi untuk mencari jalan untuk memikirkan apakah kebaikan pada arak itu.

 

وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ

dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?

Masalah kedua yang mereka tanya adalah kadar yang mereka perlu infakkan. Ini pun ada dua hala juga. Memang mereka tahu mereka kena infak dan mereka hendak infak pun, tetapi berapa banyak? Kerana kalau infak sampai habis, sudah kena minta sedekah pula selepas itu kerana duit dia semua sudah habis. Kalau tidak infak langsung, Allah ‎ﷻ murka kepada kita.

Asbabun nuzul ayat ini: Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari jalur Said atau Ikrimah daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawasanya beberapa orang sahabat ketika diperintahkan untuk memberikan nafkah di jalan Allah, mereka mendatangi Rasulullah ﷺ dan bertanya: “Sesungguhnya kami tidak mengetahui nafkah apakah yang diperintahkan kepada kami daripada harta-harta kami, maka apakah yang kami berikan nafkah daripada harta-harta kami? maka Allah ‎ﷻ menurunkan ayat ini.

Kita pun sudah lihat di dalam ayat 215 juga mengandungi soalan yang sama: يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ akan tetapi jawapan di dalam soalan itu adalah senarai penerima-penerima sedekah itu. Akan tetapi di dalam ayat 219 ini diberitahu bahawa infak itu datang lebihan keperluan. Jadi ayat 215 memberitahu kepada siapa infak diberikan dan ayat 219 mengajar kita dari mana sumber infak itu datang.

 

قُلِ العَفوَ

Katakanlah: “yang berlebih daripada keperluan

Allah ‎ﷻ kata mudah sahaja, iaitu lebih daripada hajat kamu. Iaitu lebih daripada keperluan kita dalam kehidupan kita. Kita lihat kepada keperluan kita dan bila sudah cukup, maka yang selebihnya kita infak untuk beri kepada orang lain pula. Jadi tidaklah berat sangat kerana kita beri benda yang kita tidak perlu sangat kerana keperluan kita sudah cukup.

Apabila beri sedekah/infaq, ada tingkatan yang Rasulullah ﷺ telah ajar,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ تَصَدَّقُوا ‏”‏ ‏.‏ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَنْتَ أَبْصَرُ ‏”‏ ‏
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ], dia berkata; Nabi ﷺ memerintahkan untuk bersedekah. Kemudian seorang laki-laki berkata; wahai Rasulullah, aku memiliki satu dinar. Kemudian baginda bersabda: “Sedekahkan kepada dirimu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada anakmu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada isterimu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada pembantumu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Engkau lebih tahu.”
(Sunan Nasa’i No. 2535) Hasan menurut Darussalam

Sekiranya kita telah melunaskan kewajipan kita terhadap ahli keluarga kita, maka bolehlah untuk dikeluarkan infak untuk perkara yang lain. Ini adalah hukum yang biasa dan asas. Nanti akan ada penambahan lagi tentang perkara ini di dalam ayat dan surah-surah yang lain kerana ada kelebihan lain yang akan diberikan kepada mereka yang infak supaya mereka infak lebih banyak lagi. Oleh itu, ayat yang kita sedang baca ini adalah hukum biasa di mana kita akan beri yang lebih daripada keperluan kita. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru akan dapat pemahaman yang menyeluruh.

Secara ringkasnya infak ada tiga jenis:

Zakat – ini adalah infak yang wajib dan mesti dikeluarkan.

Infak العَفوَ iaitu yang senang dikeluarkan tanpa berat hati.

Infak yang sunat tetapi hati berat untuk mengeluarkannya. Ini jenis infak yang sukar tetapi ganjarannya besar dan mendapat pujian daripada Allah ‎ﷻ nanti. Ini disebut di dalam ayat yang lain. Contohnya disebut di dalam ayat Hashr: 9 apabila Allah ‎ﷻ memuji golongan Ansar yang infak kepada golongan Muhajirin walaupun mereka sendiri memerlukan,

وَيُؤثِرونَ عَلىٰ أَنفُسِهِم وَلَو كانَ بِهِم خَصاصَةٌ
dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekali pun mereka dalam kesusahan

 

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu berfikir:

Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah كَذٰلِكَ di dalam bentuk tunggal dan bukannya كَذٰلِكَم walaupun yang bertanya tadi ramai (يَسأَلونَ). Ini kerana jawapan yang diberikan ini perlu difikirkan oleh setiap orang dan mereka sendiri yang kena ambil tindakan terhadap diri mereka sendiri.

Allah ‎ﷻ mengajar kita semua hukum-hukum ini di dalam Al-Qur’an ini supaya kita boleh menjalani kehidupan kita dengan sempurna. Allah ‎ﷻ suruh kita menggunakan akal kita (yang dipandu wahyu) dalam kehidupan kita. Akal yang waras adalah akal yang tidak terikat dengan emosi. Begitulah agama Islam ini mesra akal, bukannya disuruh ikut sahaja tetapi disuruh memikirkan kenapa Allah ‎ﷻ larang.

Berfikir tentang apa? Ada yang berpendapat, berfikir tentang minuman keras dan perjudian yang mudaratnya lebih banyak daripada manfaatnya. Berfikir tentang apa yang dapat diraih di dunia dan di akhirat, bukan hanya berfikir tentang dunia semata-mata. Berfikir, bagaimana menjadikan dunia sebagai ladang untuk akhirat, sehingga melakukan hal-hal yang banyak manfaatnya dan menghindari yang lebih banyak mudaratnya, dan besar dosanya, atau bahkan menghindari bukan hanya yang buruk tetapi juga yang tidak bermanfaat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Mac 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment