Ayat 188: Ayat ini dipanggil jenis ayat Umur Munazimah – berkenaan hubungan manusia sesama manusia. Ayat sebelum ini, iaitu tentang Puasa adalah jenis ayat Umur Muslihah iaitu tentang hubungan manusia dengan Tuhan.
Ayat ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga. Yang pertama adalah Qisas dan yang kedua adalah tentang wasiat. Hal tentang wasiat diajar supaya pemilikan harta itu adalah halal. Sudahlah harta itu kita dapat bukan dari usaha sendiri, maka janganlah cara untuk mendapatkannya adalah dengan cara yang salah. Ini semua adalah supaya umat Islam tidak berpecah belah disebabkan oleh harta.
Kalau kita sendiri berpecah belah lalu bagaimana kita hendak menjadi contoh teladan kepada orang bukan Islam? Jadi pembahagian harta melalui faraid ataupun wasiat adalah jenis pemilikan harta secara percuma. Pemberian wasiat itu hanya dilakukan apabila pemberi itu telah mati.
Ayat 188 ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga, di mana usaha mencari harta itu adalah dari kita sendiri. Ia juga ada peraturan yang Allah ﷻ telah ajar kepada kita dan kita kena ikuti.
Ayat yang kita akan baca sebentar lagi ini diletakkan selepas ayat-ayat tentang Puasa. Sekali baca macam tidak nampak apa kaitan ayat ini dengan puasa namun ia memang ada kaitan. Puasa adalah latihan untuk kita bertaqwa. Selepas kita telah dilatih dengan taqwa, di manakah kita perlu mengamalkannya?
Kita kena amalkan taqwa dalam kehidupan seharian kita. Antaranya dalam pekerjaan kita dan dalam usaha kita mencari pendapatan dan rezeki. Kita kena ada taqwa dalam urusan mencari rezeki. Ini adalah ujian kepada manusia kerana senang untuk jaga taqwa semasa beribadat di masjid atau semasa berada dalam iktikaf. Tetapi apabila berada di dunia luar, apabila ada dugaan, ada peluang untuk buat duit, susah untuk kita terus mengamalkan taqwa.
Kalau kita tidak menjadikan bulan Ramadhan itu sebagai satu latihan untuk kita bertaqwa, maka kita hanya menjadikannya sebagai satu ‘adat’ sahaja, tidak lebih daripada itu. Masuk bulan Syawal sahaja, kita sudah macam orang tidak bertaqwa.
Kita tidak dibenarkan ‘makan’ semasa bulan Ramadhan. Memakan makanan tidaklah salah kalau bukan sedang puasa. Ia hanya tidak dibenarkan semasa puasa sahaja. Sekarang kita akan belajar tentang ‘makan’ juga, tetapi makan yang lain, iaitu memakan harta orang lain.
Memakan harta orang lain dengan cara yang batil adalah tidak dibenarkan ‘sepanjang masa’, bukan waktu-waktu tertentu sahaja. Sama ada berpuasa atau tidak, urusan mencari harta kena halal. Sama ada dalam bulan Ramadhan atau tidak, kita kena jaga perkara itu. Dalam semua keadaan dan dalam semua bentuk usaha mencari pendapatan.
Ada orang yang dalam hal ibadat, mereka boleh jaga, seperti salat dan puasa. Tetapi dalam kehidupan mereka, susah mereka hendak jaga daripada melakukan kesalahan termasuk dalam usaha mencari harta. Allah ﷻ mengingatkan kepada manusia, bukan ‘ibadat’ sahaja kena buat, tetapi ‘adat’, iaitu hubungan sesama manusia juga kena jaga juga.
وَلا تَأكُلوا أَموالَكُم بَينَكُم بِٱلبَـٰطِلِ وَتُدلوا بِها إِلَى الحُكّامِ لِتَأكُلوا فَريقًا مِّن أَموالِ النّاسِ بِالإِثمِ وَأَنتُم تَعلَمونَ
And do not consume one another’s wealth unjustly or send it [in bribery] to the rulers in order that [they might aid] you [to] consume a portion of the wealth of the people in sin, while you know [it is unlawful].
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِٱلبَـٰطِلِ
Dan jangan kamu makan harta-harta kamu di antara kamu dengan cara batil;
Iaitu dengan cara tipu, curi dan sebagainya. Jangan curi wang atau harta di pejabat. Jangan masuk lambat ke pejabat sebab pengurus kita tidak ada di pejabat. Jangan buat benda lain semasa di pejabat termasuk melihat video agama. Itu semua memakan harta dengan cara yang batil.
Kita dilarang untuk memakan harta dengan cara yang tidak mengikut syari’at. Semua cara yang tidak mengikut syari’at dipanggil cara yang batil. Kita sepatutnya kena tahu bagaimana cara untuk mendapatkan harta dengan cara yang sah. Janganlah kita buat satu sistem ekonomi kemudian baru kita tanya kepada ulama’ sama ada itu adalah cara yang benar atau tidak.
Sebagai contoh, banyak sistem MLM sekarang ini. Selalunya mereka akan buat sistem itu dahulu, kemudian baru hendak periksa sama ada ia adalah sah mengikut syari’at Islam atau tidak. Padahal, sistem itu memang boleh buat duit. Kalau sudah boleh buat duit, tetapi ulama’ kata ia tidak sah, bagaimana? Adakah mereka hendak ikut dan tinggalkan sistem itu atau mereka akan terus melakukannya?
Apabila kita makan daripada sumber pendapatan yang haram maka kita telah memakan perkara yang haram. Apabila ini berlaku maka tidak ada keberkatan kepada diri kita dan akan sentiasa ada masalah dengan diri kita.
Sebagai contoh, mungkin berlaku banyak perbalahan dalam keluarga kita dan sebagainya. Walaupun banyak duit, tetapi hidup tidak tenang dalam keluarga. Mungkin tidak ada lagi rasa hormat sesama ahli keluarga, tidak ada rasa keinginan untuk menderma walaupun duit banyak, mungkin kita senang kena sihir dan sebagainya.
Mungkin juga akan timbul perpecahan di dalam masyarakat kita. Semua itu mungkin akan terjadi kepada kita di atas balasan Allah ﷻ kepada kita kerana mengamalkan cara mendapat harta yang salah. Lihatlah, walaupun hanya ada satu ayat sahaja tetapi ia adalah perbincangan yang luas tentang bagaimana kita hendak mencari sumber pendapatan.
Batil adalah setiap perkara yang tidak diberi keizinan oleh syari’at. Jadi kena pastikan sesuatu sistem itu Islamik. Kena periksa dengan hukum fiqah. Sebab itu ulama’ meletakkan syarat, kalau hendak berniaga, maka kena tahu hukum fiqah dalam perniagaan dahulu. Jangan buat dahulu baru hendak belajar. Kena belajar siap-siap.
Batil adalah sesuatu yang salah, dengan cara menipu dan sebagainya. Yang tidak dengan cara yang halal. Oleh itu, jangan dapatkan wang rezeki dengan cara yang salah dan haram. Antaranya dengan mencuri, dengan cara riba, loteri, jual barang haram, makan harta anak yatim, dengan jalan zina, rasuah dan sebagainya. Ada banyak lagi jalan-jalan salah dan haram.
Apabila kita mengambil harta dengan cara salah, bermakna kita mengambil harta orang lain. Kalau kita dalam kedudukan mereka, kita pun tidak mahu orang lain ambil harta kita dengan cara salah. Maka, kita kena letakkan diri kita dalam keadaan orang itu. Kalau kita sayangkan harta kita, orang lain pun sayang harta mereka juga.
Selalunya kita tidak kisah dengan harta orang sebab bukan harta kita. Ini kalau kita tidak meletakkan diri kita dalam keadaan mereka. Sebab itu Allah ﷻ gunakan perkataan أَمْوَالَكُمْ, yang bermaksud ‘harta kamu’ – kerana Allah ﷻ hendak kita melihat harta orang lain macam kita hendak harta kita dijaga juga. Hormati harta orang lain macam kita hormati harta kita juga.
Termasuk dalam perkara ini adalah kalau kita meletakkan harga yang melampau dalam kerja-kerja kita. Contohnya, kerja kita sebagai mekanik. Katakanlah kita sahaja yang tahu pasal enjin, oleh itu kita ambil peluang itu untuk meletakkan harga yang melampau. Tuanpunya kereta tidak boleh buat apa kerana mereka bergantung kepada kita. Ini juga adalah salah satu contoh yang batil.
Termasuk juga dalam hal ini adalah meletakkan klausa yang tidak patut dalam perjanjian kita dengan pekerja kita atau dengan orang lain. Itu pun termasuk juga dalam perkara batil.
Orang yang banyak buat kesalahan ini adalah mereka yang ada pengetahuan tertentu dalam kerja mereka, yang mana orang lain terpaksa akur kepada mereka. Iaitu golongan-golongan profesional dalam kerja mereka. Maka kita kena berhati-hati.
وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ
dan kamu bawa harta-harta itu kepada hakim;
Kedua, ada orang yang mengambil harta orang lain dengan cara beri rasuah kepada hakim supaya hakim meluluskan dalam mahkamah yang harta itu milik dia. Mungkin dia telah ambil geran tanah orang lain dan ubah nama. Untuk merampas dengan cara kasar sudah tidak boleh kerana negara ini ada undang-undang. Jadi dia bayar semua yang terlibat – hakim, saksi, pekerja di pejabat tanah dan sebagainya.
Mereka boleh buat sampai mangsa tidak boleh buat apa. Walaupun dalam mahkamah, mereka dikira sebagai pemilik tanah yang sah, tetapi masih haram harta itu. Kalau keputusan mahkamah dilakukan berdasarkan kepada saksi palsu, tidaklah menjadikan harta itu halal.
Atau, mereka akan menipu hakim. Hakim itu mungkin tidak tahu kedudukan perkara yang sebenar maka dia hanya boleh buat keputusan berdasarkan bukti dan hujah yang ada di hadapannya. Kalau dia tidak tahu, dia tidak berdosa kalau memberikan keputusan yang salah. Mereka hanya buat keputusan berdasarkan maklumat yang di hadapan mereka sahaja.
Telah disebutkan di dalam kitab Sahihain, dari Ummu Salamah, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“أَلَا إِنَّمَا أَنَا بَشَر، وَإِنَّمَا يَأْتِينِي الْخِصْمُ فَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ فَأَقْضِي لَهُ، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِحَقِّ مُسْلِمٍ، فَإِنَّمَا هِيَ قِطْعَةٌ مِنْ نَارٍ، فَلْيَحْملْهَا، أَوْ ليذَرْها”
Ingatlah, sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia, dan sesungguhnya sering datang kepadaku orang-orang yang mengadukan perkaranya. Barangkali sebahagian dari kalian lebih pandai dalam mengemukakan alasannya daripada lawannya, kerana itu aku memutuskan perkara untuknya. Barang siapa yang telah kuputuskan buatnya menyangkut masalah hak seorang muslim, pada hakikatnya hal itu hanyalah merupakan sepotong api neraka; kerana itu, hendaklah seseorang menyanggahnya atau meninggalkannya.
Oleh itu, walaupun hakim telah memberikan keputusan yang salah, memberikan kemenangan kepada pihak yang menipu, tidaklah menjadikan harta itu halal. Ianya tetap haram dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Ia juga bermaksud kita menggunakan wang untuk rapat dengan pemerintah atau orang yang berkuasa supaya mereka rapat dengan kita dan kita boleh gunakan mereka untuk mendapatkan keuntungan yang bathil.
Perkataan دلو itu bermaksud ‘timba’. Dalam pepatah Arab, ianya meletakkan makanan dalam timba, kemudian tunggu binatang datang untuk makan makanan itu. Kemudian ditarik timba itu supaya dekat dan dekat lagi, sehingga boleh tangkap binatang itu.
Maksud pepatah itu adalah menggunakan wang untuk menarik pemerintah kepada kita. Dalam dunia perniagaan sekarang, ada businessman yang memberikan wang kepada pihak yang berkuasa supaya mereka memberikan projek kerajaan kepada mereka. Ini termasuk dalam larangan pada ayat ini.
Satu lagi contoh, ada orang yang meminjam dari orang lain, tapi tidak ada bukti. Bila diminta balik, dia tidak mengaku. Oleh itu bila dibawa ke mahkamah dia akan menang kerana tidak ada bukti yang dia ada pinjam duit itu.
لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ
untuk dapat makan sebahagian harta manusia dengan cara dosa;
Iaitu mendapat harta itu dengan cara tipu. Sebagai contoh, menggunakan wang untuk diberikan kepada orang yang berkuasa supaya mereka dapat projek. Apabila projek itu diberikan kepada mereka kerana mereka sogokkan wang itu, maka orang yang sepatutnya layak dapat telah kehilangan rezeki mereka. Itu bermakna, mereka telah makan harta orang lain dengan batil juga.
Perkataan الْإِثْمِ bermaksud ‘dosa yang sengaja’.
Apabila kita makan dari harta yang haram, maka kita akan buat benda haram dan bila buat benda yang haram, kita akan masuk neraka. Maka harta haram akan menolak kita masuk neraka. Maka hal makanan kenalah dijaga betul.
وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
sedangkan kamu tahu;
Tentulah orang yang menipu itu tahu yang dia sedang menipu. Yang tidak tahunya adalah hakim yang membuat keputusan itu. Bukan sahaja orang yang menipu, tetapi termasuk juga saksi-saksi palsu yang mungkin digunakan untuk mendapatkan harta itu dengan cara yang salah – mereka yang menjadi saksi itu pun tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah salah. Sama ada mereka tahu ia salah dalam hukum agama atau dari segi moral.
Tetapi mereka tidak akan mengaku yang mereka itu telah menipu. Mereka akan kata mereka tidak tahu tentang apa yang terjadi dalam syarikat mereka. Mereka hanya lakukan apa yang mereka disuruh sahaja. Atau mereka memberikan alasan-alasan lain. Allah ﷻ cakap dalam ayat ini bahawa mereka sebenarnya tahu.
Habis Ruku’ 23 dari 40 surah ini
Ayat 189: Ayat 189 – 207 membincangkan tentang Jihad, Infak dan Haji. Ayat 189 ini ada sangkut paut dengan puasa juga kerana melibatkan anak bulan.
۞ يَسأَلونَكَ عَنِ الأَهِلَّةِ ۖ قُل هِيَ مَواقيتُ لِلنّاسِ وَالحَجِّ ۗ وَلَيسَ البِرُّ بِأَن تَأتُوا البُيوتَ مِن ظُهورِها وَلٰكِنَّ البِرَّ مَنِ اتَّقىٰ ۗ وَأتُوا البُيوتَ مِن أَبوابِها ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
They ask you, [O Muhammad], about the new moons. Say, “They are measurements of time for the people and for Hajj.” And it is not righteousness to enter houses from the back, but righteousness is [in] one who fears Allah. And enter houses from their doors. And fear Allah that you may succeed.
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ
Mereka bertanya kamu tentang anak bulan;
Ahillah bermaksud 12 anak bulan dan kalau Hilal hanya satu bulan saja. Apabila Anak Bulan sudah kelihatan, itu menandakan sudah masuk bulan yang baru. Apabila ayat tentang bulan Ramadhan dikeluarkan sebelum ini, soalan yang ditanya oleh para sahabat رضي الله عنهم adalah tentang anak bulan.
Kerana puasa Ramadhan itu dijalankan selama sebulan dan telah disebutkan dalam ayat yang lalu bahawa apabila nampak anak bulan, maka mulakan puasa. Maka mereka bertanyalah tentang anak bulan itu.
Satu lagi tafsir tentang potongan ayat ini: Orang Arab Mekah bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ kenapa bulan tidak sembah matahari kerana bulan kecil dan matahari itu besar? Bulan itu sudahlah kecil apabila ia keluar di langit, kemudian lama-lama semakin mengecil lagi. Mereka sengaja sahaja bertanya. Benda yang tidak perlu diketahui pun tetapi mereka bertanya juga.
Soalan mereka itu tidak dijawab dengan tepat oleh Allah ﷻ dalam potongan ayat seterusnya kerana itu bukanlah soalan yang cerdik. Allah ﷻ hanya jawab apa yang penting sahaja. Ini juga mengajar kepada kita bahawa jika ada soalan yang tidak patut maka hendaklah kita jawab dengan kebijaksanaan. Kerana adalah menjadi perkara biasa, kadang-kadang yang bertanya itu jahil dan tidak tahu cara bertanya atau tanya benda yang tidak perlu.
Kita hendaklah memberi jawapan yang menguntungkan kepada orang jahil yang bertanya itu. Sebab itu kalau di negara yang maju syariat, kalau bertanya kepada mufti, kena ajukan soalan dalam tulisan supaya jelas apakah yang hendak ditanya. Dan jawapan akan diberikan oleh lebih daripada seorang mufti dan dalam bentuk tulisan juga supaya jelas apakah jawapannya.
قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ
Katakanlah: anak bulan itu untuk penentuan masa kepada manusia dan mencari bulan haji;
Allah ﷻ memberitahu bahawa Anak Bulan ini memberi faedah kepada manusia untuk menentukan waktu yang boleh mereka gunakan dalam kehidupan mereka seharian. Macam kita sekarang ada kalender. Dengan Anak Bulan, maka senanglah untuk mereka membuat perkiraan ataupun membuat perjanjian untuk berjumpa dan sebagainya.
Contohnya mereka kata mereka akan datang hari ketiga selepas Anak Bulan Muharram keluar. Ini adalah kegunaan dalam kehidupan mereka yang tidak melibatkan ibadat. Macam kita gantung kalendar di dinding, Allah ﷻ gantung bulan di langit untuk manusia menentukan masa. Boleh digunakan untuk menentukan masa untuk berniaga, bermusafir dan sebagainya.
Selain daripada kegunaan harian, Anak Bulan ini juga terlibat dengan perkara ibadat di mana ia digunakan untuk menentukan bilakah musim Haji. Begitu juga ketetapan bulan Ramadhan dikira dengan datangnya anak bulan. Dalam banyak-banyak masa untuk kita jaga, Allah ﷻ menyebut satu yang penting – bulan Haji. Kita mungkin sangka Allah ﷻ hendak sebut tentang bulan puasa, sebab baru habis tentang bulan puasa sebelum ini, tetapi Allah ﷻ sebut tentang Ibadah Haji pula.
Allah ﷻ sebut Haji kerana ada sebab. Waktu itu Islam masih awal lagi di Madinah. Mekah masih di tangan Musyrikin Mekah. Sahabat tertanya-tanya bagaimana mereka hendak pergi mengerjakan Haji kerana Musyrikin Mekah tidak akan membenarkan mereka. Tambahan pula Kaabah waktu itu dipenuhi dengan berhala lagi, maka takkan hendak tawaf keliling Kaabah yang penuh dengan berhala pula.
Sebenarnya Allah ﷻ sedang memberi isyarat bahawa mereka perlu memfokuskan usaha mereka untuk buat Haji. Untuk melakukan ibadah Haji, mereka perlu membersihkan Kaabah daripada berhala. Untuk membersihkan Kaabah itu, bermaksud mereka perlu mengambil alih Mekah. Dalam ayat ini, Allah ﷻ mengisyaratkan kepada para sahabat رضي الله عنهم untuk bersedia untuk berperang dengan Musyrikin Mekah.
Itulah misi yang telah diletakkan oleh Allah ﷻ. Setiap kali mereka melihat kepada bulan, mereka akan teringat tugas mereka untuk membersihkan Kaabah kerana bulan mengingatkan kepada Haji seperti yang disebut dalam ayat ini, dan Haji mengingatkan tugas mereka untuk mengambil alih Mekah dan Kaabah.
وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَنْ تَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ ظُهُورِهَا
dan bukanlah kebaikan itu dengan cara kamu masuk rumah-rumah kamu mengikut pintu belakang;
Ini adalah adat Arab Jahiliyyah dahulu, iaitu apabila mereka selesai menunaikan Haji, mereka akan masuk ke dalam rumah mereka melalui pintu belakang. Itu adalah rekaan amalan mereka sahaja. Ini kerana bila jahil ilmu wahyu, memang akan direka amalan yang pelik-pelik.
Orang kita pula, bila hendak pergi Haji, kena laungkan azan masa orang yang hendak pergi Haji itu turun tangga. Itu adalah rekaan syariat kerana tidak ada sunnah dari Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم. Sama sahaja orang kita macam Musyrikin Mekah yang sama-sama jahil wahyu. Mereka reka syariat, kita pun hendak reka syariat juga, tidak mahu kalah.
Oleh itu, dalam ayat ini terdapat teguran kepada orang Arab Mekah yang reka amalan sendiri. Apabila mereka keluar mengerjakan Haji, mereka akan keluar dari pintu depan rumah. Tetapi apabila mereka pulang dari mengerjakan Haji, mereka akan buat pintu baru dari belakang kerana mereka kata semasa mereka keluar untuk mengerjakan Haji, mereka waktu itu masih berdosa dan pintu itu adalah ‘pintu dosa’.
Apabila sudah selesai Haji, mereka tidak boleh masuk ikut pintu itu lagi kerana mereka sudah suci daripada dosa. Maka kena masuk pintu lain dari belakang. Bukan mereka masuk dari pintu dapur pun, tetapi mereka akan tebuk pintu baru. Sudah jadi satu kerja pula hendak tebuk pintu rumah yang baru.
Allah ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa itu bukanlah syariat agama malahan ia adalah sesuatu yang menyusahkan diri sendiri sahaja. Ini juga sepatutnya sudah mengajar kita bahawa bid’ah dalam ibadat tidak dibenarkan. Bukan boleh dapat pahala pun kalau melakukan bid’ah, malahan akan mendapat dosa dan kemurkaan dari Allah ﷻ.
Tadi tentang orang Arab Mekah, dan orang Madinah sebelum mereka masuk Islam, mereka pun ada mengamalkan perkara khurafat juga. Mereka pun menganggap Kaabah adalah sesuatu yang mulia kerana orang Arab memang pergi mengerjakan haji ke Kaabah kerana ada saki baki ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.
Kita tahu orang Madinah pernah pergi mengerjakan Haji kerana di situlah mereka telah berjumpa Nabi Muhammad ﷺ buat pertama kali. Tetapi sudah ada adat-adat tambahan dalam agama mereka. Contohnya, apabila mereka telah memulakan perjalanan mengerjakan Haji ke Mekah, mereka tidak boleh pulang ke rumah langsung sehinggalah mereka habis mengerjakan ibadat itu.
Tetapi katakanlah mereka terpaksa juga patah balik kerana mereka tertinggal sesuatu yang penting, maka mereka akan masuk ke rumah ikut pintu belakang atau ikut tingkap. Sebab mereka kata ia adalah petanda buruk kalau masuk rumah ikut pintu hadapan. Ini ambil dari mana, mereka tidak dapat kenalpasti kerana agama telah bercampur baur dengan fahaman yang lain. Mereka sudah tidak pasti ia datang dari mana.
Tetapi mereka ikut juga sebab sudah lama amalkan. Macam orang kita jugalah, tidak tahu sesuatu amalan tambahan itu datang dari mana, tetapi mereka amalkan juga sebab sudah diamalkan dari datuk nenek dahulu. Mereka tidak bertanya pun sama ada ia betul atau tidak. Mereka sudah tidak fikir pun sama ada ia adalah kepercayaan karut atau tidak.
Allah ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, bahawa perbuatan mereka itu bukanlah kebaikan. Kebaikan telah disenaraikan dalam ayat 177 sebelum ini dalam Ayatul Birr.
Ini terjadi kerana agama telah bercampur baur dengan amalan rekaan. Adat-adat lama telah bercampur dengan agama. Kita boleh tengok dalam amalan masyarakat kita juga. Kalau kenduri kahwin, kita sudah tidak tahu itu adalah majlis orang Islam, atau Hindu atau Kristian kerana sudah bercampur semua sekali. Kalau kubur pun kita tengok sudah jadi kubur Hindu pula sekarang.
Rekaan lain, kalau pergi Umrah atau Haji, buat Salat Hajat berjama’ah dan Majlis Doa Selamat di rumah supaya perjalanan selamat pergi dan selamat kembali. Itu semua adalah perbuatan mencipta syariat sendiri. Tidak pernah disuruh dan diamalkan oleh ulama’ salafussoleh.
وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنِ اتَّقَىٰ
Akan tetapi kebajikan itu adalah bagi sesiapa yang bertaqwa;
Iaitu yang mahu mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ melalui Nabi-Nya. Iaitu mengikut betul-betul. Maka, hendaklah belajar supaya kita tahu manakah yang betul.
وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا
Dan masuklah dari pintu-pintu masuk biasa;
Ini adalah kata-kata pepatah Arab yang bermaksud buat perkara dengan cara yang betul. Apabila dikatakan masuk ikut pintu biasa, maknanya kena buat dengan cara yang betul. Maksudnya selepas ini, kena buat amalan ibadah sebagaimana yang diajar oleh Nabi. Ikutlah cara yang betul.
Lihatlah apa yang dilakukan oleh Nabi ﷺ. Jangan memandai hendak buat benda baru. Kalau ada amalan yang kita sudah biasa buat, kenalah periksa balik sama ada ia ada dalam Islam atau tidak. Antaranya, kita sudah selalu sangat buat Majlis Tahlil untuk menyedekahkan pahala kepada orang yang sudah mati. Soalan yang kita kena tanya, adakah itu ada dalam Islam atau tidak? Jawapannya, tidak ada.
وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Bertaqwalah kamu kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan.
Masih lagi disebut tentang taqwa. Banyak ayat-ayat dari Surah Baqarah ini yang menyebut tentang taqwa. Jadi harap kita sudah semakin faham tentang apakah maksud taqwa itu.
Orang yang bertaqwalah yang sebenar-benar mendapat kejayaan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 3 Disember 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan