Tafsir Surah Baqarah Ayat 1 (Pengenalan Surah Baqarah)

Pengenalan

Surah Baqarah merupakan surah ke 87 yang diturunkan. Ia merupakan surah terpanjang dalam Al-Qur’an yang mengandungi sebanyak 286 ayat. Ia adalah surah madaniyah dan diturunkan pada tahun 2 Hijrah.

Surah Baqarah mengandungi 4 Perenggan Makro utama serta pecahan tema untuk setiap ayat seperti berikut:

Perenggan Makro Pertama:
Mukadimah (Ayat 1 hingga Ayat 39)
Tiga Golongan Manusia iaitu:
Mukmin (Ayat 3 hingga Ayat 5)
Kafir (Ayat 6 hingga Ayat 7)
Munafik (Ayat 8 hingga Ayat 20

Perenggan Makro Kedua: Kedegilan dan kesombongan kaum yahudi.
Sebab-sebab Bani Israil hilang kuasa kepimpinan dan kemuliaan bangsa Nabi-nabi [Ayat 40 hingga Ayat 141)

Perenggan Makro Ketiga: Amalkan islam secara kaffah.
Manusia hendaklah menerima Islam keseluruhannya. Mengambil syariat Rasul terakhir untuk jadi umat terpilih dan contoh kepada manusia seluruh dunia. Cara berekonomi, politik dan bernegara. (Ayat 142 hingga Ayat 283)

Perenggan Makro Keempat: Penutup.
Janji kejayaan dan keselamatan jika ikut syariat Nabi terakhir. Umat Nabi akan menjadi bangsa yang memimpin dunia. (Ayat 284 hingga Ayat 286)

 

Mesej Utama Surah:
Perubahan kepimpinan akan berlaku bila amanah dikhianati. Tamadun dan kekuasaan akan beralih tangan bila berlaku kezaliman. Begitulah Kaum Bani Israil hilang kemuliaan mereka. Kiblat pun bertukar, bangsa para Nabi pun bertukar daripada kebanyakannya bani Israil kepada bani Ismail. Tempoh pertukaran ini berlangsung kira-kira 2500 tahun.

Surah yang kedua ini dinamakan Surat “al-Baqarah” yang bererti ‘lembu betina’, kerana ada kisah tentang Bani Israil disuruh oleh Nabi Musa  mencari seekor lembu betina untuk disembelih, yang tersebut pada ayat 67 sampai 74. Adapun nama surah-surah Al-Qur’an bukanlah sebagai judul daripada sebuah peristiwa atau nama daripada sebuah buku yang menerangkan suatu hal yang khas. Ia hanyalah sebagai tanda belaka daripada surah yang dinamakan itu, dan bukanlah juga kerana nama itu lebih penting daripada perkara lain yang dihuraikan di dalamnya, kerana semuanya penting. Yang menentukan nama-nama ini adalah Rasulullah ﷺ sendiri dengan petunjuk Jibril .

Bagi meresapkan perasaan membaca Surat al-Baqarah ini hendaklah kita ingat bahawa sebahagian besar daripada ayatnya diturunkan pada mula-mula Rasulullah ﷺ pindah (hijrah) ke Madinah. Mula-mula mendirikan masyarakat Islam setelah 13 tahun menegakkan akidah di Mekah, dan mendapat tentangan hebat daripada kaum Quraisy. Sekarang telah dapat menegakkan cita dengan bebas, kerana kesediaan kaum Ansar menyambut iman dan menyambut Rasul. Maka mulai dari hari pertama baginda datang ke Madinah, nama negeri itu ditukar daripada nama lama, Yatsrib atau Thibah menjadi Madinah atau lebih tepat lagi Madinatur-Rosul, Kota Utusan Tuhan.

Meskipun telah terlepas daripada tentangan kaum musyrikin Quraisy di Mekah, dan telah dapat menyusun kekuatan Islam dan melancarkan hukumnya, baginda terpaksa berhadapan mula dengan kaum yahudi di Madinah, yang telah duduk di negeri itu sejak beratus tahun lamanya, setelah terjadi berkali-kali pengusiran raja-raja Romawi ke atas mereka dari Palestina. Mereka merasa bahawa kelas mereka lebih tinggi daripada penduduk Arab asli yang tinggal di negeri itu, yang umumnya daripada persukuan Aus dan Khazraj, disebabkan mereka memeluk agama Tauhid, mempunyai Kitab Taurat dan kedatangan ramai Nabi di zaman dahulu. Kepada orang-orang Arab penduduk asli itu kerap mereka banggakan tentang kepercayaan mereka, dan di masa itu sudah mulai ada perasaan bagi mereka bahawa mereka adalah umat pilihan Tuhan. Pernah juga mereka menyebut kepada orang Arab itu bahawa Kitab Taurat mereka ada menyebut bahawa akan datang lagi seorang Rasul yang akan menyempurnakan hukum Taurat.

Oleh itu surah Al-Baqarah adalah surah yang terpanjang dan ia banyak menceritakan tentang sifat-sifat Yahudi. Kita pun kenalah tahu apakah masalah mereka supaya apa yang terjadi kepada mereka boleh menjadi pengajaran kepada kita. Kita kena faham yang Allah ‎ﷻ bukan marah ‘bangsa Yahudi’, tetapi ‘sifat Yahudi’ kerana ada sahaja yang baik dalam kalangan mereka dan isteri Nabi pun ada yang daripada bangsa Yahudi. Yang tidak boleh diikuti adalah perangai mereka. Orang Melayu pun boleh jadi ada perangai seperti mereka itu. Takut kita pun ada perangai sepertimana yang dikutuk dalam Al-Qur’an ini.

Dengan perancangan yang baik sekali, sebaik sahaja Rasulullah ﷺ berpindah ke Madinah, Rasulullah ﷺ telah membuat berbagai perjanjian dengan kaum Yahudi itu, agar bertetangga dengan baik, akan sama mempertahankan Madinah jika diserang dari luar; dan mereka disebut Ahlul-Kitab, tidak disamakan pandangan kepada mereka dengan pandangan kepada kaum musyrikin, melainkan diperlakukan dengan hormat. Akan tetapi kian lama kian nyata bahawa perjanjian-perjanjian bertetangga baik itu tidaklah mereka junjung tinggi. Mereka semakin lama semakin menunjukkan sikap angkuh, merasa diri lebih, menentang, menguji Nabi ﷺ malah menghina Islam.

Maka kita dapatilah dalam Surat al-Baqarah ini ayat-ayat yang telah mula menghadapi mereka, yang dalam bahasa sekarang disebut konfrontasi. Namun dasar daripada tentangan itu ialah menyedarkan mereka pokok ajaran Tauhid dan mengingatkan pertolongan-pertolongan yang telah diberikan Ilahi kepada mereka. Juga memperingatkan pula bahawa ajaran yang dibawa Muhammad ﷺ ini bukanlah memusuhi Yahudi, tetapi sambungan daripada usaha Rasul-rasul yang terdahulu, dan bahwasanya baik Yahudi atau Nasrani, atau ajaran yang dibawa Nabi Muhammad ﷺ sekarang, hanya satu sahaja rumpun asalnya, iaitu agama “Menyerah diri kepada Allah ﷻ”, yang telah dimulakan oleh nenek-moyang mereka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُlah yang melahirkan keturunan Ishaq dan Ya’qub yang menurunkan Bani Israil. Manakala Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula yang melahirkan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lalu menurunkan Nabi Muhammad ﷺ dan Arab Musta’ribah. Kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ialah mengajak semua supaya kembali kepada agama “Menyerah diri kepada Tuhan” ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, yang dalam bahasa Arabnya disebut ISLAM.

Mungkin ada yang berpendapat, setelah Rasulullah ﷺ selamat membina negara di Madinah, mempunyai kerajaan dan sahabat yang membantu baginda, maka baginda sudah senang. Akan tetapi ini tidak benar. Kalau di Mekah, baginda menghadapi satu puak sahaja, iaitu Musyrikin Mekah. Namun di Madinah, baginda menghadapi lebih lagi tentangan.

Di samping soal menghadapi Yahudi ini timbul lagi soal lain, iaitu Arab penduduk Madinah sendiri yang merasa diri mereka ‘dilangkahi’ disebabkan kedatangan Rasulullah ﷺ ke Madinah. Selama ini pimpinan dipegang oleh mereka, tetapi sejak Rasulullah ﷺ datang, mereka merasa tersingkir. Akan dihadapi secara kasar, ternyata mereka telah kalah kerana ramai telah menerima Rasulullah ﷺ. Golongan inilah yang menjadi kaum munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Kaum munafik ini pun menjadi “penyakit” dalam tubuh masyarakat Islam. Di hadapan, mereka mengakui beriman, sebaliknya di belakang mereka mencemuh, dan berusaha dalam segala kesempatan untuk menghambat terbentuknya kekuatan Islam. Kalau perlu dan ada keuntungan, mereka pun sudi berkawan dengan kaum Yahudi itu. Malah kalau ada serangan daripada pihak Quraisy, mereka dengan sembunyi-sembunyi menyatakan persetujuan.

Maka agak tidak tepat untuk mengatakan yang baginda dan umat Islam terselamat terus daripada Musyrikin Mekah. Adapun orang Quraisy di Mekah sendiri, dengan berpindahnya Rasulullah ﷺ ke Madinah adalah sangat mencemaskan mereka. Sebab sudah terang bahawa Nabi Muhammad ﷺ di Madinah akan kuat dan teguh. Mereka pun lalu menyusun terus kekuatan untuk membunuh Islam yang mula tumbuh di Madinah itu. Sementara kabilah-kabilah Arab di luar Mekah dan Madinah, pula yang masih menganggap kaum Quraisy pimpinan mereka, maka mereka pun turut menentang Muhammad ﷺ dan membantu puak Quraisy itu.

Itulah tiga musuh yang dihadapi di Madinah pada masa itu. Tentu saja di antara ketiga puak-puak itu, puak Yahudilah yang lebih meminta perhatian, lebih daripada yang lain. Dalam kepercayaan Islam, mereka itu berpokok dalam satu ajaran Tuhan. Namun keagamaan mereka sudah membeku, sudah jumud, kerana diselubungi oleh adat dan pengaruh, dan sudah ternyata pula bahawa Kitab Taurat yang suci itu sudah banyak berubah, baik diubah dengan sengaja ataupun kerana telah hilang naskahnya yang asli. Memang sudah terlalu lama Taurat yang asli itu tidak ada lagi. Maka mereka ini diseru untuk diinsafkan dan kalau mereka menentang, dijawab tentangan itu dengan setimpal. Allah ‎ﷻ mendedahkan kecurangan dan ketidakjujuran Yahudi dalam Surah al-Baqarah ini lalu mengajak mereka kepada jalan yang benar. Begitu juga terdapat pula membuka kecurangan kaum munafik.

Sementara menghadapi yang di luar, dalam masa yang sama pembangunan agama dari dalam pun mestilah berjalan dengan lancar. Di Surat al-Baqarah bertemulah ayat-ayat berkenaan dengan rumahtangga, perkahwinan dan perceraian. Bertemu peraturan mengerjakan Haji, mengerjakan puasa dan mengeluarkan zakat dan mencela keras memakan riba. Membentuk budi pekerti dengan memperbanyak derma dan sedekah.

Satu peraturan yang terpenting di dalam Surat al-Baqarah ialah mengalihkan arah Kiblat dari Baitul-Maqdis ke Mekah; dengan ini Islam mendapat peribadinya. Peraturan ini didahului dengan kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan puteranya Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, diperintahkan Tuhan mendirikan Baitullah. Dengan peralihan Kiblat orang dapat memahami bahawa Nabi Muhammad ﷺ bukan membawa peraturan baru asal yang ganjil, tetapi menghidupkan kembali Sunnah Nabi lbrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Dalam Surat al-Baqarah ini juga sudah mula diadakan perintah Jihad, kebolehan berperang di dalam mempertahankan akidah.

 

Hubungan dengan Surah Fatihah

Ada hubungan yang berkait rapat (robtus suwar) antara Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah. Susunan Surah Baqarah itu terletak selepas Surah Fatihah dan susunan ini adalah tawqifi – maknanya susunan itu daripada Allah ﷻ dan bukan Nabi ﷺ susun sendiri. Bukan Nabi ﷺ buat sendiri tetapi dipandu oleh Allah ﷻ dan tentunya ada hikmah kenapa ia disusun sebegitu. Kalau diikutkan susunan dari masa diturunkan, tentulah bukan Surah Al-Baqarah yang mula sekali diturunkan kerana ia diturunkan di Madinah. Oleh kerana itu, ulama’ telah ramai yang mengkaji kaitan antara Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah.

Antara yang memberi pendapat adalah seorang ulama’ yang bernama Al-Razi. Beliau mengaitkan antara ayat terakhir Surah Al-Fatihah dan awal Surah Al-Baqarah. Ayat Surah Al-Fatihah berakhir dengan صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ. Maka Allah ﷻ hendak menjelaskan tentang empat golongan itu.

Manakala di awal Surah Al-Baqarah memang menerangkan beberapa golongan yang dimaksudkan dalam Surah Al-Fatihah itu. 5 ayat pertama tentang mereka yang diberi nikmat. Mereka diberi nikmat itu kerana sifat mereka, bukannya kerana keturunan mereka dan sebagainya. Oleh itu, kalau kita mahu mendapatkan apa yang seperti mereka dapat, maka hendaklah mempunyai sifat seperti mereka.

Ayat 6 dan 7 adalah tentang golongan yang dimurkai, iaitu golongan Musyrikin dan Yahudi. Allah ﷻ kunci hati mereka kerana kedegilan mereka. Maka jangan kita degil seperti mereka.

Ayat 8 – 16 tentang golongan munafikin.

Ayat 17 dan 18 adalah bandingan antara Yahudi dan musyrikin. Supaya kita senang tahu siapakah Yahudi dan siapakah musyrikin.

Ayat 19 – 20 pula adalah bandingan kepada golongan munafikin.

Kesimpulannya, 20 ayat pertama dalam Surah Al-Baqarah ini adalah untuk menjelaskan siapakah golongan yang empat itu.

Satu lagi kaitan Surah Al-Baqarah dengan Surah Al-Fatihah adalah kita telah meminta hidayah dalam Surah Al-Fatihah – اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ. Maka Allah ﷻ jawab yang hidayah itu ada dalam Al-Qur’an dalam ayat ذٰلِكَ الكِتابُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِلمُتَّقينَ. Kita mahukan jalan yang lurus yang menepati kehendak Tuhan. Hendak tahu, kena belajar tafsir Al-Qur’an.

Kaitan yang ketiga adalah persamaan dalam Dakwa kedua-dua surah. Dakwa Surah Al-Fatihah adalah tauhid fi ibadah dan tauhid fi dua’. Dalam hadith telah disebut yang doa itu adalah otak kepada ibadah. Doa itu adalah ibadah sebenarnya. Maka seorang hamba hendaklah sentiasa, setiap waktu meminta pertolongan kepada Allah ﷻ. Di manakah Dakwa Surah Al-Baqarah? Ayat 21:

يا أَيُّهَا النّاسُ اعبُدوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم وَالَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

Inilah maksud terpenting yang Allah ﷻ hendak beritahu kepada semua pembaca Al-Qur’an iaitu untuk sembahlah Allah ﷻ. Bukan sembah dalam maksud biasa, tetapi dalam bentuk tauhid.

Iaitu sebenarnya, ia menyentuh tentang mentauhidkan Allah ﷻ. Ibn Abbas  pernah berkata yang setiap lafaz ‘ibadat’ dalam Al-Qur’an bukan bermaksud sembarangan. Sebab lafaz ‘ibadat’ boleh jadi bermacam-macam. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah pun buat ibadat juga tetapi Allah ﷻ kata mereka itu Musyrikin. Ini kerana mereka buat ibadat tetapi dalam pada itu mereka membuat syirik juga.

Oleh itu, kata Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, setiap lafaz ibadat dalam Al-Qur’an bermaksud ‘Tauhid dalam ibadat’. Bukan ibadat yang bercampur antara ibadat kepada Allah ﷻ dan kepada selain Allah ﷻ. Macam masyarakat kita, mereka solat juga tetapi masih jumpa bomoh dan seru selain Allah ﷻ.

Secara ringkasnya, ada tiga kaitan antara Surah Fatihah dan Baqarah:

1. Al-Baqarah menjelaskan 4 golongan yang disebut dalam ayat صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ

2. Al-Baqarah menjelaskan bagaimana hendak mendapatkan jalan yang lurus seperti yang kita minta dalam ayat اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ

3. Dakwa Surah yang sama dalam Al-Fatihah dan Al-Baqarah.

 

Kelebihan Surah ini:

Hadith mengatakan bahawa jikalau Surah Al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, jin syaitan akan keluar dari rumah itu. Ia adalah hadith riwayat daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”.
(Riwayat Muslim (780))

Pengajaran kepada kita adalah untuk memperbanyakkan baca Surah Baqarah di dalam rumah. Inilah cara ‘memagar’ rumah yang sahih. Jangan panggil bomoh pagar rumah dengan amalan-amalan karut pula sedangkan Nabi ﷺ sendiri sudah ajar cara memagar rumah kepada kita.

Daripada Abu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
“Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir daripada surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.”
(Riwayat al-Bukhari (5009))

Syarah: Antara makna ‘telah cukup baginya’ di dalam hadith di atas sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini terbahagi kepada beberapa makna:

• Telah cukup baginya qiyamullail (bangun di tengah malam untuk beribadah)
• Telah cukup baginya untuk membaca Al-Qur’an sama ada di dalam atau di luar solat.
• Telah cukup baginya perkara-perkara yang melibatkan aqidah kerana ayat tersebut menceritakan tentang keimanan dan amalan secara umum.
• Telah cukup baginya (terselamat) daripada segala keburukan.
• Telah cukup baginya (terselamat) daripada keburukan syaitan
• Telah menolak keduanya (ayat tersebut) daripada keburukan manusia dan jin.
• Telah cukup baginya untuk mendapatkan kebaikan daripada keduanya.

Melihat kepada makna-makna di atas, Imam Ibn Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan boleh jadi yang dimaksudkan oleh hadith adalah semua yang telah disebutkan.

Surah Baqarah juga boleh memberi syafaat kepada ahlinya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi ﷺ bersabda :

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ
“Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.”
(Riwayat Muslim (1910))

Selain daripada memberi syafaat, kita boleh nampak di dalam hadith ini yang tukang sihir tidak dapat mengalahkan orang yang mengamalkan surah Baqarah. Daripada hadith ini juga surah ini dinamakan juga dengan الزهراء yang bermaksud ‘terang benderang’, kerana kandungan surah ini menerangi jalan dengan terang benderang menuju kebahagiaan dunia dan akhirat, serta menjadi penyebab bersinar terangnya wajah siapa yang yang mengikuti petunjuk-petunjuk surah ini kelak di kemudian hari.

Daripada Nawwas Ibn Sam’an رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
يَأْتِي الْقُرْآنُ وَأَهْلُهُ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ بِهِ فِي الدُّنْيَا، تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ.
“Akan datang al-Qur’an bersama para ‘ahlinya’ yang mengamalkannya di dunia, dikepalai (didahului) oleh surah al-Baqarah dan surah Ali ‘Imran.”
(Riwayat Muslim (1338) dan al-Tirmidzi (2808))

Para sahabat memuliakan sesiapa yang menghafal al-Baqarah dan Ali Imran. Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata:

الرجلُ إذا قرَأَ البَقرة وآل عمران، جَدَّ فينا- يعني: عظُم- وفي رواية: يُعَدُّ فينا عَظيمًا، وفي أخرى: عُدَّ فينا ذا شأنٍ
“Seseorang yang menghafaz surah al-Baqarah dan Ali Imran, seorang yang agung di sisi kami – dalam sebahagian riwayat lain: “Kami mengira dia seorang yang agung – dalam riwayat lain: “Kami mengiranya seorang yang memiliki kedudukan.” (Ahmad dan Ibn Hibban. Ibn Taimiyyah menilai sanad riwayat ini sebagai Sahih di dalam al-Sarim al-Maslul. Ibn Kathir pula di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menyatakan: “Riwayat ini berdasarkan syarat dua orang syeikh (al-Bukhari dan Muslim).” Al-Albani juga menilai riwayat ini sebagai Sahih di dalam Sahih al-Mawarid.)

Riwayat Imam Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ yang berbunyi,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لِكُلِّ شَيْءٍ سَنَامٌ وَإِنَّ سَنَامَ الْقُرْآنِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَفِيهَا آيَةٌ هِيَ سَيِّدَةُ آىِ الْقُرْآنِ هِيَ آيَةُ الْكُرْسِيِّ ‏”
“Rasulullah ﷺ mengatakan segala sesuatu di dunia memiliki puncak. Dalam Al-Qur’an puncaknya adalah surat Al-Baqarah. Di dalam Al Baqarah ada ayat yang merupakan tuan daripada ayat yang lain iaitu Ayat Kursi.”
(HR. Tirmidzi no. 2878, al-Humaidi dalam Musnadnya no. 994, daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ)
Gharib menurut Imam Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ
Dhaif menurut Syeikh al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ dalam Dhaif Tirmidzi kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang didhaifkan para nuqqad seperti Imam Ahmad, Ibnu Main, Abu Hatim, Ibnu Hajar dll, iaitu Hakim bin Jubair (Tuhfat al-Ahwadzi no. 7/298))

Oleh kerana itulah salah satu nama surah ini adalah السنام yang bermaksud puncak. Ini kerana tiada lagi puncak petunjuk setelah Kitab suci ini, dan tiada puncak setelah kepercayaan kepada Allah ‎ﷻ Yang Maha Esa dan kepastian hari Kiamat.


 

SIFAT ORANG MUKMIN

Baqarah Ayat 1: Bermula ayat 1 sehingga ayat 39 adalah Mukaddimah surah ini. Mukaddimah pula boleh dipecahkan lagi kepada beberapa bahagian.

الٓمٓ

Aliff, Lam, Miim

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib.

Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqatta’ah. Ia termasuk ayat-ayat Mutashabihaat (samar maknanya dan tidak jelas), bukan Muhkam. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong atau terputus kerana huruf yang ada disebut satu persatu seperti dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak diketahui kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas. Akan tetapi ini juga adalah pendapat kerana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah beritahu kita: ia ada makna tetapi kita sahaja tidak tahu.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Maka kita sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan. Maka ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia adalah kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan mim, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alam’. Namun tidak pula dalam kes Surah Baqarah ini (dan banyak surah-surah lain) ia pelik kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya. Ia telah menarik perhatian mereka untuk dengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Maka ada hikmah lain yang diutarakan. Tujuannya adalah untuk menzahirkan kehebatan Al-aQur’an. Iaitu sebagai cabaran dan sindiran kepada golongan Arab Mekah yang kononnya pandai bahasa itu. Allah ﷻ menyebut huruf yang ada di dalam bahasa Arab mereka itu seolah-olah perli: ‘Inilah dia huruf daripada bahasa kamu juga. Kamu kata Muhammad yang reka Al-Qur’an ini, maka nah sekarang pakailah juga huruf-huruf yang sama untuk membuat satu Al-Qur’an lagi kalau kamu hebat sangat!’

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang tahu) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan bahasa Arab.

Ringkasnya, ada 4 pendapat tentang Huruf-huruf Muqatta’ah ini:

1. Ada makna dan maknanya alif untuk Allah ﷻ, lam untuk Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mim untuk Muhammad ﷺ. Akan tetapi pendapat ini tiada dalil dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Maka jangan bersandar kepada sesuatu yang rapuh.

2. Ada makna tetapi hanya Allah ﷻ yang tahu. Ini pun tiada dalil.

3. Tidak ada makna (tetapi ada hikmah – iaitu untuk Allah ﷻ zahirkan kehebatan Al-Qur’an). Antara yang mengatakan tidak ada makna adalah Mujahid, tabein menggunakan tafsir Al-Qur’an.

4. Tawaqquf, tidak menyebelahi mana-mana pendapat tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

11 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 1 (Pengenalan Surah Baqarah)”

  1. Assalamualaikum w.b.t,
    Saya ingin bertanya sedikit tentang tafsiran pada Ayat 10 yang bermaksud “Maka Allah akan tambah bagi mereka penyakit baru” ..Ustaz memberi contoh tentang bertawassul dalam berdoa. Saya berharap dapat ustaz perjelaskan dengan lebih lanjut, kerana bertawasul itu bermakna menggunakan perantara dalam berdoa. Dalam solat berjemaah juga kita bertawassul dalam berdoa kerana mengaminkan doa imam sebagai contoh adakah ianya menjadi kesalahan. Kalau tak salah saya bertawassul dalam berdoa ada dua kategori:Tawassul ada dua iaitu yang di bolehkan dan tidak dibenarkan:

    Tawassul yang disyari’atkan (diperbolehkan), yaitu tawassul untuk tujuan tertentu dengan perantara yang dibenarkan oleh syari’at Islam. Seperti bertawassul dengan nama-nama (asma’) dan sifat Allah, bertawassul dengan amal soleh kita yang telah kita lakukan serta dengan perantaraan do’a orang yang masih hidup.

    Selain tiga bentuk tawassul ini tidak- pernah ditetapkan dasar hukumnya dalam agama Islam, padahal segala bentuk ibadah yang dapat mendekatkan diri kepada Allah harus berdasarkan pada syari’at Allah Subhannahu wa Ta’ala yang di bawa oleh Nabi Muhammad Shalallaahu alaihi wasalam . (Harus ada dalilnya).

    Tawassul yang tidak disyari’atkan (tidak dibenarkan), yaitu bertawassul dengan perantara-perantara yang tidak ada dalil atau dasar hukumnya di dalam Islam.

    Mohon pencerahan ustaz

    Terima kasih ustaz
    Assalamualaikum w.b.t

    Like

    1. Assalamualaikum,
      Terima kasih atas soalan dan prihatin anda tentang perkara ini. Nampaknya saudara sudah faham tentang maksud ‘tawasul’, jadi tidak perlu saya huraikan tentang apakah tawasul itu.
      Berkenaan doa yang imam baca selepas solat berjemaah, kita perlu lihat adakah hadith2 yang mengatakan Nabi saw baca doa selepas solat dan diaminkan oleh makmum semasa hayat baginda? Atau adakah hadith2 yg memberitahu para sahabat buat begitu selepas selesai mengimamkan solat ? Jawapannya tidak. Padahal, ada banyak hadis2 yang menyentuh tentang apa yang Nabi lakukan selepas solat – Nabi berpusing, Nabi tanya adakah para sahabat bermimpi malam tadi, Nabi tanya adakah sesiapa yang berbuat kebaikan, Nabi terus bangun dan bersenggeng, Nabi terus bangun dan pergi selesaikan masalah satu kaum. Ini setakat yang saya tahu sahaja. Dan tidak ada satu pun hadis yang mengatakan Nabi berdoa selepas solat jemaah.
      Solat jemaah memang dituntut. Tapi doa berjemaah tidak dituntut. Doa seeloknya buat bersendirian kerana hajat kita dan hajat tok imam berlainan. Lagi pun, doa kita untuk diri kita lebih ikhlas lagi dari doa orang lain.
      Ini termasuk juga wirid/zikir beramai-ramai selepas solat. Ia bukan syariat Islam. Jika awak pernah ke mekah, atau awak tanyalah sesiapa yg pernah ke mekah dan bersolat di Masjidil haram, adakah imam membaca wirid dan doa beramai2 selepas selesai solat? Tidak bukan?
      Tawassul yg dibenarkan cuma ada 2 seperti yg awak sebutkan di sini. Perantaraan doa orang yang masih hidup adalah di larang. Saya faham, kamu merujuk kepada hadith yg mana Nabi saw beritahu sahabatnya Umar dan Ali supaya meminta Uwais Al Qarni mendoakan agar Allah ampunkan dosa-dosa mereka, dan juga hadis di mana Umar arahkan Abbas berdoa sewaktu umar mengimami solat istisqa’, iaitu solat minta hujan. Saya cuba jelaskan.
      Di sini kita perlu faham bahawa dalam kes Uwais al Qarni:-
      1. Nabi saw tidak menyatakan secara umum boleh meminta orang lain doakan, tetapi baginda menyebut Uwais al Qarni secara khusus, kerana ia adalah wahyu daripada Allah yang memberitahu baginda berkenaan ini. Ianya adalah sebagai penghormatan kepada Uwais yang mana Allah menunjukkan ada juga orang lain yang tidak bertemu dengan Nabi tapi dia seorang yang mulia. Oleh itu, hanya untuk kisah ini sahaja dibolehkan, sebab ia daripada Nabi. Bagaimana kita nak tahu seseorang itu makbul doanya jika Nabi saw tak beritahu? Nabi tahu pun kerana diberitahu oleh Allah melalui Jibril. Kalau tidak, Nabi sendiri pun tidak tahu kerana Nabi tidak pernah berjumpa dengan Uwais. Adakah kita boleh dapat wahyu seperti Nabi? Adakah selepas itu Nabi saw ada mengarahkan sesiapa minta orang lain doakan untuk diri mereka, contohnya minta Abu Bakar, atau Umar, atau Usman atau Ali doakan? Tidak bukan, jadi ini adalah kisah yang spesifik. Di dalam Quran pula terdapat banyak ayat2 yg melarang kita bertawassul. Antaranya ialah:-

      a. Ali Imran ayat 79 – 80 – Takkan nabi ajar kita buat syirik selepas ajar kita tauhid?
      b. Al Ghafir ayat 60 – Allah arahkan kita berdoa terus kepada Dia
      c. Al Ikhlas ayat 2 – Allah menjadi tumpuan makhluk utk berdoa
      d. Al Baqarah ayat 186 – Allah mengatakan bahawa Dia adalah hampir dengan kita, jadi berdoalah kepada terus.

      2. Dalam kes Umar minta Abbas doakan, ia berlaku sewaktu solat istisqa’, iaitu khusus untuk situasi itu saja. Umar telah meminta Abbas menjadi imam untuk solat itu dan dia juga membaca doa. Ini menunjukkan tawadduk Umar. Walaupun beliau adalah sahabat yang besar, dan telah dijanjikan syurga oleh Nabi, tapi beliau masih lagi meminta orang lain untuk meimamkan solat itu. Lagi pula doa di sini adalah doa meminta hujan turun. Hujan adalah untuk kepentingan semua masyarakat, bukan untuk kepentingan Umar sahaja.
      Tentang aminkan doa, itu tidaklah dikatakan tawasul. Itu adalah doa khusus kita kepada Allah supaya memakbulkan doa yang baru sahaja dibaca. Seperti juga kita mengaminkan bacaan fatihah imam dalam solat. Itu memang dituntut.
      Tawassul dengan makhluk, sama ada masih hidup atau sudah meninggal adalah di larang. Tawassul dengan benda juga dilarang (seperti pakai tangkal, atau menggunakan garam dan lada hitam untuk halau jin, dan macam2 lagi). Tawassul lah yang menjadikan kaum Arab Jahiliyyah digelar musyrikin mekah (mereka bertawassul dengan Latta, Uzza dan Manan, iaitu berhala2 yg diletakkan di sekeliling kaabah). Kerana mereka percaya Allah yang memakbulkan doa, tapi mereka menggunakan berhala-berhala itu sebagai wasilah untuk menyampaikan doa kepada Allah.
      Tawassul juga adalah punca kenapa Kristian, Hindu dan Buddha sesat. Jika ada kawan yg menganut agama2 ini, awak boleh tanya adakah patung2 yg mereka sembah itu tuhan? Atau adakah Nabi isa itu tuhan? Pasti mereka jawab tidak. Jadi yang mereka sembah patung2 tu bukannya sembah sebagai tuhan, tetapi sebenarnya bertawassul agar patung2 yg mewakili dewa2 atau nenek moyang mereka itu sampaikan hajat mereka kepada Allah. Mereka juga akan ke kuil/tokong/gereja untuk meminta tok sami, sami Buddha dan paderi2 mendoakan hajat2 mereka yang tertentu., lebih2 lagi jika hajat itu besar.
      Cuba perhatikan, serupa tak dengan kita umat Islam di Malaysia ni. Bila ada hajat atau ada masalah besar, kita akan suruh ustaz2, tok2 guru atau ulama2 doakan kita seperti di dalam kenduri doa selamat, dalam majlis tahlil atau ketika solat hajat berjemaah. Siap bagi duit upah lagi. Kan sama saja amalan kita dengan amalan2 yg dibuat oleh Kristian, Hindu dan Buddha?
      Memang ada hadis yang menceritakan sahabat meminta Nabi mendoakan untuk mereka. Ini adalah khusus kepada Nabi kerana baginda Nabi dan doa baginda makbul. Tapi, zaman sekarang, siapakah yang makbul doanya? Mungkin kita ingat ustaz-ustaz, guru-guru, tok imam-tok imam itu makbul doa mereka kerana mereka ‘nampak baik’. Tapi, siapa yang tahu kedudukan mereka di sisi Allah? Tidak ada sesiapa yang pasti dan dapat memastikan.
      Salah faham itulah yang dimaksudkan ‘penyakit’ dalam hati masyarakat. Masyarakat yang jahil ingat Allah itu tidak mendengar doa mereka kerana mereka banyak dosa. Dan mereka ingat, apabila doa itu dari ustaz dan lain-lain, baru Allah nak dengar. Hasilnya, manusia tak belajar cara berdoa yang betul. Hasilnya, manusia menyanjung tinggi orang lain yang mereka harapkan, padahal itu bukanlah ajaran dari agama.
      Tahukah awak di dalam quran, apabila ada perkataan ‘rugi’ sahaja bermakna mereka ini akan kekal di dalam neraka?
      Contoh:-

      Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
      (A-li’Imraan 3:85)

      Tidak syak lagi, bahawa sesungguhnya merekalah yang paling rugi, pada hari akhirat kelak.
      (Hud 11:22)

      Bagaimana pula jika Allah murka? Tahukah anda tawassul adalah dosa yang menyebabkan Allah murka? Nak tahu bagaimana murkanya Allah? SIla lihat ayat berikut:-

      Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”
      (Maryam 19:88)

      Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
      (Maryam 19:89)

      Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –
      (Maryam 19:90)

      Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.
      (Maryam 19:91) |

      Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.
      (Maryam 19:92) |

      Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.
      (Maryam 19:93)

      Kenapa Allah menggunakan terma ‘anak’ dalam banyak ayat dalam Quran? Kristian menjadikan Nabi Isa sebagai ‘anak’ Tuhan. Yahudi menjadikan Nabi Uzair sebagai ‘anak’ Tuhan. Musyrikin Mekah menjadikan para malaikat sebagai ‘anak’ perempuan Tuhan dan mereka telah memuja malaikat-malaikat itu.
      Bukan mereka sahaja yang bersalah dalam hal ini. Anak yang dimaksudkan dalam ayat-ayat itu adalah ‘anak angkat’. Iaitu satu ‘pangkat’ yang diberikan oleh manusia yang jahil. Mereka sangka ‘anak angkat’ Allah akan menyampaikan doa mereka kepada Allah. Katakanlah di pejabat tempat kita bekerja, ada seorang yang seperti ‘anak angkat’ kepada bos kita. Ada antara pekerja yang akan minta ‘anak angkat’ itu untuk menyampaikan permintaan mereka kepada bos. ‘Anak angkat’ itu boleh juga dikira sebagai ‘pekerja kesayangan’.
      Itu adalah dalam hal dunia, bolehlah begitu. Tapi dalam kerajaan Allah taala, tidak begitu. Allah tidak memerlukan perantaraan dalam berdoa kepadaNya. Terus sahaja berdoa kepada Allah.

      Saya harap awak jelas dalam isu tawassul. Marilah kita belajar tafsir quran secara talaqqi agar kita kenal agama kita, kenal tuhan kita, kenal nabi kita dan kenal diri kita sendiri. Kalau baca di sini, takut tidak jelas. Oleh itu seeloknya datang ke kelas sendiri dan kalau ada pertanyaan, boleh terus tanya kepada ustaz supaya lebih jelas lagi. Penting untuk kita semua belajar tafsir Quran kerana belajar tafsir quran adalah wajib ke atas kita. Dalilnya:-

      Dan sesiapa yang tidak mengambil peduli pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.
      (Az-Zukhruf 43:36)

      Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
      (Az-Zukhruf 43:37)
      Pesan saya untuk awak dan untuk diri saya sendiri, berdoalah dalam setiap sujud agar Allah tunjukkan kita jalan yang lurus. Kerana kita takkan mampu berada di atas jalan yang lurus tanpa rahmat daripada Allah.
      Wallahualam..

      Like

  2. assalamualaikum tuan,

    saya dapati ada kemaskini terbaru dalam tadabbur surah al baqarah ini. terima kasih kerana sentiasa memberikan huraian yang terbaek untuk pembaca.

    Cuma boleh ke saya minta keseluruhan tadabbur ini (114 surah) dalam softcopy sekiranya ada. saya ada cuba untuk save dan akan print kemudian. cuma ia mengambil masa yang agak panjang untuk dilengkapkan.

    Maaf sekiranya ada diberitahu di mana-mana bahagian yang tidak dapat diberikan seperti yang saya minta.

    Terima kasih.

    Like

  3. Assalamualaikum tuan

    Boleh tuan asingkan ayat surah al-baqarah juz 3 yang bermula dari ayat 253 dan berakhir ayat 286 untuk memudahkan pemcarian.

    Begitu juga minta tuan admin edit glosari ayat dalam juzuk 2 yang hanya berakhir dengan ayat 143. Kalau boleh glosari ayat berakhir dengan ayat dalam juzuk 2 untuk mudahkan pencarian. Baarakallahu fiikum

    Jazakumullahu khaira

    Like

Leave a reply to Ahmad Cancel reply