Tafsir Surah Baqarah Ayat 124 – 125 (Kelebihan Ka’bah)

Baqarah Ayat 124: Ini adalah berkenaan dengan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام. Allah ‎ﷻ hendak menceritakan permulaan kebangkitan umat akhir zaman (umat Nabi Muhammad ﷺ). Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa ada keistimewaan pada umat Nabi Muhammad ﷺ. Bukan umat Bani Israil sahaja yang ada keistimewaan. Jadi mereka sepatutnya jangan pandang rendah sangat kepada ‘Bani Ismail’ itu.

Jadi dalam ayat-ayat ini Allah ﷻ menceritakan tentang Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Allah ﷻ mengingatkan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام bukan hanya ada Nabi Ishaq عليه السلام sahaja (bapa keturunan Yahudi) tapi ada seorang lagi iaitu Nabi Ismail عليه السلام, abang sulung kepada Nabi Ishaq عليه السلام.

Umat Nabi Muhammad ﷺ lahir dari doa seorang Nabi dan yang mendoakan untuk mereka itu adalah Nabi Ibrahim عليه السلام, seorang Nabi yang hebat, yang unggul. Bani Israil juga mengenali baginda. Sebelum ini telah banyak disebut tentang kisah-kisah mereka dan sekarang kita akan belajar tentang datuk mereka dan juga datuk kita juga, iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام.

Yahudi menerima Nabi Ibrahim عليه السلام juga walaupun mereka menolak Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sampai ada beri nama Ibrahim kepada anak-anak mereka (Abraham). Begitu juga Nasara menerima Nabi Ibrahim عليه السلام (mereka menamakan anak mereka Abraham) walaupun mereka tolak Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ayat-ayat ini adalah untuk memperkenalkan baginda.

Ayat 124 – 141 adalah peringatan kepada Bani Israil supaya kembali kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Juga diingatkan tentang seruan Nabi Ya’qub عليه السلام (anak Nabi Ishak dan cucu kepada Nabi Ibrahim) supaya mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ juga merupakan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام hasil daripada doa Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri.

Ahli kitab diingatkan supaya tidak membezakan rasul-rasul, terima semuanya daripada Allah ‎ﷻ. Ahli kitab diperintahkan menerima syariat daripada rasul terakhir dan tinggalkan ajaran terdahulu yang telah banyak diselewengkan.

وَإِذِ ابتَلىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّهُ بِكَلِمَـٰتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قالَ إِنّي جاعِلُكَ لِلنّاسِ إِمامًا ۖ قالَ وَمِن ذُرِّيَّتي ۖ قالَ لا يَنالُ عَهدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], when Abraham was tried by his Lord with commands and he fulfilled them. [ Allah ] said, “Indeed, I will make you a leader for the people.” [Abraham] said, “And of my descendants?” [ Allah ] said, “My covenant does not include the wrongdoers.”

Malay

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

 

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّهُ

Ketika diuji Nabi Ibrahim oleh Tuhannya

Allah ‎ﷻ memulakan dengan kisah perjuangan Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana hebatnya manusia adalah kerana perjuangan mereka. Baginda telah diuji dengan perkara-perkara keagamaan dengan ujian yang besar-besar.

Ada riwayat yang kata ujian itu adalah dengan 10 perkara amalan fitrah seperti potong kuku, simpan janggut dan sebagainya. Tetapi itu tidak berapa tepat kerana itu bukanlah perkara-perkara yang besar. Yang besarnya adalah perjuangan baginda memperjuangkan tauhid.

Dan kisah perjuangan baginda itu ada disebut dalam Al-Qur’an di pelbagai tempat. Bayangkan baginda telah bertembung dengan raja dunia, Namrud. Namrud itu adalah raja yang besar, kerana dia adalah Raja Dunia, tidak macam Firaun, kerana Firaun adalah Raja Negara Mesir sahaja. Bayangkan, Nabi Ibrahim عليه السلام yang miskin diperintahkan untuk mengajak raja satu dunia untuk beriman. Ini bukan hal yang kecil.

Baginda diuji untuk menegakkan kalimah tauhid. Bukan sahaja kaum baginda sedang melakukan syirik, malah ayahnya sendiri. Baginda kemudian terpaksa berhijrah ke Syria. Dan dari Syria untuk baginda kena bawa pula anak isterinya ke Mekah yang tidak ada apa-apa di situ pada waktu itu. Bukan sahaja itu, baginda kena tinggalkan mereka pula di situ!

Antara soalan yang timbul tentang ayat ini adalah: Kenapa Allah ﷻ menguji baginda? Ada beberapa sebab mengapa seseorang itu diuji, antaranya kerana kesalahan itu sendiri. Atau kerana ujian untuk mengetahui kedudukan orang yang diuji.

Akan tetapi ini bukanlah kesnya di sini. Nabi Ibrahim tidak melakukan kesalahan dan Allah ﷻ tidak perlu uji baginda untuk tahu siapa baginda kerana Allah ﷻ lebih tahu. Jawapannya kita boleh lihat dari penggunaan kalimah رب yang Allah ﷻ gunakan untuk merujuk kepada DiriNya. Maksud رب dari segi bahasa adalah seseorang yang mendidik dan mentarbiyah. Maka ia bermaksud ujian yang diberikan oleh Allah ﷻ itu adalah mendidik baginda. Ianya untuk menzahirkan kualiti terbaik yang ada dalam diri baginda.

Dan dalam potongan ayat ini, kita boleh lihat yang nama Nabi Ibrahim عليه السلام didahulukan sebelum nama Allah ﷻ. Ini adalah sebagai penghormatan kepada baginda, berbanding para Nabi yang lain.

 

بِكَلِمَـٰتٍ

dengan beberapa jenis ujian;

Seperti yang telah disebut, baginda telah diuji dengan berbagai-bagai lagi ujian. Kalimat yang dimaksudkan adalah kata-kata yang mengandungi perintah dari Allah ﷻ. Baginda pernah dihumban ke dalam api; baginda kena berpisah dengan ayah dan kampung halaman kerana baginda telah dihalau dari kampung halamannya; baginda terpaksa berpisah dengan isteri-isterinya untuk jangka masa yang lama.

Baginda harus meninggalkan isterinya Sarah, hanya empat kali sahaja jumpa isterinya dalam setahun. Isterinya yang kedua, Hajar, harus ditinggalkan di Mekah. Baginda juga harus meninggalkan anaknya Nabi Ismail  عليه السلام. Hanya dapat ziarah setahun sekali.

Dan kemudian baginda diuji untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Kalau kita perhatikan, memang teruk-teruk ujian yang dikenakan ke atas baginda. Selain dari waktu yang disebut di atas, baginda mesti pula menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

 

فَأَتَمَّهُنَّ

Semuanya Nabi Ibrahim sempurnakan;

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang Nabi Ibrahim عليه السلام telah menyempurnakan dan melepasi segala ujian-ujian itu. Kita semua memang diuji selama kita di dunia. Tetapi kita tidak tahu sama ada kita telah melepasi ujian kita. Namun lihatlah Nabi Ibrahim عليه السلام dapat tahu semasa di dunia lagi yang baginda telah melepasi ujiannya. Alangkah beruntungnya Nabi Ibrahim عليه السلام.

Antara banyak-banyak ujiannya yang kita pernah dengar, yang paling selalu kita dengar adalah tentang bagaimana baginda telah disuruh untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail عليه السلام. Baginda telah bermimpi bahawa Allah ‎ﷻ telah mengarahkan baginda untuk menyembelih Nabi Ismail عليه السلام. Baginda amat sayangkan anaknya itu, namun baginda sedar bahawa itu adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Sudahlah baginda sebelum itu tidak pernah ada anak walaupun isterinya ada dua. Setelah anaknya Nabi Ismail ‎ﷻ itu besar, sudah boleh menolong baginda dalam kerja-kerja dakwah, baginda disuruh pula untuk menyembelih anaknya itu. Maka baginda telah bertanya pendapat Nabi Ismail ‎ﷻ tentang perkara itu dan Nabi Ismail ‎ﷻ pun sanggup untuk menerima ujian itu.

Nabi Ibrahim ‎ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ itu. Tetapi Allah ‎ﷻ telah menggantikan Nabi Ismail ‎ﷻ dengan seekor kibas. Jadi, Nabi Ismail ‎ﷻ tidak disembelih akhirnya. Maka, kita telah diarah untuk mengabadikan kisah itu ke dalam amalan berkorban. Setiap tahun kita akan berkorban dan kita mengingati peristiwa Nabi Ibrahim ‎ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ tanpa bantahan.

Kalau kita fikirkan secara logik, tentulah tidak patut seorang ayah untuk menyembelih anaknya sendiri. Tetapi oleh kerana ia adalah perintah Allah ‎ﷻ, maka Nabi Ibrahim عليه السلام telah jalankan juga. Itulah satu contoh bagaimana seorang Nabi tidak melanggar arahan Allah ‎ﷻ dan telah melakukannya tanpa soal. Jadi ujian kepada Nabi Ibrahim عليه السلام bukanlah ujian bertulis, ujian matematik atau ujian kepandaian baginda. Akan tetapi ujian sama ada baginda taat perintah atau tidak. Ini memberi pengajaran tentang ketaatan kepada kita.

Walaupun ia kedengaran tidak logik pada akal kita, namun begitulah juga, sepatutnya kita menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ tanpa persoalan. Walaupun kita tidak tahu apakah hikmat dalam perbuatan itu. Seperti contohnya, Allah ‎ﷻ telah mengarahkan kita semua menjalankan hukum hudud. Lalu bagaimana lagi kita boleh membantahnya?

Malangnya, banyaklah alasan-alasan akal yang diberikan oleh manusia sebagai mengatakan bahawa ia tidak boleh dilakukan. Ada yang kata ia tidak sesuai dijalankan pada zaman ini. Mereka sebenarnya hendak menggunakan akal untuk menghujah hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Padahal, hikmat sesuatu perkara itu hanya akan didapati apabila kita telah menjalankannya.

Kita selalu menyebut-nyebut kisah Nabi Ibrahim عليه السلام itu tetapi kita tidak mengambil pengajaran daripadanya. Pengajarannya adalah kita sebagai manusia hendaklah mengikut perintah Allah ‎ﷻ tanpa apa-apa alasan lagi. Bukanlah kita boleh menggunakan akal untuk membincangkan sama ada arahan Allah ‎ﷻ itu sesuai ataupun tidak. Kerana akal kita tidak akan dapat menilainya. Akal kita tidak akan sampai untuk mencapai maksudnya.

 

قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا

Allah berfirman: sesungguhnya Aku hendak menjadikan kamu bagi manusia semua sekali sebagai imam;

Maksud ‘imam’ itu adalah ‘sebagai ikutan’. Ikutan bagi semua manusia kerana imam dalam salat duduk di hadapan dan menjadi ikutan makmum, bukan?

Ini adalah satu penghormatan yang besar kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Imam yang dimaksudkan sebagai ikutan daripada segi sifat. Kerana ‘Imam’ yang menjadi ikutan ada banyak – bidang hadith, bidang feqah dan sebagainya.

Tetapi Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah ikutan dari segi sifat baginda. Antaranya, sifat taatnya, sifat kemanusiaan yang sempurna. Baginda telah menjadi contoh teladan bagi seluruh umat. Dan kerana kita membincangkan tentang kedudukan Nabi Ibrahim, maka kedudukan ‘imam’ yang dimaksudkan ini juga boleh jadi khusus, iaitu sebagai seorang Rasul.

 

قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

Nabi Ibrahim jawab: dan daripada anak cucu aku juga;

Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya Allah ‎ﷻ melantik juga keturunan baginda sebagai imam yang akan menjadi ikutan manusia juga. Baginda tidak mahu baginda seorang sahaja yang menjadi ikutan. Baginda hendakkan keturunannya dijadikan sebagai contoh juga. Maknanya, Nabi Ibrahim عليه السلام ini memikirkan tentang orang lain juga, bukan dirinya sahaja.

Permintaan Nabi Ibrahim pun tidaklah berlebihan sebenarnya. Kerana kalau kita lihat kalimat yang digunakan adalah: وَمِنْ ذُرِّيَّتِي (dan sebahagian dari keturunanku); bukannya: وَذُرِّيَّتِي (dan keturunanku). Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya keturunannya menjadi imam juga kerana baginda tahu ajaran yang dibawanya akan menjadi ikutan. Maka baginda mengharap supaya akan ada yang mentadbir selepas baginda tiada nanti.

Tapi lihatlah cara Nabi Ibrahim عليه السلام meminta. Baginda bermohon kepada Allah ‎ﷻ selepas baginda telah melakukan suruhan dan ujian Allah ‎ﷻ. Begitulah juga kita, seeloknya kita berdoa selepas kita telah melakukan ibadat kepada Allah ‎ﷻ, sama ada salat, baca Al-Qur’an, tolong orang lain dan sebagainya. Iaitu selepas kita melakukan taat kepada Allah ‎ﷻ kerana waktu itu doa kita lebih diterima.

 

قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ

Allah jawab: tidak akan terima perjanjian ini kepada orang yang zalim;

Walaupun seseorang itu adalah anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام, tetapi kalau dia melakukan syirik, dia tidak akan diterima untuk menjadi imam, untuk jadi ikutan. Maknanya, bukanlah Allah ﷻ tidak kabulkan, tapi Allah ﷻ beritahu, bukan semua dari keturunannya yang akan imam.

Memang ramai dari keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام seperti Nabi Ishak عليه السلام yang menjadi Nabi dan rasul. Memang tidak dinafikan ramai daripada keturunan baginda yang beriman. Namun ada juga yang sesat. Zalim di dalam ayat ini adalah bermaksud syirik kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ kata golongan zalim tidak akan dapat mencapai kedudukan Imam itu. Maknanya ada keturunan Nabi Ibrahim  عليه السلام yang zalim juga.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi Ibrahim عليه السلام bahawa bukan semua dari keturunannya akan jadi baik. Ada juga yang tidak menjadi, kerana iman bukan boleh diwarisi. Kalau Allah ‎ﷻ telah memberikan sesuatu kelebihan kepada seseorang, bukanlah bermakna keturunannya pun akan dapat juga.

Jadi janganlah kita mengagungkan keturunan, walaupun keturunan itu dari keturunan Rasulullah ﷺ sekalipun. Sedangkan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri tidak diterima secara menyeluruh.

Sekarang ini sudah ada satu pemahaman di kalangan masyarakat kita yang mengagung-agungkan keturunan Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu yang dipanggil golongan Habib. Ini adalah produk rekaan baru manusia kerana kalau dahulu kita tidak dengar pun golongan ini. Mereka kebanyakannya datang dari Yaman dan mereka telah mengelabui mata mereka yang jahil dalam negara kita ini.

Ramai masyarakat kita yang menerima bulat-bulat amalan dan ajaran daripada mereka itu walaupun apa yang mereka ajar itu bukanlah bawaan dari Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi, kerana masyarakat kita sayang kepada Nabi ﷺ, maka mereka sangka betullah anak cucu keturunan baginda juga. Ini adalah fahaman yang cetek sangat.

Ingatlah bahawa kalau benar pun mereka dari keturunan Nabi ﷺ (ini pun belum tentu lagi sebenarnya), tetapi kalau apa yang mereka bawa itu adalah ajaran dan amalan bidaah, ia tetap tidak akan diterima. Maka golongan Habib ini kena ditolak dan dibongkarkan kesesatan mereka.

Masyarakat kita pun kalau ada di kalangan mereka yang ada Sayed, atau Syed sahaja sudah layan mereka lain macam. Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan apa-apa kalau pun mereka memang benar daripada keturunan Nabi ﷺ. Mereka juga sama macam kita.

Kalau apa yang mereka amalkan itu benar, akan diterima. Malah mereka lebih lagi daripada kita kerana mereka itu keturunan Rasulullah ﷺ. Tetapi kalau amalan mereka itu salah, tetap tidak akan diterima walaupun mereka daripada keturunan Nabi Muhammad ﷺ yang sah pun.


 

Baqarah Ayat 125: Kelebihan kedua yang disebut adalah kelebihan Ka’bah. Ia adalah tempat asas agama Nabi Ibrahim عليه السلام dan ia juga adalah tempat asas agama Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak menceritakan kelebihan Mekah pula.

Di Mekah ada Ka’bah,  satu-satunya masjid yang orang salat menghadap ke tengah. Kalau masjid lain, semua mengadap ke dinding, bukan? Tetapi di Ka’bah ini ada kelebihan yang tidak ada pada masjid lain.

Yahudi mencemuh Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda bukan dari keturunan mereka. Dan mereka anggap perbuatan solat mengadap Ka’bah adalah rekaan orang Arab sahaja. Maka sekarang Allah ﷻ hendak memberitahu yang bahawa arahan mengadap Ka’bah itu adalah benar. Ka’bah sendiri dibina (sebenarnya bina semula kerana ia sudah pernah ada) oleh Nabi Ibrahim  عليه السلا yang mereka sendiri kenal dan terima sebagai Nabi mereka juga. Dan arahan mengadap Ka’bah itu dari Allah ﷻ juga.

وَإِذ جَعَلنَا البَيتَ مَثابَةً لِّلنّاسِ وَأَمنًا وَاتَّخِذوا مِن مَّقامِ إِبرَٲهِـۧمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدنا إِلىٰ إِبرَٲهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ أَن طَهِّرا بَيتِيَ لِلطّائِفينَ وَٱلعَـٰكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجودِ

Sahih International

And [mention] when We made the House a place of return for the people and [a place of] security. And take, [O believers], from the standing place of Abraham a place of prayer. And We charged Abraham and Ishmael, [saying], “Purify My House for those who perform Tawaf and those who are staying [there] for worship and those who bow and prostrate [in prayer].”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Ka’bah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.

 

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ

Dan ingatlah ketika Kami jadikan Baitillah

Sebelum ini Nabi Ibrahim عليه السلام memohon kepada Allah ‎ﷻ supaya dijadikan daripada keturunannya juga imam-imam yang menjadi ikutan selepas baginda. Sekarang Allah ‎ﷻ terus memperkatakan tentang Ka’bah selepas sentuh tentang keturunan tadi.

Ini adalah kerana Ka’bah adalah umpama ‘ibu’ kepada masjid-masjid yang lain di dalam dunia ini. Maka, ada kaitan masjid di dalam pembinaan akhlak anak-anak. Oleh itu ibubapa kena mesrakan anak-anak dengan masjid. Kena bawa mereka ke masjid supaya mereka tidak janggal dengan masjid.

Yang menyedihkan adalah, masjid di Malaysia ini tidak mesra kanak-kanak. Mereka dilayan seperti warganegara kelas ketiga di masjid. Mereka selalu dimarahi apabila mereka berada di masjid. Ini kerana kejahilan mereka yang menguruskan masjid dan surau. Kalau pun mereka dibenarkan salat, mereka diberikan tempat yang jauh daripada orang-orang dewasa. Mereka ada tempat khas salat. Mereka kata ia ‘saf kanak-kanak’ tetapi sebenarnya ia adalah ‘saf kanak-kanak bermain’.

Kemudian mereka selalu dimarahi oleh orang-orang tua di dalam masjid, seolah-olah mereka tidak patut berada di sana. Kalau mereka dapat pengalaman yang tidak bagus tentang masjid semasa umur muda, bagaimana mereka hendak mesra dengan masjid apabila mereka sudah dewasa nanti?

Sebab itu orang-orang muda kita tidak rapat dengan masjid kerana pengalaman tidak menarik di sana. Ini kerana ada orang-orang tua yang tidak pandai menjaga hati manusia. Mereka perasan mereka sudah bagus.

 

مَثَابَةً لِّلنَّاسِ

sebagai satu tempat kembalian bagi manusia

Perkataan مَثَابَةً bermaksud suatu tempat rujukan yang akan didatangi berkali-kali bagi seluruh manusia. Memang sesiapa yang sudah pergi ke sana akan berharap untuk pergi melawatnya lagi. Zaman Nabi ﷺ dahulu dan sahabat, Mekah adalah tempat rujukan. Khutbah Nabi ﷺ yang paling panjang adalah semasa di Mekah. Cuma zaman sekarang ia menjadi tempat tumpuan semasa musim Haji sahaja.

Padahal pada zaman dahulu, itulah pusat pemerintahan kerajaan Islam. Itulah zaman keemasan Islam. Kalau ada masalah umat islam sedunia, kena selesaikan di sana. Pemimpin Muslim akan berkumpul dan berdiskusi di sana dan pengumuman yang penting-penting akan dilakukan di sana. Terutamanya semasa Musim Haji kerana umat Islam akan berkumpul di sana dan para pemimpin turut akan datang dan berbincang di sana. Pengumuman penting akan dilakukan di sana.

Ulama’ ada mengatakan salah satu tanda Haji seseorang itu diterima adalah keinginan hatinya untuk kembali ke Mekah. Kalau difikirkan balik, ini adalah sesuatu yang pelik. Kerana Mekah itu bukannya ada apa sangat dari segi pemandangan kerana padang pasir sahaja dan panas. Tapi tetapi memang mereka yang telah pergi ke sana sangat teringin untuk kembali.

 

وَأَمْنًا

dan sebagai satu tempat yang aman;

Bukan Ka’bah sahaja tempat yang aman akan tetapi Tanam Haram keseluruhannya. Mekah adalah satu tempat yang aman sampaikan binatang dan tumbuhan pun tidak boleh dikacau, apatah lagi manusia. Di Mekah tidak boleh merompak, mencuri dan membunuh. Maka binatang juga tidak boleh dibunuh (melainkan yang membahayakan) dan pokok-pokok pun tidak boleh ditebang atau diambil (kecuali untuk keperluan kehidupan).

Jika pada zaman dahulu, kalau ada yang membunuh keluarganya sendiri, tidak akan seseorang itu membunuh orang yang bersalah itu kalau sudah memasuki ke dalam Masjidil Haram. Sesiapa yang masuk dalam Masjidil Haram tidak akan dibunuh. Tetapi malangnya Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ daripada salat di Ka’bah. Kalau seorang lelaki terjumpa pembunuh bapanya di sana pun, dia akan tundukkan pandangannya dan berlalu pergi sahaja dan tidak diambil tindakan apa-apa.

Jadi perkara ini dijaga oleh masyarakat Arab pada waktu itu walaupun mereka itu dipanggil ‘jahiliyyah’. Ini adalah kerana ada lagi saki baki ajaran Nabi Ibrahim pada mereka. Dan memang syariat Islam meneruskan hukum ini. Hanya beberapa ketika sahaja dibenarkan kepada Nabi Muhammad semasa baginda dan umat Islam menakluk Mekah. Hal ini disebut dalam Hadis.

Memang Mekah pada zaman itu aman kalau dibandingkan dari tempat-tempat yang lain. Kalau tempat lain, bermaharajela pembunuhan, rompakan dan serangan. Akan tetapi tidak di Mekah kerana penduduk Tanah Arab penyembah berhala waktu itu dan selalunya ada berhala mereka diletakkan di Ka’bah. Maka mereka menghormati juga Ka’bah dan Mekah tidak akan diserang.

Pada waktu itu kerajaan besar adalah Rom dan Parsi. Dua kerajaan ini juga tidak menyerang Mekah kerana tidak ada kepentingan bagi mereka. Mekah itu jauh daripada tamadun dan tidak ada kepentingan bagi mereka. Mereka buat tidak tahu sahaja dengan Mekah. Maka Mekah selamat daripada dijajah. Ia juga terletak di kawasan berbukit yang susah untuk diserang.

Maka kawasan Ka’bah dan sekitarnya adalah tempat yang aman, tidak boleh berlaku kezaliman di situ. Malah tidak boleh diadakan hukuman hadd di situ. Jadi kalau ada pesalah yang melarikan diri dan berlindung di Tanah Haram, maka mereka hanya boleh ditangkap dan dihukum di tempat lain.

 

وَاتَّخِذُوا مِنْ مَّقَامِ إِبرَٲهِـۧمَ مُصَلًّى

Dan kamu jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat sembahyang;

Allah ‎ﷻ telah memberi arahan kepada kita untuk menjadikan Maqam Ibrahim itu sebagai tempat salat sunat. Selepas tawaf, dianjurkan untuk salat sunat di situ. Ayat ini walaupun nampak seperti arahan, tapi ia bukanlah membawa kepada maksud wajib.

Cuma ada perincian ulama’ tentang hal ini: Kalau tawaf wajib, maka wajib solat. Akan tetapi kalau tawaf sunat, maka sunat sahaja untuk solat. Iaitu solat berdekatan dengan Maqam Ibrahim ini. Kalau boleh solat berdekatan, maka ini lebih baik. Tapi kalau tidak, boleh sahaja solat di mana-mana kawasan dalam Tanah Haram. Kerana ada juga pendapat yang mengatakan ‘Maqam Ibrahim’ ini merujuk kepada keseluruhan Tanah Haram.

Dalam riwayat ada disebut selepas Rasulullah memberitahu Saidina Umar tentang Maqam Ibrahim itu maka beliau telah bertanya bolehkah solat di situ? Maka kerana itulah turunnya ayat ini.

Maqam Ibrahim itu adalah batu yang dijadikan sebagai tempat Nabi Ibrahim عليه السلام membangunkan Ka’bah. Kaki Nabi Ibrahim عليه السلام terserlum ke dalam batu itu dan bekas kaki baginda itu ada sampai sekarang. Saidina Anas bin Malik pernah menyebut yang beliau ada nampak bekas tapak kaki itu. Kedudukannya sekarang adalah mengadap ke pintu Ka’bah.

Jadi Maqam Ibrahim bukanlah kubur baginda pula. Kerana kubur dalam bahasa Arab adalah maqbarah. Takut ada pula orang kita yang sangka Nabi Ibrahim disemadikan di situ pula. Ini kerana memang ada yang berpendapat begitu dan menjadikan ini sebagai dalil boleh adanya kubur dalam masjid. Sedangkan perkara ini tidak dibenarkan di dalam Islam.

Tetapi telah ditutup supaya mereka yang pergi ke sana, tidak nampak. Itu pun orang sudah sapu dan cium bekas yang diletakkan batu itu sebab mereka hendak mengambil berkat. Ini adalah perbuatan yang salah. Manusia kalau iman tidak kuat, mereka akan cari benda-benda seperti itu untuk diambil sebagai berkat.

Hukum salat di belakang Maqam Ibrahim.

Allah ‎ﷻ sedang memberi isyarat tentang ibadat Haji dalam ayat ini. Sedangkan ayat ini diturunkan semasa umat Islam ketika itu berada di Madinah dan mereka tidak boleh ke Mekah lagi kerana masih dikuasai oleh puak Musyrikin Mekah. Maka, Allah ‎ﷻ sedang memberi isyarat kepada mereka bahawa mereka akan dapat pergi buat Haji ke Mekah nanti.

Ia adalah isyarat kepada berita gembira untuk mereka. Iaitu nanti mereka akan dapat menguasai Mekah dan dapat mengerjakan ibadah Umrah dan Haji dengan aman.

 

وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبرَٲهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ

Dan ketika Kami titahkan arahan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

Perkataan عهد bermaksud ‘perjanjian’, tetapi apabila ditambah dengan perkataan إِلَىٰ, ia bermaksud arahan untuk melakukan sesuatu. Allah ‎ﷻ sebut juga Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini. Maknanya ada arahan titah daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka berdua.

Dalam ayat sebelum ini, Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya keturunannya juga dijadikan sebagai imam. Allah ‎ﷻ beritahu yng janji-Nya itu tidak diberikan kepada orang yang zalim. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyebut Nabi Ismail عليه السلام, anaknya. Bermakna, ada dari keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام yang baik-baik. Antaranya yang disebut adalah Nabi Ismail عليه السلام. Maka ini adalah satu berita yang amat gembira baginya.

Ingatlah bahawa ayat ini sedang dibaca oleh orang Yahudi juga. Mereka tidak menerima Nabi Ismail ‎عليه السلام kerana Nabi Ismail عليه السلام adalah bapa bagi keturunan Arab. Orang Yahudi hanya menerima Nabi Ishak عليه السلام sahaja, anak Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Oleh kerana Orang Yahudi tidak menerima Nabi Ismail عليه السلام, Allah ‎ﷻ memuliakan Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini.

Ayat ini menceritakan Allah ‎ﷻ memberi arahan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام. Ini juga sebagai isyarat bahawa seorang ayah kena bawa anaknya ke masjid. Bukan pergi seorang sahaja kerana anak itu perlu dididik. Kita telah sebutkan sebelum ini yang seorang ayah kena mesrakan anak ke masjid. Masalah sekarang, ayah pun jarang ke masjid. Kalau ayah pun tidak ke masjid, bagaimana anaknya hendak ikut ke masjid?

Dalam ayat ini arahan juga diberikan kepada Nabi Ismail عليه السلام. Maka ini bermakna yang baginda sudah dewasa. Dulunya baginda ditinggalkan semasa bayi lagi. Dan sekarang mungkin sudah berumah tangga kerana dalam sirah kita dapat yang baginda bernikah kepada puak Jurhum yang datang ke sana.

 

أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ

supaya menyucikan rumahKu ini;

Nabi Adam عليه السلام yang mula-mula sekali bangunkan Ka’bah. Kemudian ia tellah rosak bila banjir besar Nabi Nuh عليه السلام. Maka dikatakan Nabi Nuh عليه السلام telah membetulkannya balik. Kemudian manusia berbuat syirik dan letak berhala di Ka’bah. Lama kelamaan ia telah hilang ditelan zaman. Dan sekarang disebut yang Allah ‎ﷻ telah arahkan mereka berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail) untuk menyucikan Ka’bah daripada benda-benda yang pernah mengotori Ka’bah.

Pada zaman Nabi Muhammad ﷺ telah ada macam-macam kemungkaran di Ka’bah ketika itu. Maknanya, dari zaman Nabi Nuh عليه السلام lagi sudah ada orang buat perangai syirik di situ. Ia telah dijadikan tempat memuja selain Allah ‎ﷻ.

Maka kerana itu Allah ‎ﷻ mengarahkan mereka berdua untuk membersihkan Ka’bah. Maka, sebelum Nabi Ibrahim عليه السلام membina semula Ka’bah, kita tahu yang berhala sudah ada di Ka’bah. Kerana itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام kena membersihkannya. Jadi yang perlu dibersihkan itu bukanlah kekotoran fizikal sahaja, tapi kekotoran akidah dan kekufuran.

Kalau diambil maksud umum, maka bukan Masjidil Haram sahaja yang perlu dibersihkan, akan tetapi semua masjid kerana semua masjid adalah ‘rumah Allah’, bukan? Maka ini adalah arahan untuk memastikan semua masjid di dunia ini bersih dan tidak dilakukan perkara kufur dan syirik di dalamnya.

 

لِلطَّائِفِينَ

bagi orang orang yang tawaf

Diutamakan dan didahulukan Ka’bah untuk orang yang tawaf di situ. Ini kerana di Ka’bah sahaja tempat tawaf. Sebab itulah dibolehkan melintas mereka yang salat sunat untuk mengerjakan tawaf kerana ia adalah khas di Ka’bah sahaja.

Sebab keutamaan mengerjakan tawaflah yang menyebabkan penjaga-penjaga di sekeliling Ka’bah akan berusaha untuk memberikan ruang untuk mereka yang tawaf.

 

وَٱلعَـٰكِفِينَ

dan orang-orang yang i’tikaf;

I’tikaf bermaksud masuk masjid dan niat untuk duduk dalam masjid untuk beberapa lama. Bukan hanya masuk sahaja. Macam sekarang, orang kita faham kalau masuk masjid untuk salat sahaja, sudah dikira i’tikaf.

Sebenarnya, i’tikaf itu adalah masuk dan tidak keluar selama beberapa waktu yang lama. Maknanya, sudah lain makna i’tikaf sekarang dengan yang sepatutnya. I’tikaf hanya boleh dilakukan di masjid, maka kita tidak boleh i’tikaf atas kubur. Yang i’tikaf di kuburan itu adalah golongan quburiyyun, termasuk golongan Habib sekarang.

Dari segi bahasa, i’tikaf itu adalah ‘bertapa’. Selalunya selama sehari semalam (walaupun ada juga pendapat yang mengatakan boleh waktu pendek, walaupun sesaat). Tetapi dalam Islam, tidak ada syariat untuk bertapa. Jadi, i’tikaf kita hanya boleh dilakukan di masjid. Bukanlah itu lebih baik? Daripada bertapa di gunung, bukit, lembah atau dalam kubur?

Tetapi tarekat-tarekat sesat telah mengajar anak murid mereka untuk bertapa di tempat-tempat kotor macam itu. Mereka reka satu amalan pula: bersuluk. Kononnya boleh meningkatkan maqam/darjat ilmu. Masih banyak lagi dilakukan sekarang. Ini adalah kerana masih ramai lagi yang tertipu dengan ajaran-ajaran sesat sebegitu. Ini kerana jahil agama sahaja. Memang yang jahil-jahil sahaja akan masuk tarekat.

 

وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

dan bagi orang yang rukuk dan sujud;

Maksudnya, Ka’bah adalah tempat untuk manusia mendirikan sembahyang.

Maknanya, Ka’bah itu adalah tempat bagi orang tawaf, i’tikaf dan melakukan salat. Daripada ayat ini, yang kita disuruh buat di Ka’bah adalah banyakkan membuat tawaf, i’tikaf dan salat di Masjidil Haram. Bukanlah kita disuruh buat umrah banyak-banyak kali macam yang dilakukan oleh ramai orang sekarang.

Maka tidak sepatutnya orang buat umrah sampai dua tiga kali. Ada yang buat sampai tujuh kali (sampai lembik mereka di sana). Sahabat tidak ada buat begitu. Kecualilah kalau mereka ada urusan lain dan keluar semula. Iaitu mereka keluar itu kerana ada urusan. Banyak yang salah faham tentang perkara ini. Sampai ada yang buat umrah banyak-banyak kali. Selalunya mereka hendak mengejar sampai cukup tujuh kali buat Umrah.

Ini adalah kerana salah faham dengan hadith Nabi ﷺ yang mengatakan kalau tujuh kali umrah, bersamaan pahala dengan buat Haji sekali. Tetapi hadith itu tidak sahih maka tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Kita kena lihat amalan Nabi dan sahabat. Adakah Nabi ﷺ buat umrah banyak kali setiap kali Nabi ﷺ pergi ke sana?

Tidak, bukan? Maka sepatutnya kita buat umrah sekali, kemudian kita banyakkan buat ibadat tawaf seperti yang diisyaratkan dalam ayat ini.

Jadi, tuntutan kepada kita apabila berada di Masjidil Haram adalah melakukan tawaf, i’tikaf dan salat sahaja. Yang buat umrah banyak kali itu, mereka sudah tidak sempat untuk salat sunat di Masjidil Haram. Sebab tidak sempat untuk mengejar masa ke tempat miqat. Mereka buat benda yang tidak perlu dibuat sampai tertinggal buat benda yang sepatutnya dilakukan.

Atau, mereka sudah tidak buat salat sunat dan ibadah lain sebab mereka sudah tidak larat untuk ke sana sini. Padahal, setiap kali salat di Masjidil Haram, pahala salat itu akan digandakan sebanyak seratus ribu kali. Ini adalah dari hadith yang sahih. Adakah Nabi ﷺ menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda kalau buat umrah banyak kali? Tidak.

Manakala apabila mereka mengerjakan umrah banyak kali, mereka tidak akan melakukan tawaf sunat lagi. Maka yang sebetulnya kena banyakkan salat dan tawaf di Masjidil haram. Rugi kalau kita tidak solat di Masjidil haram banyak kali sebab satu waktu bersamaan seratus ribu pahala berbanding salat di tempat lain.

Lihatlah juga keindahan bahasa Al-Qur’an yang tepat. Allah ‎ﷻ sebut:

Kalimah لِلطَّائِفِينَ untuk orang-orang yang bertawaf

Kalimah وَالْعَاكِفِينَ: DAN orang-orang yang beriktikaf

Kalimah وَالرُّكَّعِ DAN orang-orang yang rukuk

Dan kalimah السُّجُودِ bermaksud Sujud. Tidak ada kata DAN di antara rukuk dan sujud kerana dua-dua ada dalam salat.

Begitu juga ada susunan yang tepat ‘daripada sedikit kepada banyak’ dalam susunan ibadah-ibadah itu:

Tawaf: ibadat yang paling kurang di antara semua ibadah yang disebut. Kerana hanya boleh dilakukan di Ka’bah sahaja.

I’tikaf: lagi banyak dilakukan oleh manusia. Kerana boleh dilakukan di mana-mana masjid jami’ sedangkan tawaf hanya boleh dilakukan di Ka’bah sahaja. Tetapi lagi kurang daripada rukuk.

Rukuk: lagi banyak dilakukan daripada i’tikaf. Tetapi lagi kurang daripada sujud.

Sujud: paling banyak dilakukan. Kita rukuk sekali sahaja dalam satu rakaat, tetapi sujud dua kali. Dan manusia juga boleh melakukan sujud sunat. Tetapi tidak ada rukuk sunat, bukan?

Lihat juga ada perubahan susunan daripada ibadat yang khas kepada ibadat yang umum. Begitulah hebatnya Allah ‎ﷻ susun perkataan dan kalimah di dalam Al-Qur’an.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Oktober 2021

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 124 – 125 (Kelebihan Ka’bah)”

  1. Assalamualaikum,

    Maaf jika saya salah, sepatutnya ayat dibawah ialah saki baki ajaran Nabi Ibrahim bukannya Nabi Muhammad?

    “Jadi perkara ini dijaga oleh masyarakat Arab pada waktu itu walaupun mereka itu dipanggil ‘jahiliyyah’. Ini adalah kerana ada lagi saki baki ajaran Nabi Muhammad pada mereka.”

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s