Kahf Ayat 10: Kisah ringkas Pemuda Kahfi. Ayat yang lalu menghuraikan bahawa peristiwa yang dialami oleh Ashab al-Kahf bukanlah satu-satunya peristiwa ajaib. Ayat ini dan ayat berikut bagaikan berkata: Baiklah, Kami uraikan kepada kamu semua kisahnya, sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, dan sebagai pelajaran bagi yang mendengarnya.
إِذ أَوَى الفِتيَةُ إِلَى الكَهفِ فَقالوا رَبَّنا ءآتِنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً وَهَيِّئ لَنا مِن أَمرِنا رَشَدًا
Sahih International
[Mention] when the youths retreated to the cave and said, “Our Lord, grant us from Yourself mercy and prepare for us from our affair right guidance.”
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ
Ketika pemuda-pemuda itu lari mencari perlindungan ke gua yang besar;
Kalimah الْفِتْيَةُ adalah jamak kepada فَتٰى fata yang bermaksud orang muda. Mereka ini telah dilapor tidak beragama seperti agama Raja dan rakyat yang lain. Kesalahan mereka itu amat berat bagi mereka dan mereka sepatutnya telah dihukum. Akan tetapi mereka diberi peluang oleh Raja (tidak terus dibunuh) kerana mereka itu semua adalah anak-anak para pembesar. Mereka diberi peluang untuk berfikir untuk mengubah agama mereka. Mereka juga dibenarkan pulang tetapi mereka kena datang semula dan mengaku untuk terima agama syirik seperti masyarakat negeri itu.
Untuk memastikan mereka pulang, nama mereka telah ditulis di atas pahat batu. Itulah yang dikatakan الرَّقِيمِ itu – dituliskan nama mereka. Macam nama penjenayah yang ditampal di poster untuk pengetahuan semua orang. Ini adalah pendapat yang lain tentang الرَّقِيمِ itu.
Oleh kerana mereka diberi masa itulah sebabnya mereka sempat melarikan diri ke gua untuk menyelamatkan diri mereka, terutama sekali untuk menjaga agama dan akidah mereka yang murni. Perkataan أَوَى bermakna mencari perlindungan. Sepertimana jikalau kita ketakutan semasa kita kecil, kita akan lari ke arah ibu kita dan memeluknya. Maka begitulah juga para Pemuda Gua itu mereka telah mendapatkan perlindungan di dalam gua. Begitulah kadangkala untuk menyelamatkan agama kita, kita kena berhijrah untuk meninggalkan tempat yang buruk. Kadang kita dihalau, kadang kita sendiri tidak tahan melihat amalan salah masyarakat tempat asal kita itu.
Seperti yang disebut, mereka ini adalah orang muda. Dalam ayat 7 sebelum ini, telah disebutkan bagaimana Allah ﷻ telah mencantikkan dunia ini kepada manusia. Orang-orang yang mementingkan materialisme, mereka hanya memandang dunia sahaja. Siapakah yang paling terkesan dengan dunia dan segala keindahannya? Tentulah orang-orang muda.
Mereka inilah yang sedang banyak tenaga, rupa masih elok lagi, tanggungjawab kurang dan sedang meningkat naik dalam kehidupan. Merekalah yang banyak terjerumus dalam kehidupan maksiat, tanpa agama dan hanya suka berhibur sahaja. Akan tetapi dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu kita bahawa ada pemuda-pemuda yang iman mereka kuat, jalan agama mereka lurus.
Mereka telah mengambil keputusan untuk menyelamatkan agama mereka dan mereka sanggup lari menuju ke gua yang jauh dari bandar untuk menyembunyikan diri. Mereka itu anak pembesar-pembesar negara namun mereka tidak kisah dengan kekayaan keduniaan. Kalau mereka mahukan kemewahan dan nikmat dunia, mereka memang boleh dapat. Namun iman mereka telah mendorong mereka untuk mengasingkan diri mereka daripada orang-orang yang telah rosak akhlak dan agama mereka. Maknanya, mereka ini adalah orang yang amat-amat baik. Jarang dapat jumpa orang seperti ini sekarang. Lihatlah kepada para pemuda Gen Z, BBNU dan budak sunat laser sekarang, apa yang ada di dalam kepala mereka? Asyik mahu hidup senang, mahu main sahaja fikir mereka. Maka kalau ada orang muda yang baik, ini adalah sesuatu yang pelik dan ajaib.
Di sini Allah ﷻ memuji golongan pemuda yang baik agama mereka. Ini kerana dalam keadaan mereka itu sebenarnya susah untuk menjaga agama kerana waktu itu hidup sedang hendak bergembira, hormon tengah menggelegak. Maka kalau ada pemuda yang baik agamanya, ia adalah sesuatu yang istimewa. Kerana itu ada hadith berkenaan pemuda yang selamat di Mahsyar nanti,
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: اَلْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللهِ ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللهِ اِجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ ، فَقَالَ : إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allah dalam naungan-Nya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya: (1) Imam (pemimpin) yang adil, (2) pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, (3) seorang yang hatinya selalu terikat ke masjid, (4) dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, keduanya berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, (5) seorang laki-laki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ Dan (6) seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan tangan kanannya, serta (7) seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sepi lalu dia menitiskan air matanya.”
Al-Bukhari (no. 660, 1423, 6479, 6806), Muslim (no. 1031 (91)),
Allah ﷻ juga hendak menyatakan kelebihan orang muda. Kerana mereka inilah yang terbuka kepada perubahan. Di zaman kita kembali ke jalan Sunnah, orang-orang muda lah yang menjadi pelopornya dan berani berubah. Sedangkan orang tua-tua sudah jumud tidak berani hendak lari daripada fahaman lama yang tidak ada hujah dan dalil. Mereka itu sudah malas hendak berfikir, tunggu mati sahaja. Kalau yang rajin belajar pun orang muda-muda sahaja.
Kalau sudah tua baru hendak belajar (selalunya begitulah), mereka itu duduk tepi dinding surau dan masjid dengar kuliah agama pun sambil tertunduk-tunduk tidur, tidak faham pun apa yang ustaz ajar. Ustaz pula ajar bab ambil wudhu’ 20 tahun tidak habis-habis lagi. Kerana apabila golongan tua bangka itu sudah mati, ustaz lihat ada orang baru yang hadir, maka dia ulang semula bab wudhu’ lagi. Hasilnya tidak berkembang mana fikiran orang-orang tua.
Maka ambillah peluang semasa muda untuk belajar dan beramal. Kerana kalau sudah tua baru mahu beramal pun sudah tidak larat.
فَقالوا رَبَّنا ءآتِنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً
Mereka berdoa: “wahai Tuhan kami, berilah kepada kami dari sisi Engkau, rahmat yang khas”.
Allah ﷻ mengingatkan kepada kita bahawa pertolongan hanya datang daripada Allah ﷻ. Kalau ada apa-apa masalah, pohonlah kepada Allah ﷻ. Begitu juga dengan para pemuda ini, mereka bergantung kepada Allah ﷻ dan mereka memanjatkan doa kepada-Nya. Kalau difikirkan keadaan mereka, memang dalam keadaan yang amat susah kerana Raja sendiri sudah tahu tentang hal mereka. Namun begitu mereka serahkan diri mereka kepada Allah ﷻ. Mereka minta pertolongan terus kepada Allah ﷻ.
Mereka dalam kesusahan, akan tetapi mereka minta rahmat daripada Allah ﷻ. Kenapa? Kenapa tidak minta keselamatan, minta keselesaan, minta makanan dan sebagainya? Kerana mereka pandai dan bijak. Kalau mereka dapat rahmat daripada Allah ﷻ, maka semuanya akan menjadi baik. Maka tidak perlu minta satu persatu kehendak, cukup minta rahmat sahaja dan Allah ﷻ akan uruskan segalanya yang diperlukan. Mereka bukan minta keselamatan di rumah sahaja, tetapi keselamatan di akhirat juga kerana untuk masuk syurga juga memerlukan rahmat, bukan?
عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] beliau berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim (5042))
Maka antara perkara yang Allah ﷻ berikan rahmat kepada mereka adalah Allah ﷻ tidurkan mereka. Ini juga rahmat besar kerana kalau tidur, kita tidak buat dosa, bukan? Ada orang mengumpat semasa tidur? Tentu tidak. Para pemuda itu di dalam ketakutan dan kerisauan yang amat sangat. Maka Allah ﷻ beri ketenangan kepada mereka dengan tidur yang nyenyak.
Kalimah مِن لَّدُنكَ biasa digunakan untuk sesuatu yang bersumber daripada Allah ﷻ yang sifatnya di luar kemampuan manusia untuk membayangkannya. Ia adalah bantuan Ilahi yang biasa digunakan terhadap hal-hal yang berada di luar hukum-hukum sebab dan akibat yang kita kenal. Ini berbeza dengan istilah من عندك yang juga diterjemahkan dari sisi-Mu. Setelah kesusahan dan dugaan yang mereka hadapi, sekarang mereka berharap sesuatu bantuan yang di luar jangkaan fikiran manusia.
Lihatlah mereka berdoa ‘terus’ kepada Allah ﷻ. Mereka tidak ada tawasul pun dengan mana-mana Nabi, wali atau malaikat. Begitulah cara doa yang diajar dalam Al-Qur’an dan dalam hadis. Tidak pernah ada ayat Al-Qur’an dan hadith yang ajar doa cara tawasul. Maka yang amalkan tawasul ini bersandarkan ajaran agama mana?
وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
dan sediakanlah untuk kami dalam urusan hidup kami ini, suatu petunjuk;
Kemudian mereka meminta petunjuk daripada Allah ﷻ kerana mereka berada dalam masyarakat yang mengamalkan syirik. Mereka bermohon semoga kesudahan akhir mereka adalah di bawah petunjuk yang lurus. Urusan bagi Pemuda Kahf itu adalah urusan berhijrah meninggalkan orang-orang kafir untuk menjaga iman.
Maka kita hendaklah memberitahu masyarakat bahawa tawasul itu adalah perbuatan syirik. Sekarang sudah banyak sangat yang mengamalkan tawasul ini. Mulanya mereka tahu bahawa mereka menggunakan Nabi, wali atau malaikat itu sebagai perantara sahaja. Kita takut lama kelamaan, mereka akan terus berdoa kepada entiti itu sendiri.
Kita takut jadi seperti orang Syiah sekarang. Mereka bukan minta kepada Allah ﷻ lagi, sebaliknya mereka terus minta kepada Sayyidina Hussein رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Kalau mereka ada masalah, mereka berdoa kepada Hussein رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ terus. Semoga masyarakat kita tidak jadi seperti itu. Semoga kita boleh terangkan kepada manusia bahayanya tawasul itu sebelum terlambat. Semoga ajaran Syiah ini tidak lagi berkembang.
Pemuda Kahfi ini juga memerlukan petunjuk dalam kehidupan dunia ini. Petunjuk yang dimaksudkan adalah ‘petunjuk agama’. Mereka minta dipermudahkan urusan mereka supaya selari dengan kehendak agama. Namun dalam masa yang sama juga, mereka memerlukan petunjuk bagaimana untuk menyelamatkan diri. Mereka pun tentu dalam keadaan risau dan kelam kabut untuk lari ke mana. Mereka bukannya tahu yang mereka akan selamat di gua itu; mereka bukannya tahu yang mereka akan ditidurkan. Maka mereka berdoa sahaja kepada Allah ﷻ kerana keyakinan mereka kepada-Nya. Oleh kerana doa mereka itu, Allah ﷻ telah memberi jalan kepada mereka untuk memilih satu gua yang sesuai untuk mereka menghilangkan diri.
Itu adalah cerita ringkas berkenaan pemuda gua itu. Asalnya ada enam orang pemuda semuanya. Mereka tahu bahawa kalau mereka tinggal lagi bersama kaum mereka yang mengamalkan syirik itu, mereka akan dibunuh. Semasa mereka dalam perjalanan hendak lari ke gua, mereka telah berjumpa dengan seorang penggembala kambing. Penggembala itu mempunyai seekor anjing. Mereka telah ajar tentang tauhid kepada penggembala itu dan penggembala itu telah beriman dan akhirnya telah mengikut mereka. Maka, sekarang sudah ada tujuh orang dan seekor anjing.
Doa daripada ayat ini amatlah bagus kalau diamalkan. Sememangnya doa-doa daripada Al-Qur’an dan hadith pendek-pendek sahaja tetapi hebat. Doa rekaan yang panjang berjela tetapi tidak ada keberkatan sebagaimana doa daripada Al-Qur’an dan hadith.
Kahf Ayat 11: Allah ﷻ telah menerima doa mereka tadi. Maka, Tuhan telah tempatkan mereka di dalam gua dan telah tidurkan mereka.
Kita boleh lihat bagaimana pendek sahaja doa mereka itu. Walaupun pendek sahaja doanya, tetapi ia dimakbulkan Allah ﷻ. Tidak macam doa orang kita sekarang, panjang-panjang doa yang dibaca oleh imam atau ustaz yang dijemput untuk baca doa, tetapi belum tentu dimakbulkan lagi. Ini adalah kerana cara doa yang salah. Doa yang panjang itu pun kerana baca doa dapat upah, maka mereka pun bacalah doa panjang.
Doa Pemuda Gua itu adalah permintaan kepada rahmat dan petunjuk. Maka eloklah doa ini dibaca sebagai salah satu doa yang kita amalkan. Amat molek kalau kita ambil doa daripada Al-Qur’an dan kemudian doa daripada hadith pula.
.
فَضَرَبنا عَلىٰ ءآذانِهِم فِي الكَهفِ سِنينَ عَدَدًا
Sahih International
So We cast [a cover of sleep] over their ears within the cave for a number of years.
Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.
فَضَرَبْنَا عَلَىٰ ءآذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ
Maka Kami tutupkan ke atas telinga mereka dalam gua itu
Allah ﷻ menggunakan perkataan ضَرَبَ. Ia berasal daripada maksud ‘memukul’. Kalimah ini digunakan dengan banyak anekaragam dalam bahasa Arab. Menarik sekali kenapa Allah ﷻ gunakan kalimah ‘pukul’ pula untuk bermaksud ‘tutup telinga’. Bukankah kalau kita pukul telinga seseorang, telinga dia akan berdesing dan dia tidak dapat mendengar untuk seketika? Maka ini adalah satu peribahasa yang digunakan. Ini dapat menjelaskan yang tidur mereka itu adalah jenis tidur yang tidak dengar apa-apa maka amat nyenyak sekali (tidur mati orang kita panggil).
Atau, ada yang mengatakan di sini digunakan kalimah ضَرَبَ kerana ia seperti memukul gendang dengan lembut ke telinga anak-anak kecil yang dapat menidurkan mereka seperti AMSR (Autonomous Sensory Meridian Response). Maka Allah ﷻ dodoikan mereka sampai tertidur dan terus tertidur dengan nyenyak. Apa pun makna yang dipilih, yang jelas adalah Allah ﷻ menidurkan mereka dengan sangat nyenyak.
Ia bermakna Allah ﷻ menutup pendengaran mereka. Maknanya Allah ﷻ adakan hijab pada telinga mereka. Kerana mereka akan ditidurkan dan kalau telinga kita mendengar bunyi bising, tidur kita akan terganggu dan kita akan terjaga. Begitulah juga dengan Pemuda Kahf itu. Allah ﷻ menutup pendengaran mereka untuk beri mereka tidur dengan nyenyak. Ini adalah penting kerana telinga tidak ada penutup. Kalau mata, boleh ditutup oleh kelopak mata kalau mahu tidur. Maka tepat sekali bahasa yang Allah ﷻ gunakan.
سِنِينَ عَدَدًا
selama beberapa tahun lamanya;
Kalimah سِنِينَ bermaksud ‘tahun’ dan ia berbentuk umum sahaja, maka kena ditambah dengan kalimah عَدَدًا untuk memberi isyarat bilangan yang banyak. Banyak tahun mereka tidur di dalam gua itu. Nanti akan diberitahu di dalam ayat ke 25 nanti yang tidur mereka itu selama 300 Tahun Masihi dan 309 Tahun Qamariyah.
Mereka dapat tidur lama kerana telinga mereka telah ditutup tidak mendengar apa-apa lagi. Kedudukan mereka pula jauh daripada orang yang boleh mengganggu mereka. Akan tetapi di sini tidak diceritakan berapa lama mereka tidur di dalam gua itu. Itu tidak penting sebenarnya kerana yang penting adalah pengajaran di dalamnya. Walaupun nanti akan diberitahu juga berapa lama mereka tinggal di dalamnya. Namun perlu diberitahu yang ia bukanlah maklumat yang utama.
Ini juga hendak menempelak bangsa Yahudi yang mementingkan maklumat dan fakta tentang perkara-perkara sebegini. Mereka hendak tahu nama Pemuda Kahf itu, dari mana asal mereka, berapa tahun mereka tidur dan sebagainya. Padahal maklumat itu tidak penting pun. Begitulah, mereka mementingkan fakta tetapi mereka tidak mengambil pengajaran daripada kisah yang diceritakan.
Itulah sebabnya Kisah Israiliyat yang berasal daripada mereka tentang kisah-kisah zaman dahulu begitu banyak maklumat di dalamnya. Kadang-kadang maklumat yang karut marut pun ada kerana mereka suka menokok nambah cerita agar lebih menarik. Mereka akhirnya sesat juga walaupun banyak maklumat mereka tahu. Oleh itu, berhati-hatilah kita semua jangan berperangai seperti mereka. Tidaklah perlu kita mengetahui secara tepat kisah tentang orang-orang dahulu. Metode yang diajar oleh golongan salaf adalah ابهِموا ما ابهَمَهُ اللهُ (tidak perlu mencari-cari apa yang telah diabaikan oleh Allah ﷻ). Rujuk al-itqan li-Suyuti.
Kita pun tidak perlu tahu semua perkara kerana tahu semua perkara tetapi tidaklah menambah iman pun, buat apa? Begitulah malang sekali apabila masyarakat yang terlalu sangat ingin tahu itu dan ini tetapi maklumat yang mereka minta itu tidak penting pun. Apabila banyak yang bertanya soalan-soalan fakta yang tidak penting, maka ketahuilah yang mereka itu ada perangai Yahudi dalam diri mereka.
Tujuan Al-Qur’an bukanlah hendak memberikan fakta-fakta yang tidak penting itu. Yang penting adalah pengajaran di dalamnya. Oleh itu, kalau kita lihat Al-Qur’an ada beritahu nama dan bilangan dan fakta-fakta, itu bermakna maklumat itu adalah penting dan ada sesuatu yang tersirat. Sebaliknya jikalau Al-Qur’an tidak beritahu, maka ia tidak penting. Maka kita kenalah pandai menilai, mana maklumat yang penting dan mana yang tidak.
Kahf Ayat 12:
ثُمَّ بَعَثنٰهُم لِنَعلَمَ أَيُّ الحِزبَينِ أَحصىٰ لِما لَبِثوا أَمَدًا
Sahih International
Then We awakened them that We might show which of the two factions was most precise in calculating what [extent] they had remained in time.
Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu).
ثُمَّ بَعَثْنٰهُمْ
Kemudian Kami bangkitkan mereka
Setelah sekian lama mereka tidur di gua itu (300 tahun lamanya), maka Allah ﷻ telah bangkitkan mereka dalam keadaan sihat wal afiat. Ini semua dalam kekuasaan Allah ﷻ dan Allah ﷻ mampu buat begitu. Tidak perlu kita pelik dengan perkara begini.
لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ أَحْصَىٰ
supaya Kami dapat tahu tekaan siapakah yang paling tepat
Perkataan الْحِزْبَيْنِ bermaksud ‘dua kumpulan’. Diambil daripada kata حِزْبَ (boleh juga diterjemahkan sebagai parti). Apabila Pemuda-pemuda Kahfi itu bangkit daripada tidur mereka, mereka telah berpecah kepada dua kumpulan, kerana mereka berbeza pendapat tentang berapa lama mereka tinggal di dalam gua itu. Ada kata sehari atau setengah hari, dan ada yang kata serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.
Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan yang berbeza pendapat yang mengatakan الْحِزْبَيْنِ ini bukannya merujuk kepada Pemuda Kahf itu tetapi orang luar. Kerana kalimah حِزْبَ bermaksud golongan yang besar. Lagi pun para pemuda itu tidaklah kisah sangat berapa lama mereka tinggal di situ kerana keadaan mereka tidak berubah pun. Allahu a’lam.
Ini menunjukkan amat senang sekali manusia berbeza pendapat antara mereka. Mereka itu orang yang baik-baik belaka, tetapi mereka juga ada berbeza pendapat. Ini biasalah dan tidak perlu kita hairan. Kerana kita semua manusia dan kerana itu memang akan ada perbezaan pendapat. Kadang orang kita yang tidak pandai, susah sangat hendak terima kalau ada orang yang berlainan pendapat dengan mereka. Sepatutnya kita tenang sahaja kerana bukan semua kita betul dan tidak akan ada orang yang semuanya berpendapat yang sama. Kita kena hormati pendapat orang lain. Dia mungkin salah, akan tetapi dia ada hak pada pendapatnya itu.
Perkataan أَحْصَىٰ asalnya bermaksud ‘batu kerikil’. Batu kerikil digunakan oleh orang-orang dahulu sebagai alat untuk mengira. Apabila perkataan أَحْصَىٰ digunakan, ia bermaksud ‘mengira’.
Jangan salah faham maksud لِنَعْلَمَ (supaya Kami mengetahui). Bukannya Allah ﷻ tidak tahu berapa lama mereka tinggal di situ, bukannya Allah ﷻ tidak tahu apa yang mereka katakan, fikirkan. Cuma Allah ﷻ hendak zahirkan sahaja supaya manusia boleh tahu.
لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا
tentang berapa lama mereka tinggal dalam gua;
Mereka tidak tahu berapa lama mereka tidur di situ sebenarnya kerana tidak ada kesan untuk mereka menilai. Ini menunjukkan bahawa ilmu Allah ﷻ itu tiada siapa yang tahu. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu ilmu ghaib. Walaupun Pemuda Gua itu memang hebat, namun mereka juga manusia. Oleh itu mereka tidak tahu ilmu ghaib.
Perkataan أَمَدًا bermaksud ‘masa yang lama’. Pemuda-pemuda itu tahu bahawa mereka telah tidur lama di dalam gua itu. Cuma mereka tidak pasti berapa lama. Mereka sangka dalam sehari atau separuh hari sahaja.
Maka kalau ada filem tentang mereka dan ditunjukkan mereka itu janggut panjang berlilit di badan dan baju pun sudah koyak rabak, ini tidak benar kerana kalau mereka berkeadaan begitu, tidaklah mereka rasa mereka sekejap sahaja berada di situ. Tidaklah mereka akan jawab ‘sehari’ atau ‘setengah hari’ sahaja.
Habis Ruku’ 1 daripada 12 ruku’ yang ada dalam surah ini.
BERANI BERDIRI MENEGAKKAN KEBENARAN
Kahf Ayat 13: Sekarang Allah ﷻ berhenti seketika daripada meneruskan kisah mereka. Seperti guru yang berhenti seketika semasa bercerita untuk memberi komentar.
نَّحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ نَبَأَهُم بِالحَقِّ ۚ إِنَّهُم فِتيَةٌ ءآمَنوا بِرَبِّهِم وَزِدنٰهُم هُدًى
Sahih International
It is We who relate to you, [O Muhammad], their story in truth. Indeed, they were youths who believed in their Lord, and We increased them in guidance.
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ
Kami ceritakan kepada kamu (Muhammad) cerita mereka dengan tepat.
Kisah yang Allah ﷻ sampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ ini adalah kisah yang benar. Ada banyak kisah tentang Pemuda Kahfi ini dan Allah ﷻ hendak sampaikan berita yang benar-benar sahaja tentang mereka. Memang ada banyak kisah terutama kalau diambil daripada sumber Israiliyyat akan tetapi itu tidak benar. Maka kayu pengukur kepada kisah-kisah dahulu adalah daripada Al-Qur’an.
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءآمَنُوا بِرَبِّهِمْ
Bahawasanya pemuda-pemuda itu adalah mereka yang beriman sempurna dengan Tuhan mereka;
Sekali lagi Allah ﷻ gunakan perkataan فِتْيَةٌ di sini. Allah ﷻ boleh sahaja sebut ‘mereka’ kerana telah disentuh tentang mereka sebelum ini. Akan tetapi Allah ﷻ ulang sifat mereka yang masih muda itu sebagai penekanan dan pengajaran kepada kita tentang idealisme para pemuda itu. Memang, idealisme anak muda seringkali mengalahkan kebijaksanaan dan pengalaman orang tua. Itu pula sebabnya Nabi Muhammad ﷺ mengingatkan agar memberi perhatian kepada para pemuda, kerana seperti dalam sabda Nabi ﷺ.: “Mereka yang mendukung saya saat orang tua menentang saya.”
Iaitu mereka tidak syirik kepada Allah ﷻ. Inilah ajaran yang paling penting sekali yang Allah ﷻ hendak sampaikan. Bukannya berapa lama mereka tidur, di mana mereka tidur, apakah nama mereka dan lain-lain lagi. Kisah yang Allah ﷻ bawakan mesti ada pengajarannya. Kisah yang pertama adalah tentang mereka dan Allah ﷻ hendak menekankan tentang Tauhid dalam kisah mereka ini. Mereka telah beriman dengan syariat Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ iaitu tentunya ajaran Tauhid.
Sekali lagi Allah ﷻ mengingatkan kepada orang-orang muda untuk mengawal nafsu mereka. Ambillah contoh Pemuda Kahfi ini. Ini penting kerana orang mudalah yang terbuka kepada sifat keduniaan yang tinggi. Mereka selalunya tidak menghiraukan agama. Merekalah yang selalu kalah dengan panggilan materialisme. Mereka juga selalu kalah dengan nafsu mereka. Selalunya oleh kerana mereka muda, mereka akan ikut sahaja fahaman tok nenek yang telah sekian lama dipegang oleh masyarakat setempat, malas mereka hendak fikir yang lain. Akan tetapi lihatlah Allah ﷻ puji para Pemuda Kahf ini. Begitulah semasa awal dakwah Nabi Muhammad ﷺ di Mekah, yang beriman kepada baginda adalah orang-orang muda seperti Sayyidina Ali عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu.
وَزِدْنٰهُمْ هُدًى
dan Kami tambah petunjuk kepada mereka;
Oleh kerana mereka istiqamah dalam iman mereka, maka Allah ﷻ tambah hidayat bagi mereka. Ayat ini sebagai dalil bagi mengatakan bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang. Allah ﷻ telah menambah keimanan dan ketaqwaan pemuda-pemuda itu kerana mereka telah beriman. Maknanya, kena ada iman dahulu dan barulah ditambah iman itu.
Di dalam Ali Imran: 73 Allah ﷻ menceritakan iman para sahabat yang bertambah kerana mereka telah ada iman sebelum itu.
الَّذينَ قالَ لَهُمُ النّاسُ إِنَّ النّاسَ قَد جَمَعوا لَكُم فَاخشَوهُم فَزادَهُم إِيمَٰنًا وَقالوا حَسبُنَا اللَّهُ وَنِعمَ الوَكيلُ
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.
Sekali lagi disebut di dalam Ahzab: 22 bagaimana para sahabat di Madinah semakin bertambah iman mereka menghadapi ujian, kerana itulah yang telah diberitahu kepada mereka yang akan terjadi. Bukan takut yang bertambah, tetapi iman yang bertambah.
وَلَمّا رَءَا المُؤمِنونَ الأَحزابَ قالوا هٰذا ما وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسولُهُ ۚ وَما زادَهُم إِلّا إيمٰنًا وَتَسليمًا
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.
Orang yang beriman akan bertambah iman mereka apabila mereka menelusuri ayat-ayat Al-Qur’an. Sedangkan orang munafik akan semakin teruk kerana hati mereka telah ada penyakit dan keraguan mereka yang bertambah. Ini Allah ﷻ telah sebut di dalam Tawbah: 124
وَإِذا ما أُنزِلَت سورَةٌ فَمِنهُم مَّن يَقولُ أَيُّكُم زادَتهُ هٰذِهِ إيمٰنًا ۚ فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا فَزادَتهُم إيمٰنًا وَهُم يَستَبشِرونَ
Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata: “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya, dan mereka merasa gembira.
Di dalam Maryam: 76 juga Allah ﷻ telah berfirman,
وَيَزيدُ اللَّهُ الَّذينَ اهتَدَوا هُدًى
Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk;
Kita sentiasa mengharapkan petunjuk hidayah yang berterusan daripada Allah ﷻ. Kerana itulah di dalam Surah Fatihah ada doa minta petunjuk اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ. Orang kafir yang menentang Islam menggunakan ayat ini mengatakan umat Islam itu sesat, sebab itu minta hidayah. Yang sebenarnya kita sudah dapat hidayah, tetapi kita minta tambahan hidayah lagi di atas hidayah yang sudah ada.
Iman itu bertambah dan berkurang. Maka kalau anda pelajari Kitab Iman di dalam Sahih Bukhari, Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ membincangkan hal ini. Beliau juga memberi contoh-contoh bagaimana iman boleh ditingkatkan.
Akan tetapi bagaimana kita tahu yang iman kita sudah meningkat? Di dalam Anfal: 2 Allah ﷻ memberi tanda orang yang benar-benar beriman. Di sini juga diberitahu salah satu cara meningkatkan iman adalah dengan membaca dan memahami dan mengamalkan ajaran Al-Qur’an.
إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم وَإِذا تُلِيَت عَلَيهِم ءآيٰتُهُ زادَتهُم إيمٰنًا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati-hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.
Maka Allah ﷻ telah memberi petunjuk kepada Pemuda Kahfi itu. Dalam kisah mereka, Allah ﷻ telah memberi petunjuk kepada mereka untuk menghala ke kawasan pergunungan untuk sampai ke gua yang akhirnya mereka akan diami gua itu. Bukan itu sahaja, Allah ﷻ juga telah memberi petunjuk dalam hal agama kepada mereka juga.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 15 Mei 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

