Tafsir Surah Kahfi Ayat 14 – 16 (Robtul Qalbi)

Kahf Ayat 14: Sekarang kembali kepada kisah Pemuda-pemuda itu. Sekarang kita dihidangkan dengan cerita mereka mengadap raja negeri itu. Tadi telah diberikan kisah yang ringkas tentang mereka sebagai muqaddimah. Sekarang Allah ﷻ hendak menceritakan kenapa mereka lari pada mulanya. Sekarang Allah ﷻ telah membawa kita semula kepada masa mereka dipanggil mengadap raja mereka.

وَرَبَطنا عَلىٰ قُلوبِهِم إِذ قاموا فَقالوا رَبُّنا رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ لَن نَّدعُوَ مِن دونِهِ إِلٰهًا ۖ لَّقَد قُلنا إِذًا شَطَطًا

 Sahih International

And We made firm their hearts when they stood up and said, “Our Lord is the Lord of the heavens and the earth. Never will we invoke besides Him any deity. We would have certainly spoken, then, an excessive transgression.

Malay

Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

 

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا

Dan Kami teguhkan atas hati-hati mereka ketika mereka bangun berdiri;

Kalimah رَبَطْ asalnya bermaksud ikat dan ia boleh juga bermaksud kuatkan. Pemuda Kahfi itu adalah pemuda yang telah mendapat iman seperti yang telah disebut di dalam ayat sebelum ini. Mereka telah dipertemukan sesama mereka oleh Allah ﷻ dalam keimanan. Asalnya mereka ini tidak kenal sesama sendiri. Namun Allah ﷻ yang aturkan mereka bertemu. Apabila masyarakat mereka buat perayaan syirik, mereka menyisih ke tepian. Lama-lama nampak ada geng lain rupanya dan mereka pun duduk bersama. Setelah sekian lama mereka bersembang dan barulah tahu yang mereka tidak setuju dengan amalan masyarakat mereka.

Kemudian mereka telah membina tempat ibadat yang hanya sembah kepada Allah ﷻ yang mereka gunakan secara sembunyi. Akan tetapi ada yang telah melaporkan perkara itu kepada raja dan raja telah memanggil mereka. Biasalah adalah sahaja ‘kaki report’. Kalau di negara ini pun ada. Apabila disampaikan ajaran Sunnah, ada yang panas punggung terasa hati, dan mereka punyalah sakit hati sampai melaporkan ke pejabat agama.

Mereka telah dipanggil mengadap raja namun mereka berani Sahaja berdiri di hadapan raja yang zalim itu. Bayangkan kalau kita telah dipanggil mengadap ketua negara. Tentulah ia satu perkara yang menakutkan kerana raja ada kuasa untuk menjatuhkan hukuman (tidak kiralah kita salah atau betul seperti kata Voltaire: ‘It is dangerous to be right when your government is wrong’ (Adalah bahaya untuk berada di pihak yang benar sekiranya kerajaanmu di pihak yang bathil). Walaupun begitu, mereka telah berkata benar tentang keimanan mereka, malah telah mengajak raja itu supaya beriman kepada Allah ﷻ. Mereka itu sanggup berdiri di hadapan raja yang boleh membunuh mereka jika mereka enggan sembah berhala. Allah ﷻ telah menguatkan hati mereka untuk berhadapan dengan raja yang zalim. Dari manakah datang kekuatan mereka itu? Daripada ilmu yang ada pada mereka. Oleh sebab itu, untuk berani kenalah yakin yang diri itu benar dan ini hanya dapat digarap setelah mempunyai ilmu.

Ternyata mereka lebih takut kepada Allah ﷻ dan ini penting di dalam dakwah. Kalau masih lagi takut-takut kepada manusia, maka para pendakwah akan tertahan-tahan dakwahnya. Namun kalau hatinya sudah besarkan Allah ﷻ lebih daripada segalanya, maka segala halangan seperti pemimpin, masyarakat, keluarga, itu semua akan ditolak ke tepi kerana walaupun mereka itu penting, akan tetapi Allah ﷻ lebih besar dan lebih penting daripada mereka. Kerana itu di awal Nabi ﷺ dilantik menjadi Nabi dan juga disuruh untuk sampaikan dakwah, Allah ﷻ suruh baginda besarkan Dia dahulu seperti disebut di dalam Muddaththir: 1-3

يٰٓاَيُّهَا المُدَّثِّرُ
Wahai orang yang berselimut!

قُم فَأَنذِر
Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).

وَرَبَّكَ فَكَبِّر
Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya!

Ramai antara kita ini, bukan orang hendak bunuh pun, tetapi mahu menceritakan yang benar pun sudah takut. Kalau cerita tentang agama pun, sikit-sikit sahaja. Antaranya, kita tidak tegur orang yang buat kesyirikan dalam tawasul (perantaraan). Padahal tawasul ini semua orang sudah buat sampai masuk dalam masjid pun sekarang. Kalau dalam masjid pun sudah ada perbuatan syirik, tambahan pula kalau luar masjid. Begitu juga dengan amalan bid’ah masyarakat yang dipandang senyap sahaja tanpa teguran kerana takut dicemuh. Ada antara kita yang telah faham bahawa ia adalah perbuatan yang salah, tetapi takut hendak beritahu orang lain. Takut orang tohmah kita atau kata kita pula yang sesat.

Apabila kita berani berdepan dengan bahaya kerana menegakkan agama, Allah ﷻ akan beri kekuatan iman yang tidak boleh diganggu gugat. Apa yang dialami oleh Pemuda Kahfi itu yang dimaksudkan dengan Robtul Qalbi yang diambil daripada kalimah رَبَطْ di atas. Iaitu penetapan hati oleh Allah ﷻ terhadap hamba-Nya yang telah teguh iman mereka kerana mereka sanggup untuk memperkatakan kebenaran walaupun di depan raja yang zalim, maka Allah ﷻ telah kurniakan kedudukan Robtul Qalbi kepada mereka. Iman mereka tidak akan goyah lagi. Iman mereka sudah berada di dalam pemeliharaan Allah ﷻ kerana mereka telah dapat melepasi ujian yang berat untuk mempertahankan iman mereka.

 

فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Mereka berkata: Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi.

Mereka dengan beraninya menyebut tentang pegangan tauhid mereka. Mereka beriman kepada Allah ﷻ. Alam ini yang meliputi langit-langit dan bumi ini semua milik-Nya. Kita ini hidup di dalam alam yang dicipta-Nya, maka tidaklah patut kita menyembah selain-Nya. Kalau hendak sembah selain Dia, maka hiduplah di alam lain! Ini adalah kata-kata yang benar namun bahaya sekali jikalau ia disebut di hadapan orang zalim yang musyrik.

Para Pemuda itu bukan sahaja menyatakan iman mereka kepada raja itu, akan tetapi kata-kata mereka ini juga adalah dakwah. Maka kisah mereka ini bukan kisah mereka hebat tidur sahaja, tetapi kisah dakwah mereka. Mereka ini adalah Pemuda Dakwah. Dakwah mereka ini adalah Dakwah Rububiyyah iaitu mengingatkan manusia siapakah Rabb kita. Rabb adalah yang mencipta, memelihara dan mengurus alam ini. Bayangkan mereka dakwah kepada raja yang zalim itu. Sememangnya jikalau raja sesuatu negeri itu boleh terima Sunnah, senang Sunnah berkembang (seperti yang berlaku di Perlis sekarang). Cuma agak susahlah untuk dapat mendekati raja. Ia memerlukan orang yang rapat dengan raja untuk sampaikan dengan berhemah.

 

لَنْ نَّدْعُوَ مِنْ دُونِهِ إِلَٰهًا

Kami tidak akan sekali-kali menyeru apa sahaja ilah lain selain dariNya.

Setelah mereka dakwah bab Rububiyyah seperti yang disebut sebelum ini, sekarang mereka Dakwah Uluhiyyah pula. Iaitu sembah dan puja mesti hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Kenapa hendak sembah selain Allah ﷻ sedangkan alam ini Allah ﷻ yang cipta, pelihara dan urus? Maka uslub dakwah adalah pertama sekali kena kenalkan manusia kepada Allah ﷻ dan kemudian tuntutan setelah kenal Tuhan itu iaitu hendaklah sembah dan puja Dia sahaja. Inilah susunan dakwah yang diajar kepada kita di dalam ayat ini.

Para Pemuda itu menekankan yang mereka tidak akan seru ilah-ilah lain kerana tidak ada ilah lain selain Allah ﷻ. Mereka tidak akan seru sesiapa pun selain Allah ﷻ, baik dalam ibadat atau dalam doa. Ini adalah maksud kepada ‘nafi syirik’. Kerana itulah di dalam syahadah kita dimulakan dengan لا اله (tiada ilah) kerana lafaz yang paling kuat adalah menafikan adanya ilah-ilah yang lain dahulu. Kemudian baru ithbat bahawa ilah itu hanya Allah ﷻ.

Oleh yang demikian apa yang mereka lakukan ini ini lagi bahaya kerana menolak fahaman masyarakat termasuk raja itu. Raja dan rakyat itu mungkin sudah kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan, akan tetapi mereka mungkin melakukan syirik dengan melakukan ibadah atau seru ilah-ilah yang lain seperti Nabi, wali dan malaikat. Walau bagaimanapun mereka dengan beraninya menyampaikan dakwah itu. Maka kita yang bukan berhadapan dengan raja tetapi berhadapan dengan orang-orang biasa ini, janganlah rasa takut pula. Kebanyakan daripada kita tidak mahir dalam memahami Tauhid dan Syirik ini sampaikan ceroi bab ini. Ramai yang melakukan syirik tanpa mereka sedar. Maka kita kena ingatkan mereka.

Sebenarnya kalau kita amalkan sendiri amalan kita tanpa tegur amalan orang lain, boleh sahaja hidup. Akan tetapi kalau kita tegur itulah yang menyebabkan kesusahan kepada kita. Namun agama Islam ini mementingkan amar ma’ruf nahi munkar. Maka kalau ada kesalahan di dalam masyarakat, memang kita kena tegur.

 

لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

Sekiranya kami kata demikian, kami telah katakan perkara yang melampaui batas;

Kata شَطَطًا bererti pelampauan batas dalam mengingkari kebenaran. Maksudnya menyeleweng jauh daripada kebenaran. Sesetengah ulama’ berpendapat bahawa kata شيطان diambil daripada kata tersebut, kerana dia adalah tokoh segala makhluk yang telah melampaui batas dalam mengingkari kebenaran.

Para Pemuda Kahf itu mengatakan kalau mereka buat juga seperti yang dilakukan oleh kaum mereka itu, bermakna mereka telah melakukan perkara yang tidak masuk akal. Iaitu sesuatu yang amat jauh daripada kebenaran. Mereka dengan beraninya mengatakan bahawa agama yang dianuti oleh raja dan rakyat mereka itu adalah satu agama yang amat jauh daripada kebenaran kerana raja dan kaum mereka telah sembah dan seru selain Allah ﷻ.

Inilah akidah para Pemuda Kahfi itu. Banyak para pentafsir mengatakan mereka ini adalah pengikut syariat Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Manakala ada pula yang mengatakan mereka ini adalah daripada golongan Bani Israil (sebelum Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Maka persoalannya adakah mereka itu Yahudi ataupun Nasrani (atau Kristian)? Persoalan ini telah menjadi polemik juga di negara kita apabila Perdana Menteri mengatakan mereka Kristian. Akibatnya orang yang jahil tidak tahu apa-apa tentang Pemuda Kahf ini telah menuduh PM itu sesat dan sebagainya.

Di sini kita tidak katakan dengan pasti sama ada mereka itu Yahudi atau Nasrani, akan tetapi kita pasti yang mereka itu akidahnya benar, bukan musyrik. Kerana itu mereka menentang apa yang dilakukan oleh masyarakat mereka. Mereka bukanlah sama akidah dengan Yahudi dan Kristian yang kita lihat sekarang. Cuma apabila ajaran agama mereka telah merudum jatuh ke arah fahaman syirik, mereka tetap di atas agama Tauhid.


 

Kahf Ayat 15: Kemudian biasalah, antara hujah yang ditanya: adakah salah amalan orang ramai?

هٰؤُلاءِ قَومُنَا اتَّخَذوا مِن دونِهِ ءآلِهَةً ۖ لَّولا يَأتونَ عَلَيهِم بِسُلطٰنٍ بَيِّنٍ ۖ فَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا

 Sahih International

These, our people, have taken besides Him deities. Why do they not bring for [worship of] them a clear authority? And who is more unjust than one who invents about Allah a lie?”

Malay

(Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu. (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.

 

هَٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ ءآلِهَةً

Mereka-mereka ini, kaum kita itu memang mengambil selain Allah pujaan lain;

Pemuda Kahfi itu bercakap tentang kaum mereka yang telah berbuat syirik. Memang mereka membuat amalan tawasul yang salah akan tetapi bahasa yang digunakan oleh para Pemuda itu masih lembut. Mereka sebut قَوْمُنَا (kaum kami) yang menunjukkan bahasa yang lembut. Inilah cara kita berdakwah kepada manusia iaitu dengan bahasa yang lembut, panggil mereka keluarga kita, abang adik kita, sahabat kita dan sebagainya. Jangan gunakan bahasa yang kasar atau perli mereka, hina mereka. Kena tunjukkan bahasa penyayang kepada manusia.

Kaum mereka itu banyak seru dan puja ilah selain Allah ﷻ. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah ءآلِهَةً yang di dalam bentuk jamak. Ilah rekaan banyak, sedangkan ilah yang benar adalah satu sahaja. Ilah-ilah itu boleh jadi harta, keluarga, nafsu, pemimpin, parti politik, berhala, Nabi, wali, malaikat dan banyak lagi. Apabila manusia tidak faham dan berpegang kemas dengan ilmu Tauhid, maka akan muncul banyak ilah-ilah rekaan.

Kenapa hendak disembah ilah selain Allah ﷻ? Bukan boleh beri manfaat dan beri mudarat pun. Maka tidak masuk akal dan tidak ada hujah untuk sembah selain Allah ﷻ.

Pemuda Kahfi itu berkata begitu kerana mereka risaukan tentang kaum mereka yang telah jauh sesat. Maknanya kita berdakwah atas dasar rahmat, kerana kita sayang kepada orang lain. Mereka juga menyatakan kebenaran walaupun pahit ditelan. Kalau salah katakan sahaja salah. Kalau perbuatan salah dilakukan oleh masyarakat majoriti, ia tetap tidak menjadi benar.

Ini penting difahami kerana ada orang yang tidak pandai buat pendirian. Mereka banyak ikut sahaja amalan majoriti masyarakat. Mereka malas berfikir panjang, ikut sahaja. Kerana dalam otak mereka yang dangkal itu, kalau ramai orang buat, takkan salah?

 

لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِمْ بِسُلْطٰنٍ بَيِّنٍ

Kenapa mereka tidak bawa datang dalil bukti yang jelas nyata?;

Amalan penduduk tempat mereka itu tidak ada dalil. Dalil yang dibawa oleh kaum mereka itu tidak ada, mungkin dalil tok guru sahaja atau amalan orang terdahulu. Maknanya, bukan amalan daripada wahyu. Ikut selera nafsu mereka sahaja. Itu bukanlah سُلْطٰنٍ بَيِّنٍ (dalil yang jelas). Cuba tanya agama lain, kenapa mereka sembah patung? Tentu tidak ada. Bayangkan, patung itu mereka yang buat, kemudian mereka sembah pula. Kalau banjir datang, patung itu pun tidak dapat selamatkan diri mereka.

Maka begitulah juga amalan kebanyakan orang kita. Ramai yang beramal dengan amalan yang bukan ada dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Mereka mengadakan dusta sahaja di atas nama Allah ﷻ. Kalau minta dalil, bersilat mereka berhujah itu dan ini, tetapi dalilnya tidak ada. Yang kita minta adalah dalil سُلْطٰنٍ بَيِّنٍ daripada Al-Qur’an atau daripada Hadith, namun ditunggu-tunggu tidak dapat. Sepatutnya dalam hal agama, apa-apa amalan hendaklah menggunakan dalil yang sah. Bukan dengan agak-agak sahaja, atau dengan menggunakan nas yang tidak sahih. Agaknya mereka ini dalil pun tidak tahu apakah ia. Mereka sangka dalil adalah: ‘ada dalam kitab’, ‘ramai orang buat’, ‘orang dulu buat’, ‘ustaz cakap’. Begitulah kalau tidak belajar dengan baik, senang sahaja ditipu.

 

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا

Siapakah yang lebih zalim daripada seorang yang berdusta atas nama Allah;

Orang yang zalim adalah mereka yang melakukan syirik. Orang kafir berdusta kerana mengatakan ilah selain Allah ﷻ itu boleh makbulkan doa, cipta alam ini, menguruskan alam ini dan sebagainya. Orang Islam pun ada juga berdusta. Contohnya mereka mengatakan Allah ﷻ perlu wakil dalam ibadat dan dalam doa. Mereka kata kalau kita doa terus kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ tidak dengar dan tidak layan. Padahal tidak pernah Allah ﷻ tidak pernah berkata begitu pun. Kita kena ingat yang Islam ini tertegak di atas dalil, bukannya hanya dengan andaian sahaja.

Oleh itu orang yang tidak dapat bawa dalil sebenarnya telah berdusta bohong dengan nama Allah ﷻ. Ini adalah satu perkara yang berat. Ini adalah perkara paling zalim kerana kalimah فَمَنْ أَظْلَمُ bermaksud tidak ada lagi yang lebih zalim daripada itu. Bayangkan, kalau kita berdusta atas nama orang lain pun, orang itu sudah marah kepada kita. Tambahan pula kalau kita berdusta atas nama Allah ﷻ! Bagaimana kita boleh berani mengatakan bahawa Allah ﷻ memerlukan perantaraan dalam berdoa kepada-Nya? Dari manakah datang ajaran itu, kerana ia tidak pernah ada dalam ajaran wahyu?


 

Kahf Ayat 16: Setelah cakap begitu kepada raja, maka mereka kena tinggalkan tempat itu dengan segera.

وَإِذِ اعتَزَلتُموهُم وَما يَعبُدونَ إِلَّا اللهَ فَأووا إِلَى الكَهفِ يَنشُر لَكُم رَبُّكُم مِّن رَّحمَتِهِ وَيُهَيِّئ لَكُم مِّن أَمرِكُم مِّرفَقًا

 Sahih International

[The youths said to one another], “And when you have withdrawn from them and that which they worship other than Allah, retreat to the cave. Your Lord will spread out for you of His mercy and will prepare for you from your affair facility.”

Malay

Dan apabila kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatNya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”.

 

وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ

Dan ketika kamu menjauhi mereka;

Kalimah اعْتَزَل daripada katadasar ع ز ل yang bermaksud untuk mengetepikan; keluarkan daripada sesuatu tempat; tempat yang berasingan daripada yang lain; tempat terpencil; jauh; dikeluarkan. Daripada katadasar inilah juga kita dapat nama golongan sesat Mu’tazilah kerana mereka itu keluar daripada jemaah Islam. Oleh itu perkataan اعْتَزَلْتُمُوهُمْ di dalam ayat ini bermaksud mengasingkan diri daripada satu-satu kumpulan. Katakanlah kita berada dalam satu keraian, tetapi kita duduk di tepi tidak bercampur dengan mereka. Begitulah yang dilakukan oleh Pemuda-pemuda Kahf itu pada mulanya.

Yang berkata ini adalah salah seorang pemuda-pemuda itu. Dia adalah sebagai ketua kepada pemuda-pemuda itu. Dia mengajar mereka apa yang mereka perlu lakukan untuk menyelamatkan diri mereka daripada Raja dan pegawai raja. Mereka sudah kena asingkan diri daripada masyarakat mereka itu. Tidak boleh lagi duduk dengan mereka. Bukan sahaja bahaya kepada diri mereka, akan tetapi kepada akidah mereka juga kerana manusia akan ikut agama kawan dia seperti disebut dalam hadith;

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
“Seseorang itu dikira mengikuti agama (kepercayaan & perbuatan) rakannya, maka hendaklah kamu perhatikan dengan siapa kamu berkawan.”
Riwayat Abu Daud (4833)
Disahihkan oleh Albani

Selain itu, ini adalah untuk menyelamatkan nyawa mereka juga. Kerana telah datanglah perintah raja supaya segala pakaian dan perhiasan yang selama ini berhak mereka pakai, (sebab mereka anak raja-raja dan anak orang besar-besar belaka), hendaklah ditanggalkan daripada tubuh mereka. Setelah yang tinggal hanya pakaian penutup aurat sahaja, mereka dibolehkan pulang ke rumah masing-masing dan diberi kesempatan untuk berfikir. Kedudukan mereka sebagai anak orang-orang besar yang kelak kemudian hari berhak memangku jabatan-jabatan penting akan dikembalikan, bersama pakaian-pakaian mereka, bilamana mereka surut kembali kepada agama nenek-moyang yang resmi.

Lalu mereka pun dibenarkan pulang ke rumah. Masa berfikir yang diberikan kepada mereka itu, rupanya telah menjadi anugerah peluang daripada Allah ﷻ untuk mereka. Dengan diam-diam mereka sanggup berkumpul kembali dan bermesyuarat dan telah mengambil keputusan yang bulat, iaitu hijrah meninggalkan negeri itu, mencari tempat yang mereka bebas melakukan ibadat menurut apa yang diyakini dan diimani kepada Allah ﷻ.

Nama raja itu dikatakan adalah Diqyanus. Raja itu telah mengejar dan mencari mereka tetapi tidak menemui mereka. Dikatakan bahawa pandangan Raja tidak dapat melihat mereka sepertimana juga orang-orang Quraish tidak dapat melihat Nabi ﷺ dan Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ semasa mereka berdua bersembunyi di dalam gua.

Mereka tidak bercampur lagi dengan perbuatan dan amalan salah kaum mereka. Kalau ada keraian atau upacara sembahan berhala kaum itu, mereka mengasingkan diri tidak ikut serta. Mereka cari jauh sikit untuk menjauhkan diri daripada upacara syirik itu. Lama kelamaan mereka perasan yang ada lagi pemuda lain yang melakukan perkara yang sama. Akhirnya mereka telah berkawan dan berbincang sesama mereka.

 

وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللهَ

dan apa-apa yang disembah selain Allah;

Para Pemuda Kahfi itu juga telah mengasingkan diri daripada terlibat dengan penyembahan syirik mereka seperti berhala, tok wali dan sebagainya. Maka begitulah kita pun kena asingkan diri kita jangan campur dengan amalan syirik dan bid’ah masyarakat kita. Kita mungkin tidak dapat halang, tetapi sekurangnya, janganlah campur.

Sebagai contoh, kalau ada persandingan di majlis perkahwinan, jangan ikut serta. Kalau ada bomoh datang ke rumah, jangan berada di rumah. Kalau ada ajak pergi kubur tok wali (kononnya), jangan ikut. Kalau ada ajak seru selain Allah ﷻ, jangan buat. Kita kena tunjuk wala wal bara’ (tunjuk suka kepada kebenaran dan tunjuk benci kepada kebathilan).

Di dalam ayat ini para Pemuda itu sebut nama Allah ﷻ. Maknanya mereka dan kaum mereka itu kenal Allah ﷻ, bukan tidak kenal. Cuma kaum mereka itu sembah juga selain Allah ﷻ dan itulah yang tidak dapat diterima oleh para Pemuda itu. Orang yang kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan, belum lagi terselamat jikalau ada elemen menyembah selain Allah ﷻ. Musyrikin Mekah juga sembah Allah ﷻ di samping ilah-ilah yang lain. Maknanya mereka mencampur adukkan penyembahan dan inilah syirik namanya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam An’am: 82

الَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يَلبِسوا إيمٰنَهُم بِظُلمٍ أُولٰئِكَ لَهُمُ الأَمنُ وَهُم مُّهتَدونَ
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

 

فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ

Maka berlindunglah kamu ke dalam gua

Setelah pergerakan Para Pemuda itu menolak amalan masyarakat mereka dan mereka telah ditahan dan dibicarakan, maka sudah sampai masa mereka menyelamatkan diri mereka bagi menjaga akidah dan agama mereka. Mereka sekarang bercakap sesama mereka membuat rancangan. Maka ketua Pemuda Kahfi itu mengarahkan mereka untuk pergi berlindung di gua. Allah ﷻlah memberi ilham kepada mereka untuk berlindung di gua itu.

Mungkin juga ada antara mereka yang dalam diam sudah tahu adanya tempat itu. Ini kerana kerana ada ال makrifah pada kalimah الْكَهْفِ itu yang menunjukkan mereka tahu cara spesifik gua. Cuma kita tidak tahu di mana tempat itu dan kita tidak perlu sibuk untuk tahu di manakah ia. Maka tidak perlu sertai pakej pelancongan lawat Gua Pemuda Kahf kerana tidak dapat dipastikan pun itulah tempatnya. Kalau pasti pun, kita bukan kena pergi ke sana. Kelebihan itu bukan ada pada gua itu sebaliknya terletak pada keajaiban iman para pemuda yang sanggup meninggalkan gua untuk pergi ke tempat yang tidak selesa untuk menyelamatkan agama.

Kalimah Kahfi bermaksud gua yang besar. Tidak sama dengan Gua Hira’ tempat Nabi Muhammad ﷺ menerima wahyu itu kerana itu adalah gua kecil dan dipanggil غار. Kenapa mereka pergi ke gua? Memang, pada masa lampau orang-orang yang ingin mempertahankan agamanya, atau bermaksud menyucikan diri, seringkali menyingkir dan mencari gua untuk bersemadi atau bertapa di sana. Rasul pun menjelang pelantikan baginda sebagai Nabi seringkali bertahannuts di Gua Hira’.

Akan tetapi jangan pula dilakukan sekarang kerana ia tidak termasuk syariat. Rasulullah ﷺ setelah menjadi Nabi tidak pernah lagi pergi ke gua. Jangan teruk sangat fahaman agama sampaikan tidak dapat bezakan mana yang sunnah dan mana yang tidak. Begitulah kita lihat ramai juga keliru dengan bab ini sampai pergi naik ke Gua Hira’ itu untuk ambil berkat. Ada pula yang bertapa di gua untuk dapat ilmu-ilmu khas (yang sebenarnya songsang).

Ayat ini mengajar kita sunnah meninggalkan tempat yang buruk ke tempat yang lebih baik. Kalau tempat tinggal kita tidak memungkinkan kita mengamalkan agama dengan sempurna, maka adalah sunnah untuk meninggalkan tempat itu. Begitulah juga yang berlaku di dalam sejarah Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Bukanlah kita katakan kena pergi ke gua, tetapi ke tempat yang selamat dan boleh mengamalkan agama Islam.

 

يَنْشُرْ لَكُمْ رَبُّكُمْ مِـّنْ رَّحْمَتِهِ

Tuhan kamu akan melimpahkan untuk kamu daripada Rahmat-Nya

Nescaya Allah ﷻ akan limpahkan rahmat kepada mereka. Ini menjawab doa mereka di dalam Ayat 10 فَقالوا رَبَّنا ءآتِنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً maka di sini Allah ﷻ makbulkan doa mereka. Perkataan نشر bermaksud mengembangkan, meluaskan. Kita mungkin melihat gua tempat mereka tinggal itu adalah sempit. Macam tidak kena dengan perkataan ‘meluaskan’ itu. Akan tetapi itulah hakikatnya. Walaupun keadaan fizikal sempit, tetapi jiwa mereka akan diluaskan. Itulah yang lebih penting. Inilah yang kita hendak; biar hidup kurang dari segi kebendaan tetapi hati tenang dan luas. Seandainya Allah ﷻ sempitkan hati, bumi yang luas pun rasa sempit seperti disebut di dalam Tawbah: 118

وَعَلَى الثَّلٰثَةِ الَّذينَ خُلِّفوا حَتّىٰ إِذا ضاقَت عَلَيهِمُ الأَرضُ بِما رَحُبَت وَضاقَت عَلَيهِم أَنفُسُهُم وَظَنّوا أَن لّا مَلجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلّا إِلَيهِ
dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari daripada (seksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja.

Maka hati yang tenang dan luas juga adalah rahmat pemberian daripada Allah ﷻ. Yang kita dambakan sepatutnya adalah rahmat, bukannya rezeki. Kerana kalau kita dapat rahmat, rezeki itu pasti akan cukup bagi kita. Namun bagaimanakah cara kita boleh mendapat rahmat? Salah satunya adalah dengan tadabbur Al-Qur’an seperti disebut di dalam A’raf: 204

وَإِذا قُرِئَ القُرءآنُ فَاستَمِعوا لَهُ وَأَنصِتوا لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

Kita disuruh diam dan dengar Al-Qur’an dibacakan supaya kita boleh faham dan ambil pengajaran. Kerana itu kena beri perhatian dan tentunya fokus kepada maksud ayat Al-Qur’an. Akan tetapi kena faham dululah dengan belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau dengar namun tidak faham, maknanya belum dapat rahmat Allah ﷻ lagi. Ini kerana Al-Qur’an perlu dibaca dengan faham seperti disebut dalam Nisa’: 43

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَقرَبُوا الصَّلَوٰةَ وَأَنتُم سُكٰرىٰ حَتّىٰ تَعلَموا ما تَقولونَ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.

Lihatlah Allah ﷻ larang solat kalau tidak faham apa yang kita baca di dalam solat itu. Dalam ayat ini larangan itu kerana kalau mabuk takkan sedar apa yang dibaca. Maka tujuannya adalah untuk faham. Jikalau kita solat dan tidak mabuk, tetapi tidak faham juga apa yang dibaca, maka ini pun termasuk juga. Namun begitu janganlah terus tidak solat pula selepas ini, yang hendak ditekankan adalah supaya memahami apa yang dibaca daripada Al-Qur’an. Kalau dalam hal dunia seperti hal kerja kita tidak faham, tentu kita akan cari jalan untuk faham, bukan? Maka kenapa hal agama yang menentukan tempat kita di syurga dan neraka, kita tidak cuba untuk faham?

 

وَيُهَيِّئْ لَكُمْ مِنْ أَمْرِكُمْ مِّرْفَقًا

dan Allah akan sediakan dalam urusan kamu itu suatu jalan yang mudah

Perkataan مِرْفَقًا bermaksud sesuatu yang menyenangkan. Seperti kawan yang kita senang dengannya dan kita boleh bercakap apa sahaja dengannya. Ia juga bermaksud satu keadaan yang menyenangkan, boleh berehat padanya – seperti berbaring atas tilam dan dan bantal yang empuk. Ia juga boleh bermaksud sesuatu yang diperlukan, seperti makanan dan pakaian. Maknanya Allah ﷻ akan beri segala keperluan mereka nanti di gua itu.

Setelah datang berita kepada raja bahawa mereka telah hilang dari negeri maka diperintahkanlah orang mencari di segenap negeri, sampai ke hutan rimba ke tempat-tempat yang kira-kira dapat buat bersembunyi, tetapi meskipun kadang-kadang orang- orang yang mencari itu sampai ke dekat gua tersebut, namun mata mereka dibutakan Tuhan terhadap kepada tempat bersembunyi itu, sehingga tidaklah berhasil maksud mereka; hampir serupalah keadaan pencarian musuh mereka terhadap diri mereka dengan percubaan kaum Quraisy hendak membunuh dan menghambat Nabi ﷺ ketika baginda berhijrah ke Madinah dan bersembunyi bersama sahabatnya Abu Bakar as-Shiddiq رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ di dalam gua di Gunung Thur yang sempit itu. Puak musyrikin pun tidak dapat mencari mereka meskipun mereka telah sampai ke tempat persembunyian itu sendiri.

Tuhan menjanjikan bahawa di dalam keadaan mereka bersembunyi itu Allah ﷻ akan melimpahkan Rahmat-Nya dan Dia akan memberikan مِرْفَقًا, yang kita boleh ertikan sebagai kemudahan, dan boleh juga diertikan secara moden sebagai fasiliti. Juga boleh diertikan lagi, akan selalu didampingi oleh Tuhan. Kerana Tuhan tidak meninggalkan mereka begitu sahaja.

Ternyata di sini kita boleh nampak penyerahan mereka kepada Allah ﷻ akan urusan mereka. Kalau mereka sendiri hendak uruskan, tidak ada jalan lagi. Kalau raja yang sudah hendak tangkap mereka, memang akan susahlah hidup mereka. Akan tetapi mereka tahu yang Allah ﷻ Maha Berkuasa maka kepada Allah ‎ﷻlah mereka berserah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Mei 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

8 thoughts on “Tafsir Surah Kahfi Ayat 14 – 16 (Robtul Qalbi)”

  1. Assalamualaikum, perkongsian yang sangat bagus. Membuatkan saya lebih suka untuk memahami al-Quran. Tapi sayangnya, tak tahu nama penulis dan latar belakang. Jadi susah untuk jadikan rujukan assignment sbb kene ikut APA style. Huhu.

    Like

  2. Kenapa dengan majlis Ya Hanana? Tak baik tau ckp mcm tu… orang berusaha nak berdakwah nak mengajak org kepada Nabi.. xbaik kutuk.. 🥺

    Like

    1. Ini adalah majlis bid’ah yang memuja Nabi. Dipelopori oleh golongan Habib yang banyak mereka-reka amalan dan fahaman baru dalam agama. Mereka adalah golongan yang sesat.

      Like

      1. Astaghfirullahalazim. Mana boleh mudah2 menghukum orang sesat. Haram. Terutama golongan Habib. Mereka adalah ahlul bait, keturunan Rasulullah SAW. Rasulullah menyuruh kita menyayangi mereka. Tiada salah dalam memuja Nabi. Jika kita boleh memuja kekasih kita, mengapa kita tidak boleh memuja Nabi SAW? Nabi lebih layak dipuja & disayangi dari seluruh penduduk bumi. Menyayangi Nabi tidak jatuh syirik

        Like

      2. Puan, setakat keturunan sahaja tidak cukup. Ya kita sayang Nabi dan kita sayang ahli keluarga Nabi. Tapi kalau ajar ajaran salah, takkan kita nak sayang juga?
        Itu belum lagi kita periksa entah betul entah tidak mereka itu keturunan Nabi. Tapi takpelah, ikutlah mereka nak mengaku pun. Tapi yang telah jelas, mereka mengajar ajaran yang salah. Puan kena buka mata sikit dan tengok pendedahan-pendedahan tentang kesesatan mereka. Jangan tengok satu bahagian sahaja, jangan ambil ilmu dari mereka sahaja.

        Like

  3. Perkara penting adalah menilai seseorang berdasarkan ilmu, akhlak, dan amal soleh, bukan semata-mata kerana keturunan. Rasulullah ﷺ sendiri bersabda:”Barang siapa yang lambat amalannya, maka nasabnya tidak akan mempercepatkannya.”(HR. Muslim, no. 2699)

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply