PERINGATAN TENTANG JASA KEPADA BANI ISRAIL
Baqarah Ayat 122: Walaupun Yahudi dan Nasara itu banyak menentang, Allah ﷻ masih lagi memberi peluang kepada mereka seperti tertera di dalam ayat ini. Ini adalah siri ayat-ayat yang terakhir yang menceritakan kisah Yahudi dalam Surah Baqarah, supaya kita mengambil peringatan daripada kisah mereka. Ia adalah ayat penutup tentang Yahudi dan mula untuk memberitahu tentang umat Nabi Muhammad ﷺ.
Golongan Yahudi yang ada di Madinah itu memang datang ke Madinah kerana hendak tunggu kedatangan Nabi akhir zaman, namun apabila Nabi itu telah benar-benar datang, mereka pula yang lawan. Allah ﷻ telah banyak memberitahu tentang mereka dan ini adalah penutup syarah yang panjang itu. Ia menjadi peringatan bagi mereka.
Selepas ini akan diberitahu tentang sejarah asal pengikut Nabi Muhammad ﷺ yang sebenar. Allah ﷻ hendak beritahu yang golongan daripada bangsa Arab yang mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ itu bukanlah golongan bawahan walaupun mereka tidak ada kitab sebelum itu. Mereka itu lahir daripada doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dimakbulkan oleh Allah ﷻ. Mereka umat terpilih sebenarnya.
يَـٰبَنِىٓ إِسرٰءِيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى ٱلعَـٰلَمِينَ
O Children of Israel, remember My favor which I have bestowed upon you and that I preferred you over the worlds.
Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).
يَـٰبَنِىٓ إِسرٰءِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ
Wahai Bani Israil, ingatlah nikmatKu yang Aku telah beri kepada kamu;
Lihatlah Allah ﷻ menggunakan gelaran manja يَـٰبَنِىٓ إِسرٰءِيلَ kepada mereka kerana hendak memujuk mereka. Di sini Allah ﷻ ingatkan lagi tentang nikmat-nikmat yang banyak yang telah mereka terima. Ini kerana kalau kita hendak memujuk orang degil, kita ingatkan jasa kita kepadanya untuk melembutkannya. Banyak sekali nikmat dunia dan agama yang telah diberikan kepada golongan Bani Israil. Antaranya, mereka banyak bersaudara dan berkenalan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul sebab memang banyak nabi-nabi daripada golongan mereka. Maknanya mereka itu berasal daripada keturunan yang baik-baik.
Walau bagaimanapun keturunan tidak penting kalau tidak menjaga agama. Entah berapa banyak Yahudi dikenakan azab nanti kerana kesesatan mereka sebab Allah ﷻ bukan mengambil kira keturunan. Yang penting mestilah dilihat amalan sama ada amalan benar ataupun salah. Kalau benar pun keturunan Rasulullah ﷺ atau anak cucu mana-mana ulama’ pun, belum tentu akan selamat kalau mereka juga membuat salah dalam akidah dan amalan. Malangnya, ramai orang kita yang pentingkan sangat keturunan. Seolah-olah kalau keturunan para wali, sudah tentu mereka selamat pula. Ini tidak benar sama sekali. Walaupun mungkin ada keturunan dia yang baik-baik, namun ada juga yang berbuat salah. Kalau mereka berbuat salah, mereka akan dihumban juga ke dalam neraka. Semuanya dinilai berdasarkan amalan dan perbuatan manusia itu secara individu tidak kira siapakah tok nenek dia. Ada yang baik dan ada yang jahat.
Tidaklah kita boleh kata kalau seseorang itu keturunan Nabi Muhammad ﷺ kita terus kata dia betul sahaja. Mestilah dilihat apakah yang diajarnya. Sekiranya ajaran benar, maka kita ikut, jikalau salah kita tinggalkan. Macam golongan Habib sekarang, yang menyanyi dan mengajar ajaran tarekat itu, itu sudah jelas kesesatan mereka, sudah banyak dibongkarkan kesesatan mereka, maka hendaklah ditinggalkan. Orang yang jahil sahaja yang masih ikut mereka.
وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى ٱلعَـٰلَمِينَ
Dan sesungguhnya Aku telah melebihkan kamu ke atas penduduk sekalian alam;
Bukanlah sekalian alam sekarang, tetapi pada zaman itu sahaja. Ini kerana perkataan فَضَّلْتُكُمْ itu dalam bentuk “past tense”. Bukanlah berterusan mereka duduk dalam kelebihan itu kerana semenjak Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tidak ada lagi nabi daripada Bani Israil. Mereka sekarang sudah tidak ada kelebihan dalam hal agama lagi. Umat yang terbaik sekarang bukanlah mereka akan tetapi umat Islam kerana Allah ﷻ telah berfirman di dalam Ali Imran: 110
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).
Ayat yang sama telah disebutkan sebelum ini Baqarah: 47
يٰبَني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتيٓ أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العٰلَمينَ
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).
Di situ ia disebut sebagai muqaddimah peringatan kepada Bani Israil, kemudian kita telah baca banyak ayat-ayat yang menyentuh mereka, dan sekarang Allah ﷻ mengingatkan dan mengajak sekali lagi mereka untuk beriman. Allah ﷻ mengingatkan kepada mereka bahawa kelebihan yang mereka ada itu datang daripada kurnia Allah ﷻ. Selagi mana mereka menjaga agama, maka kedudukan mereka masih tinggi lagi. Bukan mereka sendiri yang ada kelebihan itu. Akan tetapi kerana Allah ﷻ yang beri, maka mereka dapat menikmatinya sementara waktu. Janganlah mereka berasa mereka layak terima segala kebaikan kerana keturunan mereka. Kalau bukan Allah ﷻ yang mengurniakannya, tentu mereka tidak akan mendapat apa-apa.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak mengingatkan mereka tentang kelebihan-kelebihan yang telah diberikan kepada mereka. Allah ﷻ hendak beritahu mereka supaya sekarang ikutlah Nabi Muhammad ﷺ. Nabi akhir zaman ini. Masih ada masa lagi untuk mereka bertaubat jikalau mereka ada berbuat salah. Masih ada waktu lagi untuk mereka mengambil peluang untuk kembali ke pangkal jalan. Maknanya Allah ﷻ masih lagi memberi peluang kepada mereka, walaupun setelah disebut berbagai-bagai kesalahan yang mereka lakukan. Allah ﷻ ulang sekali lagi di sini sebagai peringatan kepada mereka.
Baqarah Ayat 123: Namun begitu, seandainya mereka masih tidak mahu mengikut nasihat itu, maka Allah ﷻ berikan takhwif ukhrawi (penakutan) kepada mereka untuk menakutkan mereka. Jangan sangka mereka umat pilihan sampai Allah ﷻ tidak akan azab mereka pula. Itu adalah sangkaan yang tersasar jauh dan perasan sahaja. Betapa pun banyak nikmat yang mereka dapat di dunia, ia bukanlah jaminan yang mereka pasti akan masuk syurga.
وَاتَّقوا يَومًا لّا تَجزي نَفسٌ عَن نَّفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها عَدلٌ وَلا تَنفَعُها شَفَـٰعَةٌ وَلا هُم يُنصَرونَ
And fear a Day when no soul will suffice for another soul at all, and no compensation will be accepted from it, nor will any intercession benefit it, nor will they be aided.
Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikit pun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).
وَاتَّقُوا يَوْمًا
Dan takutlah kamu pada suatu hari
Hari yang dimaksudkan adalah Hari Kiamat, Hari Akhirat, Hari Pembalasan. Hari itu pasti akan datang. Inilah satu-satu hari yang sentiasa Allah ﷻ ingatkan kepada kita berkali-kali di dalam Al-Qur’an kerana kepentingannya. Kena bersedia untuk menghadapi hari itu kerana hari itu nanti akan meresahkan semua orang. Ini kerana pada waktu itu nanti segala amal kita akan dinilai. Entah kita selamat, entahkan tidak. Maka jangan kita leka dengan dunia sampai kita tidak beramal untuk bersiap untuk menghadapi hari yang amat menakutkan itu.
لَّا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَّفْسٍ شَيْئًا
yang tidak akan boleh satu jiwa membantu jiwa yang lain;
Waktu itu, tidak ada sesiapa pun boleh membantu sesiapa. Anak beranak pun tidak boleh tolong. Suami isteri pun tidak boleh tolong sesama sendiri. Guru tidak boleh bantu anak murid. Kawan tidak boleh bantu kawan. Pada hari itu, semuanya bergantung kepada amalan sendiri. Jadi, kalau ada yang berangan yang mereka itu daripada keturunan yang mulia, daripada keturunan para Nabi dan orang-orang soleh, janganlah berangan lagi kerana waktu itu tidak ada sesiapa pun boleh membantu mereka. Maka jangan berharap bantuan dari sesiapa kerana semua akan lari daripada orang yang mereka kenal seperti disebut di dalam Abasa: 34 – 37
يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ
pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya,
وَأُمِّهِ وَأَبيهِ
daripada ibu dan bapanya,
وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ
daripada isteri dan anak-anaknya.
لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ
Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.
وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ
dan tidak diterima dari mereka itu rasuah;
Mereka tidak boleh rasuah Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak perlukan apa-apa daripada kita. Jadi apa yang kita hendak tawarkan kepada Allah ﷻ sebagai rasuah? Allah ﷻ berfirman di dalam Ali Imran: 91
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يُقبَلَ مِن أَحَدِهِم مِلءُ الأَرضِ ذَهَبًا وَلَوِ افتَدىٰ بِهِ
Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima daripada seseorang di antara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.
Namun timbul pula persoalan: Adakah terdapat manusia yang cuba untuk merasuah Allah ﷻ? Apakah yang mereka hendak beri kepada Allah ﷻ sedangkan mereka tidak punya apa-apa lagi pada waktu itu? Harta kekayaan semua di dunia sahaja dan dunia sudah hancur. Rupa-rupanya mereka akan tawarkan orang lain untuk dimasukkan ke dalam neraka. Mereka tawar anak mereka, ibubapa mereka, kawan-kawan mereka, sesiapa sahaja – asalkan mereka tidak masuk neraka. Begitulah yang akan terjadi nanti. Nauzibillah! Semoga kita diselamatkan nanti. Ini seperti disebut di dalam Ma’arij: 11 – 14
يُبَصَّرونَهُم ۚ يَوَدُّ المُجرِمُ لَو يَفتَدي مِن عَذابِ يَومِئِذٍ بِبَنيهِ
Padahal masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain; (pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya daripada azab itu dengan anak-anaknya sendiri,
وَصاحِبَتِهِ وَأَخيهِ
Dan isteri serta saudaranya,
وَفَصِيْلَتِهِ الَّتِيْ تُـْٔوِيْهِۙ
dan keluarga yang melindunginya (di dunia),
وَمَنْ فِى الْاَرْضِ جَمِيْعًاۙ ثُمَّ يُنْجِيْهِۙ
dan orang-orang di bumi seluruhnya, kemudian mengharapkan (tebusan) itu dapat menyelamatkannya.
وَلَا تَنْفَعُهَا شَفَـٰعَةٌ
dan tidak akan memanfaatkan bagi mereka syafaat
Tidak akan bermanfaat syafaat daripada sesiapa sahaja jikalau mereka telah kufur dan rosak akidah. Mereka pun tidak mendapat syafaat walaupun mereka itu telah meminta-minta daripada penyampai syafaat (seperti Nabi Muhammad ﷺ). Jangan salah faham pula, bukanlah syafaat langsung tidak ada, cuma mereka yang mengamalkan syirik tidak akan ada peluang untuk mendapat syafaat. Ia hanya diberikan kepada orang yang layak sahaja. Hanya Allah ﷻ yang menentukan setelah diberikan izin seperti disebut di dalam Yunus: 3
ما مِن شَفيعٍ إِلّا مِن بَعدِ إِذنِهِ
Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkan-Nya.
Banyak manusia yang salah faham tentang syafaat. Umat Islam sekarang ramai yang sangka mereka akan mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad ﷺ. Sebab itu mereka memuja-muja baginda – dengan pujaan ‘ya Hanana’ dan macam-macam lagi. Namun pemujaan mereka itu tidak akan membolehkan mereka mendapat syafaat pun. Ini kerana bukan Nabi ﷺ yang membuat keputusan siapakah yang boleh diberikan syafaat. Sebenarnya Allah ﷻ yang menentukan siapa yang boleh diberi syafaat – Nabi ﷺ hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat itu. Kalau seseorang manusia itu telah melakukan syirik kerana mereka tidak faham apa itu syirik, maka mereka tidak akan langsung ada peluang untuk mendapat syafaat. Orang yang layak sahaja dapat syafaat seperti disebut di dalam ayat Maryam: 87
لّا يَملِكونَ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَنِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا
Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafa’at, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya!
Penerangan lebih lanjut telah kita bincangkan di dalam Baqarah: 48 sebelum ini.
وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ
dan mereka tidak dapat ditolong;
Sekiranya mereka ingkar daripada mengamalkan ajaran Tauhid, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dapat menolong mereka. Golongan Yahudi sangka, mereka golongan terpilih, maka mereka sangka mereka akan diselamatkan. Allah ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, tidak sama sekali mereka akan diberikan pertolongan dari mana-mana arah pun.
Ayat ini lebih kurang sama dengan ayat Baqarah :48 akan tetapi dengan sedikit perbezaan susunan.
وَاتَّقوا يَومًا لّا تَجزي نَفسٌ عَن نَّفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها شَفٰعَةٌ وَلا يُؤخَذُ مِنها عَدلٌ وَلا هُم يُنصَرونَ
Dan peliharalah diri kamu daripada (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikit pun (daripada balasan azab), dan tidak diterima syafa’at daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.
Di dalam ayat 48, didahulukan penyebutan tentang شَفٰعَةٌ sebelum عَدلٌ dan di dalam ayat 123 ini ia terbalik. Kenapa agaknya begitu? Kedua-dua ayat 48 dan 123 berbicara tentang dua jiwa, yakni dua orang. Ada yang menebus dan ada pula yang ditebus. Ada yang menerima dan ada pula yang memberi. Ayat 48 berbicara tentang jiwa yang bermaksud memberi syafa’at, sehingga wajar jika kata syafa’at didahulukan dengan menyatakan, tidak akan diterima daripadanya (pemberian) syafa’at. Jikalau syafa’atnya tidak diterima, maka boleh jadi yang akan memberi syafa’at itu mengajukan alternatif lain, iaitu membayar tebusan. Saat itu, sekali lagi dikatakan kepadanya, “tidak juga tebusan.”
Sebaliknya ayat 123 di atas, yang mendahulukan kata tebusan kerana ia berbicara tentang jiwa yang ingin ditolong (diberi syafa’at). Ini kerana yang bersangkutan bergelimang dosa, maka untuk menyelamatkan diri daripada seksa, dia menyatakan kesediaannya untuk membayar tebusan. Ketika itu, akan diberitahukan kepadanya bahawa tidak akan diterima suatu tebusan pun daripadanya. Setelah ditolak, maka dia akan mencari jalan lain. Dia akan menuju kepada seseorang yang dia anggap dapat memberinya syafa‘at. Maka datanglah pernyataan kedua, bahawa tidak akan berguna syafa’at untuknya. Demikian, terlihat masing-masing ayat menyesuaikan susunan kata-katanya, sejalan dengan konteks yang dibicarakannya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 14 November 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
TafsirWeb
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
