CONTOH PENDAKWAH YANG MENGAJAK KEPADA KEBENARAN
Yaasin Ayat 20: Sekarang kita masuk ke adegan yang baru dengan munculnya sebuah lagi karektor baru. Sehingga kini kita telah tahu terdapat tiga orang pendakwah yang telah dihantar kepada penduduk kampung itu. Sekarang muncul seorang lagi pendakwah yang menjadikan semua pendakwah menjadi empat orang kesemuanya! Kenapakah datangnya orang ini?
Sudah sampai ke tahap penduduk kota itu hendak merejam dan menyeksa para Rasul itu, namun para pembawa risalah itu masih lagi mahu bertahan, tidak berganjak daripada tujuan asal mereka. Lalu datanglah seorang lelaki untuk mempertahankan para Rasul yang telah ditolak itu. Allah ﷻ berikan pengajaran dalam bentuk cerita kerana manusia memang suka kepada cerita. Boleh bayangkan seorang lelaki tergesa-gesa datang berlari ke arah mereka.
وَجاءَ مِن أَقصَا المَدينَةِ رَجُلٌ يَسعىٰ قالَ يٰقَومِ اتَّبِعُوا المُرسَلينَ
And there came from the farthest end of the city a man, running. He said, “O my people, follow the messengers.
Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:” Wahai kaumku! Turutilah Rasul-rasul itu –
وَجَاءَ مِنْ أَقْصَا الْمَدِينَةِ رَجُلٌ
Maka datanglah seorang lelaki dari hujung bandar
Lelaki itu duduk jauh dari kota itu. Walaupun begitu, dia datang juga. Dia datang bersendirian sahaja. Sebelum ini kita telah baca ayat 7 لَقَدۡ حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ عَلَىٰٓ أَكۡثَرِهِمۡ فَهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ yang mengajar kepada kita yang ramai tidak akan beriman walaupun mereka telah tahu kebenaran. Kita juga telah baca di dalam ayat 11 إِنَّمَا تُنذِرُ مَنِ ٱتَّبَعَ ٱلذِّڪۡرَ وَخَشِىَ ٱلرَّحۡمَـٰنَ بِٱلۡغَيۡبِۖ bahawa akan ada golongan minoriti yang akan beriman. Lelaki ini daripada golongan minoriti itulah.
Perhatikan di dalam ayat 13 sebelum ini disebut وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا أَصحٰبَ القَريَةِ di mana digunakan kalimah القَريَةِ. Sekarang digunakan kalimah الْمَدِينَةِ pula yang menunjukkan penggunaan القَريَةِ di dalam ayat 13 bukanlah bermaksud kampung tetapi kota sebenarnya. Ini adalah kerana kalimah القَريَةِ di dalam bahasa Arab boleh membawa banyak maksud dan bukannya kampung sahaja.
Atau, ada pendapat yang mengatakan ini الْمَدِينَةِ tempat lain dari القَريَةِ yang kita baca dari awal kisah ini. Ini kerana para Rasul itu bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk berdakwah dan bukannya di القَريَةِ itu sahaja. Maknanya mereka juga telah pernah pergi ke الْمَدِينَةِ tempat lelaki ini datang.
Namun lelaki bukannya dari bandar tetapi dari أَقْصَا الْمَدِينَةِ iaitu pinggir bandar, mungkin dari desa.
Balaghah: ada perbincangan balaghah dalam ayat ini. Kalau kita lihat, susunan potongan ayat ini adalah berlainan daripada susunan bahasa yang biasa. Susunan dalam ayat ini:
datang – dari hujung bandar – seorang lelaki
Sedangkan, susunan yang biasa adalah:
seorang lelaki – datang – dari hujung bandar
Ada sebab kenapa susunan sebegini digunakan, di mana Allah ﷻ mendahului yang sepatutnya dikemudiankan. Ini dinamakan taqdim wa ta’khir. Susunan sebegini adalah untuk menunjukkan kemarahan dan kehairanan Allah ﷻ terhadap perangai mereka – dinamakan tabkid wa ta’jub.
Ini adalah kerana, sepatutnya yang kenal agama adalah orang-orang yang duduk di bandar kerana mereka yang lebih terdedah dan banyak peluang kepada ilmu pengetahuan. Tamadun itu selalunya bermula di bandar, bukan? Ilmu akan bermula dari pusat sesuatu negeri dan disebarkan ke pedalaman (sama juga dengan fesyen). Namun apabila yang faham agama itu daripada orang yang luar bandar, itu sepatutnya satu perkara yang jarang berlaku. Begitulah yang biasa berlaku adalah orang miskin dan di peringkat rendah yang senang beriman. Kerana itu para sahabat Nabi رضي الله عنهم yang terawal adalah orang-orang yang lemah, tiada kedudukan dalam masyarakat dan hamba sahaya. Jadi Allah ﷻ hendak menunjukkan kehinaan daripada perbuatan orang bandar dan ketakjuban Allah ﷻ terhadap perbuatan mereka yang salah itu. Ia menunjukkan apa yang berlaku ini adalah satu perkara yang lari daripada kebiasaan. Sepatutnya yang awal beriman adalah orang bandar tetapi orang kampung pula yang senang beriman.
Begitulah, ia mengandungi pengajaran daripada Allah ﷻ bahawa yang senang terima agama adalah orang dari luar bandar. Yang duduk di tengah-tengah bandar sibuk dengan pemerintahan, kuasa politik, perniagaan, hidup bersenang lenang dengan hiburan dan sebagainya. Tidak ada kelas pengajian agama di Bukit Bintang, bukan? Yang ada di luar hiruk pikuk bandar seperti kawasan di Sungai Buloh dan sebagainya. Yang kaya raya sibuk berhibur dan menikmati kehidupan kerana mereka kaya raya.
Cuma Allah ﷻ memang akan menghantar para Rasul ke kawasan bandar seperti disebut di dalam Qasas: 59
“وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَىٰ حَتَّىٰ يَبْعَثَ فِي أُمِّهَا رَسُولًا يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا ۖ وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي الْقُرَىٰ إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ”
“Dan Tuhanmu tidak akan membinasakan kota-kota sebelum Dia mengutus di ibu kotanya seorang rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan Kami tidak membinasakan kota-kota kecuali penduduknya melakukan kezaliman.”
Dalam sejarah kenabian, terdapat kecenderungan ramai rasul diutuskan ke kawasan bandar atau pusat populasi yang penting pada zaman mereka. Walaupun terdapat juga Nabi yang diutuskan ke kawasan luar bandar atau perkampungan, penghantaran rasul ke bandar mempunyai beberapa sebab yang signifikan:
-
- Pusat Tamadun dan Kebudayaan: Bandar sering menjadi pusat tamadun, kebudayaan, dan perkembangan intelektual pada zaman itu. Ia adalah tempat di mana pelbagai idea, kepercayaan, dan falsafah bertemu dan berinteraksi. Oleh itu, penghantaran rasul ke bandar membolehkan mereka berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan terpelajar, pemimpin, pedagang, dan orang awam.
- Pengaruh yang Luas: Bandar biasanya mempunyai pengaruh yang besar terhadap kawasan sekitarnya. Apa yang berlaku di bandar, baik dari segi sosial, politik, mahupun agama, cenderung mempengaruhi kawasan-kawasan lain di sekitarnya. Oleh itu, jika seorang rasul berjaya menyebarkan mesejnya di bandar, ia akan mempunyai impak yang lebih besar dan meluas.
- Akses kepada Media Komunikasi: Walaupun media komunikasi pada zaman dahulu tidak sama dengan hari ini, bandar biasanya mempunyai infrastruktur dan jaringan yang lebih baik untuk penyebaran maklumat. Contohnya, pasar-pasar, tempat perhimpunan awam, dan majlis-majlis keagamaan di bandar menjadi platform penting bagi Rasul untuk menyampaikan mesej mereka kepada khalayak yang ramai.
- Cabaran yang Besar: Bandar sering menjadi tempat di mana pelbagai bentuk kesesatan, kemungkaran, dan ketidakadilan berleluasa. Penghantaran rasul ke bandar membolehkan mereka menghadapi cabaran-cabaran ini secara langsung dan berusaha untuk memperbetulkan keadaan. Ini menunjukkan keberanian dan ketegasan Rasul dalam menegakkan kebenaran.
Walaupun terdapat kecenderungan ini, adalah penting untuk diingatkan bahawa Allah ﷻ memilih tempat dan masa yang paling sesuai untuk mengutuskan rasul-Nya. Ada juga Nabi yang diutuskan ke kawasan luar bandar atau perkampungan kerana di situlah terdapat keperluan yang mendesak untuk bimbingan dan petunjuk.
Secara keseluruhan, penghantaran rasul ke bandar adalah sebahagian daripada strategi ilahi untuk memastikan mesej Allah ﷻ sampai kepada seberapa ramai orang yang mungkin, di tempat-tempat yang paling berpengaruh dan mencabar pada zaman itu.
Perhatikan Allah ﷻ hanya sebut lelaki ini sebagai رَجُلٌ (seorang lelaki) sahaja. Tidak disebut namanya, kedudukannya, kelayakannya, taraf pendidikannya dan lain-lain. Tidak juga disebut dia belajar di mana, ada tauliah atau tidak. Ini kerana semua ini tidak penting. Kerana yang penting adalah keikhlasan lelaki ini. Kadangkala kita sibuk dengan kedudukan seseorang, dengan siapa dia belajar, apa kelulusan seseorang. Penulisan ini pun selalu mendapat teguran kerana penulis tidak dikenali. Akan tetapi kalau kita perhatikan contoh pengenalan seseorang di dalam Al-Qur’an, kebanyakan contoh yang Allah ﷻ berikan tidak disertakan dengan pengenalan sebegitu. Ini kerana Allah ﷻ lebih mementingkan pengajaran dan tidak ditumpukan tentang individu itu sendiri. Ada seorang lagi lelaki yang disebut di dalam Surah Ghafir yang mempertahankan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nama beliau juga tidak disebut tetapi kisahnya juga panjang bermula ayat 28,
وَقالَ رَجُلٌ مُّؤمِنٌ مِّن ءآلِ فِرعَونَ يَكتُمُ إيمٰنَهُ أَتَقتُلونَ رَجُلًا أَن يَقولَ رَبِّيَ اللهُ وَقَد جاءَكُم بِالبَيِّنٰتِ مِن رَّبِّكُم ۖ وَإِن يَكُ كٰذِبًا فَعَلَيهِ كَذِبُهُ ۖ وَإِن يَكُ صادِقًا يُصِبكُم بَعضُ الَّذي يَعِدُكُم ۖ إِنَّ اللهَ لا يَهدي مَن هُوَ مُسرِفٌ كَذّابٌ
Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman daripada orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana dia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ‘ – sedang dia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan daripada Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian daripada (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.
يَسْعَىٰ
dengan berlari-lari anak.
Kata يَسْعَىٰ itu datang daripada kata سعىٰ sa’i yang bermaksud ‘berlari-lari anak’. Seperti juga kita bersa’i apabila kita melakukan umrah dan haji di antara bukit Safa dan Marwah ada tempat yang kita disunatkan untuk berlari-lari anak. Apabila dikatakan lelaki itu يَسْعَىٰ, bermaksud dia bersungguh-sungguh datang hendak membela para pembawa risalah itu. Ini seperti digunakan di dalam Jumuah: 9
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نودِيَ لِلصَّلوٰةِ مِن يَومِ الجُمُعَةِ فَاسعَوا إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ وَذَرُوا البَيعَ
Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli.
Apabila dia dengar sahaja tentang apa yang hendak dilakukan oleh penduduk kota itu, dia telah datang dengan segera dengan misi yang mulia. Dia sedar tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim.
Maka ini adalah bantuan daripada Allah ﷻ, kadangkala datang tidaklah ramai tetapi Allah ﷻ hantar seorang sahaja. Kadang agama ini ditegakkan oleh seorang sahaja tetapi berjiwa besar.
Ini mengajar kita jangan memandang orang yang dari luar bandar, yang nampak miskin dan tidak berpengaruh. Nanti kisah lelaki ini lagi banyak disebut daripada kisah tiga Rasul (menunjukkan kepentingannya).
Berlari-lari anak juga bermaksud bersegera atau bergegas di dalam membuat kebaikan. Dia tidak berlengah-lengah lagi untuk menyelamatkan kaumnya. Memang Allah ﷻ suruh kita bersegera di dalam berbuat kebaikan kerana salah satu daripada talbis iblis (belitan iblis) adalah taswif (menangguh-nangguh untuk buat kebaikan). Allah ﷻ berfirman antaranya di dalam Baqarah: 148
فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
berlumba-lumbalah kalian dalam melakukan kebaikan
Begitulah ciri orang Mukmin yang bersegera melakukan kebaikan seperti disebut di dalam Mukminoon: 61
أُو۟لَـٰٓئِكَ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَهُمْ لَهَا سَـٰبِقُونَ
“Mereka itu bersegera dalam kebaikan-kebaikan dan merekalah orang-orang yang lebih dahulu memperolehnya.”
Lihatlah lelaki ini datang dengan berjalan kaki sahaja, tidak disebut naik kuda, unta atau keldai. Maknanya dia menggunakan apa sahaja yang dia ada (kaki). Jadi hendak buat kerja dakwah, tidak perlukan banyak sumber daya (resources) sangat. Jangan jadikan alasan tiada itu dan ini sebagai penghalang untuk berdakwah. Kita gunakan apa sahaja yang kita ada (mulut kita, peluh, kudrat, dan sebagainya).
Apabila agama dihina, lelaki ini tampil ke hadapan untuk membelanya. Kita pun hendaklah bersikap begitu juga. Jangan duduk senyap sahaja. Banyak orang yang begitu – buat tidak tahu sahaja apabila Islam dihina. Sepatutnya kita lakukan yang di dalam kuasa dan kemampuan kita untuk membela agama, membela ulama’ atau ustaz yang dihina dan diperlecehkan; ini boleh berlaku sekarang di dalam media sosial. Kalau kita jumpa, maka kita hendaklah berusaha untuk membantu.
Kalau lelaki ini hendak lepas tangan tidak buat apa-apa, dia boleh sahaja kata: “Eh tiga Rasul dah ada ni, apa lagi aku nak cakap? Siapa aku?” Namun tidak, dia datang menampilkan diri dan berusaha untuk menjalankan dakwahnya. Memanglah tidak sama manusia biasa dengan Rasul. Ia seperti membandingkan matahari dan bulan. Matahari ada cahaya sendiri, cahayanya sangat terang; sedangkan bulan bergantung cahaya daripada matahari kerana ia tidak ada cahaya sendiri. Bulan pun tidak tetap bercahaya, ada fasanya. Jadi memang matahari lebih tinggi dan hebat daripada bulan, tetapi bulan pun masih ada fungsinya juga. Semua orang ada fungsi masing-masing. Macam di pejabat kita pun ada penyambut tetamu yang nampak tugasnya kecil sahaja, akan tetapi tidakkah dia juga penting bagi sebuah syarikat? Bukankah mereka ini orang pertama yang ditemui oleh pelawat kepada syarikat itu? Maka Allah ﷻ mengajar kita jangan memandang enteng/rendah pendakwah yang mungkin tidak sehebat pemidato, tetapi usaha orang itu tetap dihargai oleh Allah ﷻ sampaikan disebut contohnya di dalam ayat Al-Qur’an.
Lagi pun, tambahan orang yang berlainan boleh memberi perspektif berbeza. Kadangkala apabila kita mendengar syarahan daripada seorang pensyarah, kita tidak benar-benar faham kerana bahasa yang digunakan terlalu tinggi. Akan tetapi bila kita minta kawan kita jelaskan dengan bahasa yang lebih kurang bahasa dan tingkatan pemahaman seperti kita juga, barulah kita boleh faham.
Di dalam Qasas:20 juga ada ayat yang menyebut tentang seorang lelaki yang tidak dikenali datang dari pinggir kota,
وَجاءَ رَجُلٌ مِّن أَقصَى المَدينَةِ يَسعىٰ قالَ يٰموسىٰ إِنَّ المَلَأَ يَأتَمِرونَ بِكَ لِيَقتُلوكَ فَاخرُج إِنّي لَكَ مِنَ النّٰصِحينَ
Dan datanglah seorang laki-laki dari hujung kota bergegas-gegas seraya berkata: “Hai Musa, sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu, sebab itu keluarlah (dari kota ini) sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu”.
Akan tetapi perhatikan susunan yang sedikit berbeza dari ayat Yaasin ini. Di dalam Yaasin, susunannya وَجاءَ مِن أَقصَا المَدينَةِ رَجُلٌ يَسعىٰ sedangkan di dalam Surah Qasas susunannya وَجاءَ رَجُلٌ مِّن أَقصَى المَدينَةِ يَسعىٰ. Yang satu disebut أَقصَا المَدينَةِ dahulu dan satu lagi disebut رَجُلٌ. Yang disebut yang awal itu adalah penekanan di dalam ayat. Di dalam Surah Yaasin ditekankan kedatangan lelaki itu dari luar kota kerana itulah yang lebih penting. Sedangkan apabila ditekankan رَجُلٌ ia kerana hendak menekankan tentang lelaki itu dan mesej yang dia hendak sampaikan kepada Nabi Musa عليه السلام.
قَالَ يَٰقَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ
Dia berkata: “wahai kaumku, ikutlah sahaja rasul-rasul itu.”
Perhatikan panggilan lelaki ini kepada kaumnya: يَٰقَوْمِ iaitu panggilan lembut dan mesra. Tidaklah dia panggil “Hoi kapir!”, “Hoi Bodoh!” atau kata-kata kasar yang lain. Banyak ayat Al-Qur’an mengajar kita menggunakan bahasa yang bernada lembut dan mesra dalam dakwah. Ini penting kerana manusia melihat bahasa kita. Kalau bahasa kasar dan tidak molek, apa yang kita cakap lepas itu orang sudah tidak berminat untuk mendengarnya lagi. Tahu-tahu tiada seorang pun mahu mendengar apa yang kita mahu sampaikan walaupun apa yang kita ingin sampaikan itu mesej penting. Hadiah yang cantik dan mahal tetapi dibalut dengan kertas buruk tidak dipandang orang juga. Begitu juga kalau kita gunakan bahasa menyindir, pun orang tidak suka. Begitu juga kalau guna bahasa budak-budak WeChat, pun orang akan pandang apa yang kita cakap itu kurang bernilai. Maka kenalah berbahasa di dalam dakwah.
Ia juga mengajar kita supaya tujuan kita dakwah adalah kerana sayang kepada masyarakat. Kena ada sifat rahmah, bukannya sifat rasa diri lebih pandai, lebih tinggi, bukannya juga kerana hendak mencari salah masyarakat dan menunjukkan kita benar. Bukannya kita hendak menang, tetapi kita hendak masyarakat menjadi betul. Kerana apa? Kerana kita sayangkan mereka dan mahu kita dan mereka selamat. Jadi kalau sayang, gunakanlah bahasa yang penuh berkasih sayang dan saling mengasihani.
Lelaki ini menasihati kaumnya supaya janganlah dilawan para Rasul itu, sebaliknya ikutlah mereka. Perkataan اتَّبِعُ (ittiba‘) bukan sahaja mengikut, tetapi lebih daripada itu. Ia bermaksud: mendengar dengan baik mesej yang dibawa, memahaminya, mengamalkannya dan menyebarkannya kepada orang lain. Inilah makna اتَّبِعُ. Banyak sekali perkataan ini digunakan dalam Al-Qur’an.
Siapakah lelaki itu? Namanya Habib an-Najar. Kebetulan namanya begitu. Bukanlah dia ini seorang habib dari Yaman itu pula ya. Itu habib ajaran sesat dan membawa musibah ke dunia Islam sekarang. Sudah banyak dibongkarkan kesesatan dan kata-kata kartun mereka. Malangnya ramai daripada orang kita tertipu dengan penampilan para habib ini. Semoga masyarakat kita semakin bijak dan dapat menilai manakah ajaran yang benar dan ajaran yang salah.
Habib an-Najar ini telah mempelajari tauhid dengan rasul-rasul itu. Sebelum itu dia adalah seorang yang duduk dalam kuil dan telah terkena penyakit kusta. Lama beliau beribadat dalam kuil dan berdoa semoga penyakit kustanya disembuhkan, namun tidak sembuh-sembuh. Ada yang mengatakan beliau seorang tukang tenun. Ada pula yang mengatakan beliau seorang tukang kayu (itulah maksud an-Najjar). Ini semua tidak penting kerana apakah pekerjaannya itu tidaklah penting. Ditakdirkan para Rasul itu lalu di kawasan kuil itu dan telah mengajar tauhid kepadanya, dan telah menasihatinya: kalau dia beriman dan berdoa kepada Allah ﷻ, dengan izin Allah ﷻ dia akan sihat. Maka dia telah beriman dan sihat pada hari yang sama setelah berjumpa dengan Rasul-rasul itu.
Habib bukan hanya menyuruh penduduk kota itu mengikut para pembawa risalah itu. Beliau memberikan alasan yang kukuh kepada mereka. Dalam ayat ini, diberikan bukti pertama: pembawa risalah itu adalah الْمُرْسَلِينَ: Pembawa Risalah. Habib berkata mereka bukannya datang dengan tangan yang kosong, tetapi mereka datang membawa risalah daripada Allah ﷻ. Mereka telah dihantar oleh Allah ﷻ, maka hendaklah ikut kepada mereka.
Saudara Habib kita ini menyentuh satu konsep yang amat penting di dalam agama: Ittiba’ Rasul (ikut Sunnah Rasulullah). Kewajipan untuk mengikuti Sunnah Rasulullah ﷺ bukanlah satu ketetapan yang dibuat oleh para ulama semata-mata, tetapi ia berakar umbi daripada perintah-perintah langsung Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an dan ditegaskan pula melalui sabda-sabda Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Tambahan pula, wujud kesepakatan (ijma’) dalam kalangan para sarjana Islam sepanjang zaman mengenai autoriti Sunnah sebagai sumber hukum.
Antaranya Allah ﷻ berfirman di dalam Hashr: 7
وَما ءآتٰكُمُ الرَّسولُ فَخُذوهُ وَما نَهٰكُم عَنهُ فَانتَهوا ۚ وَاتَّقُوا اللهَ ۖ إِنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ
Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.
Rasulullah ﷺ telah bersabda,
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ، تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
“Maka hendaklah kalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham kalian. Dan jauhilah oleh kalian perkara-perkara baru (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap perkara baru itu adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu adalah kesesatan.”
(HR Abu Daud No. 4607, Tirmidzi No. 2676 disahihkan oleh Al-Albani)
Jadi inilah pengulangan konsep ittiba’ yang telah disebut sebelum ini di dalam ayat 11,
إِنَّما تُنذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكرَ
Sesungguhnya peringatan dan amaran hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Qur’an
Apabila kita disuruh mengikut Rasul, maka janganlah reka fahaman dan amalan baru pula. Kita kena ikut rapat cara para Rasul beragama, jangan memandai-mandai buat fahaman sendiri. Rosak agama kalau rasa boleh kita ‘perbaiki’ agama ini dengan mengatakan ia lebih baik, dengan mengatakan Allah ﷻ suka (padahal tiada dalil), dengan mengatakan ia bagus bagi masyarakat, dan sebagainya. Konsep ittiba’ Rasul ini adalah satu perkara yang amat perlu ditekankan di dalam umat kita sekarang kerana ramai suka sangat buat perkara-perkara bid’ah di dalam agama. Sedangkan dakwah Pak Habib kita ini awal sekali adalah suruh kaumnya ikut para Rasul itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 9 Mei 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

