Baqarah Ayat 93: Allah ﷻ memberitahu sebab kenapa mereka tidak patut menolak wahyu dan kenapa mereka ada masalah dengan wahyu Al-Qur’an. Sepatutnya mereka tidak ada alasan untuk menolak Al-Qur’an yang dibawa oleh Nabi Muhammad kerana:
1. Kerana wahyu itu adalah yang haq dari Allah ﷻ.
2. Membenarkan akidah seperti apa yang ada dalam kitab mereka (Taurat).
3. Allah telah mengecam perbuatan tok nenek mereka yang membunuh para Nabi yang ajar wahyu. Mereka sepatutnya takut dengan apa yang telah difirmankan Allah ini. Nabi Muhammad ﷺ pun mereka cuba bunuh kerana mereka telah pernah racun Nabi yang menyebabkan kematian Nabi.
4. Mereka sendiri tahu bagaimana umat mereka telah pernah diselamatkan dari Firaun pada zaman Nabi Musa عليه السلام dan mereka telah diberi dengan berbagai nikmat-nikmat lain.
5. Allah mengingatkan yang setelah Taurat diberikan kepada mereka pun, mereka tolak juga. Maka mereka diingatkan di dalam Al-Qur’an ini supaya jangan buat tindakan yang sama.
Kita akan baca sekarang bagaimana mereka menolak Taurat kitab mereka sendiri. Iaitu mereka tidak beramal dengannya. Lepas gunung diletakkan tepi sahaja (setelah diangkat ke atas mereka) mereka telah tolak. Ini kerana mereka amat kasih kepada patung anak lembu sebab ia nampak pelik pada mereka. Mereka ada perasaan itu kerana mereka ada sifat kekufuran mereka yang lama.
وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰڪُم بِقُوَّةٍ وَاسمَعوا ۖ قالوا سَمِعنا وَعَصَينا وَأُشرِبوا في قُلوبِهِمُ العِجلَ بِكُفرِهِم ۚ قُل بِئسَما يَأمُرُكُم بِهِ إِيمَـٰنُكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
And [recall] when We took your covenant and raised over you the mount, [saying], “Take what We have given you with determination and listen.” They said [instead], “We hear and disobey.” And their hearts absorbed [the worship of] the calf because of their disbelief. Say, “How wretched is that which your faith enjoins upon you, if you should be believers.”
Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):” Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”.
وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَكُم
Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian dengan kamu;
Ini adalah kisah bagaimana Nabi Musa عليه السلام telah membawa 70 orang wakil puak Yahudi mengikutinya ke atas Bukit Thursina. Mereka naik mengikut Nabi Musa عليه السلام itu adalah untuk melihat cara Kitab Taurat diturunkan. Mereka kemudian dimatikan kerana mereka minta hendak lihat Allah ﷻ secara nyata. Kemudian mereka telah dihidupkan semula selepas Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ untuk menghidupkan mereka semula. Ini telah diceritakan dalam Surah Baqarah ini juga.
Apabila mereka mati dan telah dihidupkan semula, tentulah mereka percaya dan beriman dengan Nabi Musa عليه السلام. Apabila mereka beriman, maka mereka telah menceritakan apa yang terjadi kepada orang-orang yang tidak naik sekali dengan mereka. Orang-orang Yahudi yang di bawah bukit tidak mahu percaya kepada mereka. Ini kerana mereka kata wakil-wakil itu telah berpakat dengan Nabi Musa عليه السلام untuk menipu mereka. Oleh kerana itu mereka tidak mahu percaya.
وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ
dan Kami angkat Bukit Thur atas kepala kamu;
Apabila mereka tidak mahu percaya, Allah ﷻ telah angkat Bukit Thursina atas mereka. Kalau mereka tetap tidak beriman, Allah ﷻ akan hempapkan bukit itu ke atas mereka. Setelah diangkat Bukit Thur ke atas kepala mereka dan diancam, barulah mereka berjanji untuk taat. Kisah ini telah pernah disebut di dalam ayat 63 cuma di dalam ayat 93 ada penambahan maklumat tentang sikap mereka.
وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.
Ayat 63 menceritakan ketidaksetiaan mereka kepada janji mereka dan di dalam ayat 93 ini mengandungi bantahan kepada mereka. Memang kadangkala ayat-ayat ada yang diulang, nampak seperti agak sama, tapi pengajaran yang hendak dibawa berlainan melihat kepada sudut yang lain.
Di sini kita melihat perbuatan Allah mengangkat bukit itu bukanlah dalam rangka memaksa mereka beriman, tapi kerana kasih sayangnya Allah kepada makhlukNya. Ini seperti ayah yang mengancam rotan kepada anak yang tidak mahu makan ubat yang diperlukannya. Adakah ayahnya itu mengancam kerana benci kepada anak? Tentu tidak! Maka sayangnya Allah kepada makhlukNya, Dia telah melakukan berbagai-bagai cara untuk mengajak mereka beriman.
خُذُوا مَاءَاتَينَـٰڪُم بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُوا
Peganglah dengan bersungguh apa yang Kami berikan kepada kamu dan kamu dengarlah;
‘Dengar’ ini bermaksud dengarlah kepada guru yang mengajar Kitab Taurat. Dengarlah nasihat yang disampaikan kepada mereka. Dan kepada mereka yang datang setelah Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, hendaklah dengar wahyu yang baginda sampaikan. Memang ilmu agama ini kita kena tadah telinga untuk menerimanya. Kena luangkan masa dan fokus belajar, barulah ilmu akan masuk. Tidaklah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Kena dengar dan terima dengan hati. Jangan jadi seperti orang munafik seperti disebut di dalam Anfal:21-22
وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ
dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengarkan.
إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الصُّمُّ البُكمُ الَّذينَ لا يَعقِلونَ
Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.
Jadilah seperti orang Mukmin seperti disebut di dalam Baqarah:286,
وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا
Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat
Jadi memang untuk taat, kena dengar dulu apa yang perlu ditaati. Jangan perasan kita taat, taat, tapi apa yang perlu ditaati pun belum tahu lagi. Ramai orang kita perasan mereka Muslim yang baik tapi mereka tidak belajar pun ilmu wahyu untuk mengetahui apa yang mereka taat. Jadi mereka itu perasan sahaja lebih.
Pegang itu bermaksud terima dan mestilah dengan kuat dan bersungguh-sungguh. Maknanya bukanlah setakat dengar, tapi kenalah faham. Dan bukan sahaja faham, tapi kena amalkan. Kerana ramai sahaja yang faham, tapi setakat faham sahajalah, amalnya tidak, bukan?
قَالُوا سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا
Jawapan mereka: “Kami dengar tapi kami engkar”;
Engkar di sini adalah engkar dengan hati. Tentulah mereka tidak berani untuk bercakap secara nyata. Oleh itu, Allah ﷻ memberitahu kita bahawa mereka dengar tetapi mereka tidak mahu ikut. Hati mereka sendiri tidak mahu ikut apa yang mereka telah janji dengan mulut mereka sendiri. Tapi tidaklah mereka mengatakan perkara ini dengan zahir, cuma Allah sahaja yang beritahu apa yang di dalam hati mereka. Akan tetapi ia jelas dari perbuatan mereka yang buat tidak endah dengan hukum Taurat. Begitulah ucapan lidah sahaja tidak penting sangat, tapi yang dilihat adalah perbuatan itu sendiri. Kalau mengaku beriman dengan lidah tapi tidak ditunjukkan dengan perbuatan, apa gunanya?
Atau mungkin memang mereka cakap begitu secara nyata. Mereka memperolokkan arahan Allah ﷻ sampai mereka cakap: “Kami dengar tetapi kami engkar”. Ini pun tidak pelik kerana memang bangsa Yahudi itu jenis degil lain macam, melawan tak ingat diri lagi.
وَأُشْرِبُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْعِجْلَ
Kerana mereka telah diresapi dalam hati hati mereka sayang kepada anak lembu;
Mereka engkar dengan perjanjian dengan Allah ﷻ itu kerana hati mereka dipenuhi dengan perasaan sayang terhadap patung anak lembu itu. Allah gunakan istilah وَأُشْرِبُوا yang asalnya bermaksud ‘diminumkan’ sebagai perumpamaan. Kerana kita minum untuk memuaskan diri kita yang dahaga dan berkali-kali kita akan minum kerana ia menyegarkan kita. Maka di sini ia memberi isyarat yang mereka sembah anak lembu itu dengan suka sangat.
Yang dimaksudkan adalah patung anak lembu yang dibuat oleh Samiri yang kisahnya telah disebut di dalam Baqarah:54 sebelum ini. Di dalam ayat itu kumpulan yang menyembah patung itu telah dibunuh. Akan tetapi mereka yang tidak menyembah pun ada masalah juga kerana mereka tidaklah membenci perbuatan orang yang menyembah itu sangat.
Maka ini mengajar kita untuk membenci perbuatan salah walaupun dilakukan oleh orang lain, terutama sekali kalau perbuatan itu adalah perbuatan syirik. Jangan kita pandang begitu sahaja kerana takut itu terserap ke dalam jiwa kita pula. Kena segera tolak dengan hati dan mulut terus mengucapkan tasbih atau tahlil untuk menguatkan kembali iman tauhid kita.
Jangan kita lupa, kita umat Islam sekarang pun ada perjanjian juga dengan Allah ﷻ iaitu apabila kita mengucapkan dua kalimah syahadah apabila kita masuk Islam dan setiap hari kita lafazkan syahadah itu. Kalau kita mungkir dengan janji itu, maka kita pun boleh juga melakukan perkara syirik. Dan memang banyak dari amalan masyarakat kita yang sudah syirik kepada Allah ﷻ. Tetapi oleh kerana ramai yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka mereka tidak perasan yang sebenarnya mereka telah melakukan syirik tanpa sedar. Banyak amalan syirik dan khurafat telah lama ada dalam hati umat kita dan mereka tidak dapat tinggalkan kerana telah sebati dalam jiwa.
Kalau puak Yahudi itu telah sayang kepada patung anak lembu itu, masyarakat kita pun ada benda selain Allah ﷻ yang kita sayang. Macam masyarakat kita sekarang, mereka sayangkan pulut kuning. Itu adalah sebagai contoh salah satu perbuatan syirik yang banyak lagi masyarakat kita amalkan. Sampaikan kalau tidak buat pulut kuning dalam majlis mereka, mereka rasa tidak lengkap majlis itu. Padahal, asal pulut kuning itu ada kepercayaan khurafat dan pemujaan padanya. Tapi kalau kita tegur, memang akan melenting ramai orang yang tidak faham.
Begitu juga kepada mereka yang sayang kepada adat bersanding, pelamin dan sebagainya. Mereka sudah tidak kisah sama ada perkara itu boleh dilakukan dalam Islam ataupun tidak. Ini kerana perbuatan itu sudah lama sebati di dalam jiwa mereka. Memang susah sangat untuk mereka tinggalkannya. Sampaikan kalau kita tegur mereka, mereka akan kata macam-macam tentang kita. Berbagai-bagai alasan yang mereka akan berikan.
بِكُفْرِهِمْ
Dengan kekufuran mereka;
Mereka timbul perasaan sayang itu kerana kekufuran mereka yang telah ada sebelum itu. Memang telah ada sifat-sifat dan condong kepada syirik di dalam hati mereka. Mereka telah menutup iman yang ada dalam hati mereka. Jangan lupa yang sejurus sahaja mereka menyeberang laut dan menyelamatkan diri dari Firaun dan tenteranya, puak Bani Israil itu telah meminta Nabi Musa menjadikan satu berhala pula bagi mereka setelah melihat ada puak yang ada berhala. Ini disebut di dalam A’raf:138
وَجٰوَزنا بِبَني إِسرٰءيلَ البَحرَ فَأَتَوا عَلىٰ قَومٍ يَعكُفونَ عَلىٰ أَصنامٍ لَّهُم ۚ قالوا يٰموسَى اجعَل لَّنا إِلٰهًا كَما لَهُم ءآلِهَةٌ ۚ قالَ إِنَّكُم قَومٌ تَجهَلونَ
Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.
Begitu juga dengan golongan Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ itu, mereka merasakan apa yang datuk nenek mereka buat dahulu adalah betul belaka. Sebab itulah mereka mengikut perangai datuk nenek mereka itu. Begitulah orang kita pun berpegang sungguh kepada amalan tok nenek tanpa soal. Malah para sahabat yang baru masuk Islam pun ada yang masih tidak mengenal agama dengan benar. Seperti yang tersebut dalam sebuah hadith:
وَرَوَى الْإِمَامُ أَبُو جَعْفَرِ بْنُ جَرِيرٍ [رَحِمَهُ اللَّهُ] تَفْسِيرَ هَذِهِ الْآيَةِ مِنْ حَدِيثِ مُحَمَّدِ بْنِ إِسْحَاقَ وعَقِيل، وَمَعْمَرٍ كُلِّهِمْ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ سِنَانِ بْنِ أَبِي سِنَانٍ، عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ: أَنَّهُمْ خَرَجُوا مِنْ مَكَّةَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى حُنَيْنٍ، قَالَ: وَكَانَ لِلْكُفَّارِ سِدْرَةٌ يَعْكُفُونَ عِنْدَهَا، وَيُعَلِّقُونَ بِهَا أَسْلِحَتَهُمْ، يُقَالُ لَهَا: “ذَاتُ أَنْوَاطٍ”، قَالَ: فَمَرَرْنَا بِسِدْرَةٍ خَضْرَاءَ عَظِيمَةٍ، قَالَ: فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، اجْعَلْ لَنَا ذَاتَ أَنْوَاطٍ كَمَا لَهُمْ ذَاتُ أَنْوَاطٍ. فَقَالَ: “قُلْتُمْ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، كَمَا قَالَ قَوْمُ مُوسَى لِمُوسَى: {اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ. إِنَّ هَؤُلاءِ مُتَبَّرٌ مَا هُمْ فِيهِ وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ}
Imam Abu Ja’far ibnu Jarir mengatakan sehubungan dengan tafsir ayat ini melalui hadith Muhammad ibnu Ishaq, Uqail, dan Ma’mar yang ketiga-tiganya daripada Az-Zuhri, daripada Sinan ibnu Abu Sinan, daripada Abu Waqid Al-Laisi, bahawa mereka (sahabat) berangkat keluar dari Mekah bersama-sama Rasulullah ﷺ menuju ke Medan Hunain. Disebutkan bahawa dahulu orang-orang kafir mempunyai sebuah pohon sidrah tempat mereka melakukan meditasi dan menggantungkan senjata-senjata mereka, pohon tersebut mereka namakan Zatu Anwat. Kemudian kami melewati sebuah pohon sidrah yang hijau lagi besar. Maka kami katakan “Wahai Rasulullah jadikanlah untuk kami Zatu Anwat sebagaimana dahulu mereka mempunyai Zaatu Anwat” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, kalian ini telah mengatakan perkataan seperti yang diucapkan oleh kaum Musa kepada Musa, iaitu: “Buatlah untuk kami sebuah berhala sebagaimana mereka mempunyai beberapa berhala. Musa menjawab, ‘Sesungguhnya kalian ini adalah kaum yang tidak mengetahui (sifat-sifat Tuhan),” Sesungguhnya mereka itu akan dihancurkan kepercayaan yang dianutinya dan akan batal apa yang selalu mereka kerjakan.
(HR Ahmad no. 21897, Tirmidzi no. 2180) Syeikh al-Arnauth menilai sanadnya sahih menurut syarat Muslim
Jadi kalau mereka pun begitu, apatah lagi umat Melayu Islam Nusantara ini. Kita dulu pun asalnya beragama Hindu. Walaupun telah masuk Islam, akan tetapi ilmu agama Tauhid belum benar-benar sampai ke dalam hati masyarakat kita lagi. Kerana itu kita boleh lihat fahaman karut marut masih ada lagi dalam masyarakat ini. Kerana pembelajaran tafsir Al-Qur’an, kekemasan ilmu Tauhid yang berdasarkan cara salaf, belum lagi sampai kepada majoriti dari masyarakat kita.
قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُمْ بِهِ إِيمَـٰنُكُم
Katakan kepada mereka: buruk sungguh kepercayaan kamu yang menyuruh kamu buat perkara yang mungkar ini;
Pada permulaan ayat ini, Allah ﷻ masih lagi bercakap terus kepada mereka. Tetapi selepas mereka kurang ajar dengan Allah ﷻ, maka Allah ﷻ terlalu murka kepada mereka sampaikan Allah ﷻ tidak mahu lagi bercakap dengan mereka. Maka Nabi yang diarahkan untuk bercakap dengan mereka. Ini adalah isyarat yang Allah ﷻ menjauhkan diri dari mereka.
Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad berkata kepada mereka: “Kamu kata kamu beriman, tetapi kalau inilah iman kamu suruh kamu buat, suruh sembah patung sapi, teruk sangat iman kamu itu. Sebenarnya, kamu tidak beriman pun. Kerana kalau beriman, tidak akan buat apa yang kamu buat ini”.
Bermula dari ayat ini, Allah ﷻ hanya bercakap dengan mereka melalui Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Perbuatan ini dinamakan ‘tab’eed’, iaitu menjauhkan diri dari seseorang kerana marahkan orang itu. Seperti juga kita kalau sudah marah sangat kepada seseorang, hendak bercakap dengan dia pun kita tidak mahu, bukan?
إِنْ كُنْتُمْ مُّؤْمِنِينَ
Sekiranya kamu beriman;
Sekiranya kamu beriman, maka berhentilah dari buat perkara-perkara ini. Iman sepatutnya menggerakkan kita untuk melakukan perkara yang baik-baik, akan tetapi terbalik pula iman Yahudi itu yang suruh buat benda-benda buruk. Iman jenis apa itu? Iman taik kucing? Maka mereka diajak untuk kembalilah kepada ajaran yang benar. Masih ada harapan lagi untuk beriman sebelum mati. Bukankah kamu kata kamu beriman?
Ayat-ayat selepas ini Allah ﷻ terus menerangkan tentang perbuatan Bani Israil dan bagaimana Nabi Muhammad ﷺ perlu menghadapi mereka.
TERLALU SAYANG KEPADA KEHIDUPAN DUNIA
Baqarah Ayat 94: Ayat ini adalah satu bentuk mubahalah. Ia berasal dari kata bahlah atau buhlah yang bermakna kutukan atau melaknat. Mubahalah menurut istilah adalah dua pihak yang saling memohon dan berdoa kepada Allah ﷻ supaya Allah ﷻ melaknat dan membinasakan pihak yang batil atau menyalahi pihak kebenaran.
Bani Israil perasan kaum mereka sahaja layak sahaja memasuki syurga. Mereka berasa begitu sebab mereka ramai yang dari keturunan Nabi. Memang beginilah sifat manusia. Selalu sebut keturunan mereka yang baik-baik. Kalau keturunan mereka orang-orang baik dan alim ulama’, maka mereka sangka mereka sudah pasti selamat. Itu memang perasan sahaja. Ini tidak benar sama sekali. Sedangkan ada ahli keluarga Nabi pun masuk neraka. Lihatlah kisah anak Nabi Nuh عليه السلام. Jadi keturunan tidak ada nilai kalau jauh dari agama.
Ini kita ingatkan juga kepada kumpulan-kumpulan Habib yang sangka kononnya mereka keturunan Nabi Muhammad ﷺ (belum pasti lagi kerana takut setakat dakwa sahaja keluarga Nabi) jadi mereka itu telah selamat dan benar. Belum tentu lagi – kita kena lihat sama ada apa yang mereka bawakan itu adalah cara sunnah ataupun tidak. Kalau tidak sunnah, kalau benar mereka keturunan Nabi pun, mereka tidak akan selamat.
Dan kalau kita tidak terima ajaran mereka itu, bukanlah kita menghina keturunan Nabi dan menghina Nabi sendiri – nauzubillah min zalik, sungguh jauh sekali dari sangkaan mereka. Kita sayangkan Nabi, tetapi tidaklah kita terus percaya kepada keturunan baginda membabi buta. Apa yang kita boleh lihat, golongan yang dipanggil Habib itu memang membawa ajaran yang salah, maka kita tolak dan kita sebarkan kepada masyarakat.
Satu lagi, Bani Israil merasakan mereka itu keturunan yang disayangi dan terpilih oleh Allah ﷻ. Ini adalah kerana memang mereka itu keturunan yang cantik dan cerdik-cerdik belaka – ini tidak dapat dinafikan sama sekali, sampai sekarang pun. Dan kalau mereka masuk Islam, memang mereka akan jadi seorang Muslim yang amat baik sekali kerana mereka memang orang yang bijak-bijak. Dan kalau mereka lawan Islam, merekalah yang jadi ketua. Oleh itu kita kena berhati-hati dengan mereka. Kita pun telah baca dengan banyak sekali perangai buruk mereka. Mereka akan sentiasa hendak menjatuhkan orang Islam dari luar atau dari dalam. Dan kalau mereka memberi nasihat, ditakuti nasihat mereka itu untuk menjatuhkan kita. Maka kenalah berhati-hati dengan mereka. Malangnya, kerajaan kita pun pernah ambil penasihat dari kalangan mereka. Ditakuti kita telah tertipu dengan propaganda mereka.
Kepada Yahudi, agama Yahudi sahaja yang benar. Sampaikan mereka sanggup tolak orang lain. Macam kita juga, kita sangka puak kita sahaja yang betul, puak lain semua salah. Sampaikan ada masyarakat Islam kita yang tidak mahu berimamkan kepada imam Masjid Nabawi dan Masjidilharam kerana mereka kata imam-imam itu Wahabi dan tidak tahu baca Fatihah. Padahal, mereka orang Arab dan kita bukan orang Arab. Itu dinamakan ‘perasan’ diri telah benar dan orang lain semua salah. Subhanallah! Begitulah juga orang Yahudi dalam ayat ini yang sangka mereka sahaja yang akan masuk syurga dan puak-puak lain adalah sesat.
قُل إِن كانَت لَكُمُ الدّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خالِصَةً مِّن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ
Say, [O Muhammad], “If the home of the Hereafter with Allah is for you alone and not the [other] people, then wish for death, if you should be truthful.
Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwa itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.
قُل إِن كانَت لَكُمُ الدّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خالِصَةً مِّن دونِ النّاسِ
Katakan kepada mereka: Sekiranya negara akhirat itu hanya khas untuk kamu sahaja di sisi Allah dan bukan untuk manusia lain,
Inilah mubahalah yang dimaksudkan. Lafaz ini dikatakan kepada mereka kerana mereka sangka mereka sahaja yang dapat memasuki syurga. Yang yakin mereka akan masuk syurga antaranya adalah Orang Yahudi, Kristian dan juga Islam. Orang Yahudi sangka merekalah sahaja yang akan memasuki syurga. Orang Kristian pula sangka merekalah sahaja yang akan memasuki syurga. Orang Islam pun sangka orang Islam sahajalah yang akan memasuki syurga.
Dalam ayat ini, ia adalah tentang orang Yahudi yang memang yakin benar bahawa apabila mereka mati nanti, mereka pasti akan memasuki syurga. Mereka sangka mereka yang terpilih. Mereka sahaja yang masuk syurga, tidak dikongsi dengan orang dari agama lain.Begitu juga dengan Orang Kristian, mereka sangka mereka akan memasuki syurga kerana mereka telah menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai Tuhan. Semua ini adalah sangkaan belaka tanpa bukti. Yakin sangat mereka itu sampaikan kalau masuk neraka pun, sekejap sahaja kata mereka seperti yang telah disebut di dalam Baqarah:80
وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً
Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”.
Dan nanti kita akan berjumpa dakwaan mereka disebut di dalam Baqarah:111
وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصَـٰرَىٰۗ تِلكَ أَمانِيُّهُم
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja.
Semua ini adalah kerana perasan mereka insan terpilih dan menjadi kesayangan Allah seperti disebut di dalam Maidah:18
وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصٰرَىٰ نَحْنُ أَبْنَؤا اللهِ وَأَحِبَّؤُهُ
Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya”.
فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ
Maka kamu inginkanlah mati;
Inilah cabaran yang diberikan kepada mereka. Allah ajar bagaimana untuk cakap kepada mereka: “Mintalah mati sekarang juga”. Cabaran ini logik, sebab kalau mereka kata mereka akan terus memasuki syurga, mintalah mati segera supaya mereka boleh terus memasuki syurga itu. Kalimah تَمَنَّوُا di sini bermaksud ingin di dalam hati, bukanlah disuruh mereka minta dengan doa. Jadi bolehkah kita kata walaupun mereka tidak ucapkan minta kematian, tapi mereka inginkan kematian itu di dalam hati? Ini pun tidak kerana disebut di ayat selepas ini yang inginkan kematian pun mereka tidak mahu/takut.
Sebab, bukankah kalau mereka mati sekarang, mereka kata mereka boleh terus masuk syurga? Maknanya, penghalang mereka dan syurga adalah kehidupan sahaja, bukan? Dan bukankah syurga itu lebih baik lagi dari dunia ini? Buat apa lagi mereka tinggal di dunia lagi kalau sudah pasti mereka akan masuk syurga? Sudah tentu kehidupan di syurga lebih baik dari kehidupan dunia, bukan?
Orang Islam juga rasa mereka akan masuk syurga. Jadi, mungkin ada yang berkata, ayat ini juga boleh ditujukan kepada orang Islam juga. Tetapi, sebenarnya, orang Islam yang sebenar, tidak berfahaman seperti orang Yahudi itu. Kita sebenarnya ‘mengharap’ untuk masuk syurga, tetapi dalam masa yang sama, kita ‘takut’ yang kita tidak dapat masuk syurga. Tidaklah kita yakin dan pasti yang kita akan masuk syurga. Akan tetapi keyakinan yang tinggi kepada para sahabat Nabi, mereka sanggup mati untuk mempertahankan agama dan menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia. Kerana mereka yakin benar yang kalau mereka mati di medan jihad, mereka akan masuk ke dalam syurga sebagai syahid.
Kita tidak boleh pasti sama ada kita secara individu adalah ahli syurga ataupun ahli neraka. Cuma kita tahu bahawa kalau Muslim yang sebenar – iaitu orang mukmin dan bertaqwa, orang itu pasti akan masuk syurga. Tetapi tidak ada sesiapa yang boleh kata mereka ahli syurga lagi. Kita cuma boleh tahu di akhirat nanti – selepas pengadilan dijalankan di Mahsyar kelak.
Kita sekarang sedang berusaha untuk berbuat kebaikan seperti yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Semoga dengan amalan kita itu, kita dapat masuk syurga. Namun kita kena sentiasa ada imbangan antara ‘takut’ dan ‘harap’. Takut masuk neraka dan mengharap untuk masuk syurga.
Tetapi lain sekali dengan Orang Yahudi. Mereka sudah ada fahaman yang mereka itu adalah umat terpilih. Mereka yakin mereka akan masuk syurga. Macam syurga itu mereka yang punya. Jadi, mereka itu perasan yang bangsa mereka itu sahaja yang akan masuk syurga. Maka dengan orang yang jenis macam ini, memang susah untuk dakwah kepada mereka. Sebab mereka sudah yakin ahli syurga, jadi bagaimana hendak dakwah lagi? Maka kalau mereka berdegil juga, maka kita mubahalah dengan mereka seperti dalam ayat ini. Cabar dia untuk mati cepat. Ajak dia berdoa sekali.
Di dalam ayat ini, Allah cabar mereka untuk menginginkan kematian. Akan tetapi ada hadis Nabi yang melarang menginginkan kematian,
لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ
“Janganlah seorang daripada kamu menginginkan dan bercita-cita untuk mati disebabkan kemudaratan yang menimpanya.”
Riwayat Muslim (6990)
Adakah percanggahan ayat ini dengan hadis Nabi? Tidak! Kerana cabaran Allah di dalam ayat ini adalah untuk mematahkan hujah-hujah mereka; sedangkan larangan Nabi di dalam hadis adalah berkenaan sifat putus asa yang tidak patut ada dalam diri orang Mukmin. Dalam konteks yang lain, ingin mati di jalan Allah ketika melakukan jihad juga tidak salah. Secara umumnya, jangan minta mati melainkan untuk kebaikan. Kita kena teruskan hidup selagi berbaki, selagi Allah belum tentukan tarikh kematian kita. Kalau tidak tahan sangat pun, kenalah doa berlapik seperti disebut di dalam satu hadis yang lain,
اللَّهُمَّ أَحْيِنِى مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِى وَتَوَفَّنِى إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِى
“Ya Allah teruskanlah kehidupanku sekiranya hidup itu lebih baik bagiku dan cabutlah nyawaku sekiranya kematian lebih baik buatku.”
Riwayat Muslim (6990)
إِنْ كُنْتُمْ صَـٰدِقِينَ
Sekiranya kamu benar dalam dakwaan kamu itu.
Sekiranya mereka berasa mereka betul, maka kita cabar kepada mereka untuk mintalah mati dengan segera. Ayat mubahalah ini akan diterangkan dalam Surah Ali Imran nanti. Di situ nanti pun kita akan belajar yang mereka tidak berani untuk bersumpah mubahalah. Semoga dengan ini mereka akan terfikir dan tersentap: “Benarkah aku pasti masuk syurga?”
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 22 September 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
