Tafsir Surah Yaasin Ayat 41 – 43 (Nikmat kenderaan)

TANDA-TANDA ALLAH. 4) RAHMAT DI LAUTAN

Yaasin Ayat 41: Dalil aqli yang seterusnya. Sebelum ini disebut berenangnya (يَسْبَحُونَ) matahari dan bulan di dalam lautan angkasa, sekarang disebut berenangnya kapal-kapal di lautan pula sebagai alat pengangkutan bagi manusia. Pergerakan matahari dan bulan mungkin susah untuk dibayangkan oleh manusia terutama orang zaman dahulu, tetapi pelayaran di lautan lebih dekat dengan kita.

وَءآيَةٌ لَّهُم أَنّا حَمَلنا ذُرِّيَّتَهُم فِي الفُلكِ المَشحونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And a sign for them is that We carried their forefathers1 in a laden ship.

  • Usually meaning “descendants” or “offspring,” the word “dhurriyyah” is used here to denote forefathers (their being the offspring of Noah), who were saved from the flood.

(MELAYU)

Dan suatu tanda (kebesaran Allah yang besar) bagi mereka adalah bahawa Kami angkut keturunan mereka dalam bahtera yang penuh muatan.

 

وَءآيَةٌ لَهُمْ

Dan di antara dalil lagi bagi manusia adalah, 

Allah ‎ﷻ beri lagi dalil untuk menyokong pemberitahuan yang Allah ‎ﷻ itu Maha Berkuasa. Allah ‎ﷻ boleh melakukan apa sahaja.

 

أَنَّا حَمَلْنَا ذُرِّيَّتَهُمْ فِي الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ

Kami angkat bawa zuriat-zuriat mereka dalam kapal yang sarat.

Sebelum ini, Allah ‎ﷻ sudah suruh kita melihat kepada bumi. Dengan tanaman dan binatang yang melata. Kemudian Allah ‎ﷻ suruh kita melihat kepada langit pula – matahari dan bulan. Sekarang Allah ‎ﷻ suruh kita lihat kepada lautan. Disuruh kita memandang kepada kapal (الْفُلْكِ) pula. Sebelum ini kita dikenalkan dengan فَلَكٍ yang bermaksud orbit. Keduanya daripada kata dasar yang sama yang berkongsi maksud round-trip. Sebagaimana orbit adalah round-trip, begitu juga apabila kapal mula belayar, bukankah kita berharap dan berdoa yang ia bukan sahaja pergi tetapi akan kembali (round-trip)? Sebagaimana matahari يَسْبَحُونَ, begitu juga الْفُلْكِ dan kali ini di lautan pula.

Kenapa Allah ‎ﷻ suruh melihat kapal? Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita yang Dia telah memberi kita kemudahan untuk bermusafir di alam ini. Musafir yang paling susah adalah di lautan kerana laut yang bergelora dan kita bergantung kepada angin untuk meneruskan perjalanan. Akan tetapi Allah ‎ﷻ tundukkan lautan untuk manusia menggunakannya. Walaupun susah, tetapi Allah ‎ﷻ telah beri nikmat kepada kita untuk bermusafir menggunakan pengangkutan lautan. Allah ‎ﷻ memberi contoh pengangkutan laut, kerana ia adalah jenis pengangkutan yang sukar tetapi sering dilakukan oleh manusia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ibrahim: 32

وَسَخَّرَ لَكُمُ الفُلكَ لِتَجرِيَ فِي البَحرِ بِأَمرِهِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الأَنهٰرَ
dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai.

Kenapa kapal ini menjadi salah satu daripada ءآيَةٌ? Sekiranya kita meletakkan besi ke dalam air, tentu ia tenggelam bukan? Namun kenapakah apabila kapal besi yang amat besar, menanggung pula muatan bertan-tan itu tetapi boleh pula timbul? Kapal-kapal yang terapung menggunakan konsep daya keapungan (buoyancy force). Daya ini akan menolak kapal itu untuk kekal terapung di atas air. Konsep ini menggunakan prinsip fizik iaitu prinsip Archimedes yang ditemukan oleh Archimedes sendiri yang merupakan seorang ahli fizik yang terkenal. Apakah itu prinsip Archimedes? Prinsip ini menyatakan bahawa apabila sesuatu objek diletakkan ke dalam air atau bendalir, daya apungan yang menolak objek itu adalah sama dengan berat air atau bendalir yang disesarkan.

Namun itu hanyalah penjelasan dari sudut sains fizik. Dari sudut hakikatnya, hukum alam (fizik) ini adalah kerana Allah ﷻ yang menentukannya dan begitulah Allah ﷻ tundukkan air laut buat kita. Kapal yang diperbuat daripada besi atau bahan lain yang berat, boleh pula ia timbul dan berjalan sekian jauh. Ini semua adalah kerana rahmat yang Allah ‎ﷻ berikan. Allah ‎ﷻ kata Dia yang bawa kita di atas kapal itu.

Jadi kapal adalah salah satu daripada tanda-tanda Allah ‎ﷻ yang kita boleh perhatikan dan fikirkan. Mungkin kita tidak nampak kepentingan kapal ini kerana kita bukannya menaiki kapal hari-hari. Akan tetapi jasa kapal itu amatlah besar bagi kita kerana banyak keperluan kita dipenuhi dengan adanya pengangkutan kapal di laut. Bayangkan segala barang yang kita perlukan dibawa dari negara yang jauh melalui jalan laut, sama ada makanan, pakaian dan sebagainya. Walaupun ada lagi cara pengangkutan lain, akan tetapi cara pengangkutan laut adalah cara yang paling ekonomik untuk penghantaran barangan sejak zaman berzaman.

Maka perhatikanlah nikmat kapal dan laut ini yang Allah ﷻ telah mudahkan untuk kita seperti firman-Nya di dalam Luqman: 31

أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.

Pendapat yang kuat mengatakan bahawa الْفُلْكِ (kapal) yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana dalam Syuara’: 119 telah digunakan perkataan yang sama – الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ – di dalam ayat itu memang menceritakan tentang bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

فَأَنجَينٰهُ وَمَن مَّعَهُ فِي الفُلكِ المَشحونِ
Maka Kami selamatkan Nuh dan orang-orang yang bersertanya di dalam kapal yang penuh muatan.

Adh-Dhahhak, Qatadah dan Ibnu Zaid menjelaskan erti ذُرِّيَّتَهُمْ (keturunan mereka) di sini ialah nenek-moyang kita. Iaitu nenek-moyang manusia yang dibawa berlayar dengan bahtera oleh Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu datuk manusia yang kedua sesudah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita mungkin sangka istilah zuriat untuk keturunan di bawah sahaja, tetapi ia juga boleh merujuk kepada keturunan di atas. Nenek-moyang yang dibawa menumpang di dalam bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itulah yang menurunkan manusia yang ada di muka bumi yang sekarang.

Namun begitu dalam masa yang sama, ia juga boleh juga digunakan untuk menceritakan tentang pengangkutan laut yang digunakan sekarang. Tidak semestinya hanya merujuk kepada bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja.

Kalimah ذُرِّيَّتَهُمْ juga bermaksud zuriat keturunan di bawah. Ini bermaksud, penghuni bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukan sahaja naik dengan diri mereka sahaja, tetapi mereka bawa bersama mereka ‘zuriat’ mereka. Kerana nanti daripada merekalah yang akan berkembang biak keturunan manusia yang seterusnya.

Malah secara umumnya, kalimah ذُرِّيَّتَهُمْ boleh digunakan pada mana-mana pelayar terutama zaman dahulu kerana perjalanan kapal zaman dulu amat jauh. Seringkali perjalanan kapal itu satu hala sahaja kerana apabila sampai ke destinasi yang jauh dan mereka menilai tempat yang baru itu bagus untuk penempatan, mereka akan terus tinggal di situ. Ini bermakna mereka membawa ‘zuriat’ mereka juga kerana keturunan mereka akan berkembang biak di tempat yang baru itu. Sebelum ini telah disebut tentang perjalanan matahari dan bulan. Perjalanan itu isyarat kepada masa yang berlalu kerana matahari dan bulan digunakan untuk menunjukkan masa. Selari dengan perjalanan masa, berkembang biaklah keturunan di atas muka bumi ini zaman berzaman.

Ada juga keadaan di mana ibubapa menghantar ذُرِّيَّتَهُمْ iaitu anak-anak mereka menaiki kapal laut, atau kapal terbang untuk merantau ke tempat yang jauh. Sama ada untuk belajar di tempat yang jauh atau untuk mencari rezeki di benua yang lain. Kenapa? Untuk mencari kehidupan yang lebih baik, bukan? Musyrikin Mekah juga buat begitu, begitu jugalah kita sekarang. Namun begitu ada peringatan di sini, jangan kita hanya memikirkan tentang kehidupan dunia mereka sahaja. Kadangkala ibubapa hanya pentingkan anak mereka mendapat pendidikan hebat di universiti luar negara, supaya dapat kerja yang hebat apabila balik nanti. Akan tetapi adakah ia berbaloi? Bagaimana kalau mereka itu pergi dan bawa balik budaya Barat, pandangan Barat tentang agama yang mereka tidak endahkan? Memang anak-anak itu mendapat kerja baik, tetapi bagaimana dengan agama mereka? Kita perhatikan ramai yang berpendidikan tinggi tetapi tidak menghiraukan agama (bukan semua, ramai sahaja yang jadi lebih pandai dalam bidang agama). Maka di sini diingatkan kepada ibubapa untuk memikirkan pendidikan agama juga, jangan melebihkan pendidikan dunia sahaja. Allah ‎ﷻ menegur manusia yang hanya memandang dunia di dalam Rum: 7

يَعْلَمُونَ ظَاهِرًۭا مِّنَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَهُمْ عَنِ ٱلْءَاخِرَةِ هُمْ غَـٰفِلُونَ
“Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir sahaja daripada kehidupan dunia; sedangkan mereka lalai terhadap (kehidupan) akhirat.”

Akan tetapi sebaliknya terdapat juga yang berpandangan ekstrem pula. Iaitu ibubapa yang terlalu menjaga anaknya sampaikan anaknya tidak terdedah langsung tentang realiti dunia luar (dan keburukan-keburukan yang banyak). Anak itu terpelihara sungguh sampai tidak tahu pun ada bermacam-macam jenis manusia. Namun setakat mana ibubapa boleh mengawal anaknya? Sampai satu ketika, anak itu akan terpaksa juga menghadapi dunia luar. Adakah mereka mampu menghadapinya? Selama ini mereka terkawal langsung tidak tahu adanya orang jahat, ada penipu, ada hiburan yang berbagai-bagai. Tiba-tiba mereka terdedah tetapi tanpa pengajaran awal tentang benda itu semua. Jadi kita janganlah kawal sangat anak-anak. Mereka kena tahu tentang dunia luar dan tahu apakah keburukan yang ada di dalamnya. Kalau kita halang mereka, ini juga tidak baik bagi mereka. Memang susah menjaga anak lebih-lebih lagi zaman sekarang kerana ada banyak sangat benda yang tidak elok dalam dunia ini.

Rentetan ayat-ayat Surah Yaasin ini tentang pasangan. Sekarang disebut pasangan bagi pasangan itu iaitu zuriat. Apabila ada pasangan, selalunya ada zuriat, bukan? Bukan sahaja manusia akan tetapi binatang juga. Memang binatang yang dibawa di dalam kapal Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu berpasang-pasangan termasuk juga pokok-pokok. Kerana itu digunakan kalimah الْمَشْحُونِ (penuh sarat). Ini kerana selain manusia, iaitu Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak-anak baginda dan beberapa orang yang beriman laki-laki dan perempuan, dimasukkan juga ke dalam bahtera itu binatang-binatang berpasang-pasangan, jantan dan betina. Ada gajah, ada singa, ada harimau, ada buaya, ada babi, ada kambing, ada sapi dan lain-lain binatang, baik yang liar ataupun yang jinak. Binatang-binatang itu yang menurunkan binatang-binatang yang ada sekarang.

Lebar bahtera itu dikatakan sepanjang 300 kaki. Bahtera tersebut dibina mengikut perintah Allah ‎ﷻ. Tuhan mengajar Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melalui Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mengajar kepada Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cara untuk membina bahtera tersebut. Atau Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan orang lain membina bahtera itu berdasarkan spesifikasi yang telah disampaikan oleh Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ‎ﷻ berfirman tentang hal ini di dalam Hud: 37

وَٱصْنَعِ ٱلْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا
“Dan buatlah kapal itu dengan pengawasan Kami dan menurut wahyu Kami

Begitu juga Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Mukminoon: 27

فَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِ أَنِ ٱصْنَعِ ٱلْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا
“Maka Kami wahyukan kepadanya: Buatlah kapal di bawah pengawasan dan petunjuk wahyu Kami”

Malah Allah ‎ﷻ beritahu daripada bahan apakah bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu dijadikan dan disebut di dalam Qamar: 13

وَحَمَلنٰهُ عَلىٰ ذاتِ أَلوٰحٍ وَدُسُرٍ
Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) daripada keping-keping papan dan paku;

Hanya mereka yang berada dalam kapal itu sahaja yang selamat. Kalaulah manusia dalam kapal itu tenggelam masa itu, kita ini takkan ada. Kita ini adalah keturunan kedua Islam. Keturunan pertama adalah daripada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kemudian mereka telah mula kafir. Mereka telah melakukan syirik dengan memuja guru-guru agama mereka. Kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memuja lima orang guru sebagai wakil Tuhan. Bermakna, mereka juga telah membuat amalan tawasul. Ditenggelamkan mereka semua sekali.

Untuk bayangkan betapa dalamnya banjir itu, apabila bahagian bawah kapal tidak langsung mencecah gunung yang yang paling tinggi yang sudah tenggelam itu! Hanya apabila Tuhan berkata “Wahai langit, berhenti!”, barulah air hujan berhenti turun dan air mata air berhenti naik dari bumi. Berapa banyak air yang berada di langit sekarang ini? Bayangkan, bila hujan beberapa jam sahaja, sudah berlaku banjir kilat. Boleh tenggelam seluruh bandaraya KL kalau hujan berterusan.

Sebenarnya air banyak lagi ada di awan dan banyak lagi yang berada dalam bumi dan sekarang ini disimpan di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Kemudian Allah ‎ﷻ berkata “Wahai bumi, telan air kamu”. Maka surutlah air. Kapal Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendarat atas Bukit Judi di Turki (salah satu pendapat). Dalam surah Hud diceritakan perkara ini. Telah turun dari kapal itu seramai 83 orang Islam. Bukannya ramai pun. Perhatikan Hud: 44

وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
“Dan difirmankan: ‘Wahai bumi! Telanlah airmu, dan wahai langit! Berhentilah (daripada mencurahkan hujan).’ Maka air pun disurutkan, dan perintah pun diselesaikan, dan kapal itu pun berlabuh di atas (gunung) al-Jūdī. Dan dikatakan: ‘Binasalah kaum yang zalim.'”

Selalunya umat akan melakukan bid’ah dahulu sebelum mereka menjadi kafir. Mula-mula mereka akan amalkan bid’ah, bermula dengan bid’ah dalam amalan, kemudian menjadi bid’ah dalam akidah pula. Kemudian lama-kelamaan mereka akan sembah berhala. Banjir itu berlaku kerana Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya membantunya. Sudah 950 tahun baginda tabligh (menyampaikan dakwah) kepada kaumnya tetapi mereka ingkar. Lama sungguh baginda telah tabligh. Dalam dia berdakwah itu, tidak pernah baginda meminta upah sedikit pun. “Upahku hanya daripada Allah” katanya. Maknanya tidak ada alasan bagi umat itu untuk menolak ajakan dakwah kerana bukan kena bayar pun. Maknanya kita kena sampaikan dakwah dengan percuma kerana ia amat penting. Sekiranya kita tidak mengajar Islam yang sebenar mulai sekarang, anak cucu kita akan kembali menjadi kafir sebagaimana juga umat Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu!

Antaranya, kita kena ajar mereka supaya jangan membuat amalan bid’ah. Banyak sudah ahli bid’ah sekarang jadi tidak perlu kita menambahkan bilangan mereka itu. Kalaulah kita dibangkitkan kembali setelah kita meninggal nanti, anak cucu tidak tahu akan jadi apa. Kita pun sudah tidak kenal mereka itu agama apa nanti. Mereka kata mereka Muslim, tetapi kita pun kata: “Eh, ini tak sama dengan Islam aku dulu….” Kita minta jauh daripada perkara ini terjadi. Kerana itulah, kita kena perlu menentang amalan bid’ah daripada dilakukan bermula daripada sekecil-kecil amalan. Ini kerana kalau tidak ditentang semasa ia masih kecil, ia akan menjadi besar dan lama-kelamaan akan menjadi amalan syirik. Kadang-kadang kita sangka amalan itu tidak ada masalah sangat, tetapi ketahuilah, bermula dengan hanya amalan kecil sahaja ia boleh berubah menjadi besar. Apabila sudah menjadi amalan masyarakat, sudah menjadi besar dan sebati, maka pada peringkat itu, ia sudah menjadi amat payah untuk ditegah lagi.

Maka memang ia merupakan sebuah pengajaran yang amat penting. Namun malangnya, bagi orang kita, pengajaran yang sampai pada mereka hanyalah bubur Asyura pula. Itu sahaja yang mereka dapat. Sedangkan hari itu patutnya sunat berpuasa, mereka mengajar buat bubur pula. Begitulah yang menjadi masalah, apabila amalan-amalan bid’ah ini dibawa dan diajar oleh guru-guru agama dan ustaz-ustaz yang juga tidak mengamalkan sunnah. Masyarakat sangka, kalau sesuatu amalan itu diajar oleh mereka, tentulah amalan itu betul. Namun tidak sebenarnya. Kerana itu bukan semua ustaz kita boleh terima ajaran dan amalan mereka. Ramai yang hanya mengikut sahaja amalan tanpa disandarkan kepada dalil, walaupun mereka bergelar ‘ustaz’.


 

Yaasin Ayat 42: Bagaimana pula dengan kenderaan lain? 

وَخَلَقنا لَهُم مِّن مِّثلِهِ ما يَركَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We created for them from the likes of it that which they ride.

(MELAYU)

dan Kami ciptakan untuk mereka yang akan mereka kenderaan seperti bahtera itu.

 

وَخَلَقنا لَهُم مِّن مِّثلِهِ

Dan Kami ciptakan bagi mereka, kenderaan seperti bahtera itu juga

Sekiranya ayat 41 tadi berkenaan kapal Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka ayat 42 ini bermaksud kenderaan pengangkutan laut seperti sampan, bot, feri dan sebagainya. Daripada bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu dijadikan contoh untuk kenderaan laut yang lain.

Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: dan Kami ciptakan untuk mereka yang akan mereka kenderaan semisal dengan bahtera itu. (Yasin: 42) Dia mengatakan, ‘Tahukah kalian, apakah yang dimaksudkan oleh firman tadi?” Kami (murid-muridnya) menjawab, “Tidak tahu.” Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata bahawa yang dimaksudkan adalah perahu-perahu yang dibuat sesudah perahu Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Begitulah manusia meneruskan melayari lautan dengan menggunakan alat pelayar yang sedemikian. Semenjak zaman purbakala manusia sudah belayar jauh. Menurut hasil penyelidikan ahli-ahli antropologi, didapati sejak ribuan tahun yang lampau manusia telah bersilang siur belayar di lautan lepas dengan bahtera-bahtera yang sesuai dengan kemajuan manusia di zaman itu. Dalam tulisan-tulisan huruf paku atau hyroglife di batu-batu bersurat di Mesir sudah didapati ada gambaran kapal. Ada orang yang menyatakan bahawa bangsa Red Indian sebagai penduduk asli Benua Amerika adalah suku bangsa yang berasal dari Timur Jauh ini. Bangsa Melayu sudah lama belayar menuju Pulau Madagaskar, sehingga bangsa Malagasi yang berada di sana sekarang dikatakan adalah bangsa Melayu juga. Kalau dikaji begitulah asal usul penduduk satu-satu benua atau negara.

Ilustrasi dan dokumentasi tentang rekabentuk dan senibina kapal dari Alam Melayu oleh Rafael Monleón (1840-1900), dalam Historia De La Navigación, sumber dari Muzium Ketenteraan Sepanyol, Barcelona ini membuktikan telah lama manusia diberi kemudahan oleh Allah untuk kegunaan mereka.

 

Ia juga boleh merujuk kepada pengangkutan apa sahaja, jadi ia boleh jadi kereta, bas, keretapi, kapal terbang dan sebagainya. Kerana itu orang Arab menggelar unta mereka sebagai سَفِينَةُ ٱلصَّحْرَاءِ (Kapal padang pasir). Semua sekali kenderaan itu kita boleh digunakan dan ia merupakan nikmat besar daripada Allah ‎ﷻ. Ini sepertimana firman Allah ‎ﷻ di dalam Nahl: 8

وَالخَيلَ وَالبِغالَ وَالحَميرَ لِتَركَبوها وَزينَةً ۚ وَيَخلُقُ ما لا تَعلَمونَ
dan (Dia telah menciptakan) kuda, baghal dan keldai, agar kamu menungganginya dan (menjadikannya) perhiasan. Dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Ini kerana waktu ayat ini diturunkan, manusia tidak akan dapat membayangkan jenis-jenis kenderaan di masa hadapan. Maka Allah ‎ﷻ cuma menerangkan ada jenis-jenis kenderaan yang kamu tidak tahu pun akan ada.

Di sini Allah ‎ﷻ beritahu, Dia yang mencipta kenderaan itu tetapi bukankah manusia yang mencipta kenderaan-kenderaan yang baru seperti Wright Brothers (mereka tidak wrong pun) mencipta kapalterbang? Ya benar, akan tetapi bahan dan idea untuk mencipta kenderaan itu semua daripada Allah ‎ﷻ juga.

 

مَا يَرْكَبُونَ

yang mereka boleh menungganginya;

Allah ‎ﷻ mencipta binatang seperti kapal, iaitu unta untuk digunakan di atas daratan. Di laut guna kapal dan di daratan ada tunggangan lain. Allah ‎ﷻ lah juga yang memberi ilham untuk manusia mencipta kenderaan zaman moden seperti kereta, bas, keretapi, kapal terbang dan lain-lain. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memudahkan kita untuk bermusafir di muka bumi ini.

Maka, oleh itu, hendaklah kita mengucapkan syukur kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ telah ajar kita bagaimana untuk berdoa apabila kita naik kenderaan. Ini ada dalam ayat Zukhruf: 13&14

لِتَسۡتَوُ ۥاْ عَلَىٰ ظُهُورِهِۦ ثُمَّ تَذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ رَبِّكُمۡ إِذَا ٱسۡتَوَيۡتُمۡ عَلَيۡهِ وَتَقُولُواْ سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَـٰذَا وَمَا ڪُنَّا لَهُ ۥ مُقۡرِنِينَ (١٣) وَإِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ (١٤)
Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. (13) Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali! (14)

Doa ini diajar oleh Rasulullah ﷺ,

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ حَدَّثَنَا أَبُو الْأَحْوَصِ عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ عَلِيِّ بْنِ رَبِيعَةَ قَالَ شَهِدْتُ عَلِيًّا أُتِيَ بِدَابَّةٍ لِيَرْكَبَهَا فَلَمَّا وَضَعَ رِجْلَهُ فِي الرِّكَابِ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا فَلَمَّا اسْتَوَى عَلَى ظَهْرِهَا قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ثُمَّ قَالَ { سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ } ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ثَلَاثًا وَاللَّهُ أَكْبَرُ ثَلَاثًا سُبْحَانَكَ إِنِّي قَدْ ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ ثُمَّ ضَحِكَ قُلْتُ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ ضَحِكْتَ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَنَعَ كَمَا صَنَعْتُ ثُمَّ ضَحِكَ فَقُلْتُ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ ضَحِكْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِنَّ رَبَّكَ لَيَعْجَبُ مِنْ عَبْدِهِ إِذَا قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ غَيْرُكَ وَفِي الْبَاب عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Telah menceritakan kepada kami Qutaibah telah menceritakan kepada kami Abu Al Ahwash daripada Abu Ishaq daripada Ali bin Rabi’ah, dia berkata; aku menyaksikan Ali diberi haiwan untuk dia tunggangi, kemudian tatkala dia telah meletakkan kakinya di dalam sanggurdi, dia mengucapkan; BISMILLAAH tiga kali, dan ketika telah berada di atas punggungnya dia mengucapkan; ALHAMDULILLAAH, kemudian dia mengucapkan; SUBHAANALLADZII SAKHKHARA LANAA HAADZAA WA MAA KUNNAA LAHUU MUQRINIIN, WA INNAA ILAA RABBINAA LAMUNQALIBUUN (Maha Suci Dzat yang telah menundukkan untuk kami haiwan ini, dan tidaklah kami dapat memaksakannya, dan kepada Tuhan kami nescaya kami akan kembali). Kemudian dia mengucapkan; Al HAMDULILLAAH tiga kali, WALLAAHU AKBAR tiga kali, SUBHAANAKA INNII QAD ZHALAMTU NAFSII FAGHFIR LII, FAINNAHU LAA YAGHFIRUDZ DZUNUUBA ILLAA ANTA (Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku maka ampunilah aku. Kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali engkau). Kemudian dia tertawa. Aku katakan; kerana apakah engkau tertawa wahai Amirul mukminin? Dia berkata; aku melihat Rasulullah ﷺ melakukan seperti apa yang aku lakukan kemudian beliau tertawa dan aku katakakan; kerana apakah anda tertawa wahai Rasulullah? Baginda bersabda: “Sesungguhnya Tuhanmu sungguh merasa kagum kepada hamba-Nya apabila mengucapkan; ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, kerana  sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa selain-Mu. “
Dalam bab ini terdapat riwayat daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Abu Isa berkata; hadith ini adalah daripada Sunan at-Tirmidzi dan dinilai hadith hasan sahih.

Maknanya di dalam perbuatan seharian kita, mesti ada doa-doa yang ingatkan kita kepada Allah ‎ﷻ. Ia juga mengajar kita untuk menyerahkan urusan kita kepada Allah ‎ﷻ kerana memang kita tidak ada kekuatan apa-apa. Jadi ia mengingatkan betapa lemahnya kita dan betapa berharapnya kita kepada Allah ‎ﷻ.


 

Yaasin Ayat 43:

وَإِن نَّشَأ نُغرِقهُم فَلا صَريخَ لَهُم وَلا هُم يُنقَذونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We should will, We could drown them; then no one responding to a cry would there be for them, nor would they be saved

(MELAYU)

Dan jika Kami menghendaki nescaya Kami tenggelamkan mereka, maka tiadalah bagi mereka penolong dan tidak pula mereka diselamatkan.

 

وَإِنْ نَشَأْ نُغْرِقْهُمْ

Sekiranya Kami kehendaki, Kami boleh tenggelamkan mereka;

Seandainya Allah ‎ﷻ mahu, Allah ‎ﷻ boleh tenggelamkan manusia yang di atas kapal, atau atas kenderaan berjenis-jenis itu. Banyak sangat kejadian begini terjadi dalam sejarah. Bayangkan sebuah kapal kecil sahaja (walau besar mana pun) kalau dibandingkan dengan lautan yang luas itu. Terkontang kanting sahaja dibuai badai lautan yang kadangkala bergelora tidak menentu kuatnya. Yang paling terkenal adalah kapal Titanic. Mereka yang menciptanya dengan sombong berkata yang kapal itu tidak akan tenggelam. Mereka sampai kata, Tuhan pun tidak boleh tenggelamkan Titanic itu. Maka, Allah ‎ﷻ telah tunjukkan bagaimana ia tenggelam juga akhirnya. Malah tidak sempat menghabiskan perjalanannya yang pertama pun. Sekarang kita baca ayat ini sambil duduk-duduk minum kopi, tidaklah terasa sangat, bukan? Tetapi cuba bayangkan kalau anda sekarang berada di dalam kapal?

Kapal Titanic yang tenggelam begitu popular dalam sejarah membuktikan betapa lemahnya manusia walau sehebat mana kapal itu dicipta.

 

Begitu juga dengan kenderaan lain, seperti kereta, bas dan sebagainya. Berapa banyak yang telah kemalangan? Tidak terkira banyaknya. Itu semua adalah atas kehendak Allah ‎ﷻ belaka. Kita tidak ada kuasa kalau Allah ‎ﷻ tentukan akan kemalangan atau karam dalam lautan. Maka ingatlah yang semasa kita menaiki kenderaan itu, Allah ‎ﷻ boleh sahaja mendatangkan  kemalangan dan sebagainya. Maka mestilah sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ dan ingat kepada Allah ‎ﷻ semasa berada di atas kenderaan itu.

 

فَلَا صَرِيخَ لَهُمْ

Maka tiada siapa boleh beri pertolongan.

Perkataan صَرِيخَ asalnya bermaksud ‘menjerit meminta pertolongan’. Kemudian, ia menjadi makna ‘yang mendengar jeritan meminta pertolongan’. Maknanya, tidak ada yang mendengar pun mereka menjerit meminta pertolongan jikalau Allah ‎ﷻ sudah takdirkan mereka akan ditenggelamkan. Kalau sedang dalam lautan yang luas, siapa yang boleh dengar? Apabila tidak ada orang yang mendengar, maknanya, tidak ada yang akan datang menolong mereka. Sekiranya sempat menggunakan radio untuk memanggil kapal-kapal lain, atau menghantar mesej SOS, berapa lamakah mereka boleh datang?

 

وَلَا هُمْ يُنْقَذُونَ

Dan mereka tidak dapat diselamatkan.

Perkataan نقذُ bermaksud seseorang yang menyelamatkan seseorang yang hampir kemalangan. Contohnya, orang itu hampir jatuh gaung, jadi kita pun berusaha untuk menyelamatkan dia daripada jatuh ke dalam gaung. Maksud ayat ini, tidak ada yang akan datang menolong mereka yang Allah ‎ﷻ telah takdirkan akan menemui kemalangan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment