وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا
Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang kamu dulu menghadap kepadanya itu
Ini adalah jawapan kedua tentang kenapa kiblat mengalami pertukaran. Iaitu dari BaitulMaqdis ke Mekah (Ka’bah). Dahulu umat Islam telah mengadap Kiblat ke arah BaitulMaqdis semasa di Mekah. Kiblat itu diteruskan selama 16 bulan atau 17 bulan semasa di Madinah. Kemudian telah ditukar ke arah Ka’bah. Sekarang Allah ﷻ jelaskan kenapa Allah ﷻ buat penukaran itu.
Tapi bila pula umat Islam pernah berqiblatkan BaitulMaqdis dan di mana pula ayat suruhan itu? Ini adalah dari suruhan dan hadis dari Rasulullah. Maknanya arahan Nabi sahaja sudah cukup, tidak perlu sampai mesti kena ayat Al-Qur’an. Ini menolak hujah dan pegangan golongan Anti-Hadis yang kata kita hanya perlu pakai ayat Al-Qur’an sahaja. Sedangkan banyak arahan datang dari sabdaan Rasulullah.
إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ
melainkan supaya Kami dapat tahu siapa yang ikut Rasul;
Allah ﷻ membuat penukaran arah kiblat itu kerana hendak membezakan antara hamba-Nya: Mana yang ikut Nabi ﷺ semata-mata atau hanya mengikut baginda kerana Nabi ﷺ salat sama dengan kiblat mereka. Kalau mereka sudah tidak lagi ikut kiblat baru itu, bermaksud dahulu dia ikut Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ mengikut dia sahaja. Dan apabila Nabi ﷺ sudah tidak sama dengan kiblat mereka, mereka sudah tidak ikut. Maknanya, hidayat mereka dulu tidak sempurna.
Kena dijelaskan apakah maksud لِنَعْلَمَ (supaya Kami tahu) di dalam ayat ini. Kalau diterjemahkan secara literal tanpa tafsir, boleh menyebabkan salah faham tentang Allah pula. Bukanlah ayat ini bermaksud Allah ﷻ jahil tidak tahu siapa yang sebenarnya beriman. Sebenarnya Allah ﷻ cuma hendak bezakan kepada umat Islam sahaja. Bukanlah Allah ﷻ tidak tahu iman hamba-Nya sampaikan Dia kena buat sesuatu untuk memastikannya pula – kalau ada yang kata begini, itu adalah salah sama sekali. Allah ﷻ Maha Tahu hati hamba-hamba-Nya. Cuma Allah ﷻ hendak menzahirkan iman mereka yang sebenarnya kepada orang Mukmin kerana kita sebagai manusia tidak tahu iman orang lain. Perumpamaan begini: seorang pensyarah tahu siapa pelajarnya yang akan lulus dan siapa yang akan gagal melihat dari sikap mereka di dalam belajar. Akan tetapi kalau tidak diberikan ujian, hal ini tidak akan diketahui melainkan hanya pensyarah itu sahaja. Maka kerana itu diadakan ujian untuk menzahirkan hal itu.
Ia juga adalah ujian Allah ﷻ kepada sahabat untuk memperlihatkan siapakah yang taat dan siapa yang tidak. Mereka yang taat itu adalah mereka yang sanggup mengikut arahan Nabi ﷺ tanpa banyak soal. Memang segala apa yang terjadi di dunia ini adalah ujian dari Allah. Ada yang berjaya dan ada yang gagal. Waktu penukaran itu, banyak umat Islam yang telah goyah agama mereka. Ada yang kata adakah Allah ﷻ telah salah beri alamat semasa suruh pakai kiblat yang dahulu? Dan berbagai-bagai lagi isu-isu yang timbul.
Ada yang waktu itu mereka baru masuk Islam dari agama lain. Dan penukaran kiblat itu menyebabkan mereka sangsi kepada Islam kerana nampak Islam macam tidak tetap pendirian – ini adalah kerana mereka masih jahil lagi dan tidak faham agama Islam lagi. Allah ﷻ hendak melihat siapakah yang mahu ikut arahan tanpa soal.
مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ
dan siapa yang berpaling atas dua tumitnya;
Iaitu mereka yang tidak ikut Nabi ﷺ, iaitu golongan munafik dan juga golongan Yahudi. Ada dari kalangan mereka yang kembali kepada agama asal, iaitu kufur. Mereka meninggalkan agama Islam kerana mereka salah faham dan mereka sendiri yang tidak tetap pendirian untuk ikut apa yang Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ sampaikan.
Kenapa Allah gunakan perumpamaan berpusing atas dua tumitnya? Kerana apabila berpusing atas dua tumit, tidak stabil dan orang itu akan jatuh. Ini mengajar kita yang kalau menolak arahan Allah dan Rasul, pasti akan jatuh ke jurang kufur dan masuk neraka.
Allah ﷻ hendak menguji manusia tentang arahan kiblat ini. Sama ada mereka tetap patuh arahan Allah ﷻ atau tidak. Jadi ada dua golongan yang diuji waktu itu:
1. Muhajirin yang meninggalkan Mekah ke Madinah waktu itu diuji kerana membelakangi Ka’bah dan Mekah. Apabila mereka di Madinah mereka kena salat mengadap ke Jurusalem dan membelakangi Mekah. Tentu berat bagi mereka.
2. Golongan Ansar diuji apabila arahan mengadap ke Ka’bah. Mereka lebih rapat dengan Jurusalem kerana mereka sudah lama duduk dengan Yahudi dan kiblat Yahudi adalah ke Jurusalem.
Allah ﷻ hendak lihat siapakah yang taat kepada kepada arahan-Nya. Tempat menghadap itu tidak lebih penting daripada arahan Allah ﷻ. Kita kena tetap taat kepada apa sahaja arahan dari Allah ﷻ. Kalaulah ditakdirkan dalam salat kita disuruh menghadap ke banyak arah pun kita kena buat. Katakanlah waktu berdiri Allah ﷻ suruh menghadap satu arah dan bila rukuk kena menghadap lain arah, sujud arah lain pula. Kalau itu yang Allah ﷻ suruh kita buat, kita tetap juga kena ikut. Begitulah yang Allah ajar di dalam Ahzab:36
وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ إِذا قَضَى اللهُ وَرَسولُهُ أَمرًا أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم ۗ وَمَن يَعصِ اللهَ وَرَسولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا مُّبينًا
Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.
Juga Allah sebut di dalam Nur:51
إِنَّما كانَ قَولَ المُؤمِنينَ إِذا دُعوا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم أَن يَقولوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ
Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh”. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.
Apakah pula ujian bagi kita yang tidak hidup pada zaman itu? Kita pun diuji untuk terima arah kiblat ini. Janganlah hendak pening kepala fikir kenapa ke Ka’bah? Adakah kita sujud kepada Hajarul Aswad pula? Ini antara soalan-soalan ujian yang bermain di kepala masyarakat kita sampai sekarang.
Memang ia ada ditimbulkan oleh agama lain seperti Hindu dan ramai Muslim yang pening juga. Jawapan kenapa menghadap ke Ka’bah adalah kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Senang sahaja jawapannya. Kenapa hendak pening menjawab soalan daripada penganut agama yang mereka itu sendiri tidak tentu arah?
Dalam konteks yang lebih luas, ini adalah ujian untuk taat kepada arahan Allah ﷻ dalam segala hal. Apabila kita tahu sesuatu hukum yang ada dalam nas agama, adakah kita akan ikut? Kita pun tahu, kalau ada dalil, kenalah ikut. Jangan lagi hendak berhujah: “Amalan ini dah lama buat, ustaz itu ajar, tok nenek kita dah amalkan dan takkan mereka salah, adakah mereka masuk neraka….” dan macam-macam lagi hujah-hujah bathil dari manusia yang jahil.
Jangan semakkan fikiran kita. Arahan Allah ﷻ lebih penting daripada terus memikirkan kata-kata orang lain. Kita mesti pentingkan arahan Allah ﷻ, bukannya kata-kata manusia yang pelbagai. Kita sendiri tahu, yang selalu buat bising itu tidak belajar agama pun, jadi kenapa kita hendak hiraukan pendapat mereka? Mereka yang kena ikut kita yang belajar ini, bukan sebaliknya.
وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً
Dan sesungguhnya yang demikian itu adalah satu perkara yang amat berat untuk dipikul;
Memang menukar arah kiblat bagi para sahabat itu adalah perbuatan yang amat berat bagi mereka. Kerana itulah ayat tentang penukaran kiblat ini Allah berikan banyak ayat (dari 142 hingga 150). Ini kerana ada yang mengutuk Islam kerana berubah-ubah kejap ke sana dan kejap ke sini. Begitulah manusia tidak suka kepada perubahan. Apabila kerajaan Madani buat keputusan dan kemudian tukar, ramai orang kutuk kata kerajaan flip-flop, bukan? Maka untuk menekankan perkara ini dan kerana ia berat, maka banyak ayat Allah berikan dan hujah yang jitu dan padu.
Memang begitulah, untuk mengikut Allah ﷻ dan Rasul semata-mata adalah susah kerana ramai yang tidak mengikutnya. Contohnya, seperti hendak meninggalkan amalan bersanding semasa majlis kahwin. Atau tidak hadir ke majlis tahlil, atau Maulid Nabi. Ini kerana amalan sesat itu dibuat oleh ramai manusia dalam masyarakat. Jadi kita takut masyarakat tidak dapat menerima kita. Kita takut kepada mereka yang jahil. Ini adalah salah dan mereka yang sebegini adalah lemah iman mereka. Jadi, pengajarannya, kita kena ada semangat yang kuat untuk mengikut ajaran Nabi ﷺ kita. Jangan hiraukan apa orang kata. Kalau hendak ikut semua kata-kata manusia, tidak lalu kita hendak makan nasi, bukan?
Sedikit perbincangan tentang kalimah إِنْ yang digunakan di dalam ayat ini. Selalunya kalimah إِنْ bermaksud ‘jika’ dan sesekali juga ia bermaksud ‘tidak’. Tapi kalau guna maksud ‘jika’ tidak sesuai di sini. Jadi ada ulama’ yang menggunakan maksud ‘tidak’ bagi إِنْ di sini. Tapi kalau digunakan sebegitu, kalimah seterusnya iaitu إِلَّا tidak diterjemahkan. Oleh kerana itu, ada juga pendapat lain yang mengatakan إِنْ di sini bermaksud إنَّ yang bermaksud ‘sesungguhnya’. Jadi ada dua pendapat tentang penggunaan kalimah إِنْ akan tetapi mafhum (maksud) bagi kedua-duanya sama sahaja. Iaitu ia susah dan berat kecuali bagi orang yang mendapat hidayah.
إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ
melainkan ke atas orang-orang yang mendapat hidayat Allah sahaja;
Kalau Allah ﷻ beri hidayah kepada mereka, mereka akan berasa ringan sedikit untuk mengikut sunnah. Walaupun memang berat (tidak dinafikan) tetapi dimudahkan sedikit. Ini kerana mereka hanya takut kepada Allah ﷻ dan bukan kepada masyarakat sekeliling yang jahil. Semakin tinggi iman dan ilmu kita, semakin mudah untuk kita tidak menghiraukan kata-kata masyarakat sekeliling.
Apabila para sahabat yang benar-benar beriman diberitahu bahawa kiblat telah ditukar, mereka terus menukarnya. Mereka tidak membantah kerana mereka taat. Tambahan pula mereka sudah tahu yang memang Rasulullah berharap supaya kiblat ditukar. Kerana itu mereka mengikutnya walaupun ketika mereka sedang solat.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا بَيْنَا النَّاسُ يُصَلُّونَ الصُّبْحَ فِي مَسْجِدِ قُبَاءٍ إِذْ جَاءَ جَاءٍ فَقَالَ أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قُرْآنًا أَنْ يَسْتَقْبِلَ الْكَعْبَةَ فَاسْتَقْبِلُوهَا فَتَوَجَّهُوا إِلَى الْكَعْبَةِ
Dari Abdullah bin Dinar dari Ibnu Umar radliallahu ‘anhuma; “Tatkala orang-orang melaksanakan salat subuh di Quba`, tiba-tiba ada orang yang datang dan berkata; Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam agar menghadap kiblat, maka menghadaplah ke sana! lalu mereka berbalik menghadap Ka’bah.
Sahih Bukhari (4128)
وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَـٰنَكُم
Dan tidaklah Allah akan menyia-yiakan ‘iman’ kamu;
Allah ﷻ tidak akan menyia-nyiakan ibadat-ibadat soleh yang sahabat-sahabat Nabi ﷺ lakukan semasa mereka menghadap ke Baitul Maqdis. Tidaklah sia-sia amalan mereka dahulu – mereka masih dapat pahala juga daripada amalan mereka dahulu.
‘Iman’ yang dimaksudkan dalam ayat itu adalah ‘salat’ mereka. Ini menunjukkan kebesaran ibadat Salat sampaikan digunakan kalimah ‘iman’ untuk merujuk kepadanya. Ia hampir setaraf dengan iman sampaikan Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘iman’ untuk ‘salat’ dalam ayat ini. Begitu pentingnya salat, sehinggakan ia boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai kekuatan iman seseorang. Ini boleh dilihat sama ada dia akan terus salat ataupun tidak apabila timbul kesusahan. Ada orang yang tidak ada masalah untuk salat kalau dia dalam suasana senang dan tenang; tetapi kalau sibuk dengan hal lain, mereka sanggup tinggalkan Salat. Oleh itu, ketahuilah yang salat itu amat penting sekali kerana ia adalah tali hubungan kita dengan Allah ﷻ. Ini adalah alamat zahir tentang iman seseorang. Kita memang tidak tahu iman dalam hati manusia, tetapi kita boleh kenali dengan zahir mereka.
Satu lagi apabila iman dikaitkan dengan salat, maka ia memberi isyarat bahawa iman itu kena ada amalannya, bukan setakat di dalam hati sahaja. Ini menolak fahaman Murjiah (dan neo-Murjiah) yang berfahaman iman itu di hati sahaja, tidak buat ibadat pun tidak mengapa. Ini salah kerana iman itu bukan di hati sahaja, tapi hendaklah ditunjukkan dengan amal perbuatan. Kerana itulah Imam Bukhari menyusun Kitab Iman di dalam kitab sahihnya dan di situ beliau menekankan amal-amal perbuatan yang kena dilakukan untuk mendapat kesempurnaan iman.
Asbabun Nuzul petikan ayat ini: Ada sahabat-sahabat yang risau salat mereka semasa menghadap ke BaitulMaqdis dulu tidak sah. Ada orang Yahudi yang mengacau umat Islam dengan mengatakan kalau kiblat sudah ditukar, bermakna ibadat salat mereka semasa menghadap ke BaitulMaqdis itu tidak dikira. Maka kelam kabutlah para sahabat sekalian kerana entah berapa lama mereka salat menghadap BaitulMaqdis. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa ia diterima kerana semasa mereka menghadap ke BaitulMaqdis itu, mereka lakukan kerana iman mereka. Waktu itu mereka mengikut arahan Allah ﷻ dan Nabi mereka. Mereka taat kepada Allah ﷻ dan tidak mungkin Allah ﷻ akan mensia-siakan ketaatan mereka itu? Seperti kita telah sebutkan, arah itu tidak penting, yang lebih penting adalah taat kepada arahan daripada Allah ﷻ. Dahulu Allah ﷻ suruh menghadap ke BaitulMaqdis, sekarang ke Ka’bah pula. Kalau Allah ﷻ suruh tukar pula, kita tetap akan ikut (tidaklah ada penukaran lagi kerana tiada lagi Nabi yang menerima wahyu).
إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ
Sesungguhnya Allah terhadap manusia sangat Penyantun
Salah satu sifat Allah adalah الرءوف. الرءوف ertinya Maha Penyantun, Dialah Dzat yang mengasihi seluruh hamba-hambanya. Akar kata Ar Rauf adalah ر أ ف yang dalam bahasa Arab Klasik diertikan sebagai:
-
- bersikap baik hati,
- lembut,
- sabar berbelas kasih,
- berbelas kasih untuk menunjukkan belas kasihan untuk menunjukkan kelembutan
Secara istilah, الرءوف ertinya bersikap baik hati, lembut, sabar, dan belas kasih untuk menunjukkan kasih sayang. Sehingga, الرءوف juga mempunyai erti Yang Maha Baik, Penyayang yang Lembut, Yang Membuat Nyaman dan Penuh Belas Kasih. Makna sifat Allah الرءوف adalah Tuhan kita senantiasa menganugerahkan rahmat-Nya yang melimpah kepada orang-orang yang menghubungkan diri kepada-Nya dengan berbuat amal saleh serta bertakwa. Allah SWT melimpahkan berbagai kenikmatan kepada hamba-Nya di langit dan bumi. Dia-lah satu-satunya Dzat tertinggi di jagad raya yang memberikan kemudahan hidup hamba-hamba-Nya.
Walaupun Allah sangat sayang kepada hambaNya, tapi tidaklah Allah tidak beri ujian kepada makhlukNya. Bukannya Allah ﷻ tidak sedar tentang kepayahan yang diterima oleh umat-Nya yang terpaksa mengharung segala rintangan dan tohmahan. Allah ﷻ sedar, namun itu semua adalah sebagai ujian untuk kita. Kalau ia adalah senang, bukanlah ujian namanya.
Yang diuji adalah orang yang beriman. Memang yang diuji adalah barang yang berharga. Contohnya, kalau orang beri kita emas atau berlian, tentu kita ingin mengujinya sama ada ia adalah tulen ataupun tidak. Tetapi kalau orang beri kita besi biasa sahaja, adakah kita hendak uji sama ada ia adalah besi ataupun tidak? Tentu tidak, kerana besi tidak berharga mana. Bermakna, yang diuji adalah benda yang bernilai. Maka ingatlah, yang Allah ﷻ uji adalah orang yang beriman. Kalau kita diuji, bermakna Allah ﷻ hendak uji iman kita sebenarnya. Maka jangan takut dan lelah dengan ujian.
رَّحِيمٌ
Maha Belas kasihan.
Amat tinggi sifat رَحِيمٌ Allah ﷻ ke atas kita. Kerana itulah orang Mukmin akan mendapat رَحِيمٌ Allah ﷻ di akhirat kelak. Sifat رَحِيمٌ ini hanya ditunjukkan kepada orang Mukmin sahaja di akhirat (Kalau ‘Rahman’ dan Rauf, semua makhluk boleh dapat semasa di dunia). Ini kerana sifat ‘rahman’ itu menyeluruh diberikan kepada semua makhluk sedangkan ‘raheem’ diberiman kepada orang mukmin sahaja. Di dunia Allah boleh beri ujian kepada hamba yang disayangiNya, akan tetapi Allah tidak akan kenakan apa-apa musibah kepada hambaNya yang mendapat rahmat. Maka semoga kita mendapat رَحِيمٌ Allah ﷻ kelak, aameen.
Di dalam penghujung ayat ini Allah gunakan dua sifatNya رَءُوفٌ dan رَحِيمٌ. Walaupun kedua-duanya membawa maksud kasih sayang, terdapat perbezaan nuansa dan fungsi yang sangat indah untuk kita fahami.
1. Ar-Ra’uf (الرَّؤُوفُ) – Belas Kasihan yang Menghalang Kesakitan
Kata akar Ra’fah (رأفة) adalah bentuk kasih sayang yang paling tinggi, paling lembut, dan paling halus. Ia adalah kasih sayang yang bertujuan untuk mengelakkan bahaya, kesakitan, atau kesulitan sebelum ia berlaku. Contoph: Jika anda seorang bapa yang melihat anak kecil anda hendak menyentuh cerek panas, lalu anda segera menarik tangannya dengan penuh kelembutan— perasaan itu adalah Ra’fah.
Kesan: Sifat Ra’uf Allah membuatkan Dia memberikan keringanan (rukhsah) dalam ibadah supaya hamba-Nya tidak terbeban.
2. Ar-Rahim (الرَّحِيمُ) – Kasih Sayang yang Memberi Manfaat
Kata akar Rahmah (رحمة), adalah kasih sayang yang luas. Ia adalah kasih sayang yang bertujuan untuk memberi kebaikan, nikmat, dan kesempurnaan kepada hamba. Contoh: Selepas anda menghalang anak tadi daripada terkena cerek panas (Ra’fah), anda kemudian memberikan anak itu susu yang sedap dan memeluknya dengan hangat—pemberian nikmat itu adalah Rahmah.
Kesan: Sifat Rahim Allah menyebabkan hamba-Nya mendapat pahala, syurga, dan ketenangan hati.
Kesimpulan ayat ini: ada kelebihan yang diberikan kepada umat Islam dan dengan kelebihan itu, ada tanggungjawab. Dengan kelebihan yang diberikan ada tanggungjawab yang kita kena tunaikan. Maka kita kena belajar apakah tanggungjawab itu.
Kuiz Kefahaman (Jawapan Pendek)
Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat dalam teks tafsir. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.
- Apakah yang dimaksudkan dengan istilah Ummatan Wasathan (umat pertengahan)?
- Bagaimanakah Islam menyeimbangkan antara kepentingan peribadi dan kepentingan masyarakat?
- Terangkan perbezaan antara kecenderungan umat Yahudi dan Nasrani dari segi keduniaan dan akhirat menurut teks.
- Apakah peranan umat Nabi Muhammad ﷺ sebagai saksi di padang Mahsyar kelak?
- Mengapakah Nabi Muhammad ﷺ menangis apabila mendengar bacaan Surah An-Nisa’ ayat 41?
- Apakah tujuan utama Allah ﷻ melakukan pertukaran arah kiblat dari BaitulMaqdis ke Ka’bah?
- Apakah ujian khusus yang dihadapi oleh golongan Muhajirin dan Ansar dalam isu pertukaran kiblat?
- Mengapakah perkataan “iman” dalam ayat 143 dirujuk kepada ibadat “salat”?
- Bagaimanakah teks menjelaskan makna sifat Allah Ar-Rauf?
-
Apakah risiko yang dihadapi oleh umat Islam jika mereka tidak menunjukkan akhlak yang baik kepada orang bukan Islam?
Glosari Istilah Kunci
|
Istilah
|
Definisi
|
|---|---|
|
Wasathan
|
Bermaksud pertengahan, terbaik, adil, atau berada di antara dua kutub yang ekstrem.
|
|
Shuhada
|
Saksi-saksi yang memberi keterangan tentang kebenaran dan kesalahan manusia di akhirat kelak.
|
|
Mu’tadil
|
Sifat keadilan atau keseimbangan dalam menjalankan tanggungjawab agama.
|
|
Ar-Rauf
|
Sifat Allah yang Maha Penyantun, menunjukkan kelembutan dan belas kasih yang mendalam kepada makhluk-Nya.
|
|
Ar-Rahim
|
Sifat Allah yang Maha Belas Kasihan, khususnya diberikan kepada orang mukmin di akhirat kelak.
|
|
Bid’ah
|
Rekaan amalan atau fahaman baru dalam agama yang tidak pernah diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ.
|
|
Sanad
|
Rantaian penyampai ilmu atau hadis yang bersambung dari guru ke guru sehingga kepada para sahabat dan Nabi ﷺ.
|
|
Fitnah (dalam konteks orang kafir)
|
Menjadi sebab atau alasan bagi orang bukan Islam untuk menjauhi atau membenci Islam disebabkan akhlak buruk orang Islam sendiri.
|
|
Ummatan Wasathan
|
Gelaran bagi umat Islam sebagai umat pilihan yang adil dan seimbang dalam aspek dunia dan akhirat.
|
|
BaitulMaqdis
|
Kiblat pertama umat Islam yang terletak di Jurusalem sebelum diperintahkan bertukar ke arah Ka’bah di Mekah.
|
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 24 Mac 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Skema Jawapan Kuiz
1. Wasathan bermaksud pertengahan, adil, dan yang terbaik. Umat Islam dipilih sebagai umat terbaik kerana mereka menyeimbangkan segala aspek kehidupan tanpa melampaui batas dan mengikut segala arahan Allah ﷻ.
2. Islam tidak melebihkan individu sehingga melupakan masyarakat, dan tidak pula mementingkan masyarakat sehingga mengabaikan hak peribadi. Contohnya dapat dilihat dalam ibadat salat yang boleh dilakukan bersendirian (sunat) dan secara berjemaah untuk memperkukuh hubungan sosial.
3. Umat Yahudi dikatakan terlalu condong kepada kebendaan dan dunia sehingga kurang mementingkan akhirat. Sebaliknya, ajaran Nasrani asal terlalu mementingkan spiritual dan akhirat sehingga ada yang meninggalkan fitrah manusia seperti berkahwin.
4. Umat Islam akan menjadi saksi bahawa para Nabi terdahulu telah menyampaikan risalah dakwah kepada umat mereka. Kesaksian ini diberikan berdasarkan ilmu yang diperoleh daripada Al-Qur’an, walaupun umat Islam tidak hidup pada zaman Nabi-nabi tersebut.
5. Baginda menangis kerana menyedari tanggungjawab berat sebagai saksi ke atas perbuatan umatnya sendiri di akhirat kelak. Baginda bimbang jika ada umatnya yang melakukan amalan yang salah atau tidak mengikut sunnah yang telah baginda sampaikan.
6. Pertukaran tersebut bertujuan untuk menguji ketaatan hamba-hamba-Nya dan membezakan antara mereka yang benar-benar mengikut Rasul dengan mereka yang berpaling tadah. Ia adalah ujian untuk melihat siapa yang patuh kepada arahan Allah ﷻ tanpa banyak soal.
7. Muhajirin diuji kerana mereka perlu membelakangi Ka’bah (tanah air mereka) semasa di Madinah, manakala golongan Ansar diuji kerana mereka perlu meninggalkan kiblat Jurusalem yang sudah lama mereka kenali melalui pengaruh Yahudi.
8. Ini adalah untuk menunjukkan betapa besarnya kedudukan salat sebagai kayu ukur kekuatan iman seseorang. Selain itu, ia bertujuan untuk menenangkan para sahabat bahawa salat mereka yang terdahulu (menghadap BaitulMaqdis) tidak sia-sia dan tetap diberi pahala.
9. Ar-Rauf bermaksud Maha Penyantun, iaitu Zat yang sangat baik, lembut, dan penuh belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya. Allah ﷻ sentiasa menganugerahkan rahmat yang melimpah dan memberikan kemudahan hidup kepada mereka yang bertakwa.
10. Umat Islam yang berakhlak buruk boleh menjadi “fitnah” atau alasan bagi orang bukan Islam untuk menolak agama Islam. Mereka mungkin berhujah di hadapan Allah ﷻ nanti bahawa mereka tidak nampak keindahan Islam disebabkan oleh perilaku penganutnya yang tidak amanah atau zalim.
LikeLike