
Jalan Yang Lurus
Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, permintaan hidayah itu bukanlah sesuatu yang biasa sahaja tetapi merangkumi pemahaman yang menyeluruh. Bahagian ayat seterusnya memberi penekanan yang lebih spesifik: iaitu yang kita pinta hidayah itu adalah kepada ‘jalan yang lurus’.
Ini menunjukkan bahawa hidayah bukan terbuka, tetapi ada satu tujuan yang pasti. Begitu ramai manusia yang menyangka dan mengaku yang mereka mendapat hidayah. Contohnya orang Kristian pun rasa yang mereka mendapat hidayah. Tetapi adakah hidayah mereka itu membawa mereka kepada ‘jalan yang lurus’?
Hanya satu jalan sahaja yang Allah ﷻ redha iaitu jalan yang lurus. Lalu apakah jalan ‘yang lurus itu’? Apabila digunakan ال dalam sesuatu perkataan, ia memberi maksud sesuatu yang spesifik atau sesuatu yang memang diketahui orang – sudah maklum. Maknanya, ‘jalan yang lurus’ itu bukan sesuatu yang umum tetapi sesuatu yang pasti.
Tidaklah boleh seseorang mengaku jalan yang lurus itu adalah itu dan ini mengikut fahamannya sahaja. Kerana ia adalah satu perkara yang diketahui umum dan bukan mengikut takrifan individu. Tambahan pula, dalam ayat seterusnya dijelaskan lagi apakah ‘jalan yang lurus’ itu.
Kalimah الصِّراطَ dalam bahasa bermaksud ‘jalan’. Asalnya merujuk kepada laluan air dalam tenggorok apabila kita minum. Laluan itu hanya ada satu sahaja dan air itu tidak akan pergi ke mana-mana lagi – hanya mengikut satu laluan itu sahaja. Laluan itu telah pasti dan dan ia adalah semulajadi kerana air itu akan turun ke bawah. Itu adalah dari segi bahasa.
Dari segi syarak, ada lima kriteria untuk sesuatu jalan atau laluan itu boleh dipanggil ‘الصِّراطَ ‘. الصِّراطَ adalah jalan yang spesifik kerana ada perkataan lain lagi yang boleh digunakan untuk jalan, seperti طريق dan سبيل. Tetapi, perkataan-perkataan itu tidak digunakan, sebaliknya, digunakan perkataan yang khusus – الصِّراطَ. Kriteria-kriteria yang perlu ada untuk sesuatu jalan itu dipanggil الصِّراطَ adalah:
1. Ia mestilah jalan yang lurus. Ada jalan yang bengkang bengkok yang masih lagi boleh digunakan oleh manusia, tetapi ia bukanlah الصِّراطَ kalau ia tidak lurus.
2. Jalan itu membawa mereka yang sampai kepada tujuan yang dikehendaki.
3. Jalan itu adalah jalan yang paling dekat. Dan memang kalau jalan yang lurus, ia adalah jalan yang paling dekat kerana tidak membelok ke mana-mana.
4. Jalan yang luas sampai boleh dilalui oleh mereka yang hendak melaluinya. Jalan yang selesa untuk dilalui.
5. Jalan itu khusus untuk destinasi yang dimaksudkan. Kalau bukan spesifik jalan yang membawa kepada jalan yang lurus, Allah ﷻ menggunakan طريق atau سبيل sahaja. Dan memang perkataan سبيل ada digunakan dalam Al-Qur’an seperti yang dalam An’am: 153
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,
Lihatlah bagaimana jalan selain jalan yang lurus digunakan perkataan السُّبُلَ (jamak kepada سبيل) sedangkan Jalan Allah ﷻ digunakan perkataan صِرَاطِ. Dan jalan yang lurus itu selalu sahaja dalam bentuk mufrad (singular) tetapi jalan yang lain boleh jadi banyak. Sebab jalan yang salah banyak tetapi jalan yang lurus hanya satu sahaja.
Tidaklah perkataan سبيل itu memberi isyarat buruk sahaja. Ada juga Allah ﷻ gunakan perkataan سبيل dalam bentuk yang baik. Seperti dalam Maidah: 16
يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Dengan (Al-Qur’an) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka daripada gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
Akan tetapi سُبُلَ bukanlah bermaksud jalan yang lurus. Ia adalah jalan yang membawa kepada keselamatan. Dan digunakan dalam ayat ini dengan perkataan سُبُلَ kerana ada banyak juga jalan yang membawa ke arah kebaikan. Dari jalan yang selamat itu, boleh membawa kepada jalan yang lurus.
Sebagai contoh, untuk beribadat, ada macam-macam aktiviti yang boleh dilakukan – membantu manusia, memberi sedekah, berzikir, solat dan macam-macam lagi.
Ada beberapa ciri lagi ‘Jalan yang Lurus’ itu untuk pengetahuan kita:
1. ‘Jalan yang lurus’ itu sama sahaja kepada semua Nabi dan Rasul. Kerana syariat mungkin berlainan, tetapi jalan yang sama sahaja dalam bentuk tauhid. Tidak pernah bertukar ilmu Tauhid itu semenjak daripada Nabi Adam عليه السلام sampailah ke Hari Kiamat nanti.
2. Jalan ini bukan sahaja lurus, tetapi tidak berlopak dan berbukit. Ia mudah untuk dilalui. Ia juga jalan yang selamat.
3. Apabila jalan itu lurus, ia adalah mengambil jarak yang paling dekat, bukan? Oleh itu, untuk menggunakan jalan itu, hanya menggunakan usaha yang sedikit sahaja. Ini memberi isyarat bahawa kalau orang yang kurang amalan pun boleh berada atas jalan ini. Kerana ia mudah untuk diikuti.
Oleh itu, dalam kita berdoa kepada Allah ﷻ untuk meletakkan kita di atas jalan yang lurus, kita sebenarnya meminta jalan yang paling mudah untuk kita. Kita rupanya meminta kemudahan kepada Allah ﷻ. Itulah rahmat Allah ﷻ kepada makhluk-Nya. Kalau sudah ada jalan yang senang, buat apa mahu guna jalan yang susah pula?
Kerana tidak faham dengan konsep inilah, ramai umat Islam yang memilih jalan yang susah. Sebagai contoh, golongan tarekat yang menyusahkan diri mereka dengan ibadat-ibadat yang berat yang tidak pun disuruh dalam agama.
4. Kalau jalan ini lurus, molek, maka ia adalah jalan yang jelas. Bukan jalan yang susah kita cari. Allah ﷻ telah memudahkan untuk kita supaya kita tidak ada alasan untuk kata jalan itu susah sangat sampai kita tidak jumpa. Nabi ﷺ bersabda:
لَقَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ
Sesungguhnya, aku telah meninggalkan kalian di atas jalan, seperti jalan yang sangat putih, malamnya sama dengan siangnya. Tiada yang menyimpang sesudahku dari jalan itu, kecuali orang (itu) akan binasa.
(Riwayat Ahmad 4/126; Ibnu Majah, No. 5 dan 43)
Lihatlah bagaimana Al-Qur’an dan sunnah adalah mudah dan senang untuk difahami dan diikuti. Di mana-mana sahaja kita boleh cari Mushaf Al-Qur’an dan Kitab Hadith. Bukanlah seperti kitab-kitab karangan manusia yang kadang-kadang kita hanya dengar sahaja, tetapi tidak pernah jumpa dan kalau hendak cari, sama ada susah atau tidak jumpa langsung.
Dan kita telah diberikan akal untuk memahami Al-Qur’an dan Sunnah itu. Namun begitu, kenalah ada usaha untuk belajar Tafsir Al-Qur’an dan belajar Syarah Hadith-hadiths itu. Janganlah baca sendiri sahaja kerana akan susah untuk faham.
Kalau ia adalah mudah dan jelas, maka apakah lagi alasan untuk kita tidak mengikutinya? Mereka yang tidak jumpa hanyalah mereka yang memang tidak mahu benda yang senang. Kalau tidak jumpa, itu adalah salah kita. Tidak boleh salahkan orang lain.
5. Jalan yang lurus ini kena (bertepatan) dengan jiwa manusia. Tidak bertentangan dengan fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah ﷻ. Sebagai contoh, tidak perlu sampai tidak berkahwin ataupun berzikir berhari-hari lamanya untuk mencapai ketinggian dalam agama. Itu adalah ciri-ciri agama yang kufur dan sesat sahaja.
Nabi ﷺ pernah bersabda memberi perumpamaan ‘jalan yang lurus’. Ia adalah seperti satu jalan dan di kiri kanan ada pintu. Di hadapannya pula ada penyeru. Apabila kita mahu membuka pintu yang tertutup itu, akan ada yang mengingatkan supaya jangan buka pintu itu.
Maka, Allah ﷻ bukan sahaja beri peringatan dengan Al-Qur’an dan hadith sahaja, tetapi ada pemberi ingat lagi. Mungkin yang memberi peringatan itu adalah para malaikat. Allah ﷻ sudah mudahkan kepada kita sebenarnya untuk berada atas jalan yang lurus ini.
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:
خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا ثُمَّ قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ سُبُلٌ قَالَ يَزِيدُ مُتَفَرِّقَةٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ
Rasulullah ﷺ membuat sebuah garis lurus bagi kami, lalu bersabda, “Ini adalah jalan Allah,” kemudian baginda membuat garis lain pada sisi kiri dan kanan garis tersebut, lalu bersabda, “Ini adalah jalan-jalan (yang banyak). Pada setiap jalan ada syaitan yang mengajak kepada jalan itu,” kemudian baginda membaca.
إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ
Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. [Al An’am: 153].
(Hadith sahih diriwayatkan oleh Ahmad I/435, dan yang lainnya)

Kita kena tahu apakah jalan-jalan yang selain dari jalan yang lurus, supaya kita tahu manakah jalan yang kita kena elak. Nak tahu terang, kenalah tahu apa yang gelap juga, bukan? Kita kena tahu, yang selain dari jalan yang lurus, selain daripada itu adalah jalan-jalan yang salah. Ada banyak jalan yang salah dalam dunia ini. Jalan yang benar ada satu sahaja, sedangkan yang salahnya ada banyak.
Jangan tertipu dengan mereka yang memberi hujah yang kata semua jalan membawa kepada Allah ﷻ. Kalau itu benar, tidaklah perlu Nabi ﷺ diturunkan kepada Musyrikin Mekah kerana mereka memang hendak menuju kepada Allah ﷻ pun.
Mereka sudah kenal pun Allah ﷻ dan mereka sebenarnya menyembah berhala-berhala itu untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Ini tertulis dalam ayat Zumar: 3.
أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ ۚ وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللَّهِ زُلفىٰ
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (daripada segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,
Ayat ini menunjukkan walaupun niat mereka baik dan menuju kepada Allah ﷻ, tetapi kalau cara yang mereka gunakan itu salah, ia tertolak juga dan membawa kepada neraka juga.
Maka, berhati-hatilah dengan fikrah-fikrah yang bukan sunnah dalam dunia ini. Terlalu banyak kalau kita hendak senaraikan di sini. Tambahlah ilmu pengetahuan dengan Tafsir Al-Qur’an dan Sunnah dan in sha Allah, anda akan selamat.
Akhir sekali, tiga perkara yang penting yang perlu kita sentiasa fikirkan:
1. Tujuan kita: Sembah Allah ﷻ
2. Cara: Melalui cara yang diajar oleh Allah ﷻ
3. Jalan: Hanya Jalan yang lurus sahaja.
Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 12 Oktober 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Jamal Zarabozo
