Tafsir Surah Baqarah Ayat 73 – 74 (Orang mati dihidupkan)

Baqarah Ayat 73: Banyak tafsir mengaitkan kisah dalam ayat ini dengan kisah lembu betina warna kuning yang disuruh Bani Israil sembelih itu. Mereka berkata tafsir ayat di bawah ini adalah: “Maka pukullah mayat ini dengan bahagian lembu yang disembelih itu tadi.”

Tetapi kalau tafsir sebegini, ada masalah dari segi masa. Kerana hendak menunggu lembu kuning itu dijumpai, dikatakan telah mengambil masa 40 tahun. Sedangkan mana mungkin masa diambil sehingga 40 tahun baru dapat diselesaikan kes itu? Lagi pun, ini adalah kisah Israiliyat yang tidak boleh dijadikan hujah. Kisah Israiliyatlah yang mengaitkan lembu yang disembelih itu dengan kisah lelaki yang membunuh bapa saudaranya ini. Oleh itu, kita kena pisahkan dua kisah ini, kerana ia tidak ada kaitan di antara satu sama lain.

فَقُلنَا اضرِبوهُ بِبَعضِها ۚ كَذٰلِكَ يُحيِي اللَّهُ المَوتىٰ وَيُريكُم ءَايَـٰتِهِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

Sahih International

So, We said, “Strike the slain man with part of it.” Thus does Allah bring the dead to life, and He shows you His signs that you might reason.

Malay

Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian darinya” (Mereka pun memukulnya dan dia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.

 

فَقُلْنَا اضْرِبُوهُ بِبَعْضِهَا

Pukullah mayat itu dengan bahagian anggota mayat itu;

Pukul dengan bahagian tubuh si mati itu sendiri. Contohnya, pukullah mayat itu dengan tangan dia. Inilah pendapat yang kita kena pegang, iaitu kisah dalam ayat ini tidak ada kena mengena dengan kisah lembu betina dalam ayat-ayat sebelum ini. Ia bermaksud pukullah mayat itu dengan anggota mayat itu sendiri, dan bukannya sebahagian dari anggota lembu yang telah disembelih itu.

Yang menjadi isu adalah dhomir ها di dalam kalimah بِبَعْضِهَا. Dhomir ها digunakan untuk merujuk kepada muannas (feminine) dan kerana itulah majoriti ulama’ mengatakan ia merujuk kepada بَقَرَةٌ kerana ada sifat feminine padanya. Akan tetapi dhomir ها boleh sahaja merujuk kepada نَفْسًا yang dikira sebagai feminine di dalam bahasa Arab. Tambahan pula ia lebih dekat ayatnya dari kalimah نَفْسًا yang jauh kedudukannya. Ini kerana dhomir itu sepatutnya merujuk kepada sesuatu yang baru sahaja disebut seperti نَفْسًا di dalam ayat sebelumnya.

Akan tetapi, memang kebanyakan tafsir menyebut pukul dengan bahagian dari lembu itu. Maka tidaklah salah kalau berpegang dengan pendapat ini juga. Cuma, kalau kita berpegang hanya dengan pendapat ini, maka kesannya adalah meninggikan pula lagi kedudukan lembu pula, bukan? Sedangkan kita hendak ajar manusia tentang Tauhid, menolak khurafat dan puja kepada selain Allah. Tapi kalau kita kata bahagian lembu itu sampai boleh hidupkan pula manusia, tidakkah itu menaikkan pula kedudukannya? Bayangkan kalau orang Hindu baca, mungkin mereka kata: Ha tengok, hebat kan lembu? Tidakkah juga orang yang mereng otaknya tengok lembu sebagai hebat pula. Sedangkan lembu itu kehebatan dia pada dagingnya yang sedap dimakan.

Maka selepas dibuat begitu, tiba-tiba mayat itu bangun hidup semula. Selepas dia hidup balik itu, dialah yang memberitahu bahawa anak saudaranyalah yang telah membunuhnya dan dia telah mati balik selepas dia cakap begitu. Ini adalah antara mukjizat Nabi Musa عليه السلام. Jadi tidaklah lelaki itu terus hidup. Selepas diberitahu siapa yang membunuhnya, dia telah mati semula.

 

كَذَٰلِكَ يُحْيِي اللَّهُ الْمَوْتَىٰ

Demikianlah Allah menghidupkan orang yang sudah mati;

Ini adalah satu dalil hujah kepada kita: kalau Allah ‎ﷻ boleh hidupkan dengan cara begitu, Allah ‎ﷻ tentu sahaja boleh menghidupkan sesiapa yang telah mati. Yang ditunjukkan dalam ayat ini adalah salah satu cara untuk Allah ‎ﷻ menghidupkan manusia yang telah mati.

Bukanlah itu sahaja cara yang ada. Macam-macam cara Allah ‎ﷻ boleh gunakan untuk menghidupkan yang mati. Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa. Jadi apabila Allah ‎ﷻ menghidupkan semua makhluk-Nya nanti apabila akhirat bermula, tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ. Allah tidak tertakluk dengan hukum alam.

Mungkin timbul persoalan, kenapa Allah jadikan cara yang susah payah untuk menyebut siapakah yang bersalah membunuh lelaki itu. Kenapa tidak digunakan cara yang lebih mudah? Atau paling mudah, terus sahaja beritahu siapa yang bersalah. Begitulah kita insan yang lemah, tidak dapat mengatahui apakah hakikat dan sebabnya Allah melakukan sesuatu dan mengarahkan kita melakukan satu-satu perkara. Kita sebagai hamba hanya taat sahaja kepada apa sahaja yang Allah arahkan kepada kita. Mungkin kita dapat tahu apakah hikmah sesuatu perbuatan itu, dan mungkin sahaja akal kita tidak mampu memahaminya. Yang penting kita kena taat.

 

وَيُرِيكُمْ ءَايَـٰتِهِ

Dan Allah memperlihatkan dalil-dalil tanda kekuasanNya

Begitulah mudahnya Allah ‎ﷻ hendak menghidupkan semula makhluk yang telah mati. Tidak ada masalah langsung bagi Allah ‎ﷻ. Maka tidak perlu hairan bagaimana Allah ‎ﷻ akan menghidupkan semula manusia yang telah mati. Allah ‎ﷻ boleh lakukan perkara mustahil yang mengatasi segala adat kebiasaan dalam dunia.

 

لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Mudah-mudahan kamu dapat berfikir;

Iaitu berfikir mengenai hakikat Allah ‎ﷻ boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Dan hakikat yang Allah ‎ﷻ itu berkuasa penuh untuk melakukan apa sahaja. Dan Allah ‎ﷻ akan bongkarkan kebenaran yang disorok oleh manusia. Ada banyak pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat ini yang boleh ditadabbur.


 

Baqarah Ayat 74: Adakah apa yang terjadi sebelum ini memberi kesan kepada golongan Yahudi itu?

ثُمَّ قَسَت قُلوبُكُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ فَهِيَ كَالحِجارَةِ أَو أَشَدُّ قَسوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الحِجارَةِ لَما يَتَفَجَّرُ مِنهُ ٱلأَنهَـٰرُ‌ۚ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَشَّقَّقُ فَيَخرُجُ مِنهُ الماءُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَهبِطُ مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Sahih International

Then your hearts became hardened after that, being like stones or even harder. For indeed, there are stones from which rivers burst forth, and there are some of them that split open and water comes out, and there are some of them that fall down for fear of Allah. And Allah is not unaware of what you do.

Malay

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.

 

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُمْ

Kemudian tetap keras juga hati-hati kamu;

Segala peristiwa yang telah disebutkan dalam ayat-ayat tadi, sepatutnya menakutkan dan melembutkan hati manusia. Tetapi tidak begitu yang terjadi kepada puak Yahudi. Sebaliknya hati mereka lebih keras lagi.

Allah ﷻ ceritakan hal ini kepada bangsa Arab Madinah, Wahai bangsa Arab Madinah, dengarlah bagaimana keras kepalanya tok nenek bangsa Yahudi yang sekarang duduk di Madinah itu. Kalau tok nenek mereka berperangai begitu, jangan terkejut kalau anak cucu mereka yang duduk di Madinah waktu itu pun berperangai begitu juga.

Hati yang dimaksudkan dalam ayat ini, iaitu hati-hati orang Yahudi. Mereka tak dapat terima hidayah yang diberi. Jadi kita dapat tahu dari ayat ini yang tidak mahu terima itu adalah ‘hati’, bukannya ‘akal’. Kerana akal akan tetap berkembang dari sejak kita kecil dan akan meningkat ke usia tua. Tetapi hati itu akan sentiasa berbolak balik (turun naik). Kadang-kadang hati yang membuat keputusan walaupun akal kita tahu yang ianya adalah salah.

Contohnya, orang-orang yang hisap rokok itu tahu yang merokok itu bahaya dan tidak elok tetapi mereka masih juga hisap rokok. Itu adalah kerana hati yang mahu. Sedangkan akal mereka pun tahu yang rokok itu buruk.

Kadang kita dengar ceramah dan akan ada ilmu kita sudah tahu kerana sudah banyak kali dengar. Tetapi tetap kena dengar juga kerana hati yang perlu dicanai dan sentiasa diberi ingatan. Maka kita kena jaga hati kita. Kena belajar didik hati. Tidak boleh ikut hati sangat kerana ikut hati akan mati. Maka kerana itu akal kena lebih kuat dari hati.

 

مِّنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ

selepas yang demikian;

Selepas mereka melihat semua yang telah disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini, mereka masih tidak percaya dan taat kepada Allah ﷻ. Mereka masih lagi tidak mahu beriman kepada Nabi Musa dan nabi-nabi mereka yang lain. Padahal mereka adalah jenis bangsa yang telah diberikan ilmu pengetahuan yang banyak.

Dan mereka telah lihat sendiri bagaimana orang yang mati dihidupkan kembali (seperti dalam ayat sebelum ini) dan macam-macam lagi perkara ajaib yang terjadi kepada mereka. Jadi akal mereka telah terima sebenarnya. Tetapi hati mereka yang degil tidak mahu terima juga. Begitulah kadang-kadang dengan manusia: apa yang akal tahu tidak semestinya sampai ke hati.

 

فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ

Hati kamu itu umpama batu;

Allah ﷻ umpamakan hati mereka keras seperti batu. Sekarang kita akan masuk kepada satu perumpamaan yang hebat dari Allah ﷻ yang diletakkan dalam Al-Qur’an berkenaan hati. Allah samakan dengan batu, bukan dengan besi. Ini kerana besi walaupun lebih keras dari batu akan tetapi ia boleh mencair apabila dibakar lama dan dapat dibentuk.

Allah menyebut tentang hati kerana hati yang penting bagi manusia. Untuk dapat hidayah dan menerima agama dengan benar, memerlukan hati yang sanggup menerima cahaya hidayah. Allah beri perumpamaan batu kerana batu itu keras dan tidak boleh masuk apa-apa pun ke dalamnya.

 

أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً

ataupun lebih keras daripada batu;

Malahan, hati mereka lebih keras lagi daripada batu, sebenarnya. Kalimah أَوْ di sini bukan bermaksud ‘atau’ kerana seolah-olah Allah tidak tahu pula hati mereka keras macam mana. Maka kalimah أَوْ di sini bermaksud بل (bahkan) sebagai penekanan. Iaitu hati mereka lebih keras dari batu sebenarnya. Kerana batu pun tidak sekeras hati mereka. Kerana batu-batu itu ada juga yang berjenis-jenis. Ini akan diterangkan dalam bahagian ayat-ayat yang seterusnya nanti.

Ada batu yang boleh keluar sungai dari celahnya, ada batu yang pecah dan keluar air dari dalamnya, dan ada batu yang jatuh kerana takutkan Allah ﷻ. Batu yang keras pun, boleh jadi begitu, tetapi hati mereka sedikit pun tidak terkesan dengan apa yang telah diperlihatkan kepada mereka. Sedangkan hati yang terkesan dengan wahyu Allah akan terkesan dan takut seperti disebut di dalam Hashr:21

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّن خَشيَةِ اللهِ
Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ akan beri perumpamaan tentang hati-hati manusia yang berbagai jenis:

 

وَإِنَّ مِنَ الْحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ الْأَنْهٰرُ

Ada diantara batu itu mengalir darinya anak-anak sungai;

Ada batu yang boleh mengeluarkan air. Kalau mereka yang selalu berkembara pergi ke kawasan hutan dan berbukit, mereka mungkin dapat rezeki boleh nampak ada batu yang merekah dan sungai keluar dari batu yang merekah itu.

Allah ﷻ menyebut hati sebagai ‘batu’ dan manakala ‘air’ pula adalah perumpamaan bagi iman. Ada orang yang ada potensi iman yang kuat di dalam hatinya. Jadi apabila disampaikan dakwah Islam kepada mereka, senang untuk mereka terima. Mereka ini adalah jenis orang yang memang mencari-cari apakah agama yang sebenar.

Hati mereka memang mencari-cari kebenaran. Jadi, apabila mereka diceritakan dengan Islam, mereka dengan mudah terima. Mereka ini adalah orang-orang seperti Saidina Abu Bakr رضي الله عنه. Mereka yang jenis macam ini, senang sahaja kita hendak dakwah kepada mereka. Sebab mereka senang hendak terima.

Mereka juga orang Muslim yang memang mencari kebenaran dan kerana itu mereka senang untuk menerima ajaran sunnah. Kerana itu ada orang yang apabila kita cerita sedikit sahaja kelebihan belajar tafsir dan di mana ada kelas pengajian, mereka terus hendak datang dan belajar dan terus belajar. Mereka kata: “memang sudah lama saya mencari ilmu ini”.

Apabila diberikan hujah-hujah tentang ajaran sunnah dan bagaimana ada amalan masyarakat yang menyalahi sunnah, mereka senang terima. Mereka akan kata bahawa selama ini pun memang mereka nampak seperti ada yang tidak kena dengan amalan masyarakat. Cuma mereka tidak dapat sebut apakah yang tidak kena itu kerana mereka tidak belajar lagi.

 

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ الْمَاءُ

Dan ada diantara batu itu yang pecah terbelah lalu keluar air daripadanya;

Mungkin kita jarang lihat perkara ini. Tetapi ada kawasan hutan di dunia ini yang memang ada batu yang pecah dan air keluar darinya. Air itu adalah air mineral. Tidak dapat dijelaskan dengan akal.

Batu ini yang jenis ini kurang sedikit dari batu sebelum ini. Maknanya ada pengurangan yang kita boleh lihat. Kerana air yang keluar dari batu jenis kedua ini tidaklah sederas air dari batu pertama. Jadi ini adalah perumpamaan bagi hati jenis kedua. Kurang hebat sedikit dari hati yang pertama.

Ini adalah jenis orang yang susah sedikit kita hendak dakwah kepada mereka. Kerana hati mereka ada sedikit keras. Kena ada kerja lebih sedikit untuk memecahkan batu itu. Iman dia ada, cuma tertutup dalam hatinya. Dia akan berubah setelah dia dapat terima hujah yang mungkin hasil dari dakwah kita. Mungkin kena selalu dakwah dengan dia dan kena berhujah atau berdebat dengan dia agak lama sikit.

Tapi lama kelamaan mereka boleh terima kerana memang hujah ajaran Islam dan sunnah ini memang kuat. Atau ada kejadian yang besar padanya yang menyebabkan dia terfikir tentang Islam.

Orang yang sebegini kena cari cara untuk dakwah kepada mereka. Kerana lain orang, lain cara untuk mereka boleh terima. Orang yang sebegini adalah seperti Saidina Umar رضي الله عنه. Dia tidak terus menerima Islam tetapi apabila didakwahkan kepadanya, dia boleh terima. Tetapi kena ada usaha untuk berdakwah kepada mereka dan adakalanya, susah sedikit. Sebagaimana yang kita sudah tahu, beliau dulu menentang Islam dan malah pernah menyeksa orang yang beriman.

Maka mereka ini susah sedikit kerana kena ada usaha untuk dakwah kepada mereka. Namun apabila mereka sudah terima, mereka akan terima selama-lamanya. 

Ayat ini juga sebagai satu isyarat kepada kita untuk menangis kerana Allah ﷻ. Hati yang keras, langsung tidak menangis kerana Allah ﷻ. Tetapi hati yang lembut, mereka akan senang untuk menangis kerana Allah ﷻ.

 

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ ٱللَّهِ‌

Dan ada diantara batu itu yang tergolek jatuh kerana takut kepada Allah;

Dan ada batu yang jatuh bergolek kerana takut kepada Allah ﷻ. Begitulah, kalau kita duduk di hutan, dan nampak batu tiba-tiba jatuh dari atas, ianya mungkin kerana batu-batu itu takut kepada Allah ﷻ. Sebab tidak nampak apa sebab yang menyebabkan ianya jatuh, tetapi ia tiba-tiba jatuh sahaja. Orang-orang yang selalu ke hutan akan tahu perkara ini.

Beginilah hati yang ada sedikit iman dalam dirinya. Apabila disampaikan ayat-ayat Al-Qur’an, ada bergetar sedikit hati mereka dan mereka tersentuh dan mereka tunduk. Tetapi manusia ramai yang tidak takut dengan Allah ﷻ. Bila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an, mereka selamba sahaja macam tidak ada apa-apa.

Ada orang yang tahap mereka hanya Muslim sahaja (bukan Mukmin). Mereka sudah terima Islam, tetapi iman tidak masuk ke dalam hati mereka. Mereka ini adalah orang yang jenis macam orang Badwi semasa zaman Nabi ﷺ. Mereka adalah orang baik juga, tidak menentang Islam. Tetapi keimanan penuh belum masuk ke dalam hati mereka. Akan tetapi sekurang-kurangnya mereka telah terima Islam. Itu adalah langkah pertama.

Ayat ini juga adalah isyarat kepada kita untuk sujud kepada Allah ﷻ kerana takut dan takjub kepadaNya. Tunduk sujud dalam solat. Dan apabila sampai kepada ayat-ayat Sajdah, kita sujud.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi perumpamaan menggunakan subjek air dan batu. Ingatlah bahawa perumpamaan ini diberikan kepada Bani Israil pada zaman Nabi ﷺ. Dan perumpamaan ini amat sesuai sekali diberikan kepada Bani Israil kerana mereka sudah biasa belajar dalam sejarah mereka tentang tok nenek mereka dahulu pernah minum air yang terpancar dari batu selepas dipukul oleh Nabi Musa عليه السلام.

Jadi tidak pelik sebenarnya kepada mereka tentang batu yang keluar air. Begitulah, kita apabila memberi contoh, mestilah memberi contoh yang boleh difahami oleh orang yang mendengarnya. Barulah mereka senang faham.

Cuma mungkin ada penolakan kalau ada yang berhujah, batu tidak ada perasaan seperti takut dan sebagainya. Kalau keluar air, mereka masih boleh terima kerana ia adalah fizikal sahaja. Akan tetapi takut itu memerlukan hati nurani. Ini kita kena beriman dengan apa yang Allah sebut di dalam Al-Qur’an. Kita mungkin tidak tahu hakikat batu itu. Ini sama seperti tumbuh-tumbuhan yang kita dulu anggap tidak ada perasaan. Akan tetapi kajian moden mendapati mereka juga ada perasaan takut apabila ditebang dan sebagainya. Jadi bagaimana pula dengan batu? Ya kita mungkin nampak ia kaku tidak berperasaan, akan tetapi itu adalah dari maklumat terhad yang kita ada. Dari ayat ini kita dapat tahu yang memang batu itu hidup sebenarnya, tapi tidaklah ia hidup seperti hidupnya kita yang boleh berjalan dan berjoget. Mereka hidup dengan cara mereka. Allah telah beri isyarat tentang perkara ini di dalam Isra’:44

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوٰتُ ٱلسَّبعُ وَٱلأَرضُ وَمَن فِيہِنَّ‌ۚ وَإِن مِّن شَىءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفقَهُونَ تَسبِيحَهُم إِنَّهُ ۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا
Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.

Di dalam Surah Isra’ ini kita diberitahu yang semua makhluk bertasbih, tapi kita sahaja tidak mengerti tasbih mereka. Ini kerana tasbih mereka tentulah berlainan dengan cara kita bertasbih. Mungkin anda pernah terbaca hadis Rasulullah bercakap dengan Uhud? Ini adalah disebut di dalam hadis riwayat daripada Anas bin Malik RA, ketika Nabi SAW, Abu Bakar RA, Umar RA dan juga Uthman RA menaiki bukit Uhud, dan bukit Uhud bergegar. Lalu Nabi SAW bersabda:

اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ، وَصِدِّيقٌ، وَشَهِيدَانِ
“Tenanglah wahai Uhud, sesungguhnya di atas kamu terdapat Nabi, al-Siddiq (Abu Bakar) dan dua orang yang syahid (Umar dan Uthman).”
[Riwayat al-Bukhari (3686)]

Ini tidak pelik kerana di dalam hadis yang lain, kita diberitahu oleh Rasulullah yang bukit Uhud itu sayang kepada orang mukmin, seperti disebut dalam hadis daripada Anas bin Malik RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika melihat ke arah bukit Uhud:

هَذَا جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ، اللَّهُمَّ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ وَإِنِّي حَرَّمْتُ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا
“Ini adalah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya. Ya Allah sesungguhnya Ibrahim telah mensucikan kota Makkah dan sesungguhnya aku mensucikan di antara dua kota batu hitam (Madinah).”
[Riwayat al-Bukhari (3367)]

Jadi benda-benda yang kita nampak pegun tidak bergerak seperti bukit, batu, tanaman dan sebagainya pun ada perasaan.

 

وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah itu lalai dengan apa yang kamu lakukan;

Maksud Allah ﷻ tidak lupa dan lalai itu adalah, Allah ﷻ pasti akan balas nanti. Allah ﷻ tahu apa yang kita telah lakukan dan Allah ﷻ simpan dalam rekod tentang apa sahaja  yang kita lakukan. Jangan sangka Allah ﷻ tidak perasan dan Allah ﷻ tidak rekod simpan. Allah ﷻ pasti akan balas: Sama ada balas baik dengan diberikan syurga, atau balas dengan diberikan neraka. Maka bagi yang melakukan dosa, mereka patut takut; dan bagi yang melakukan kebaikan, mereka patut gembira kerana mereka yakin yang Allah akan balas segala kebaikan yang mereka lakukan.

Ia juga memberi isyarat kepada kita: kalau hati sudah keras, maka seseorang itu akan menjadi غَافِلٍ (lalai). Iaitu sudah tidak kisah dengan apa yang terjadi di sekelilingnya. Seperti lembu yang tidak kisah dengan apa yang terjadi. Begitulah orang-orang yang keras hatinya dan tidak kisah dengan apa yang terjadi di sekelilingnya.

Jadi ayat ini mengajar kita tentang hati dan ia adalah satu topik yang banyak dibincangkan di dalam Al-Qur’an. Berkali-kali Allah menyebut tentang hati kerana kepentingan ada hati yang sihat (qalbun salim). Antaranya Allah berfirman di dalam Zumar:22 di mana Allah membezakan dua jenis hati.

أَفَمَن شَرَحَ اللَهُ صَدرَهُ لِلإِسلٰمِ فَهُوَ عَلىٰ نورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيلٌ لِّلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِّن ذِكرِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata

Bagaimana untuk mendapat hati yang tenang ini? Allah ajar juga di dalam Al-Qur’an antaranya di dalam Ra’d:28

الَّذينَ ءآمَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Di dalam masa yang sama juga dia menjaga arahan Allah dan takut melanggar perintah Allah sehinggakan apabila disebut nama Allah, dia akan takut. Ini seperti disebut di dalam Anfal:2

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم وَإِذا تُلِيَت عَلَيهِم ءآيٰتُهُ زادَتهُم إيمٰنًا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati-hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.

Ini kerana mereka sedar yang mereka akan kembali bertemu dengan Allah, maka mereka akan buat yang terbaik seperti disebut di dalam Mukminoon:60

وَالَّذينَ يُؤتونَ ما آتَوا وَّقُلوبُهُم وَجِلَةٌ أَنَّهُم إِلىٰ رَبِّهِم رٰجِعونَ
Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka,

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 11 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment