SOALAN 2: ADAKAH KAMU DI LUAR JANGKAUAN ALLAH ﷻ?
Mulk Ayat 16: Ini adalah satu lagi dalil daripada Allah ﷻ. Ayat ini adalah berupa soalan daripada Allah ﷻ yang ditujukan kepada para penderhaka. Ini juga adalah ayat takhwif (penakutan).
ءَأَمِنتُم مَّن فِي السَّماءِ أَن يَخسِفَ بِكُمُ الأَرضَ فَإِذا هِيَ تَمورُ
Do you feel secure that He who is above the heaven would not cause the earth to swallow you and suddenly it would sway?
Adakah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Dia yang berada di langit itu: yang boleh menyebabkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta?
ءَأَمِنْتُمْ
Adakah kamu berasa aman?;
Adakah kamu berasa sedap hati sahaja, tidak takut apa-apa? Adakah kamu rasa macam tidak ada apa-apa sahaja bukan salah atas muka bumi ini? Adakah kamu rasa selamat? Padahal Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki, bila-bila masa. Ingatlah yang kita sekarang duduk aman dan selesa di muka bumi ini kerana jaminan daripada Allah ﷻ sahaja. Kalau Allah ﷻ hendak goyangkan bumi ini, mudah sahaja bagi-Nya. Sebelum ini, Allah ﷻ sudah menceritakan bagaimana bumi ini telah dijadikan untuk kita mudah untuk diami, mudah untuk kita berurusan di atasnya. Kita boleh berjalan ke mana-mana kita kehendaki. Memang kita boleh hidup di dunia dengan senang lenang selagi kita mengikut arahan Allah ﷻ.
Namun kepada mereka yang ingkar kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ berikan ancaman ini. Jangan sangka bahawa bumi yang kamu sedang diami itu boleh kekal tenang begitu sahaja. Allah ﷻ boleh sahaja berikan azab kepada kita. Apakah azab itu? Nanti akan diberitahu sebentar lagi.
Di sini kita dapat tahu ada satu dosa batin, iaitu merasa aman dalam berbuat dosa. Kalau buat perkara mungkar sendiri sudah berdosa, tetapi kalau berasa aman dengannya, itu adalah dosa tambahan. Berapa ramai yang aman-aman sahaja membuat dosa, tidak ingat Allah ﷻ, tidak ingat akhirat? Mereka berbuat dosa seolah-olah mereka tidak akan mati sampai bila-bila, seolah-olah tidak ada akhirat. Kerana itu Hasan al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ pernah berkata yang orang beriman itu apabila mereka melakukan kebaikan pun mereka tetap takut kerana entah Allah ﷻ terima amalnya atau tidak; akan tetapi orang tidak beriman itu buat dosa pun aman tenang sahaja.
مَّنْ فِي السَّمَاءِ
dengan Yang duduk di langit itu?;
Yang dimaksudkan dengan ‘yang duduk di langit’ dalam ayat ini adalah Tuhan Allah Taala. Walaupun tidak disebut tetapi kita tahu yang dimaksudkan adalah Allah ﷻ. Di sini Allah ﷻ memberi ancaman kepada manusia. Adakah kamu rasa aman dengan Allah ﷻ? Adakah kamu tidak takut dengan Allah ﷻ? Bolehkah kamu menolak kehendak Allah ﷻ?
Di sini Allah ﷻ beritahu yang Dia فِي السَّمَاءِ. Allah ﷻ bukannya berada di langit tetapi berada lebih tinggi dari langit iaitu di luar alam ini. Ini adalah kerana kalimah فِي tidak semestinya bermaksud ‘di dalam’ akan tetapi boleh jadi di atas. Ini adalah satu dalil daripada Al-Qur’an sendiri bahawa Allah ﷻ berada di atas dari langit. Lalu bagaimana ada pihak yang mengatakan selain daripada itu? Ada yang kata Allah ﷻ ‘berada di mana-mana’. Dan ada yang kata ‘Allah wujud tidak bertempat’. Itu semua adalah salah faham mereka dengan Allah ﷻ dan cuba memesongkan ayat-ayat Allah ﷻ. Padahal, Allah ﷻ sendiri mengatakan bahawa Dia berada di atas. Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah mengatakan yang selain itu. Nabi ﷺ tidak pernah takwil ayat ini untuk mengatakan bahawa Allah ﷻ ada di mana-mana atau Allah ﷻ ‘wujud tidak bertempat’. Sekiranya Nabi ﷺ sendiri tidak takwil keberadaan Allah ﷻ, lalu bagaimana kita sebagai umatnya boleh membuat tafsiran sendiri? Kenapa tidak tenang berpegang sahaja dengan ayat-ayat Allah ﷻ di mana Allah ﷻ sendiri memberitahu tentang Diri-Nya?
Ini juga diperkuatkan daripada hadith Mu’awiyah bin al-Hakam as-Sulami رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bertanya kepada seorang hamba wanita:
أَيْنَ الله؟ قَالَتْ فِى السِّمَاءِ قَالَ: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ رَسُوْلَ اللهِ قَالَ: أَعْتِقْهَا فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ.
Di manakah Allah? Hamba itu menjawab: Di atas langit. Baginda bertanya lagi: Siapakah saya? Hamba itu menjawab: Anda Rasulullah. Maka bersabda baginda: Bebaskanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang beriman.
Hadith ini dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Shahihnya (no. 537), Abu Daud (no. 930), al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i (no. 1218), Abu ‘Awanah (2/141) Ahmad dalam al-Musnad (no. 7906), ad-Darimi (1/353-354) Ibn Hibban dalam Shahih Ibn Hibban (no. 165, 2274), Ibn Abi Syaibah dalam al-Mushannaf (no. 30333), al-Baihaqi (2/249-250) dan lain-lain yang banyak jumlahnya. Hadith ini adalah hadith yang sahih sebagaimana yang disepakati oleh seluruh kaum Muslimin. Berkata salah seorang jaguh hadith terkemuka di abad ini, Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ (1420H) menerusi kitabnya, Silsilah al-Ahadith ash-Shahihah.
Maka jelaslah sekiranya diandaikan jawapan wanita itu adalah satu kesalahan di sisi ajaran Islam maka sudah pasti sahaja baginda akan segera menegurnya lalu memperbetulkan semula jawapan wanita tersebut. Lebih-lebih lagi ia adalah sesuatu yang bersangkutan dengan persoalan akidah, persoalan yang menentukan beriman atau kufurnya seseorang kepada risalah ketuhanan yang dibawa oleh baginda. Dalam memberi komentarnya ke atas hadith di atas, al-Imam adz-Dzahabi رَحِمَهُ اللَّهُ (748H) berkata:
وهكذا رأينا كل من يسأل: أيْن الله ؟ يبادر بفطرته ويقول: في السماء. ففيْ الْخبر مسألتان: إحداهما: مشروْعية قول الْمسْلم أيْن الله؟ وثانيها: قول المَسؤول: في السماء. فمن أنكر هاتين المسألتين فإنما ينكر على المصطفى.
Demikian kita melihat setiap orang yang ditanya: Di mana Allah? Nescaya dia akan menjawab dengan fitrahnya: Allah di atas langit. Dalam hadith ini terdapat dua masalah: Pertama, disyariatkannya pertanyaan kepada seorang muslim: Di mana Allah? Kedua, jawapan orang yang ditanya pertanyaan tersebut: Di atas langit. Barangsiapa yang mengingkari dua masalah ini, maka bererti dia mengingkari al-Musthafa (Nabi ﷺ).
أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ
Yang boleh membenamkan kamu dalam bumi;
Bila-bila masa sahaja Allah ﷻ boleh benamkan kita ke dalam bumi; Tidakkah kita pernah terfikir bahawa Allah ﷻ sedang sentiasa melihat kita? Tidakkah kita takut apabila sedang melakukan dosa? Seandainya Allah ﷻ taqdirkan kita terbenam ke dalam bumi kerana dosa kita, waktu itu juga, bagaimana? Walaupun di dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ berfirman هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا (Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu mudah untuk dilalui) yang bermaksud bumi ini dijadikan tidak lembut, tidak keras supaya kita boleh hidup di atasnya, namun begitu Allah ﷻ boleh sahaja jadikan tanah itu jerlus dan membenam manusia yang di atasnya.
Sekiranya kamu ingkar kepada Allah ﷻ, adakah kamu berasa aman dengan Allah ﷻ? Senang lenang kamu tinggal di bumi Allah ﷻ ini? Perkataan خسف pada dasarnya bermaksud ‘menghilangkan sesuatu’. Sebagai contoh, apabila gerhana berlaku, ia juga dipanggil ‘khusuf’ kerana bulan menghilangkan sinar matahari. Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud bumi boleh menghilangkan kita. Ia boleh menarik kita ke dalam perutnya. Kita pun biasa lihat bagaimana tanah jerlus boleh menyedut manusia dan menghilangkan terus manusia itu. Azab yang sama juga pernah dikenakan kepada Qarun seperti yang diceritakan dalam al-Qasas: 81 di mana perkataan yang digunakan adalah فَخَسَفْنَا (Maka Kami hilangkan). Kata dasar yang sama digunakan.
فَخَسَفنا بِهِ وَبِدارِهِ الأَرضَ
Maka Kami benamkan Qarun berserta rumahnya ke dalam bumi
Sudah tentu Allah ﷻ mampu melakukannya dan entah berapa kaum sudah terbenam di dalam bumi. Kajian arkeologi mendapati begitu banyak tamadun di dalam tanah. Setelah digali, baru tahu ada sebuah kota di bawah bumi 30 kaki dalamnya. Mereka itu pun telah dibenamkan oleh Allah ﷻ entah bila.
فَإِذَا هِيَ تَمُورُ
Maka tiba-tiba bumi itu digoncangkan;
Setelah disedut ke dalam bumi, disebut bumi bergoncang pula. Pada waktu itu baru kita hendak menyesal. Baru hendak takut dengan Allah ﷻ. Namun semuanya sudah terlambat.
Kenapa bumi digoncangkan waktu itu? Kerana hendak memasukkan mereka yang diazab ke dalamnya dengan sepenuhnya. Untuk kita faham, cuba kita letak sesuatu seperti guli ke dalam sebuah balang gula. Untuk memasukkan guli itu masuk ke dalam gula itu sepenuhnya, kita kena goncangkan balang gula itu. Barulah guli itu keseluruhannya akan masuk ke dalam balang gula itu. Begitulah tepatnya penerangan Allah ﷻ berikan kepada kita. Kita boleh faham kalau kita belajar Al-Qur’an dengan betul.
Melalui bahasa yang digunakan dalam ayat ini, kita boleh nampak bahawa Allah ﷻ tidak berkenan dengan mereka yang ingkar kepada-Nya. Kerana itulah Allah ﷻ berikan ancaman kepada pembaca Al-Qur’an ini. Yang mula-mula sekali mendengar ayat-ayat ini adalah Musyrikin Mekah.
Ayat ini walaupun nampak bunyinya ganas dan menakutkan, namun ia adalah salah satu daripada bukti rahmat dan kasih sayang Allah ﷻ kepada hamba-Nya. Hamba yang telah melakukan keingkaran sudah patut dan layak diberi azab namun Allah ﷻ tidak azab lagi mereka, malah diberi ancaman dan peringatan terlebih dahulu kepada mereka supaya mereka beringat. Allah ﷻ tidak terus mengazab tetapi beri tangguh kepada kita. Kalaulah Allah ﷻ terus azab di atas kesalahan kita, tentu tidak ada saki baki manusia dan jin di bumi ini seperti firman- Nya di dalam Fatir: 45
وَلَو يُؤاخِذُ اللهُ النّاسَ بِما كَسَبوا ما تَرَكَ عَلىٰ ظَهرِها مِن دابَّةٍ وَلٰكِن يُؤَخِّرُهُم إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى
Dan kalau sekiranya Allah menyeksa manusia disebabkan usahanya, nescaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi suatu makhluk yang melata pun akan tetapi Allah menangguhkan (penyeksaan) mereka, sampai waktu yang tertentu;
Mulk Ayat 17: Soalan kedua daripada Allah ﷻ. Daripada bahasa yang digunakan di awal ayat, pertanyaan ini lebih kuat berbanding pertanyaan sebelumnya. Ini kerana sebelum ini digunakan kalimah ءَأَمِنْتُمْ dan sekarang digunakan kalimah أَم أَمِنتُم yang lebih keras. Kalau sebelum ini telah disebut azab dari bumi, sekarang disebut azab dari langit pula. Memang di dalam surah ini Allah ﷻ menukar topik antara langit dan bumi.
أَم أَمِنتُم مَّن فِي السَّماءِ أَن يُرسِلَ عَلَيكُم حاصِبًا ۖ فَسَتَعلَمونَ كَيفَ نَذيرِ
Or do you feel secure that He who above the heaven would not send against you a storm of stones? Then you would know how [severe] was My warning.
Atau adakah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Yang berada di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?
أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
Apakah kamu merasa aman tenteram dengan Yang duduk di langit?
Tentulah yang ada di langit itu adalah Allah ﷻ seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Allah ﷻ tidak sebut Nama-Nya tetapi kita faham Siapakah yang dimaksudkan. Ini kerana tema surah ini adalah untuk kita menggunakan akal kita. Kita kena fikirkan sendiri.
Perkataan أَمْ dalam ayat ini bermaksud ‘atau’. Ia adalah untuk meneruskan hujah yang telah diberikan dalam ayat sebelumnya. Malah ia adalah lebih keras lagi daripada huruf yang digunakan sebelumnya. Kerana selalunya begitu, ada peningkatan dari yang awal. Kerana degil juga, maka ditambah kesan kemarahan daripada Allah ﷻ.
أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا
yang boleh menimpakan hujan batu ke atas kamu;
Ini seperti yang telah dikenakan kepada tentera Abrahah semasa tentera itu menyerang Kaabah. Bayangkan hujan yang biasanya air, Allah ﷻ jadikan dalam bentuk batu pula, tentunya mati semua orang. Angin yang sepoi-sepoi bahasa dan enak bagi kita ini Allah ﷻ boleh sahaja menukarkannya menjadi taufan dan membawa batu dan jatuhkan ke atas kita!
Perkataan حَاصِبًا bermaksud membaling sesuatu dengan batu. Allah ﷻ memberikan contoh ini kerana ia pernah dikenakan kepada orang-orang sebelum kita. Dalam ayat Qamar: 34, Allah ﷻ telah menceritakan bagaimana kaum Luth juga telah dihujani dengan batu. Dalam ayat itu, Allah ﷻ juga menggunakan perkataan حَاصِبًا.
إِنّا أَرسَلنا عَلَيهِم حاصِبًا إِلّا ءآلَ لوطٍ
Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut,
Selalunya hujan yang turun ke bumi adalah air yang menyejukkan dan memberikan ketenangan kepada kita. Namun Allah ﷻ boleh juga menurunkan hujan batu dari atas. Sama ada memang hujan itu dijadikan daripada batu atau angin itu terlalu kuat seperti tornado yang mengambil batu dari tempat-tempat lain dan menurunkannya kembali kepada manusia yang ingkar itu.
Bukan di dalam ayat ini sahaja Allah ﷻ ancam sebegini. Perhatikan di dalam Isra’: 68
أَفَأَمِنتُم أَن يَخسِفَ بِكُم جَانِبَ ٱلبَرِّ أَو يُرسِلَ عَلَيڪُم حَاصِبًا ثُمَّ لَا تَجِدُواْ لَكُم وَڪِيلاً
Maka apakah kamu merasa aman (daripada hukuman Tuhan) yang menjungkir balikkan sebahagian daratan bersama kamu atau Dia menghujani kamu dengan batu-batu? Dan kamu tidak akan mendapat seorang pelindung pun bagi kamu,
Kerana itulah Nabi ﷺ dahulu apabila baginda melihat gugusan awan hitam di langit maka baginda selalu menjadi gelisah dan tidak tenang, sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadith:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا رَأَى مَخِيلَةً فِي السَّمَاءِ، أَقْبَلَ وَأَدْبَرَ، وَدَخَلَ وَخَرَجَ، وَتَغَيَّرَ وَجْهُهُ، فَإِذَا أَمْطَرَتِ السَّمَاءُ سُرِّيَ عَنْهُ، فَعَرَّفَتْهُ عَائِشَةُ ذَلِكَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا أَدْرِي لَعَلَّهُ كَمَا قَالَ قَوْمٌ: هَذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا»
Sesungguhnya Rasulullah ﷺ apabila melihat awan mendung di langit, beliau mundar-mandir, keluar masuk, dan air mukanya berubah gelisah, namun ketika hujan turun maka beliau menjadi lega. Lalu ‘Aisyah رضي الله عنها pun bertanya tentang hal itu, maka Nabi ﷺ bersabda: Aku tidak tahu, jangan-jangan awan itu adalah seperti yang diucapkan oleh suatu kaum.“Ini awan yang akan memberi hujan (sedangkan ia adalah azab buat mereka).
(HR al-Bukhari)
Tidakkah kita takut dengan ancaman Allah ﷻ ini? Bagaimana langit yang selama ini kita lihat indah, selalu menurunkan hujan rahmat kepada kita, tetapi Allah ﷻ boleh turunkan bala darinya? Sepatutnya kita rasa takut yang amat dengan ancaman Allah ﷻ ini. Allah ﷻ memberikan ancaman-ancaman yang kuat dalam Surah al-Mulk ini. Ini adalah kerana tujuan surah ini adalah untuk membangunkan mereka yang sudah lama tidur dalam kesesatan. Kalau kita tidur nyenyak, tentu susah untuk digerakkan. Tidak cukup digerakkan dengan jam yang kecil sahaja tetapi kena menggunakan jam loceng yang jenis lama, yang akan menggegarkan bilik tidur kita. Begitulah perumpamaan ancaman-ancaman Allah ﷻ dalam ayat ini.
Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ memberikan ancaman dari bumi. Kali ini dalam ayat ini, Allah ﷻ menceritakan tentang azab yang Allah ﷻ turunkan dari langit pula. Maknanya, dari bawah dan dari atas sekali Allah ﷻ boleh kenakan azab. Waktu itu, ke mana lagi kita boleh pergi? Allah ﷻ memberikan ancaman dari bawah dahulu kerana sememangnya kita bermula dari bawah. Amalan kita pun kita buat di bumi dan kemudian baru diangkat ke langit. Maka kerana itu dalam Ayat 16 disebut bumi dahulu dan sekarang baru disebut langit pula.
فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ
Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimanakah ancaman azab Allah;
Kita akan tahu nanti bagaimana Allah ﷻ akan buat terhadap orang yang ingkar. Kelak mereka akan tahu bahawa ingatan dan ancaman daripada Allah ﷻ itu bukan main-main. Mereka mungkin tidak endah dengan ancaman itu sekarang sebab belum berlaku lagi, namun kelak mereka akan mengetahui. Waktu itu sudah terlambat kalau hendak berbuat apa-apa lagi.
Perkataan نَذِيرِ juga boleh merujuk kepada ‘pemberi peringatan’ itu sendiri, iaitu Nabi Muhammad ﷺ. Pada awalnya, mereka mengejek-ngejek Nabi ﷺ, namun nanti mereka akan mengetahui bagaimana keadaan Nabi ﷺ itu. Bagaimana nanti mereka akan dikalahkan oleh Nabi ﷺ (di Perang Badr). Memang sewaktu di Mekah, Musyrikin Mekah itu kuat dan mereka nampak umat Islam itu lemah. Akan tetapi nanti keadaan akan jadi terbalik dan akhirnya nanti mereka kalah sampailah umat Islam akan dapat menakluk Mekah.
Lihatlah betapa pemurahnya Allah ﷻ. Walaupun manusia telah melakukan segala macam maksiat dan syirik kepada-Nya, namun Dia tidak terus mengazab mereka. Walaupun Dia mampu untuk mengazab mereka. Mereka diberi tangguh sehingga sampai waktu yang telah ditetapkan.
Mulk Ayat 18: Ayat 18 – 23 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi pertanyaan kepada mereka yang menolak seruan wahyu. Di dalam makro ini mengandungi dalil Aqli, Afaqi dan Anfusi. Allah ﷻ hendak menekankan siapakah yang berkuasa tentang beberapa kejadian di dalam alam ini iaitu hanya Dia sahaja. Ayat 18 ini mengandungi tasliah dan contoh takhwif duniawi. Allah ﷻ mengingatkan tentang umat terdahulu yang juga telah menentang Allah ﷻ, maka lihatlah pembalasan yang mereka terima. Jangan tengok sahaja, tetapi ambillah pengajaran. Takkan hendak jadi seperti mereka?
وَلَقَد كَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَكَيفَ كانَ نَكيرِ
And already had those before them denied, and how [terrible] was My reproach.
Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaan-Ku.
وَلَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ
Sesungguhnya telah mendustakan juga orang-orang yang sebelum mereka;
Iaitu sebelum orang-orang Musyrikin Mekah itu mendustakan Nabi Muhammad ﷺ, telah ada orang yang mendustakan Nabi dan Rasul mereka. Ini adalah kaum-kaum yang terdahulu. Mereka tidak mahu menerima ajakan tauhid daripada Nabi dan mereka kata bahawa kata-kata Nabi-nabi mereka itu adalah berdusta belaka. Maka tasliah (pujukan) kepada Nabi ﷺ dalam ayat ini – bukanlah baginda sahaja yang didustakan oleh umat baginda malah umat-umat terdahulu pun mendustakan Nabi dan Rasul mereka juga.
Ia juga sebagai ancaman kepada penerima Al-Qur’an dan yang pertama sekali adalah Musyrikin Mekah. Allah ﷻ hendak ingatkan yang bukan mereka yang baru berjinak-jinak menolak Rasul mereka; umat dahulu pun sudah buat perkara yang sama. Sekarang ini pun, memang ada orang yang mendustakan juga ayat-ayat Allah ﷻ. Dusta itu maksudnya tolak ayat Al-Qur’an. Kalau sekarang orang ingkar, dulu pun sudah ada orang yang ingkar. Jadi, tidak ada apa yang perlu dihairankan. Itu adalah sunnatullah – ia akan terus berlaku. Akan ada sahaja yang menentang ajakan tauhid Allah ﷻ.
Terdapat penekanan dalam perkataan لَقَدْ itu. Dalam bahasa Arab, ia adalah seperti mengatakan sesuatu sampai menepuk meja menunjukkan keseriusan kata-kata yang disampaikan. Dari segi sebutan pun, perkataan قَدْ itu adalah kuat sekali. Huruf ق adalah satu huruf yang berat bunyinya dan huruf د pula adalah satu huruf yang ada qalqalah padanya. Jadi, gabungan dua huruf ini pun sudah menunjukkan kekuatan padanya.
Allah ﷻ memberi penekanan kerana hendak mengingatkan tentang umat terdahulu yang telah melakukan penolakan yang sama kepada para Nabi mereka. Begitulah ramai manusia sangka apa yang mereka lakukan itu adalah perkara baru. Namun sekarang Allah ﷻ beritahu yang telah ada umat terdahulu.
فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ
Maka bagaimanakah dahsyatnya celaan;
Ini adalah celaan Allah ﷻ nanti di Mahsyar. Rasalah dahsyatnya azab itu di neraka kelak.
Ataupun, maksudnya kenanglah bagaimanakah azab yang Allah ﷻ akan kenakan kepada mereka yang ingkar kepada-Nya semasa di dunia lagi. Ada orang-orang yang telah dikenakan azab oleh Allah ﷻ di zaman dahulu. Kita masih boleh melihat tempat-tempat azab telah diturunkan kepada manusia sebelum kita seperti Laut Mati (kaum Nabi Luth), Aad, Tsamud dan sebagainya. Kita tidak digalakkan untuk melawat tempat-tempat sebegitu. Kalau kita pergi pun mestilah kerana hendak mendapatkan pengajaran dan tidak boleh duduk lama di situ. Begitupun, walaupun kita tidak melawat, namun kita tahu kisah mereka.
Manusia kadang-kadang sangka mereka itu istimewa, mereka sangka mereka tidak berkenaan, mereka tidak sama dengan orang lain. Di sini Allah ﷻ hendak beritahu sama sahaja kamu ini dengan umat terdahulu. Kamu pun boleh dikenakan azab seperti mereka juga. Jangan sangka apa yang terjadi kepada umat terdahulu tidak boleh terjadi kepada kamu. Ini kerana manusia apabila dengar cerita orang lain, mereka tidak sangka ia boleh terkena kepada mereka. Bukan itu sahaja, kalau nasihat diberikan kepada mereka pun, mereka rasa ia nasihat yang bagus, tetapi ‘untuk orang lain’. Maknanya ia tidak memberi kesan kepada mereka. Kita kena jadikan insiden yang terjadi kepada orang lain sebagai nasihat kepada kita. Sebagai contoh, kalau nampak kemalangan, maka kita kena berhati-hati supaya jangan terlibat seperti di dalam kemalangan itu; bila dengar kematian, ingatlah yang kita pun akan mati juga.
Perkataan نَكِيرِ daripada katadasar ن ك ر yang bermaksud tidak suka; tidak berhubungan lagi; menafikan; menolak dengan lidah atau hukuman; menjadi keras; sukar; berasa jijik terhadap sesuatu; membuat pertuduhan; dahsyat; mengerikan; orang yang menafikan fakta; sesuatu yang tidak mengenali; orang yang menyimpang; paling tidak baik dan palsu. Kalimah نَكِيرِ boleh juga diertikan sebagai azab. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ tidak gunakan perkataan ‘azab’ dalam ayat ini? Dari segi bahasa, perkataan نَكِيرِ antaranya bermaksud ‘tidak diketahui’. Kalimah munkar juga daripada katadasar yang sama. Oleh itu, ia bermaksud azab yang tidak diketahui dari mana ia datang, atau bilakah ia akan datang. Azab dari bumi yang diancam dan azab dari langit itu boleh datang kepada mereka secara tiba-tiba. Dalam mereka sedap-sedap menjalani kehidupan mereka dengan selesa, Allah ﷻ boleh berikan azab itu kepada mereka secara tiba-tiba!
Kalimah نَكِيرِ juga bermaksud ingkar. Jadi Allah ﷻ perli mereka: bagaimana kesan keingkaran kamu dahulu? Berbaloikah? Ia juga bermaksud sukar sangat dan begitulah yang mereka akan alami nanti.
Kita boleh lihat penggunaan nahu yang digunakan dalam ayat-ayat ini. Kadang-kadang Allah ﷻ berkata terus kepada manusia dan kadang-kadang Allah ﷻ menggunakan bahasa dalam kataganti ketiga. Ini dinamakan iltifat. Apabila Allah ﷻ menggunakan kataganti ketiga, itu bermaksud Allah ﷻ menunjukkan ketidaksukaan-Nya kepada makhluk itu. Kerana mereka ingkar, maka Allah ﷻ pun tidak mahu bercakap dengan mereka. Namun lihatlah juga bagaimana rahmat Allah ﷻ. Walaupun Allah ﷻ murka dengan mereka, namun Allah ﷻ masih lagi mahu memberi peringatan kepada mereka. Bandingkan kalau dengan kita – kalau kita marah sangat kepada seseorang, hendak bercakap dengan dia pun kita sudah tidak sudi. Pada kita, biarlah dia hendak jadi apa pun. Akan tetapi Allah ﷻ tidak begitu. Lihatlah selepas ini, berapa banyak lagi peringatan yang Allah ﷻ berikan kepada manusia supaya mereka kembali ke pangkal jalan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 5 Februari 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad
Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Nouman Ali Khan
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

