Tafsir Surah Yunus Ayat 23 – 25 (Manusia melupakan Allah ﷻ apabila dapat nikmat)

Yunus Ayat 23: Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan bagaimana contoh seorang yang dilanda ombak yang kuat di lautan. Dalam keadaan susah begitu, apabila sudah buntu tiada tempat untuk mengharap, maka dia akan berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Allah ﷻ.

Doanya pun ikhlas sahaja iaitu berdoa hanya kepada Allah ﷻ sahaja tidak dicampur dengan doa kepada selain Allah ﷻ. Itulah maksud ‘ikhlas’ iaitu tulen, murni, tidak bercampur dengan yang lain. Namun apakah yang terjadi apabila Allah ﷻ mengeluarkannya daripada musibah itu?

فَلَمّا أَنجٰهُم إِذا هُم يَبغونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ ۗ يٰأَيُّهَا النّاسُ إِنَّما بَغيُكُم عَلىٰ أَنفُسِكُم ۖ مَتٰعَ الحَيوٰةِ الدُّنيا ۖ ثُمَّ إِلَينا مَرجِعُكُم فَنُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Sahih International

But when He saves them, at once they commit injustice upon the earth without right. O mankind, your injustice is only against yourselves, [being merely] the enjoyment of worldly life. Then to Us is your return, and We will inform you of what you used to do.

Malay

Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.

 

فَلَمَّا أَنجٰهُمْ

Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka,

Dengan rahmat Allah ﷻ, Allah ﷻ selamatkan mereka yang berdoa kepada-Nya. Ingatlah bahawa Allah ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan sesiapa sahaja.

 

إِذَا هُمْ يَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

mereka dengan serta-merta melakukan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar.

Selepas mereka selamat, mereka berbuat zalim iaitu mereka melakukan syirik tanpa dalil. Mereka juga melakukan amal-amal yang mungkar. Yang paling besar adalah syirik. Tidak ada dalil membenarkan perbuatan yang mereka lakukan itu. Banyak contoh-contoh perbuatan syirik kita telah sebut dalam penulisan ini. Masyarakat Arab Jahiliah kita sudah tahu apa kesyirikan yang mereka lakukan. Namun bagaimana dengan musyrikin dalam kalangan kita?

Mereka yang membuat amalan syirik dan bid’ah itu tidak mempunyai dalil yang haq. Dalil yang mereka berikan untuk amalan mereka itu adalah dalil yang bathil. Antaranya, mereka akan kata ada dalam kitab itu dan ini. Ketahuilah bahawa itu bukanlah dalil yang sah. Itu adalah dalil yang diberi oleh mereka yang jahil sahaja. Mereka hanya mengikut sahaja apa yang diajar oleh orang-orang terdahulu dan itu dilarang oleh Allah ﷻ. Kemudian bila kita tanya dalil, mereka ambil sahaja entah dari mana hujah mereka untuk membenarkan perbuatan salah mereka itu.

Dalam ayat sebelum ini telah diceritakan bagaimana golongan musyrik itu benar-benar berdoa kepada Allah ﷻ dan berjanji dengan ikhlas yang mereka akan menjadi orang baik, orang yang bersyukur. Namun lihatlah apa yang terjadi. Sepatutnya mereka bersyukur kepada Allah ﷻ kerana telah menyelamatkan mereka, namun sebaliknya mereka melakukan semula perbuatan derhaka kepada Allah ﷻ.

Perkataan يَبْغُونَ berasal daripada katadasar ب غ ي yang bermaksud ‘mahukan sesuatu’ iaitu mahukan sesuatu yang lebih daripada bahagian kita. Oleh kerana terlalu mahukan sesuatu itu, maka mereka sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkannya sehingga kadangkala sanggup melakukan kezaliman. Ini kerana disebabkan ia adalah lebih daripada apa yang patut kita dapat, maka kita akan ambil bahagian orang lain. Rasulullah ﷺ telah memberi ancaman tentang perbuatan ini seperti disebut dalam sebuah hadith:

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ

Daripada Abi Bakrah  رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada suatu dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia oleh Allah ﷻ kepada pelakunya di samping (azab) yang disimpan baginya di akhirat daripada berlaku zalim dan memutuskan silaturahim.

(Sunan Tirmidzi No: 2511)

Status: Hadith Sahih

Tidak ada sesiapa boleh melakukan kezaliman dengan haq kerana tidak adil yang membenarkan kezaliman. Tidak disebut apakah perbuatan mereka itu kerana terlalu banyak.

 

يٰأَيُّهَا النَّاسُ

Wahai manusia!

Ini adalah ayat yang ditujukan kepada semua manusia. Mesej yang disampaikan adalah mesej sejagat. Semua manusia mesti dengar. Yang mana tidak dengar, maka kita yang Muslim inilah yang kena sampaikan kepada mereka.

Juga kerana cara berdoa yang sekarang kita bincangkan ini adalah cara berdoa orang kafir. Orang Muslim tidak sepatutnya berdoa cara sebegini. Maka khitab ayat ini tidak ditujukan kepada ‘wahai orang-orang beriman’.

 

إِنَّمَا بَغْيُكُمْ عَلَىٰ أَنفُسِكُم

Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri.

Maknanya, sekiranya kita derhaka dan berlaku zalim, maka kita sendiri yang akan mendapat kesan keburukan daripadanya. Selalunya orang zalim itu menyangka orang lain yang terkena akibat daripada kezaliman mereka, namun Allah ﷻ beritahu di sini bahawa yang membuat zalim itu yang akan terkena akibatnya. Orang yang buat syirik pula sangka mereka tidak akan dikenakan apa-apa tetapi Allah ﷻ kata perbuatan mereka itu akan menyusahkan mereka. Ini kerana mereka akan dibalas di akhirat kelak jika tidak dibalas di dunia lagi. Kita tidak dapat lari daripada balasan itu.

Ramai yang menyangka, apabila kita zalim kepada orang lain, kita yang mendapat kelebihan. Contohnya, kita ambil harta orang lain, maka kita sangka kita beruntung kerana kita akan mendapat harta itu. Akan tetapi berapa banyak sangatkah harta itu jika dibandingkan dengan azab yang kita akan dapat di akhirat nanti? Ia langsung tidak berbaloi. Hanya semata untuk keuntungan di dunia, sanggup kita menanggung azab di akhirat yang lebih teruk lagi?

 

مَّتَاعَ الْحَيوٰةِ الدُّنْيَا

kesenangan hidup di dunia (sementara);

Kamu buat segala kesalahan itu kerana tertipu dengan kehidupan dunia. Kamu mungkin sangka kamu yang akan mendapat keuntungan di dunia dengan berbuat zalim kepada orang lain, berbuat dosa dengan menindas orang lain dan sebagainya, tetapi itu semua adalah keuntungan yang sementara sahaja di dunia.

Begitulah bahayanya penipuan dunia. Orang Muslim pun kadang-kadang terkeliru dengan kesenangan yang diberikan kepada orang kafir yang menentang kebenaran. Allah ﷻ beritahu jangan kita cemburu dengan apa yang mereka ada. Mereka hanya mendapat kesenangan di dunia sahaja tetapi di akhirat mereka akan merana. Ini seperti disebut dalam Ali Imran: 196-197

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي ٱلْبِلَٰدِ

Jangan sekali-kali engkau terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).

مَتَٰعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمِهَادُ

(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

 

ثُمَّ إِلَيْنَا مَرْجِعُكُمْ

kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu,

Sama ada kita ingat atau tidak kepada Allah ﷻ, kita akan dikembalikan kepada-Nya. Sama ada kita taat atau tidak kepada Allah ﷻ, kita akan dikembalikan kepada-Nya juga. Ingatlah bahawa semua makhluk akan dikembalikan kepada Allah ﷻ untuk dibalas dengan perbuatan yang mereka lakukan semasa di dunia.

 

فَنُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.

Kita akan diberitahu dengan apa yang kita lakukan itu kerana hendak dibalas atas kesalahan yang kita telah lakukan. Bukan sekadar hanya untuk beritahu sahaja, tetapi hendak balas sekali. Balasan ini pasti akan dilakukan kerana Allah ﷻ Maha Tahu segala perbuatan kita secara terperinci.

Bayangkan kita masa di sekolah dulu. Jika kita membuat salah, kita akan dipanggil ke bilik Guru Besar. Ibu ayah kita turut dipanggil juga. Kita dipanggil kerana Guru Besar hendak memberitahu akan kesalahan kita kepada ibu ayah kita. Bagaimanakah perasaan kita sewaktu itu? Rasa tidak selesa, rasa takut, rasa bersalah, rasa biarlah bumi terbelah dan kita masuk ke dalam bumi, dan macam-macam lagi, bukan?

Itu baru hal dunia yang tidak ada apa-apa. Bayangkan jika di akhirat nanti. Kesalahan pula bukannya kecil-kecil tetapi besar-besar belaka. Kesannya bukan setakat balik rumah dipukul dengan ayah, tetapi kita akan dimasukkan ke neraka dan diseksa dengan dengan dahsyat sekali oleh malaikat! Nauzu billah min za lik!


 

KEHIDUPAN YANG SEMENTARA

Yunus Ayat 24: Manusia selalunya berbuat dosa dan kezaliman kerana hendakkan habuan dunia. Mereka menipu orang, menindas orang, berbuat zalim kepada orang lain dan sebagainya kerana hendakkan kelebihan di dalam dunia. Maka dalam ayat ini Allah ﷻ menjelaskan kepada kita apakah hakikat dunia itu.

إِنَّما مَثَلُ الحَيوٰةِ الدُّنيا كَماءٍ أَنزَلنٰهُ مِنَ السَّماءِ فَاختَلَطَ بِهِ نَباتُ الأَرضِ مِمّا يَأكُلُ النّاسُ وَالأَنعٰمُ حَتّىٰ إِذا أَخَذَتِ الأَرضُ زُخرُفَها وَازَّيَّنَت وَظَنَّ أَهلُها أَنَّهُم قٰدِرونَ عَلَيها أَتىٰها أَمرُنا لَيلًا أَو نَهارًا فَجَعَلنٰها حَصيدًا كَأَن لَّم تَغنَ بِالأَمسِ ۚ كَذٰلِكَ نُفَصِّلُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Sahih International

The example of [this] worldly life is but like rain which We have sent down from the sky that the plants of the earth absorb – [those] from which men and livestock eat – until, when the earth has taken on its adornment and is beautified and its people suppose that they have capability over it, there comes to it Our command by night or by day, and We make it as a harvest, as if it had not flourished yesterday. Thus do We explain in detail the signs for a people who give thought.

Malay

Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang – bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).

 

إِنَّمَا مَثَلُ الْحَيوٰةِ الدُّنْيَا

Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia

Allah ﷻ memberikan contoh bandingan dengan visual supaya kita senang faham. Ini adalah cara Al-Qur’an memberikan pemahaman kepada kita. Sebab contoh bandingan senang difahami dan lebih-lebih lagi jika ia diterangkan dalam bentuk visual/grafik.

 

كَمَاءٍ أَنزَلْنٰهُ مِنَ السَّمَاءِ

seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit,

Allah ﷻ mengingatkan yang Dialah yang menurunkan air hujan yang menjadi sumber rezeki kepada kita. Apabila air hujan turun ke bumi, maka air hujan itu akan diserap ke dalam tanah. Air adalah sumber kehidupan. Di Marikh, saintis sibuk mencari kesan-kesan air untuk menjadi bukti yang ada kehidupan di sana. Apabila air meresap ke dalam bumi, maka tanah itu akan menjadi subur dan sesuai untuk digunakan untuk menumbuhkan tanam-tanaman.

 

فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ

lalu ia bercampur dengan tanaman-tanaman di bumi

Ada dua makna yang kita boleh ambil daripada kata ‘campur’ dalam ayat ini:

    1. Tanam-tanaman di bumi itu bercampur baur dengan air hujan yang turun dari langit itu tadi. Tanam-tanaman itu akan menyedut air itu untuk digunakan sebagai sumber kehidupan. Maka hiduplah tanaman itu.
    2. Yang dimaksudkan bercampur baur itu adalah tanam-tanaman itu sendiri. Oleh kerana suburnya tanah itu kerana telah disiram dengan air, maka tumbuhan yang tumbuh adalah banyak sangat sampai ia hidup rapat antara satu sama lain dan bercampur antara satu sama lain. Sampai sudah tidak tahu satu-satu daun itu daripada pokok yang mana satu. Berjenis-jenis tanaman keluar, padahal air adalah satu jenis itu sahaja, iaitu air hujan.

 

مِمَّا يَأْكُلُ النَّاسُ وَالْأَنْعٰمُ

daripada jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang

Ada tumbuhan yang dimakan oleh binatang dan ada tumbuhan yang dimakan oleh manusia. Maknanya tanam-tanaman itu dimanfaatkan oleh kehidupan-kehidupan dalam dunia ini. Sememangnya asal makanan kita daripada tanah (tumbuh-tumbuhan) dan inilah makanan yang terbaik. Kita ini banyak sangat makan makanan yang diproses sampaikan berbagai penyakit timbul sekarang disebabkan makan makanan yang tidak tulen.

Maka tumbuh-tumbuhan itu dimanfaatkan oleh makhluk di dunia. Antaranya binatang yang makan tumbuh-tumbuhan itu dan kita pula makan mereka. Semuanya adalah rahmat pemberian rezeki daripada Allah ﷻ.

 

حَتَّىٰ إِذَا أَخَذَتِ الْأَرْضُ زُخْرُفَهَا

Sehinggalah bumi mengambil perhiasannya

Kalimah زُخْرُفَهَا bermaksud ‘kecantikannya’. Yang dimaksudkan adalah kecantikan tumbuh-tumbuhan itu. Bumi menzahirkan keindahannya dengan tumbuh-tumbuhan iaitu kecantikan luaran. Sebagai contoh, orang perempuan apabila hendak keluar rumah, mereka akan mekap diri mereka. Kecantikan ini tidak kekal kerana ia adalah kecantikan luaran sahaja.

Allah ﷻ membayangkan dunia mencantikkan dirinya dengan menggunakan kecantikan alam. Dengan berbagai warna dan rupa tanam tanaman yang ada, menyebabkan dunia ini nampak cantik.

maple-tree
Antara keindahan pokok ciptaan Allah ﷻ yang menghias bumi ini

 

وَازَّيَّنَتْ

dan ia menjadi indah

Ini hendak menceritakan keindahan bumi ini bila tanam tanaman hidup subur. Bunga yang berbagai warna dan buah-buahan yang berbagai-bagai warna dan rupa. Kita pun suka sahaja melihat alam yang indah itu. Tenang sahaja kita rasa melihatnya.

Pelbagai jenis tanaman ini semua terhasil hanya dengan satu jenis air sahaja; iaitu air hujan yang Allah ﷻ. Sebelum datangnya air hujan itu, tanah itu mungkin kering kontang dan tandus tanpa ada tanam tanaman. Namun selepas Allah ﷻ turunkan air hujan, pokok-pokok pun tumbuh dan segala kehidupan menjadi banyak dan indah sekali.

Keindahan alam yang permai

وَظَنَّ أَهْلُهَا أَنَّهُمْ قٰدِرُونَ عَلَيْهَا

dan ahlinya pun menyangka bahawa mereka dapat menguasainya (mengambil hasilnya)

Mereka yang dimaksudkan ‘ahlinya’ dalam ayat ini adalah penduduk bumi terutama sekali petani-petani, peladang-peladang dan tuan-tuan punya tanah yang subur indah itu. Dalam hati mereka, mereka yakin yang mereka dapat menguasai tanam tanaman itu. Mereka sudah mengira-ngira berapa banyak hasil yang mereka dapat tuai daripada tanah itu.

Mereka sangka mereka boleh membuat apa-apa sahaja dengan hasil tanah itu kerana mereka sangka mereka ada kuasa dengan tanaman itu. Mereka sudah merancang-rancang tanpa terfikir bahawa semuanya itu boleh diambil daripada mereka bila-bila masa sahaja.

 

أَتىٰهَا أَمْرُنَا لَيْلًا أَوْ نَهَارًا

datanglah perintah Kami pada waktu malam atau pada siang hari

‘Perintah Allah’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Perintah-Nya untuk memusnahkan tanam tanaman itu. Mungkin datang dalam bentuk ribut, taufan, banjir, serangan penyakit, serangan belalang dan sebagainya.

Perintah itu pula boleh datang pada bila-bila masa sahaja sama ada siang ataupun malam. Sekiranya ia datang pada waktu siang, maksudnya ia berlaku di hadapan mata mereka dan mereka boleh melihat bagaimana hasil mereka dihancurkan begitu sahaja. Ia dikenakan ketika manusia sedang sibuk bermain dan bekerja.

Jika ia datang pada waktu malam, bermakna perintah itu berlaku tanpa pengetahuan mereka pun. Waktu itu pula manusia sedang berehat di rumah masing-masing. Bila perintah Allah ﷻ datang, ia tidak menunggu sama ada manusia itu bersedia atau tidak. Tidak peduli sama ada manusia nampak atau tidak. Malah azab itu dikenakan ketika manusia tidak peka, sedang leka dengan dunia, dan ini menambah kesan azab itu.

 

فَجَعَلْنٰهَا حَصِيدًا

lalu Kami jadikan ia hancur-lebur,

Semuanya dihancurkan. Kita sendiri boleh nampak dengan mata kita bagaimana banyak tanaman yang subur tetapi musnah begitu sahaja. Semua itu adalah isyarat daripada Allah ﷻ kepada kita. Dunia ini ternyata tidak kekal seperti juga tanaman itu.

 

كَأَن لَّمْ تَغْنَ بِالْأَمْسِ

seolah-olah ia tidak ada sebelum itu.

Allah ﷻ boleh menjadikan tanah yang subur dengan tanam tanaman itu kering kontang dan tandus seperti sebelum datangnya air yang menyuburkan tanah itu. Seolah-olah tumbuhan itu tidak pernah subur dulu, tidak tegak berdiri atas batangnya dulu.

 

كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيٰتِ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir

Tujuan ayat ini adalah untuk mengingatkan dan memberi manusia berfikir bahawa kehidupan dunia ini tidak kekal. Ia boleh datang dan pergi dengan begitu sahaja. Ia hanyalah sementara. Ramai yang terpesona dengan dunia dan mereka gagal dalam ujian ini dan lupa membuat persediaan untuk akhirat. Segala yang terjadi dalam dunia ini adalah isyarat daripada Allah ﷻ untuk mengajak kita taat kepada-Nya. Sama ada kita nampak atau tidak sahaja. Sama ada kita berikan perhatian atau tidak.

Jangan sangka yang kita boleh menguasai kehidupan ini seperti sangkaan pemilik tanaman yang sangka mereka berkuasa atas tanaman mereka tadi. Kadang-kadang kita sudah membuat segala-galanya untuk memastikan kejayaan di dunia tetapi jikalau Allah ﷻ tidak takdirkan begitu, ia tidak akan menjadi. Kita mungkin sudah memasang pagar untuk ladang kita, sudah menyebur racun serangga, meletakkan ubat sesuai untuk penyakit dan sebagainya. Namun jika Allah ﷻ takdirkan ia akan hancur, segala usaha itu tidak berhasil langsung.

Air hujan di dalam ayat ini adalah isyarat kepada rahmat yang Allah ﷻ berikan kepada manusia. Bila Allah ﷻ berikan rahmat kepada makhluk, segala-galanya akan nampak indah-indah belaka. Sebagai contoh, katalah kita mendapat kerja yang bagus. Tentu kita berasa suka dan kita rasa kehidupan kita lebih indah dan lebih bermakna. Akan tetapi ingatlah bahawa kesenangan itu boleh ditarik oleh Allah ﷻ serta merta dan bila-bila masa sahaja.

Begitu jugalah dengan kehidupan kita. Kita lahir, membesar menjadi dewasa dan sampai ke usia tua. Seperti tumbuhan yang akhirnya akan layu dan mati, begitulah juga dengan kita. Kita pun setiap hari tahu entah berapa ramai yang meninggalkan dunia ini. Itu adalah isyarat bahawa kita pun akan meninggalkan dunia ini juga. Maknanya jangan pegang sangat apa yang kita ada dengan dunia ini kerana ia boleh ditarik bila-bila masa.

Pengajaran dalam ayat ini: Jikalau dunia ini hanya untuk sekejap sahaja, maka janganlah habiskan seluruh usaha kita untuknya. Berilah sekadar yang sepatutnya sahaja. Jangan kita lupa amalan untuk bekalan akhirat kita. Bekalan untuk akhiratlah yang perlu dikumpul sebanyak mungkin kerana ia sahaja yang kekal, sedangkan dunia tidak kekal.

Jangan hanyut dalam dunia. Memang dunia nampak indah dan kita pun mudah terpesona. Namun lama kelamaan, ia akan menjadi pudar. Jika kita mendapat kereta baru, memang mula-mula cantik, namun lama kelamaan ada kemek sana dan sini. Itu tanda yang apa sahaja dalam dunia tidak kekal.

Lagi satu, kena ingat yang kalau kita dapat apa sahaja dalam dunia ini, ingatlah kepada SIAPA yang memberikannya kepada kita. Itulah ALLAH ﷻ! Selalu sangat kita lupa. Kadang-kadang kita lupakan atau melambat-lambatkan salat disebabkan hal dunia. Itu bermakna kita melebihkan dunia daripada akhirat. Padahal salat itu adalah tanda kita bersyukur dengan nikmat yang kita dapat dalam dunia.


 

JEMPUTAN MASUK SYURGA

Yunus Ayat 25: Sebelum ini disebut tentang dunia dan keindahannya yang tidak kekal, sekarang Allah ﷻ sebut tentang syurga pula. Allah ﷻ membandingkan kenikmatan dunia dan syurga. Jangan lebihkan dunia atas syurga kerana dunia tidak kekal dan tidak hebat mana. Maka manusia kena perhatikan dan pilih antara dua tempat ini. Hendak dunia yang tidak kekal atau syurga yang kekal abadi dengan segala nikmatnya?

وَاللَّهُ يَدعو إِلىٰ دارِ السَّلٰمِ وَيَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Sahih International

And Allah invites to the Home of Peace and guides whom He wills to a straight path

Malay

(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).

 

وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَىٰ دَارِ السَّلٰمِ

Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa,

Apabila Allah ﷻ menyeru, bermaksud Allah ﷻ mengajak kita. Ada jemputan khas daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak kita masuk syurga. Sekarang Allah ﷻ sudah ajak kita, adakah kita akan sambut ajakan Allah ﷻ itu? Takkan hanya mahu sambut ajakan pergi kenduri sahaja?

Kalimah دَارِ السَّلَامِ (negeri selamat) adalah ‘syurga’. Yang dimaksudkan adalah syurga tetapi di sini Allah ﷻ tidak menggunakan kalimah jannah kerana Allah ﷻ hendak beritahu kita apakah sifatnya untuk menarik perhatian kita. Supaya kita mendamba untuk masuk ke dalamnya.

Ia dipanggil ‘selamat sentosa’ kerana di sana, kita akan mendapat keamanan yang sempurna. Tidak ada kekurangan langsung di sana. Tidak akan dapat nikmat itu di dunia. Di dunia ini, ada sahaja barang yang rosak, ada sahaja barang yang luput seperti yang telah disebut sebelum ini. Dalam syurga, tidak ada ketakutan, tidak adanya kekurangan dalam nikmat-Nya. Tidak ada perasaan takut. Yang ada hanyalah aman.

Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan yang دَارِ السَّلَامِ adalah salah satu nama syurga. Oleh itu, tidak molek kalau menamakan rumah kita atau negeri kita dengan gelaran دَارِ السَّلَامِ kerana ia adalah nama khas bagi syurga.

Satu lagi pendapat mengatakan Allah ﷻ menamakannya دَارِ السَّلَامِ kerana di sini nanti kita akan banyak mendapat salam. Salam daripada Allah ﷻ, daripada para malaikat, juga sesama ahli syurga. Ini seperti disebut dalam ayat 10 sebelum ini:

دَعوىٰهُم فيها سُبحٰنَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُم فيها سَلٰمٌ

Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah ‘Maha Suci Engkau daripada segala kekurangan wahai Tuhan!’ Dan ucapan penghormatan mereka ialah: ‘Selamat sejahtera!’

Oleh itu, kenapa kita melebihkan kehidupan dunia yang tidak kekal dan banyak kekurangan ini sedangkan kita boleh mendapat kehidupan yang kekal abadi yang penuh dengan kesempurnaan?

 

وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang betul lurus

Untuk masuk ke dalam syurga, maka kita kena ikut petunjuk jalan ke sana. Jika tidak ikut petunjuk itulah yang menjadikan kita sesat. Dari manakah datangnya petunjuk itu? Daripada Allah ﷻ. Kena ikut ajaran daripada Allah ﷻ dan disampaikan oleh Nabi ﷺ. Bukannya mengikut ajaran manusia, tidak kira ulama’ mana, tok Syeikh mana pun.

Sebagai contoh, ajaran akidah ada diajar oleh Allah ﷻ dan disampaikan oleh Nabi ﷺ. Tidak perlu belajar ajaran akidah rekaan manusia seperti Sifat 20 itu; Akidah salaf lebih mudah untuk dipelajari. Kecuali jikalau ada masalah untuk memahaminya, maka bolehlah untuk cuba pula belajar Sifat 20. Sebagai contoh, terdapat sebuah filem yang berjudul ‘Mentega Terbang’ yang mengisahkan tentang Muslim yang keliru tentang konsep Reinkarnasi. Bagi Muslim seperti ini, fikiran mereka telah bercampur baur dengan apa yang mereka baca daripada internet sampai menyebabkan pemahaman mereka bercelaru (Eh, macam betul jer…). Maka bagi mereka ini, mereka memerlukan hujah balas menggunakan sistem falsafah seperti Sifat 20 itu.

Amalan ibadat juga sudah diajar lengkap oleh Nabi ﷺ, maka tidak perlulah direka amalan baru. Amalan baru adalah amalan bid’ah seperti solat Hajat, Majlis Tahlil dan sebagainya. Hendaklah kita menjauhkan diri daripada amalan-amalan bid’ah itu. Ibadat sudah lengkap diajar oleh Rasulullah ﷺ, maka tidak perlu untuk menambah baik hal-hal ibadat. Gunakan sahaja mana yang ada. Kalau dibenarkan melakukan bid’ah (dalam ibadah) maka akan punah ranah agama ini, dan akibatnya kita tidak kenal lagi agama ini nanti.

Sementara itu, yang mendapat petunjuk itu adalah sesiapa yang Allah ﷻ kehendaki sahaja. Ajakan ini umum iaitu sesiapa sahaja ada peluang untuk mendapatnya, asalkan mahu berusaha. Semoga kita termasuk mereka yang Allah ﷻ berikan hidayah itu. Hendaklah kita sentiasa berdoa supaya Allah ﷻ memberikan hidayah kepada kita. Namun bukanlah berharap sahaja, kenalah ada usaha daripada kita. Maknanya kita sendiri terlebih dahulu hendaklah mempunyai keinginan seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Ankabut: 69

وَالَّذينَ جٰهَدوا فينا لَنَهدِيَنَّهُم سُبُلَنا

Dan orang-orang yang berjihad untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.

Jihad itu maknanya berusaha bersungguh-sungguh. Bukannya goyang kaki dan berharap entah-entah Allah ﷻ boleh masukkan kita ke dalam syurga. Allah ﷻ ceritakan tentang mereka yang dimasukkan ke dalam syurga dan apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia, contohnya di dalam Dzariyat: 16-19

ءآخِذينَ ما ءآتٰهُم رَبُّهُم ۚ إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ

sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ

Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.

وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ

Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar.

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ

Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.

Mereka inilah yang Allah ﷻ akan bawa di atas صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ dan ia adalah satu-satunya jalan yang kita kena ikut. Kalau ikut jalan lain, maka kita akan ada masalah nanti. Inilah jalan hidayah yang hari-hari kita minta di dalam solat kita dan setiap kali kita baca Surah Fatihah. Apakah itu صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ? Ia telah diterangkan dengan panjang lebar dalam penerangan Fatihah: 6.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment