Tafsir Surah Kahfi Ayat 66 – 70 (Syarat belajar)

Kahf Ayat 66: 

قَالَ لَهُ ۥ مُوسَىٰ هَل أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمتَ رُشدًا

Sahih International

Moses said to him, “May I follow you on [the condition] that you teach me from what you have been taught of sound judgement?”

Malay

Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”

 

قَالَ لَهُ ۥ مُوسَىٰ هَل أَتَّبِعُكَ

Berkata Musa kepadanya: “Bolehkah aku mengikuti kamu?”; 

Ini adalah pertanyaan yang penuh kelembutan, bukan dalam bentuk kemestian dan pemaksaan. Itulah seharusnya pertanyaan seorang pelajar kepada seorang yang berilmu untuk minta belajar dengannya. Walaupun baginda seorang Rasul, namun untuk belajar baginda minta dengan hormat. Tidaklah dia terus ikut sahaja. Begitulah adab kita apabila belajar. Amat penting menjaga adab dengan guru.

Sebelum ini, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang diikuti oleh anak muridnya. Sekarang baginda pula yang memohon untuk mengikuti orang lain. Tidaklah baginda berasa sombong walaupun baginda juga memiliki ilmu kerana baginda sedar yang bukan semua baginda tahu. Baginda hendak sangat belajar kerana itulah kalimah yang digunakan adalah أَتَّبِعُكَ yang menunjukkan kesungguhan hendak mengikuti. Kalau ikut biasa sahaja, kalimah أَتبَعُكَ yang digunakan tanpa penambahan huruf ta’.

Begitulah kita. Ada perkara yang kita tahu, tetapi banyak lagi perkara kita tidak tahu. Maka tidak salah kalau kita belajar dengan orang lain. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang ilmu yang baginda hendak pelajari itu adalah jenis ilmu yang tidak boleh dipelajari dalam kelas, tetapi mesti dilalui melalui pengalaman. Maka Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak minta ‘belajar’ dengan Khadr, tetapi baginda minta ‘ikut’ Khadr.

 

عَلَىٰ أَنْ تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

“supaya kamu ajar aku daripada ilmu yang Allah telah ajar kepada kamu, ilmu yang menjadi petunjuk?”;

Ini adalah kata-kata seorang Rasul memohon untuk menjadi anak murid kepada seorang Nabi. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah merendahkan dirinya dalam hal ini. Permintaan baginda adalah lembut dan penuh pengharapan kerana baginda pentingkan ilmu. Kerana baginda hendak belajar. Kerana baginda mementingkan ilmu pengetahuan dan baginda sebut dalam ayat ini yang baginda mencari ilmu yang dapat memberi petunjuk. Begitulah ilmu yang kita kena cari. Bukan ilmu tarekat sufi yang menyesatkan pula.

Sebelum ini, baginda adalah guru kepada seseorang, dan sekarang baginda hendak menjadi anak murid kepada seseorang pula. Lihatlah betapa indahnya ayat-ayat Al-Qur’an ini. Sebelum ini, anak muridnya yang lupa. Sebentar lagi kita akan belajar bagaimana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri pun ada lupa.


 

Kahf Ayat 67: Sebelum ini telah disebut permintaan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk belajar dengan Khadr dan ini adalah jawapan Khadr kepada baginda. Apa yang Khadr jawab kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam ayat ini adalah daripada ilmu taqwini yang beliau ada. Beliau sudah tahu bahawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan sanggup untuk mengikutinya.

قالَ إِنَّكَ لَن تَستَطيعَ مَعِيَ صَبرًا

Sahih International

He said, “Indeed, with me you will never be able to have patience.

Malay

Dia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.

 

Khadr terus beritahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan dapat bersabar. Padahal Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu seorang insan yang telah diuji dengan kesabaran oleh Allah ‎ﷻ. Banyak perkara yang baginda telah lalui. Baginda telah berdakwah kepada Firaun, dan kita pun tahu umat baginda adalah Bani Israil yang paling degil. Namun Khadr tetap juga kata baginda tidak dapat bersabar? Ini amat menghairankan. Bagaimana Khadr tahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan sanggup?

Ini adalah kerana Khadr sudah diberitahu melalui wahyu daripada Allah ﷻ yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak boleh sabar sampai ke akhirnya. Ini kerana beliau telah diberitahu oleh Allah ﷻ tentang perkara itu. Maknanya, ini pun salah satu daripada ilmu ladunni. Khadr dapat terus daripada Allah ﷻ. Lagi pun kita tahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang yang keras, maka baginda tidak akan dapat menahan dirinya.

Khadr kata baginda tidak akan memperolehi ilmu itu kerana untuk mendapatkan ilmu itu kena sabar dan beliau sudah tahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dapat bersabar. Ini kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memiliki ilmu syariat dan penderhakaan kepada syariat (yang akan dilakukan oleh Khadr nanti) tentu tidak dapat diterima oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan faham kenapa Khadr lakukan semua itu.

Ini pun bagus juga kalau seorang guru itu beritahu perkara yang negatif dulu kepada bakal pelajar. Supaya jangan dia sangka semuanya OK sahaja. Ini adalah sebagai persiapan mental bagi pelajar itu. Contohnya kita beritahu apa yang dipelajari itu susah, tempat belajar itu dhaif, guru itu garang dan sebagainya. Agar pelajar itu dapat bersedia. Orang yang istiqamah akan berjaya.

Kalimah صبِر daripada katadasar ص ب ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan perkara yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.

Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: sabar ya, sabar ya…. Namun tahukah apa itu ‘sabar’ yang sebenarnya dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhārī (6114))

 

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian. Begitulah juga untuk mendapatkan ilmu, kena bersabar kerana ujiannya banyak. Ramai orang tidak sabar kerana pada peringkat permulaan memang susah hendak faham. Ramai yang gagal dan tidak meneruskan pengajian.

Daripada tiga jenis terdapat pula tiga peringkat sabar:

1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.

2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.

3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena tanam sedalam-dalamnya ke dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran: 133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;


 

Kahf Ayat 68: Khadr bukan kata kosong, tapi katanya itu disambung dengan alasan atau hujah kenapa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan dapat bersabar.

وَكَيفَ تَصبِرُ عَلَىٰ مَا لَم تُحِط بِهِۦ خُبرًا

Sahih International

And how can you have patience for what you do not encompass in knowledge?”

Malay

Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara menyeluruh?

 

Khadr tahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan dapat menerima ilmu taqwini itu kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ belajar ilmu syariat. Ada perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan kerana tertakluk kepada hukum syariat. Akan tetapi Khadr tidak tertakluk kepada hukum syariat itu kerana beliau mendapat arahan terus daripada Allah ﷻ. Maka susahlah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak mengimbangi dua perkara itu.

Kalimah تُحِط daripada kata أحاط يحيط yang bermaksud melingkari, melingkungi. Kata ini digunakan untuk menggambarkan penguasaan dan kemantapan dari segala segi dan sudutnya bagaikan sesuatu yang melingkari sesuatu yang lain.

Kalimah خُبرًا bermaksud pengetahuan yang mendalam. Khadr memberitahu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bahawa Allah ﷻ ada beri ilmu kepadanya yang tidak diberikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Manakala Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada diberi ilmu yang tidak diberikan kepadanya. Bermakna, orang yang berilmu pun kena merendah diri juga. Seorang alim tidak akan tahu semua perkara. Dia mungkin mahir dalam satu bidang, tetapi akan ada orang lain lagi yang lebih tahu daripadanya dalam bidang yang lain.

Khadr tahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan sanggup mengikutinya kerana baginda akan melihat tindakan Khadr yang akan bertentangan dengan syariat. Setiap hal yang lahir ada pula sisi batiniahnya, yang tidak diketahui oleh pengetahuan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahu, tetapi Khadr tahu hikmah dan kemaslahatan di dalam tindakannya.

Ucapan Khadr ini memberi isyarat bahawa seorang pendidik hendaknya menuntun anak didiknya dan memberi tahu kesulitan-kesulitan yang akan dihadapi dalam menuntut ilmu, bahkan mengarahkannya untuk tidak mempelajari sesuatu jika sang pendidik mengetahui bahawa potensi anak didiknya tidak sesuai dengan bidang ilmu yang akan dipelajarinya. Macam kita kalau hendak mengajar pun hendaklah kita pastikan yang anak murid kita itu sesuai untuk belajar. Jangan diberikan ilmu-ilmu yang tinggi kepada budak-budak pula kerana akal mereka belum mampu menerimanya.

Di sini kita jangan pula kita sangka Khadr tidak mahu mengajar Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana orang soleh memang suka kalau hendak menyampaikan ilmu kerana menyampaikan ilmu itu adalah sesuatu yang mulia dan menjadi sumber pahala. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ )) رواه مسلم
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: Apabila matinya seorang anak Adam itu, maka akan terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya (oleh orang lain), atau anak soleh yang mendoakannya.
(Sahih Muslim (3084))

Maka yang disebut oleh Khadr ini hanya sebagai peringatan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum mula belajar. Orang yang baru belajar selalunya susah hendak sabar kerana bila mula belajar, dia akan mendapati ada banyak yang dia kena belajar dan mulalah rasa cepat putus asa. Maka ini juga peringatan kepada kita dalam mula belajar sesuatu yang baru.


 

Kahf Ayat 69: Apakah jawapan daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Baginda tetap berkeinginan untuk belajar walaupun telah mendapat jawapan daripada Khadr seperti di atas. Baginda tetap hendak belajar. Begitulah kekuatan hendakkan ilmu itu, sampai sanggup menghadapi apa sahaja.

قالَ سَتَجِدُنيٓ إِن شاءَ اللهُ صابِرًا وَلآ أَعصي لَكَ أَمرًا

Sahih International

[Moses] said, “You will find me, if Allah wills, patient, and I will not disobey you in [any] order.”

Malay

Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”.

 

قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللهُ صَابِرًا

Nabi Musa menjawab: “Kamu akan dapati bahawa aku, jika Allah kehendaki, satu orang yang sabar”;

Nabi Musa  sememangnya sudah seorang yang penyabar kerana untuk melayan kerenah kaumnya, tentu memerlukan seorang Nabi yang sabar. Lebih lagi kaumnya adalah kaum yang teruk dan memang amat mencabar untuk dibentuk.

Nanti akan disebut yang dikehendaki oleh Khadr adalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabar dalam bertanya sahaja. Jangan tanya selagi beliau tidak beritahu. Akan tetapi kita akan tahu nanti bahawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan bertanya juga kerana apa yang Khadr akan lakukan adalah menyalahi syariat. Seseorang Nabi tidak mungkin akan melanggar syariat melainkan mendapat wahyu daripada Allah ﷻ.

Kita telah belajar yang kita kena gunakan kalimat إِنْ شَاءَ اللهُ dalam banyak hal. Ini kita telah belajar dalam awal surah ini. Dalam ayat yang kita sedang belajar ini, Allah ﷻ mengajar kita bagaimana cara menggunakan perkataan إِنْ شَاءَ اللهُ itu. Maka dua kalimat itu disebut dalam surah ini.

Kita kena selalu gunakan kalimat ini kerana kita tidak yakin apa yang akan berlaku di masa hadapan. Kita memang mahu lakukan sesuatu tetapi kita tidak tahu kehendak Allah ﷻ. Kita juga tidak tahu kemampuan kita. Maka kita serahkan kepada Allah ﷻ. Kalau para Nabi pun tidak yakin tentang masa hadapan, maka kita pun kenalah begitu juga. Begitulah juga yang disebut oleh Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ beritahu yang baginda akan disembelih, di dalam Saffat: 102

فَلَمّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعيَ قالَ يٰبُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ فَانظُر ماذا تَرىٰ ۚ قالَ يٰأَبَتِ افعَل ما تُؤمَرُ ۖ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰبِري
Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.

Ucapan إِنْ شَاءَ اللهُ itu di samping merupakan adab yang diajarkan semua agama dalam menghadapi sesuatu di masa depan, ia juga mengandungi makna permohonan untuk memperoleh bantuan Allah ﷻ dalam menghadapi sesuatu. Apalagi dalam belajar, khususnya dalam mempelajari dan mengamalkan hal-hal yang bersifat batiniah. Ini lebih penting lagi bagi seseorang yang telah memiliki pengetahuan, kerana boleh jadi pengetahuan yang dimilikinya tidak sejalan dengan sikap atau apa yang diajarkan sang guru.

Kalau kita lihat dalam susunan ayat ini, ada dua bahagian: pertama, tentang Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan bersabar dan kedua, tentang baginda tidak akan menderhaka kepada Khadr. Dalam bahagian pertama, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata إِنْ شَاءَ اللهُ, tetapi tidak dikatakannya dalam bahagian kedua. Akibatnya, Allah ﷻ tidak membuatkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjaya dalam bahagian kedua.

 

وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا

“Dan aku tidak akan derhaka kepada kamu dalam satu arahan pun”;

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jawab itu berdasarkan pengalaman baginda. Iaitu baginda tahu yang baginda adalah seorang yang sabar dan tentunya seorang yang taat. Namun dalam bahagian ini baginda tidak sebut ‘in sha Allah’. Maka nanti baginda tidak dapat menepati perkara ini.

Pengajaran yang boleh diambil daripada ayat ini adalah seorang anak murid kena taat kepada gurunya. Kena ikut kata gurunya dalam banyak hal asalkan tidak bersalahan dengan syariat kerana tidaklah boleh taat dalam perkara-perkara maksiat. Jangan ikut arahan guru kalau guru suruh buat perkara pelik yang menyalahi syariat.

Namun malang sekali berapa banyak kisah kita dengar tentang ajaran-ajaran salah termasuklah dalam tarekat yang tidak usul periksa dengan apa yang guru mereka lakukan. Walaupun apa sahaja yang dilakukan oleh guru mereka, mereka kata tidak salah kerana guru mereka mengikut sunnah ‘Khadr’. Itu sudah sesat dan hanya berlaku dengan anak murid yang jahil.


 

Kahf Ayat 70: Sekarang Khadr memberikan syarat kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kalau baginda tetap mahu belajar dengannya.

قالَ فَإِنِ اتَّبَعتَني فَلا تَسئلني عَن شَيءٍ حَتّىٰٓ أُحدِثَ لَكَ مِنهُ ذِكرًا

Sahih International

He said, “Then if you follow me, do not ask me about anything until I make to you about it mention.”

Malay

Dia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatu pun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.

 

قالَ فَإِنِ اتَّبَعتَني فَلا تَسئلني عَن شَيءٍ

Dia menjawab: “Sekiranya engkau hendak mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatu pun

Ini adalah syarat yang diberikan oleh Khadr kepada Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kalau mahu mengikutinya. Tidak boleh bertanya tentang apa-apa pun. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh untuk melihat dan memerhati sahaja dulu. Maka bukanlah Khadr letak banyak syarat tetapi hanya satu sahaja. Begitulah kita mudahkan orang untuk belajar dengan kita. Jangan susahkan sangat sampai orang malas hendak belajar dengan kita.

 

حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا

“sehingga aku ceritakan kepada kamu tentang peristiwa itu”;

Jangan tanya lagi tetapi Khadr akan beritahu sebab apa beliau melakukan perkara-perkara yang akan berlaku nanti. Bukannya tidak akan diberitahu langsung, cuma kena sabar untuk tunggu beliau beritahu pengajaran daripada apa yang akan dilakukan. Ini kerana apa yang beliau buat itu mesti ada sebab.

Dengan ucapan ini, Khadr telah mengisyaratkan adanya hal-hal yang aneh atau bertentangan dengan pengetahuan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang akan terjadi dalam perjalanan itu, yang boleh jadi memberatkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Maka bukan tidak boleh tanya, tetapi kena bersabar dan tanya di hujung kelas. Kerana itulah kita kena menghormati guru yang mengajar. Ikut kehendaknya, bagaimana dia hendak menjalankan kelasnya. Ada guru yang izinkan bertanya semasa dalam kelas dan ada guru suruh tanya hanya apabila di hujung kelas. Ada pula guru yang tidak beri sesi soal jawab maka kena cari masa lain untuk bertanya kepadanya. Rasulullah pun pernah tangguhkan menjawab soalan dari sahabat seperti disebut di dalam satu hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَدِّثُ فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ سَمِعَ مَا قَالَ فَكَرِهَ مَا قَالَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ لَمْ يَسْمَعْ حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ أَيْنَ أُرَاهُ السَّائِلُ عَنْ السَّاعَةِ قَالَ هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
Dari [Abu Hurairah] berkata: Ketika Nabi SAW berada dalam suatu majlis membicarakan suatu kaum, tiba-tiba datanglah seorang Arab Badwi lalu bertanya: “Bilakah datangnya hari kiamat?” Namun Nabi SAW tetap melanjutkan perbicaraannya. Sementara itu sebahagian kaum ada yang berkata; “baginda mendengar perkataannya akan tetapi baginda tidak menyukai apa yang dikatakannya itu, ” dan ada pula sebahagian yang mengatakan; “bahawa baginda tidak mendengar perkataannya.” Hingga akhirnya Nabi SAW menyelesaikan perbicaraannya, seraya berkata: “Mana orang yang bertanya tentang hari kiamat tadi?” Orang itu berkata: “saya wahai Rasulullah!”. Maka Nabi SAW bersabda: “Apabila sudah hilang amanah maka tunggulah terjadinya kiamat”. Orang itu bertanya: “Bagaimana hilangnya amanat itu?” Nabi SAW menjawab: “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka akan tunggulah terjadinya kiamat”.
Sahih Bukhari (57)

Masalah dengan sesetengah orang yang belajar, asyik bertanya tanpa henti. Sedangkan kalau mereka bersabar, jawapannya akan ada di hujung nanti atau di kelas yang di hadapan. Pertanyaan mereka yang terlalu banyak akan menyebabkan kelas terganggu dan menjengkelkan guru sahaja. Ada pula yang bertanya tanpa belajar, sedangkan kalau mereka belajar, mereka tidak perlu bertanya pun kerana sudah ada di dalam silibus kelas. Namun kalau apa sahaja lalu di kepala itu hendak ditanya, maka ini tidak patut sekali. Jadi boleh bertanya, tapi bukanlah itu cara belajar sebenarnya. Cara belajar adalah dengan belajar dan kemudian tanya mana yang tidak faham. Bukan metode belajar itu tanya dan tanya sahaja. Sepatutnya belajarlah dahulu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Julai 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maualana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Kahfi Ayat 66 – 70 (Syarat belajar)”

  1. Salam Tuan

    Mohon utk kemaskini Link – rujuk disini (page not found) & maka kena baca : ahla atau ahlal

    Nota: potongan ayat ini dan selepasnya adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut. Maka kena baca: ahlal qaryatinis tat’ama.

    Terima Kasih

    Like

      1. Taipkan ‘Iltiqa’ sakinain’ gunakan ‘search’ dalam website tersebut walaupun link tidak berfungsi (page not found) jawapan yang dikehendaki akan dipaparkan. Selamat mencuba

        Like

Leave a reply to Hisham Cancel reply