Tafsir Surah Baqarah Ayat 188 (Jangan ambil harta dengan cara haram)

LARANGAN BERLAKU ZALIM

Baqarah Ayat 188: Ayat ini dipanggil jenis ayat Umur Munazimah – berkenaan hubungan manusia sesama manusia. Ayat sebelum ini, iaitu tentang Puasa adalah jenis ayat Umur Muslihah iaitu tentang hubungan manusia dengan Tuhan (dengan melakukan ibadah).

Ayat ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga. Yang pertama adalah Qisas dan yang kedua adalah tentang wasiat yang kita telah bincangkan sebelum ini. Hal tentang wasiat diajar supaya pemilikan harta itu adalah halal. Sudahlah harta itu kita dapat bukan daripada usaha sendiri, maka janganlah gunakan cara yang salah untuk mendapatkannya. Ini semua adalah supaya umat Islam tidak berpecah belah disebabkan oleh harta. Kalau kita sendiri berpecah belah lalu bagaimana kita hendak menjadi contoh teladan kepada orang bukan Islam? Pembahagian harta melalui faraid ataupun wasiat adalah jenis pemilikan harta secara percuma. Pemberian wasiat itu hanya dilakukan apabila pemberi itu telah mati. Justeru Ayat 188 ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga, di mana usaha mencari harta itu adalah daripada kita sendiri (dengan kerja, berniaga dan sebagainya). Ia juga ada peraturan penting yang Allah ‎ﷻ telah ajar kepada kita dan kita kena ikuti.

Ayat yang kita akan baca sebentar lagi ini diletakkan selepas ayat-ayat tentang Puasa. Sekali baca macam tidak nampak apa kaitan ayat ini dengan puasa akan tetapi ia memang ada kaitan. Puasa adalah latihan untuk kita bertaqwa. Selepas kita telah dilatih dengan taqwa, di manakah kita perlu mengamalkannya? Tentulah kita kena amalkan taqwa dalam kehidupan seharian kita. Antaranya dalam pekerjaan kita dan dalam usaha kita mencari pendapatan dan rezeki. Kita kena ada taqwa dalam urusan mencari rezeki. Ini adalah ujian kepada manusia kerana senang untuk jaga taqwa semasa beribadat di masjid atau semasa berada dalam iktikaf. Namun apabila berada di dunia luar, apabila ada dugaan, ada peluang untuk buat duit dengan cara yang salah, mudah dan haram, susah untuk kita terus mengamalkan taqwa.

Satu lagi kaitan dengan berpuasa adalah apabila kita berbuka puasa, hendaklah kita berbuka dengan makanan yang halal dan didapati dengan cara yang halal. Tidaklah patut kita telah menahan diri kita daripada makan kerana taat kepada arahan Allah ﷻ, tetapi bila waktu berbuka, kita langgar pula larangan Allah ﷻ. Maka puasa yang telah dilakukan itu tidak diredhai oleh Allah ﷻ kerana melibatkan perkara yang haram.

Kalau kita tidak menjadikan bulan Ramadhan itu sebagai satu latihan untuk kita bertaqwa, maka kita hanya menjadikannya sebagai satu ‘adat’ sahaja, tidak lebih daripada itu. Masuk bulan Syawal sahaja, kita sudah macam orang tidak bertaqwa. Maknanya kita sudah gagal dalam ujian kita setelah latihan di bulan Ramadhan. Kita tidak dibenarkan ‘makan’ semasa bulan Ramadhan. Memakan makanan tidaklah salah kalau bukan sedang puasa. Ia hanya tidak dibenarkan semasa puasa sahaja. Sekarang kita akan belajar tentang ‘makan’ juga, tetapi makan yang lain, iaitu memakan harta orang lain. Latihan di dalam Ramadhan adalah menahan diri daripada memakan makanan yang halal; kalau kita dapat menjiwai latihan itu, maka senanglah sepatutnya kita menahan diri daripada memakan yang haram kerana kalau halal pun kita sudah dapat menahan diri.

Latihan Bulan Ramadhan itu adalah sebulan sahaja sedangkan larangan memakan harta orang lain dengan cara yang batil adalah tidak dibenarkan ‘sepanjang masa’, bukan waktu-waktu tertentu sahaja. Sama ada berpuasa atau tidak, urusan mencari harta mestilah halal. Sama ada dalam bulan Ramadhan atau tidak, kita kena jaga perkara itu. Dalam semua keadaan dan dalam semua bentuk usaha mencari pendapatan. Inilah ujiannya kerana ada orang yang dalam hal ibadat, mereka boleh jaga, seperti solat dan puasa. Akan tetapi dalam kehidupan mereka, susah mereka hendak jaga daripada melakukan kesalahan termasuk dalam usaha mencari harta. Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada manusia, bukan ‘ibadat’ sahaja kena buat, tetapi ‘adat’, iaitu hubungan sesama manusia juga kena jaga juga.

وَلا تَأكُلوا أَموالَكُم بَينَكُم بِٱلبَـٰطِلِ وَتُدلوا بِها إِلَى الحُكّامِ لِتَأكُلوا فَريقًا مِّن أَموالِ النّاسِ بِالإِثمِ وَأَنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

And do not consume one another’s wealth unjustly or send it [in bribery] to the rulers in order that [they might aid] you [to] consume a portion of the wealth of the people in sin, while you know [it is unlawful].

 

Malay

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

 

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِٱلبَـٰطِلِ

Dan jangan kamu makan harta-harta kamu di antara kamu dengan cara batil;

Manusia memerlukan pendapatan dan harta untuk kelangsungan hidup. Ini semua orang terima, akan tetapi ia perlulah dilakukan dengan cara yang halal dan baik. Jangan dapatkannya dengan cara yang salah iaitu dengan cara tipu, curi dan sebagainya. Sebagai contoh mudah, jangan curi wang atau harta di pejabat. Jangan masuk lambat ke pejabat sebab pengurus kita tidak ada di pejabat (ini sudah curi tulang). Jangan buat perkara lain semasa di pejabat termasuk melihat video agama. Itu semua memakan harta dengan cara yang batil.

Walaupun ayat ini menyebut ‘makan’ tetapi bukanlah makan seperti makan makanan itu pula. Ia termasuklah ambil, minum dan mengambil hak orang lain.

Mencuri, peras ugut, rompakan, semua terima sebagai salah hatta seorang kafir pun boleh faham dan boleh terima. Akan tetapi penentu salah atau tidak adalah Allah ﷻ yang telah menjadikan kita dan layak sebagai pembuat hukum. Jadi ada perkara yang tidak jelas di mata manusia akan tetapi ia tetap salah di mata Allah ﷻ. Sebagai contoh sistem kewangan riba; ia diterima pakai seluruh dunia sekarang akan tetapi Allah ﷻ telah lama mengharamkannya. Ini bukti yang manusia tidak boleh reka sendiri sistem tanpa merujuk kepada pemberi hukum iaitu Allah ﷻ kerana manusia pasti tersilap di dalam membuat sistem.

Selain itu ada perkara-perkara lain yang tidak diterima di dalam syariat agama Islam. Termasuklah juga kalau mengambil harta zakat tetapi sebenarnya dia bukan asnaf (penerima zakat yang layak) pun. Termasuk juga menjadi bomoh pawang atau uskun (ustaz dukun) dan mengambil wang daripada pesakit. Ramai bukan yang kononnya buat bedah batih, scan, buang sial, buat air bacaan ayat-ayat Al-Qur’an. Termasuk juga mengambil upah baca doa, jadi imam Solat Hajat, baca doa selamat, jadi tekong baca Yaasin ramai-ramai. Ada yang terima fidyah solat ganti bagi orang yang sudah mati, ada yang jadi pembaca Al-Qur’an di kuburan. Pendeknya ada 1001 cara mengambil wang manusia dengan cara yang batil yang tidak mampu disenaraikan semuanya di sini.

Kita dilarang untuk memakan harta dengan cara yang tidak mengikut syari’at. Semua cara yang tidak mengikut syari’at dipanggil cara yang batil. Kita sepatutnya kena tahu bagaimana cara untuk mendapatkan harta dengan cara yang sah. Janganlah kita buat satu sistem ekonomi kemudian baru kita tanya kepada ulama’ sama ada itu adalah cara yang benar atau tidak. Sebagai contoh, banyak sistem MLM sekarang ini. Selalunya mereka akan buat sistem itu dahulu, kemudian baru hendak periksa sama ada ia adalah sah mengikut syari’at Islam atau tidak. Padahal, sistem itu memang boleh buat duit. Kalau sudah boleh buat duit, tetapi ulama’ kata ia tidak sah, bagaimana? Adakah mereka hendak ikut dan tinggalkan sistem itu atau mereka akan terus melakukannya?

Apabila kita makan daripada sumber pendapatan yang haram maka kita telah memakan perkara yang haram. Apabila ini berlaku maka tidak ada keberkatan kepada diri kita dan akan sentiasa ada masalah dengan diri kita. Sebagai contoh, mungkin berlaku banyak perbalahan dalam keluarga kita dan sebagainya. Walaupun banyak duit, tetapi hidup tidak tenang dalam keluarga. Mungkin tidak ada lagi rasa hormat sesama ahli keluarga, tidak ada rasa keinginan untuk menderma walaupun duit banyak, mungkin kita senang terkena sihir dan sebagainya. Mungkin juga akan timbul perpecahan di dalam masyarakat kita. Semua itu mungkin akan terjadi kepada kita di atas balasan Allah ‎ﷻ kepada kita kerana mengamalkan cara mendapat harta yang salah. Lihatlah, walaupun hanya ada satu ayat sahaja tetapi ia adalah perbincangan yang luas tentang bagaimana kita hendak mencari sumber pendapatan.

Batil adalah setiap perkara yang tidak diberi keizinan oleh syari’at. Jadi kena pastikan sesuatu sistem itu Islamik. Kena periksa dengan hukum fiqah. Sebab itu ulama’ meletakkan syarat, kalau hendak berniaga, maka kena tahu hukum feqah dalam perniagaan dahulu. Jangan buat dahulu baru hendak belajar. Kena belajar siap-siap. Batil adalah sesuatu yang salah, dengan cara menipu dan sebagainya yang dilakukan dengan cara yang tidak halal. Oleh itu, jangan dapatkan wang rezeki dengan cara yang salah dan haram. Antaranya dengan mencuri, dengan cara riba, loteri, jual barang haram, makan harta anak yatim, dengan jalan zina, rasuah dan sebagainya. Ada banyak lagi jalan-jalan salah dan haram.

Apabila kita mengambil harta dengan cara salah, bermakna kita mengambil harta orang lain. Kalau kita dalam kedudukan mereka, kita pun tidak mahu orang lain ambil harta kita dengan cara salah. Maka, kita kena letakkan diri kita dalam keadaan orang itu. Kalau kita sayangkan harta kita, orang lain pun sayang harta mereka juga. Selalunya kita tidak kisah dengan harta orang sebab bukan harta kita. Inilah yang berlaku kalau kita tidak meletakkan diri kita dalam keadaan mereka. Sebab itu Allah ‎ﷻ gunakan perkataan أَمْوَالَكُمْ, yang bermaksud ‘harta kamu’ – kerana Allah ‎ﷻ hendak kita melihat harta orang lain macam kita hendak harta kita dijaga juga. Hormati harta orang lain sepertimana kita hormati harta kita juga.

Menarik sekali apabila Allah ﷻ menggunakan kalimah أَمْوَالَكُمْ sedangkan selalunya yang kita makan dengan cara yang salah adalah harta orang lain. Sepatutnya أَمْوَالَهُمْ lah yang digunakan, bukan? Akan tetapi Allah ﷻ latih kita untuk bayangkan bagaimana kalau orang ambil harta kita, tentu kita tidak suka, bukan? Kalau kita sudah mula ambil harta orang maka apa yang menghalang orang lain daripada mengambil harta kita pula? Kerana itu Allah ﷻ gunakan kalimah أَمْوَالَكُمْ. Lagi satu sebabnya adalah kerana umat Islam bersaudara dan sebahagian daripada diri kita, jadi kalau ambil harta orang lain, itu pun seperti mengambil harta sendiri juga.

Termasuk dalam perkara ini adalah kalau kita meletakkan harga yang melampau dalam kerja-kerja kita. Contohnya, kerja kita sebagai mekanik. Katakanlah kita sahaja yang tahu pasal enjin, oleh itu kita ambil peluang itu untuk meletakkan harga yang melampau. Tuan empunya kereta tidak boleh berbuat apa kerana mereka bergantung kepada kita. Ini juga adalah salah satu contoh yang batil.

Termasuk juga dalam hal ini adalah meletakkan klausa yang tidak patut dalam perjanjian kita dengan pekerja kita atau dengan orang lain. Klausa itu pula menggunakan font  yang halus-halus sampai pembeli dan pelanggan tidak tahu pun wujudnya klausa itu. Itu pun termasuk juga dalam perkara batil kalau tujuannya adalah untuk menipu atau memerangkap pelanggan. Kerana itulah orang yang banyak buat kesalahan ini adalah mereka yang ada pengetahuan tertentu dalam kerja mereka, yang mana orang lain terpaksa akur kepada mereka. Iaitu golongan-golongan profesional dalam kerja mereka. Maka kita kena berhati-hati dalam kita berniaga dan memberi khidmat kepada pelanggan kita. Kejujuran penting dan diajar oleh Allah ﷻ di dalam ayat ini juga.

 

وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ

dan kamu bawa harta-harta itu kepada hakim;

Ini adalah cara kedua yang disebut, ada orang yang mengambil harta orang lain dengan cara beri rasuah kepada hakim supaya hakim meluluskan dalam mahkamah yang harta itu itu adalah miliknya. Mungkin dia telah mengambil geran tanah orang lain dan mengubah nama. Untuk merampas dengan cara kasar sudah tidak boleh kerana negara ini ada undang-undang. Jadi dia bayar semua yang terlibat – hakim, saksi, pekerja di pejabat tanah dan sebagainya. Mereka boleh buat sampai mangsa tidak boleh berbuat apa-apa. Walaupun dalam mahkamah mereka dikira sebagai pemilik tanah yang sah, tetapi masih haram harta itu. Kalau keputusan mahkamah dilakukan berdasarkan kepada saksi palsu, tidaklah menjadikan harta itu halal. Allah ﷻ telah memberi ancaman di dalam Ali Imran: 77

إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمٰنِهِم ثَمَنًا قَليلًا أُولٰئِكَ لا خَلٰقَ لَهُم فِي الآخِرَةِ وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيٰمَةِ وَلا يُزَكّيهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Atau, mereka akan menipu hakim. Hakim itu mungkin tidak tahu kedudukan perkara yang sebenar maka dia hanya boleh membuat keputusan berdasarkan bukti dan hujah yang ada di hadapannya. Kalau dia tidak tahu, dia tidak berdosa kalau memberikan keputusan yang salah. Mereka hanya membuat keputusan berdasarkan maklumat yang di hadapan mereka sahaja. Telah disebutkan di dalam kitab Sahihain, daripada Ummu Salamah رضي الله عنها, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ، وَإِنَّهُ يَأْتِينِي الْخَصْمُ، فَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَبْلَغَ مِنْ بَعْضٍ، فَأَحْسِبُ أَنَّهُ صَادِقٌ فَأَقْضِي لَهُ بِذَلِكَ، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِحَقِّ مُسْلِمٍ، فَإِنَّمَا هِيَ قِطْعَةٌ مِنَ النَّارِ، فَلْيَأْخُذْهَا أَوْ لِيَتْرُكْهَا ‏”
“Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia, dan sesungguhnya sering datang kepadaku orang-orang yang mengadukan perkaranya. Barangkali sebahagian daripada kalian lebih pandai dalam mengemukakan alasannya daripada lawannya, kerana itu aku memutuskan perkara untuknya. Jika aku menjatuhkan hukuman yang memihak kepada seseorang yang dengannya dia mengambil hak seorang Muslim secara zalim, maka apa sahaja yang dia ambil hanyalah secebis api neraka, dan terserah kepadanya untuk mengambil atau meninggalkannya.”
(Sahih Bukhari No. 7181) 

Oleh itu, walaupun hakim telah memberikan keputusan yang salah, memberikan kemenangan kepada pihak yang menipu, tidaklah menjadikan harta itu halal. Ia tetap haram dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Ia juga bermaksud kita menggunakan wang untuk rapat dengan pemerintah atau orang yang berkuasa supaya mereka rapat dengan kita dan kita boleh gunakan mereka untuk mendapatkan keuntungan yang bathil. Kita boleh perhatikan bagaimana kronisme menyebabkan orang yang ada kedudukan selamat daripada undang-undang dan orang yang lemah ditindas sepanjang masa.

Perkataan دلو itu bermaksud ‘timba’. Dalam pepatah Arab, ia meletakkan makanan dalam timba, diletak sebagai umpan, kemudian tunggu binatang datang untuk makan makanan itu. Kemudian ditarik timba itu supaya dekat dan dekat lagi, sehingga boleh ditangkap binatang itu. Jadi ini adalah peribahasa dan maksudnya adalah menggambarkan bagaimana menggunakan wang untuk menarik pemerintah atau pihak berkuasa kepada pihak kita. Dalam dunia perniagaan sekarang, ada sahaja ahli perniagaan yang memberikan wang kepada pihak yang berkuasa supaya mereka memberikan projek kerajaan kepada mereka. Ini termasuk dalam larangan pada ayat ini.

Satu lagi contoh, ada orang yang meminjam daripada orang lain, tetapi tidak ada bukti. Bila diminta balik, dia tidak mengaku. Kemudian bila dibawa ke mahkamah dia akan menang kerana tidak ada bukti yang dia ada meminjam wang itu. Maka dia juga termasuk memakan harta yang haram.

 

لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ

untuk dapat makan sebahagian harta manusia dengan cara dosa;

Iaitu mendapat harta itu dengan cara tipu. Berbagai-bagai cara dilakukan sekarang untuk menipu dan mengambil hak orang lain. Sebagai contoh, menggunakan wang untuk diberikan kepada orang yang berkuasa supaya mereka dapat projek. Apabila projek itu diberikan kepada mereka kerana mereka sogokkan wang itu, maka orang yang sepatutnya layak dapat telah kehilangan rezeki mereka. Itu bermakna, mereka telah makan harta orang lain dengan batil juga. Juga haram adalah berjualan benda yang haram seperti rokok, arak, bahan-bahan lucah dan seumpamanya yang melibatkan الْإِثْمِ. Juga termasuk ‘future trading’ (forex) yang melibatkan saham gharar (tidak pasti). Juga melibatkan penggunaan penimbang yang tidak betul supaya tidak diberikan berat yang sepatutnya kepada pelanggan.

Perkataan الْإِثْمِ bermaksud ‘dosa yang sengaja’. Apabila kita makan daripada harta yang haram, maka kita akan buat benda haram dan bila buat benda yang haram, kita akan masuk neraka. Maka harta haram akan menolak kita masuk neraka. Begitulah seharusnya hal makanan hendaklah dijaga betul-betul. Kita pun telah bincangkan tentang pemakanan sebelum ini kerana pemakanan amat penting di dalam Islam. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Mukminoon: 51 tentang hal ini,

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحً
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang saleh.

Di dalam ayat Mukminoon: 51 ini digabungkan antara makanan dan amal soleh. Ini adalah kerana amal soleh hanya akan dikerjakan oleh orang yang memakan makanan yang halal dan cara mendapatkannya juga halal. Walaupun ayat itu khitabnya kepada para Rasul, akan tetapi ia tetap terpakai untuk setiap manusia.

Kalau memakan makanan yang haram juga menyebabkan doa tertahan seperti sabda Rasulullah ﷺ tentang hal ini: Sayidina Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
“…Kemudian Nabi ﷺ menceritakan tentang seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan jauh (musafir), sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal, makanannya daripada barang yang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan diberi makan daripada yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?”
(Sahih Muslim No. 1015)

Ingatlah nanti yang ada 4 soalan cepu emas yang akan ditanya di akhirat kelak:

 عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاه
ﷺ Daripada Abu Barzah Al Aslami berkata: Rasulullah
 bersabda: Dua tapak kaki seorang hamba tidak akan bergerak (pada hari kiamat) sehingga dia ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan, tentang ilmunya apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya, tentang hartanya dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa digunakannya”
(HR Tirmidzi No. 2417)
Status: Dhaif (Darussalam)

 

وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

sedangkan kamu tahu;

Tentulah orang yang menipu itu tahu yang dia sedang menipu. Yang tidak tahunya adalah hakim yang membuat keputusan itu. Bukan sahaja orang yang menipu, tetapi termasuk juga saksi-saksi palsu yang mungkin digunakan untuk mendapatkan harta itu dengan cara yang salah – mereka yang menjadi saksi itu pun tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah salah. Sama ada mereka tahu ia salah dalam hukum agama atau dari segi moral. Akan tetapi mereka tidak akan mengaku yang mereka itu telah menipu. Mereka akan kata mereka tidak tahu tentang apa yang terjadi dalam syarikat mereka. Mereka hanya lakukan apa yang mereka disuruh sahaja. Atau mereka memberikan alasan-alasan lain. Allah ‎ﷻ cakap dalam ayat ini bahawa mereka sebenarnya tahu.

Habis Ruku’ 23 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Januari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 188 (Jangan ambil harta dengan cara haram)”

Leave a comment