Yaasin Ayat 8: Kenapa mereka tidak beriman? Kerana Allah ﷻ jadikan penghalang untuk menerima hidayah.
إِنّا جَعَلنا في أَعنٰقِهِم أَغلٰلًا فَهِيَ إِلَى الأَذقانِ فَهُم مُّقمَحونَ
Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.
إِنَّا جَعَلْنَا فِي أَعْنَٰقِهِمْ أَغْلَٰلًا
Sesungguhnya Kami telah memasang belenggu di leher mereka
Kata أَعْنَاقِ adalah jamak kepada ‘leher’. Maka, maksud أَعْنَاقِهِمْ adalah ‘leher-leher mereka’. Sekarang diberikan bayangan bagaimana tengkuk mereka telah dibelenggu dengan besi dan tangan mereka dibawa ke leher mereka dengan cara bersilang.
Rantai besi pada leher itu diikat dengan orang di sebelahnya. Apa yang kita bayangkan? Bukankah ini keadaan di dalam penjara di mana para banduan diikat bersama supaya mereka tidak boleh lari?
Cuba kita fikirkan sejenak. Kalau seseorang dimasukkan ke dalam penjara, tentulah kerana mereka ada membuat kesalahan, bukan? Jadi apakah kesalahan mereka ini? Ia telah disebut sebelum ini iaitu telah sampai hidayah kepada mereka, namun mereka tetap menolaknya walaupun mereka telah faham.
Apabila seseorang itu telah masuk ke dalam penjara, mereka itu tertutup daripada dunia luar. Mereka tidak tahu apa yang berlaku, ilmu tidak sampai. Begitulah telah disebut ini mereka itu غٰفِلونَ.
فَهِيَ إِلَى الْأَذْقَانِ
ke dagu mereka.
Belenggu besi itu pula besar sampaikan menutup keseluruhan leher mereka sampai ke dagu mereka. Apabila belenggu itu sampai ke dagu mereka, kepala mereka tidak dapat bergerak lagi. Kepala mereka tidak dapat tunduk ke bawah lagi. Kenapakah leher mereka itu yang diikat dengan besi? Kerana mereka itu tahu kebenaran yang mereka simpan di dalam hati mereka, tidak mereka keluarkan di tekak mereka. Maka tekak mereka nantilah yang akan dibelenggu.
Apakah pengajaran yang kita boleh lihat? Hukuman yang Allah ﷻ kenakan kepada ahli neraka nanti ia berkenaan dengan kesalahan yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Mereka sekarang diikat dengan belenggu besi, bukan? Maka dalam ayat ini digambarkan bahawa dalam hidup di dunia ini mereka tidak mempunyai kemerdekaan diri lagi kerana kelalaian dahulu itu. Mereka dibelenggu oleh adat-istiadat, oleh kepercayaan yang salah, kebebalan. Kita cakap apa pun, mereka tidak boleh terima. Masih hendak menggunakan amalan lama, amalan tok nenek, amalan dan fahaman majoriti.
فَهُم مُّقْمَحُونَ
sampai kepala mereka terdongak.
Kalimah مُّقْمَحُونَ: apabila rantai itu ditarik dari belakang, maka kepala kita akan terangkat bagaikan seekor unta yang mengangkat kepala menengadah ke langit kerana tidak mahu minum air sebab sudah kekenyangan. Kalimah ini digunakan kepada unta yang dibawa ke kawasan air untuk memberi ia minum tetapi ia tidak mahu minum.

Apa yang kita boleh bayangkan keadaan kepala sebegini? Ini adalah gaya seorang yang sombong, bukan? Ini adalah perumpamaan kepada manusia yang sombong ingkar daripada menerima kebenaran semasa di dunia, maka begitulah keadaannya nanti di akhirat. Lidah akan terjelir sambil menggeleng-gelengkan kepala. Mereka diseksa sebegitu rupa. Oleh kerana kesombongan mereka telah menyebabkan mereka tidak mahu menerima kebenaran, maka terimalah azab itu nanti di akhirat kelak.
Asal ayat ini adalah tentang Musyrikin Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ dan menolak Al-Qur’an. Akan tetapi ayat ini juga menceritakan tentang orang yang tidak mahu belajar wahyu Al-Qur’an apabila kita ajak mereka datang untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka itu bagaikan unta yang tidak tahu bahawa tuannya sedang membawanya ke tempat minum itu untuk tujuan bermusafir dan kerana itu ia haruslah diberikan minum terlebih dahulu. Namun ia tidak tahu bahawa apa yang dilakukan oleh tuannya itu adalah kebaikan untuknya. Unta itu akan mengangkat mukanya menengadah ke langit seperti perumpamaan yang telah diberi. Maka beginilah perumpaan orang yang menolak ajakan untuk belajar ilmu wahyu.
Kita tidak boleh berbuat apa-apa dengan orang sebegini. Mereka sudah tidak nampak kebenaran. Kenapakah mereka dijadikan sebegini? Kerana mereka sombong untuk menerima dakwah Nabi ﷺ. Mereka telah diberikan dengan Nabi Muhammad ﷺ yang mulia dan Al-Qur’an yang indah, tetapi mereka tidak mahu terima kerana mereka sombong. Mereka tidak boleh berkata buruk tentang Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ berakhlak mulia, sampai mereka tidak ada hujah ke atas baginda.
Mereka pun sebenarnya kagum dengan Al-Qur’an sampai mereka tidak dapat melawan keindahan bahasa Al-Qur’an. Ada antara mereka akan mencuri-curi dengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan kerana mereka kagum dengannya. Namun oleh kerana sombong, ia telah menghalang mereka daripada menerima hidayah. Sebagai contoh, Abu Jahal adalah daripada Bani Makhzum dan Nabi Muhammad ﷺ pula daripada Bani Hashim. Abu Jahal rasa puak mereka lebih baik daripada puak Nabi Muhammad ﷺ. Namun mereka tidak ada hujah untuk melawan hujah Nabi ﷺ. Maka mereka telah mengambil keputusan untuk tidak menerima ajakan tauhid hanya kerana degil.
Sebagaimana umat Islam masyarakat kita yang melakukan bid’ah sekarang. Apabila diberikan hujah kepada mereka tentang larangan mengamalkan ibadah mereka yang bid’ah, mereka tidak dapat melawannya kalau kita minta dalil daripada mereka. Kerana mereka memang tidak ada hujah melainkan hujah yang lemah-lemah seperti: “Sudah lama diamalkan…”, “Benda baik apa salahnya…”, “Asalkan niat ikhlas Allah akan terima…” dan sebagainya. Itu bukanlah dalil tetapi dalih semata dan itu sahajalah yang mereka ada. Namun walaupun mereka tidak ada hujah, mereka tidak terima juga ajaran sunnah kerana mereka sudah terlalu biasa mengamalkan amalan bid’ah itu. Mereka rasa mereka orang yang sudah tahu tentang agama. Mereka sudah lama belajar agama di pondok, di universiti dan sebagainya. Jadi bila ada orang yang memberitahu bahawa apa yang mereka buat itu salah, mereka sombong untuk menerimanya. Ini kerana mereka rasa mereka lebih pandai dan sudah banyak belajar kononnya. Balasan mereka nanti adalah apa yang Allah ﷻ sebutkan dalam ayat ini.
Apa lagi kita boleh bayangkan daripada perbuatan menengadah ke atas itu? Kalau melihat ke atas, bukan sahaja mereka tidak dapat melihat keadaan sekeliling, keadaan diri mereka pun mereka tidak boleh lihat. Sedangkan diri kita ini menjadi dalil aqli juga untuk mencapai kebenaran. Mereka lupa untuk melihat diri mereka maka Allah ﷻ menjadikan mereka lupa terus. Allah ﷻ berfirman di dalam Hasyr: 19
“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik
Bahasa yang digunakan dalam ayat ini dalam dalam bentuk “past tense”. Seperti ia sudah berlalu. Ini adalah bahasa Al-Qur’an yang perlu kita fahami. Apabila menceritakan sesuatu perkara dalam bentuk “past tense”, tetapi ia belum berlaku lagi, maka ia membawa maksud yang ia *pasti* akan terjadi. Ini adalah kerana perkara yang kita akan akan buat, belum tentu terjadi; tetapi perkara yang kita telah buat, pasti telah terjadi. Mereka pasti akan dikenakan azab seperti yang disebut dalam ayat ini.
Sedikit cerita tentang keadaan di neraka dan syurga: Sebelum manusia dimasukkan ke dalam neraka, mereka akan dibelenggu dengan rantai sepanjang 70 hasta. Ia adalah rantai yang teramat panas, sampaikan kalau hanya satu gelang sahaja diletakkan atas Bukit Sinai, pasti akan meletup bukit itu menjadi debu. Belenggu itu dibuat daripada rantai besi, tangan ahli neraka akan ditarik dari belakang sampai tangan bersilang tertarik ke tekak. Badan kita bukanlah macam badan kita semasa di dunia ini, tetapi sudah di’naiktaraf’. Seandainya masih digunakan versi badan di dunia ini, belum sempat diazab, ia telah hancur. Maka, untuk mengazab makhluk, Allah ﷻ jadikan versi badan yang baru untuk mereka.
Untuk membayangkan berapa besar badan kita nanti, bayangkan sebatang gigi kita sama besar dengan Gunung Uhud. Tempat bersila sahaja, sebesar tiga hari perjalanan dengan unta. Muka kita akan ditebalkan setebal 42 hasta. Walaupun sudah tebal kulit kita, tetapi apabila air yang diberi minum kepada penghuni neraka nanti diletakkan sahaja air itu pada muka, tersiat bibir kita ke atas dan ke bawah disebabkan oleh panasnya air itu. Inilah cerita pasal neraka yang jarang diketahui. Apabila tidak mengetahui keadaan tentang neraka, maka kita tidak rasa takut kepada neraka.
Alangkah berbezanya kalau dibandingkan dengan keadaan di Syurga. Kita akan mendapat tempat istirehat ibarat khemah untuk berkelah, yang diperbuat daripada mutiara yang dikorek daripada sebongkah mutiara yang besar, sebesar 63 batu. Itu baru tempat bercuti, bukan lagi istana tempat tinggal tetap ahli syurga. Seorang penghuni Syurga akan mendapat pelayan yang berumur belasan tahun, berjumlah ribuan orang. Di hadapan istana, ada sebatang pokok tempat berteduh. Untuk membayangkan besar pokok itu, jarak daripada batang pokok ke hujung dahan adalah sejauh seratus tahun perjalanan dengan kuda yang laju. Itu baru satu perumahan – penghuni syurga ada banyak perumahan. Waktu itu, kita sibuk berjalan melawat harta dan hartanah kita sahaja. Ini cerita yang diberitahu kepada kita. Belum masuk kisah yang tidak diberitahu. Tanah Syurga diperbuat daripada saffron. Tentang kisah Syurga pun ramai masyarakat kita tidak tahu tentang perkara ini. Apabila tidak tahu, maka mereka tidak mempunyai perasaan yang tinggi untuk mendapatkan syurga.
Umur perempuan penghuni Syurga adalah 28 tahun dan lelaki semuanya berumur 33 tahun. Ini adalah satu pendapat yang sampai kepada kita. Maknanya umur tidak tua lah. Tidak akan meningkat umur itu sampai bila-bila. Malah nikmat yang paling hebatnya, adalah apabila Tuhan akan datang dan berbual-bual dengan makhluk-Nya di dalam Syurga. Datangnya Allah ﷻ itu adalah untuk bertanya khabar dan ini adalah satu nikmat yang amat besar kerana dapat melihat Allah ﷻ dengan mata kita sendiri. Itu adalah nikmat yang paling besar. Jadi, kenalah kita memasang cita-cita untuk menemui Tuhan yang menjadikan kita. Padahal kita semuanya akan kembali kepada-Nya. Pasanglah niat itu setiap hari. Oleh itu, berdoalah sebelum tidur untuk berjumpa dengan Allah ﷻ.
Yaasin Ayat 9: Ini adalah tambahan penghalang untuk mereka menerima hidayah. Ayat sebelum ini sudah keras menceritakan tentang penentang kebenaran ini, tetapi Allah ﷻ tambah lagi! Kalau hanya disebut halangan di dalam ayat 8 itu, masih ada harapan lagi untuk mereka berubah. Akan tetapi ayat 9 ini lebih teruk lagi, sampaikan tidak ada harapan untuk mereka mendapat hidayah lagi. Ini adalah kerana mereka sentiasa menolak dan menentang penyebar wahyu.
وَجَعَلنا مِن بَينِ أَيديهِم سَدًّا وَمِن خَلفِهِم سَدًّا فَأَغشَينٰهُم فَهُم لا يُبصِرونَ
Allah akan jadikan hijab di hadapan mereka dan hijab di belakang mereka. Dan akan ditutupkan pandangan mereka. Bagaimana lagi mereka boleh melihat?
وَجَعَلْنَا مِن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا
Kami jadikan di hadapan mereka sekatan
Perkataan مِن (dari) digunakan dalam ayat ini. Sekatan itu bukan hanya di hadapan mereka sahaja, tetapi ia bermula daripada badan mereka. Maksudnya sekatan itu bersentuhan dengan tubuh mereka. Kalau begitu, maksudnya mereka langsung tidak boleh bergerak ke hadapan. Mereka tertahan daripada bergerak.
وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا
dan di belakang mereka juga sekatan
Perkataan مِن sekali lagi digunakan dalam ayat ini. Sekatan itu juga bermula dari belakang badan mereka. Maknanya, mereka seperti terperangkap, tidak boleh bergerak ke hadapan dan ke belakang langsung. Bayangkan kelemasan yang mereka akan terima. Seperti mereka terperangkap.
Inilah adalah perumpamaan keadaan mereka yang tidak boleh hendak menerima kebenaran yang disampaikan kepada mereka kerana apa ada di hadapan mereka pun mereka tidak boleh lihat, belakang pun mereka terhalang. Oleh kerana di dunia mereka begitu, maka balasan mereka di dalam neraka juga begitu. Mereka tidak mahu menerima wahyu, maka mereka disekat daripada bergerak dan kepala mereka akan didongakkan ke atas.
Apakah perumpamaan di hadapan mereka? Itulah dunia dengan segala keindahannya, langit, bumi, hutan, keluarga kita, alam ini, laut dan sebagainya. Allah ﷻ suruh kita lihat alam untuk mencari Allah ﷻ, bukan? Namun mereka terhalang daripada mengambil pengajaran daripada dunia yang terbentang luas ini.
Apa pula yang di belakang? Itulah perkara yang telah berlalu dalam sejarah; sama ada sejarah kita atau sejarah dunia. Kita belajar melalui sejarah kita iaitu pengalaman yang telah berlaku kepada kita; dan kita belajar dengan sejarah kaum dan umat-umat terdahulu yang telah diazab kerana menentang kebenaran dan mereka yang telah diberikan dengan berita gembira kerana menerima kebenaran.
فَأَغشَينٰهُم
dan Kami tutupi mereka.
Sudahlah tidak boleh bergerak ke hadapan dan ke belakang, ditutup pula bahagian atas mereka. Ini adalah supaya cahaya pun tidak boleh masuk. Depan, belakang, atas ditutup. Bagaimana dengan tepi mereka? Tepi tidak perlu ditutup kerana mereka diikat bersama dengan banduan yang lain, maka bahagian tepi pun sudah ditutup. Mereka ditutup dari semua arah.
Di hadapan adalah alam, di belakang adalah sejarah, maka atas itu apa pula? Atas itu adalah wahyu daripada Allah ﷻ yang datang dari atas. Ketiga-tiga sumber hidayah kebenaran ini sentiasa disebut-sebut di dalam Al-Qur’an. Jadi mereka itu dari semua arah tidak mendapat hidayah, semua mereka tidak hiraukan. Maka bagaimana lagi mereka mungkin memperolehi kebenaran?
Apabila ditutup dari semua arah, maka suasana itu sangatlah gelapnya. Ini kerana semasa di dunia dahulu, mereka tidak mahu menerima cahaya wahyu yang hendak disampaikan kepada mereka. Akibatnya di akhirat kelak, mereka pun tidak mendapat cahaya langsung. Inilah gambaran mereka seperti katak di bawah tempurung. Mereka sangka mereka sudah hebat, sudah pandai, namun setakat di dalam kepompong kecil sahaja. Ini masalahnya kalau kita rasa pandai dalam kampung sahaja, otak sudah tertutup.
فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ
maka mereka tidak dapat melihat lagi.
Mereka tidak dapat melihat kerana cahaya tidak ada. Ini kerana semasa mereka di dunia, mereka tidak melihat cahaya kebenaran disebabkan oleh kedegilan mereka sendiri. Ini adalah keadaan apabila Allah ﷻ telah menutup pintu hati mereka daripada menerima hidayah (khatmul qalbi).
Ayat ini berkenaan hidayat. Kepada yang degil, Allah ﷻ akan heret mereka sampai mereka tidak boleh melihat kebenaran lagi. Di dunia ini lagi mereka tidak mendapat hidayat. Ayat yang sebegini akan banyak kita temui dalam Al-Qur’an. Ini dinamakan ‘khatmul qalbi‘. Ini adalah kerana apabila mereka degil berulang-ulang kali, lalu akhirnya mereka akan menjadi kufur. Allah ﷻ akan menutup fikiran mereka dan dihijab mereka daripada mendapat hidayah. Mereka dapat melihat, tetapi tidak nampak bahawa ia adalah wahyu Allah ﷻ dan ia untuk kebaikan mereka sendiri. Maka kerana itulah kita lihat ramai sahaja yang membaca Al-Qur’an, tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca dan mereka sendiri melanggar arahan Allah ﷻ yang terdapat dalam Al-Qur’an itu.
Sebab turun ayat:
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Ikrimah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Abu Jahal berkata,
“Sekiranya aku bertemu dengan Muhammad, pasti aku akan berbuat (mencelakainya).” Maka Allah ﷻ menurunkan ayat, “Sesungguhnya Kami telah memasang belenggu di leher mereka, lalu tangan mereka (diangkat) ke dagu, maka kerana itu mereka tertengadah. Dan Kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula), dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat.” (Yasin: 8-9) Ketika Nabi Muhammad ﷺ berada di sekitar Abu Jahal, orang-orang menunjukkan bahawa Muhammad ﷺ berada di sisinya. Akan tetapi Abu Jahal tetap bertanya-tanya: “Mana dia?” kerana tidak dapat melihatnya. Diriwayatkan oleh Qurthubi رَحِمَهُ اللَّهُ.
Nota: Amat malang sekali, ramai yang menggunakan ayat ni dengan tujuan yang salah. Ayat ini adalah menceritakan tentang kedegilan Musyrikin Mekah. Akan tetapi syaitan sudah memperdaya manusia sampai mereka mengamalkan ayat ini untuk kegunaan lain pula. Amalan menggunakan ayat ini begitu popular sekali semenjak dulu sehingga kini. Sekarang bukalah di media sosial akan ada sahaja yang berkongsi petua amalan, kafiat kelebihan ayat ini kononnya boleh mengghaibkan diri mereka daripada pandangan polis, sebagai ayat pendinding untuk memagar diri, rumah dan harta benda. Mereka juga mendakwa ayat ini dapat digunakan untuk mengelakkan rumah daripada dimasukki pencuri dan kalau pencuri yang memecah masuk rumah tidak dapat keluar atau sesat di dalam rumah tersebut!
Kerana itu bagi ramai yang jahil wahyu, apabila nampak “roadblock”, mereka cepat-cepat baca ayat ini. Menjadilah pula kata mereka. Kalau menjadi pun, ia bukanlah dalil bahawa ia adalah amalan yang benar. Kalau kita pernah amal, kenalah bertaubat dengan segera dan jangan diamalkan lagi. Dalam ayat ini, Allah ﷻ menceritakan bagaimana Dia mengunci mati hati orang yang ingkar kepada agama. Bagaimana boleh digunakan untuk diamalkan untuk benda lain pula? Ini adalah contoh wirid-wirid karut.
Ramai yang mengamalkannya kerana kadang-kadang memang menjadi. Ada yang kata, semasa Nabi ﷺ hendak mula berhijrah dahulu, ayat inilah yang digunakan oleh baginda. Itu tidak benar sama sekali kerana riwayat itu tidak sahih. Kalau hendak gunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai ayat perlindungan, ada ayat lain, bukan ayat ini. Begitulah, apabila kita tidak tahu yang benar, kita amalkan yang salah. Yang menyedihkan, kadang-kadang amalan-amalan salah sebegini diberikan oleh orang yang bertaraf ‘ustaz’. Masyarakat pula memang tidak berilmu, jadi mereka akan terima amalan khurafat begini membuta tuli sahaja.
Sebenarnya apa yang mereka buat itu adalah sihir. Banyak ayat Al-Qur’an dijadikan sebagai sihir. Eh takkan sihir yang teruk ini boleh dikaitkan dengan Al-Qur’an pula? Inilah yang ramai tidak faham, jadi kita kena jelaskan sedikit.
Definisi sihir secara ringkas.
~dari segi istilah sihir adalah satu perbuatan menyakiti dan mempengaruhi fizikal dan mental seseorang yang melibatkan campurtangan jin dan syaitan.
~dari segi bahasa – sihir adalah memalingkan sesuatu daripada hakikat yang sebenarnya kepada yang lainnya .
Ibnu Manzur رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Seakan-akan tukang sihir memperlihatkan kebathilan dalam wujud kebenaran dan menggambarkan sesuatu tidak seperti hakikat yang sebenarnya.”
Sekarang kita lihat pula beza antara SIHIR dengan MUKJIZAT.
➡MUKJIZAT
~Anugerah Allah ﷻ kepada Nabi dan Rasul.
~hanya berlaku pada Nabi dan ketika Nabi masih hidup sahaja.
~Tidak boleh dipelajari.
➡SIHIR
~Semua orang boleh belajar
~berlaku berulang kali
~Ada mengandungi penyeruan terhadap jin dan syaitan.
Sihir adalah sesuatu yang bertentangan dengan mukjizat. Maka, APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN SIHIR MENGGUNAKAN AYAT AL-QURAN?! Secara ringkas, kita lihat dahulu apa tujuan Al-Qur’an diturunkan kepada manusia.
SEBAGAI PETUNJUK BAGI MANUSIA. Allah ﷻ berfirman di dalam Nahl: 89
وَنزلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ
Dan kami turunkan kepadamu, Al-Kitab (Al-Qur’an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang berserah diri.
Sihir dengan ayat Al-Qur’an berlaku apabila ayat-ayat itu digunakan bertentangan dengan tujuan utama ia diturunkan. Sepatutnya dijadikan sebagai petunjuk namun sebaliknya digunakan untuk tujuan tertentu pula, seperti mahu mengelakkan diri daripada polis trafik nampak atau konon sebagai pendinding pagar diri, rumah dan harta benda. Maka syaitan akan masuk campur dalam perbuatan tersebut, tentunya dengan izin Allah ﷻ. Sekiranya ada manusia yang mahu menyalahgunakan ayat-ayat Al-Qur’an, Allah ﷻ tetap benarkan walaupun Allah ﷻ tidak redha. Maka syaitan telah berjaya menyesatkan manusia menyalahgunakan Al-Qur’an bukan pada tempatnya sekaligus telah menghina ayat suci Al-Qur’an tanpa sedar!
Kenapa Allah ﷻ benarkan? Kerana manusia telah meletakkan pergantungannya kepada syaitan, maka Allah ﷻ benarkan perkara ini berlaku sebagai ‘istidraj’ kepada si pelaku -[bila buat, jadi… maka keyakinannya dengan amal salah tersebut bertambah kuat]
Begitulah setiap amalan yang tidak ada contohnya daripada Al-Qur’an dan Sunnah, maka Allah ﷻ akan beri kepadanya syaitan yang semakin menyesatkannya dari jalan yang benar. Dalilnya firman Allah ﷻ di dalam Zukhruf: 36-37
وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ * وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ
Barangsiapa yang berpaling daripada pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Qur’an), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk.
Ayat-ayat Al-Qur’an tersebut dibaca dengan kaedah tertentu dan ritual tertentu malah ada kalanya dicampur aduk dengan mentera-mentera tertentu dengan tujuan tertentu. Ia dibaca dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu kehendak. Yang kesemua tujuannya adalah menyelisihi tujuan utama untuk apa Al-Qur’an diturunkan kepada manusia (untuk mendapat hidayah). Semakin parah lagi apabila kaedah sihir ini dipopularkan oleh mereka yang memegang gelaran “ustaz”. Orang awam semakin keliru kerana yang mengajarnya adalah “ustaz”…
Alasannya…”Takkan lah ustaz buat benda salah…” Itulah akibatnya apabila tidak belajar tentang Tauhid, tidak belajar Al-Qur’an dan hadith. Mereka mengikut hawa nafsu dan akal mereka sahaja tanpa memikirkan akibat buruk yang melanda aqidah Tauhid mereka. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Fussilat: 25
وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَاءَ فَزَيَّنُوا لَهُمْ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ
Dan Kami tetapkan bagi mereka teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka dan tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat-umat yang terdahulu sebelum mereka dari jin dan manusia, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang merugi.
SIAPAKAH YANG MENGAMBIL PENGAJARAN
Yaasin Ayat 10: Apabila telah sampai tahap kufur peringkat ke-empat. Peringkat ke-empat adalah apabila mereka bukan sahaja tidak mahu menerima kebenaran, akan tetapi mereka berterusan menentang kebenaran itu. Kerana ada orang yang tidak terima, tetapi mereka senyap sahaja. Akan tetapi ada yang menentang dengan kuat. Jadi ini adalah nasib mereka.
وَسَواءٌ عَلَيهِم ءَأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ
Sama sahaja kalau kamu beri peringatan atau tidak, mereka tidak akan beriman.
وَسَوَاءٌ عَلَيْهِمْ
Dan sama sahaja ke atas mereka
Apabila mereka berdegil, mereka akan sampai kepada peringkat melawan kita yang berhujah menggunakan ayat Al-Quran. Mereka akan kata: “Betul dah tu, tapi….”. Dengan menggunakan perkataan ‘tapi’, bermakna mereka sebenarnya menolak tetapi dengan cara yang berlapik. Pada hakikatnya, mereka menolak sebenarnya. Cuma mereka tidak bercakap terus sahaja kepada kita. Sebab mungkin mereka segan dengan kita atau takut dengan kita sahaja.
Kerana mereka menolak, maka Allah ﷻ akan menutup hati mereka daripada menerima kebenaran dan hidayah lagi. Mereka yang telah ditutup hati mereka itu, tidak akan beriman sampai bila-bila. Oleh itu, sama sahaja kalau kita dakwah kepada mereka atau tidak.
ءَأَنذَرْتَهُمْ
Sama ada kamu beri ancaman neraka kepada mereka
Sama ada kita ingatkan kepada mereka tentang neraka atau tidak, mereka buat tidak kisah sahaja. Mereka sudah jadi seperti binatang ternak kerana tidak mampu untuk memahami perkataan wahyu lagi.
أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ
atau kamu tidak beri peringatan kepada mereka;
Sama ada kita berdakwah kepada mereka kepada kebaikan atau kita tidak berdakwah kepada mereka, sama sahaja, kerana mereka tidak akan beriman. Kerana Allah ﷻ telah tetapkan mereka akan terus duduk dalam kesesatan. Termasuk makna ayat ini, sama ada kita ajak mereka secara keras ataupun lembut, mereka tidak mahu terima juga.
لَا يُؤْمِنُونَ
mereka sekali-kali tidak akan beriman;
Allah ﷻ telah tetapkan yang mereka tidak akan beriman kerana hati mereka telah dikunci mati. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya di dalam Yunus: 96-97
{إِنَّ الَّذِينَ حَقَّتْ عَلَيْهِمْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ * وَلَوْ جَاءَتْهُمْ كُلُّ آيَةٍ حَتَّى يَرَوُا الْعَذَابَ الألِيمَ}
Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimat Tuhanmu, tidaklah akan beriman, meskipun datang kepada mereka segala macam keterangan, hingga mereka menyaksikan azab yang pedih.
Telah juga disebut di dalam Baqarah: 7
خَتَمَ اللهُ عَلىٰ قُلوبِهِم وَعَلىٰ سَمعِهِم ۖ وَعَلىٰٓ أَبصٰرِهِم غِشٰوَةٌ ۖ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.
Jadi, kalau begitu, buat apa kita dakwah lagi kepada mereka? Jangan kita salah faham dengan ayat ini. Jangan kita jadikan ayat ini sebagai alasan untuk kita tidak berdakwah kepada manusia. Kena faham siapakah orang yang dimaksudkan dalam ayat ini. Kita tidak tahu siapakah yang Allah ﷻ telah matikan hati mereka daripada terima hidayah. Tugas kita hanya memberi dakwah kepada mereka. Sama ada mereka terima atau tidak, bukan urusan kita.
Kita pun tidak tahu siapakah yang akan terima dakwah ini. Bayangkan Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang bertahun-tahun berperang menentang Nabi ﷺ tetapi akhirnya menjadi seorang Muslim yang baik. Jadi jangan kita suka-suka kata orang itu telah ditutup hatinya – kerana yang menutup hati ini adalah Allah ﷻ dan Dia sahaja yang tahu.
Selain itu, kita kena berdakwah kepada mereka supaya mereka tidak ada hujah lagi di hadapan Allah ﷻ. Mereka tidak boleh berkata bahawa tidak ada orang yang sampaikan dakwah dan maklumat kepada mereka kerana kita sudah sampaikan kepada mereka. Mereka sahaja yang tidak mahu terima.
Juga supaya kita ada hujah di hadapan Allah ﷻ – yang kita telah sampaikan dakwah, cuma orang sahaja tidak mahu dengar dan terima dakwah kita.
Juga, walaupun orang itu tidak menerima kebaikan daripada dakwah kita kerana hati mereka telah tertutup, namun kita tetap mendapat kebaikan. Iman kita akan meningkat dan Allah ﷻ akan berikan penetapan dalam hati kita pula. Alangkah baiknya.
Begitu juga, walaupun mereka tidak mahu terima, tetapi kita akan mendapat pahala di atas usaha dakwah kita. Pahala diberikan kepada kita bukanlah kerana orang terima atau tidak, tetapi atas usaha kita sahaja. Kalau kita dakwah sahaja, sudah mendapat pahala dakwah dalam akaun kita.
Timbul soalan, kalau ada yang tidak mahu terima, maka siapakah yang akan menerima dakwah ini? Sebagai pendakwah, seperti Nabi dan orang-orang lain, tentunya mahu melihat hasil usaha dakwah mereka membuahkan kejayaan. Jawapannya ada dalam ayat seterusnya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 8 May 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi




