Tafsir Surah Baqarah Ayat 56 – 57 (Mati hidup kembali)

Baqarah Ayat 56: Ini adalah kisah yang berlaku selepas mereka dimatikan. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bimbang sekiranya baginda pula yang dituduh telah membunuh mereka itu. Melihatkan kejadian itu, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merayu kepada Allah ‎ﷻ, jikalau wakil itu semua dimatikan, apa lagi yang baginda hendak beritahu kepada umatnya yang lain?

Padahal 70 orang itu adalah wakil yang telah dipilih dan dikira yang paling bagus dan lebih cerdik berbanding dengan kaum mereka yang lain. Baginda bimbang akan dituduh membunuh golongan yang pandai supaya yang tinggal itu golongan yang bodoh sahaja dan senang untuk baginda kawal mereka. Oleh itu, Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎berdoa kepada Allah ﷻ semoga dihidupkan mereka kembali.

ثُمَّ بَعَثنَـٰكُم مِّنۢ بَعدِ مَوتِكُم لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Sahih International

Then We revived you after your death that perhaps you would be grateful.

Malay

Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.

 

ثُمَّ بَعَثنَـٰكُم مِّنۢ بَعْدِ مَوْتِكُمْ

Kemudian Kami bangkitkan kamu hidup selepas matinya kamu;

Inilah nikmat yang dimaksudkan; iaitu setelah mereka dimatikan, mereka dihidupkan kembali. Ini kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berdoa kepada Allah ﷻ supaya dibangkitkan mereka semula seperti disebut di dalam A’raf: 155

وَاختارَ موسىٰ قَومَهُ سَبعينَ رَجُلًا لِّميقٰتِنا ۖ فَلَمّا أَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ قالَ رَبِّ لَو شِئتَ أَهلَكتَهُم مِّن قَبلُ وَإِيّٰيَ ۖ أَتُهلِكُنا بِما فَعَلَ السُّفَهاءُ مِنّا ۖ إِن هِيَ إِلّا فِتنَتُكَ تُضِلُّ بِها مَن تَشاءُ وَتَهدي مَن تَشاءُ ۖ أَنتَ وَلِيُّنا فَاغفِر لَنا وَارحَمنا ۖ وَأَنتَ خَيرُ الغٰفِرينَ
Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki daripada kaumnya (untuk dibawa bersama ke Gunung Sinai) pada waktu yang telah Kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? Ini hanyalah cubaan-Mu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.

Terdapat banyak cubaan untuk mentafsirkan ayat ini dengan cara lain. Ini kerana ada yang susah untuk menerima orang yang sudah mati boleh hidup kembali. Maka ada juga pendapat yang mengatakan mereka itu bukan mati, tetapi pengsan sahaja.

Yang eloknya, kita terima bahawa memang Allah ﷻ telah mematikan mereka, dan Allah ﷻ telah menghidupkan mereka semula. Allah ﷻ memang mampu untuk melakukannya dan kerana itu tidak perlu disangsikan lagi. Lagi pun kalimah yang digunakan adalah بَعْدِ مَوْتِكُمْ (selepas kematian kalian).

Ini adalah salah satu daripada kejadian Allah ﷻ hidupkan semula sesudah mati semasa di dunia lagi. Kerana penghidupan setelah mati selalunya di akhirat kelak, akan tetapi ada contoh-contoh Allah ﷻ hidupkan semasa di dunia lagi. Selain daripada kisah daripada ayat yang kita sedang belajar ini, terdapat beberapa lagi insiden:

1. Mukjizat Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghidupkan orang yang mati seperti disebut di dalam Ali Imran: 49

وَأُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ وَأُحيِي المَوتىٰ بِإِذنِ اللَّهِ
dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah;

2. Mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghidupkan orang mati untuk memberitahu siapakah yang membunuhnya seperti disebut di dalam Baqarah: 73

فَقُلنَا اضرِبوهُ بِبَعضِها ۚ كَذٰلِكَ يُحيِي اللَّهُ المَوتىٰ وَيُريكُم ءَايَـٰتِهِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ
Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian daripadanya” (Mereka pun memukulnya dan dia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya.

3. Sebilangan Bani Israil yang pengecut yang Allah ﷻ matikan kemudian hidupkan seperti disebut di dalam Baqarah: 243

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم وَهُم أُلوفٌ حَذَرَ المَوتِ فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحيٰهُم
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu” kemudian Allah menghidupkan mereka.

4. Uzair yang dimatikan selama 100 tahun dan kemudian dihidupkan kembali seperti disebut di dalam Baqarah: 259

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها ۖ فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ
Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?” Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula

5. 4 ekor burung yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cincang-cincang untuk Allah ﷻ tunjukkan bagaimana Dia menghidupkan yang telah mati seperti disebut di dalam Baqarah: 260

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي ۖ قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِّنَ الطَّيرِ فَصُرهُنَّ إِلَيكَ ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”.

Semua ini Allah ﷻ mampu lakukan kerana Dia Tuhan yang menghidup dan mematikan. Maka Allah ﷻ menghidupkan 70 orang Bani Israil itu semula dan mereka semua bertaubat selepas itu. Takkan sudah mati tidak mahu bertaubat lagi? Apabila mereka pulang, mereka telah memberitahu kisah yang terjadi kepada kaum mereka yang tidak ikut itu. Walaupun begitu, pun mereka masih tidak terima juga. Sampai mereka kata wakil-wakil itu semuanya telah berpakat dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menipu mereka. Mereka telah menuduh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi rasuah kepada 70 orang wakil mereka itu. Begitulah teruknya puak Yahudi itu.

Oleh kerana kedegilan mereka, Allah ﷻ telah mengangkat gunung ke atas kepala mereka untuk menakutkan mereka dan paksa mereka taat. Allah ﷻ suruh mereka membuat keputusan sama ada hendak terima atau tidak. Kalau tidak terima, gunung itu akan dijatuhkan ke atas mereka. Ini disebut dalam ayat yang lain. Selepas mereka berjanji untuk taat, barulah Allah ﷻ mengalihkan gunung itu dan diletakkan di tempat lain. Ini semua disebut dalam Al-Qur’an dalam ayat yang lain.

 

لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Mudah-mudahan kamu bersyukur.

Allah ﷻ mengatakan supaya ‘mudah-mudahan kamu bersyukur’. Padahal, mereka dibunuh kerana mereka tidak taat. Kenapa Allah ﷻ menggunakan kata ‘syukur’ dalam ayat ini? Kerana kalau seseorang itu benar-benar bersyukur kepada Allah ﷻ, dia akan taat kepada arahan Allah ﷻ.

Sebab itu kita kena faham, ‘syukur’ itu bukan hanya menyebut ‘alhamdulillah’ berkali-kali sahaja tetapi perlu diikuti dengan perbuatan. Iaitu kita mesti taat kepada Allah ﷻ. Apa yang Allah ﷻ suruh kita buat, kita lakukan. Apa yang Allah ‎ﷻ larang, kita tinggalkan.

Ternyata, jasa Allah ﷻ adalah Allah ﷻ menghidupkan semula 70 orang wakil itu selepas mereka dimatikan. Tujuan dihidupkan semula itu adalah supaya mereka dapat bersyukur. Bersyukur kerana mereka dapat bertaubat selepas dihidupkan dan tidak terus mati sampai ke neraka.

Maka, bagi para sahabat yang sedang membaca Al-Qur’an itu, barulah tahu tentang kisah-kisah puak Yahudi itu. Semua kisah itu tidak diceritakan oleh puak Yahudi di Madinah. Ini adalah rahsia mereka kerana mana mungkin mereka akan membuka pekung di dada mereka sendiri.


 

Baqarah Ayat 57: Ini adalah nikmat yang ketujuh. Ini adalah dalam peristiwa berlainan. Apabila mereka sudah terima Taurat, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata untuk mengamalkan Taurat itu, kena pulang ke Palestin, tempat asal mereka. Di sanalah nanti mereka boleh mengamalkan syariat seperti yang ada dalam Taurat itu.

Cuma tempat itu waktu itu sedang dijajah oleh golongan yang angkuh dan ganas iaitu puak Amaliqah (Amalek). Mereka hendaklah pulang terlebih dahulu ke Palestin dan berperang dengan puak Amaliqah itu. Selepas mengalahkan mereka itu, barulah Bani Israil dapat duduk di Palestin.

Apabila mereka dengar sahaja yang mereka terpaksa berperang, maka Bani Israil terus enggan. Puak Amaliqah itu pula sememangnya terkenal sebagai puak yang kuat dan ganas, menyebabkan mereka menjadi takut. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, berperang itu adalah sebagai syarat sahaja, kerana Allah ﷻ sudah menjanjikan kemenangan. Hanya suruh berperang sahaja dan Allah ﷻ akan halau puak itu dengan qudrat-Nya. Allah ﷻ akan bantu mereka mencapai kemenangan dengan mudah.

Yang mengikut Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanyalah dua orang sahaja, salah seorangnya adalah yang akan naik menjadi Nabi, iaitu Yusha’ bin Nun. Yang selain daripada dua orang itu, mereka suruh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Allah ﷻ sendiri pergi berperang. Mereka hendak tunggu di luar sahaja, apabila sudah menang, barulah mereka akan masuk. Ini disebut di dalam Maidah: 24

قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقٰتِلَا إِنَّا هٰهُنَا قٰعِدُونَ
Mereka berkata: “Hai Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja”.

Akibat daripada kata-kata kurang ajar mereka itu, Allah ﷻ telah sesatkan mereka di sebuah padang pasir selama 40 tahun. Nama padang pasir itu adalah Padang Tih. Dalam 40 tahun itulah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ wafat bersama dengan mereka yang telah kurang ajar itu. Yang hanya boleh keluar daripada kesesatan di padang itu hanyalah anak cucu mereka kemudiannya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Maidah: 26

قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ أَرْبَعِينَ سَنَةً يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ
Allah berfirman: “(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu”.

Merekalah yang telah pergi untuk berperang di Palestin dan menawan kota Palestin di bawah pimpinan Nabi Yusha’ عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam riwayat, dikatakan yang luas padang itu hanyalah 32 batu persegi sahaja. Namun mereka disesatkan oleh Allah ﷻ sehingga tidak dapat menemui jalan keluar. Mereka berpusing-pusing dalam padang yang tidak berapa luas itu. Sesat sampai 40 tahun itu adalah sebagai hukuman Allah ﷻ di atas kedegilan mereka.

Golongan Bani Israil pada waktu itu telah disesatkan secara fizikal selama 40 tahun. Adakah kita pernah disesatkan sebegitu? Kita mungkin tidak sesat secara fizikal selama 40 tahun tetapi boleh sesat dari segi agama dan minda selama waktu itu. Malah mungkin lebih lagi. Entah berapa orang Islam yang sangka mereka mengamalkan ajaran Islam namun sebenarnya mereka itu duduk di dalam kesesatan sepanjang hidup dia dengan mengamalkan amalan syirik dan bid’ah.

Di manakah nikmat yang dimaksudkan? Semasa sesat di padang itu, tentulah tidak ada makanan dan minuman. Namun Allah ﷻ telah membantu mereka untuk tidak susah mencari makanan. Untuk mendapatkan air, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh mengetuk batu lalu keluarlah air untuk minuman mereka. Untuk makanan pula mereka telah diberikan dengan makanan yang turun dari langit seperti sejenis burung dan diberikan dengan sejenis manisan (Manna dan Salwa).

Oleh kerana Allah ﷻ yang menyesatkan mereka di situ, tidak boleh pergi ke mana-mana, maka Allah ﷻ telah memberikan kepada mereka makanan, pakaian dan sebagainya. Sama juga kalau kerajaan Malaysia memenjarakan banduan, sehingga mereka tidak boleh mencari makan sendiri, maka kerajaan Malaysialah yang kena berikan makanan kepada mereka.

Ini adalah satu keajaiban yang ditunjukkan dan diberikan kepada mereka. Allah ﷻ hendak tunjuk yang Dia boleh berbuat apa sahaja asalkan mereka ikut sahaja syariat daripada Allah ﷻ. Oleh itu nikmat yang disebut dalam ayat ini adalah Allah ﷻ telah berikan makanan dan minuman kepada mereka.

وَظَلَّلنا عَلَيكُمُ الغَمامَ وَأَنزَلنا عَلَيكُمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ ۖ كُلوا مِن طَيِّبَـٰتِ ما رَزَقنَـٰكُم ۖ وَما ظَلَمونا وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

Sahih International

And We shaded you with clouds and sent down to you manna and quails, [saying], “Eat from the good things with which We have provided you.” And they wronged Us not – but they were [only] wronging themselves.

Malay

Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.

 

وَظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ

Dan Kami teduhkan atas kamu dengan awan;

Pada siang hari, awan akan meneduhkan mereka daripada terik panas matahari. Inilah rahmat Allah ﷻ, di dalam dikenakan hukuman pun masih lagi diberi perlindungan. Kalimah الْغَمَامَ bermaksud awan jenis yang menggembirakan hati mereka – sebagai peneduh. Ia adalah awan tipis yang berwarna putih. Mereka di padang pasir waktu itu dan tentu tidak ada pelindung daripada kepanasan melainkan awan itu. Kalau tidak ada teduhan, tentulah mereka akan mati kerana kepanasan.

Sepanjang hari, mereka akan berjalan lebih kurang sejauh 20 batu. Esok mereka akan jalan ke arah lain pula sampai malam. Mereka berpusing-pusing dalam kawasan yang sama selama 40 tahun. Begitulah cara Allah ﷻ sesatkan mereka. Walaupun mereka berada dalam kawasan yang kecil, namun mereka masih sesat lagi. Oleh kerana mereka berjalan dalam kepanasan terik matahari, maka Allah ﷻ berikan teduhan kepada mereka.

 

وَأَنْزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ

Dan Kami turunkan ke atas kamu Manna dan Salwa;

Allah ﷻ menurunkan makanan dari syurga kepada mereka: Manna itu seperti campuran madu dan susu. Atau, ia sesuatu yang sifatnya seperti madu (ia melekit). Atau kalimah ‘manna’ itu merangkumi beberapa makanan seperti halia, cendawan dan roti. Mereka tidak perlu berusaha untuk mencari makanan itu. Mereka boleh ambil sahaja di ranting-ranting kayu waktu pagi.

Kalimah الْمَنَّ daripada kata dasar: م ن ن yang bermaksud memberikan nikmat kepada seseorang, banyak berkat, terlalu pemurah. Ini bermaksud makanan mereka sudah cukup baik. Manna itu dalam bentuk karbohidrat manakala burung itu pula dalam bentuk protein.

Salwa itu seperti burung Puyuh. Ia daripada kata dasar: س ل و yang bermaksud tidak kisah tentang sesuatu, memujuk, ketenangan, keselesaan, burung puyuh, madu, sejenis burung. Burung-burung itu turun beramai-ramai dan jinak hinggakan mereka senang tangkap untuk dimakan burung itu. Maknanya, mereka tidak perlu bersusah payah untuk mencari makanan. Lagi pun, di padang pasir tidak ada makanan. Burung itu pula adalah daging yang paling sedap dan kerana itu di syurga juga ahli syurga dihidangkan dengan daging burung seperti disebut di dalam Waqiah: 21

وَلَحمِ طَيرٍ مِّمّا يَشتَهونَ
Serta daging burung daripada jenis-jenis yang mereka ingini.

Ada juga yang mengatakan Manna dan Salwa ini makanan dari syurga. Kita tidaklah kata begitu kerana tidak ada dalilnya. Namun ia tetap makanan yang hebat kerana ia adalah pemberian daripada Allah ﷻ. Kalau kita kata turun dari langit, masih boleh diterima. Namun begitu, makanan-makanan itu diberi dengan syarat, jangan simpan untuk esok. Ini kerana untuk hari esok, mereka akan mendapat makanan yang lain pula. Allah ﷻ telah menjanjikan bahawa esok mereka akan dapat lagi apa yang diberikan itu. Allah ﷻ hendak mengajar mereka supaya bergantung dan percaya kepada rezeki daripada Allah ﷻ semata-mata.

Namun begitu, mereka simpan juga kerana mereka tidak percaya rezeki daripada Allah ﷻ. Mereka takut kalau-kalau esok tidak dapat makanan lagi. Kesannya, Allah ﷻ hukum mereka dengan menjadikan daging yang mereka simpan itu menjadi busuk. Selepas kejadian itu, semua daging yang manusia simpan beberapa lama sahaja, akan menjadi busuk. Sebelum kesalahan yang telah dilakukan oleh Bani Israil ini, daging memang akan tahan lama, tidak busuk-busuk. Malah, kita turut terkesan sekali dengan kesalahan yang dilakukan oleh Bani Israil itu. Ini ada disebut dalam Kitab Sahih Bukhari.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْلَا بَنُو إِسْرَائِيلَ لَمْ يَخْنَزْ اللَّحْمُ وَلَوْلَا حَوَّاءُ لَمْ تَخُنْ أُنْثَى زَوْجَهَا الدَّهْرَ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata; Nabi ﷺ bersabda: “Seandainya bukan kerana perbuatan Bani Israil, maka daging tidak akan membusuk, dan seandainya bukan kerana Hawwa’ (isteri Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) tentu wanita tidak akan mengkhianati suaminya selama-lamanya”.
(Sahih Bukhari (3147))

Tabiat menyimpan makanan hingga menjadi busuk berpunca daripada sikap ingkar orang Yahudi

 

Untuk minuman, mereka mendapat daripada air hujan (selain daripada air dalam batu yang diketuk oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tongkatnya). Anak-anak mereka lahir disiapkan dengan pakaian dan pakaian itu membesar sekali bersama dengan badan mereka yang membesar. Pakaian mereka pun tidak menjadi kotor walaupun setelah dipakai sekian lama. Sampai begitu sekali Allah ﷻ memudahkan kehidupan mereka.

Ada tafsir lain yang mengatakan bahawa Manna itu adalah gandum dan Salwa itu adalah sejenis burung yang jinak yang senang ditangkap. Maka Allah ﷻ telah memberikan dua sumber makanan yang penting kepada mereka untuk kehidupan mereka: Salwa mewakili karbohidrat sementara daging burung membekalkan protein kepada mereka.

 

كُلُوا مِنْ طَيِّبَـٰتِ

Makanlah daripada makanan yang baik-baik;

Allah ﷻ mengingatkan mereka bahawa Allah ﷻ telah memberikan makanan yang baik kepada mereka. Maka makanlah makanan yang baik-baik itu. Ayat ini juga mengingatkan kepada kita: Allah ﷻ telah berikan rezeki yang baik dan halal kepada kita, maka makanlah yang baik dan halal itu. Janganlah dicari makanan dan rezeki yang haram.

Satu lagi pengajaran kepada kita adalah: Apa sahaja yang Allah ﷻ berikan, tentulah baik. Ia juga mengajar kita bahawa makanan yang halal itu adalah makanan yang baik. Sesuatu itu menjadi halal dan haram kalau Allah ﷻ yang tentukan ia halal dan haram. Penentuan halal atau haram adalah hak mutlak daripada Allah ﷻ.

 

مَا رَزَقنَـٰكُم‌

yang telah Kami rezekikan kepada kamu;

Ayat ini mengandungi hukum yang perlu kita ambil tahu: jikalau Allah ﷻ telah suruh kita makan makanan yang halal, tetapi kita tidak makan dengan sebab dikatakan ‘pantang’, maka itu adalah kufur kepada Allah ﷻ. Iaitu kita mengharamkan yang Allah ﷻ telah halalkan.

Kecualilah sekiranya doktor telah melarang kita makan kerana dapat mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan kita. Ataupun kita tidak lalu hendak makan kerana tidak kena dengan selera kita, itu tidak mengapa. Namun begitu ada juga yang mengamalkan pantang daripada memakan sesuatu makanan yang telah Allah ﷻ halalkan.

Contohnya, apabila orang dalam ‘pantang bersalin’, wanita dilarang untuk memakan ayam. Padahal, kalau dalam masyarakat Cina, mereka disuruh untuk memakan ayam seekor sehari selepas bersalin – kerana memberi kekuatan kepada tubuh mereka. Oleh itu, apabila Allah ﷻ menghalalkan ayam dan kita pula mengharamkan dalam waktu ‘tertentu’, maka itu adalah perbuatan kufur. Mengharamkan benda yang Allah ﷻ telah halalkan, bermakna kita mengambil kerja Tuhan (mengeluarkan hukum adalah kerja Allah ﷻ). Ini kerana yang boleh mengharamkan, hanyalah Allah ﷻ sahaja.

 

وَمَا ظَلَمُونَا

Dan tidaklah mereka menganiaya Kami;

Allah ﷻ tidak terkesan langsung dengan kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan. Allah ﷻ tidak memerlukan ketaatan manusia. Tidak kurang darjat Allah ﷻ kalau tiada sesiapa pun yang menyembah-Nya. Sebaliknya, kitalah yang memerlukan Allah ﷻ redha kepada kita. Untuk mendapat redha Allah ‎ﷻ, hendaklah kita patuh arahan-Nya.

 

وَلَٰكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

tapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri;

Mereka telah menzalimi diri mereka sendiri di dunia, dengan melakukan perbuatan syirik. Bukan Allah ﷻ yang menzalimi mereka tetapi mereka yang menzalimi diri mereka sendiri. Ini menjadi pengajaran penting kepada kita bahawa kesalahan apa sahaja yang kita lakukan, sebenarnya ia berbalik kepada diri kita sendiri. Kita yang akan menerima kesan itu nanti.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Ogos 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 56 – 57 (Mati hidup kembali)”

    1. Kalimah تَعْثَوْا dari kata dasar ع ث و yang bermaksud melakukan kejahatan, jenayah, melakukan korupsi.

      Mungkin tuan terkeliru dengan kalimah lain agaknya.

      Like

Leave a comment