Tafsir Surah Baqarah Ayat 109 – 110 (Konspirasi orang kafir)

TETAPLAH DI ATAS JALAN YANG LURUS

Baqarah Ayat 109: Kalau sebelum ini telah disebut orang kafir tidak suka orang beriman, sekarang disebut yang lebih teruk dari itu; iaitu mengembalikan orang beriman kepada kekafiran. Kalau setakat tidak suka sahaja, ianya dalam bentuk pasif. Tapi kalau sudah berusaha menyesatkan umat Islam, maka ini adalah tindakan yang aktif dan ianya lebih teruk. Maka sekarang Allah terus membongkar isi hati kedengkian golongan Yahudi itu.

وَدَّ كَثيرٌ مِّن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ لَو يَرُدّونَكُم مِّن بَعدِ إِيمَـٰنِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِّن عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ ۖ فَاعفوا وَاصفَحوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

Many of the People of the Scripture wish they could turn you back to disbelief after you have believed, out of envy from themselves [even] after the truth has become clear to them. So pardon and overlook until Allah delivers His command. Indeed, Allah is over all things competent.

Malay

Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ ٱلكِتَـٰبِ

Tersangat ingin banyak daripada ahli kitab itu

Allah ‎ﷻ menceritakan apakah keinginan dan rancangan golongan Yahudi itu terhadap orang Islam. Bukanlah semua kerana Allah sebut كَثِيرٌ, bukannya semua mereka. Dan ia juga bukanlah bermaksud majoriti (kebanyakan) kerana dari sepuluh helai kertas, kalau kita ambil tiga, itu sudah dikira banyak tapi tidaklah majoriti dari helaian kertas-kertas itu. Ramai yang menterjemahkan kalimah كَثِيرٌ sebagai ‘majoriti’ (kebanyakan) dan ini tidaklah kita katakan tepat. Akan tetapi apabila banyak dari kalangan mereka, maka kita kena perhatikan betul-betul perkara ini dan hendaklah kita berjaga-jaga.

 

لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِّنْ بَعْدِ إِيمَـٰنِكُم كُفَّارًا 

kalaulah sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kufur setelah kamu beriman;

Kalimah يَرُدُّونَ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ jamak yang bermaksud ‘mereka mengembalikan‘. Ia dari kata dasar ر د د yang bermaksud menghantar balik, patah ke belakang, menolak, enggan, mengembalikan, ambil balik, ulang. Kerana itu seorang muslim yang keluar Islam digelar sebagai murtad yang diambil dari katadasar ini.

Memang mereka suka kalau umat Islam kembali kafir kerana mereka tidak sukakan Islam. Akan tetapi kehendak mereka ini tidak berjaya kerana ada kalimah لَوْ di dalam ayat ini. Kerana ia memberi isyarat tentang sesuatu yang mustahil terjadi. Ini kerana apabila iman sudah ada, مِّنْ بَعْدِ إِيمَـٰنِكُم, seorang mukmin itu akan tetap di atas imannya dan tidak akan goyah. Jadi mereka tidak akan dapat memurtadkan keseluruhan umat Islam.

Akan tetapi mereka berjaya memurtadkan ramai dari kalangan umat Islam. Dan usaha pemurtadan ini sentiasa sahaja berjalan dari dahulu sampai sekarang, kita sahaja yang tidak perasan. Mereka melakukan berbagai-bagai cara. Kalau tidak dapat murtadkan terus secara zahir, mereka jauhkan umat Islam dari agama yang tidak jauh pun bezanya dengan murtad. Kerana kalau nama sahaja muslim, tapi tidak amalkan Islam dengan sebenarnya, apa guna lagi? Sampaikan ramai yang tidak solat, tidak kenal Al-Qur’an, malah tidak tahu pun agama Islam itu apakebendanya. Cara apa yang mereka guna? Mereka akan jauhkan umat Islam dari Al-Qur’an. Kerana kalau manusia kenal Al-Qur’an, maka mereka akan kuat dengan agama dan tidak senang ditipu. Jadi usaha menjauhkan manusia dari Al-Qur’an memang diguna zaman berzaman dengan cara yang halus seperti disebut di dalam Fussilat:26

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَسمَعوا لِهٰذَا القُرءآنِ وَالغَوا فيهِ لَعَلَّكُم تَغلِبونَ
Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (menghalang mereka dari baca Al-Qur’an)!”

Orang kafir itu menjauhkan umat manusia dari Al-Qur’an dengan memberi mereka dengan perkara-perkara yang melalaikan mereka. Ini boleh jadi dengan filem, muzik dan nyanyian, game, sukan dan macam-macam lagi. Kalau tidak kenal Al-Qur’an, maka banyak perkara lain yang akan nampak lebih menyenang dan melegakan. Jadi sekarang mana satu kegemaran masa lapang anda?

Ayat ini juga adalah kesinambungan daripada ayat sebelum ini tentang pertanyaan-pertanyaan golongan Yahudi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tujuan mereka tanya macam-macam kepada Nabi Muhammad ﷺ itu adalah untuk orang Islam murtad dan kembali kafir. Mereka jadikan banyak isu seperti kekalahan umat Islam di Perang Uhud contohnya, kenapa perubahan kiblat ke Mekah dan banyak lagi isu-isu yang mereka ketengahkan. Mereka hendak umat Islam menjadi sangsi dengan agama Islam. Ini akan terjadi kepada orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri. Mereka tidak mahu belajar agama, atau mereka ada belajar tetapi mencari benda yang memeningkan, macam belajar tarekat. Beginilah juga cara Syiah kacau orang Islam zaman sekarang. Yang keliru adalah mereka yang jahil dengan agama sendiri. Tambahan pula kalau memandai cari maklumat agama di internet tanpa panduan, maka banyaklah fahaman yang pelik-pelik sekarang ini.

Golongan Yahudi itu mengkaji hukum-hukum dalam Islam dengan niat untuk menghentam orang Islam dan agama Islam. Orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri senang menjadi sasaran orang Yahudi. Mereka tahu ada orang Islam yang jahil dengan agama sendiri dan senang untuk ditipu. Mereka akan persoal tentang hukum agama kepada orang Islam sebegitu sampai mereka tidak boleh jawab. 

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita, kenapa golongan Yahudi itu masuk dalam kelompok orang Islam. Tujuan mereka adalah untuk menimbulkan kesangsian terhadap orang Islam. Sebagai contoh, mereka akan persoalkan tentang hukum hudud. Mereka kata bagaimana hukum hudud boleh dikira sebagai hukum yang adil sampai memotong tangan orang yang mencuri? Tidakkah itu ekstrim?! Orang yang tidak tahu apakah hukum dan kepentingan hukum itu, mungkin ada yang termakan dengan persoalan-persoalan yang mereka timbulkan. Maka kita sebagai umat Islam kena perkuatkan ilmu kita dengan agama kita sendiri supaya jangan tertipu dan termakan dengan diayah mereka. Sebagai contoh dalam hal hudud, kita kena belajar apakah hudud itu dan apakah kepentingan dan kebaikan yang ada padanya, dibandingkan dengan hukuman undang-undang rekaan manusia.

 

حَسَدًا مِّن عِندِ أَنفُسِهِم

kerana hasad dengki dari sisi diri mereka sendiri

Mereka hendakkan kita menjadi kafir juga macam mereka. Kenapa? Kerana dengki. Kalimah حَسَدًا adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘dengki’, ‘cemburu’. Ia dari kata dasar: ح س د yang bermaksud dengki, cemburu, dendam. Jadi hasad itu bermaksud dengki, tapi orang Melayu gabungkan sekali jadi ‘hasad dengki’ sedangkan kalau sebut salah satu sahaja sudah cukup. Dengki itu adalah perasaan yang buruk dalam diri apabila ada orang lebih baik dari kita.

Dan dengki itu datang dalam diri mereka sendiri yang bermakna kedengkian itu besar dan kuat. Mereka tidak mahu orang Islam maju kerana kalau Muslim maju, mereka dengan sendirinya akan mundur. Bayangkan kalau Islam tersebar menyeluruh segenap dunia ini. Bukankah dalam Al-Qur’an dan kitab-kitab Islam yang lain akan menyebut bagaimana Yahudi itu tidak boleh dipercayai? Teruklah mereka kalau begitu. Bayangkan perkara ini disebut dalam bahagian Surah Baqarah yang awal pula. Maknanya awal-awal lagi Allah ‎ﷻ sudah beritahu perangai mereka kepada pembaca Al-Qur’an. Maka, mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjatuhkan Islam kerana hendak menjaga pengaruh mereka dalam dunia ini.

Memang penyakit dengki ini adalah penyakit yang amat bahaya dan susah untuk dihilangkan. Dan mungkin kita sendiri tidak sedar yang kita ada sifat ini jikalau kita tidak berhati-hati. Ianya memakan diri kita dan akan merosakkan kita kalau ia ada pada kita. Sabda Nabi,

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.
Sunan Abi Dawud (4903)

Allah mengatakan di sini dengki itu مِّن عِندِ أَنفُسِهِم kerana perasaan hasad dengki itu ada dalam diri mereka, bukannya datang dari Allah. Kerana ada sahaja dengki yang dari Allah dan baik kalau ada seperti disebut di dalam satu hadis,

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.
Sahih al-Bukhari (73)

Tapi bukan itu yang berlaku dalam hati golongan Yahudi itu. Hati mereka busuk dengan kebencian kepada umat Islam dan agama Islam. Hati mereka sendiri yang ada masalah sebenarnya. Sekarang Allah ‎ﷻ telah membongkar perasaan mereka itu dan menjadi pengajaran kepada kita. Apa yang mereka dengki sangat? Kerana umat Islam dapat Al-Qur’an. Akan tetapi kita yang dapat Al-Qur’an ini buat tak tahu sahaja dengan Al-Qur’an ini. Memang kebanyakan dari kita tidak tahu diuntung.

 

مِّنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ

selepas telah nyata bagi mereka kebenaran;

Iaitu setelah nyata kebenaran Al-Qur’an kepada mereka. Jadi mereka ini bukannya tidak tahu kebenaran, tapi mereka kenal sangat. Mereka ini bukanlah ‘kafir jahil’ tapi ‘kafir degil’. Mereka tahu Al-Qur’an itu adalah benar, tetapi kerana Al-Qur’an itu diturunkan kepada selain dari golongan mereka, maka mereka tidak berpuas hati dan dengki, maka mereka tidak boleh terima.

Mereka buat semua ini setelah jelas pada mereka yang mereka adalah golongan yang salah. Mereka sudah tahu kebenaran, tetapi tidak mahu ikut kerana hasad dalam diri mereka dan kerana kedegilan mereka. Jadi ini adalah peringatan kepada umat Islam, jangan berharap sangat untuk menginsafkan mereka kerana mereka ini bukannya tidak tahu, tapi degil.

 

فَاعْفُوا

Maka kamu maafkanlah;

Pernyataan Allah di atas yang amat tegas dan tidak berselubung itu, mungkin mengundang sebahagian kaum muslim untuk bertindak tidak baik, paling  tidak, boleh jadi ada yang berniat hendak membalas dendam. Iri hati dibalas dengan iri hati yang serupa. Mungkin juga ada yang ingin menganiaya atau mencerca mereka, atau terhadap agama mereka sebagaimana yang mereka  lakukan terhadap kaum muslim. Maka di sini Allah ‎ﷻ memberi nasihat supaya jangan begitu tapi Allah suruh kita maafkan mereka.

Kalimah اعفُوا adalah dalam bentuk fi’il amr jamak dan ia bermaksud ‘kamu maafkanlah‘. Ia dari kata dasar ع ف و yang bermaksud memaafkan, banyak, melepasi, melupakan, membesar, berganda, menghapuskan semua kesan, beri lebih dari yang sepatutnya. Dari kalimah inilah yang jadi kalimah ‘maaf’ di dalam bahasa kita. Maksudnya jangan pedulikan mereka kerana mereka itu bodoh. Lapangkanlah dada itu dan biarkan sahaja apa yang mereka hendak buat. Kata yang sama digunakan oleh Allah ‎ﷻ dalam kita bersikap kepada ahli keluarga kita. Sementara belum datang perintah Allah ‎ﷻ untuk memerangi mereka, biarkan sahaja mereka.

Cuma mungkin pelik bagi kebanyakan orang, kenapa kena maafkan kesalahan orang lain? Bukankah apa yang mereka lakukan itu salah? Inilah yang berlaku jikalau tidak faham makna maaf. Memaafkan bukanlah kita mengatakan perbuatan mereka itu benar, atau kita membebaskan mereka dari kesalahan. Tidak sama sekali. Salah tetap salah, akan tetapi kita hendak membebaskan diri kita dari orang yang melakukan kesalahan terhadap kita. Ini kerana kalau kita menyimpan dendam dan marah, yang sakit adalah kita. Maka kerana itu Allah hendak membebaskan umat Islam dari menanggung perasaan berat hati terhadap golongan kafir itu. Cuma memang ramai tidak faham istilah maaf ini. Kerana itulah ramai tidak dapat menerima pernyataan maaf Dato’ Seri Najib telah penglibatan beliau di dalam skandal 1MDB. Ramai sangka memaafkan itu bermaksud membebaskan beliau. Sebenarnya tidak pun. Kerana itu jawapan PMX benar. Beliau terima pernyataan maaf itu akan tetapi proses kehakiman kena terus berjalan seperti yang sepatutnya.

 

وَاصْفَحُوا

dan biarkanlah mereka;

Jangan terus hukum mereka lagi. Jangan buat apa-apa lagi terhadap mereka. Kalimah اصفَحُوا adalah dalam bentuk fi’il amr jamak dan ia bermaksud ‘biarkanlah’ atau ‘lupakanlah’. Ia dari kata dasar: ص ف ح yang bermaksud memaafkan, melupakan, mengelak, berpaling, menolak, menangguh. Berpalinglah dari mereka dan tidak payah tumpukan perhatian kepada mereka. Teruskan seperti biasa iaitu terus ajak mereka ke jalan Allah ‎ﷻ. Bukanlah lama mereka boleh lakukan kerja bodoh itu, lama kelamaan berhentilah mereka. Kalau kita layan mereka, lagi mereka akan suka kerana dapat mengganggu fikiran kita.

Ayat ini juga memuji iman para sahabat waktu itu. Allah boleh suruh mereka maafkan dan berpaling itu kerana memang para sahabat waktu itu ada kekuatan untuk melakukannya. Mereka dapat menahan diri mereka kerana kekuatan mental yang ada pada diri mereka. Kalau zaman sekarang, tak tahulah. Kerana umat Islam asyik melenting sahaja. Kalau ada kena jentik sikit, sudah melenting bagai orang gila.

 

حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ

sehingga datang keputusan Allah;

Biarkan mereka sehingga datang keputusan yang lain daripada Allah ‎ﷻ. Iaitu apabila datang arahan perang jihad fisabilillah dengan mereka. Selagi belum dikeluarkan perintah jihad, maka kena teruskan urusan berdakwah kepada mereka dan bergaul dengan mereka, sambil jangan hiraukan kata-kata mereka itu.

Maka bukanlah berterusan kita biarkan mereka. Tunggu sehingga Allah ‎ﷻ datangkan undang-undang baru tentang perintah jihad. Di sini sudah ada isyarat yang Allah akan turunkan perintah untuk menangani masalah dengan golongan Yahudi dan Musyrikin itu tidak lama lagi. Surah Baqarah ini adalah surah yang mula-mula di Madinah dan waktu itu belum boleh berperang lagi. Jadi jangan bergaduh dengan puak-puak Yahudi itu sehinggalah datang masa yang sesuai. Dan perintah jihad datang selepas ayat ini seperti Tawbah:5

فَاقتُلُوا المُشرِكينَ حَيثُ وَجَدتُموهُم وَخُذوهُم وَاحصُروهُم وَاقعُدوا لَهُم كُلَّ مَرصَدٍ
maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu di mana saja kamu jumpai mereka, dan tangkaplah mereka. Kepunglah mereka dan intailah di tempat pengintaian.

Oleh itu, beri masa untuk bersabar. Sampai nyata yang Yahudi itu memang jenis tidak mengikut kitab mereka sendiri. Memang tidak perlu tunggu lama kerana Yahudi itu memang jenis akan menampakkan kesalahan mereka di khalayak ramai nanti. Nanti akan sampai masa apabila Allah turunkan ayat untuk menghalau orang Yahudi dari Madinah. Maka umat Islam diberitahu yang tidak bolehlah terus berperang dengan mereka. Tambahan pula di Mekah umat Islam sudah berbalah dengan puak Quraish. Jangan pula di Mekah berbalah dengan puak Yahudi. Nanti orang luar boleh kata yang Islam ini jenis berbalah sahaja.

Maka kena bersabar dan duduk dahulu setahun dengan aman di Madinah dan buat perjanjian dengan puak Yahudi itu. Tetapi akhirnya akan diketahui yang mereka itu akan pasti mungkir janji. Maka waktu itu nanti tidaklah Islam dipersalahkan kerana waktu itu semua orang sudah tahu perangai mereka. Kalau sekarang, kita kena tunggu sehingga umat Islam ada kekuatan semula. Sekarang kita amat lemah dan tidak dapat hendak buat apa-apa kepada golongan Yahudi ini. Kita lemah pun kerana kita jauh dari wahyu.

 

إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu itu berkuasa sungguh.

Jangan takut yang perasaan dengki mereka itu akan memudharatkan kita. Allah ‎ﷻ yang berkuasa atas segala sesuatu. Allah ‎ﷻ akan menjaga kita dari mereka. Walaupun mereka berniat tidak baik kepada umat Islam, tetapi mereka tidak dapat menghancurkan Islam. Maka kita kena serahkan urusan kita kepada Allah ﷻ.

Allah memberi isyarat di sini akan sampai masa yang umat Islam akan membalas kejahatan yang telah dilakukan oleh golongan kafir itu. Mungkin ada kerisauan di hati para sahabat pada waktu itu kerana mereka sedar tentang kelemahan mereka. Akan tetapi di sini Allah menegaskan yang Dia yang berkuasa, Dia mampu buat apa sahaja. Termasuk memenangkan umat Islam. Jadi bergantunglah kepada Allah, serahkan urusan kepada Allah.

Allah boleh bantu umat Islam yang bertaqwa. Kemenangan demi kemenangan yang telah diberikan kepada para mujahideen di dalam jihad-jihad menentang tentera kufur adalah atas bantuan Allah walaupun mujahideen ketika itu tidak ramai dengan kelengkapan yang kurang; berhadapan pula dengan musuh yang maju seperti Parsi dan Rom. Perlu ditekankan adalah kemenangan itu diberikan kepada para mujahideen kerana mereka itu kumpulan yang bertaqwa. Dan tentulah antara syarat taqwa itu adalah berpegang dengan Al-Qur’an. Kalau sekarang memanglah kita lemah kerana Al-Qur’an telah lama ditinggalkan. Kerana itulah orang kafir jauhkan umat Islam dari Al-Qur’an. Kalau sekarang ini baca pun ramai merangkak lagi, apatah lagi untuk memahami ajaran Al-Qur’an itu sendiri. Tapi kita kenalah mulakan dari sekarang, belajar perlahan-lahan dan sampaikan kepada seramai mungkin. Semoga Allah mudahkan urusan umat Islam mengenal Al-Qur’an yang mulia ini.


 

Baqarah Ayat 110: Ayat ini adalah Jawab Syubhah kepada persoalan apakah yang perlu dilakukan terhadap tindakan golongan kafir di dalam ayat sebelum ini. Untuk meredam keinginan membalas dendam terhadap puak Yahudi itu, Allah memerintahkan umat Islam untuk fokus kepada ibadah. Ini kerana kalau kita disibukkan dengan benda yang berfaedah, tidaklah fikir sangat tentang apa yang bermain-main dalam kalbu. Begitulah juga keadaannya semasa para sahabat di Mekah dahulu. Semasa di Mekah, sahabat-sahabat Nabi ﷺ sentiasa meminta supaya mereka diberikan kebenaran untuk berjihad menentang Quraish yang menyeksa mereka. Tetapi Allah ‎ﷻ jawab jangan lagi balas tindakan jahat mereka, sebaliknya dirikanlah salat dan keluarkanlah zakat.

Tetapi zakat dalam bentuk mengeluarkan harta, hanya difardhukan di Madinah. Oleh itu, ada pendapat yang mengatakan yang zakat di Mekah adalah zakat jiwa, iaitu sahabat disuruh membersihkan jiwa dari syirik kepada Allah ‎ﷻ. Apabila sampai di Madinah, zakat yang didirikan adalah zakat harta. Iaitu membersihkan harta dari sumber yang tidak bersih. Maka, apabila disebutkan zakat, kena tengok di manakah ayat itu diturunkan.

Ayat ini juga adalah jenis Umur Muslihah – أمور مصلحة iaitu tentang amalan-amalan yang perlu dilakukan untuk membaiki diri. Ini penting kerana dalam kita hendak mendidik dan dakwah kepada masyarakat dan orang kafir, kita kenalah baiki diri kita sendiri.

وَأَقيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّڪَوٰةَ‌ۚ  وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِّن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Sahih International

And establish prayer and give zakah, and whatever good you put forward for yourselves – you will find it with Allah. Indeed, Allah of what you do, is Seeing.

Malay

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

 

وَأَقِيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ

Dan dirikanlah solat;

Semasa di Mekah, sahabat dirikan salat berjemaah di rumah seorang sahabat yang bernama Arqam رضي الله عنه. Mereka hanya boleh salat berjemaah di situ sahaja kerana mereka tidak boleh untuk pergi ke Kaabah kerana dihalang oleh Musyrikin Mekah. Tidak pasti bagaimana mereka salat pada waktu itu kerana belum lagi mendapat syariat salat ketika itu iaitu sebelum Nabi ﷺ isra’ mi’raj. Mereka mungkin salat memakai saki baki syariat Nabi Ibrahim عليه السلام. Memang ada lagi saki baki amalan syariat yang telah diajar oleh Nabi Ibrahim عليه السلام yang masih lagi diamalkan di kalangan masyarakat Arab waktu itu. Kebanyakannya telah ditukar setelah sekian lama, tetapi ada lagi yang mereka amalkan lagi.

Antara maksud dirikan salat adalah: hubungan manusia dengan Allah ‎ﷻ hendaklah didirikan dan dijaga. Maka kena belajar betul-betul cara melakukan salat dengan betul dan ikut seperti sunnah yang Nabi telah ajar. Ini adalah perkara pertama yang akan ditanya di akhirat kelak, tapi malangnya ramai yang masih ada masalah lagi dengan ibadah yang utama ini.

Maka di sini menjadi pengajaran kepada kita bahawa ibadah solat ini penting untuk menjadi benteng dari dikafirkan oleh orang kafir. Selepas disebut tentang usaha orang kafir untuk mengembalikan umat Islam kepada kufur, sekarang Allah ingatkan untuk solat sebagai penguat diri dan rohani kita. Jaga solat setiap hari, dirikan solat berjemaah supaya kekuatan umat Islam terus utuh. Walaupun mereka belum mampu membalas kejahatan yang telah dilakukan oleh orang kafir itu, jangan sangka ibadah solat itu tidak penting. Kerana untuk mendapat pertolongan dengan Allah di dalam berhadapan dengan musuh kita, kita hendaklah kuatkan hubungan dengan Allah dan inilah pentingnya solat dijaga. Kalau solat pun masih lambat dan culas lagi, bagai melepaskan batuk di tangga sahaja, jangan haraplah kita boleh kalahkah musuh. Sebab itu kes Palestin berpuluh tahun kita tidak boleh buat apa-apa pun. Kalau buat bancian sekarang siapakah yang menjaga solatnya dengan sempurna, entah berapa peratus sahaja yang menjaganya.

Kekuatan umat Islam adalah pada solat. Kerana itulah di peringkat awal lagi Rasulullah diperintahkan untuk berhadapan dengan Musyrikin Mekah, perkara pertama yang baginda kena amalkan adalah mendirikan solat malam. Kerana itulah baginda dapat berhadapan dengan mereka walaupun tekanan kepada mereka amat kuat. Arahan itu terdapat di dalam Muzzammil:1-3

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ
Wahai orang yang berselimut!

قُمِ اللَّيلَ إِلّا قَليلًا
Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa

نِصفَهُ أَوِ انقُص مِنهُ قَليلًا
Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

Jadi solat yang bagaimana yang kita kena jaga itu? Dalam hal ini kita kena ingat sabda Rasulullah,

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
“Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”
Riwayat al-Bukhari (631)

Kerana itu solat memerlukan ilmu, iaitu ilmu belajar bagaimana cara Nabi solat. Kerana itu ada kitab dan kursus Sifat Solat Nabi. Kerana kita mahu kembali kepada cara Nabi sendiri solat, bukannya yang ditambah-tambah dan direka-reka oleh manusia. Kita mungkin sangka solat kita sudah diterima, tapi bagaimana kita boleh yakin yang ia akan diterima kalau ada perkara yang ditokok tambah? Sebagai contoh, ditambah lafaz niat, ditambah sapu muka selepas solat dan lain-lain lagi. Semua ini sudah biasa masyarakat Melayu kita lakukan sampaikan ramai sangka itulah cara solat yang betul. Maka jangan lagi setakat pakai sahaja cara solat yang belajar masa di Sekolah Rendah dulu, tapi naiktaraflah cara solat anda. Teruskan belajar walaupun dalam perkara yang kita sangka kita sudah tahu seperti solat ini.

 

وَءَاتُواْ ٱلزَّڪَوٰةَ‌ۚ

dan keluarkanlah zakat;

Sebelum ini disebut tentang sikap orang kafir terhadap kita dan pada peringkat permulaan, kita disuruh untuk memaafkan mereka dan bersikap sabar. Dalam bersabar dan tidak membalas kejahatan mereka terhadap kita, maka hendaklah kita melakukan ibadah. Kita hendaklah menguatkan dalaman kita dahulu. Kita kena isi kekuatan ruhaniyah kita sebelum diarahkan untuk berjihad. Kerana kalau berjihad tapi kekuatan ruhaniyah tidak ada, maka itu bahaya bagi kita.

Ini adalah mendirikan hubungan antara manusia. Kerana untuk berhadapan dengan musuh yang hendak memusnahkan Islam, memerlukan juga kekuatan masyarakat, komuniti dan perpaduan umat. Inilah yang tidak ada sekarang di kalangan umat Islam, maka kerana itu kita lemah. Tidak ada perpaduan di antara kita sebenarnya kerana bercakaran. Dan kekuatan masyarakat dididik di dalam ibadah zakat. Kerana ia mengajar yang kita adalah satu komuniti yang bantu membantu sesama sendiri. Yang lemah dibantu dan tidak disisihkan dari masyarakat.

Maka dari ini kita belajar yang kena seimbang antara hablu minallah dan hablu minannas. Maka kena belajar fiqh zakat, jangan langsung tidak apa itu zakat. Jangan sangka zakat itu zakat fitrah yang diberi semasa Ramadhan sahaja. Ramai masyarakat kita jahil tentang perkara itu. Jadi mereka culas dalam bab bayar zakat.

Salat dan zakat disebut dalam ayat ini sebagai contoh ibadah dan amalan yang besar. Tetapi bukanlah hanya dua perkara ini sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Ia disebut sebagai mewakili segala rukun Islam yang perlu dipenuhi. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru tahu keseluruhan agama. Jangan ambil sedikit-sedikit sahaja.

 

وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِّنْ خَيْرٍ

Dan apa sahaja yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu;

Yang ‘didahulukan’ adalah ibadat-ibadat yang kita hantar kepada Allah ‎ﷻ. Maksudnya: melakukan amal-amal yang soleh. Dan Allah gunakan kalimah مِّنْ خَيْرٍ di dalam bentuk nakirah (umum) yang merujuk kepada apa sahaja ibadah dan amalan baik. Maka jangan pandang rendah amal kebaikan yang mungkin dipandang remeh seperti senyum. Rasulullah telah bersabda,

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ
Dari Abu Dzar dia berkata; Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepadaku: “Janganlah kamu menganggap remeh sedikit pun terhadap kebaikan, walaupun kamu hanya bermanis muka kepada saudaramu (sesama muslim) ketika bertemu.”
Sahih Muslim (4760)

Al-Imam Ibnul Mubarak Rahimahullah berkata:

رُبَّ عَمَلٍ صَغِيرٍ تُعَظِّمُهُ النِّيَّةُ ، وَرُبَّ عَمَلٍ كَبِيرٍ تُصَغِّرُهُ النِّيَّةُ
“Berapa banyak amalan kecil, akan tetapi menjadi besar kerana niat pelakunya. Dan berapa banyak amalan besar, menjadi kecil kerana niat pelakunya”

Rasulullah juga pernah bersabda,

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ
Dari [Adi bin Hatim] dari Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, beliau bersabda: “Selamatkanlah dari Neraka walaupun hanya dengan sebelah kurma. Jika tidak kalian dapatkan, maka dengan perkataan yang baik.”
Sahih Bukhari (1598)

Dari segi perkataan, تُقَدِّمُوا bermaksud ‘menghantar ke hadapan’. Amalan-amalan yang kita lakukan di dunia ini adalah untuk pakai di akhirat kelak. Maka kita ‘hantar’ ia dahulu ke hadapan dan kita akan bertemu nanti dengan ibadah kita itu yang menanti  kita di sana. Malah Allah telah terlalu murah menggandakan segala amalan kebaikan kita menjadi sepuluh kali ganda sekurang-kurangnya seperti disebut di dalam An’am:160

مَن جَآءَ بِٱلحَسَنَةِ فَلَهُ ۥ عَشرُ أَمثَالِهَا‌ۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجزَىٰٓ إِلَّا مِثلَهَا وَهُم لَا يُظلَمُونَ
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun).

 

تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ

tentulah kamu akan mendapat balasan pahala dari Allah;

Allah ‎ﷻ akan simpan pahala kita dan akan membalas amalan kita itu dengan kebaikan. Ia tidak akan hilang. Bila kita di akhirat nanti, kita akan bertemu dengan amalan-amalan kita itu. Allah ﷻ akan balas berkali-kali ganda dari apa yang kita telah lakukan. Harta yang kita keluarkan zakat dan infak akan menunggu kita di akhirat. Ia akan menjadi harta kita yang sebenarnya. Kalau harta yang kita tinggalkan di dunia ini, ia akan menjadi hak milik orang lain. Akan tetapi harta yang kita infak di jalan Allah akan menjadi harta kita yang sebenar.

Maknanya kita akan bertemu pahala amalan-amalan kita sendiri. Bukannya pahala orang kirim pada kita. Maknanya kita kena bergantung kepada amalan kita, bukannya berharap pahala sedekah dari orang lain. Masyarakat kita sibuk bertanya bagaimana hendak sedekah pahala. Ini adalah kerana masih ada mentaliti subsidi dari zaman penjajah dulu. Sampai bab pahala pun orang kita masih lagi berharap subsidi dari orang lain seperti Majlis Tahlil, sedekah bacaan Al-Qur’an dan macam-macam lagi. Di dalam ayat ini, Allah menegaskan buatlah amalan itu sendiri, nanti kamu akan jumpa pahala amalan kamu itu.

Allah sebut pahala itu عِنْدَ اللَّهِ di sisiNya. Ini bermakna Allah yang akan membalas pahala itu. Hadiah yang kita dapat bergantung juga kepada siapa pemberinya. Kalau orang kaya beri, lain dengan orang biasa beri; bagaimana kalau raja yang beri? Tentulah hebat, bukan? Bagaimana pula Raja segala raja yang beri? Tentulah ia sesuatu yang amat-amat hebat. Tidak ada tandingan di dalam pemberian ini.

 

إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Allah terhadap apa yang kamu lakukan, Maha Melihat;

Allah ‎ﷻ sentiasa melihat apakah yang kita lakukan. Apabila Allah ﷻ lihat, maknanya Allah ﷻ akan balas segala perbuatan itu. Allah ‎ﷻ tahu sama ada perbuatan kita itu adalah ikhlas ataupun tidak. Sama ada harta yang kita keluarkan itu adalah haram ataupun tidak. Atau harta itu telah bercampur antara sumber yang halal dan haram. Allah ‎ﷻ lihat semuanya.

Apakah kaitan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana orang Yahudi itu dengki dengan kita. Kalau seseorang dengki dengan seseorang, ada kemungkinan mereka akan berbuat sesuatu untuk menjatuhkan kita, untuk memudharatkan kita dan sebagainya. Memang ada kemungkinan itu. Tetapi Allah ‎ﷻ juga sudah kata bahawa Dia Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada orang Islam supaya tidak payah fikir banyak pasal Yahudi. Kita kena jaga hal kita. Memang mereka ada masalah tetapi kita kena jaga diri kita. Segala niat jahat mereka tidak akan terjadi tanpa kebenaran dari Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita tentang apakah yang lebih penting daripada memikirkan tentang mereka. Jangan fikirkan tentang apa yang mereka akan buat terhadap kita. Itu semua dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Yang penting adalah kita kena terus beramal ibadat dan menjaga amal ibadat kita.

Mungkin ada yang kata, kalau umat Islam tidak jihad dan lawan mereka pada waktu itu, maka lemahlah kita. Tetapi Allah ‎ﷻ sudah suruh umat Islam untuk tunggu sahaja. Sama juga dengan waktu sekarang. Memang ada hukum jihad, tetapi sebenarnya jihad kena ada syarat. Contohnya, kena ada Khalifah seluruh dunia untuk keluarkan arahan jihad. Lihatlah bagaimana sejarah peperangan Badr. Setelah tertegaknya Islam selama 15 tahun, sudah ada perkara yang boleh dicontohi, barulah dikeluarkan perintah jihad kepada umat Islam waktu itu. Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang masa yang sesuai akan tiba. Sementara itu, ambil peluang untuk membuat amal yang boleh mendatangkan pahala.

Jadi ini termasuk juga apalah sikap kita terhadap teori konspirasi yang selalu kita terbaca di sana sini. Berbagai-bagai teori kita dengar. Tapi selalunya memang susah untuk dipercayai kerana tidak ada bukti-bukti. Baiklah, kalau pun ia benar ada, apa yang kita boleh lakukan? Tidak ada apa. Yang penting kita kena jaga ibadah kita, lakukan apa yang patut kita lakukan dan lebih dari itu, kita serah sahaja kepada Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 109 – 110 (Konspirasi orang kafir)”

  1. Assalam nak tahu siapa penulis celiktafsir ini? So far baru baca beberapa ayat2 …. saya rasa cara tulisan yang mudh difahami dan ada kaitkan dgn isu isu terkini , sangat memberi kesan bila dibaca . Tahniah, Pn Ainie

    Like

  2. Alhamdullilah syukur pada Allah SWT terima kasih Ya Allah, terima kasih kpd penulis celik tafsir ini, alhamdullilah saya dapat memahaminya, masya Allah

    Like

Leave a reply to Roaaini Mohd Nayan Cancel reply