Baqarah Ayat 136: Ini adalah khulasah (ringkasan) kepada agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Inilah millah Ibrahim. Allah ﷻ jelaskan di sini kerana bimbang jika ada yang hanya mengagak-agak sahaja apakah pegangan agama baginda. Inilah yang perlu kita pegang.
قولوا ءَامَنَّا بِاللَّهِ وَما أُنزِلَ إِلَينا وَما أُنزِلَ إِلىٰ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطِ وَما أوتِيَ موسىٰ وَعيسىٰ وَما أوتِيَ النَّبِيّونَ مِن رَّبِّهِم لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّنهُم وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ
Say, [O believers], “We have believed in Allah and what has been revealed to us and what has been revealed to Abraham and Ishmael and Isaac and Jacob and the Descendants and what was given to Moses and Jesus and what was given to the prophets from their Lord. We make no distinction between any of them, and we are Muslims [in submission] to Him.”
Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Qur’an), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.
قُولُواءَامَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا
Katakanlah kamu sekalian: Kami beriman dengan Allah dan apa sahaja yang diturunkan kepada kami;
Ini adalah arahan Allah ﷻ untuk ucapan dari kita. Bukan ucap sahaja tetapi kena pegang iktikad ini kerana bab iman bukan sekadar lafaz sahaja. Ini kerana munafik pun boleh lafaz mereka beriman tetapi mereka tidak beriman.
Yang disuruh berkata dalam ayat ini adalah ‘orang-orang Muslim’ – kalau kita lihat perkataan itu, ia adalah dalam bentuk jamak – plural. Ayat yang hampir sama ada dalam Surah Ali Imran, tetapi suruhan dalam Surah Ali Imran itu dalam bentuk mufrad – singular. Ini adalah kerana Surah Baqarah ini banyak berkenaan dengan Bani Israil dan masalah dengan Bani Israil ini adalah mereka terlalu berbangga dengan kaum mereka. Mereka perasan mereka adalah umat terpilih (the Chosen One) sampai mereka rasa mereka boleh buat apa yang mereka hendak dan Allah ﷻ tetap sayang kepada mereka dan tidak mengazab mereka. Seolah-olah anak kesayangan seorang emak yang boleh lepas walau buat kesalahan apa sahaja. Oleh itu, Allah ﷻ memerintahkan kepada ‘seluruh’ umat Islam untuk menyatakan aqidah mereka. Ini adalah isyarat bahawa kedudukan Bani Israil sebagai umat terpilih akan diambil alih oleh umat Islam pula.
Selepas kita disuruh menyatakan keimanan kepada Allah ﷻ, kita disuruh menyatakan keimanan kepada وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا – “dan kitab yang diturunkan kepada kami” – yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Ini mengajar kita berdakwah kepada manusia – kita kena nyatakan kepercayaan kita kepada Al-Qur’an dahulu sebelum kita kata ada kebenaran dalam kitab-kitab yang lain. Ketahuilah yang Al-Qur’an lebih penting daripada kitab-kitab yang lain. Dalam bahagian seterusnya, baru dinyatakan kita juga percaya ada kitab yang diturunkan kepada Nabi-nabi yang lain. Ini untuk mencari persamaan antara agama kita dengan agama mereka. Ini kerana memang ada persamaan antara agama Islam dan agama sebelumnya. Akidah dari dulu memang sama. Cuma agama mereka banyak yang telah diubah sampai akidah mereka telah berubah dari asalnya.
Kita juga kena beriman dengan hadis Nabi. Walaupun ia adalah hadith, itu pun wahyu juga sebenarnya kerana Nabi ﷺ tidak reka agama ini – baginda tidak bercakap tentang agama daripada nafsunya sendiri atau daripada akalnya sendiri. Hadis yang disampaikan oleh Nabi ﷺ itu adalah dari Allah ﷻ, tetapi guna perkataan Nabi ﷺ sendiri dan dikeluarkan dalam bentuk hadith. Ia adalah wahyu juga kerana kalau bukan wahyu, itu adalah bid’ah. Hadis penting kerana ia menjelaskan apa yang telah Allah sebut di dalam Al-Qur’an. Kalau Nabi tak jelaskan tentu kita tidak akan faham bagaimana mengamalkan Al-Qur’an.
وَمَا أُنْزِلَ إِلَىٰ إِبرٰهِـۧمَ
Dan apa sahaja wahyu yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim
Kita mengaku bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام juga telah diberi dengan wahyu. Itulah yang disebut suhuf-suhuf Nabi Ibrahim عليه السلام. Ia di dalam bentuk skrol. Kita bukanlah kena ikut syariat baginda, tapi kita hanya perlu percaya bahawa baginda dan para Nabi yang lain juga mendapat wahyu dan telah sampaikan kepada umat-umat mereka.
وَإِسمَـٰعِيلَ
dan (wahyu yang diturunkan kepada) Nabi Ismail
Nabi Ismail عليه السلام iaitu anak kepada Nabi Ibrahim juga mendapat wahyu. Tetapi tidaklah di dalam bentuk kitab.
وَإِسحَـٰقَ
dan (wahyu yang diturunkan kepada) Nabi Ishak
Nabi Ishak عليه السلام juga adalah anak Nabi Ibrahim (tapi berlainan emak dengan Nabi Ismail). Baginda juga turut mendapat wahyu juga. Tetapi tidaklah di dalam bentuk kitab.
وَيَعْقُوبَ
dan (wahyu yang diturunkan kepada) Nabi Ya’kub
Nabi Ya’qub عليه السلام adalah anak kepada Nabi Ishak. Baginda juga mendapat wahyu juga. Tapi tidaklah juga di dalam bentuk kitab.
وَالْأَسْبَاطِ
dan (wahyu yang diturunkan kepada) kalangan anak cucu Nabi Ya’qub
Kalimah الأَسبَاط adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘anak cucu‘ atau ‘keturunan‘. Ia dari kata dasar: س ب ط yang bermaksud longgar, pokok yang ada banyak dahan, dilanjutkan, suku kaum, anak cucu. Untuk keturunan Nabi Ya’qub عليه السلام, Allah ﷻ menggunakan perkataan الْأَسْبَاطِ untuk merujuk kepada anak keturunan mereka. Untuk keturunan Nabi Ismail عليه السلام, Allah ﷻ menggunakan lafaz qaba’il. Sama sahaja maksudnya. Cuma kita boleh bezakan manakah keturunan yang dimaksudkan dengan melihat kepada lafaz yang digunakan. Kalau disebut الْأَسْبَاطِ, maka ia merujuk kepada keturunan Nabi Ya’qub عليه السلام dan anaknya Nabi Ishak عليه السلام. Kalau untuk keturunan Nabi Ismail عليه السلام, digunakan kalimah qaba’il.
وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ
dan (apa sahaja wahyu) yang diberikan kepada Nabi Musa;
Iaitu Kitab Taurat dan ajaran wahyu yang lain (kerana bukan semua wahyu yang Nabi Musa dapat adalah di dalam bentuk kitab). Nabi Musa disebut kerana baginda adalah Nabi utama bagi Bani Israil.
وَعِيسَىٰ
dan (apa sahaja wahyu yang diberikan kepada) Nabi Isa;
Yang dimaksudkan adalah wahyu termasuk Kitab Injil dan wahyu-wahyu yang lain. Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام diletakkan sekali kerana Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi terakhir Yahudi mengikut pendapat Yahudi dan Nabi Isa عليه السلام adalah Nabi kepada Nasrani. Kita menyatakan bahawa kita percaya kepada semua sekali nabi-nabi itu. Walaupun mereka berdua bukanlah Nabi yang kita ambil syariat daripada mereka, tetapi mereka tetap Nabi kita.
وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِنْ رَّبِّهِمْ
dan apa sahaja wahyu yang diberikan kepada para-para Nabi dari Tuhan mereka;
Semua wahyu yang diberikan kepada para Nabi yang lain, semuanya kita terima. Ini adalah kerana sama sahaja wahyu yang disampaikan oleh Allah ﷻ dalam bentuk akidah tauhid. Allah ﷻ tidak pernah membiarkan umat tanpa wahyu.
لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ
Kami tidak membezakan diantara Nabi-nabi itu;
Semua para Nabi itu kita terima, kita tidak tolak; dan kita tidak tafriq (kita tidak bezakan). Walaupun kita terima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi akhir zaman dan menjadi ikutan kita, tidaklah kita tolak para Nabi yang sebelum baginda.
Apakah yang dimaksudkan dengan ayat ini? Ayat ini menyatakan bahawa kita tidak boleh tidak menerima mana-mana Nabi. Jangan bezakan antara Nabi-Nabi itu kerana mereka itu semua memang berstatus Nabi. Jangan jadi seperti Yahudi, mereka tidak menerima kenabian Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Manakala Nasrani pula tidak menerima kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Itu adalah salah (mereka telah tafriq). Kita kena terima semua para Nabi itu kerana semua Nabi-nabi itu telah dilantik oleh Allah. Tidak menerima mana-mana Nabi yang telah dipilih oleh Allah, dinamakan perbuatan ‘tafriq’ dan itu dilarang.
Namun begitu, dalam masa yang sama, kita tahu bahawa status antara satu Nabi dengan Nabi yang lain tidak sama. Ada Nabi yang Allah ﷻ bercakap terus dengannya, ada Nabi yang mendapat status ‘Khalilullah’ dan berbagai-bagai lagi kelebihan yang diberikan kepada Nabi-nabi tertentu.
Dan kita juga tahu yang Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi akhir zaman. Baginda juga telah diberikan dengan mukjizat Al-Qur’an. Baginda adalah Nabi yang paling mulia. Kita sendiri tidak tahu apakah perbezaan status-status itu kerana ia adalah pemberian Allah ﷻ sendiri. Itu dinamakan ‘tafdhil‘ – iaitu mengatakan bahawa ada Nabi-nabi yang dilebihkan kedudukan mereka dari yang lain (oleh Allah ﷻ sendiri). Ini tidak salah. Tidak ada beza di antara Nabi-Nabi itu dari segi akidah. Tetapi berbeza daripada cara pelaksanaan hukum. Ini kerana setiap Nabi diberikan dengan syariat yang sesuai untuk zaman mereka.
وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
dan kepada Allah, kami berserah diri;
Kita kena isytihar yang kita berserah diri dalam iman dan amal kepada Allah ﷻ. Dan ini dapat dicapai dengan menggunakan syariat Nabi Muhammad ﷺ.
Sekali lagi perkataan ‘Muslim’ digunakan. Ini sebagai isyarat kepada Bani Israil untuk menjadi Muslim. Sebelum ini mereka berkata supaya jadi Yahudi atau Nasrani. Tetapi Allah ﷻ mengingatkan lagi kepada mereka untuk masuk Islam dengan segera sebelum terlambat.
Berkenaan ayat ini, Imam Bukhari membawakan satu hadis,
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ أَهْلُ الْكِتَابِ يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ بِالْعِبْرَانِيَّةِ وَيُفَسِّرُونَهَا بِالْعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا { آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا } الْآيَةَ
Dari Abu Hurairah radiallahuanhu berkata; “Orang-orang ahlu kitab membaca Taurat dengan bahasa Ibrani dan menjelaskannya kepada orang-orang Islam dengan bahasa Arab. Melihat hal itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Janganlah kalian mempercayai ahlu kitab dan jangan pula mendustakannya. Tetapi ucapkanlah; “Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami. (Al Baqarah; 136).’
Sahih Bukhari (4125)
Syarah: jangan kita percaya terus kepada apa-apa yang disampaikan oleh Ahli Kitab itu. Tetapi di dalam masa yang sama, janganlah terus menolak mereka kerana mungkin apa yang mereka sampaikan itu benar. Yang pentingnya adalah beriman dengan apa yang kita terima dari sumber kita. Ini kerana kisah-kisah para Nabi dari mereka telah banyak ditambah dengan rekaan-rekaan jadi kalau kita percaya, kita akan dapat maklumat yang salah tentang para Nabi. Kisah-kisah mereka itu dinamakan Israiliyyat dan banyak yang mengarut.
Baqarah Ayat 137: Allah ﷻ mengangkat kedudukan sahabat dalam ayat ini. Allah mengiktiraf iman mereka yang mengikut ajaran yang benar. Maka di sini juga memberitahu kita salah satu definisi iman iaitu ikut seperti iman para sahabat.
فَإِن ءَامَنُواْ بِمِثلِ ما ءَامَنتُم بِهِ فَقَدِ اهتَدَوا ۖ وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما هُم في شِقاقٍ ۖ فَسَيَكفيكَهُمُ اللَّهُ ۚ وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ
So if they believe in the same as you believe in, then they have been [rightly] guided; but if they turn away, they are only in dissension, and Allah will be sufficient for you against them. And He is the Hearing, the Knowing.
Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
فَإِن ءَامَنُواْ بِمِثلِ ما ءَامَنتُم بِهِ فَقَدِ اهتَدَوا
Maka sekiranya mereka (ahli-ahli Kitab) itu juga beriman sepertimana kamu semua beriman dengannya;
Kalaulah orang Yahudi dan Nasara itu beriman. Itulah yang telah diajak kepada mereka dengan banyak sekali di dalam Surah Baqarah ini. Berbagai-bagai cara Allah ﷻ telah berikan kepada mereka untuk memujuk – dengan cara lembut dan juga dengan cara keras. Akan tetapi kebarangkalian itu agak diragukan kerana kalimah فَإِن (jika) yang digunakan di sini. Tetapi kalaulah mereka itu beriman, itu tentulah amat baik bagi mereka, kerana barulah mereka akan selamat. Tetapi beriman yang bagaimana?
Perkataan ‘kamu’ yang dimaksudkan adalah sahabat-sahabat Nabi. Maknanya, kalau hendak beriman, kenalah ikut iman yang sama macam mereka. Kerana merekalah yang benar-benar beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dan Allah ﷻ. Mereka telah melihat bagaimana Nabi ﷺ mengamalkan Islam. Mereka yang berjuang bersama dengan Nabi Muhammad ﷺ. Dan merekalah yang Allah ﷻ telah beri pengiktirafan di atas iman mereka. Orang-orang selepas itu termasuk zaman sekarang, belum tentu lagi. Maka Yahudi dan Nasrani kena beriman seperti para sahabat itu, barulah mereka akan selamat.
Dan kena ikut sebiji-sebiji dengan tepat seperti apa yang difahami dan diamalkan oleh para sahabat itu kerana tambahan ب pada kalimah بِمِثلِ. Jadi ia bukan seperti serupa, tapi kena sebiji sungguh. Bukan mereka sahaja yang kena ikut para sahabat Nabi ﷺ, kita pun kena ikut. Kerana itulah kita tekankan kena ikut Sunnah. Dan Sunnah itu adalah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat beramal dengan agama. Mereka itu menjadi kayu pengukur agama yang benar. Kalau mereka tidak buat sesuatu dalam hal agama, maka kenalah kita berhati-hati.
Tidak faham perkara inilah yang menyebabkan masyarakat kita senang hati sahaja mengamalkan bidaah. Mereka tidak periksa sama ada sesuatu amalan itu Nabi ﷺ dan sahabat ada buat ataupun tidak. Maka kerana itu amat menyedihkan apabila kita menegur amalan bid’ah seperti Sambutan Maulid Nabi dan kita beri hujah: “Para sahabat tidak melakukannya.” Ini sebenarnya hujah yang kuat, akan tetapi ada pula yang tidak memandang hujah itu melainkan mereka berkata: “ada pendapat yang kata boleh”. Adakah ada pandangan yang lebih baik dari pandangan dan amalan para sahabat?
Oleh itu mereka memang tahu yang amalan itu tidak dilakukan oleh Nabi ﷺ dan sahabat, tetapi mereka tetap juga hendak buat. Ini memang degil dan jahil sungguh. Dan berbagai-bagai hujah bathil mereka akan beri untuk benarkan juga amalan bidaah mereka itu. Seolah-olah mereka lebih pandai pula dari Nabi dan para sahabat dalam hal agama. Itu memang perasan sangatlah.
فَقَدِ اهْتَدَوْا
maka merekalah orang-orang yang dapat petunjuk;
Kena ikut apakah fahaman dan amalan sahabat Nabi ﷺ. Itulah baru dinamakan mendapat petunjuk. Tidak boleh ikut kata-kata tok guru atau ulama’ atau sesiapa sahaja tanpa usul periksa. Kita ikut apa yang ustaz beritahu sepertimana yang sahabat Nabi ﷺ buat. Kalau ianya hanya pendapat pada guru dan ustaz sahaja, tidak boleh ikut lagi. Kena ada nas daripada perbuatan sahabat Nabi ﷺ.
Ini adalah kerana guru atau ulama’ adalah manusia dan ada buat silap. Mereka mungkin ada buat kesilapan dalam pentafsiran atau sebagainya. Masalah sekarang adalah masyarakat kita percaya sangat kepada guru agama dan ustaz mereka. Mereka tidak meminta dalil daripada guru mereka lagi. Pada mereka, kalau guru mereka buat, tentulah guru atau ustaz itu mengikut perbuatan Nabi ﷺ. Tetapi ketahuilah yang tidak semestinya begitu.
Yang benarnya adalah sahabat Nabi ﷺ kerana mereka melihat bagaimana baginda mengamalkan Islam. Mereka tidak akan buat perkara yang Nabi ﷺ tidak buat. Oleh itu, kena ikut dalil Al-Qur’an, Hadith dan sahabat Nabi ﷺ. Kerana mereka hidup bersama dengan Nabi ﷺ dan mereka lihat sendiri bagaimana Nabi ﷺ mengamalkan Islam.
Mereka tahu mana yang patut diikuti dan mana yang tidak. Dan kerana mereka hidup dengan Nabi ﷺ, jadi kalau mereka ada buat perkara yang salah, Nabi ﷺ wajib terus tegur mereka. Jadi para sahabat itu lebih faham agama dari kita sebenarnya. Contohnya, yang hanya boleh kahwin 9 hanyalah Nabi ﷺ sebab sahabat tidak ikut pun perbuatan Nabi ﷺ itu. Jadi, kalau ada perbuatan Nabi ﷺ tetapi sahabat tidak buat, itu bermakna ia adalah khas untuk Nabi ﷺ sahaja. Seperti kisah Nabi ﷺ mencacak pelepah kurma pada kubur. Sahabat tidak ikut pun. Maknanya, itu bukanlah untuk kita ikut. Kita panggil ia bukannya ‘sunnah’. Walaupun ia adalah hadith yang sahih, tetapi ia tidak sunnah, iaitu tidak perlu diikuti. Ini ramai orang yang tidak belajar, tidak akan dapat faham kerana mereka agak-agak sahaja dalam hal agama.
Kadang-kadang ada juga Nabi ﷺ tidak buat, tetapi ijma’ sahabat Nabi ﷺ buat. Contohnya sebagaimana Saidina Uthman رضي الله عنه memulakan azan dua kali pada Salat Jumaat. Itu pun kita boleh ikut. Kerana Nabi ﷺ sudah kata boleh ikut mereka. Iaitu boleh ikut pendapat yang dikeluarkan oleh khalifah ur rashidin al mahdiyyin.
Ini pun ada pengkhususan juga – kena amalan Khalifah, bukan hanya ‘sahabat’ sahaja. Ini adalah kerana kalau khalifah buat dan tidak ditegur oleh para sahabat yang lain, barulah ia jadi ‘sunnah’. Kalau setakat seorang sahabat sahaja buat, ia belum mencapai status sunnah lagi. Kerana ia mungkin pendapat dia sahaja dan tidak diiktiraf oleh sahabat yang lain.
Satu lagi adalah fatwa Saidina Umar رضي الله عنه supaya salat Terawih dibuat berjemaah mengikut seorang imam sahaja dan dibuat 20 rakaat. Itu juga boleh diikuti kerana beliau mengarahkan dalam kedudukan beliau sebagai Khalifah umat Islam. Dan para sahabat Nabi ﷺ yang tidak ada yang membangkang. Para Sahabat رضي الله عنهم itu tidak takut dengan manusia, hanya takut kepada Allah ﷻ. Lagi pun memang sudah ada contoh solat Terawih berjemaah pun.
Maknanya, kalau perbuatan Saidina Umar dan Uthman رضي الله عنهما itu salah, tentulah mereka akan membangkang. Maka, keputusan kolektif mereka dinamakan ijma’. Maknanya, semua sahabat setuju dengan ijtihad Uthman dan Umar رضي الله عنهما. Pernah juga pendapat Saidina Umar رضي الله عنه ditolak oleh sahabat yang lain. Pernah beliau hendak menetapkan mahr bagi seluruh umat Islam tetapi terus ditegur, maka tidak dijalankan.
Oleh itu, kita kena jadikan Nabi ﷺ dan sahabat sebagai ukuran dan cara penghayatan agama. Jangan ketepikan sahabat. Bukan Al-Qur’an sahaja yang sunnah. Kena faham maksud ‘sunnah’. Sunnah itu termasuk fahaman dan amalan para sahabat. Sebab ada hadith yang memang sahih tetapi sahabat tidak amal pun. Sebab ada kemungkinan ia sudah mansukh. Maka kalau ia sudah mansukh, ia bukan sunnah. Sebab kalau kita lihat hadith, Nabi ﷺ tidak kata baginda tinggalkan Al-Qur’an dan hadith buat panduan kita, tetapi baginda sebut baginda tinggalkan ‘Al-Qur’an dan Sunnah‘.
Dalam ayat ini Allah ﷻ mengangkat darjat para sahabat sebagai ukuran syariat. Bukan kita yang angkat. Maka kedudukan mereka amat tinggi. Maka janganlah kita pandang rendah kepada mereka dan berkata tidak baik tentang mereka. Sebab kedudukan mereka itulah Allah ﷻ beritahu kepada Yahudi dan Nasara, mereka kena jadikan sahabat sebagai neraca. Maka memang telah kufur golongan Syiah yang menghina para sahabat dan mengatakan mereka telah murtad.
وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما هُم في شِقاقٍ
Dan sekiranya mereka itu berpaling maka sesungguhnya mereka itu dalam sisi yang sangat berbeza dengan kamu;
Kalimah شِقَاق adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘perpecahan‘. Ia dari kata dasar : ش ق ق yang bermaksud melalui satu kawasan, menyeberangi, membuka jalan, membelah. Ia bermaksud berpaling daripada menerima Islam, berpaling daripada beriman seperti para sahabat. Maknanya mereka berada dalam permusuhan dengan kamu (Umat Islam). Jadi, memang golongan Ahli Kitab itu bermusuhan dengan umat Islam, sama ada berdepan atau di belakang. Mereka berpecah dengan jalan yang benar dari Allah.
Begitu jugalah bagi golongan yang tidak ikut sunnah Nabi ﷺ, maka mereka bermusuh dengan kita. Kerana itulah banyak sangat perbalahan antara umat Islam. Ini kerana pegangan agama sudah tidak sama. Yang tidak mengamalkan Sunnah akan selalu benci kepada mereka yang hendak mengamalkan sunnah. Ini adalah kerana kita selalu menegur kesalahan agama yang mereka lakukan dan mereka tidak tahan. Mereka pula tidak boleh bawakan hujah balas, maka kerja mereka hanya mengutuk dan menghina golongan Sunnah.
Ayat ini juga memberi isyarat yang sesama Ahli Kitab itu pun berpecah juga. Mereka tidak suka sama lain. Mereka memang nampak bersatu apabila menentang umat Islam, akan tetapi sesama mereka, mereka berpecah. Allah sebut tentang mereka ini dalam Hashr:14
بَأسُهُم بَينَهُم شَديدٌ ۚ تَحسَبُهُم جَميعًا وَقُلوبُهُم شَتّىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعقِلونَ
Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.
Malangnya umat Islam pun sekarang berpecah. Kita telah sebut antara golongan Sunnah dan golongan bid’ah. Ini kerana tidak berpegang dengan fahaman dan amalan agama para sahabat. Selain itu, umat Islam seluruh dunia pun berpecah juga. Ada sahaja perbezaan yang diperbesarkan sesama sendiri. Sampaikan tidak menyokong sesama sendiri. Kita boleh perhatikan di dalam isu Palestin pun. Tidak sepakat umat Islam di dalam menanganinya. Ini adalah kerana Islam bukan lagi perkara utama bagi kita. Sepatutnya kalau Islam perkara terpenting, maka ia menjadi perkara yang menyatukan kita. Akan tetapi agama telah diketepikan dan yang lebih penting bagi umat Islam adalah wang, kedudukan, politik, kekuasaan.
فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّهُ
maka cukuplah Allah untuk kamu terhadap mereka;
Ayat ini bermaksud yang Allah ﷻ sudah cukup bagi Nabi Muhammad ﷺ untuk menjaga daripada gangguan musuh baginda. Ini kerana apabila mereka tidak mahu ikut sahabat, mereka akan melawan umat Islam. Apabila mereka lawan, akan ada bahaya dan kemungkinan kesusahan kepada Nabi ﷺ. Maka Allah ﷻ beritahu yang Dia akan jaga baginda, maka baginda tidak perlu risau. Serahkan kepada Allah ﷻ sahaja. Allah juga telah berfirman di dalam Maidah:67 tentang hal ini,
وَاللَّهُ يَعصِمُكَ مِنَ النّاسِ
Dan Allah akan memelihara kamu dari (gangguan) manusia
Ia juga mungkin bermaksud yang iman Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang sudah pasti selamat. Lihatlah penggunaan bahasa dalam ayat ini. Perkataan ‘engkau’ dalam ayat ini adalah merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Dalam bahagian awal ayat, Allah ﷻ bercakap kepada seluruh umat Islam, tetapi kemudian dalam ayat ini, Allah ﷻ berfirman: فَسَيَكْفِيكَ – cukuplah untuk engkau (Muhammad ﷺ). Ini adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang telah selamat. Umat Islam yang lain belum tentu lagi. Kita kena usaha lagi kerana kita belum tentu lagi. Jangan kita jadi macam Bani Israil – mereka sangkakan yang apabila Nabi mereka telah selamat, mereka pun selamat juga.
وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
Allah ﷻ Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apakah yang Ahli-ahli Kitab itu katakan di hadapan dan di belakang Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Apabila mereka tidak suka dengan Islam, maka tentunya buat perancangan dengan rahsia. Mereka kena rancangan dengan rahsia kerana mereka lemah pada waktu itu. Tapi Allah hendak beritahu di sini yang kalau mereka ada perancangan jahat terhadap umat Islam dan agama Islam sendiri, Allah ﷻ tahu dan Allah ﷻ akan jaga dan berikan balasan setimpal terhadap mereka. Sebagai contoh, Allah ﷻ telah beri bantuan kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk mengusir Bani Quraizah dan lain-lain golongan Yahudi dari Madinah.
Allahu a’lam, sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 22 November 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Assalamualaikum,
Dalam ulasan ayat ke 139 pada ayat ‘ وَلَكُمْ أَعمَـٰلُكُمۡ perenggan terakhir, ustaz menulis ‘ Ini menjadi lebih teruk apabila golongan Habib masuk ke dalam neraka kita dan mula menyesatkan masyarakat kita ‘
Saya rasa Ustaz bermaksud ‘Ini menjadi lebih teruk apabila golongan Habib masuk ke dalam mesjid kita dan mula menyesatkan masyarakat kita.
Ustaz mungkin tersalah taip perkataan ‘mesjid’ jadi ‘neraka’
Allahu a’lam
Terima kasih
LikeLike
inna lillah.. terima kasih tuan atas teguran. terima kasih.
LikeLike
18 September 2020
LikeLike
Ayat Al Baqarah 142 juga merujuk kepada orang yg mengata BODOH kepada orang yg mengajak kembali kepada panduan alquran padahal itulah firman Allah. Mereka berbahas tanpa dalil alquran atau hadis sahih. Apabila dibalas dgn ayat2 Allah, mereka menjawab masih lagi tanpa dalil tapi meleret2 jawapan dari akal sendiri.
Komen sikit ustaz?
LikeLike
Ayat ini tentang pertukaran kiblat. berbahas tanpa dalil itu ada ayat-ayat yang lain
LikeLike