JIHAD MEMPERTAHANKAN DIRI
Baqarah Ayat 216: Sekarang kita masuk semula ke topik jihad selepas disebut ayat tentang infak. Ini kerana infak yang utama adalah kepada jihad fi sabilillah. Jihad adalah salah satu perkara yang penting di dalam agama Islam dan ia adalah perkara yang perlu dilakukan bagi mereka teringin dan bercita-cita masuk ke dalam syurga.
كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Fighting has been enjoined upon you while it is hateful to you. But perhaps you hate a thing and it is good for you; and perhaps you love a thing and it is bad for you. And Allah Knows, while you know not.
MALAY
Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ
Telah diwajibkan ke atas kalian peperangan
Umat Islam diwajibkan berperang untuk menegakkan agama Allah di dunia ini. Ayat ini diturunkan di Madinah sedangkan semasa Rasulullah ﷺ dan umat Islam di Mekah dahulu, mereka dilarang daripada berperang; walaupun ketika itu mereka teruk sekali ditindas. Ini disebut di dalam Nisa’: 77
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”.
Umat Islam dilarang untuk berperang walaupun untuk mempertahankan diri kerana pada waktu itu Islam baru tumbuh dan masih sangat lemah. Sikap yang tergopoh-gopoh dan hanya memperturutkan semangat bernyala-nyala sahaja, nescaya akan membawa malapetaka yang tidak diingini. Jikalau mereka membalas dengan kekerasan, mereka boleh sahaja dituduh sebagai pemberontak oleh golongan Quraisy dan akan terus dibunuh secara beramai-ramai dan mereka tentu tidak dapat mempertahankan diri.
Akan tetapi setelah kaum Muhajirin mendapat sokongan yang amat besar daripada kaum Ansar di Madinah, maka masyarakat Islam di Madinah mula tumbuh dengan kuatnya. Sekarang arahan perang jihad sudah dibenarkan. Namun begitu, tentunya dengan syarat-syarat yang Allah ﷻ telah tetapkan. Ayat ini sebagai dalil bahawa jihad perang ini adalah wajib. Kadangkala kita tidak suka sesuatu perkara itu kerana kita menggunakan akal dan emosi kita. Sebagai contoh, pada akal kita, mungkin kita rasa tidak elok kalau berperang. Begitulah pencapaian akal kita terhad sahaja dan tidak dapat memahami dengan penuh tentang hakikat sesuatu perkara itu. Ini adalah ujian keimanan untuk kita: adakah kita sanggup taat kepada suruhan dan percaya kepada hikmah yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita? Adakah kita faham atau tidak?
Namun begitu, kenapakah jihad diwajibkan sedangkan mereka sudah selamat di Madinah? Kenapa mencari musuh pula sedangkan mereka sudah selamat? Ini kerana pihak yang memusuhi tidaklah akan duduk diam membiarkan masyarakat Islam di Madinah itu terus bertumbuh. Kian besar pengaruh Islam di Madinah, lalu kian besar pulalah kemurkaan musuh-musuh itu. Bahkan bertambah besar pula jumlahnya. Bukan sahaja musuh daripada golongan Quraisy yang telah mengusir mereka, malahan sudah bertambah musuh daripada suku-suku Arab di sekeliling tanah Arab yang selalu mengikuti jejak kaum Quraisy. Ditambah pula dengan musuh daripada golongan Yahudi di Madinah yang sentiasa sahaja mencari peluang untuk menghasut orang Quraisy dan Arab yang lain tadi supaya menentang Islam. Manakala di sebelah utara pula terdapat bangsa Romawi yang telah lama berdaulat dan aktif menjajah penduduk-penduduk Arab dan menguasai negeri-negeri itu. Sementara di sebelah timur ada kerajaan Persia yang besar, yang tidak merasa senang jikalau bangkit kekuatan baru di Arabia. Maka perang tidak dapat dielakkan bagi umat Islam. Mahu ataupun tidak, mereka perlu melakukannya. Kekuatan yang telah tumbuh ini mesti dipertahankan. Kadang-kadang bertahan itu ialah dengan menyerang, atau mendahului serangan sebelum diserang.
Setelah umat Islam berhijrah ke Madinah, umat Islam telah dibenarkan untuk berjihad mempertahankan diri dan ini disebut di dalam Hajj: 39
أُذِنَ لِلَّذينَ يُقٰتَلونَ بِأَنَّهُم ظُلِموا ۚ وَإِنَّ اللهَ عَلىٰ نَصرِهِم لَقَديرٌ
Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu,
Sekarang di dalam ayat Baqarah: 216 ini Allah ﷻ telah mewajibkan jihad kepada umat Islam. Malah ada banyak ayat yang menyebut kepentingan jihad yang kebanyakannya ada disebut di dalam Surah Anfal dan Tawbah. Selain daripada itu, terdapat beberapa hadith yang menyebut tentang jihad fi sabilillah:
أَبِي هُرَيْرَةَ رَ ضِيَ اَللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم ( مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ, وَلَمْ يُحَدِّثْ نَفْسَهُ بِهِ, مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ ) رَوَاهُ مُسْلِمٌ
“Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa mati, sedangkan dia tidak pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad, maka dia mati dalam satu cabang kemunafikan.” (Muttafaq Alaihi.)
Dalam hadith keutamaan jihad yang lain:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا
Daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada lagi hijrah setelah kemenangan (Mekah) akan tetapi yang tetap ada adalah jihad dan niat. Maka sekiranya kalian diperintahkan berangkat berjihad, berangkatlah”.
(Hadith Bukhari No. 2575)
Bilakah jihad itu wajib/fardhu ain? Ada beberapa keadaan yang ia menjadi wajib:
1. Ketika seseorang itu berada di dalam peperangan. Sudah tidak boleh lari daripada perang dan ia termasuk dosa besar jika dilakukan,
2. Apabila diwajibkan oleh pemimpin Islam/Khalifah
3. Apabila negara Islam diserang orang kafir
4. Apabila seseorang itu diwajibkan berperang kerana kepakaran dan kemahirannya di dalam bidang yang diperlukan.
Selain daripada 4 keadaan ini, perang jihad adalah fardhu kifayah. Maknanya walaupun ayat ini memberitahu kita bahawa jihad telah difardhukan, akan tetapi setakat ayat ini, ia adalah fardhu kifayah. Kalau ada yang telah melakukannya, maka semua umat Islam selamat dan dikira telah menunaikannya. Jikalau tidak ada, maka seluruh umat Islam telah berdosa. Kelebihan jihad itu paling banyak akan didapati oleh orang yang melakukannya seperti firman Allah ﷻ di dalam Nisa’: 95
لا يَستَوِي القٰعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ غَيرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالمُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم ۚ فَضَّلَ اللَهُ المُجٰهِدينَ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم عَلَى القٰعِدينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَهُ الحُسنىٰ ۚ وَفَضَّلَ اللَهُ المُجٰهِدينَ عَلَى القٰعِدينَ أَجرًا عَظيمًا
Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dalam kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (daripada dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk dengan pahala yang amat besar;
Bukan semua umat Islam perlu untuk berjihad fi sabilillah kerana kanak-kanak, wanita dan golongan yang sakit dikecualikan; ada juga yang harus tinggal untuk menyampaikan ilmu seperti disebut di dalam Tawbah: 122
وَما كانَ المُؤمِنونَ لِيَنفِروا كافَّةً ۚ فَلَولا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرقَةٍ مِّنهُم طائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهوا فِي الدّينِ وَلِيُنذِروا قَومَهُم إِذا رَجَعوا إِلَيهِم لَعَلَّهُم يَحذَرونَ
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.
Namun begitu sekiranya seorang khalifah mewajibkan semua rakyatnya yang mampu berjihad untuk keluar berjihad, maka ia menjadi fardhu ain kepada semua orang. Ini seperti terjadi semasa Perang Tabuk di zaman Nabi ﷺ dan ia disentuh di dalam ayat Tawbah: 38 kerana ada umat Islam yang memberi alasan ketika itu.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا ما لَكُم إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ ۚ أَرَضيتُم بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ ۚ فَما مَتاعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ
Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.
Begitu pun, jihad perang itu hendaklah dijalankan mengikuti syari’at. Bukannya kita terus sahaja menyerang orang kafir tidak tentu arah, tanpa hala tuju yang jelas. Mestilah ada protokol yang perlu dipatuhi. Antaranya, jihad perang itu mestilah diarahkan oleh Khalifah. Akan tetapi sekarang kita tidak ada sistem khalifah maka usaha jihad terbantut sebenarnya.
Di samping itu juga, bukanlah semua rakyat kena pergi ke medan perang. Ada yang hanya diperlukan untuk memberikan sokongan; ada yang menerima bantuan kewangan; ada yang tugasnya mengajar; ada yang menjaga keluarga. Semua itu ada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.
Oleh sebab itu, jihad perang ini adalah fardhu kifayah, bukanlah fardhu ain. Kenalah ada pihak yang menjalankan jihad perang itu dan jika tidak ada, maka kewajipan itu masih jatuh kepada semua orang Islam. Kalau tidak dijalankan, maka seluruh umat Islam berdosa.
Walaupun begitu terdapat juga keadaan di mana setiap Muslim perlu mengangkat senjata untuk berperang apabila negara diserang musuh. Maka, pada waktu itu, semua diwajibkan untuk berperang.
وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم
sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kalian benci
Peperangan ini sememangnya adalah perkara yang manusia biasa tidak suka. Allah ﷻ tahu tentang hal ini dan Allah ﷻ sebut di sini sebagai pengakuan akan emosi manusia terhadap peperangan. Manusia membencinya kerana ia adalah naluri biasa manusia. Sebab tidak ada sesiapa pun yang suka mati dan suka membunuh orang lain. Perang bukanlah sekadar berjalan-jalan santai di taman sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat berat untuk dilakukan dalam keadaan yang tidak selesa.
Ada golongan munafik yang mempersoalkan kenapa perlu jihad sedangkan Islam itu agama yang aman. Begitulah orang-orang zaman sekarang pun menggunakan alasan yang sama juga. Ini adalah kata-kata dan hujah yang tidak tepat. Seperti yang kita telah bahaskan sebelum ini, memang ada keperluan untuk melakukan jihad itu. Hujah yang melarangnya adalah daripada mereka yang tidak faham tentangnya sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak belajar apakah yang dimaksudkan dengan jihad dan kerana itu mereka salah faham. Mereka tidak taat 100% kepada arahan Allah ﷻ. Mereka masih hendak menggunakan akal mereka yang terhad juga lagi.
وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم
dan boleh jadi kalian benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kalian,
Allah ﷻ beritahu yang mungkin ada perkara yang kita benci tetapi sebenarnya ia adalah baik untuk kita. Kalimah عَسىٰ diterjemahkan ‘boleh jadi’ yang mengandungi makna ketidakpastian, bukan? Akan tetapi bukanlah Allah ﷻ tidak pasti, sebaliknya manusia yang tidak pasti. Ketika Allah ﷻ telah arahkan sesuatu yang hati mereka tidak suka, maka manusia hendaklah bersikap optimis dan melihat kebarangkalian عَسىٰ yang perkara itu ada kebaikannya yang mereka tidak nampak.
Antaranya jihad. Jihad ini penting dan diwajibkan kepada kita kerana jihad fi sabilillah ini akan mendekatkan kita kepada Allah ﷻ. Tidak akan ada orang yang membuat maksiat semasa sedang berjihad di jalan Allah ﷻ. Waktu itu iman kita sedang diuji dengan hebat sekali dan waktu itu tidak terfikir hendak buat maksiat. Kalau kita dapat menjalankan jihad, maka kita telah dapat melepasi banyak sekali ujian sebelum sampai ke peringkat jihad.
Agama Islam bukanlah agama yang suka berperang kerana perang itu sendiri tetapi perang jihad itu perlu untuk menegakkan agama Allah. Bila jihad tidak ada, maka kebanyakan manusia akan duduk dalam keadaan lalai dan leka. Begitulah walaupun kita benci kepada peperangan dan pembunuhan tetapi jihad fi sabilillah adalah baik untuk kita kerana ia akan membuatkan hati kita begitu rapat sekali dengan Allah ﷻ. Selalunya suasana yang merangsang perasaan kita boleh mengubah apa yang ada dalam diri kita. Ini kerana apabila sedang berperang, kita sebenarnya berada dalam keadaan di mana kita tahu bahawa bila-bila masa sahaja kita boleh mati maka tentunya kita akan sentiasa ingat kepada Allah ﷻ dan tidak berani untuk lalai dan membuat dosa disebabkan terdapat kemungkinan yang amat besar yang kita akan mati.
Memang perang itu berat tetapi ini sama seperti seorang ibu yang memaksa anaknya untuk memakan ubat kerana ubat itu baik untuk anak itu dan ibu itu memaksa anak itu untuk memakan ubat kerana dia sayangkan anaknya. Sememangnya anaknya tidak suka dan meronta-ronta namun ibu itu akan melakukan apa yang perlu untuk anaknya. Ini kerana ibu itu tahu apa yang baik untuk anaknya, akan tetapi anaknya yang tidak faham kerana umurnya yang masih muda dan akalnya yang pendek lagi. Begitulah Allah ﷻ mewajibkan jihad bagi kita.
Dengan jihad ini juga dapat menegakkan agama Islam. Namun kita kena faham yang bukanlah Islam disebarkan dengan perang. Ini adalah sangkaan banyak pihak – sama ada yang kafir atau Muslim sekali – dan ternyata ini tidak benar. Umat Islam tidak pernah memaksa manusia memeluk Islam dengan perang. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 256
لا إِكراهَ فِي الدّينِ
Tidak ada paksaan dalam ugama
Ini kerana tidak ada nilainya iman kalau ia dipaksa. Jikalau dipaksa mereka masuk Islam dan mereka masuk tanpa rela, maka mereka itu akan menjadi munafik. Orang munafik tidak menambah kekuatan umat Islam sebaliknya melemahkan kedudukan Islam. Jadi kenapakah Islam ditegakkan dengan jihad?
Ini kerana kita membuka ruang untuk manusia beriman. Kita serang tempat yang tidak membenarkan Islam didakwahkan. Sekiranya pemimpin mana-mana negara membenarkan kita berdakwah, maka mereka dibiarkan sahaja. Sebaliknya jikalau dakwah Islam dihalang, maka kita akan jatuhkan pemimpin itu. Walaupun setelah negara itu dijajah, tidaklah kita memaksa umat yang baru dijajah itu masuk Islam. Mereka boleh sahaja kekal di dalam agama mereka, asalkan duduk di bawah takluk negara Islam dan membayar jizyah. Banyak negara yang dijajah dan penduduk negara itu tidak masuk Islam pun. Sepanjang sejarah, tentera Islam telah menakluk beberapa wilayah, tetapi bukanlah semua penduduknya serta-merta masuk Islam. Banyak faktor yang mempengaruhi perkara ini, seperti kebebasan beragama yang diberikan oleh Islam, kepercayaan asal penduduk, serta hubungan politik dan sosial. Berikut adalah beberapa contoh wilayah yang pernah berada di bawah pemerintahan Islam tetapi penduduknya tidak semuanya masuk Islam:
1. Sepanyol (Al-Andalus)
-
- Ditakluk oleh: Bani Umayyah (711M)
- Status agama penduduk: Sebahagian besar penduduknya tetap Kristian, terutama di utara, walaupun ada yang masuk Islam. Kristian tetap menjadi agama dominan, terutama selepas kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol (Reconquista, 1492).
-
- Penduduk Kristian dan Yahudi diberikan status “Dhimmi” (orang bukan Islam yang dilindungi).
2. India
-
-
Ditakluk oleh: Kesultanan Delhi, Empayar Mughal
- Status agama penduduk: Majoriti kekal Hindu walaupun India diperintah oleh kerajaan Islam selama berabad-abad.
-
Sebab tidak semua masuk Islam:
- Hindu mempunyai sistem keagamaan yang sangat kuat dan berakar dalam budaya mereka.
- Maharaja Mughal seperti Akbar mengamalkan toleransi beragama, membenarkan Hindu mengekalkan agama mereka.
-
3. Balkan (Bosnia, Serbia, Bulgaria, Greece, Albania, dll.)
-
-
Ditakluk oleh: Empayar Uthmaniyyah (abad ke-14 hingga 20)
- Status agama penduduk: Kebanyakan kekal Kristian Ortodoks, kecuali Albania dan Bosnia yang memiliki populasi Muslim yang lebih besar.
-
Sebab tidak semua masuk Islam:
- Uthmaniyyah membenarkan sistem Millet, di mana Kristian boleh mengamalkan agama dan adat mereka sendiri.
-
Gereja Ortodoks memainkan peranan besar dalam mengekalkan identiti Kristian.
-
4. Itali (Sicily)
-
- Ditakluk oleh: Aghlabid dan Fatimiyyah (abad ke-9 hingga 11)
- Status agama penduduk: Kekal Kristian selepas penaklukan oleh Norman.
- Sebab tidak semua masuk Islam:
- Islam hanya bertahan selama lebih kurang dua abad sebelum Sicily ditawan kembali oleh Kristian.
5. China
-
-
Ditakluk oleh: Dinasti Mongol yang memeluk Islam (Yuan) dan hubungan dengan kerajaan Islam
- Status agama penduduk: Kekal Buddha, Taoisme, dan Konfusianisme.
-
Sebab tidak semua masuk Islam:
- Islam hanya berkembang dalam komuniti kecil seperti etnik Hui dan Uighur.
-
Kebudayaan China yang sangat kuat dan berpengaruh menyebabkan Islam tidak menjadi agama dominan.
-
وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم
dan boleh jadi kalian suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kalian.
Namun di sebaliknya, mungkin ada perkara yang kita suka sangat, tetapi ia adalah tidak baik untuk kita. Jangan kita sedang suka dengan sesuatu, kita langsung lupa diri dan Allah ﷻ. Kena ingat ada kemungkinan perkara yang kita suka itu tidak baik bagi kita. Begitulah, ada larangan daripada Allah ﷻ dan Nabi ﷺ terhadap kita, maka hendaklah kita menahan diri kita daripada melakukannya, walaupun hati kita suka dan akal kita pun tidak nampak salahnya.
Begitulah, akal tidak akan dapat memahami mana yang baik dan tidak untuk diri kita. Allah ﷻ yang Maha Tahu dan kerana itu Dia telah menetapkan hukum untuk kita patuhi. Maka patuhilah sahaja dan yakinlah yang ia baik bagi kita. Serahkan diri kita kepada ketetapan dan larangan daripada Allah ﷻ.
Kedua-dua potongan ayat ini walaupun di dalam ayat perang dan sikap manusia terhadap perang, akan tetapi ia juga boleh berbentuk umum, bukan hanya mengenai perang sahaja. Ayat ini boleh diaplikasi di dalam segenap kehidupan kita. Ada perkara dalam kehidupan kita yang kita mahu sangat tetapi ia tidak baik kepada kita. Manakala ada perkara yang kita hendak elakkan sangat tetapi terkena juga kepada kita. Namun begitu kemudiannya kita dapati yang ia baik untuk kita. Sebagai contoh, ada yang kena buang kerja, dia amat sedih dan tidak suka. Namun disebabkan dia dibuang kerjalah, dia akhirnya telah mendapat kerja yang lebih baik daripada kerja yang sebelumnya yang dia tidak akan dapat kerja baru itu seandainya dia tidak dibuang kerja asalnya itu. Atau, kerana dibuang kerja, maka dia terpaksa memulakan perniagaan yang ternyata menguntungkan bagi dirinya.
Ia juga mengajar kita bahawa motivasi itu bukanlah kena ada. Motivasi itu daripada emosi kita, tetapi akal kita yang sepatutnya memandu kita. Sebagai contoh, ada orang tidak beriadah kerana tidak ada motivasi. Mereka tidak ada semangat langsung (seperti kebanyakan orang) dan kerana itu mereka tidak bersukan. Namun akal mereka tahu yang ia adalah baik dan bagi orang yang ada masalah kesihatan, itulah salah satu perkara yang boleh mengembalikan kesihatannya. Maka dia kena buat sahaja, tidak perlu tunggu pun motivasi datang kerana ia mungkin tidak datang-datang.
Begitulah juga dengan ibadah. Kadangkala kita semangat hendak solat, hendak sedekah tetapi selalunya semangat itu tidak ada. Waktu itulah iman kita diuji – adakah kita melakukan ibadah itu kerana kita suka atau kerana kita tahu yang ia adalah perintah Allah ﷻ? Walaupun kita tidak ada semangat ketika itu, mungkin sedang penat atau sibuk sangat, maka iman kita waktu itu sedang diuji. Malah ada yang mengatakan ketika inilah solat kita paling ikhlas kerana waktu inilah kita tetap melakukan solat walaupun kita tidak ada motivasi untuk melakukannya.
وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Allah ﷻ sajalah yang tahu hakikat dan keadaan sebenar sesuatu perkara itu dan manusia sebagai makhluk yang hina, tidak tahu. Maka kita kenalah ikut arahan daripada Allah ﷻ. Kita kena sedar kedudukan kita. Siapa kita yang hendak mempersoalkan hukum dan arahan Allah ﷻ?
Ingatlah, kalau kita layan akal kita sangat, syaitan akan ambil peluang untuk membisikkan perkara-perkara yang salah dan berdosa. Begitulah bahayanya akal yang tidak dipandu oleh wahyu. Memang kita boleh guna akal, tetapi hendaklah dipandu oleh wahyu.
Kalau kita faham perkara ini, maka kita akan senang untuk serahkan urusan hidup kita kepada Allah ﷻ. Kita akan selalu doa istikharah kepada Allah ﷻ untuk memberi panduan dalam membuat keputusan hidup.
Kita juga akan senang untuk bersabar kerana kita yakin bahawa apa sahaja yang Allah ﷻ telah takdirkan untuk kita adalah untuk kebaikan kita dan ada hikmahnya. Mungkin kita masih tidak nampak lagi apakah kebaikan daripada musibah yang ditimpakan kepada kita, namun di sini kena ada kepercayaan kepada ketentuan Allah ﷻ. Maka kita berdoa kepada Allah ﷻ untuk tunjukkan hikmah itu kepada kita supaya kita lebih senang untuk menerima takdir-Nya itu.
Contoh perkara yang kita tidak tahu ada kebaikan di sebalik rupa yang buruk adalah kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr di dalam Surah Kahf. Ada tiga kisah kecil di dalam surah itu tentang perjalanan mereka berdua. Perbuatan Khadr nampak buruk sekali pada pandangan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, akan tetapi tanpa baginda sedari, ada kebaikan di sebaliknya.
Lihat juga kisah Saidatina A’isyah رضي الله عنها yang dituduh telah berzina oleh golongan munafik. Allah ﷻ berfirman di dalam Nur: 11
إِنَّ الَّذينَ جاءو بِالإِفكِ عُصبَةٌ مِّنكُم ۚ لا تَحسَبوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَل هُوَ خَيرٌ لَّكُم
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu.
Ringkasnya insiden itu amat berat bagi A’isyah رضي الله عنها, Rasulullah ﷺ, keluarga mereka dan orang mukmin. Akan tetapi Allah ﷻ kata kejadian itu baik bagi mereka. Hasil daripada kejadian itu terdapat pengajaran yang amat besar. Ia juga memberi kesan yang besar kepada orang mukmin dan pengajaran sepanjang masa bagi umat Islam kerana kita sentiasa membaca kisah ini.
Perhatikan juga kisah ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang terpaksa melontar anaknya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang masih bayi ke dalam sungai! Bagaimana perasaan beliau pada ketika itu? Allah ﷻ memujuk hati ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu seperti disebut di dalam Qasas: 7
وَأَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ ۖ فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِي اليَمِّ وَلا تَخافي وَلا تَحزَني ۖ إِنّا رادُّوهُ إِلَيكِ وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ
Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) daripada para rasul.
Permulaan hayat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ amat menyayat hati ibunya namun kita pun tahu bagaimana pengakhirannya. Semasa ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melontarnya ke dalam air, beliau tidak tahu apakah kebaikan daripada perlakuannya itu namun akhirnya beliau dikurniakan anak yang menjadi seorang Rasul yang amat hebat.
Dalam kehidupan kita, biasa kita dengar seseorang itu benci sungguh kepada seseorang. Segala benda dia tidak suka tentang orang itu tetapi tiba-tiba kita dengar dia sudah berkahwin dengan lelaki itu. Sebab itu kita nasihat jangan benci sangat kepada seseorang, entah dia itu baik sebenarnya bagi kita. Bagaimana dengan pemimpin kita? Ada yang kita benci sangat, tetapi kita tidak tahu entah dia sebenarnya bawa kebaikan kepada negara kita, secara sengaja ataupun tidak. Maka pengajarannya: janganlah membenci sangat kepada seseorang.
Begitulah juga jangan mencintai dan suka secara berlebihan. Orang dan benda yang kita suka itu entah bagus atau tidak kepada kita, kita pun tidak tahu. Boleh sahaja suka, tetapi jangan berlebihan sangat dan jangan terlebih puji sangat. Kita tenang-tenang sahaja kerana kita tidak tahu di masa hadapan dan hakikat di sebalik satu-satu perkara itu.
Sekian Ruku’ 26 daripada 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 16 Mac 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

