IMAN DIKUATKAN DENGAN DUGAAN
Baqarah Ayat 214: Ayat 214 – 218 adalah tentang infak dan jihad. Disebut kali ketiga tentang hal ini kerana ia amat penting.
Ayat ini adalah dorongan/targhib jihad yang ketujuh. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa syurga itu tidak diberikan secara percuma. Syurga itu mahal dan mestilah berkorban untuk mendapatkannya. Mereka yang mahukan syurga akan diuji semasa di dunia. Oleh itu jihad hendaklah dijalankan kerana ia adalah salah satu daripada jalan untuk masuk syurga dan ia merupakan ujian yang amat besar.
أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
SAHIH INTERNATIONAL
Or do you think that you will enter Paradise while such [trial] has not yet come to you as came to those who passed on before you? They were touched by poverty and hardship and were shaken until [even their] messenger and those who believed with him said, “When is the help of Allah ?” Unquestionably, the help of Allah is near.
MALAY
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga,
Adakah kamu sangka kamu dapat masuk syurga dengan mudah? Syurga itu mahal dan ada bayaran untuk memasukinya. Jadi hilangkan daripada fikiran kita yang kita ini sudah Muslim dan akan senang-senang masuk syurga. Takkan begitu! Kita kalau layak dimasukkan ke dalam syurga, pasti akan diuji. Antara ujian yang besar itu adalah ujian untuk berjihad dan bersabar dalam setiap ujian. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran: 142
أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم وَيَعلَمَ الصّٰبِرينَ
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?
Semakin beriman kita, maka semakin banyak ujiannya, seperti disebut di dalam hadith,
أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ
“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.”
(Sunan An-Nasaei No. 7440)
Rasulullah ﷺ juga bersabda di dalam hadith yang lain:
يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ
“Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya sedang kuat, maka ujiannya akan ditambah.”
(Musnad Ahmad No. 1481)
Jangan sangka mudah sahaja masuk syurga: asal baca Yasinan malam Jumaat, masuk syurga; asal ikut tok guru itu dan ini syurga sudah pasti; asal amalkan doa ini dan zikir itu, pasti masuk syurga; dan berbagai-bagai lagi angan-angan kosong manusia.
وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم
padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?
Ini adalah ayat yang menakutkan sekali. Allah ﷻ kata untuk masuk syurga, kita mesti akan diuji seperti umat-umat Islam yang terdahulu juga. Kalimah لَمّا bermaksud sesuatu yang belum lagi datang akan tetapi ia akan datang. Inilah pentingnya kita belajar sejarah umat-umat terdahulu supaya fikiran kita sudah dapat terima bahawa ujian itu pasti datang dan kita akan berfikir: Kalau umat terdahulu telah diuji, takkan kita tidak diuji?
Kita akan membaca kisah golongan ahli sihir yang beriman dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ashabul ukhdud dan lain-lain lagi yang diuji oleh Allah ﷻ dengan serangan daripada penentang kebenaran. Semua itu memberi kesan dan semangat kepada kita untuk meneruskan usaha dakwah dan tidak hiraukan segala macam ujian yang mendatang.
Menurut riwayat daripada Ibnul Mundzir dan Ibnu Jarir dan Abdurrazak, bahawa Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ menerangkan bahawasanya ayat ini turun ialah ketika kaum sekutu dan yang terdiri daripada kaum musyrikin Quraisy dan Yahudi Bani Quraizhah dan kabilah-kabilah Arab mengepung Madinah, yang terkenal juga dengan nama “Perang Khandaq”. Nyaris Madinah jatuh ke tangan musuh, nyaris kota itu diserbu dan Islam dipadamkan sebelum menyala. Memang umat Islam yang sedang berjuang pada waktu itu sedang diuji dengan amat teruk sekali. Akhirnya Allah ﷻ telah bantu mereka dan kisah ini disebut dengan panjang lebar di dalam Surah Ahzab. Perhatikan ayat 10-11 surah itu,
إِذ جاءوكُم مِّن فَوقِكُم وَمِن أَسفَلَ مِنكُم وَإِذ زاغَتِ الأَبصٰرُ وَبَلَغَتِ القُلوبُ الحَناجِرَ وَتَظُنّونَ بِاللهِ الظُّنونا
(Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan(mu) dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan.
هُنالِكَ ابتُلِيَ المُؤمِنونَ وَزُلزِلوا زِلزالًا شَديدًا
Disitulah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan dengan goncangan yang sangat.
Memang asbabun nuzul surah ini adalah tentang Perang Ahzab. Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Ayat ini turun pada hari Perang Ahzab, pada hari itu Nabi ﷺ dan para sahabatnya tertimpa bala dan pengepungan.“
Umat terdahulu telah diuji dengan tiga perkara:
مَّسَّتهُمُ البَأساءُ
Mereka telah ditimpa kepapaan
Kesusahan harta benda demi menegakkan agama. Ini adalah ujian dari segi harta. Mereka dahulu miskin-miskin belaka namun mereka tetap juga memperjuangkan agama dengan apa sahaja yang mereka ada. Kalau zaman sekarang pun dugaan untuk menegakkan sunnah amat mencabar, sampaikan ada yang diboikot dan dibuang kerja kerana orang tidak suka.
وَالضَّرّاءُ
dan serangan penyakit,
Iaitu jenis ujian pada tubuh fizikal seperti sakit dan penyakit. Sama ada kepada diri mereka atau keluarga mereka seperti kematian yang menimpa kaum kerabat. Memang perjuangan memerlukan batang tubuh kita untuk hadir dalam perjuangan itu. Tidak boleh hantar wakil. Kadangkala penyakit atau gangguan fizikal akan diberikan. Kesedihan yang dialami oleh kematian ahli keluarga juga adalah ujian yang perlu dihadapi oleh para pejuang agama.
Kalau zaman sekarang, para pendakwah sunnah ada yang sampai dipukul oleh golongan bid’ah yang hendak menegakkan kebatilan mereka. Mereka tidak ada hujah, jadi kekerasan yang mereka gunakan untuk menentang golongan sunnah.
وَزُلزِلوا
serta digoncangkan
Sekarang pula ujian dari segi emosi dan perasaan. Mereka digoncangkan dengan ancaman daripada musuh mereka. Ini termasuk dengan ujian-ujian lain seperti sekatan, tohmahan, serangan, cacian dan macam-macam lagi. Ini semua adalah ujian selain ujian harta dan tubuh. Mereka yang sebelum kita telah digegarkan dengan teruk sekali. Maka kalau kita diuji daripada orang lain zaman sekarang, itu biasa sahaja. Jangan dirisaukan sangat tentang perkara itu. Setakat dituduh sebagai Wahabi, apalah sangat.
حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ
sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”
Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم sampai bertanya bilakah datangnya pertolongan Allah ﷻ itu kerana Allah ﷻ memang telah berjanji akan memberikan bantuan tetapi tidak ditentukan waktu bila ia akan diberi. Oleh kerana sudah lama tidak sampai-sampai, maka ada Nabi-nabi dan para sahabat mereka yang sudah bertanya. Mereka cuma bertanya kenapa lama sangat. Ini bermakna ujian itu sudah sangat terasa. Bukanlah para Nabi dan para sahabat mereka sangsi kepada pertolongan Allah ﷻ, cuma tertanya-tanya bilakah akan sampai pertolongan itu. Ini kerana mereka sudah tidak tahan lagi kerana teruk sangat ujian yang mereka kena. Manakala kalau ada yang sangsi pun bukanlah para Rasul yang sangsi, akan tetapi mereka yang di sekeliling para Rasul itu.
قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا { حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا } خَفِيفَةً ذَهَبَ بِهَا هُنَاكَ وَتَلَا { حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ } فَلَقِيتُ عُرْوَةَ بْنَ الزُّبَيْرِ فَذَكَرْتُ لَهُ ذَلِكَ فَقَالَ قَالَتْ عَائِشَةُ مَعَاذَ اللَّهِ وَاللَّهِ مَا وَعَدَ اللَّهُ رَسُولَهُ مِنْ شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا عَلِمَ أَنَّهُ كَائِنٌ قَبْلَ أَنْ يَمُوتَ وَلَكِنْ لَمْ يَزَلْ الْبَلَاءُ بِالرُّسُلِ حَتَّى خَافُوا أَنْ يَكُونَ مَنْ مَعَهُمْ يُكَذِّبُونَهُمْ فَكَانَتْ تَقْرَؤُهَا { وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِّبُوا } مُثَقَّلَةً
Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata mengenai firman Allah: ” Sehingga apabila para rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan telah menyakini bahawa mereka telah didustakan…” (Yusuf: 110). Perlahan-lahan Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا pergi sambil memikirkan ayat itu seraya membaca ayat; Sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Al-Baqarah: 214). Lalu aku bertemu dengan Urwah, maka aku sebutkan tentang ayat tersebut kepadanya; dia pun menjawab; Aisyah berkata; demi Allah, tidaklah Allah berjanji kepada Rasul-Nya sedikit pun kecuali hal itu akan diketahui olehnya sebelum dia meninggal. Namun ujian demi ujian bagi para Rasul akan senantiasa ada hingga mereka merasa khuatir orang-orang yang bersama mereka akan ada yang mendustakannya. Aisyah رضي الله عنها seraya membaca; Mereka (para rasul) itu menyangka mereka akan didustakan.
(Sahih Bukhari No. 4162)
Perhatikan kalimat وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ. Ia mengajar kita bahawa orang yang beriman akan sentiasa bersama para Rasul mereka dan berjuang bersama-sama. Walaupun Rasulullah ﷺ tidak lagi bersama kita, namun apabila kita meneruskan usaha dakwah baginda dan menegakkan agama ini, maka kita juga dikira bersama baginda.
Ayat ini juga memberitahu kepada kita yang sedang membaca dan mempelajari Al-Qur’an ini, bahawa untuk dapat pertolongan Allah ﷻ, hendaklah duduk terlebih dahulu dalam kepayahan yang panjang. Dakwah kepada agama Islam ini bukan mudah dan kita kena bersedia. Kita kena ada persediaan mental untuk menghadapinya.
Kalau kita sudah tahu yang ia bukan senang, maka kalau kita diuji dengan segala halangan dan dugaan ini, kuranglah sedikit rasa kesusahan itu. Ini kerana kita sudah bersedia. Kita memang sudah agak yang dakwah ini bukan kerja senang. Sebaliknya kalau kita sangka ia kerja senang, dan kemudian dikenakan ujian, tentu ia lebih sukar kepada kita. Ini kerana mental kita tidak bersedia.
Memang pendakwah agama akan menerima ujian daripada Allah ﷻ. Kalau kita melakukan tugas dakwah kita, kita akan diuji kerana Allah ﷻ telah beritahu yang Dia telah siap sediakan musuh untuk orang Mukmin dalam kalangan jin dan manusia.
Kalau kita tidak menjalankan tugas kita dalam dakwah, Allah ﷻ akan uji kita dengan kita ditundukkan oleh agama lain supaya kita sedar kembali. Jadi, dalam dua keadaan itu, memang pasti kita akan diuji. Maka terima sahajalah ujian yang Allah ﷻ berikan kepada kita dalam apa jua bentuk. Juga diingatkan supaya jangan berputus asa. Ingatlah bahawa balasan untuk kesabaran kita itu adalah syurga.
أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
Allah ﷻ beritahu bahawa pertolongan-Nya akan pasti tiba dan tidak lama lagi. Mereka cuma perlu bersabar sedikit sahaja lagi. Kesabaran mereka menunggu pertolongan itu akan dibalas dengan pahala dan syurga yang tentunya lebih tinggi nilainya daripada susah payah dan penat jerih manusia yang berdakwah untuk menegakkan agama-Nya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Muhammad: 7
يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن تَنصُرُوا اللهَ يَنصُركُم وَيُثَبِّت أَقدامَكُم
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kakimu.
Ayat ini juga memberi isyarat yang Allah ﷻ dekat dengan kita. Memang Dia telah memberitahu perkara yang sama kepada kita dalam ayat 186.
وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);
Maka jangan berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah ﷻ. Betapa pun lemahnya kita, Allah ﷻ amat kuat dan boleh beri pertolongan dari arah yang tidak disangka-sangka.
Yang paling penting adalah sabar. Ada hadith tentang sahabat yang mengadu kepada Nabi Muhammad ﷺ dan lihatlah bagaimana jawapan baginda.
عَنْ خَبَّابِ بْنِ الْأَرَتِّ قَالَ شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ قُلْنَا لَهُ أَلَا تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلَا تَدْعُو اللَّهَ لَنَا قَالَ كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الْأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهِ فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ لَا يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ أَوْ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ
Daripada Khabbab bin Al Arat رضي الله عنه berkata; “Kami mengadu kepada Rasulullah ﷺ ketika baginda sedang berbantalkan kain selimut baginda di bawah naungan Ka’bah; “Tidakkah baginda memohon pertolongan buat kami? Tidakkah baginda berdoa memohon kepada Allah ﷻ untuk kami?” Baginda bersabda: “Ada seorang lelaki daripada umat sebelum kalian, lantas digalikan lubang untuknya dan dia diletakkan di dalamnya, lalu diambil gergaji, kemudian diletakkan gergaji itu di kepalanya lalu dia dibelah menjadi dua bahagian namun hal itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Tulang dan urat di bawah dagingnya disisir dengan sisir besi namun hal itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Demi Allah ﷻ, sungguh urusan (Islam) ini akan sempurna hingga ada seorang yang mengendarai kuda berjalan dari Shana’a menuju Hadramaut tidak ada yang ditakutinya melainkan Allah ﷻ atau (tidak ada) kekhuatiran kepada serigala atas kambingnya. Akan tetapi kalian sangat tergesa-gesa”.
(Sahih Bukhari No. 3343)
INFAK BERMULA DI RUMAH
Baqarah Ayat 215: Sekarang kita masuk ke tajuk baharu iaitu tentang infak. Selepas ini akan diselang-selikan dengan tajuk Jihad dan Infak supaya umat Islam bersedia dengan kedua-dua perkara itu. Memang Islam tidak sepatutnya lari jauh daripada infak dan jihad. Jihad tidak dapat dijalankan jika tidak ada orang yang infak. Di dalam ayat ini disebut infak secara umum dahulu.
يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ ۖ قُل ما أَنفَقتُم مِّن خَيرٍ فَلِلوٰلِدَينِ وَالأَقرَبينَ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينِ وَابنِ السَّبيلِ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
They ask you, [O Muhammad], what they should spend. Say, “Whatever you spend of good is [to be] for parents and relatives and orphans and the needy and the traveler. And whatever you do of good – indeed, Allah is Knowing of it.”
MALAY
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).
يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan
Dalam ayat ini umat Islam zaman Nabi ﷺ telah bertanya kepada baginda apakah yang mereka perlu infakkan. Beginilah sifat para sahabat yang prihatin kepada agama. Selepas diberitahu kelebihan infak, mereka ingin tahu apakah yang perlu mereka infakkan. Ini kerana akidah sudah tertancap kemas di dalam diri mereka, maka sekarang ia tercermin pada soalan mereka untuk mengetahui apakah tuntutan Allah ﷻ dalam hidup mereka. Kerana itulah selepas ini kita akan melihat soalan-soalan para sahabat.
Ini mengajar kita yang di dalam urusan agama, hendaklah ia berdasarkan ilmu. Kalau tidak tahu, hendaklah ditanya kepada yang tahu, jangan memandai-mandai. Jangan reka perkara baru di dalam agama mengikut nafsu kehendak sendiri. Kita perhatikan sekarang ramai yang membuat rekaan fahaman sendiri tentang agama tanpa berdasarkan dalil tetapi logik akal sahaja. Perkara ini amat bahaya sedangkan semua urusan agama telah ada dalilnya.
Allah ﷻ memuji soalan mereka dengan menggunakan kalimah يَسأَلونَكَ yang di dalam fi’il mudhari‘. Tentunya soalan itu telah ditanya dan sepatutnya di dalam fi’il madhi. Akan tetapi dengan menggunakan fi’il mudhari‘ maka ia seakan-akan sedang terjadi dialog itu lagi dan segar dalam fikiran kita seolah-olah ia sedang berlaku dan kita sedang menyaksikan dialog mereka dengan Rasulullah ﷺ.
Ini adalah salah satu daripada 13 soalan daripada para sahabat yang disebut di dalam Al-Qur’an. Maknanya tidak banyak soalan mereka. Ini kerana mereka ini ada adab. Mereka tidak main-main bertanya tapi bertanya benda yang perlu sahaja. Zaman sekarang kita perhatikan, umat sikit-sikit bertanya dan soalan itu kadangkala mengarut sahaja.
Ada satu lagi soalan yang sama disebut di dalam ayat 219 (وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ) akan tetapi jawapan di dalam ayat itu berlainan daripada jawapan di dalam ayat ini. Ini kerana ayat 215 berlainan daripada asbabun nuzul ayat 219. Ayat 215 ini diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir daripada Abu Hayyan, bahawasanya Amru bin al-Jamuh رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bertanya kepada Nabi ﷺ, “Apa yang kami nafkahkan daripada harta-harta kami? Kepada siapa kami patut berikan?“ Ini kerana Amru bin al-Jamuh رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mempunyai harta yang banyak. Sedangkan di dalam ayat 219, kisahnya adalah apabila Rasulullah ﷺ menyuruh para sahabat untuk infak fi sabilillah, mereka meminta penjelasan tambahan daripada baginda. Jadi ayat 215 tentang ‘apa’ dan ‘kepada siapa’ sedangkan ayat 219 tentang ‘apa’ sahaja. Di dalam ayat 215, penjelasan tentang kepada siapa yang harta itu perlu diinfakkan telah diberikan penjelasan yang lebih panjang.
Kedua-dua ayat 215 dan 219 ini adalah tentang sedekah yang sunat dan bukannya infak zakat kerana infak zakat adalah kadar khusus yang telah ditetapkan. Sedangkan ayat 215 dan 219 tidak menetapkan had. Lagi pun zakat tidak diberikan kepada ibu bapa seperti disebut di dalam ayat 215 ini, jadi ini menguatkan pendapat yang mengatakan ia bukan berkenaan zakat.
قُل ما أَنفَقتُم مِّن خَيرٍ
Katakanlah: apa jua harta benda yang baik yang kamu infakkan
Allah ﷻ jawab mereka boleh infakkan apa sahaja asalkan ia mempunyai nilai. خَيرٍ bermaksud apa sahaja yang bernilai. Di dalam ayat 180 (كُتِبَ عَلَيكُم إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلمَوتُ إِن تَرَكَ خَيرًا) sebelum ini, ia ditafsirkan sebagai harta. Akan tetapi oleh kerana ia di dalam bentuk nakirah (umum) ia boleh jadi apa-apa sahaja. Seeloknya benda yang kita pun suka, kita pun mahu lagi. Ia juga bukan dalam bentuk benda sahaja, tetapi ia juga boleh jadi bantuan, ilmu dan juga nasihat.
Malah kalimah خَيرٍ juga memberi isyarat yang ia hendaklah digunakan untuk tujuan yang baik. Maknanya jangan ia dibazirkan pada perkara yang tidak bermanfaat.
Manakala barang yang diberikan itu mesti yang baik-baik. Janganlah beri benda yang orang lain tidak selera hendak pakai. Sebagai contoh, selalunya bila kita kemaskan almari baju kita, kita jumpa baju-baju lama yang kita pun tidak ingin hendak pakai lagi. Maka selalunya kita beri baju yang buruk-buruk itu kepada orang lain. Ini tidak patut. Kalau hendak beri pun, kenalah yang masih elok lagi.
فَلِلوٰلِدَينِ
maka berikanlah kepada: kedua ibu bapa,
Yang lebih penting daripada ‘apa’ yang perlu diinfakkan adalah kepada ‘siapa’kah infak itu perlu diberikan. Itu yang mereka lebih patut tanya. Kita manusia memang selalu mengeluarkan duit kita tetapi persoalannya adalah ke manakah sepatutnya kita keluarkan duit kita itu. Memang soalan para sahabat adalah ‘apa’ yang perlu mereka infakkan. Namun jawapan di dalam ayat ini ada dua, iaitu ‘apa’ dan ‘kepada siapa’. Kita boleh faham jawapan ‘kepada siapa’ itu jikalau kita melihat kepada asbabun nuzul seperti yang telah disebut di atas.
Ini adalah contoh uslub al-hakim (gaya bahasa yang bijaksana) ayat Al-Qur’an. Iaitu jawapan yang lebih daripada yang diminta. Ini kerana jikalau tidak ditanya pun lagi, soalan itu akan datang juga nanti. Maka dijawab siap-siap di sini. Di dalam hadith juga ada contoh sebegini seperti hadith tentang laut. Pernah satu ketika soalan ini ditanya kepada Nabi ﷺ:
إنا نركب البحر ، ونحمل معنا القليل من الماء ، فإن توضأنا به عطشنا ، أفنتوضأ من ماء البحر
“Kadang-kala kami berlayar di lautan, ketika itu kami membawa sedikit sahaja air (air tawar), jika kami berwudhu’ dengan air yang kami bawa sudah tentu kami akan kehausan, apakah boleh kami berwudhu’ dengan air laut?” Lalu Nabi ﷺ menjawab: “Laut itu, boleh bersuci dengan airnya dan halal bangkainya.”
(HR. Abu Daud No. 83; Tirmidzi No. 69; An-Nasai 1:50; Ibnu Majah No. 386)
Perhatikan soalan sahabat tentang wudhu’ sahaja, tetapi jawapan Nabi ﷺ ada dua perkara yang disebut: tentang wudhu’ dan makanan dari laut. Maka ayat yang kita sedang pelajari ini memberi penjelasan tambahan, bukan hanya apa yang diinfakkan (itu dijawab dengan lafaz مِّن خَيرٍ) dan sekarang kita pun tahu kepada siapa siapa infak itu perlu diberikan.
Oleh itu, pertama yang kita perlu infakkan harta kita yang berharga itu ialah kepada ibubapa kita yang susah. Kenalah kita tolong ibubapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita. Kerana merekalah kita ini wujud. Jangan kita banyak tolong orang lain, tetapi ibubapa kita sendiri tidak pula kita kisahkan susah senang mereka. Kadangkala ada ibubapa yang susah di kampung tetapi anak tidak tolong sedikit pun. Ada yang senang di ibukota tetapi ibu di kampung, merempat.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang perlu ditolong adalah ibubapa yang susah. Namun ada juga yang berpendapat tidak perlu dikhususkan kepada ibubapa yang susah sahaja kerana walaupun mereka senang, apabila kita beri sumbangan kepada mereka, mereka amat suka.
Kita juga jangan lupa bahawa infak bukan sahaja dalam bentuk harta benda sahaja tetapi dalam bentuk pertolongan dan lain-lain. Maka tolonglah menyenangkan hidup ibubapa kita dalam apa-apa cara. Kalau mereka sakit, kitalah yang bawa mereka ke klinik dan hospital. Kadangkala ya kita sendiri pun tidak cukup serba serbi dari segi kewangan, tetapi kita masih tetap boleh berkhidmat kepada mereka, bukan?
Melalui ayat ini mengajar kita bahawa sedekah dan beri bantuan kepada ahli keluarga adalah termasuk perkara ibadah. Maka jangan kedekut dengan ahli keluarga. Rasulullah ﷺ telah bersabda,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَتُكَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الْقُرْبَى الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
Rasulullah ﷺ bersabda: “Sedekahmu pada orang-orang miskin bernilai satu sedekah, sedangkan sedekahmu pada kerabatmu bernilai dua iaitu; (1) sedekah dan (2) menyambung silaturahim.”
(Musnad Ahmad No. 17197) Isnad Hasan
Di sini juga kita boleh tahu bahawa ada susunan keutamaan di dalam infak. Apabila disebut ibubapa dahulu, maka kepada mereka lah yang perlu kita sedekahkan dan beri bantuan yang utama sekali. Di dalam hadith ada disebut,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” تَصَدَّقُوا ” . فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ . قَالَ ” تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ ” . قَالَ عِنْدِي آخَرُ . قَالَ ” تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ ” . قَالَ عِنْدِي آخَرُ . قَالَ ” تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ ” . قَالَ عِنْدِي آخَرُ . قَالَ ” تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ ” . قَالَ عِنْدِي آخَرُ . قَالَ ” أَنْتَ أَبْصَرُ ”
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata; Nabi ﷺ memerintahkan untuk bersedekah. Kemudian seorang lelaki berkata; wahai Rasulullah, aku memiliki satu dinar. Kemudian baginda bersabda: “Sedekahkan kepada dirimu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada anakmu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada isterimu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada pembantumu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Engkau lebih tahu.”
(Sunan Nasa’i No. 2535) Hasan menurut Darussalam
Akan tetapi kenapakah hadith ini berlainan pula dengan susunannya dengan ayat yang kita sedang baca ini? Kena tahu bahawa hadith ini tentang sedekah yang wajib, iaitu untuk ahli keluarga yang menjadi kewajipan kita untuk menyarai mereka. Sedangkan ayat 215 ini pula adalah tentang sedekah sunat.
وَالأَقرَبينَ
dan kaum kerabat,
Selepas bantu ibubapa, kita kena lihat pula kepada kaum kerabat yang susah. Kenalah kita tolong mereka yang berdekatan dengan kita terlebih dahulu kerana tentu mereka akan terasa hati kalau kita tolong orang lain tetapi tidak menolong mereka sedangkan mereka saudara mara kita. Termasuk di dalam kaum kerabat adalah anak kandung dan adik beradik. Mereka yang susah itu juga memerlukan bantuan daripada kita.
Ini selalunya ada masalah. Masyarakat kita ada sahaja masalah dengan saudara mara mereka. Ada adik beradik yang terasa dengan adik beradik sendiri dan sudah bermasam muka. Anak-anak mereka pun menyambung ‘permusuhan’ ibubapa mereka dan berterusanlah perkelahian ini. Ini amat-amat memalukan. Bayangkan, seteruk-teruk Arab Jahiliyah itu, mereka amat menjaga hubungan sesama kabilah mereka, tetapi kita pula berkelahi sesama ahli keluarga kita?
وَٱليَتَـٰمَىٰ
dan anak-anak yatim
Kemudian anak yatim yang susah. Mereka ini adalah golongan yang selalu diabaikan kerana mereka sudah tidak ada ibu bapa. Maka kita kena cari mereka untuk tolong mereka.
Jangan kita sangka kita hanya boleh tolong mereka dengan wang sahaja kerana kita bukan semua ada wang. Sebenranya kita boleh sahaja bantu mereka dengan cara yang lain. Kalau kita pandai memasak, kita boleh masak untuk mereka. Kalau kita pandai akademik, kita boleh beri tuisyen kepada mereka. Atau apa-apa sahaja. Kenalah kreatif sedikit bagaimana hendak tolong mereka. Jangan hadkan kepada bantuan berbentuk kewangan sahaja.
وَٱلمَسَـٰكِينِ
dan orang-orang miskin,
Keutamaan infak seterusnya diberikan kepada mereka yang susah kerana mereka yang memerlukan pertolongan itu. Kalau ibu bapa kita kaya-raya, atau saudara mara kita memang sudah kaya ataupun anak yatim lebih banyak duit daripada kita, maka tidaklah perlu kita berikan kepada mereka. Maka apabila hendak infakkan kita perlu melihat kepada keadaan. Walaupun begitu, ada juga yang kata bahawa untuk ibubapa, tidak perlu tunggu mereka susah. Kena sentiasa tolong mereka.
وَابنِ السَّبيلِ
dan anak perjalanan
Maksudnya orang musafir yang putus bekalan dalam perjalanan. ini kerana ada musafir yang cukup bekalan mereka dan tidak memerlukan pertolongan.
Berinfak kepada musafir ini lebih-lebih lagi perlu diberikan kepada mereka yang bermusafir kerana hendak menegakkan agama Allah ﷻ. Mereka memerlukan pertolongan kerana mereka berada di tempat yang baru dan susah untuk mereka mendapatkan pertolongan kerana mereka tidak kenal orang lain. Kalau kita tolong mereka, pahala mereka membawa orang ke jalan yang benar akan sampai juga kepada kita.
وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ
Dan apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya
Allah ﷻ tahu apa sahaja yang kita infakkan, tidak perlu beritahu orang lain. Tidak perlulah hendak masukkan ke dalam Facebook atau Instagram segala infak yang kita lakukan. Di sini Allah ﷻ mengingatkan yang penting adalah ikhlas dalam hati semasa infak. Allah ﷻ tahu isi hati kita dan sama ada kita ikhlas atau tidak semasa memberinya. Kalau tidak ikhlas maka tidaklah dapat pahala.
Untuk jaga ikhlas, jangan beritahu kepada orang lain segala kebaikan atau infak yang kita lakukan. Ini kerana takut-takut kalau orang lain tahu, maka akan timbul rasa bangga dan riak di dalam diri kita. Maka jangan beri alasan macam-macam untuk kita war-warkan dalam media. Sebagai contoh, ada yang beri alasan dengan mereka buat begitu, mereka ajak dan menggalakkan orang lain juga. Masalah dengan hal ini adalah, takut hati kita tidak cukup kuat untuk menolak riak yang syaitan akan timbulkan dalam diri kita. Kalau belajar Talbis Iblis (belitan iblis), ini memang salah satu cara syaitan hendak menipu kita.
Apabila kita tahu yang Allah ﷻ tahu segala infak dan perbuatan baik kita, sepatutnya ia menjadi motivasi kepada kita untuk berbuat baik banyak-banyak. Ini kerana kalau Allah ﷻ tahu, Dia akan balas dengan berkali ganda. Tidak akan ada mana-mana perbuatan baik kita yang akan tertinggal untuk dibalas Allah ﷻ. Jangan kita pandang kecil besarnya kerana Rasulullah ﷺ telah bersabda,
عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ
Daripada Adi bin Hatim رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Takutlah kepada Neraka walaupun hanya dengan sebelah kurma. Jika tidak kalian dapatkan, maka dengan perkataan yang baik.”
(Sahih Bukhari No. 1598)
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 13 Mac 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi



