Tafsir Surah Baqarah Ayat 113 (Jangan menghukum orang lain)

Baqarah Ayat 113: Sebelum ini Yahudi dan Nasrani kata hanya mereka sahaja masuk syurga. Sekarang disebut sangkaan sesat mereka yang mereka sahaja yang dapat hidayah. Ayat ini adalah rungutan Allah ‎ﷻ (syikayah) tentang sifat manusia. Iaitu jenis manusia yang rasa dia sahaja yang betul dan orang lain salah. Itulah puak yang ada kebenaran pada mereka, tetapi mereka simpan sendiri dan kemudian rasa hebat. Oleh itu, kita jangan jadi macam mereka.

Maka kalau kita sudah ada ilmu Al-Qur’an, maka kena sebarkan kepada orang lain kerana kita memang kena suka kalau Al-Qur’an disebarkan. Allah ‎ﷻ memang suruh kita sampaikan ajarannya kepada orang lain. Sebab itu kalau orang yang belajar tafsir Al-Qur’an dengan betul, dia tidak duduk diam dan dia pasti akan sebarkan.

Berlainan dengan fahaman agama yang lain. Agama lain suka kalau dipakai oleh satu kumpulan sahaja. Mereka tidak suka kongsi dengan orang lain. Umpamanya ada satu kelompok yang ada satu sistem perniagaan yang bagus. Dia tidak akan berkongsi dengan orang lain sebab nanti ada saingan. Tetapi ini adalah salah kerana agama bukan seperti perniagaan.

وَقالَتِ اليَهودُ لَيسَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ عَلىٰ شَيءٍ وَقالَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ لَيسَتِ اليَهودُ عَلىٰ شَيءٍ وَهُم يَتلونَ ٱلكِتَـٰبَ‌ ۗ كَذٰلِكَ قالَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ مِثلَ قَولِهِم ۚ فَاللَّهُ يَحكُمُ بَينَهُم يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Sahih International

The Jews say “The Christians have nothing [true] to stand on,” and the Christians say, “The Jews have nothing to stand on,” although they [both] recite the Scripture. Thus the polytheists speak the same as their words. But Allah will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ.

Malay

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

 

وَقالَتِ اليَهودُ لَيسَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ عَلىٰ شَيءٍ

Dan berkata orang-orang Yahudi: Tidaklah orang-orang Nasara itu ada asas apa-apa;

Allah ‎ﷻ sekarang hendak membongkar lagi apakah yang berada di dalam hati golongan Yahudi itu. Orang Yahudi hendak mengatakan bahawa orang Nasara tidak berada di atas jalan yang benar. Kalimah عَلىٰ شَيءٍ itu bermaksud mereka sedikit pun tidak betul. Mereka mengatakan yang orang Nasara itu adalah golongan sesat. Mereka hendak kata mereka sahaja yang benar. 

 

وَقالَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ لَيسَتِ اليَهودُ عَلىٰ شَيءٍ

Dan berkata orang-orang Nasara: Tidaklah orang Yahudi itu ada asas apa-apa dalam agama;

Sekarang Allah ‎ﷻ bongkar pula kata-kata Nasara. Mereka pun berkata perkara yang sama juga. Dari sini, kita boleh lihat bagaimana masing-masing mengata puak yang lain tidak betul. Masing-masing sibuk dengan orang lain. Sibuk hendak mengatakan orang lain yang salah dan sesat. Sibuk hendak mencari kesalahan orang lain. Sibuk hendak menyesatkan orang lain.

Padahal, kalau kita lihat ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ telah memperkatakan tentang Muhsin: mereka yang hanya memikirkan tentang diri sendiri. Mereka sibuk dengan usaha membaiki diri sendiri untuk memastikan apa yang mereka buat adalah benar. Bukan hendak sibuk dengan orang lain. Maka kerja kita bukannya hendak sesatkan orang, cari salah orang, katakan diri lebih dari orang. Ini adalah sifat Kibr yang rasa diri lebih dari orang lain. Ia adalah salah satu dari Talbis Iblis. Iblis memang suka kalau kita membanggakan diri dan tengok kelebihan diri sendiri, dan rasa lebih hebat dari orang lain. Maka ini mengajar kita supaya jangan terus menuduh kumpulan lain sesat hanya kerana berbeza pendapat. Kita kena perhatikan apakah hujah mereka, bukti dan dalil yang mereka bawa. Kerana entah apa yang mereka bawa itu benar, maka kena lihat dulu. Jangan jadi golongan bid’ah di negara kita, terus tuduh golongan Sunnah sebagai sesat dan beri gelaran Wahabi tanpa dengar pun dulu penjelasan. Sepatutnya dengarlah dulu hujah-hujah kita yang semuanya dari Al-Qur’an dan Sunnah, syarahan dan pendapat dari ulama’ muktabar (bukan murtabak). Kalau terus tuduh orang sesat tanpa periksa, ini adalah adab Yahudi dan Nasrani (yang mereka juga kutuk).

Begitulah manusia kalau mereka rasa diri mereka yang betul, mereka akan mencari kesalahan orang lain. Ayat ini menempelak orang Yahudi dan Nasrani, tetapi kalau kita pun macam mereka juga – mencari-cari kesalahan orang lain, maka kita pun sama sahaja seperti mereka. Maka ayat ini ditujukan kepada kita juga sebenarnya.

Maka, seperti yang kita telah tahu, agama Nasara dan Yahudi itu adalah agama yang sudah tidak tulen lagi. Maka penganutnya akan berusaha supaya golongan nampak mereka sahaja yang baik dan golongan lain tidak. Ini kerana ia adalah agama yang telah diubahsuai dan sudah tidak mengikut acuan agama yang telah Allah ‎ﷻ berikan. Ini kerana kalau agama yang benar, mereka akan sebarkan agama itu. Tetapi kerana agama itu sudah tidak tulen lagi, akhirnya mereka jadi berpuak-puak dan ada sifat asabiyah. Sama-sama Yahudi dan Nasara kutuk sesama sendiri, rasa diri sendiri yang hebat dan benar. Kalau sifat berpuak memang macam itu kerana setiap puak akan kata puaknya yang paling baik. Lalu akan ada kata mengata.

Masing-masing tuduh pihak yang lain tidak ada asas. Padahal dua-dua puak sepatutnya mengaji kitab wahyu yang ada pada mereka. Sepatutnya mereka ajak mengajak ke arah kebaikan, tetapi sebaliknya mereka kata mengata sahaja. Jadi ini bukan sifat agama Islam. Kalau orang kita buat begini, bermakna orang kita juga sudah meniru sifat buruk dua golongan yang telah sesat itu. Bandingkan dengan para sahabat. Apabila mereka dapat sahaja Al-Qur’an, mereka kongsi dengan orang lain termasuk Yahudi sekali. Mereka tidak simpan untuk diri mereka sahaja. Sebaliknya mereka menjalankan kerja dakwah besar-besaran. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan. Bukankah kita memang kena ikut sunnah para sahabat?

Lihatlah Yahudi dan Nasara itu sebenarnya satu bangsa (Bani Israil) akan tetapi mereka tidak sebulu dan kutuk mengutuk sesama sendiri. Maka jangan peliklah kalau kita satu bangsa Melayu ini pun begitu juga. Kerana sifu kita adalah Yahudi dan Nasrani. Ramai kutuk Yahudi dan Nasrani tapi tak perasan yang kita banyak ikut perangai dan akhlak mereka.

Lihatlah di dalam ayat ini Allah beritahu kita yang Yahudi dan Nasrani tidak bersatu, mereka menolak antara satu sama lain. Tapi perhatikan juga, apabila mereka menentang agama Islam, mereka bersatu. Kerana mereka sedar yang Islam boleh melemahkan kedudukan mereka kerana kita membongkar kesesatan dan kesalahfahaman mereka. Mereka tidak bersatu tapi hanya bersatu apabila mempunyai common enemy iaitu Islam. Mereka sanggup bersekongkol di dalam keadaan begitu. Begitulah kita perhatikan firqah-firqah yang berbeza di kalangan umat Islam, tapi apabila menentang ‘common enemy’ iaitu golongan Sunnah (yang mereka gelar sebagai Wahabi), mereka bersatu. Kita lihat kumpulan Aswaja, Tarekat Sufi, Qadiani, Syiah, GISB, ajaran sesat Suhaini Mohammad (yang kata Nabi Muhammad sebagai Tuhan), dan macam-macam lagi ajaran pelik, semuanya pandai dan laju sahaja menyebut Wahabi dan Wahabi. Ini kerana mereka tahu yang kita kumpulan Sunnah ini akan sentiasa sahaja menegur dan membantah ajaran sesat dan bid’ah mereka. Jadi mereka tidak suka kita tegur, maka walaupun mereka itu firqahnya berbeza, tapi kerana common enemy, mereka sanggup menyatakan perkara yang sama. Begitulah sebagaimana Yahudi dan Nasara bergabung menentang Islam yang benar, begitulah berbagai firqah bid’ah ini menentang kumpulan yang benar (golongan Salafi Sunnah). Ini menjadi bukti bahawa kita di jalan yang benar, sampaikan banyak golongan tidak suka.

Ayat ini mengajar kita supaya jangan label melabel, kafir mengkafir sesama umat Islam. Tapi adakah ini bermakna kita diam sahaja melihat kemungkaran yang dilakukan (seperti ada pihak agama melihat sahaja kemungkaran GISB)? Tidak, kita tidak diamkan tetapi kita mengambil tugas menjalankan amar ma’ruf nahi munkar. Tapi kerja kita bukannya sebagai hakim/qadhi tetapi sebagai pendakwah. Mana yang salah, kita tegur dan perbetulkan. Bukannya kita hendak melabel orang itu sesat, kafir dan sebagainya. Maka kita perhatikan betul-betul hal ini. Jangan kita mengkafirkan orang lain walaupun apa yang mereka buat itu salah. Yang kita kafirkan atau sesatkan adalah ‘amalan’ orang itu, bukannya ‘orang’ itu sendiri. Nampakkah perbezaannya? Kerana orang itu mungkin tidak tahu amalan dan fahamannya sesat atau kufur; maka tugas kita sampaikan sahaja.

 

وَهُمْ يَتْلُونَ ٱلكِتَـٰبَ‌

Padahal mereka masing-masing baca kitab;

Padahal mereka masing-masing ada Kitab Taurat, ada Kitab Injil. Ajaran yang disampaikan di dalam kitab-kitab itu sama sahaja. Kitab dengan kitab tidak bercanggah, tapi pengikut pula yang bercanggah semasa mereka. Begitu juga kita boleh persoalkan: Kalau ada kitab wahyu tapi masih lagi keliru, jadi persoalan yang perlu ditanya: adakah kitab pada mereka benar-benar kitab yang bersumber dari Allah? Kita pun tahu yang kitab yang ada pada mereka bukanlah kita yang asal. Jadi memang tidak pelik kalau mereka jadi keliru.

Untuk kita pula, kita ada Al-Qur’an. Sepatutnya sudah ada ilmu dan panduan, namun malangnya masih lagi keliru. Macam-macam fahaman mengarut yang kita dengar dari dahulu sampailah sekarang. Begitulah kalau ilmu wahyu tidak dipelajari dengan benar. Memang pembelajaran Tafsir Al-Qur’an (mengikut fahaman salafussoleh) masih lagi jauh dari kalangan masyarakat kita. Apabila ada asatizah yang rela hati mengajar (malah dengan percuma), mereka ini dihalang oleh pihak yang berkuasa. Jadi ramai yang tidak tahu apakah yang disampaikan di dalam Al-Qur’an ini. Akhirnya senang sahaja syaitan masukkan fahaman dan akidah pelik-pelik dalam minta masyarakat kita. Jadi akhirnya jadi sama sahaja dengan Yahudi dan Nasrani.

Yahudi kafir kerana menolak Nabi Isa عليه السلام dan tolak kitab Injil. Nasara pula kafir sebab mengangkat Nabi Isa عليه السلام sebagai anak tuhan. Dua golongan ini yang ada kitab dan tidak sepatutnya mereka jadi begitu. Mereka mencari-cari dalam kitab mereka untuk mencari salah orang lain. Yahudi mencari salah orang Nasrani dan orang Nasrani pula mencari salah Yahudi. Macam kita juga, ada yang mencari-cari dalam Al-Qur’an mencari dalil untuk menyalahkan orang lain. Ramai yang hanya minta ayat Al-Qur’an dengan ustaz kerana hendak berdebat dengan golongan lain sahaja (bukannya hendak belajar maksud sebenar ayat itu). Akhirnya kerja  mereka mencari silap orang lain dan rasa diri sudah selamat. Semua orang salah pada mata mereka. Maka, kalau kita begitu juga, kita pun sama macam mereka juga.

Yahudi ada Taurat dan Nasara ada Injil, dan dua-dua kitab itu lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kerana sumbernya sama iaitu Allah, bukan? Maka di sini kita diperli oleh Allah. Kita ada satu kitab sahaja iaitu Al-Qur’an tapi tetap berbalah sesama sendiri. Maka ini adalah penyakit orang yang ada ilmu. Bila ada ilmu, ada pangkat dan kedudukan, maka ramai golongan agamawan akan berbalah. Sampai ke tahap kutuk mengutuk, perli memerli, boikot memboikot dan sebagainya. Orang jahil agama memang buat tak hairan sahaja, tapi orang agama yang berlebih-lebih.

 

كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Begitulah yang telah berkata orang-orang yang tidak tahu;

Terdapat tiga jenis golongan yang disebut dalam ayat ini: Yahudi, Nasrani dan orang yang tidak tahu. Tidak dijelaskan siapakah golongan yang ‘tidak tahu’ itu. Tetapi pendapat yang kuat mengatakan mereka itu adalah orang-orang yang buta huruf, iaitu Musyrikin Mekah. Ini adalah kerana mereka tidak ada kitab, jadi mereka ‘tidak tahu’ ilmu wahyu. Mereka hanya ada ajaran turun temurun daripada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام, namun lama-kelamaan telah hilang daripada mereka kerana mereka banyak membuat amalan bid’ah, reka tambah di banyak tempat. Mereka reka amalan-amalan baru atau mengubah ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام.

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, sama sahaja dengan orang kafir Mekah yang tidak ada kitab. Mereka pun sangka mereka benar. Mereka kata mereka lebih baik daripada Yahudi dan Nasara itu. Mereka kata yang betulnya adalah Parsi sebab Parsi puja jin sebab itu adalah golongan yang mereka sokong.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menyamakan orang yang mencari-cari salah orang lain sebagai orang yang bodoh. Jadi kalau kita mencari-cari dalil dalam Al-Qur’an untuk mencari kesilapan orang lain, maka kita pun dikira orang bodoh juga.

 

مِثْلَ قَوْلِهِمْ

seperti kata-kata mereka;

Mereka pula berkata puak-puak Yahudi dan Nasara pun tidak betul. Mereka kata, mereka yang betul. Sekarang, Syiah pun kata begitu juga. Syiah pun kata mereka yang betul, padahal mereka tidak sedar bahawa ajaran mereka itu adalah ajaran yang sesat. Jadi biasa sahaja golongan yang mengaku mereka sahaja yang benar dan orang lain salah. Perkara ini berlaku turun temurun. Jadi jangan pelik kalau ia sedang berlaku di hadapan mata kita sekarang.

Maka jangan kita terus menjadi orang yang tidak tahu, jahil. Jangan terus jadi orang awam yang pakai ikut sahaja kata-kata orang. Allah banyak menekankan kepentingan mencari ilmu di dalam Al-Qur’an dan Nabi juga banyak menyampaikan kepentingan mencari ilmu. Allah berfirman di dalam Mujadilah:11

يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ

nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat.

Tidak sama antara orang berilmu dan yang jahil seperti disebut di dalam Ra’d:16. Jadi takkan kita hendak terus jadi orang jahil/orang awam?

قُل هَل يَستَوِي الأَعمىٰ وَالبَصيرُ أَم هَل تَستَوِي الظُّلُمٰتُ وَالنّورُ

Katakanlah: “Adakah sama orang buta dan yang dapat melihat, atau samakah gelap gelita dan terang benderang;

Begitu jugalah Allah telah berfirman di dalam Zumar:9

قُل هَل يَستَوِي الَّذينَ يَعلَمونَ وَالَّذينَ لا يَعلَمونَ ۗ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ

Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan jadi orang jahil. Jangan menyesal di akhirat kelak kalau jahil bab agama seperti firman Allah tentang mereka yang sebegitu di dalam Mulk:10

وَقالوا لَو كُنّا نَسمَعُ أَو نَعقِلُ ما كُنّا في أَصحٰبِ السَّعيرِ

Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”.

 

Hadith-hadith Kepentingan Ilmu

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah ‎ﷻ akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah ‎ﷻ , membaca kitab Allah ‎ ﷻ (Al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah ‎ ﷻ akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.
(Riwayat Muslim (4867))

Di dalam hadith yang lain:

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit
(Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad).

Di dalam hadith yang lain:

مَنْ يُرِد اللَّه بِهِ خيْراً يُفَقِّهْهُ في الدِّينِ
“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya Allah akan fahamkan dia dalam urusan agamanya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadith yang lain:

مَنْ خَرَجَ في طَلَبِ العِلْمِ فَهُوَ في سَبيلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ
“Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sehinggalah dia kembali (ke tempat asalnya).”
(Riwayat At-Tirmidzi )
Status: Hasan gharib

Di dalam hadith yang lain:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَبْتَغِي فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَريقًا إِلَى الجَنَّةِ، وَإنَّ المَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ العِلْمِ رِضًا بِمَا يَصْنَعُ
“Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat merendahkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukan oleh penuntut ilmu tersebut.”
(Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah daripada hadith Abu al-Darda’ dengan sanad yang Hasan)

Di dalam hadith yang lain:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
“Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim.”
(Riwayat Ibnu Majah daripada hadi Anas bin Malik. Hadis ini dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz al-Mizzi kerana sanadnya yang banyak)

Di dalam hadith yang lain:

أَلَا إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ
“Ketahuilah, sesungguhnya dunia itu dilaknat dan dilaknat apa yang ada di dalamnya melainkan zikir kepada Allah dan apa yang dicintai oleh Allah, orang alim dan penuntut ilmu.”
(Riwayat At-Tirmidzi daripada hadith Abu Hurairah)
Status: Hasan gharib

Di dalam hadith yang lain:

عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ )) أَخْرَجَه البُخَارِي وَ مُسْلِم
Daripada Muawiyah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: ((Barangsiapa yang dikehendaki Allah ﷻ kebaikan baginya, maka Allah ‎ﷻ akan menjadikan dia faham dalam bidang agama.))
(Sahih Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadith yang lain:

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ )) رواه مسلم
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: ((Apabila matinya seorang anak Adam itu, maka akan terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya (oleh orang lain), atau anak soleh yang mendoakannya.))
(Sahih Muslim)

Di dalam hadith yang lain:

عن أنس رضي الله عنه مرفوعاً: «من خَرج في طلب العلم فهو في سَبِيلِ الله حتى يرجع»
Anas رضي الله عنه meriwayatkan secara marfū’: “Siapa yang keluar dalam rangka mencari ilmu, maka dia berada di jalan Allah sampai ia kembali.”
(Jami’ At-Tirmidzi) Status: Hasan

Di dalam hadith yang lain:

عَنْ كَثِيرِ بْنِ قَيْسٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ أَبِي الدَّرْدَاءِ فِي مَسْجِدِ دِمَشْقَ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا الدَّرْدَاءِ أَتَيْتُكَ مِنْ الْمَدِينَةِ مَدِينَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحَدِيثٍ بَلَغَنِي أَنَّكَ تُحَدِّثُ بِهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَمَا جَاءَ بِكَ تِجَارَةٌ قَالَ لَا قَالَ وَلَا جَاءَ بِكَ غَيْرُهُ قَالَ لَا قَالَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Daripada [Katsir bin Qais] dia berkata; “Ketika aku sedang duduk di samping [Abu Darda رضي الله عنه] di masjid Damaskus, tiba-tiba datang seseorang seraya berkata; “Hai Abu Darda, aku mendatangi anda dari kota Madinah, kota Rasulullah ﷺ kerana satu hadith yang telah sampai kepadaku, bahawa engkau telah menceritakannya daripada Nabi ﷺ! ” Lalu Abu Darda رضي الله عنه bertanya; “Apakah engkau datang kerana berniaga?” Katsir bin Qais menjawab; “Bukan,” Abu Darda رضي الله عنه bertanya lagi, “Apakah kerana ada urusan yang lainnya?” Katsir bin Qais menjawab; “Bukan,” Katsir bin Qais berkata; “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa meniti jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Dan seorang penuntut ilmu akan dimintakan ampunan oleh penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di air. Sungguh, keutamaan seorang alim dibandingkan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka dia telah mengambil bahagian yang sangat besar.”
(Sunan Abu Dawud (219)) Status: Disahihkan oleh Albani

 

فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ ٱلقِيَـٰمَةِ

Maka Allahlah yang akan buat penghakiman diantara mereka pada hari Kiamat;

Allah ‎ﷻ akan menghakimi, iaitu Allah ‎ﷻ akan beritahu siapakah yang betul di antara mereka itu. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita bahawa Dialah Hakim yang sebenarnya, bukan kita. Bukan tugas kita untuk mengatakan siapakah yang benar dan siapakah yang salah. Bukan kerja kita untuk mengkafirkan orang lain. Kita tidak tahu orang itu ahli syurga atau ahli neraka. Tapi kita sudah boleh agak bagaimana keputusan Allah terhadap mereka nanti.

Allah ‎ﷻ sahajalah yang boleh menentukan siapa yang benar. Jadi tidak perlu kita hendak kata orang itu salah, orang itu benar. Jangan mencari-cari dalam Al-Qur’an tentang siapakah yang salah. Jangan sengaja mencari kesalahan orang kerana hendak merendahkan orang lain. Yang kita hendak adalah mencari kebenaran.

Tetapi masalahnya, Allah ‎ﷻ hanya akan beritahu siapa yang benar itu di akhirat nanti. Sudah terlambat untuk berbuat apa-apa lagi pada waktu itu. Waktu itu adalah keputusan ‘amali’ di mana selepas diberitahu siapa yang salah dan benar, yang benar akan masuk syurga dan yang salah akan masuk neraka. Kalau kita baru tahu waktu itu yang kita adalah pihak yang salah, bagaimana? 

Kenapa baru di akhirat baru Allah beri penghakiman? Kenapa tidak di dunia sahaja, bukankah senang begitu? Ini adalah kerana dunia ini adalah ujian. Allah uji siapa yang hendak memilih jalan yang benar. Allah tidak paksa manusia untuk ikut satu-satu jalan. Allah beri pilihan kepada manusia. Akan tetapi di dunia ini sudah diberikan segala macam maklumat kepada kita untuk kita buat keputusan yang benar, seperti wahyu, Nabi, pendakwah, akal dan minda yang sihat, hati nurani yang bersih. Maka gunakanlah segala fakulti yang Allah berikan ini untuk buat keputusan yang tepat. Jangan kita menyesal di akhirat kelak.

 

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

terhadap apa yang mereka selisihkan;

Orang Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah sahaja yang masuk syurga. Iaitu mereka yang mengikut ajaran Al-Qur’an dan sunnah Nabi ﷺ dan mengikut perbuatan para sahabat Nabi ﷺ. Ramai yang tidak tahu maksud Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) itu sendiri.

Ahli Sunnah: mereka yang mengikut sunnah perbuatan Nabi ﷺ. Kalau bukan yang sunnah, bukan yang Nabi  ﷺ ajar, mereka tidak buat.

Wal Jamaah: Jamaah itu bermaksud kumpulan. Tetapi kumpulan siapakah yang dimaksudkan? Ia adalah jamaah atau kumpulan sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Merekalah yang telah dididik sendiri oleh Nabi ﷺ. Merekalah yang tahu bagaimana perbuatan Nabi ﷺ. Maka mereka lebih tahu tentang agama berbanding kita. Bukannya jemaah Melayu atau jemaah Malaysia. Bukan juga melihat siapakah yang paling ramai dalam masyarakat. Kalau majoriti tapi tidak ikut fahaman agama seperti para sahabat pun, tidak laku sebenarnya.

Terdapat banyak dalil yang menyuruh kita ikut fahaman dan amalan para sahabat. Jadi, kita kena tengok apakah perbuatan para sahabat. Adakah mereka melakukan sesuatu amalan itu? Adakah para sahabat mengadakan Majlis Tahlil? Adakah mereka mengadakan Talqin kepada arwah? Adakah mereka berzikir ramai-ramai? Adakah mereka melakukan salat Hajat berjemaah? Adakah mereka mengajar untuk sedekah pahala kepada si mati? Kalau tidak ada, maka itu bukanlah amalan yang sunnah. Jadi kenapa senang hendak mengatakan diri itu dalam ASWJ jikalau tidak memenuhi kriteria ASWJ? Kalau mereka bukan ahli ASWJ, maka mereka ahli kumpulan yang mana? Inilah persoalan yang berat untuk dijawab tapi itulah kebenarannya.

Maka sesiapa yang kata mereka Ahli Sunnah wal Jamaah, tetapi masih berbuat bid’ah, mereka sebenarnya berdusta, kerana mereka bukan ASWJ. Mereka sebenarnya dipanggil Ahli-ahli Bid’ah. Tapi mereka perasan yang merekalah yang ASWJ sampaikan mereka menggelarkan diri mereka Aswaja. Tapi Islam ini bukannya pada nama tapi pada fahaman dan amalan. Allah telah sebut tentang mereka ini dalam ayat 111 sebelum ini:

تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ

Itu adalah angan-angan kosong mereka;

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment