قَالُوٓا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا
Malaikat berkata: apakah Kamu akan menjadikan makhluk yang akan merosakkan bumi
Soalan daripada malaikat ini turut menjadi masalah kalau kita tidak belajar tafsir, kerana seolah-olah para malaikat mempersoalkan pula keputusan Allah ﷻ. Sedangkan Allah ﷻ tidak layak dipersoalkan seperti disebut di dalam Anbiya’: 23
لا يُسأَلُ عَمّا يَفعَلُ وَهُم يُسئَلونَ
Dia tidak ditanya tentang apa yang diperbuat-Nya dan merekalah yang akan ditanyai.
Di sini para malaikat telah bertanya kepada Allah ﷻ: patutkah Allah ﷻ hendak menjadikan makhluk di bumi yang akan berlaku syirik kepada-Nya? Kerana ‘berbuat kerosakan’ itu bermaksud berbuat syirik kepada Allah ﷻ. Boleh juga membawa maksud membuat huru-hara di mukabumi akan tetapi yang lebih penting adalah kerosakan di dalam agama.
Setelah diberi peluang, barulah malaikat beri pandangan mereka. Mereka kata kenapa mahu menjadikan makhluk lagi yang akan berbuat kerosakan di dunia – maknanya tidak menegakkan hukum Tuhan. Ini adalah bahagian hablu minallah (hubungan dengan Allah ﷻ). Maka soalan mereka ini adalah kerana hendak tahu sahaja, bukannya hendak mempersoalkan keputusan Allah ﷻ. Ia adalah soalan yang mutlaq daripada yang tidak tahu (para malaikat) kepada Yang Maha Tahu (Allah ﷻ).
Jikalau kita menggunakan terjemahan pun boleh memberi maksud berlainan. Kalau digunakan kalimah ‘mengapa’, atau ‘patutkah’, nampak seperti mempersoalkan pula. Akan tetapi kalau digunakan kalimah ‘apakah’, nampak lembutlah sikit.
Sekarang kita lihat situasi yang berbeza ini:
Adam mempunyai persoalan tetapi baginda tidak bertanya (ini kita akan bincangkan nanti);
Begitu juga iblis, ada persoalan tetapi dia juga tidak bertanya (ini juga kita akan bincangkan nanti);
Malaikat sahaja yang menyuarakan persoalan mereka.
وَيَسْفِكُ الدِّمَآءَ
dan makhluk itu akan menumpahkan darah?
Tambahan pula mereka itu nanti berbalah sesama sendiri sampai menumpahkan darah. Ini pula adalah bahagian hablu minannas (hubungan sesama manusia).
Soalan: bagaimana malaikat boleh tahu yang manusia akan berbuat kerosakan dan menumpahkan darah? Sedangkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keturunan baginda tidak ada lagi? Tidak sesuai kalau malaikat yang suci berbuat tohmahan pula terhadap Allah ﷻ atau bersangka buruk dengan manusia yang belum ada lagi. Ulama’ mengatakan, mereka tahu itulah yang akan berlaku, kerana sebelum dunia dihuni oleh manusia, golongan jin yang menghuni dunia.
Ini kita tahu melalui hadith yang menceritakannya. Jin ketika dulu yang duduk di dunia dan setelah berbuat kerosakan dan menumpahkan darah, mereka telah dihalau ke tengah laut dan ke tengah hutan. Oleh kerana malaikat pernah melihat jin dan segala perbuatan mereka, para malaikat telah mengqiyaskan yang makhluk yang baru ini pun akan berperangai begitu juga. Itu adalah andaian mereka sahaja.
Malaikat mengagak, apabila dijadikan makhluk yang diuji dengan nafsu, seperti manusia dan jin, maka akan ada pertumpahan darah dan perbuatan syirik kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ telah memberi peluang kepada mereka untuk memberikan pandangan. Kerana itulah mereka tidak dikira sebagai menderhaka.
Soalan lagi: Kenapa Allah ﷻ beri peluang kepada malaikat untuk bertanya? Kerana Allah ﷻ mahu beritahu kita yang Allah ﷻ tidak mahu perangai berbuat kerosakan dan menumpahkan darah seperti yang dilakukan oleh golongan jin itu. Allah ﷻ beritahu kepada kita dengan cara begini – dimasukkan dalam Al-Qur’an tentang kejadian soal jawab ini. Maka maklumat telah diberitahu kepada kita. Dengan soal jawab Allah ﷻ dan malaikat, kita boleh tahu satu perkara kejadian di langit suatu waktu dahulu. Sekiranya Allah ﷻ tidak beritahu, kita tidak akan dapat tahu langsung.
وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ
sedangkan kami senantiasa bertasbih dengan memuji-Mu
Maknanya, kedua-dua bahagian (habluminallah dan habluminannas) para malaikat tidak akan langgar. Ini adalah kerana memang mereka tidak ada nafsu dan mereka dijadikan untuk taat sahaja kepada Allah ﷻ. Oleh itu, mereka kata, kalau mahu makhluk yang memuja dan taat kepada Allah ﷻ sahaja tanpa ingkar, mereka sudah ada untuk terus memuji-Nya.
Apakah maksud ‘tasbih’? Di dalam bahasa Arab kata-kata tasbih diucapkan apabila terdengar sesuatu celaan terhadap Tuhan. Maka tasbih adalah ucapan menyucikan dan menidakkan kekurangan dan perkara yang tidak patut pada Allah ﷻ. Contohnya sekiranya seseorang mengatakan yang Allah ﷻ ada anak, ucapan yang harus diberikan adalah subhanallah. Ini bermaksud apabila seseorang melakukan sesuatu yang mencacatkan kesempurnaan Allah ﷻ, maka kita harus mengucapkan subhanallah. Iaitu untuk menyingkirkan kata-kata yang tidak sepatutnya dikatakan tentang Allah ﷻ. Inilah perbuatan yang dinamakan ‘tasbih’. Ringkasnya ia bermaksud mensucikan apa yang telah dicemar.
Sebenarnya ketika malaikat tidak faham tujuan Allah ﷻ meletakkan manusia sebagai khalifah di bumi, dan mereka terus bertanya Allah ﷻ, kemudiannya mereka berasa yang mereka telah bertindak melampaui batas. Kerana bukankah mereka sedang mempersoalkan tindakan Allah ﷻ? Maka, di sini bukanlah mereka sedang memuji diri mereka sendiri, tetapi mereka sedang mengisytiharkan kepada Allah ﷻ yang walaupun mereka bertanyakan soalan tersebut, bukanlah mereka bermaksud mereka mempersoalkan kesempurnaan Allah ﷻ itu. ‘Engkau Maha Sempurna, walaupun kami tidak mampu memahami keputusan-Mu itu.’ Mereka sebenarnya mereka di dalam ketakutan ketika bertanyakan soalan tersebut. Namun, mereka tetap tanyakan juga.
وَنُقَدِّسُ لَكَ
dan menyucikan nama-Mu.
Kalau tasbih menyucikan Allah ﷻ daripada sifat kekurangan, apakah maksud ‘taqdis’ pula? Adakah ia bermaksud mengisytiharkan kesucian Allah? Apakah perbezaan di antara ‘taqdis’ dan ‘tasbih’ (mengisytiharkan kesempurnaan Allah ﷻ)? Apakah pula perbezaan di antara kesempurnaan dan kesucian?
Kesempurnaan adalah tentang segala sifat Allah ﷻ. Rahmat Allah ﷻ adalah sempurna, keadilan-Nya, kebijaksanaan-Nya, kesemuanya dan banyak lagi dapat diungkap dengan tasbih. Manakala kesucian pula berkait rapat dengan kebaikan. Dalam erti kata lain, keadilan adalah sebahagian daripada kebaikan, rahmat juga sebahagian daripada kebaikan, menghapuskan kejahatan juga adalah sebahagian daripada kebaikan. Maka, apabila malaikat melakukan taqdis kepada Allah ﷻ, mereka tidak menyifatkan kejahatan kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ terlalu sempurna dan suci untuk mereka mengatakan yang Allah ﷻ telah melakukan sesuatu yang jahat. Mereka hanyalah keliru, itu sahaja.
Di sini kita boleh lihat para malaikat membandingkan perbuatan mereka dan manusia. Malaikat akan bertasbih, bertahmid dan mentaqdis Allah ﷻ, sedangkan manusia akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah. Satu contoh dalam bentuk perbuatan (berbuat kerosakan dan menumpahkan darah), dan satu lagi adalah dalam bentuk sebutan (tasbih dan tahmid).
Perbuatan: buat kerosakan & menumpahkan darah (manusia)
Sebutan: tasbih & tahmid (malaikat)
Kalau difikirkan, nampak seolah-olah perbandingan itu tidak sempurna. Kalau hendak bandingkan sesuatu, ia mestilah dalam perbandingan yang sama – perbuatan dengan perbuatan dan sebutan dengan sebutan.
Manusia: buat kerosakan & menumpahkan darah
Malaikat: tidak buat kerosakan & tidak menumpahkan darah
Ini bermakna, bertasbih dan bertahmid itu bukan hanya sebutan di mulut, tetapi adalah jenis amalan perbuatan juga sebenarnya. Bagi yang tidak faham itulah yang menyebabkan ada manusia yang mulutnya berzikir kepada Allah ﷻ, namun dalam masa yang sama, mereka berbuat syirik dan menumpahkan darah. Mereka setakat cakap di mulut sahaja sebaliknya tidak memberi kesan di hati dan perbuatan mereka.
Kembali kepada persoalan awal: tidakkah malaikat bunyinya seperti sombong dan bongkak dengan memuji diri mereka di sini? Kita pun tahu yang sifat ini tidak baik. Jawapannya tidak kerana para malaikat itu ma’sum daripada melakukan dosa. Mereka bukannya bongkak tetapi hanya menyatakan kebenaran. Pada mereka, kalau Allah ﷻ perlukan khalifah untuk bumi, mereka ada dan mereka layak pada pandangan mereka. Ini tidaklah salah. Kalau kita perhatikan, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada meminta pangkat kerana memang baginda layak seperti disebut di dalam Yusuf: 55
قالَ اجعَلني عَلىٰ خَزائِنِ الأَرضِ ۖ إِنّي حَفيظٌ عَليمٌ
Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”.
قَالَ إِنِّيٓ أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Allah berfirman: Sesungguhnya Aku tahu apa yang engkau tidak tahu;
Apabila malaikat jawab begitu, Allah ﷻ membalas dengan menggunakan bahasa yang tegas, yang Dia Maha Mengetahui apa yang malaikat tidak tahu. Yang para malaikat cakap itu adalah hanya andaian mereka sahaja dan Allah ﷻ Maha Tahu dan Allah ﷻ akan tunjuk yang manusia ada keistimewaan yang malaikat tidak ada.
Maka jangan tanya lagi. Perhatikan di sini yang Allah ﷻ tidak menidakkan akan terjadinya kerosakan dan penumpahan darah di tangan manusia. Memang akan ada manusia yang akan berbuat kerosakan di dunia dan menumpahkan darah. Ini tidak dapat dinafikan lagi. Akan tetapi Allah ﷻ beritahu bahawa para malaikat tidak tahu bahawa akan ada dalam kalangan manusia yang tidak sebegitu. Ada manusia yang akan beriman sempurna dan tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Walaupun mereka dibekalkan dengan nafsu, tetapi ada dalam kalangan mereka yang menjadi makhluk yang baik. Maka mereka itu nanti akan menjadi lebih baik daripada para malaikat sampaikan para malaikat pun malu dengan manusia yang sebegitu nanti.
Akan tetapi tidaklah Allah ﷻ marah mereka bertanya. Ia adalah perkara biasa sahaja, tambahan pula Allah ﷻ telah membuka ruang untuk mereka bertanya. Para malaikat juga mempunyai akal dan ada emosi, maka tidak salah mereka bertanya. Daripada kejadian ini, apakah pengajaran buat kita? Pengajarannya ialah: Tidak salah untuk bertanya. Maka jangan halang orang bertanya, terutama sekali nasihat ini ditujukan kepada para guru agama. Isu ini memang isu yang menjengkelkan. Ramai para ustaz yang mengajar marah apabila apabila mereka ajar sesuatu yang mengarut dan anak murid bertanya. Lihatlah Allah ﷻ tidak marah pun para malaikat bertanya dan Allah tidak pula berkata para malaikat itu lemah iman sebab bertanya.
Bertanya itu biasa sahaja kerana hendak memberikan keyakinan hati kepada pelajar. Nanti kita akan temui kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang meminta diperlihatkan bagaimana Allah ﷻ menghidupkan makhluk yang mati untuk meyakinkan hati baginda. Ini disebut di dalam Baqarah: 260
وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaan-Ku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”.
Namun kita faham jugalah kenapa mereka marah sangat anak murid bertanya. Biasanya satu sebab sahaja: Mereka sendiri tidak ada dalil. Kerana kalau ada dalil, tentu senang sahaja mereka berikan. Namun oleh kerana mereka juga terima daripada guru mereka tanpa dalil (kerana guru mereka juga mengajar tanpa dalil), maka mereka telah terbiasa menerima sahaja apa yang disampaikan oleh guru. Akan tetapi semakin manusia pandai dan terdedah kepada perbandingan ilmu, manusia akan lebih terbuka minda dan ingin bertanya. Oleh itu, bagi para guru agama, kena ubahlah mentaliti. Pelajar sekarang bukan macam pelajar dahulu. Pelajar dahulu tidak terdedah sangat kepada ilmu, sebaliknya pelajar sekarang sudah bijak dan boleh menilai.
Kita juga boleh lihat bagaimana para malaikat bertanya kepada Allah ﷻ kerana mereka tidak tahu. Walaupun malaikat itu makhluk yang hidupnya di langit dan dekat dengan Allah ﷻ namun tidaklah semua perkara mereka tahu. Maka yang tidak tahu boleh bertanya kepada yang tahu seperti pelajar yang sedang belajar mestilah bertanya kepada guru. Para guru janganlah marah kepada anak murid yang bertanya.
Iblis telah mempersoalkan Allah ﷻ, begitu juga malaikat telah memberi soalan kepada Allah ﷻ. Namun begitu, terdapat perbezaan yang besar di antara mereka. Cara pertanyaan mereka itu yang membezakannya. Apabila kita bertanyakan soalan kerana benar-benar mahu memahami, dan bukan untuk mempersoalkan kedudukan Allah ﷻ, maka pertanyaan sebegini dibenarkan sebagaimana yang malaikat lakukan. Namun sebaliknya apabila kita bertanyakan soalan yang mempersoalkan tujuan Allah ﷻ, mempersoalkan kesempurnaan-Nya, maka di sinilah pertanyaan yang ternyata salah dan tidak dibenarkan. Malah dengan cara nada suara bertanya juga boleh menzahirkan sama ada seseorang itu mempersoalkan Allah ﷻ atau tidak.
Bukanlah tidak digalakkan untuk bertanya pula, tetapi kita tidak digalakkan untuk bertanya dengan sikap yang salah. Di akhirnya nanti, inilah yang menyebabkan kita menjadi seperti sikap iblis. Golongan muda seharusnya dibenarkan untuk bertanyakan soalan yang mereka tidak jelas, tetapi harus diingatkan jika mereka mempunyai sikap yang salah di dalam persoalan itu, maka mereka bukan sahaja menyakiti guru mereka, malah menyakiti Allah ﷻ juga.
Di sini telah memberi pengajaran kepada kita, yang sekiranya malaikat pun dibenarkan bertanya kepada Allah ﷻ, maka sesiapa sahaja juga boleh bertanyakan soalan kepada sesiapa sahaja dan bersedia untuk dipersoalkan oleh sesiapa juga. Malangnya, ini jarang berlaku di dunia kita hari ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 24 Julai 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
