Yunus Ayat 81: Sambung kisah perlawanan Nabi Musa عليه السلام dan tukang-tukang sihir secara ringkas.
فَلَمّا أَلقَوا قالَ موسىٰ ما جِئتُم بِهِ السِّحرُ ۖ إِنَّ اللَّهَ سَيُبطِلُهُ ۖ إِنَّ اللَّهَ لا يُصلِحُ عَمَلَ المُفسِدينَ
And when they had thrown, Moses said, “What you have brought is [only] magic. Indeed, Allah will expose its worthlessness. Indeed, Allah does not amend the work of corrupters.
Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.
فَلَمَّا أَلْقَوْا
Setelah mereka campakkan (benda-benda itu),
Dalam Taha:66 telah disebut yang mereka mencampakkan tongkat dan tali. Ada dibincangkan kenapa Nabi Musa عليه السلام suruh mereka dahulu yang campakkan. Strategi itu dipilih supaya orang ramai boleh nampak perbezaan antara sihir tukang ahli sihir itu dan mukjizat yang akan ditunjukkan oleh baginda. Barulah jelas kehebatan mukjizat kerana telah nampak perbuatan sihir dahulu.
قالَ موسىٰ ما جِئتُم بِهِ السِّحرُ
Nabi Musa berkata: “Apa yang kamu datangkan itu adalah sihir;
Nabi Musa عليه السلام tahu apa yang berlaku, maka baginda telah kata kepada mereka. Baginda beritahu kepada mereka: “Yang kamu bawakan inilah sihir, bukan apa yang aku bawa”. Yang Nabi Musa عليه السلام bawa adalah mukjizat, tidak sama dengan sihir. Ini kerana sihir itu hanya menjadikan nampak sahaja tongkat dan tali itu menjadi ular, tetapi bukan ular yang sebenar. Sihir hanya mengelabui mata yang melihat sahaja.
Belajar dan mengamalkan sihir hukumnya dosa besar. Tidak dibenarkan untuk kita mempelajarinya dan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam Baqarah:102.
إِنَّ اللَّهَ سَيُبْطِلُهُ
sesungguhnya Allah akan menghapuskannya
Kalimah سَيُبْطِلُهُ adalah daripada katadasar ب ط ل yang bermaksud ‘membatalkan’. Apa yang mereka buat itu, Allah ﷻ akan batalkan, maksudnya Allah ﷻ akan lemahkan sampai ia tidak akan menjadi apa-apa. Allah ﷻ maha berkuasa atas segala sesuatu dan bukan mereka yang ada kuasa sihir itu. Sihir itu menjadi kerana Allah ﷻ benarkan ia berlaku. Bukan juga Nabi Musa عليه السلام yang mempunyai kuasa maka kerana itu baginda kata Allah ﷻ yang akan menghapuskan sihir mereka.
Kita manusia biasa tidak mempunyai sebarang mukjizat sebagaimana Nabi Musa عليه السلام untuk melawan sihir, namun kita ada mukjizat Al-Qur’an. Oleh itu, sekiranya ada yang menggunakan sihir kepada kita, maka bacakan ayat-ayat Al-Qur’an. Ini kerana apabila kita membacakan ayat-ayat seperti ayat ini, mengingatkan kita kepada Allah ﷻ yang menguasai sihir itu. Seterusnya kita berdoa terus kepada Allah ﷻ agar menghilangkan kesan sihir itu.
Bukannya pergi berjumpa dengan bomoh-bomoh dan ustaz-ustaz yang mengamalkan sihir juga. Masalah zaman sekarang, tukang-tukang bomoh dan pawang menggelarkan diri mereka sebagai ‘ustaz’. Namun sebenarnya mereka adalah uskun (ustaz dukun). Mereka sahaja sangka mereka menggunakan cara Islam, tetapi sebenarnya mereka menggunakan jin juga dalam amalan mereka tanpa mereka sedar. Ini adalah kerana mereka mengamalkan amalan yang bid’ah dan mungkin syirik yang menyebabkan jin-jin telah berdamping dengan mereka. Maka jikalau nampak mereka boleh buat bermacam-macam perkara luarbiasa, itu adalah kerana bantuan daripada golongan jin, kawan mereka.
إِنَّ اللَّهَ لَا يُصْلِحُ عَمَلَ الْمُفْسِدِينَ
sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.
Kenapa tadi menceritakan sihir dan sekarang menyebut tentang ‘kerosakan’ pula? Ini adalah kerana kadangkala ada manusia yang benci kepada seseorang sampai menggunakan sihir. Dia pergi jumpa bomoh dan suruh bomoh itu buat macam-macam: bagi sakit, bagi jadi gila, bagi tiada nafsu dan macam-macam lagi.
Itu semua adalah termasuk ‘melakukan kerosakan’. Ternyata memang perbuatan sihir itu melakukan kerosakan. Allah ﷻ tidak akan memberikan kejayaan kepada mereka. Ia tidak akan membawa kepada kebaikan. Mereka sangka mereka berjaya dan beruntung, tetapi sebenarnya tidak. Mereka akan dibalas di akhirat kelak dengan balasan azab yang amat dahsyat.
Ini juga mengajar kepada kita yang jikalau perbuatan kita itu membawa kepada kerosakan, ia tidak berguna kepada kita. ‘Kerosakan’ itu bukan sahaja di dalam bentuk sihir. Kerosakan itu merangkumi semua perkara, sama ada dalam perkara yang besar atau pun yang kecil. Sebagai contoh, dalam kita hendak mendisiplinkan kanak-kanak, kita tidak patut memaki mereka ataupun menipu kepada mereka. Lama- akan membawa kepada kerosakan juga nanti. Sebaiknya kita kena fikirkan kesan daripada perbuatan kita. Niat kena baik, tetapi tindakan pun kenalah baik juga.
Yunus Ayat 82:
وَيُحِقُّ اللَّهُ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ وَلَو كَرِهَ المُجرِمونَ
And Allah will establish the truth by His words, even if the criminals dislike it.”
“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa”.
وَيُحِقُّ اللَّهُ الْحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ
“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintah-Nya,
Allah ﷻ tetap akan menegakkan kebenaran kerana Allah ﷻ telah berjanji dengan kalimah-Nya untuk menegakkan kebenaran dan itu pasti akan terjadi. Maksud ‘kalimat’ di dalam ayat ini bermaksud ketetapan kauniah iaitu takdir yang Allah ﷻ tetapkan. Iaitu Allah ﷻ bantu memenangkan Nabi-Nya dengan memberi mukjizat kepada baginda untuk mengalahkan musuh.
Yang kedua, kalimah yang dimaksudkan adalah wahyu-Nya. Pada kita sekarang, ia adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Maknanya, dengan Al-Qur’an, Allah ﷻ akan menegakkan kebenaran. Kebathilan akan dikalahkan dengan hujah-hujah Al-Qur’an. Maka kita mesti belajar tafsir Al-Qur’an sampai kita dapat menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an untuk mematahkan hujah-hujah bathil.
Yang ketiga, kalimah Allah ﷻ yang dimaksudkan adalah janji-janji Allah ﷻ. Allah ﷻ telah berjanji untuk memberi kemenangan kepada golongan mukmin dan mengalahkan orang kafir. Allah ﷻ pasti akan bantu mereka yang hendak menegakkan agama-Nya. Sebagai contoh, dalam kisah Nabi Musa عليه السلام ini, Allah ﷻ telah memenangkan baginda dengan menjadikan tongkat baginda menjadi ular yang sebenar dan memakan semua jelmaan ular-ular sihir itu.
Walau bagaimanapun umtuk menang, ia tetap memerlukan strategi. Dakwah juga memerlukan strategi supaya kebarangkalian berjaya lebih tinggi. Nabi Musa عليه السلام pun tidaklah terus berlawan dengan golongan tukang sihir itu tetapi baginda menggunakan cabaran itu untuk berdakwah. Lihat Taha:59
قالَ مَوعِدُكُم يَومُ الزّينَةِ وَأَن يُحشَرَ النّاسُ ضُحًى
Nabi Musa menjawab: “Tempoh yang ditetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha”.
Baginda memilih hari perayaan supaya peristiwa itu boleh disaksikan oleh ramai orang. Kenapa waktu dhuha? Kerana waktu itu sejuk selesa dan ramai orang boleh datang dan duduk lama untuk menyaksikan peristiwa itu. Malah Nabi Musa عليه السلام telah mengambil peluang untuk berdakwah kepada golongan tukang sihir itu seperti disebut dalam Taha: 61-62
قالَ لَهُم موسىٰ وَيلَكُم لا تَفتَروا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا فَيُسحِتَكُم بِعَذابٍ ۖ وَقَد خابَ مَنِ افتَرىٰ
Nabi Musa berkata kepada mereka: “Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Dia akan membinasakan kamu dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa”.
Dakwah Nabi Musa عليه السلام itu telah menggoyangkan mereka, sampaikan mereka berbincang sesama sendiri,
فَتَنازَعوا أَمرَهُم بَينَهُم وَأَسَرُّوا النَّجوىٰ
Maka mereka pun berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka, dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.
Walau bagaimanapun mereka telah terkesan dengan kata-kata Nabi Musa عليه السلام itu, maka mereka telah mudah untuk beriman dengan baginda apabila mereka kalah.
وَلَوْ كَرِهَ الْمُجْرِمُونَ
walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa”.
Orang yang berdosa tidak suka dengan kebenaran. Akan tetapi Allah ﷻ tidak peduli sama ada mereka suka atau tidak. Walaupun mereka tidak suka, Allah ﷻ akan memenangkan kebenaran juga. Kalimah الْمُجْرِمُونَ di dalam ayat ini bermaksud orang kafir. Allah ﷻ tidak akan memberi kemenangan kepada mereka. Di dalam Saf:8 juga Allah ﷻ telah menyebut perkara yang sama.
يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ
Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.
Ayat ini memberi kekuatan kepada kita untuk bertawakal kepada Allah ﷻ. Apabila kita yakin yang Allah ﷻ akan pasti memenangkan agama-Nya, maka kita senang untuk berharap dengan Allah ﷻ.
Habis Ruku’ 8 daripada 11 surah ini.
HANYA SEDIKIT YANG BERIMAN
Yunus Ayat 83: Apakah tindakan Firaun selepas itu? Dia menggunakan kekerasan terhadap sesiapa yang berani beriman dengan Nabi Musa عليه السلام.
فَما ءآمَنَ لِموسىٰ إِلّا ذُرِّيَّةٌ مِّن قَومِهِ عَلىٰ خَوفٍ مِّن فِرعَونَ وَمَلَإِىْهِم أَن يَفتِنَهُم ۚ وَإِنَّ فِرعَونَ لَعالٍ فِي الأَرضِ وَإِنَّهُ لَمِنَ المُسرِفينَ
But no one believed Moses, except [some] youths among his people, for fear of Pharaoh and his establishment that they would persecute them. And indeed, Pharaoh was haughty within the land, and indeed, he was of the transgressors
Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itu pun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka; kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan sebenarnya dia dari orang-orang yang melampaui batas.
فَما ءآمَنَ لِموسىٰ إِلّا ذُرِّيَّةٌ مِّن قَومِهِ
Maka tidaklah beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil daripada keturunan kaumnya,
Ramai yang tidak beriman dengan Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام, walaupun mereka sendiri nampak bagaimana ahli-ahli sihir mereka telah dikalahkan dengan mukjizat Nabi Musa عليه السلام. Walaupun mereka nampak kebenaran dengan mata mereka sendiri, tetapi mereka masih tidak beriman. Mereka juga tidak beriman walaupun selepas itu para ahli sihir itu semuanya beriman dengan Nabi Musa عليه السلام.
Walaupun ramai yang tidak beriman, namun masih ada juga antara mereka yang melihat pertarungan itu yang telah beriman. Pertamanya yang beriman itu adalah ahli-ahli sihir yang bertarung dengan Nabi Musa عليه السلام itu. Oleh kerana mereka orang yang berilmu, maka mereka tahu bahawa apa yang Nabi Musa عليه السلام lakukan itu bukanlah sihir tetapi ia adalah mukjizat. Mereka tahu sesiapa yang boleh mengalahkan mereka tentunya seorang Rasul yang benar kerana mereka tahu bahawa mukjizat itu yang hanya boleh dilakukan oleh seorang Nabi sahaja. Maka, mereka tahu yang apa yang dikatakan oleh Nabi Musa عليه السلام itu adalah kebenaran. Oleh kerana itu mereka terus beriman tanpa berasa sangsi lagi walaupun telah diancam bunuh oleh Firaun.
Selain daripada ahli-ahli sihir itu, ada lagi yang beriman. Namun sedikit sahaja kerana kalimah ذُرِّيَّةٌ daripada katadasar ذ ر ر yang bermaksud atom, semut yang paling kecil, biji benih yang kecil, anak-anak, kanak-kanak, keturunan. Kalimah zuriat, zarah, diambil daripada katadasar ini.
Jelas maksudnya di sini bahawa hanya sedikit sahaja yang beriman dengan Nabi Musa عليه السلام. Merekalah golongan minoriti. Nanti akan disebut kerana sedikit sahaja yang beriman. Memang zaman berzaman, golongan yang berada di atas landasan yang benar itu sedikit sahaja. Sama seperti ajaran Sunnah sekarang pun. Inilah sunnatullah (ketetapan Allah ﷻ yang berulang-ulang) iaitu yang beriman sebenar hanya sedikit sahaja..
Apabila perkataan ذُرِّيَّةٌ digunakan, ia memberitahu kepada kita bahawa mereka adalah orang-orang muda. Memang zaman berzaman golongan mudalah yang senang untuk beriman. Golongan tua selalunya ikut amalan yang telah lama diamalkan. Otak mereka pun sudah lemah untuk fikir lebih-lebih, maka mereka cuma meneruskan apa sahaja yang telah diamalkan oleh orang sebelumnya. Kalau beri dalil kepada mereka pun, mereka sudah susah untuk fikirkan kerana untuk fikir lebih secara ilmiah, memerlukan kekuatan akal sedangkan otak mereka sudah lemah. Oleh kerana itulah dakwah sepatutnya difokuskan lebih kepada orang muda.
Perkataan قَوْمِهِ (kaumnya) boleh diertikan dalam dua makna. Sama ada zuriat keturunan daripada kaum Nabi Musa عليه السلام, atau kaum Firaun.
Jika ditafsirkan sebagai kaum Nabi Musa عليه السلام iaitu Bani Israil, timbul satu persoalan: bukankah mereka sudah beriman? Oleh itu, maknanya adalah: walaupun Nabi Musa عليه السلام memberikan ajaran tauhid kepada semua kaumnya, tetapi yang menerima hanya sedikit sahaja, iaitu golongan muda. Puncanyanya adalah sama: ramai yang takut dengan Firaun.
Manakala jikalau ia ditafsirkan sebagai ‘kaum Firaun’, ia merujuk kepada golongan kecil daripada bangsa Qibti dan kaum kerabat Firaun sendiri.
-
- Asiah isteri Firaun.
- Seorang lelaki daripada golongan istana yang disebutkan dalam Surah Mukmin. Hanya disebut tentangnya, tanpa diberitahu namanya.
- Menteri kewangan Firaun.
- Tukang sisir (mashitah) anak Firaun
Sememangnya mad’u bagi Nabi Musa عليه السلام ada dua golongan: Qibti dan Bani Israil. Dengan Qibti baginda kena sampaikan Tauhid Rububiyyah dengan mengenalkan kepada mereka siapa Tuhan yang sebenarnya; sementara kepada Bani Israil baginda kena sampaikan Tauhid Uluhiyyah kerana walaupun mereka ikut baginda, tetapi mereka ada masalah tauhid dalam penyembahan. Lihatlah betapa pentingnya kisah Nabi Musa عليه السلام sehinggakan Allah ﷻ banyak menyebut tentang kisah baginda. قال السيوطي رحمه الله: “كاد القرآن أن يكون كله لموسى” (Telah berkata Imam Suyuti رحمه الله: “Hampir-hampir Al-Qur’an itu keseluruhannya tentang Musa”.)
Seperti yang telah disebut sebelum ini, yang sanggup beriman adalah golongan-golongan yang muda. Dalam setiap zaman, golongan mudalah yang berani menentang arus pemahaman kolot sesuatu masyarakat itu dan sanggup untuk beriman, walaupun berlainan dengan pendapat golongan-golongan yang tua. Kerana itulah di Malaysia ini digunakan istilah ‘Golongan Muda’ dan ‘Golongan Tua’. Ada yang menggelar golongan Salafi dan Sunnah ini sebagai Golongan Muda. Maka beruntunglah juga kita ini sebab sentiasa tergolong dalam golongan muda belia rupanya.
Maka berilah semangat kepada mereka yang muda dan sanggup menerima perubahan. Walaupun mereka tahu bahawa pemikiran itu akan menyebabkan mereka susah, tetapi mereka sanggup untuk menghadapinya. Ini adalah kerana mereka mahukan perubahan. Mereka juga lebih bertenaga dan lebih bersemangat untuk membawa arus pembaharuan. Fikiran mereka juga masih suci bersih lagi berbanding golongan tua yang sudah lama sebati dengan amalan dan fahaman salah setelah sekian lama.
Kalau kita lihat penyokong penyokong Nabi Muhammad ﷺ pun kebanyakannya adalah golongan yang muda seperti Saidina Ali, Uthman رضي الله عنهما dan lain-lain lagi. Begitulah juga sekarang, kalau kita lihat, golongan mudalah yang banyak beriman di jalan sunnah ini.
Maka kita boleh lihat di sini yang kalau Nabi Musa عليه السلام pun pengikutnya tidak ramai, maka kejayaan dakwah bukanlah dikira daripada bilangan ramainya pengikut. Sebagaimana Jalan Sunnah sekarang masih sedikit, tetapi itu tidak mengapa, asalkan kita berada di atas jalan yang benar.
عَلىٰ خَوفٍ مِّن فِرعَونَ وَمَلَإِىْهِم أَن يَفتِنَهُم
itu pun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka;
Kenapa ramai takut beriman walaupun mereka telah nampak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام dan golongan ahli sihir pun telah kalah dan kemudian telah beriman? Kerana mereka takut sangat kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya. Firaun tidak suka rakyatnya beriman dengan Nabi Musa عليه السلام. Firaun pula ganas dan kejam teramat. Golongan ahli sihir yang telah beriman itu telah diseksa mati dan telah dipotong kaki dan tangan mereka, dan disalib supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai. Ini seperti disebutdalam A’raf:124
لَأُقَطِّعَنَّ أَيدِيَكُم وَأَرجُلَكُم مِّن خِلٰفٍ ثُمَّ لَأُصَلِّبَنَّكُم أَجمَعينَ
“Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan menyalib kamu semuanya”.
Juga disebut dalam Taha: 71
فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيدِيَكُم وَأَرجُلَكُم مِن خِلافٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُم في جُذوعِ النَّخلِ وَلَتَعلَمُنَّ أَيُّنا أَشَدُّ عَذابًا وَأَبقىٰ
Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal.
Sudah tentunya beriman dengan Nabi Musa عليه السلام pada waktu itu merbahaya kerana boleh dibunuh oleh Firaun bila-bila masa sahaja. Kata Voltaire: “It is dangerous to be right, when the government is wrong.” Macam kita sekarang pun, ramai yang takut untuk mengikut jalan sunnah kerana ia berlawanan dengan arus biasa. Ramai yang takut dipulau oleh masyarakat. Mereka takut dimarah oleh guru, ibubapa atau kawan-kawan mereka.
Namun agak pelik sedikit, kerana bukannya ada ancaman nyawa pun jika mengikut jalan Sunnah. Setakat risau dengan pandangan dan kata-kata manusia sahaja. Ia bukan ada apa-apa pun sebenarnya. Kenapa perlu takut dengan orang yang jahil? Kerana perlu hiraukan kata-kata mereka? Adakah boleh mengancam nyawa? Tidak pun, namun oleh kerana lemahnya iman, kata-kata manusia memberi kesan pula kepada kita. Lemahnya iman sampai takut untuk menyatakan kebenaran. Iman kuat mampu untuk mengalahkan benda-benda yang kecil seperti kata-kata remeh manusia yang jahil.
Kalimah عَلَىٰ juga boleh bermaksud ‘walaupun’. Walaupun mereka takut, mereka tetap beriman juga. Itulah kekuatan golongan yang beriman dengan Nabi Musa عليه السلام itu. Mereka diancam bunuh tetapi tetap juga mereka beriman. Itulah tanda kekuatan iman yang tinggi. Bukan beriman hanya apabila ada keuntungan sahaja. Beginilah kualiti iman yang tinggi. Lihatlah kisah tukang sikat (mashitah) rambut anak Firaun seperti disebut di dalam Musnad Ahmad:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الَّتِي أُسْرِيَ بِي فِيهَا أَتَتْ عَلَيَّ رَائِحَةٌ طَيِّبَةٌ فَقُلْتُ يَا جِبْرِيلُ مَا هَذِهِ الرَّائِحَةُ الطَّيِّبَةُ فَقَالَ هَذِهِ رَائِحَةُ مَاشِطَةِ ابْنَةِ فِرْعَوْنَ وَأَوْلَادِهَا قَالَ قُلْتُ وَمَا شَأْنُهَا قَالَ بَيْنَا هِيَ تُمَشِّطُ ابْنَةَ فِرْعَوْنَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ سَقَطَتْ الْمِدْرَى مِنْ يَدَيْهَا فَقَالَتْ بِسْمِ اللَّهِ فَقَالَتْ لَهَا ابْنَةُ فِرْعَوْنَ أَبِي قَالَتْ لَا وَلَكِنْ رَبِّي وَرَبُّ أَبِيكِ اللَّهُ قَالَتْ أُخْبِرُهُ بِذَلِكَ قَالَتْ نَعَمْ فَأَخْبَرَتْهُ فَدَعَاهَا فَقَالَ يَا فُلَانَةُ وَإِنَّ لَكِ رَبًّا غَيْرِي قَالَتْ نَعَمْ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ فَأَمَرَ بِبَقَرَةٍ مِنْ نُحَاسٍ فَأُحْمِيَتْ ثُمَّ أَمَرَ بِهَا أَنْ تُلْقَى هِيَ وَأَوْلَادُهَا فِيهَا قَالَتْ لَهُ إِنَّ لِي إِلَيْكَ حَاجَةً قَالَ وَمَا حَاجَتُكِ قَالَتْ أُحِبُّ أَنْ تَجْمَعَ عِظَامِي وَعِظَامَ وَلَدِي فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَتَدْفِنَنَا قَالَ ذَلِكَ لَكِ عَلَيْنَا مِنْ الْحَقِّ قَالَ فَأَمَرَ بِأَوْلَادِهَا فَأُلْقُوا بَيْنَ يَدَيْهَا وَاحِدًا وَاحِدًا إِلَى أَنْ انْتَهَى ذَلِكَ إِلَى صَبِيٍّ لَهَا مُرْضَعٍ وَكَأَنَّهَا تَقَاعَسَتْ مِنْ أَجْلِهِ قَالَ يَا أُمَّهْ اقْتَحِمِي فَإِنَّ عَذَابَ الدُّنْيَا أَهْوَنُ مِنْ عَذَابِ الْآخِرَةِ فَاقْتَحَمَتْ قَالَ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ تَكَلَّمَ أَرْبَعَةٌ صِغَارٌ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلَام وَصَاحِبُ جُرَيْجٍ وَشَاهِدُ يُوسُفَ وَابْنُ مَاشِطَةِ ابْنَةِ فِرْعَوْنَ
Daripada [Ibnu Abbas رضي الله عنهما], beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Di malam aku diIsra’kan, aku mencium aroma yang sangat harum, aku lalu bertanya kepada Jibril عليه السلام; “Wahai Jibril, aroma wangi apakah ini?” Jibril عليه السلام menjawab; “Ini adalah aroma wanginya tukang sisirnya puteri Fir’aun dan anak-anaknya.” Aku berkata; “Ada apa dengannya? Jibril عليه السلام menjawab; “Suatu hari, dia menyisir rambutnya puteri Fir’aun, tiba-tiba sisirnya terjatuh daripada tangannya, lalu dia mengucapkan; “Bismillah, maka puterinya Fir’aun berkata; ” (maksudnya) Ayahku.” Dia menjawab; “Tidak, akan tetapi Tuhanku dan Tuhan ayahmu adalah Allah.” Puterinya Fir’aun mengancam; “Aku akan memberitahukannya tentang itu!.” Dia menjawab; “Silakan.” Maka puterinya Fir’aun memberitahukannya, lalu Fir’aun memanggil tukang sisirnya seraya berkata; “Wahai Fulanah, apa benar engkau memiliki Tuhan selain diriku?” Dia menjawab; “Ya, tuhanmu dan tuhanku adalah Allah.” Maka Fir’aun memerintahkan untuk diambilkan patung sapi yang terbuat daripada tembaga lalu dipanaskan, kemudian memerintahkannya berserta anak-anaknya agar melompat ke dalamnya. Tukang sisir itu berkata; “Aku punya satu keperluan kepadamu.” Fir’aun berkata; “Apa keperluanmu?” dia menjawab; “Aku meminta agar engkau mengumpulkan tulang-tulangku dan tulang anak-anakku di dalam satu kain lalu menguburnya.” Fir’aun berkata; “Itu hakmu atas kami.” Lalu Fir’aun memerintahkannya agar melemparkan anak-anaknya di hadapannya satu per satu, hingga tinggal anaknya yang masih menyusu, dia tampak terpukul kerana anaknya tersebut, tetapi anak tersebut berkata; “Wahai ibuku, tabahkanlah hatimu, sesungguhnya azab dunia lebih ringan daripada azab Akhirat.” Maka dia pun tabah. Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan; “Ada empat orang yang dapat berbicara di waktu masih bayi, iaitu; Isa bin Maryam, temannya Juraij, saksinya Yusuf dan putera tukang sisir puteri Fir’aun.”
(Musnad Ahmad (2682))
Dinilai sahih oleh Az-Zuhri, Ibnu Kathir, Ahmad Syakir..
* Nota: Firaun memanggil wanita tukang sisir itu dengan gelaran ‘fulanah’ kerana tidak diberitahu namanya. Maka namanya bukanlah Mashitah seperti pemahaman masyarakat kita sebelum ini kerana ‘mashitah’ maksudnya ‘tukang sisir’. Walau bagaimanapun terdapat khilaf dalam penilaian mengenai bayi yang boleh berbicara berdasarkan hadith batil ini:
لم يتكلمْ في المهدِ إلا ثلاثةٌ : عيسى ابنُ مريمَ، وشاهدُ يوسفَ، وصاحبُ جريحٍ، وابنُ ماشطةِ بنتِ فرعونَ
“Tidak ada bayi yang dapat berbicara dalam buaian kecuali tiga anak: Isa Ibnu Maryam, saksi untuk Nabi Yusuf, Shahib Juraij, dan bayinya (tukang sisir) masyithah kepada anaknya Fir’aun.”
Kualiti iman yang sebegini tinggi juga telah ditunjukkan oleh isteri Firaun yang bernama Asiah binti Mahazim. Beliau juga dibunuh dengan kejam dan kisahnya telah disentuh dalam Tahreem: 11
Untuk senario hari ini mereka yang tinggi imannya adalah mereka yang berani dan sanggup untuk terus meninggalkan perkara-perkara bid’ah dan syirik. Kalau sekarang ada kenduri kahwin bersanding, mereka yang kuat imannya ini tidak pergi walaupun adik mereka sendiri yang kahwin; mereka tidak pergi lagi ke Majlis Tahlil, majlis selawat beramai-ramai dan sebagainya. Kerana mereka tahu ada masalah dengan majlis-majlis sebegitu. Walaupun mereka dipandang serong, dikata dengan kata-kata cacian dan hina, tetapi mereka tabah.
Maka orang yang beriman dalam keadaan takut itu adalah orang yang benar-benar beriman sebenarnya. Iman mereka yang kuat melebihi ketakutan mereka. Atau, kita katakan mereka itu lebih takut kepada Allah ﷻ daripada takut kepada musuh. Terbukti iman mereka itu lebih mantap kerana telah diuji.
Kerana itu kita boleh lihat orang yang masuk Islam itu lebih kuat iman mereka dan fahaman mereka berbanding orang yang Islam Keturunan seperti orang Melayu. Tahap keimanana mereka yang baru memeluk Islam berbeza sekali berbanding kita yang sedia Islam semenjak lahir. Mereka itu telah menemui kebenaran agama Islam setelah sanggup melalui proses masuk agama Islam yang kebiasaannya bukanlah mudah. Ada yang menghadapi dugaan dan halangan yang berat, namun mereka tetap bersemangat masuk Islam dan mereka berjaya. Ada juga di antara mereka yang mungkin terpaksa meninggalkan kesenangan yang selama ini mereka dapat serta ada juga yang dibuang keluarga.
Oleh sebab itulah sesuatu yang didapati dengan cara yang sukar itu lebih dihargai. Sedangkan orang Melayu ini Islam secara keturunan sahaja, bukannya tahu apa pun tentang Islam. Lahir-lahir sudah di dalam keluarga Muslim, kemudian tidak perbaharui pemahaman pun tentang agama. Kesannya ramai yang tidak ada rasa bersyukur malah langsung tidak menghargai akan nikmat agama Islam yang Allah ﷻ telah kurniakan kepada kita semua ini.
وَإِنَّ فِرْعَوْنَ لَعَالٍ فِي الْأَرْضِ
kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi,
Kaum Firaun takut diseksa oleh Firaun kerana Firaun amat zalim dan sanggup lakukan apa sahaja tanpa rasa perikemanusiaan. Seksaan yang diberikannya amat teruk sekali. Firaun mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Allah ﷻ sendiri memberitahu kita kedudukan tinggi itu.
Akan tetapi kenapa di sini disebut dia berkedudukan tinggi di ‘bumi’ sedangkan dia hanya raja di Mesir sahaja? Ini adalah kerana kerajaan Mesir pada waktu itu adalah kerajaan terbesar dan seolah-olah dia paling tinggi di dunia pada waktu itu. Anak-anak raja daripada kerajaan lain pun dihantar ke istana Firaun untuk belajar pelbagai ilmu. Kerana hebatnya kerajaannya, dia boleh buat apa sahaja yang dia mahu kerana dia telah mengawal negaranya secara pimpinan kuku besi.
Tiada kebebasan beragama atau apa kebebasan pun pada waktu itu. Itulah perangai Firaun yang ganas dan mengongkong kaumnya. Oleh itu, kita janganlah ikut sunnah Firaun ini. Janganlah kita dalam memimpin orang bawahan kita, menggunakan cara kepimpinan kuku besi seperti yang dilakukan oleh Firaun ini.
Sebagai contoh, kalau kita seorang bapa, janganlah anak isteri kita tidak dibenarkan untuk bersuara langsung bagi memberikan pendapat mereka. Begitulah juga kalau kita menjadi ketua di tempat kerja kita. Berikan orang bawahan kita kebebasan untuk bersuara kerana kadangkala kebenaran ada pada mereka dan kita kena dengar.
وَإِنَّهُ لَمِنَ الْمُسْرِفِينَ
dan sesungguhnya dia daripada orang-orang yang melampaui batas.
Firaun memang melampau dari segi akidah dan juga tindakannya yang zalim. Seksaan yang diberikan oleh Firaun kepada mereka yang menentang beliau amat teruk sekali, sampai melampau batas. Lihatlah bagaimana beliau sanggup membunuh isterinya sendiri Asiah apabila Asiah beriman – Firaun telah mengikat kaki tangan Asiah dan menghempaskan batu ke atas Asiah.
Lihatlah juga bagaimana dia telah membunuh ahli-ahli sihir yang beriman itu – dia telah memotong kaki dan tangan mereka bersilang dan digantung di pokok kurma ramai-ramai supaya masyarakat nampak dan tidak berani nak beriman dengan Nabi Musa.
Memang Firaun adalah sejenis manusia yang tidak berhati perut. Tidak peduli denga apa pun yang dilakukan. Sebelum Nabi Musa عليه السلام lahir pun, bukankah dia telah mengarahkan seluruh anak lelaki Bani Israil dibunuh? Pernahkah ada manusia lain sekejam dia?
Dalam hal agama pula, Firaun sanggup mengaku tuhan dan ilah, dan tidak membenarkan kaumnya menyembah mana-mana tuhan lain. Maka memang dia amat melampaui batas. Iblis pun tidak berani mengaku tuhan, sebaliknya dia melebihi iblis pula begitu berani sekali sehingga sanggup berkata begitu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 27 Jun 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair

