Tafsir Surah Baqarah Ayat 126 (Allah ajar cara doa)

DOA NABI IBRAHIM

Baqarah Ayat 126: Selepas Nabi Ibrahim عليه السلام diperintahkan untuk mendirikan semula Kaabah, maka baginda telah mengambil kesempatan itu untuk berdoa. Ayat ini lanjutan kepada huraian tentang keutamaan yang dianugerahkan kepada Nabi Ibrahim.

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا ءَامِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ ٱلثَّمَرٰتِ مَن ءَامَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Sahih International

And [mention] when Abraham said, “My Lord, make this a secure city and provide its people with fruits – whoever of them believes in Allah and the Last Day.” [ Allah ] said. “And whoever disbelieves – I will grant him enjoyment for a little; then I will force him to the punishment of the Fire, and wretched is the destination.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.

 

وَإِذْ قَالَ إِبرٰهِـۧمُ

Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim berdoa

Lihatlah sunnah berdoa yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Selepas sahaja baginda selesai melakukan ibadat kepada Allah ‎ﷻ, baginda mengambil peluang untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Doa ini baginda baca selepas baginda dan anaknya Nabi Ismail عليه السلام selesai membangunkan kembali Kaabah. Pengajaran kepada kita, kita pun kenalah ambil peluang berdoa selepas kita selesai mengerjakan satu-satu ibadat. Tidak kira ibadah mana, sama ada salat, baca Al-Qur’an, malah perkara yang baik seperti baru selepas menolong orang atau kelas pengajian.

Kita telah belajar yang Nabi Ibrahim diperintahkan dengan berbagai-bagai ujian berat. Antara ujian itu adalah meninggalkan anak isterinya di Mekah yang kering kontang dan gersang waktu itu. Tapi sayangkan baginda kepada mereka, baginda berdoa kepada Allah untuk menjadikan tempat itu sesuai untuk didiami.

Di sini kita belajar yang seorang Nabi pun berdoa kepada Allah. Maka jangan kita lupa untuk berdoa dan berharap kepada Allah dalam segala hal. Jangan kita sombong untuk berdoa kepada Allah. Orang-orang yang jahil ada berkata tidak perlunya berdoa kerana takdir telah ditentukan oleh Allah. Mereka ini sebenarnya jahil kerana tidak faham bahawa doa itu adalah sebagai asbab untuk kita mendapatkan sesuatu. Sebagai contoh, Allah memang telah takdirkan kita akan dapat makan, akan tetapi adalah asbabnya iaitu kita bekerja, kemudian kita suapkan makanan dalam mulut kita, barulah kenyang. Maka begitu jugalah dengan doa adalah asbab untuk kita mendapatkan sesuatu dari Allah. Jadi jangan kita anggap enteng doa ini. Rasulullah pernah bersabda,

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَزِيدُ فِي الْعُمْرِ إِلَّا الْبِرُّ وَلَا يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلَّا الدُّعَاءُ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِخَطِيئَةٍ يَعْمَلُهَا
Dari [Tsauban] dia berkata; Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda: “Tidak menambah umur kecuali perbuatan baik, tidak ada yang menolak takdir kecuali doa, dan sungguh, seorang laki-laki tertahan dari rezekinya kerana kesalahan yang telah dia lakukan.”
Jami’ Tirmizi (87) disahihkan oleh Albani

Malah doa ini termasuk ibadah yang kita lakukan kepada Allah.

الدعاء هو العبادة
“Doa itu adalah ibadat”
Hadith riwayat Tirmizi. 

Maka kerana itulah dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis, kita diajar tentang doa para Nabi dan orang yang berilmu.

 

رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا ءَامِنًا

Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman

Allah ajar cara berdoa dalam ayat ini, dengan menukilkan doa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tidak menggunakan kalimah يا (wahai) di dalam doa baginda ini. Jadi ini tidak mengapa jikalau kita pun terus menggunakan cara yang sama. Lihatlah baginda mengguna kalimah ‘rabb’ bagi Allah kerana rabb bermaksud Tuhan yang menguruskan segalanya, yang mentarbiyah dan mendidik. Ini adalah tawasul (perantaraan) dengan nama Allah yang sesuai. Maka memang sesuai kalau kita memanggil Allah dengan nama Rabb ini.

Sebelum ini telah disebut Tanah Haram dan Ka’bah adalah tempat yang aman. Sekarang disebut doa Nabi  Ibrahim yang berdoa semoga keamanan itu berterusan hingga akhir masa. Atau, menganugerahkan kepada penduduk dan pengunjungnya kemampuan untuk menjadikannya aman dan tenteram. Sebelum ini disebut MasjidilHaram itu adalah tempat untuk tawaf, i’tikaf dan solat. Maka untuk merealisasikan semua ini, tempat itu kenalah aman.

Doa baginda ini telah dikabulkan oleh Allah ‎ﷻ. Sampaikan negeri Mekah dijadikan sebagai suatu negeri yang suci, darah manusia tidak boleh ditumpahkan, seorang pun tidak boleh dianiaya, tidak boleh juga diburu binatang buruan di situ dan tidak boleh dicabut tanaman-tanaman di situ walaupun rumputnya. Begitulah Allah telah berfirman di dalam Quraisy:3-4

فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ
Maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).

الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ
Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Dan perhatikan juga Ankabut:67

أَوَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنا حَرَمًا ءآمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النّاسُ مِن حَولِهِم
Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya diculik.

Perkataan بَلَدًا bermaksud tempat yang dihuni. Maknanya, dalam doa ini sendiri sudah ada doa baginda supaya Mekah itu dihuni orang. Supaya tidaklah anak isterinya sahaja yang tinggal di situ kebosanan tapi ada orang lain juga bersama mereka. Ia juga akan memudahkan mereka hidup kerana hidup bersendirian tentulah sukar untuk mendapatkan bantuan kehidupan. Bayangkan, tempat yang tandus tanaman tidak boleh hidup tetapi ada ramai orang duduk di situ. Baginda doa begitu kerana baginda akan meninggalkan keluarga baginda di situ, jadi baginda berharap ada orang lain bersama dengan mereka. Doa yang lebih kurang sama ada dalam Ibrahim:35

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ آمِنًا
Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman”

Akan tetapi lihat di dalam ayat itu ditambah ال pada kalimah البَلَدَ. Kerana waktu itu Mekah sudah ada penghuni. Sedangkan pada ayat Baqarah ini, ia ketika Mekah itu tempat yang gersang dan belum ada apa-apa lagi maka ia di dalam bentuk nakirah (umum) sahaja.

Aman juga bermaksud selamat dari segi agama. Oleh kerana itu, kalau hendak selamat agama, kena duduk di sana. Ini kerana Allah ‎ﷻ jaga tempat itu supaya menjadi rujukan bagi amalan manusia seluruh dunia. Di situlah agama terpelihara. Malangnya, ramai pula orang kata ini ‘tempat Wahabi’. Ini memang tidak kena langsung dan disebut oleh orang yang jahil sahaja. Mereka sampai ke tahap kata tidak salah solat di belakang Imam Haramain itu! Sampaikan pakcik dan makcik yang ke sana tertipu dan solat di hotel-hotel sahaja. Alahkah ruginya…. alangkah bodoh dan jahilnya mereka ini.

Allah makbulkan doa Nabi Ibrahim sampaikan Mekah tidak pernah diserang dan ditakluk oleh orang kafir. Sedangkan waktu itu memang huru hara zamannya, perang dan rompakan berlaku di sana sini. Kita pun selalu dengar kisah dalam Surah al-Fil di mana orang kafir hendak menakluknya tidak boleh. Ini kerana Allah jaga Ka’bah itu. Kalau dalam sejarah pun amat jarang tempat ini bergelora. Kalau perang terjadi seperti pada zaman kekuasaan al-Hajjaj dan diserang oleh puak Qaramitah, ia pun dari kalangan orang yang mengaku Muslim, bukannya orang kafir. Malah dalam hadis diberitahu bahawa di akhir zaman nanti, Dajjal pun tidak boleh masuk ke Mekah. Walaupun dia berkuasa di tempat-tempat lain, tapi Mekah tidak dapat dimasukinya. Ini seperti disebut di dalam hadis,

قَالَ : أَمَا إِنَّ ذَاكَ خَيْرٌ لَهُمْ أَنْ يُطِيعُوهُ ، وَإِنِّي مُخْبِرُكُمْ عَنِّي ، إِنِّي أَنَا الْمَسِيحُ ، وَإِنِّي أُوشِكُ أَنْ يُؤْذَنَ لِي فِي الْخُرُوجِ ، فَأَخْرُجَ فَأَسِيرَ فِي الأَرْضِ فَلاَ أَدَعَ قَرْيَةً إِلاَّ هَبَطْتُهَا فِي أَرْبَعِينَ لَيْلَةً غَيْرَ مَكَّةَ وَطَيْبَةَ ، فَهُمَا مُحَرَّمَتَانِ عَلَيَّ كِلْتَاهُمَا ، كُلَّمَا أَرَدْتُ أَنْ أَدْخُلَ وَاحِدَةً ، أَوْ وَاحِدًا ، مِنْهُمَا اسْتَقْبَلَنِي مَلَكٌ بِيَدِهِ السَّيْفُ صَلْتًا ، يَصُدُّنِي عَنْهَا ، وَإِنَّ عَلَى كُلِّ نَقْبٍ مِنْهَا مَلاَئِكَةً يَحْرُسُونَهَا ،
قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَطَعَنَ بِمِخْصَرَتِهِ فِي الْمِنْبَرِ : هَذِهِ طَيْبَةُ ، هَذِهِ طَيْبَةُ ، هَذِهِ طَيْبَةُ ، يَعْنِي الْمَدِينَةَ ، أَلاَ هَلْ كُنْتُ حَدَّثْتُكُمْ ذَلِكَ ؟ فَقَالَ النَّاسُ : نَعَمْ ، فَإِنَّهُ أَعْجَبَنِي حَدِيثُ تَمِيمٍ ، أَنَّهُ وَافَقَ الَّذِي كُنْتُ أُحَدِّثُكُمْ عَنْهُ ، وَعَنِ الْمَدِينَةِ وَمَكَّةَ ، أَلاَ إِنَّهُ فِي بَحْرِ الشَّأْمِ ، أَوْ بَحْرِ الْيَمَنِ ، لاَ بَلْ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ ، مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ ، مَا هُوَ وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلَى الْمَشْرِقِ ، قَالَتْ : فَحَفِظْتُ هَذَا مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Ia (Dajjal) berkata, “Sesungguhnya adalah lebih baik bagi mereka untuk mentaatinya dan sungguh aku akan mengatakan kepada kamu tentang diriku. Aku adalah al-Masih Dajjal, dan sesungguhnya aku hampir sahaja dibenarkan untuk keluar. Maka aku akan keluar dan berjalan di muka bumi dan tidak ada satu pun negeri kecuali aku memasukinya dalam masa 40 malam selain Makkah dan Thaibah, kedua-dua negeri itu terlarang bagiku. Setiap kali aku ingin memasuki salah satu dari negeri itu maka aku dihadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan sangat tajam untuk menghambatku dari kedua-dua negeri tersebut. Dan di setiap jalan-jalan yang ada di Kota Madinah terdapat malaikat yang menjaganya.
“Fatimah berkata, “Rasulullah SAW bersabda sambil menghentakkan tongkatnya di atas mimbar,” Inilah Thaibah, inilah Thaibah, inilah Thaibah (maksudnya Kota Madinah). Bukankah aku sudah menyampaikan kepada kamu tentang hal itu? “Para Sahabat menjawab,” Benar. Baginda SAW bersabda,”Aku tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Tamim al-Dari, kerana ia bersesuaian dengan apa yang pernah aku sampaikan kepada kamu tentang dia (Dajjal) dan tentang Madinah dan Makkah. Ketahuilah, tempatnya (Dajjal) terletak di laut Syam atau laut Yaman. Ia datang dari arah Timur, dari arah Timur, dari arah Timur. Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya ke arah Timur.”
Riwayat Muslim (7496)

Ayat ini mengandungi ajaran kepada kita untuk berdoa semoga wilayah tempat tinggal kita juga aman dan selamat. Ini kerana kalau aman maka senanglah untuk hidup dan mengamalkan agama dengan baik. Kalau porak peranda, tentu susah pula kita sibuk dengan urusan hendak mengamankan negara.

 

وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ ٱلثَّمَرٰتِ

dan berilah rezeki kepada ahlinya dari buah-buahan

Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya negeri Mekah itu diberikan dengan makanan. Ini kerana tempat itu gersang. Namun walaupun gersang, Nabi Ibrahim عليه السلام minta supaya makanan akan ada sahaja di situ. Jadi walaupun disebut ‘buah-buahan’ di dalam ayat ini, tapi yang dimaksudkan adalah makanan yang dapat menjadi penerus hidup di situ.

Jadi, baginda telah meminta dua perkara yang penting: Keamanan dan sumber kehidupan. (“Peace and Prosperity”). Dua perkara ini amat penting untuk sesuatu tamadun berkembang baik. Kalau sesuatu tempat itu aman, tetapi tidak ada sumber makanan pun, tidak akan ada manusia yang akan tinggal lama di situ. Begitu juga kalau ada sumber kehidupan, tetapi tidak aman – katakanlah kalau kecurian selalu berlaku, pembunuhan bermaharajalela, pemerintah yang zalim, maka tidak akan lama manusia tinggal di situ.

Allah ‎ﷻ telah memberikan banyak rezeki kepada tanah Mekah. Pada zaman dahulu, buah-buahan banyak diambil dari Syam dan juga Taif. Kalau zaman sekarang, entah dari mana buah-buahan itu diambil sampaikan segala jenis buah-buahan ada di tanah Mekah itu. Oleh kerana Mekah itu satu tempat yang tidak ada tanah dan pokok, maka Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya negeri Mekah itu diberikan buah-buahan walaupun tidak ada pokok yang tumbuh dengan subur. Baginda berdoa semoga Mekah itu dijadikan aman supaya tidak ada pembunuhan di situ. Sampai sekarang, banyak jenis buah ada di Mekah dijual di pasar-pasar, buah durian pun ada. Semua jenis buah ada di Mekah. Semua buah yang ada di tempat lain, sampai juga ke Mekah.

Kita boleh lihat yang tidaklah Nabi Ibrahim berdoa supaya tanah Mekah itu jadi subur pula. Tapi baginda minta supaya buah-buahan dan makanan yang dibawa ke situ, bukannya ditanam di situ. Ini adalah supaya keturunan baginda tidak disibukkan dengan bercucuk tanam supaya lebih banyak masa boleh diberikan untuk menjaga Ka’bah. Memang itulah yang Allah sebut dalam Qasas:57

حَرَمًا ءآمِنًا يُجبىٰ إِلَيهِ ثَمَرٰتُ كُلِّ شَيءٍ
daerah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan dari segala macam

Kalimah يُجبىٰ dalam ayat ini bermaksud yang makanan ‘dibawa’ ke Mekah, dan bukannya ditanam di situ. Dan kalimah yang digunakan adalah ثَمَرٰتُ كُلِّ شَيءٍ yang bermaksud hasil dari segala jenis, bukan setakat buah-buahan dan tanaman sahaja. Kerana itulah di Mekah bukan sahaja ada buah-buahan, tanam-tanaman akan tetapi berjenis-jenis benda ada di sana yang diperlukan oleh kehidupan manusia.

 

مَن ءَامَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

kepada orang yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari akhirat;

Namun begitu Nabi Ibrahim عليه السلام meletakkan had atau syarat di dalam doa baginda. Baginda minta supaya rezeki dan keamanan itu diberikan kepada mereka yang beriman sahaja. Iaitu yang beriman kepada Allah ‎ﷻ serta mengamalkan ajaran tauhid dan percaya kepada Hari Akhirat. Ini adalah kerana di dalam ayat 124, baginda telah meminta kedudukan imam diberikan kepada seluruh keturunan baginda (قالَ وَمِن ذُرِّيَّتي) akan tetapi Allah menjawab di situ bahawa orang beriman tidak dapat kedudukan itu (قالَ لا يَنالُ عَهدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ). Maka Nabi Ibrahim belajar dari situ (sangkaan baginda) maka baginda hanya mendoakan kebaikan bagi orang beriman sahaja. Jadi dalam doa Nabi Ibrahim عليه السلام kali ini, baginda ubah sikit doa baginda. Nabi Ibrahim عليه السلام seorang yang bijak. Baginda belajar daripada kesilapan. Begitulah kita sepatutnya ambil pengajaran dari perkara itu. Kalau doa kita tidak menjadi, tentu ada kesilapan dalam doa itu. Maka kita kena ubah doa kita.

Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa macam itu pun supaya kejayaan dan kekayaan diberikan kepada orang yang beriman sahaja. Ini kerana baginda mahu supaya pemerintahan itu terus berada di atas tangan orang yang beriman. Kalau mereka yang mendapat rezeki dari Allah ‎ﷻ, bermakna pemerintahan akan berada dalam tangan orang beriman sahaja. Kalau rezeki dan keamanan diberikan kepada orang yang zalim, nanti kezaliman pula yang bermahajalela.

Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak berkenan dengan doa baginda sebegitu. Kerana ia menyempitkan doa. Pernah seorang Arab Badwi menyempitkan doa dan telah ditegur oleh Rasulullah,

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الصَّلَاةِ وَقُمْنَا مَعَهُ فَقَالَ أَعْرَابِيٌّ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي وَمُحَمَّدًا وَلَا تَرْحَمْ مَعَنَا أَحَدًا فَلَمَّا سَلَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِلْأَعْرَابِيِّ لَقَدْ تَحَجَّرْتَ وَاسِعًا يُرِيدُ رَحْمَةَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Abu Hurairah berkata; “Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ berdiri untuk salat dan kami ikut berdiri dengannya, lalu ada seorang Badwi yang berbicara dalam salat; ‘Ya Allah, kasihanilah aku dan Muhammad, janganlah Engkau kasihani seorang pun bersama kami! ‘ Setelah Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ mengucapkan salam, baginda bersabda kepada orang Badwi tersebut: ‘Engkau telah menyempitkan sesuatu yang luas! ‘ Maksudnya adalah rahmat Allah Azza wa Jalla.”
Sahih Bukhari (1201)

Lihatlah juga bagaimana doa Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda meminta untuk orang lain sahaja. Sebelum ini, baginda minta supaya keturunannya yang kemudian diberikan juga pangkat imam. Sekarang doa dalam ayat ini meminta supaya diberikan makanan dan keamanan kepada mereka yang tinggal di Mekah. Ini menunjukkan betapa besarnya hari seorang Nabi yang hanya memikirkan tentang orang lain sahaja, bukan dirinya sendiri. Maka ini mengajar kita dalam berdoa, jangan asyik fikirkan kebaikan untuk diri kita sahaja, tapi ingatlah orang lain juga.

Baginda hanya minta diberikan kepada orang beriman sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ berkata seterusnya:

 

قَالَ وَمَنْ كَفَرَ

Allah berfirman: dan kepada orang kafir juga;

Walaupun Nabi Ibrahim عليه السلام hanya doakan rezeki untuk orang beriman sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ hendak berikan juga kepada orang kafir yang ada di Mekah. Memang Allah tidak membezakan pemberian udara, air, kehangatan dan cahaya matahari, akan diberikan kepada semua Muslim atau kafir. Ini adalah daripada Sifat Rahman (Maha Pemurah) Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ sanggup berikan rezeki kepada mereka yang kufur dan engkar kepada-Nya pun. Jadi yang Allah tidak beri adalah kedudukan ‘imam’ (kepemimpinan) akan tetapi rezeki kehidupan Allah boleh sahaja beri kepada sesiapa. Kepemimpinan hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja.

Ini adalah isyarat bahawa akan ada sahaja orang yang jahat dalam dunia ini, walaupun di Mekah. Kita tidak dapat elak perkara ini kerana ini adalah kehendak Allah ‎ﷻ. Mereka juga akan mendapat rezeki yang Allah ‎ﷻ akan berikan kepada mereka. Selalunya mereka lebih kaya daripada orang Islam. Dari dahulu sampai sekarang, orang kafir selalunya lebih kaya daripada orang Islam. Dalam surah Quraish, ada diceritakan tentang kemewahan yang didapati oleh orang-orang Arab di Mekah yang musyrik itu.

 

فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا

Maka Aku akan beri sedikit kesenangan

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia akan memberi sedikit kesenangan kepada mereka semasa mereka hidup di dunia. Semasa mereka di dunia, memang mereka akan mendapat rezeki, kesenangan dan sebagainya. Kesenangan itu sama ada sedikit atau sementara sahaja kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan terima di akhirat kelak.

 

ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ

kemudian Aku akan paksa dia kepada azab neraka;

Akhirnya, selepas mereka mati, mereka akan kembali kepada-Nya juga. Mereka akan mendapat balasan yang setimpal di atas perbuatan mereka di dunia. Maknanya, mereka hanya senang di dunia sahaja. Bukanlah kesenangan yang mereka nikmati di dunia itu sebagai tanda Allah ‎ﷻ sayangkan mereka. Di akhirat nanti mereka akan dipaksa, maksudnya mereka tidak ada pilihan lagi. Kalimah أَضْطَرُّهُ dari kata dasar sama ض ر ر yang bermaksud menyakiti, mengganggu, menyusahkan, kejahatan, kebuluran, waktu susah, penyakit, kematian, kehilangan, memaksa.

Ini menolak salah faham Musyrikin Mekah. Mereka sangka mereka diberi dengan segala nikmat itu kerana Allah ‎ﷻ sayangkan mereka dan mereka telah melakukan perkara yang benar. Mereka tersilap. Mereka sangka mereka dapat banyak nikmat itu tanda Allah sayang. Padahal kesenangan dalam kehidupan bukanlah tanda Allah sayang. Allah boleh sahaja beri rezeki kepada orang Islam atau orang kafir. Akan tetapi orang mukmin akan menggunakan rezeki pemberian Allah untuk kebaikan tapi sebaliknya yang dilakukan oleh orang kafir.

Allah ‎ﷻ tolak fahaman mereka. Kesenangan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada makhluk bukan tanda Allah ‎ﷻ sayang. Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri kesenangan kepada orang yang engkar pun. Maka jangan perasan.

 

وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

dan ia adalah seburuk-buruk tempat kembali;

Neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kalimah مَصِيرُ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘tempat kembalian‘. Ia dari kata dasar: ص ي ر yang bermaksud pergi, menjadi, condong kepada sesuatu, perjalanan, meninggalkan sesuatu tempat, keputusan, mengeluarkan.

Berdoalah supaya kita selamat dari Neraka. Yang tidak takut neraka itu hanyalah mereka yang tidak belajar sahaja bagaimana keadaan neraka itu. Sampaikan ada daripada kalangan umat Islam yang sangka mereka akan duduk di Neraka sekejap sahaja dan akhirnya akan masuk ke syurga juga akhirnya nanti (kerana kononnya mereka beragama Islam). Alangkah bodohnya mereka. Mereka seperti tidak tahu betapa hebatnya azab di neraka itu. Kalau duduk sekejap, sesaat pun mereka tidak akan tahan. Itu adalah kerana mereka tidak belajar. Mereka telah lama jauh dari ilmu wahyu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 126 (Allah ajar cara doa)”

  1. Assalamualaikum ustaz… saya nak bertanya bolehkah kita mengambil ayat ni sebagai doa kita berlindung dr sifat ujub?

    Like

    1. tidak ada doa dalam ayat ini sebagai pelindung bagi ujub. Yang ada, ia adalah doa Nabi untuk menerima ibadah baginda.

      Maka kita ambil pemahaman dari ayat ini untuk menolak sifat ujub seperti yang saya telah jelaskan.

      Kenapa saya kata tidak ada doa untuk ujub? Kerana saya tidak mahu salah faham penggunaan ayat Qur’an. Kena tengok juga makna-makna yang ada. Kerana ramai di luar sana yang menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an dengan cara yang salah. Tidak tepat penggunaan mereka dengan ayat Qur’an.

      Like

Leave a comment