Tafsir Surah Kahfi Ayat 11 – 15 (Berani mengadap Raja)

Ayat 11: Allah telah menerima doa mereka tadi. Maka, Tuhan telah tempatkan mereka di dalam gua dan telah tidurkan mereka.

Maka kita boleh tengok bagaimana pendek sahaja doa mereka itu. Walaupun pendek sahaja doanya, tapi ia dimakbulkan Allah. Tak macam doa orang kita sekarang, panjang-panjang doa yang dibaca oleh imam atau uztaz yang dijemput untuk baca doa, tapi belum tentu dimakbulkan lagi. Ini adalah kerana cara doa yang salah. Dan doa yang panjang itu pun kerana baca doa dapat upah, jadi mereka pun bacalah doa panjang.

Jadi doa Pemuda Gua itu adalah permintaan kepada rahmat dan petunjuk. Maka eloklah doa ini dibaca sebagai salah satu doa yang kita amalkan. Amat molek kalau kita ambil doa dari Qur’an dan kemudian doa dari hadis pula.

Mereka adalah golongan anak-anak muda. Memang begitulah lumrah dunia. Kebanyakan yang orang-orang yang memenuhi seruan Allah dan RasulNya adalah dari golongan muda. Sedangkan golongan tua kebanyakannya hanya mahu berpegang dengan pemahaman lama mereka tentang agama walaupun mereka dalam kesalahan.

Memang orang yang telah ‘tua’ agak susah untuk berubah kerana mereka telah lama memegang satu pegangan agama. Apabila diberikan dalil dari Qur’an dan Sunnah pun, mereka susah nak terima kerana mereka rasa apa yang mereka buat dulu itu sudah betul. Mereka rasa ianya sudah benar kerana ianya telah diamalkan turun temurun. Begitulah kalau akal fikiran telah tertutup.

فَضَرَبنا عَلىٰ ءآذانِهِم فِي الكَهفِ سِنينَ عَدَدًا

 Sahih International

So We cast [a cover of sleep] over their ears within the cave for a number of years.

Malay

Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.

 

فَضَرَبْنَا عَلَىٰ ءآذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ

Maka Kami tutupkan ke atas telinga mereka dalam gua itu

Allah menggunakan perkataan ضَرَبْ. Ianya berasal dari maksud ‘memukul’. Menarik kenapa Allah gunakan kalimah ‘pukul’ pula untuk bermaksud ‘tutup telinga’. Bukankah kalau kita pukul telinga seseorang, dia tidak dapat mendengar untuk seketika? Maka ini adalah satu peribahasa yang digunakan.

Ianya bermakna Allah menutup pendengaran mereka. Maknanya Allah adakan hijab pada telinga mereka. Kerana mereka akan ditidurkan. Dan kalau telinga kita mendengar bunyi bising, tidur kita akan terganggu dan kita akan terjaga. Begitulah juga dengan Pemuda Kahf itu. Allah menutup pendengaran mereka untuk beri mereka tidur dengan nyenyak.

Ini adalah penting kerana telinga tidak ada penutup. Kalau mata, boleh ditutup oleh kelopak mata kalau mahu tidur. Maka tepat sekali bahasa yang Allah gunakan.

 

سِنِينَ عَدَدًا

selama beberapa tahun lamanya;

Tidak diceritakan di sini berapa lama mereka tidur di dalam gua itu. Itu tidak penting sebenarnya kerana yang penting adalah pengajaran di dalamnya. Walaupun nanti akan diberitahu juga berapa lama mereka tinggal di dalamnya. Tapi nak beritahu yang ia bukanlah maklumat yang utama.

Ini juga hendak menempelak bangsa Yahudi yang mementingkan maklumat dan fakta tentang perkara-perkara sebegini. Mereka hendak tahu nama Pemuda Kahf itu, dari mana asal mereka, berapa tahun mereka tidur dan sebagainya. Padahal maklumat itu tidak penting pun. Begitulah, mereka mementingkan fakta tapi mereka tidak mengambil pengajaran dari kisah yang diceritakan.

Itulah sebabnya Kisah Israiliyat yang berasal dari mereka tentang kisah-kisah zaman dahulu begitu banyak maklumat di dalamnya. Kadang-kadang maklumat yang karut marut pun ada kerana mereka suka tambah bagi cerita lagi menarik. Dan mereka akhirnya sesat juga walaupun banyak maklumat mereka tahu. Jadi, berhati-hatilah kita semua jangan berperangai seperti mereka. Tidaklah perlu kita mengetahui secara tepat kisah tentang orang-orang dahulu.

Kita pun tidak perlu tahu semua perkara. Kerana tahu semua perkara tapi tidak menambah iman pun, buat apa? Begitulah malang sekali apabila masyarakat yang terlalu sangat nak tahu itu dan ini tapi maklumat yang mereka minta itu tidak penting pun. Apabila banyak yang bertanya soalan-soalan fakta yang tidak penting, maka ketahuilah yang mereka itu ada perangai Yahudi dalam diri mereka.

Tujuan Qur’an bukanlah hendak memberikan fakta-fakta yang tidak penting itu. Yang penting adalah pengajaran di dalamnya. Oleh itu, kalau kita lihat Qur’an ada beritahu nama dan bilangan dan fakta-fakta, itu bermakna maklumat itu adalah penting. Dan kalau Qur’an tidak beritahu, maka ianya tidak penting. Maka kita kenalah pandai menilai, mana maklumat yang penting dan mana yang tidak.


 

Ayat 12:

ثُمَّ بَعَثنٰهُم لِنَعلَمَ أَيُّ الحِزبَينِ أَحصىٰ لِما لَبِثوا أَمَدًا

 Sahih International

Then We awakened them that We might show which of the two factions was most precise in calculating what [extent] they had remained in time.

Malay

Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu).

 

ثُمَّ بَعَثْنٰهُمْ

Kemudian Kami bangkitkan mereka

Setelah sekian lama mereka tidur di gua itu (300 tahun lamanya), maka Allah telah bangkitkan mereka dalam keadaan sihat wal afiat. Ini semua dalam kekuasaan Allah dan Allah mampu buat begitu. Tidak perlu kita pelik dengan perkara begini.

 

لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ أَحْصَىٰ

supaya Kami dapat tahu tekaan siapakah yang paling tepat

Perkataan الْحِزْبَيْنِ bermaksud ‘dua kumpulan’. Diambil dari kata حِزْبَ (boleh juga diterjemahkan sebagai parti). Apabila Pemuda-pemuda Kahfi itu bangkit dari tidur mereka, mereka telah berpecah kepada dua kumpulan, kerana mereka berbeza pendapat tentang berapa lama mereka tinggal di dalam gua itu.

Ini menunjukkan amat senang sekali manusia berbeza pendapat antara mereka. Mereka itu orang yang baik-baik belaka, tapi mereka juga ada berbeza pendapat. Ini biasalah dan tidak perlu kita hairan. Kerana kita semua manusia dan kerana itu memang akan ada perbezaan pendapat.

Perkataan أَحْصَىٰ asalnya bermaksud ‘batu kerikil’. Batu kerikil digunakan oleh orang-orang dahulu sebagai alat untuk mengira. Apabila perkataan أَحْصَىٰ digunakan, ia bermaksud ‘mengira’.

 

لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا

tentang berapa lama mereka tinggal dalam gua;

Mereka tidak tahu berapa lama mereka tidur di situ sebenarnya. Kerana tidak ada kesan untuk mereka menilai. Ini menunjukkan bahawa ilmu Allah itu tiada siapa yang tahu. Hanya Allah sahaja yang tahu ilmu ghaib. Walaupun Pemuda Gua itu memang hebat, tapi mereka juga manusia. Oleh itu mereka tidak tahu ilmu ghaib. 

Perkataan أَمَدًا bermaksud ‘masa yang lama’. Pemuda-pemuda itu tahu bahawa mereka telah tidur lama di dalam gua itu. Cuma mereka tidak pasti berapa lama. Tapi mereka sangka dalam sehari atau separuh hari sahaja.

Maka kalau ada filem tentang mereka dan ditunjukkan mereka itu janggut panjang berlilit di badan dan baju pun sudah koyak rabak, ini tidak benar. Kerana kalau mereka berkeadaan begitu, tidaklah mereka rasa mereka sekejap sahaja berada di situ. Kerana mereka akan jawab ‘sehari’ atau ‘setengah hari’ sahaja.

Habis Ruku’ 1 dari 12 ruku’ yang ada dalam surah ini.


 

Ayat 13: Allah berhenti seketika dari meneruskan kisah mereka. Seperti guru yang berhenti seketika semasa bercerita untuk memberi komentar.

نَّحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ نَبَأَهُم بِالحَقِّ ۚ إِنَّهُم فِتيَةٌ ءآمَنوا بِرَبِّهِم وَزِدنٰهُم هُدًى

 Sahih International

It is We who relate to you, [O Muhammad], their story in truth. Indeed, they were youths who believed in their Lord, and We increased them in guidance.

Malay

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

 

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ

Kami ceritakan kepada kamu (Muhammad) cerita mereka dengan tepat.

Kisah yang Allah sampaikan kepada Nabi Muhammad ini adalah kisah yang benar. Ada banyak kisah tentang Pemuda Kahfi ini dan Allah hendak sampaikan berita yang benar-benar sahaja tentang mereka.

 

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءآمَنُوا بِرَبِّهِمْ

Bahawasanya pemuda-pemuda itu adalah mereka yang beriman sempurna dengan Tuhan mereka;

Iaitu mereka tidak syirik kepada Allah. Inilah ajaran yang paling penting sekali. Kisah yang pertama adalah tentang mereka dan Allah hendak menekan tentang tauhid dalam kisah mereka ini. Mereka telah beriman dengan syariat Nabi Isa a.s iaitu tentunya ajaran Tauhid.

Dan Allah mengingatkan kepada orang-orang muda untuk mengawal nafsu mereka. Ambillah contoh Pemuda Kahfi ini. Ini penting kerana orang mudalah yang terbuka kepada sifat keduniaan yang tinggi. Mereka selalunya tidak menghiraukan agama. Merekalah yang selalu kalah dengan panggilan materialisma. Mereka juga selalu kalah dengan nafsu mereka.

 

وَزِدْنٰهُمْ هُدًى

dan Kami tambah petunjuk kepada mereka; 

Oleh kerana mereka istiqamah dalam iman mereka, maka Allah tambah hidayat bagi mereka. Ayat ini sebagai dalil bagi mengatakan bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang. Allah telah menambah keimanan dan ketaqwaan pemuda-pemuda itu kerana mereka telah beriman. Maknanya, kena ada iman dahulu dan barulah ditambah iman itu. 

Allah telah memberi petunjuk kepada mereka. Dalam kisah mereka, Allah telah memberi petunjuk kepada mereka untuk menghala ke kawasan pergunungan untuk sampai ke gua yang akhirnya mereka akan diami gua itu.


 

Ayat 14: Sekarang kembali kepada kisah Pemuda-pemuda itu. Sekarang kita dihidangkan dengan cerita mereka mengadap raja. Tadi telah diberikan kisah yang ringkas tentang mereka sebagai muqaddimah. Sekarang Allah hendak menceritakan kenapa mereka lari pada mulanya. Sekarang Allah telah membawa kita balik kepada masa mereka dipanggil mengadap Raja mereka. Ini sebelum mereka lari ke gua.

وَرَبَطنا عَلىٰ قُلوبِهِم إِذ قاموا فَقالوا رَبُّنا رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ لَن نَّدعُوَ مِن دونِهِ إِلٰهًا ۖ لَّقَد قُلنا إِذًا شَطَطًا

 Sahih International

And We made firm their hearts when they stood up and said, “Our Lord is the Lord of the heavens and the earth. Never will we invoke besides Him any deity. We would have certainly spoken, then, an excessive transgression.

Malay

Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

 

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا

Dan Kami teguhkan atas hati-hati mereka ketika mereka bangun berdiri;

Pemuda Kahfi itu adalah pemuda yang telah mendapat iman. Dan mereka telah dipertemukan sesama mereka oleh Allah dalam keimanan. Mereka telah membina tempat ibadat kepada Allah yang mereka gunakan secara sembunyi. Akan tetapi ada yang telah melaporkan perkara itu kepada Raja dan Raja telah memanggil mereka.

Bayangkan kalau kita telah dipanggil mengadap ketua negara. Tentulah ianya satu perkara yang menakutkan. Tapi walaupun begitu, mereka telah berkata benar tentang keimanan mereka, malah telah mengajak Raja itu supaya beriman kepada Allah. Mereka itu sanggup berdiri di hadapan raja yang akan bunuh mereka kalau mereka tidak sembah berhala. Allah telah kuatkan hati mereka untuk berdepan dengan Raja yang zalim.

Ramai antara kita ini, bukan orang nak bunuh pun, tapi nak cerita yang benar pun sudah takut. Kalau cerita tentang agama pun, sikit-sikit sahaja. Antaranya, kita tidak tegur orang yang buat kesyirikan dalam tawasul (perantaraan). Padahal tawasul ini semua orang sudah buat sampai masuk dalam masjid pun sekarang. Kalau dalam masjid pun sudah ada perbuatan syirik, tambahan pula kalau luar masjid. Ada antara kita yang telah faham bahawa ianya adalah perbuatan yang salah, tapi takut nak beritahu orang lain. Takut orang tohmah kita atau kata kita pula yang sesat.

Apa yang dialami oleh Pemuda Kahfi itu yang dimaksudkan dengan Robtul Qalbi. Iaitu penetapan hati oleh Allah terhadap hambaNya yang telah teguh iman mereka. Kerana mereka sanggup untuk memperkatakan kebenaran walaupun di depan raja yang zalim, maka Allah telah kurniakan kedudukan Robtul Qalbi kepada mereka. Mereka tidak akan goyah lagi iman mereka. Iman mereka di dalam pemeliharaan Allah. Kerana mereka telah dapat lepas ujian yang berat untuk mempertahankan iman mereka.

 

فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Mereka berkata: Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi.

Mereka dengan beraninya menyebut tentang pegangan tauhid mereka. Mereka beriman kepada Allah SWT.

 

لَنْ نَّدْعُوَ مِنْ دُونِهِ إِلَٰهًا

Kami tidak akan sekali-kali menyeru apa sahaja ilah lain selain dariNya.

Mereka menekankan yang mereka tidak akan seru ilah-ilah lain. Kerana tidak ada ilah lain selain Allah. Mereka tidak akan seru sesiapa pun selain Allah, baik dalam ibadat atau dalam dosa.

 

لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

Sekiranya kami kata demikian, kami telah katakan perkara yang melampaui batas;

Kalau mereka buat juga, bermakna mereka telah buat perkara yang tak masuk akal. Iaitu sesuatu yang amat jauh dari kebenaran. Mereka dengan beraninya mengatakan bahawa agama yang dianuti oleh raja dan rakyat mereka itu adalah satu agama yang amat jauh dari kebenaran. Kerana Raja dan kaum mereka telah sembah dan seru selain Allah.


 

Ayat 15:

هٰؤُلاءِ قَومُنَا اتَّخَذوا مِن دونِهِ ءآلِهَةً ۖ لَّولا يَأتونَ عَلَيهِم بِسُلطٰنٍ بَيِّنٍ ۖ فَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا 

 Sahih International

These, our people, have taken besides Him deities. Why do they not bring for [worship of] them a clear authority? And who is more unjust than one who invents about Allah a lie?”

Malay

(Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu. (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.

 

هَٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ ءآلِهَةً

Mereka-mereka ini, kaum kita itu memang mengambil selain Allah pujaan lain;

Pemuda Kahfi itu bercakap tentang kaum mereka yang telah berbuat syirik. Memang mereka buat amalan tawasul yang salah. Mereka banyak seru dan puja ilah selain Allah. Pemuda Kahfi itu berkata begitu kerana mereka risaukan tentang kaum mereka itu yang telah jauh sesat.

 

لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِمْ بِسُلْطٰنٍ بَيِّنٍ

Kenapa mereka tidak bawa datang dalil bukti yang jelas nyata?;

Amalan penduduk tempat mereka itu tidak ada dalil. Dalil yang dibawa oleh kaum mereka itu tidak ada, mungkin dalil tok guru sahaja atau amalan orang terdahulu. Maknanya, bukan amalan dari wahyu. Ikut selera nafsu mereka sahaja.

Maka begitulah juga amalan kebanyakan orang kita. Ramai yang beramal dengan amalan yang bukan ada dalil dari Qur’an dan Sunnah. Mereka mengadakan dusta sahaja ke atas Allah.

Sepatutnya dalam hal agama, apa-apa amalan hendaklah menggunakan dalil yang sah. Bukan dengan agak-agak sahaja, atau dengan menggunakan nas yang tidak sahih.

 

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا

Siapakah yang lebih zalim daripada seorang yang berdusta atas nama Allah;

Orang yang zalim adalah mereka yang melakukan syirik. Mereka telah melakukan perbuatan yang amat salah kerana mereka berdusta dengan mengatakan Allah itu perlu wakil dalam ibadat dan dalam doa. Padahal Allah tidak pernah suruh macam itu pun.

Bayangkan, kalau kita berdusta atas nama orang lain pun, orang itu sudah marah kepada kita. Tambahan pula kalau kita berdusta atas nama Allah! Bagaimana kita boleh berani mengatakan bahawa Allah memerlukan perantaraan dalam berdoa kepadaNya? Dari mana datang ajaran itu, kerana ia tidak pernah ada dalam ajaran wahyu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Kahfi Ayat 11 – 15 (Berani mengadap Raja)”

    1. Banyak:
      a. Pergi lawat kubur wali dan Nabi dan berdoa di situ
      b. seru malaikat seperti dilakukan oleh golongan silat (Jibril di depanku…)
      c. golongan tarekat dalam doa akan tawasul dengan wali seperti Syaikh Qadir Jalani dengan sedekah Fatihah
      d. golongan biasa pun sedekah Fatihah kepada Nabi Muhammad dan keluarga baginda, terutama biasa kita tengok, nak mulakan baca Tahlilan.
      itu yang biasa dilakukan bertawasul dengan yang mati. dengan yang hidup pun ada juga (tapi ini khilaf boleh atau tidak).
      e. iaitu pergi jumpa tok guru, tok imam, ustaz, minta mereka doakan. ini juga tawasul sebenarnya. ada yang kata boleh tapi saya tidak bersetuju lah.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s