Kahf Ayat 7: Allah ﷻ pujuk Nabi ﷺ supaya jangan bersedih kerana memang dunia ini adalah tempat ujian dan tetap ada yang terkandas dalam ujian.
إِنّا جَعَلنا ما عَلَى الأَرضِ زينَةً لَّها لِنَبلُوَهُم أَيُّهُم أَحسَنُ عَمَلًا
Sahih International
Indeed, We have made that which is on the earth adornment for it that We may test them [as to] which of them is best in deed.
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ
Sesungguhnya Kami menjadikan makhluk-makhluk yang ada di atas bumi;
Ini termasuk makhluk yang ada di atas bumi dan segala yang ada di dalamnya. Dengan segala emas dan permatanya, tanamannya dan segala hasilnya. Semua itu adalah ‘makhluk’ – yang dijadikan. Ada gunung-ganang, danau dan laut, sawah dan ladang, sungai bandar galian. Demikian juga binatang-binatang dengan berbagai warna dan perangai, ada yang liar ada yang jinak, ada yang merangkak kaki empat, ada yang melata kaki banyak. Demikian juga tumbuh-tumbuhan, daripada kayu di hutan sehingga rumput yang sehelai. Gunanya sebagai apa?
زِينَةً لَّهَا
sebagai perhiasan hidup di dunia sahaja;
Semua yang ada di atas dunia ini adalah sebagai perhiasan yang kita dapat memilikinya dan menggunakannya. Memang perhiasan itu adalah daripada benda-benda yang cantik, bukan? Kenapakah dijadikan semua itu? Untuk digunakan semasa hidup di dunia sahaja dan dunia ini dijadikan sebagai tempat ujian sahaja. Bukan tempat tinggal yang kekal.
Dunia ini adalah sebagai tempat ujian. Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan tentang materialisme. Kita boleh lihat sendiri bagaimana banyak manusia telah dirosakkan pegangan mereka sampai mereka hanya melihat perkara material sahaja. Mereka telah melupakan hal dalaman.
Allah ﷻ hendak mengingatkan bahawa semua material yang Allah ﷻ jadikan di dunia ini adalah sebagai ujian sahaja kepada kita. Mereka yang mementingkan materialisme sahaja, akan memandang betapa cantiknya dunia ini dan melupakan hal-hal akhirat. Itu bermakna mereka telah gagal dalam ujian itu. Maka kerana itu kita kena sedar yang memang kita boleh gunakan dunia ini, tetapi jangan sampai kita lupakan akhirat.
Allah ﷻ kata dunia ini dijadikan cantik. Akan tetapi ada sahaja yang tidak cantik pada mata kita, bukan? Seperti ular, kala jengking, dan banyak lagi perkara berbahaya. Bagaimana benda-benda itu dianggap sebagai cantik dan dijadikan perhiasan pula? Jangan salah anggap, sebenarnya yang dimaksudkan perhiasan dunia ini adalah keseluruhan alam ini secara umumnya kita lihat adalah cantik. Lagi pun, benda-benda dan binatang yang dianggap buruk dan berbahaya itu pun ada cantik dan gunanya juga, bukan? Bisa ular contohnya, ada gunanya sebagai bahan ubatan bagi yang pandai menggunakannya. Setiap sesuatu yang Allah ﷻ jadikan, ada kelebihannya, kita sahaja yang mungkin tidak nampak.
لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Supaya kami dapat uji mereka siapa yang antara mereka yang terbaik amalan mereka;
Hakikatnya alam dunia ini adalah ujian. Apabila ada ujian, maka tentulah ada yang terkandas dalam ujian. Ramai yang terkesan dengan keindahan dunia, maka mereka gagal dalam ujian yang Allah ﷻ adakan ini. Maka janganlah Nabi ﷺ bersedih kalau ada yang terkandas kerana bukan salah baginda.
Alam yang indah ini bukanlah buruk sampai kita kena tolak langsung. Alam yang indah dan hebat ini juga menjadi punca untuk kita mengenal Allah ﷻ juga. Kerana hati yang cerah jernih akan berfikir takkan alam yang begini hebat tidak ada penciptanya? Maka mereka pun mencari penciptanya dan mereka akhirnya akan bertemu dengan Allah ﷻ.
Allah ﷻ bukan mahu melihat siapa boleh buat amalan ‘terbanyak’, tetapi أَحْسَنُ – yang ‘terbaik’. Maknanya kualiti lebih penting daripada kuantiti. Molek kalau kita buat sedikit sahaja ibadat, tetapi dalam bentuk terbaik. Bukan buat sambil lewa sahaja. Maknanya, kita melebihkan kualiti daripada kuantiti. Malah lebih baik lagi kalau kita buat banyak-banyak semampu kita tanpa menghilangkan kualiti ibadat itu. Tentunya buat ibadat banyak lagi baik.
Ayat ini mengajar kita untuk meneliti amalan kita dan menilai, adakah ia yang terbaik? Sebagai contoh, solat kita adakah di dalam waktu atau di awal waktu? Kalau di dalam waktu memang sah akan tetapi kalau di awal itulah yang terbaik. Lagi satu contoh adalah solat sunat sebelum Subuh. Apakah yang dibaca di dalam qiyam itu, adakah surah yang panjang atau yang pendek? Kalau kita fikir senang, tentulah surah yang panjang-panjang lebih baik kerana lagi panjang lagi banyak pahala, bukan? Akan tetapi apakah sunnah Nabi ﷺ sendiri? Waktu Solat Qabliyah Subuh itu baginda membaca surah yang pendek sahaja, maka inilah yang terbaik.
Bagaimana pula cara anda baca Al-Qur’an? Manakah yang lebih baik: baca lima muka tanpa faham atau baca satu muka tetapi dengan faham tafsirnya dan tadabburnya? Lima muka memang nampak lebih baik kerana lebih banyak, akan tetapi baca yang pendek dengan memahami itu lebih baik. Maka beginilah cara kita menilai amalan-amalan kita. Ini kerana tujuan kita membaca Al-Qur’an adalah untuk menjadi orang bertaqwa seperti disebut di dalam Zumar: 28. Bagaimana Al-Qur’an boleh menjadikan kita muttaqeen kalau kita tidak memahaminya?
قُرءآنًا عَرَبِيًّا غَيرَ ذي عِوَجٍ لَّعَلَّهُم يَتَّقونَ
Iaitu Al-Qur’an yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.
Sekali lagi Allah ﷺ menyebut tentang amalan. Dalam ayat kedua, Allah ﷺ menyebut bahawa orang beriman itu mesti mengamalkan amalan yang soleh. Oleh itu, kita kena jaga amal ibadat kita dan pastikan bahawa amal ibadat itu adalah berdasarkan daripada sumber yang sahih. Itulah ‘amalan yang baik’.
Tidak berguna langsung kalau amalan itu banyak, tetapi bukan diambil daripada sumber dan nas yang sahih. Ia bukan sahaja tidak membantu kita, sebaliknya akan menjadi sebab pula untuk kita diazab di akhirat kelak. Kerana itu semua adalah amalan bid’ah. Segala amalan bid’ah adalah sesat. Akan tetapi guru-guru yang tidak berilmu telah mengajar bahawa ada amalan bid’ah yang dipanggil ‘bid’ah hasanah’.
Mereka tidak faham apakah maksud bid’ah hasanah itu. Apabila mereka tidak faham, anak murid mereka pun tidak faham. Maka bercambahlah amalan-amalan bid’ah dalam masyarakat yang mereka labelkan sebagai bid’ah hasanah. Mereka tidak sedar bahawa bukan mereka yang sepatutnya menentukan sama ada ia baik atau tidak, tetapi Allah ﷻ.
Inilah tafsir Al Imam Fudhail bin Iyadh رَحِمَهُ اللَّهُ ketika menafsirkan firman Allah ﷻ:
لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًاۗ
“… Untuk menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.
(Al-Mulk: 2)
Beliau berkata: maksudnya, dia ikhlas dan benar dalam mengerjakan. Sebab amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak benar maka amalan itu tidak akan diterima dan jika dia benar tetapi amalannya tidak ikhlas maka amalannya juga tidak diterima. Adapun amal yang ikhlas adalah amalan yang dilakukan kerana Allah, sedangkan amal yang benar adalah yang dikerjakan sesuai dengan Sunnah Rasulullah ﷺ.
(Syarh Arba’in An-Nawawi Hal: 25).
قال الشيخ ابن قيم الجوزية رحمه الله:
“العمل بغير إخلاصٍ ولا اقتداءٍ كالمسافِر يملأ جرابه رملا يثقله ولا ينفعه” انتهى.
Berkata Al Imam Ibnu Qoyyim Al-jauziyah رَحِمَهُ اللَّهُ: Beramal tanpa (didasari) ikhlas dan iqtida’ (mengikuti Sunnah Rasulullah ﷺ) seperti seorang musafir yang memenuhi kantung airnya dengan pasir. Hal tersebut hanya memberatkan namun tidak memberikan manfaat. (Al-fawaid, hal: 49)
Berkata Al Imam lbnu Katsir رَحِمَهُ اللَّهُ: Sesungguhnya Amal yang diterima harus memenuhi 2 syarat:
1) Ikhlas kerana Allah ﷻ.
2) Benar dan sesuai dengan Syariat.
Jika dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak benar, maka tidak akan diterima (amalannya). (Tafsir Ibnu Katsir (I/389)).
Allah ﷻ telah mengajar Nabi Muhammad ﷺ tentang apakah amalan yang baik itu. Nabi ﷺ telah sampaikan kepada sahabat-sahabat baginda dan mereka telah sampaikan kepada kita. Kalau kita hendak mendapatkan janji Allah ﷻ supaya ditempatkan dalam syurga kekal abadi, maka hendaklah kita pastikan amalan kita itu adalah amalan yang terbaik (iaitu amalan Sunnah). Itu semua akan kita dapati apabila kita belajar hadith-hadith yang sahih.
Dalam Tafsir Jalalain, أَحْسَنُ عَمَلًا yang dimaksudkan adalah zuhud. Zuhud adalah tidak terikat dengan dunia. Iaitu mereka yang selamat daripada fahaman materialisme.
Kahf Ayat 8: Kenapa hendak dikejar dunia dan segala perhiasan ini? Apakah kesudahan bagi dunia?
وَإِنّا لَجٰعِلونَ ما عَلَيها صَعيدًا جُرُزًا
Sahih International
And indeed, We will make that which is upon it [into] a barren ground.
Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.
وَإِنَّا لَجٰعِلُونَ مَا عَلَيْهَا
Dan Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu,
Lihatlah penekanan yang Allah ﷻ letakkan dalam ayat ini. Sudahlah ada perkataan إِنَّ, Allah ﷻ tambah lagi dengan huruf ل sebagai penekanan. Maknanya, tidak syak lagi, Allah ﷻ pasti akan buat. Jangan ada perasaan dalam hati kita yang Kiamat tidak akan berlaku. Ia PASTI akan terjadi.
صَعِيدًا جُرُزًا
menjadi tanah yang rata bersih;
Ini akan berlaku apabila kiamat nanti. Waktu itu semuanya hancur, tidak akan ada apa-apa lagi yang akan tinggal di bumi ini. Sebenarnya, kalau bumi ini bergegar tidak berhenti-henti, tanah bumi ini semua akan hancur dan masuk dalam laut dan bumi akan menjadi rata.
Akan tetapi Allah ﷻ telah jadikan bumi ini tidak bergerak untuk keselesaan kita dan keselamatan kita. Namun begitu pada hari Kiamat nanti, bumi akan digoncang dengan sekuat-kuatnya dan nanti semua atas bumi akan hancur dan tidak akan tinggal apa-apa lagi.
Perkataan صَعِيدًا bermaksud ‘mengumpulkan debu’. Kalau kita tinggalkan sesuatu tempat itu tidak berpenghuni, lama-lama debu sahaja yang akan menutupinya. Perkataan جُرُزًا pula bermaksud ‘tandus’, tidak ada apa yang boleh tumbuh lagi di situ.
Berkata ahli-ahli tafsir: Bahawasanya ayat 8 ini adalah sebagai tasliah, ertinya ubat penawar untuk hati duka Rasulullah ﷺ untuk menghadapi kaumnya yang ingkar daripada kebenaran itu. Mereka berlumba berebutkan hidup dalam dunia atau bumi yang senantiasa berubah dalam kehidupan yang hanya sementara. Mereka hanya terpesona oleh perhiasan bumi, lalu mereka berlumba mengumpulkan benda, mengumpulkan harta emas dan perak. Sehingga mereka tidak memerhatikan kesudahan daripada semuanya ini. Sedangkan perhiasan bumi yang diperebutkan itu tidaklah kekal, bahkan bumi akan rata dan tanahnya akan tandus, apakah lagi manusia itu sendiri. Meskipun kelihatannya bumi belum rata, dan tanahnya belum tandus, tetapi bagaimana dengan kekuatan manusia yang dibatas? Kalau tenaga di waktu muda telah habis kerana umur telah lanjut. Atau badan telah lemah, yang tadinya kuat dan gagah perkasa. Atau bahkan ajal pun sampai dan jasmani dimasukkan ke bumi itu, lalu tanah tinggal tulang, bukanlah bagi dirinya itu bumi itu telah menjadi rata dan tanahnya telah tandus?
KISAH 1: PEMUDA GUA
Kahf Ayat 9: Allah ﷻ telah menjadikan alam ini dengan segala kehebatannya. Sekarang Allah ﷻ menceritakan satu kisah tentang kehebatan-Nya juga. Maka sekarang kita masuk kepada permulaan kisah Pemuda Kahfi. Bermula ayat ini sehingga ke ayat 31 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia kisah berkenaan sekumpulan pemuda yang membawa diri untuk menyelamatkan iman mereka daripada pemerintah yang zalim. Begitulah juga para sahabat telah membawa iman mereka berhijrah ke Madinah.
Ada empat kisah yang akan disebutkan dalam surah Kahfi ini selepas ini. Di antara kisah-kisah itu ada pengajaran yang Allah ﷻ akan ingatkan kepada kita. Kisah pertama adalah kisah Pemuda Kahfi. Melalui kisah itulah diambil dan dijadikan tajuk surah ini.
Dikatakan cerita Pemuda Kahfi ini terjadi selepas Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diangkat ke langit. Sebelum diutus Nabi Muhammad ﷺ. Pemuda-pemuda Kahfi itu adalah pengikut ajaran Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Kahfi itu bermakna ‘Gua’ iaitu tempat pemuda-pemuda itu menyembunyikan diri daripada raja mereka yang sesat yang menyuruh mereka meninggalkan agama tauhid. Mereka adalah pemuda-pemuda yang berpegang kepada fahaman tauhid. Kita akan belajar kisah mereka dengan panjang lebar nanti.
Atau ada juga pendapat yang mengatakan kisah mereka ini terjadi sebelum agama Kristian lagi. Kerana kalau mereka agama Kristian, tentunya Pendeta Yahudi tidak akan ambil kisah tentang kisah mereka ini dan tidak akan simpan maklumat tentangnya. Ini adalah kerana mereka amat tidak sefahaman dengan orang-orang Kristian.
Akan tetapi, kita boleh lihat bahawa apabila pemuka Quraisy bertanya kepada mereka tentang sama ada Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Nabi atau tidak, Pendeta Yahudi itu mengeluarkan kisah Pemuda Kahfi ini untuk ditanyakan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allahu a’lam.
أَم حَسِبتَ أَنَّ أَصحٰبَ الكَهفِ وَالرَّقيمِ كانوا مِن ءآيٰتِنا عَجَبًا
Sahih International
Or have you thought that the companions of the cave and the inscription were, among Our signs, a wonder?
Adakah engkau menyangka, bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?
أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحٰبَ الْكَهْفِ
Apakah kamu anggap penghuni gua itu,
Ayat ini merujuk kepada kisah Pemuda Gua itu. Maknanya sudah ada orang yang tahu tentang kisah mereka dan sekarang Al-Qur’an hanya mengulang sahaja kisah itu.
Kalimah أَمْ حَسِبْتَ adalah dalam bentuk istifham (soalan) tapi ia bukanlah istifham haqiqi. Allah ﷻ buat hendak kita jawab, tapi ia adalah jenis istifham majazi sahaja. Allah ﷻ hendak menarik perhatian pembaca.
Siapakah nama-nama mereka? Kita tidak tahu kerana Allah ﷻ tidak sebut, Nabi ﷺ pun tidak sebut. Memanglah ada senarai nama mereka yang entah diambil dari mana (kemudian dijadikan pooja pula). Ini bermakna nama mereka tidak penting pun. Bila masa kejadian ini pun kita tidak pasti kerana sekali lagi, ia tidak penting. Al-Qur’an bukannya buku sejarah untuk senaraikan perkara-perkara itu sebaliknya Al-Qur’an menyampaikan cerita sebagai pengajaran.
Namun begitu, apabila sudah namanya manusia, keinginan ingin tahu sangat kuat, maka banyaklah kajian yang dibuat. Akan tetapi kita tidak senaraikan di sini kerana semua itu tidak dapat dipastikan kesahihannya dan kerana ia tidak penting. Lebih- lebih kerana Al-Qur’an al-Karim telah melarang untuk bertanya tentang hal ini selain kepada wahyu Al-Qur’an, dan juga melarang berdiskusi dan bertengkar atau meneka-neka.
وَالرَّقِيمِ
dan batu bersurat;
Yang dimaksudkan adalah Batu bersurat yang menulis kisah mereka. Ia daripada kalimah الرَّقِيمِ raqm yang bermaksud pahatan. Ia adalah satu bentuk tulisan yang tahan bertahun-tahun lamanya sampai boleh bertahan berkurun-kurun lamanya. Ada yang mengatakan tulisan itu berada di gua itu sendiri. Ia telah dimasukkan ke dalam bahasa kita menjadi ‘rakam’ iaitu menyalin kisah dahulu.
Namun begitu ada juga pendapat lain tentang kalimah الرَّقِيمِ ini.
1. Ada yang mengatakan ia adalah nama tempat kejadian kisah ini dan terletak antara Aylah dan Palestin. Ada yang mengatakan ia adalah tempat yang disebut ‘Rekem’ dalam Injil – Joshua, 18: 27.
2. Ia adalah batu bersurat yang merakam nama Pemuda Kahfi itu. Kerana mereka itu adalah dikira sebagai penjenayah pada waktu itu dan kerana itu ditulis nama mereka.
3. Ia adalah Raqim, nama tempat yang berdekatan dengan gua Pemuda Kahf itu.
4. Ada juga yang kata nama anjing yang bersama para pemuda itu.
Ada pun tempat gua itu tidaklah ada kepastian dan persetujuan. Ada berbagai tempat yang dikatakan gua itu akan tetapi tidak dapat dipastikan.
كَانُوا مِنْ ءآيٰتِنَا عَجَبًا
adalah benda yang menjadi tanda-tanda Allah yang menakjubkan?
Seperti yang telah disebut sebelum ini, soalan tentang Pemuda Kahfi ini Yahudi suruh tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana pada mereka, kisah ini kisah yang hebat, yang ajaib, boleh buat filem punya cerita. Maka sekarang Allah ﷻ sindir mereka kembali: Adakah kamu rasa tidur dalam gua itu beberapa tahun itu sudah ajaib?
Ini juga adalah sindiran kepada mereka yang memuja Pemuda Kahfi itu kerana mereka sangka Pemuda Kahfi itu ada kelebihan ajaib. Biasalah manusia bodoh, busut besar sikit pun mereka puja. Mereka silap faham dengan kisah Pemuda Kahfi itu kerana mereka sangka Para Pemuda Kahfi itu manusia luar biasa. Padahal Allah ﷻ telah mencipta semua yang ada dalam dunia ini, daripada tiada kepada ada, tentu lebih menakjubkan. Penciptaan langit dan bumi lagi menakjubkan daripada kisah tidur sahaja. Padahal mereka yang Allah ﷻ tidurkan itu adalah makhluk yang sudah wujud, cuma Allah ﷻ tidurkan sahaja mereka.
Sedangkan langit yang dijadikan tanpa tiang dan tetap tidak retak berjuta tahun itu, mereka tidak hairan pula. Matahari yang bersinar entah berapa juta tahun itu mereka tidak pelik pula. Bahkan ada banyak lagi perkara lain yang lebih menakjubkan lagi daripada kisah mereka itu. Allah ﷻ mahu mengingatkan kepada kita, jangan lupa melihat keajaiban lain dalam alam ini yang Allah ﷻ telah jadikan. Allah ﷻ kena ingatkan kerana manusia ini setelah melihat langit, bulan, bintang, gunung ganang sejak dari lahir lagi, tidak nampak lagi kehebatan penciptaan Allah ﷻ itu. Kerana itu Allah suruh kita lihat langit yang lebih hebat seperti disebut di dalam Mulk:3-4
الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ طِباقًا ۖ مّا تَرىٰ في خَلقِ الرَّحمٰنِ مِن تَفٰوُتٍ ۖ فَارجِعِ البَصَرَ هَل تَرىٰ مِن فُطورٍ
Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
ثُمَّ ارجِعِ البَصَرَ كَرَّتَينِ يَنقَلِب إِلَيكَ البَصَرُ خاسِئًا وَهُوَ حَسيرٌ
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan balik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).
Kenapa mereka hairan sangat dengan beberapa orang yang ditidurkan? Sedangkan menghidupkan, kemudian mematikan, kemudian dihidupkan semula mereka tidak hairan pula? Allah ﷻ perli mereka yang sibuk sangat dengan kisah para pemuda itu, sedangkan pengajaran yang sepatutnya mereka ambil daripada kisah mereka, mereka buat tidak hirau sahaja. Begitulah juga dengan orang kita, suka sangat kisah dongeng tanpa melihat pengajaran daripada sesuatu kisah itu.
Muqaddimah surah ini adalah tentang tawasul (menggunakan perantaraan). Ada yang menjadikan Nabi, wali, malaikat, jin sebagai wasilah (broker untuk sampaikan doa kepada Allah ﷻ). Maka untuk menolak fahaman itu, Allah ﷻ menjelaskan bahawa Dia tidak mengambil ‘anak angkat’. Sebelum itu telah disebut tentang Allah ﷻ. Yang diberitahu dalam ayat itu adalah kita kena puji Dia. Kemudian, diceritakan tentang Al-Qur’an. Telah disebutkan berkenaan lurusnya Al-Qur’an itu.
Kemudian diberitahu bahawa tugas Nabi adalah menyampaikan berita buruk dan berita baik. Maknanya, cerita dalam Surah Kahf ini adalah tentang masyarakat yang sudah bertawasul waktu itu. Kalau kita sekarang bertawasul pula, maka kita pun macam mereka juga sebenarnya. Cerita kesalahan yang dilakukan oleh manusia itu sama sahaja pada dasarnya dari dulu sampai sekarang. Memang kesesatan manusia dalam agama adalah bermula dengan amalan tawasul. Mulanya jadikan Nabi, wali, malaikat, jin sebagai perantara, namun kemudian lama-kelamaan disembah perantara-perantara itu dan jadilah satu agama sesat.
Antara yang manusia sesat jadikan sebagai wasilah adalah para pemuda gua itu. Pemuda-pemuda itu dikatakan adalah anak-anak pembesar negara. Maknanya mereka ini orang kaya dan berpengaruh tetapi mereka tidak melakukan syirik, tidak mengamalkan tawasul yang dilarang. Masyarakat waktu itu memang ada syariat agama tetapi sudah melakukan syirik dengan mengamalkan tawasul. Sepertiman Kristian sekarang pun, mereka bertawasul dengan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Atau raja negeri itu dan rakyatnya telah syirik kerana sembah berhala yang dijadikan sebagai wasilah juga. Pemuda-pemuda itu pegang syariat bahawa Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah Rasul, bukan tuhan, bukan perantara. Maka raja yang musyrik itu telah kata kepada rakyat bahawa kalau mereka tidak sembah berhala, mereka akan dibunuh.
Peristiwa yang kita belajar ini berlaku setelah sampai kepada pengetahuan raja bahawa pemuda-pemuda itu telah mengamalkan agama yang benar yang bertentangan dengan apa yang Raja dan orang lain amalkan. Raja itu telah memaksa mereka murtad dan sekiranya mereka enggan maka mereka akan dibunuh.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 15 Mei 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)


Salam Tuan, boleh berikan contoh amalan tawasul yang ada di Malaysia?
LikeLike
Banyak:
a. Pergi lawat kubur wali dan Nabi dan berdoa di situ
b. seru malaikat seperti dilakukan oleh golongan silat (Jibril di depanku…)
c. golongan tarekat dalam doa akan tawasul dengan wali seperti Syaikh Qadir Jalani dengan sedekah Fatihah
d. golongan biasa pun sedekah Fatihah kepada Nabi Muhammad dan keluarga baginda, terutama biasa kita tengok, nak mulakan baca Tahlilan.
itu yang biasa dilakukan bertawasul dengan yang mati. dengan yang hidup pun ada juga (tapi ini khilaf boleh atau tidak).
e. iaitu pergi jumpa tok guru, tok imam, ustaz, minta mereka doakan. ini juga tawasul sebenarnya. ada yang kata boleh tapi saya tidak bersetuju lah.
LikeLike