Tafsir Surah Baqarah Ayat 118 – 119 (Kenapa Allah tidak bercakap terus dengan manusia)

HIDAYAH PETUNJUK YANG BENAR

Baqarah Ayat 118: Ini adalah rungutan (syikayah) kelima daripada Allah ‎ﷻ tentang kalimat-kalimat sesat dan bodoh dari segolongan manusia.

وَقالَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ لَولا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ أَو تَأتينا ءَايَةٌ ۗ كَذٰلِكَ قالَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّثلَ قَولِهِم ۘ تَشَـٰبَهَت قُلوبُهُم ۗ قَد بَيَّنَّا ٱلأَيَـٰتِ لِقَومٍ يوقِنونَ

Sahih International

Those who do not know say, “Why does Allah not speak to us or there come to us a sign?” Thus spoke those before them like their words. Their hearts resemble each other. We have shown clearly the signs to a people who are certain [in faith].

Malay

Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?” Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.

 

وَقَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Dan berkata orang-orang yang tidak tahu: 

Yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah dan juga golongan Yahudi. Ayat ini tentang mereka kerana mereka tidak tahu wahyu dan tidak ada kitab. Nabi mereka pun sudah lama tidak ada jadi pengetahuan tentang agama mereka amat kurang. Dan walaupun golongan Yahudi itu ada kitab, tapi mereka hendak menimbulkan kekeliruan di kalangan manusia dengan menimbulkan persoalan-persoalan untuk menimbulkan salah sangka. Allah gelar mereka orang yang tidak tahu (jahil) kerana walaupun mereka itu ada kitab, tapi kalau tidak berpegang dengan kitab, maka jahillah jadinya. Begitu jugalah umat Islam kalau tidak berpegang dengan Al-Qur’an. Setakat boleh baca Al-Qur’an tapi tidak faham apa yang dibaca, itu tetap juga jahil.

Boleh juga bermaksud sesiapa sahaja yang jahil. Memang orang jahil akan cakap merapu, tanya soalan merapu, bagi logik yang pada mereka logik, tapi tidak pun. Itulah kejahilan yang banyak ada di kalangan manusia. Sebab itu kalau kita masuk media sosial, banyak sahaja pandangan  yang mengarut kerana datang dari kejahilan tentang agama. Kita hendak halang mereka bercakap pun tidak boleh, maka tugas kitalah untuk mendidik mereka. Kalau semua orang pandai, tidak adalah kerja dakwah dan mengajar, bukan?

 

لَوْلَا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ

kenapakah Allah tidak berbicara langsung kepada kami?;

Mereka kata kenapakah wahyu itu perlu melalui Nabi Muhammad ﷺ sahaja? Kenapa Allah ‎ﷻ tidak bercakap terus sahaja dengan mereka? Kalau Allah tidak bercakap terus dengan mereka, mungkin dengan perantaraan Malaikat seperti yang dikatakan oleh baginda. Supaya mereka dapat wahyu terus, atau sekurang-kurang Allah atau malaikat itu sendiri kata yang Nabi Muhammad ini memang benar-benar seorang Rasul. Ini sekarang mereka menggunakan logik akal mereka. Kalau cakap pakai otak sendiri memang akan jadi begini.

Tentu ada yang terfikir: “Kalau terus dapat maklumat daripada Allah ‎ﷻ, bukankah senang? Tentu tidak ada yang menentang Allah ‎ﷻ lagi kerana semua sudah tahu kebenaran. Tetapi sekarang bila pakai perantara, kita pun mungkin terfikir entah benar ataupun tidak Allah ‎ﷻ ada sampaikan maklumat wahyu ini?”

Atau, ia boleh bermaksud: kenapa Allah ﷻ sendiri tidak beritahu kami secara terus bahawa engkau Muhammad, adalah Rasul utusanNya?

Kata-kata mereka ini adalah kata-kata orang yang jahil, yang perasan mereka itu tinggi kedudukan. Di dalam ayat yang lain, Allah ‎ﷻ jelaskan kenapa Allah ‎ﷻ tidak terus berkomunikasi dengan mereka. Ini kerana kedudukan Allah ‎ﷻ amat tinggi maka tidak layak untuk bercakap terus dengan semua makhluk. Allah berfirman di dalam Shuraa:51

وَما كانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللهُ إِلّا وَحيًا أَو مِن وَراءِ حِجابٍ أَو يُرسِلَ رَسولًا فَيوحِيَ بِإِذنِهِ ما يَشاءُ ۚ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكيمٌ
Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia yang Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana.

Ini juga kerana beratnya wahyu yang disampaikan, maka orang biasa tidak mampu untuk menerima wahyu terus daripada Allah ‎ﷻ. Maka kerana itulah penyampaian wahyu dilakukan seperti yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Allah berfirman di dalam Muzzammil:5

إِنّا سَنُلقي عَلَيكَ قَولًا ثَقيلًا
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu yang berat

Begitulah di dalam hadis kita dapat tahu pengalaman Rasulullah betapa beratnya cara baginda menerima wahyu. Yang kalau orang biasa tidak akan mampu menanggungnya.

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ أَنَّهُ قَالَ رَأَيْتُ مَرْوَانَ بْنَ الْحَكَمِ جَالِسًا فِي الْمَسْجِدِ فَأَقْبَلْتُ حَتَّى جَلَسْتُ إِلَى جَنْبِهِ فَأَخْبَرَنَا أَنَّ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمْلَى عَلَيْهِ { لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ } { وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ } قَالَ فَجَاءَهُ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ وَهُوَ يُمِلُّهَا عَلَيَّ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ أَسْتَطِيعُ الْجِهَادَ لَجَاهَدْتُ وَكَانَ رَجُلًا أَعْمَى فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عَلَى رَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفَخِذُهُ عَلَى فَخِذِي فَثَقُلَتْ عَلَيَّ حَتَّى خِفْتُ أَنَّ تَرُضَّ فَخِذِي ثُمَّ سُرِّيَ عَنْهُ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ }
Dari Sahal bin Sa’ad As-Sa’idiy bahawa dia berkata: “Aku melihat Marwan bin Al Hakam sedang duduk di masjid lalu aku menemuinya hingga aku duduk di sampingnya lalu dia mengabarkan kepada kami bahawa Zaid bin Tsabit mengabarkan kepadanya bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membacakan ayat 97 Surah an-Nisaa’ kepadanya yang ertinya (“Tidaklah sama orang-orang yang duduk-duduk saja (tidak ikut berperang) dari kalangan Kaum Mu’minin dengan orang-orang yang berjihad fii sabilillah…”), maka datang Ibnu Ummu Maktum kepada baginda padahal baginda sedang membacakan ayat itu kepadaku dengan berkata: “Wahai Rasulullah, seandainya aku mampu berjihad pasti aku akan berjihad”. Dia adalah seorang yang buta. Maka Allah Tabaaraka Wa Ta’ala menurunkan ayat kepada Rasul-Nya pada saat paha baginda sedang berada di atas pahaku dan aku merasa berat dengan paha baginda tersebut (kerana beratnya wahyu yang baginda terima) hingga aku khuatir pahaku retak. Kemudian baginda tenang kembali. Maka Allah ‘AZZA WAJALLA menurunkan firman-Nya (kelanjutan ayat tersebut) yang ertinya: (“Yang tanpa memiliki alasan…”).
Sahih Bukhari (2620)

Di dalam hadis yang lain,

عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رضي الله عَنْهَا{ أَنَّ الْحَارِثَ بْنَ هِشَامٍ رضي الله عَنْهم سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يَأْتِيكَ الْوَحْيُ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَحْيَانًا يَأْتِينِي مِثْلَ صَلْصَلَةِ الْجَرَسِ وَهُوَ أَشَدُّهُ عَلَيَّ فَيُفْصَمُ عَنِّي وَقَدْ وَعَيْتُ عَنْهُ مَا قَالَ .وَأَحْيَانًا يَتَمَثَّلُ لِيَ الْمَلَكُ رَجُلا فَيُكَلِّمُنِي فَأَعِي مَا يَقُولُ . قَالَتْ عَائِشَةُ رضي الله عَنْهَا وَلَقَدْ رَأَيْتُهُ يَنْزِلُ عَلَيْهِ الْوَحْيُ فِي الْيَوْمِ الشَّدِيدِ الْبَرْدِ فَيَفْصِمُ عَنْهُ وَإِنَّ جَبِينَهُ لَيَتَفَصَّدُ عَرَقًا }
Dari Aisyah Ibu Kaum Mu’minin, bahawa Al Harits bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, bagaimana datangnya wahyu kepada engkau?” Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “kadang-kadang datang kepadaku wahyu itu seperti bunyi gemerincing loceng dan cara ini yang paling berat buatku, lalu terhenti sehingga aku dapat mengerti apa yang disampaikan. Dan terkadang, datang Malaikat menyerupai seorang laki-laki lalu berbicara kepadaku maka aku faham apa yang diucapkannya”. Aisyah berkata: “Sungguh aku pernah melihat turunnya wahyu kepada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam pada suatu hari yang sangat dingin lalu terhenti, dan aku lihat dahi baginda memancutkan keringat.”
Sahih Bukhari (2)

 

أَوْ تَأْتِينَا ءَايَةٌ‌

atau Dia datang bawa satu dalil bukti?;

Yang dimaksudkan adalah mukjizat. Iaitu mereka mahukan mukjizat diberikan kepada mereka iaitu jenis mukjizat yang mereka boleh lihat, pegang dan rasa dengan pancaindera mereka. Antaranya mereka hendak Nabi Muhammad ﷺ menjadikan bumi Mekah yang berbatu dan gersang itu semua menjadi tanah. Mereka hendakkan air keluar dari bukit supaya mereka boleh bercucuk tanam. Contoh permintaan mereka adalah seperti di dalam Isra’:90-93

وَقَالُواْ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفجُرَ لَنَا مِنَ ٱلأَرضِ يَنۢبُوعًا
Dan mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami,

أَو تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ ٱلأَنهَـٰرَ خِلَـٰلَهَا تَفجِيرًا
atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya,

أَو تُسقِطَ ٱلسَّمَآءَ كَمَا زَعَمتَ عَلَينَا كِسَفًا أَو تَأتِىَ بِٱللَّهِ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةِ قَبِيلاً
atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.

أَو يَكُونَ لَكَ بَيتٌ مِّن زُخرُفٍ أَو تَرقَىٰ فِى ٱلسَّمَآءِ وَلَن نُّؤمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَينَا كِتَـٰبًا نَّقرَؤُهُ ۥ‌ۗ قُل سُبحَانَ رَبِّى هَل كُنتُ إِلَّا بَشرًا رَّسُولاً
Atau kamu mempunyai sebuah rumah dari emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca”. Katakanlah: “Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?”

Apabila manusia minta, tidaklah Allah ‎ﷻ beri. Allah ‎ﷻ tidak perlu ikut kehendak makhluk. Mukjizat bukan terjadi ikut kehendak sesiapa pun, kecuali kehendak Allah ‎ﷻ. Malah, bukan juga dari kehendak para Rasul sendiri. Kalau mereka hendak buat mukjizat sendiri pun tidak boleh. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ pernah melakukan mukjizat, tapi itu bukanlah ikut kehendak baginda, tapi hanya apabila Allah ﷻ kehendaki.

 

كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Dan demikianlah, berkata orang-orang sebelum mereka;

Setelah mendengar pemintaan-permintaan itu, tentulah susah hati Rasulullah. Maka Allah pujuk baginda dengan beritahu bahawa bukan Musyrikin Mekah yang mula-mula berkata begitu dan membuat permintaan dan hujah-hujah yang mengarut sebegitu. Sebenarnya, orang-orang dahulu pun sudah berkata begitu juga. Jadi ini bukanlah hujah baru tapi manusia sebelum itu sudah bercakap.

Begitu juga bagi kita yang belajar tafsir Al-Qur’an ini akan berjumpa banyak sekali hujah-hujah manusia sekarang yang sebenarnya sudah ada pun dalam Al-Qur’an. Cuma yang keluarkan hujah itu tak tahu pun yang kata-kata mereka itu sudah ada di dalam Al-Qur’an kerana mereka tidak belajar pun tafsir. Maka ada kata-kata mereka sebiji seperti Arab Jahiliyah, kadang seperti Firaun dan banyak lagi karektor-karektor yang ada di dalam Al-Qur’an.

 

مِّثْلَ قَوْلِهِمْ

sepertimana kata-kata mereka;

Sama sahaja kata-kata Musyrikin Mekah dan umat-umat terdahulu yang telah dibinasakan kerana sepertimana Nabi-nabi memperkatakan perkara yang sama tentang tauhid, syaitan-syaitan yang menyesatkan mereka pun menggunakan was-was yang sama sahaja. Sebagai contoh, umat Nabi Musa pernah minta untuk lihat sendiri Allah dengan mata kepala mereka. Ini seperti telah disebut di dalam ayat 55 sebelum ini:

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”.

Hujah yang sama sahaja yang syaitan gunakan kepada manusia dari dahulu sehingga sekarang. Kerana itulah kalau kita belajar tentang syaitan, sebagai contoh belajar Talbis Iblis, ajaran itu adalah relevan dari zaman berzaman kerana sama sahaja modal yang digunakan oleh syaitan. Sebenarnya syaitan re-cycle sahaja hujah-hujah yang sama kepada manusia dari berbagai zaman.

 

تَشَـٰبَهَت قُلُوبُهُمْ

serupa sahaja hati-hati mereka;

Orang yang sesat dahulu dan sesat sekarang ini, sama sahaja kata-kata mereka dan apa yang ada di dalam hati mereka kerana hati dan akidah mereka sama sahaja sebenarnya. Jadi, untuk kita kenal musyrikin sekarang, kita boleh lihat sama sahaja perkataan mereka dengan kata-kata orang-orang Musyrikin Mekah dahulu.

Memang menakjubkan, kerana kita akan dapat lihat bahawa kata-kata mereka itu adalah sama sahaja. Begitu juga dengan orang-orang yang sama macam orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kita boleh lihat bahawa kata-kata mereka adalah sama sahaja.

Maka orang Melayu yang menentang wahyu Allah ‎ﷻ pun sama sahaja. Apabila mereka keluarkan hujah, terdetik dalam kepala kita: “Alamak, samalah dengan kata-kata Abu Jahal dan kawan-kawan dia….”. Mereka sahaja tidak perasan kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

 

قَدْ بَيَّنَّا ٱلأَيَـٰتِ

Sesungguhnya telah Kami jelaskan tanda-tanda bukti;

Di dalam ayat ini, golongan jahil itu memberikan dua hujah:

1. Allah (atau malaikat) bercakap terus dengan mereka

2. Beri tanda mukjizat untuk membuktikan kenabian Nabi Muhammad.

Bagi soalan pertama itu Allah tidak jawab pun kerana ia mengarut sangat, perasan mereka itu tinggi sangat, jadi Allah tidak layan pun. Allah cuma beri jawapan bagi hujah kedua mereka sahaja.

Sebenarnya, dalil dan bukti itu telah diberikan kepada semua manusia. Sudah banyak mukjizat dan tanda kebenaran telah ditunjukkan kepada manusia. Tetapi manusia yang jahil itu mereka minta macam-macam kerana hendak menjadikan Nabi terdiam tidak boleh menjawab kata-kata mereka. Mukjizat yang mereka minta bukannya kerana hendakkan bukti tetapi kerana niat buruk mereka itu. Itu sebab mereka minta macam-macam perkara yang mengarut. Sememangnya Nabi ﷺ tidak boleh buat mukjizat mengikut suka baginda dan bukannya perlu untuk Allah ‎ﷻ layan kehendak mereka itu.

Lagi pun Allah tahu yang kalau diberikan dengan mukjizat pun, mereka tidak percaya dan beriman juga. Ini Allah jelaskan di dalam Isra’:59

وَمَا مَنَعَنَآ أَن نُّرسِلَ بِٱلأَيَـٰتِ إِلَّآ أَن ڪَذَّبَ بِہَا ٱلأَوَّلُونَ‌ۚ وَءَاتَينَا ثَمُودَ ٱلنَّاقَةَ مُبصِرَةً فَظَلَمُواْ بِہَا‌ۚ
Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu.

Sepatutnya, kalau mereka hendakkan bukti, memang telah ada banyak diberikan kepada mereka, tetapi yang boleh terima hanyalah:

 

لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

orang-orang yang yakin sahaja;

Sudah banyak tanda diberikan, akan tetapi yang menerimanya hanyalah mereka yang ada keyakinan sahaja. Iaitu mereka yang yakin bahawa Allah ‎ﷻ adalah Pencipta yang tiada tandingan. Mereka ini orang yang hati mereka telah condong kepada kebenaran. Iaitu hati mereka sudah terbuka untuk menerima kebenaran, dari mana pun ia datang. Jadi apabila dalil dan bukti diberikan kepada mereka, mereka terus terima dan semakin yakin dengan kebenaran. Ini kerana hati mereka telah terbuka kepada kebenaran. Mereka tidak perlukan bukti dalam bentuk mukjizat pun kerana mereka boleh terima hujah dan bukti dari sumber wahyu. Kerana itulah Al-Qur’an adalah mukjizat terbesar dan terpakai zaman berzaman.

Sedangkan apabila dalil yang sama diberikan kepada orang yang degil, tetapi mereka tolak kerana hati mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Hati mereka memang hendak buat apa yang mereka ingin sahaja.

Di dalam ayat ini Allah menyebut tentang يُوقِنُونَ iaitu orang-orang yang yakin. Bagaimana kita boleh dapat kedudukan ini? Kita hanya boleh dapat kedudukan ini dengan mendalami Al-Qur’an setelah memahaminya. Semakin kita faham Al-Qur’an, semakin kita yakin dengan kebenaran yang dibawa Allah dan Rasulullah. Maka apakah lagi yang ditunggu oleh umat Islam sekarang ini?


 

Baqarah Ayat 119: Ayat ini adalah jenis ayat Tasliah (pujukan). Maknanya pujukan Allah ‎ﷻ kepada Nabi ﷺ dan para sahabat Nabi untuk meneruskan dakwah. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut penolakan golongan jahil terhadap kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Tentulah Nabi Muhammad bersedih dengan penolakan mereka itu. Maka di sini Allah ‎ﷻ hendak memberikan ketenangan kepada baginda dan para sahabat supaya mereka terus kuat dalam usaha dakwah mereka. Baginda telah menjalankan tugas baginda menyampaikan wahyu; kalau yang menolak itu tidaklah perlu baginda hiraukan sangat.

Oleh kerana Nabi Muhammad dan para sahabat semua telah meninggal, sekarang ia adalah pujuk rayu kepada orang yang sebar dan pegang agama tauhid. Berbagai-bagai penolakan terhadap pendakwah Sunnah ini zaman berzaman. Maka ayat-ayat sebegini adalah sebagai motivasi kepada para pendakwah.

إِنّا أَرسَلنَـٰكَ بِالحَقِّ بَشيرًا وَنَذيرًا ۖ وَلا تُسأَلُ عَن أَصحَـٰبِ الجَحيمِ

Sahih International

Indeed, We have sent you, [O Muhammad], with the truth as a bringer of good tidings and a warner, and you will not be asked about the companions of Hellfire.

Malay

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.

 

إِنَّا أَرسَلنَـٰكَ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (Muhammad);

Allah ‎ﷻ menegaskan bahawa baginda telah diutus oleh Dia sendiri. Maka jangan baginda ragu-ragu. Jadi kita pun jangan ragu-ragu tentang perkara ini. Bila kita terima baginda sebagai Rasul, maka hendaklah kita terima ajaran baginda. Maka kena belajar apakah sunnah baginda.

Allah ﷻ berikan Rasul kepada manusia di atas rahmatNya. Kalaulah tidak diberikan Rasul, maka kita tidak ada contoh ikutan. Allah ﷻ tidaklah membiarkan kita terkontang-kanting tanpa panduan. Memang telah diberikan wahyu Al-Qur’an, tapi kalau tidak ada Rasul untuk memberikan contoh bagaimana mengamalkannya, bagaimana?

 

بِالْحَقِّ

dengan kebenaran;

Nabi ﷺ datang dengan agama yang benar. Baginda juga bawa kebenaran yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada baginda yang agama yang baginda bawa ini adalah benar. Maka jangan bimbang, jangan putus semangat.

Jadi ada dua perkara di sini:

1. Memang benar Nabi Muhammad ﷺ telah diutus oleh Allah ﷻ.
2. Nabi Muhammad ﷺ diutus dengan bawa kebenaran.

Jadi baginda benar dan apa yang baginda bawa adalah benar.

 

بَشِيرًا

Sebagai pembawa berita gembira;

Tugas baginda adalah untuk membawakan berita gembira kepada sesiapa yang mengikut pegangan tauhid dan membenarkan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka dijanjikan dengan kemenangan dan kedudukan dalam syurga yang akan kekal abadi di dalamnya. Ini adalah sebagai motivasi semangat yang diberikan kepada orang yang baik-baik, yang mahu dengar dan mahu taat.

 

وَنَذِيرًا

dan sebagai pembawa ancaman;

Selain daripada berita gembira, tugas baginda juga menyampaikan ancaman. Ancaman pula kepada orang yang menentang tauhid dan ajaran wahyu. Maka kepada mereka yang masih lagi hendak membuat tawassul dalam berdoa dan menyembah selain Allah ‎ﷻ, maka kepada mereka diberikan ancaman. Beritahu kepada mereka yang kalau mereka teruskan amalan syirik mereka itu, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.

Jadi, sampaikan berita gembira dan ancaman dan suruh mereka fikirkan: “Nak kekal dalam syurga atau nak kekal dalam neraka?” Ini adalah soalan yang amat penting. Ini bukan soalan main-main. Kalau gagal dalam peperiksaan, masih boleh tunggu tahun hadapan untuk ulang peperiksaan. Tetapi kalau gagal dalam pemilihan bab ibadah dan akidah, boleh kekal dalam neraka.

Jadi dua perkara (sampaikan berita gembira dan ancaman) adalah tugas Nabi. Sekarang kita sebagai umat baginda pun kenalah meneruskan tugas yang dipikul oleh baginda ini kerana baginda sudah tidak ada. Tapi bagaimanalah kita mampu menjalankan tugas ini kalau tafsir Al-Qur’an pun kita tidak tahu? Pakai melangut sahajalah dan keluar cerita merapu lah jawabnya. Sebab itu sekarang setiap hari kita akan lihat kisah-kisah mengarut dari meja penceramah yang entah apalah yang mereka ajar. Mereka menyebut kisah-kisah yang mengarut supaya masyarakat jadi melopong mulut mendengar kisah-kisah dongeng itu.

Kalimat بَشيرًا وَنَذيرًا boleh juga dikaitkan dengan pernah suruhan (بَشيرًا) dan larangan (نَذيرًا). Memang di dalam pengajaran agama sama ada Al-Qur’an atau hadis akan menyebut dua-dua perkara ini, the do’s and the don’ts. Dua-dua kena ada, tanpa ditinggalkan salah satu darinya. Dan memang manusia pun berbeza; ada yang senang buat suruhan tapi mereka berat untuk meninggalkan larangan seperti larangan berzina dan sebagainya; ada pula yang senang untuk tinggalkan perkara haram akan tetapi mereka susah untuk beribadah dan melakukan dakwah. Maka di sini diingatkan yang perintah suruhan dan perintah larangan itu kedua-duanya kena diikuti.

 

وَلا تُسأَلُ عَن أَصحَـٰبِ الجَحيمِ

Dan engkau tidak akan ditanya tentang penghuni neraka;

Allah ‎ﷻ pujuk Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم: Jikalau mereka telah melakukan kerja menyampaikan berita gembira dan peringatan ancaman kepada manusia, maka mereka tidak akan ditanya lagi kerana mereka sudah menjalankan tanggungjawab yang digalas ke atas mereka untuk menyampaikan.

Maknanya, kita kenalah beritahu kepada manusia tentang tauhid dan ajaran agama Islam. Kalau kita simpan sendiri sahaja, tidak beritahu kepada kawan-kawan dan ahli keluarga kita, kita akan ditanyai nanti “kenapa kamu tak sampaikan kepada manusia?”. Kalau kita ditanya kenapa kita tidak sebarkan, apakah jawapan kita nanti di hadapan Allah ‎ﷻ? Ini adalah berita yang amat menakutkan! Tambahan pula kerana banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang memberi isyarat kepada kita untuk menyampaikan ajaran Allah ‎ﷻ kepada manusia. Allah berfirman di dalam A’raf:164

وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِّنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا ۙ اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا ۖ قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.

Kalau kita sudah sampaikan dakwah tauhid, kita tidak akan ditanya kenapa keluarga, sahabat dan jiran kita masuk neraka. Ini kerana mereka bukan lagi tanggungjawab kita. Kalau tidak buat lagi, pasti akan ditanya. Kalau kita sampaikan, barulah kita selamat. Barulah ada alasan dan hujah di hadapan Allah: “ya Allah, aku telah sampaikan, tapi mereka sahaja yang tidak mahu dengar dan terima….”

Maknanya, kita kena sebar agama ini. Kena beritahu kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Ini adalah ayat yang menikam hati yang menggerakkan kita untuk menyebar agama kepada manusia. Memang hendak sampaikan dakwah ini agak berat. Tak perlu beritahu saya pun saya tahu ianya memang susah. Kadangkala orang yang disampaikan itu tidak suka kita beri peringatan kepada mereka. Kadangkala kita ditentang, dikutuk, dipulau, diperli, diberi gelaran seperti Wahabiol dan berbagai lagi kata-kata yang menyakitkan hati.

Namun kita kena ingat, kalau kita tidak buat penyebaran itu, kita akan ditanya kenapa mereka masuk neraka. Sebelum mereka masuk neraka, kita dahulu yang akan ditanya. Maka memang ini adalah ujian bagi orang yang berilmu. Kita kena beritahu kepada manusia tentang Islam. Maka kena kuatkan hati dan kaki supaya tetap sampaikan kepada manusia. Pekakkan sahaja terima dengan kata-kata mereka yang menyakitkan hati itu.

Satu lagi qira’at bagi ayat ini adalah وَلا تَسأَلُ عَن أَصحَـٰبِ الجَحيمِ. Iaitu kalau تَسأَلُ, ia di dalam bentuk pasif, tapi تَسأَلُ ia adalah di dalam bentuk aktif. Jadi terjemahnya adalah: “jangan engkau tanya tentang ahli neraka itu”. Ini adalah kerana apa yang mereka akan terima itu adalah sangat teruk sekali, tidak dapat dibayangkan. Maka jangan tanyalah kerana engkau tidak dapat bayangkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

TafsirWeb

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 118 – 119 (Kenapa Allah tidak bercakap terus dengan manusia)”

  1. Assalamualaikum,

    Maaf jika saya salah, sepatutnya ayat dibawah ialah saki baki ajaran Nabi Ibrahim bukannya Nabi Muhammad?

    “Jadi perkara ini dijaga oleh masyarakat Arab pada waktu itu walaupun mereka itu dipanggil ‘jahiliyyah’. Ini adalah kerana ada lagi saki baki ajaran Nabi Muhammad pada mereka.”

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply