Baqarah Ayat 34:
وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكٰفِرينَ
And [mention] when We said to the angels, “Prostrate before Adam”; so they prostrated, except for Iblees. He refused and was arrogant and became of the disbelievers.
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلٰئِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ
Maka ketika Kami berfirman kepada malaikat: sujudlah kamu kepada Adam,
Allah perintah malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam. Cuma perlu diingatkan di sini, di situ pada waktu itu ada juga iblis seekor jin. Ia telah dinaikkan pangkat sampai duduk di kalangan para malaikat. Walaupun arahan itu diberikan kepada para malaikat, akan tetapi kerana ia ada di kalangan mereka, maka arahan itu juga perlu diikuti olehnya. Jangan pula ada berhujah: “eh, tapi arahan ini kepada malaikat, iblis bukan malaikat tapi jin, jadi tidak salahlah dia tak sujud!”
فَسَجَدُوا
semua sekali sujud
Bagaimana cara sujud adalah khilaf di kalangan ulama. Imam Jalalain kata, ianya hanya sekadar tunduk hormat sahaja, bukan macam sujud meletakkan dahi atas bumi macam dalam solat. Kerana sujud macam dalam solat itu hanya khusus antara hamba dan Allah sahaja. Pendapat ini kuat. Tapi ada juga ulama’ yang kata sujud yang seperti sujud dalam solat. Allahu a’lam.
إِلَّا إِبْلِيسَ
kecuali Iblis;
Semua malaikat sujud tetapi tidak Iblis. Perkataan ‘Iblis’ itu maksudnya ‘putus asa dari rahmat’. Sampai bila-bila dia tidak akan dapat rahmat kerana dia pernah derhaka kepada Allah. Makhluk yang paling kecewa untuk duduk dalam syurga. Kerana memang ia tidak ada harapan langsung.
Bukanlah ayat ini mengatakan yang Iblis itu malaikat. Tapi kerana Iblis itu sudah lama beribadat kepada Allah, dia telah diletakkan bersama dengan para malaikat yang lain. Ia dapat bercampur gaul dengan para malaikat yang tinggi.
أَبَىٰ
dia enggan;
Perkataan ini bermaksud – tidak mahu mengikut arahan orang yang ada kuasa atas kita. Kadang-kadang ada kawan minta tolong dengan kita, tapi kita enggan – tapi itu adalah enggan bukan kepada orang yang berkuasa atas kita.
Tapi kalimah yang digunakan bermaksud enggan ikut perintah. Keengganan Iblis itu adalah dosa besar kerana enggan menurut perintah Allah.
وَاسْتَكْبَرَ
dan dia sombong;
Kenapa Iblis enggan? Kerana dia sombong dalam hati. Kerana dia rasa dia besar. Sepatutnya dia taat sahaja kepada Allah. Dia fikir dia lebih mulia sebab dia dijadikan dari api dan lebih mulia dari makhluk yang dijadikan dari tanah. Api duduk di atas dan tanah duduk di bawah.
Maka, dia fikir dia lebih mulia. Maknanya dia guna akal untuk tolak wahyu. Allah ajar kepada kita, yang guna akal tolak wahyu telah menjadi Iblis, maka kalau kita pun guna akal tolak wahyu, jadi iblis lah juga.
Iblis juga sombong kerana dia telah lama hidup dan telah lama beribadat kepada Allah. Jadi dia rasa dia lebih layak dari Adam. Kerana padanya, Adam baru sahaja dijadikan dan tidak buat ibadat lagi pun.
Apakah yang Iblis hendak? Dia sebenarnya hendakkan pangkat. Tapi bukan pangkat yang tinggi pun. Kita sebagai manusia selalunya berebut pangkat pemimpin, pangkat tinggi dalam kerajaan dan sebagainya. Tapi apa yang diberikan kepada Adam adalah pangkat menjadi ‘hamba’ kepada Allah.
Itu adalah pangkat dalam agama juga. Ini bermakna, itu pun ada juga hendak. Bukan setakat pangkat yang tinggi sahaja. Jadi, kita boleh lihat bagaimana dalam masyarakat, ada yang berebut pangkat untuk jadi imam surau, berebut hendak menjadi siak masjid, atau jadi ahli jawatankuasa dalam surau.
Pangkat dalam agama pun ada orang yang berebut. Jadi, berhati-hatilah. Kalau kita pun macam itu, maka kita telah mengikuti perangai Iblis. Jangan kata yang ada pangkat rasmi (macam pengerusi majlis), kedudukan rapat dengan guru pun manusia boleh nak berebut. Mereka rasa bangga kalau rapat dengan guru. Jadi mereka akan buruk-burukkan orang lain supaya guru rapat dengan dia. Ini memang sudah jadi perangai Iblis. Mereka yang buat begitu tidak sedar mereka ada sifat Iblis.
وَكَانَ مِنَ الْكٰفِرِينَ
Maka dia dari kalangan yang kafir;
Maknanya, iblis telah melakukan dua kesalahan: enggan untuk taat dan sombong. Kita manusia pun ramai yang ada bersifat begitu. Ada orang yang apabila diajak belajar tentang tauhid, enggan terima kerana sombong tak mahu belajar. Mereka sombong kerana sangka mereka telah tahu. Maka kemudian mereka tidak taat kepada arahan Allah kerana mereka tidak tahu pun apa arahan Allah. Kerana arahan itu ada dalam Al-Qur’an.
Apabila Allah menggunakan kalimah كان dalam ayat ini, Allah hendak mengatakan bahawa Iblis itu telah kafir sebelum disuruh sujud kepada Adam lagi. Kerana perkataan yang digunakan adalah ‘كَانَ’, iaitu bermaksud yang telah lepas. Cuma dia menyembunyikan kekafirannya itu.
Dalam ayat dalam surah lain nanti, kita akan belajar bagaimana Iblis telah memberi alasan kenapa dia tidak mahu sujud kepada Adam. Dia kata kerana dia telah dijadikan dari api dan Adam dari tanah. Dia telah menggunakan logik untuk memberi alasan kepada keengganannya menurut perintah itu.
Jadi, kalau kita pun pakai alasan yang kita sangka sebagai logik, tapi menolak arahan Allah, maka kita pun telah mengikuti jejak langkah iblis.
Baqarah Ayat 35:
وَقُلنا يٰئآدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ وَكُلا مِنها رَغَدًا حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّٰلِمينَ
And We said, “O Adam, dwell, you and your wife, in Paradise and eat therefrom in [ease and] abundance from wherever you will. But do not approach this tree, lest you be among the wrongdoers.”
Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.
وَقُلْنَا يٰئآدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ
Dan Kami berfirman kepada Nabi Adam: Tinggallah kamu dan pasangan kamu dalam syurga;
Allah beri izin kepada Nabi Adam untuk tinggal dalam syurga. Perkataan ‘سكن’ yang digunakan itu pun sudah bermaksud bahawa Nabi Adam dan Hawa tidak akan tinggal lama di Syurga itu. Kerana makna perkataan itu dalam bahasa Arab adalah untuk tinggal sekejap sahaja dan akan meneruskan perjalanan ke tempat lain.
Dalam dalam ayat 30 sebelum ini pun Allah telah berfirman kepada malaikat bahawa Dia hendak menjadikan khalifah di bumi. Maka, memang tempat Adam adalah di bumi, bukan terus duduk di Syurga.
Allah bercakap terus kepada Nabi Adam dalam ayat ini kerana baginda adalah ketua keluarga. Ketua keluarga dalam sesuatu keluarga itu adalah lelaki. Maka arahan diberikan kepadanya dan dialah yang kena sampaikan kepada Hawa.
وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا
dan kedua-dua kamu makanlah dengan penuh selera;
Nak makan seberapa banyak pun, makanlah. Nak guna apa, gunalah. Tidak ada sekatan. Kali ini arahan diberikan kepada mereka berdua (Nabi Adam dan Siti Hawa).
حَيْثُ شِئْتُمَا
di mana sahaja kamu berdua ingini;
Maknanya, buatlah apa yang kamu berdua nak buat, jadikan syurga itu sebagai rumah sendiri. Mereka boleh menikmati apa sahaja yang ada di dalam syurga itu. Mereka hendak ke mana-mana pun boleh.
Akan tetapi ada larangan satu tempat:
وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ
dan jangan kamu hampiri pokok ini;
Dalam banyak-banyak tempat yang Nabi Adam dan Siti Hawa boleh pergi, ada satu pokok sahaja yang mereka dilarang untuk pergi dan datang dekat. Maknanya, mereka tahu pokok itu di mana nak mereka ditegah dari pergi kepadanya.
Ingat, nama pokok itu bukanlah ‘Pokok Khuldi’, tapi ianya adalah sejenis pokok. Tidak ada dalam nas yang sahih yang menyebut nama pokok itu. Yang kata nama pokok itu Pokok Khuldi, adalah Iblis, jadi kita tak boleh pakai nama itu. Ada mufassirin yang kata pokok gandum, tapi tidak dapat dipastikan dengan jelas.
Allah titahkan dua perkara kepada mereka berdua. Satu adalah titah suruhan dan satu lagi adalah titah larangan. Titah suruhan itu luas (makanlah apa sahaja, buatlah apa sahaja, pergilah ke mana sahaja); tapi titah larangan itu satu sahaja. Iaitu jangan dekati satu pokok. Pokok apa kita tak tahu. Nabi tak beritahu dan sahabat pun tak tanya. Jadi kita pun tak perlu nak tahu.
Ada masalah kalau sibuk sangat nak tahu apa jenis pokok itu. Masyarakat kita pun ada yang jenis sibuk benda yang tak perlu nak tahu. Sibuk nak tahu jenis pokok apa, apa rahsia dia, apa hikmat dia dan lain-lain lagi. Maka maklumat yang mereka dapat tentunya dari maklumat yang karut-karut sahaja.
Oleh itu, satu sahaja larangan. Sudah mudah sangat sepatutnya, kalau dikirakan. Yang lain buatlah apa nak buat. Maka Allah berikan arahan yang umum dan hanya ada satu larangan sahaja. Tapi memang sudah perangai manusia, yang dilarang itulah yang mereka nak buat. Kadang-kadang bukan mereka nak buat pun, tapi kerana bisikan syaitan yang dengki kepada manusia.
Allah nak beri isyarat dalam ayat ini yang syariat Allah itu mudah sahaja. Yang jadi berat itu adalah apabila manusia reka sendiri benda yang tidak disuruh dalam syarak. Ini termasuk golongan yang menambah-nambah perkara yang bidaah yang kemudian menyusahkan manusia. Kerana itu kena belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah hadis kerana waktu itu sudah akan bijak sikit untuk bertanya dari masa asal sesuatu amalan dan fahaman itu.
فَتَكُونَا مِنَ الظّٰلِمِينَ
maka kamu berdua akan jadi orang yang zalim;
Selepas Allah beritahu larangan, Allah beritahu juga apa yang akan terjadi kalau mereka langgar juga larangan itu. Kalau mereka tetap juga pergi kepada pokok itu, mereka akan dikira sebagai orang yang zalim. Ini adalah ancaman dari Allah. Mereka akan dikira sebagai zalim kerana melanggar perintah Allah dan akhirnya mereka akan masuk neraka.
Baqarah Ayat 36: Allah memperkenalkan pihak ketiga yang menyebabkan pecah belah.
فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطٰنُ عَنها فَأَخرَجَهُما مِمّا كانا فيهِ ۖ وَقُلنَا اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتٰعٌ إِلىٰ حينٍ
But Satan caused them to slip out of it and removed them from that [condition] in which they had been. And We said, “Go down, [all of you], as enemies to one another, and you will have upon the earth a place of settlement and provision for a time.”
Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.
فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطٰنُ عَنْهَا
Telah menggelincirkan mereka berdua oleh syaitan daripada syurga;
Dalam surah lain, diceritakan semasa Iblis disuruh sujud, Nabi Adam belum lagi dijadikan atau baru sahaja dijadikan. Bila disuruh sujud, Iblis tidak mahu. Apabila ditanya kenapa dia tak mahu sujud, Iblis jawab kerana Allah jadikan Nabi Adam dari tanah dan dia (Iblis) Allah jadikan dari api.
Tanah adalah jenis bahan yang duduk di bawah dan api jenis yang duduk di atas. Oleh itu, dia rasa dia lebih tinggi kedudukannya. Dan dia telah dijadikan dulu lagi dan sudah banyak buat ibadat. Padahal Nabi Adam belum buat ibadat lagi. Oleh kerana itu Iblis rasa dia lebih baik dan ini telah menjadikan dia sombong. Maka kalau rasa diri tinggi dan kemudian sombong, ia adalah sifat Iblis.
Maka, Allah halau Iblis dari syurga. Apabila dihalau, Iblis kata kerana dia dihalau, dia akan sesatkan seluruh anak cucu Adam. Supaya nanti akhirnya manusia akan masuk dalam neraka bersama dengannya. Dibenarkan oleh Allah untuk Iblis goda anak cucu Adam. Ini sebagai dugaan dan ujian bagi manusia.
Allah berikan alat perhubungan antara Adam dan Iblis. Jadi, walaupun dia tidak berjumpa dengan Nabi Adam, kerana dia telah dikeluarkan dari syurga, tapi Nabi Adam kenal Iblis. Kerana telah diberitahu kepada Adam bahawa Iblis adalah musuh mereka berdua. Telah diberitahu semasa mereka berdua ada dalam syurga lagi.
Iblis minta supaya dia dibenarkan menggoda Nabi Adam dan anak cucunya sehingga hari dibangkitkan nanti. Maknanya, dia tak mahu mati dan kerana doanya, Allah berikan tempoh kepadanya.
Syaitan telah hubungi Nabi Adam menceritakan dan dia tipu dengan kata dia kena halau dari syurga. Dia nasihat kepada Nabi Adam supaya jangan jadi macam dia. Kononnya dia nak nasihat kepada Nabi Adam cara untuk kekal dalam syurga. Maka, dia telah suruh Adam makan pokok yang terlarang itu.
Tapi Nabi Adam kata dia tidak boleh makan pokok itu. Sebab Adam ingat lagi bahawa Allah telah melarangnya menghampiri pokok itu. Iblis kata, Allah juga telah sekat dia dan kerana dia tidak makan pokok itulah yang menyebabkan dia kena halau dari Syurga. Lihatlah bagaimana liciknya tipuan dari Iblis.
Oleh kerana rayuan dan bisikan Iblis itu bertalu-talu, maka Nabi Adam telah termakan pujukan Syaitan. Iblis kata, kalau Nabi Adam makan pokok itu, dia akan jadi macam malaikat dan akan hidup kekal dalam syurga. Dan dia kata lagi, yang Tuhan kata, ‘jangan hampiri’, bukan Dia kata ‘jangan makan’.
Maka, Nabi Adam akhirnya telah makan pokok larangan itu. Bila dia makan, dia pun suruh Hawa makan juga. Takut nanti kalau Hawa tak makan, mereka akan berpisah. Tapi dalam tafsir lain, dikatakan bahawa Iblis goda Hawa dan Hawalah yang menyebabkan Nabi Adam makan.
Itu adalah fitnah kepada Hawa kerana ia memburukkan kaum wanita. Itu semua adalah karut sahaja. Padahal dalam Al-Qur’an, dikatakan Nabi Adamlah yang makan dulu pokok itu. Orang Kristian sampai menamakan Hawa dengan nama ‘Eve’, dan mereka kata dari kata Eve itulah datangnya kata evil – kejahatan. Kerana kepada mereka, Eve lah punca segala kejahatan.
Bila makan, maka pakaian mereka tertanggal dengan sendiri. Telanjanglah mereka berdua. Maka, tahulah Nabi Adam bahawa mereka telah derhaka dengan Tuhan dan Allah telah murka kepada mereka sampai dilucutkan pakaian kebesaran dan kemewahan mereka. Mereka telah mengambil daun dari pokok-pokok dalam Syurga untuk menutup tubuh mereka kerana memang sudah ada dalam fitrah manusia, malu dan menjaga aurat.
فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ
Maka dikeluarkan mereka berdua daripada syurga, tempat yang pernah mereka tinggal padanya;
Allah kata ‘jangan’, tapi Iblis tipu dengan kata boleh. Maknanya dalam kehidupan seharian kita, syaitan akan pusing mana yang tidak boleh, dia akan suruh kita buat. Inilah caranya. Dia terbalikkan yang boleh dan tidak boleh.
Syaitanlah penyebab turunnya Nabi Adam dari syurga. Dia bukannya suruh Nabi Adam buat salah tapi dia pujuk. Dia kata larangan dari Allah itu adalah kerana kalau Nabi Adam makan, Nabi Adam akan kekal di syurga. Syaitan kata Allah tak bagi makan pokok itu sebab Allah nak keluarkan Nabi Adam dari syurga.
Dan syaitan sampai namakan pokok itu Pokok Khuldi – Pokok Kekal. Panjang dan lama dia memujuk Nabi Adam sampai Nabi Adam termakan. Akhirnya syaitan berjaya menghalalkan yang haram.
Syaitan akan sentiasa hendak menggelongsorkan manusia dari ikut syariat. Lalu bagaimana kita nak lawan dengan syaitan kerana kita tak nampak mereka? Allah ajar dalam ayat ini yang kalau ada keinginan untuk menolak syariat, itu adalah bisikan syaitan. Memang Iblis dan syaitan tidak suka wahyu ditegakkan. Allah beri peringatan jangan kita terjadi macam tok nenek dulu.
وَقُلْنَا اهْبِطُوا
Dan Kami (Allah) berfirman: Keluarlah kamu dari syurga ini;
Dari bahasa yang digunakan, bukan bermaksud ‘kamu berdua’. Tapi arahan itu diberikan kepada ramai kerana ia dalam bentuk jamak (plural). Maka, ada mufassir yang kata, yang disuruh keluar dalam ayat ini termasuk sekali dengan Iblis. Kerana mungkin Iblis masih lagi ada di langit pada waktu itu (walaupun bukan dalam syurga).
بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ
Sebahagian dari kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain;
Apabila mereka ada zuriat nanti, keturunan mereka akan jadi musuh sesama sendiri. Jadi musuh sebahagian yang lain. Iaitu kita akan balik kepada kejadian asal manusia. Kerana setiap manusia ada nafsu yang berlainan. Keinginan pun berlainan. Ianya membawa kepada perbezaan pendapat dan akan terjadilah permusuhan.
Orang yang di atas al-haq akan dimusuhi oleh orang yang berfahaman batil. Dan berbagai-bagai lagi jenis permusuhan yang ada. Tidak sunyi manusia dari permusuhan yang tidak habis-habis.
Begitu juga, keturunan Nabi Adam akan bermusuhan dengan keturunan Iblis (golongan jin) yang akan menghasut manusia untuk melakukan kesalahan dan dosa.
وَلَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ
Bagi kamu di bumi itu tempat tinggal yang sementara;
Allah ingatkan yang keturunan anak cucu Nabi Adam hanya duduk sekejap sahaja di dunia. Manusia akan mati akhirnya dan akan pergi ke tempat yang kekal selama-lamanya di akhirat.
وَمَتٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ
dan suatu kesenangan sehingga tempoh kamu mati;
Perkataan مَتَاعٌ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud ‘barang keperluan yang digunakan’. Tapi barang itu tidak penting. Macam kain buruk kita buat lap meja. Jadi ianya memang digunakan, tapi tidaklah ianya satu benda yang penting dan berharga.
Maka inilah hakikat dunia. Ianya hanya untuk keperluan hidup kita semasa di dunia sahaja. Oleh itu, jangan kita jadi materialistik sampai dunia itu masuk ke dalam hati kita. Kena ingat yang dunia ini hanyalah untuk keperluan sahaja.
Kita adalah anak cucu Nabi Adam yang tidak bersalah makan pokok itu. Tapi sekarang kita duduk di dunia. Kerana dalam ayat ini, ianya adalah perintah dari Allah untuk kita tinggal di dunia. Kerana memang Allah telah takdirkan dari dulu lagi yang kita akan tetap tinggal dalam dunia.
Baqarah Ayat 37: Allah nak ingatkan dalam ayat sebelum ini yang manusia akan ikut sifat tok nenek kita iaitu penyakit lupa. Kerana lupa itulah yang menyebabkan tok nenek kita terkeluar dari syurga. Dan lupa itu pula disebabkan oleh syaitan. Kalau bukan kerana syaitan, manusia tidak lupa. Lebih-lebih lagi lupa tentang syariat.
Kesilapan lupa tidak sama dengan perbuatan yang sengaja. Lain hukuman kalau lupa dan kalau sengaja. Seperti kita tahu, Iblis tidak sujud bukan kerana lupa, tapi sengaja tak mahu sujud kerana degil. Tapi Nabi Adam makan pokok itu kerana lupa. Maka, kerana silapnya adalah kerana lupa, harapan untuk kembali ke syurga masih ada lagi.
Maka, apabila Nabi Adam sedar yang dia telah melakukan kesilapan, maka baginda telah beristighfar memohon ampun kepada Allah. Baginda adalah bapa kepada sekalian manusia dan akalnya amat hebat dan waras. Dikatakan bahawa akal Nabi Adam itu lebih hebat dari seratus umatnya.
Dengan akalnya itu, baginda telah memohon keampunan kepada Allah dengan lafaz yang berbagai-bagai bentuk ucapan, doa dan istighfar. Baginda ucapkan dengan harapan yang tinggi untuk merayu kepada Allah supaya Allah sayang dia balik dan ampunkan segala dosanya. Tapi Allah tidak pandang sikit pun doa-doa dari Nabi Adam itu. Maknanya, perkataan yang terbit dari akal manusia tidak diterima. Akhirnya Allah sendiri ajar Nabi Adam lafaz bagaimana untuk minta ampun kepadaNya.
فَتَلَقّىٰ ءآدَمُ مِن رَّبِّهِ كَلِمٰتٍ فَتابَ عَلَيهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ
Then Adam received from his Lord [some] words, and He accepted his repentance. Indeed, it is He who is the Accepting of repentance, the Merciful.
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
فَتَلَقَّىٰ ءآدَمُ مِنْ رَّبِّهِ كَلِمٰتٍ
Maka Nabi Adam telah menerima beberapa kalimah taubat daripada Tuhannya,
Allah telah ajar sendiri cara untuk melafazkan doa keampunan kepadaNya. Allah hendak mengajar bahawa syariat tetap syariat. Akal tidak boleh menandingi syariat. Sebab itu mereka yang belajar ilmu logik dan ilmu akal, ilmu kalam, jangan cuba melawan wahyu. Akal kena tunduk kepada wahyu. Kerana akal kita lemah dan tidak akan dapat sampai ke tahap kenal Allah seperti yang sepatutnya.
Hanya apabila Nabi Adam belajar doa dari wahyu ilahi, barulah Allah menerima doa ampun Nabi Adam itu. Nabi Adam telah menerima beberapa kalimat istighfar. Selepas baginda gunakan kalimat-kalimat itu, barulah Allah menerima taubatnya. Sebab itulah dalam kita berdoa kepada Allah dalam hal apa pun, adabnya adalah kita cari dulu doa yang Allah ajar dulu. Kalau tidak ada, kita cari doa yang Nabi pula ajar.
Carilah doa yang sesuai dengan keadaan kita. Kalau ada, maka pakailah doa itu dan guna. In sha Allah, ianya lebih baik dari doa yang reka sendiri. Boleh doa yang kita reka, tapi yang sebaik-baiknya, kita cari dulu yang ada dalam wahyu. Banyak doa yang Nabi dah ajar kepada umatnya. Macam-macam doa yang sesuai digunakan. Kalau tidak jumpa yang sesuai dengan kehendak kita, barulah kita reka sendiri lafaz doa kita sendiri.
Nabi Adam telah turun ke dunia, ada riwayat yang mengatakan selama 300 tahun baru berjumpa dengan Hawa. Dikatakan yang mereka turun bukan tempat yang sama. Hawa turun di Sri Lanka dan Nabi Adam turun di Afrika. Masing-masing mendengar suara masing-masing tapi tidak tahu di mana. Keadaan kawasan yang hampir serupa antara dua tempat itu.
Dalam masa yang sama, Adam telah memohon ampun di atas kesalahan yang telah dilakukannya. Lama baru diterima taubat Nabi Adam. Mengikut riwayat hadis, kalau dicampurkan separuh anak cucu Nabi Adam semua sekali kecerdikan mereka, baru sama dengan kecerdikan Nabi Adam.
Maka, walaupun Nabi Adam seorang yang cerdik, sudah biasa hidup di syurga dan tinggal bersama para malaikat, tetapi apabila dia telah bertaubat menggunakan lafaz bahasa yang dia tahu, tidak diterima taubat itu. Sentiasa dia bertaubat, tapi tidak diterima. Dalam waktu itu, dia telah duduk di dalam keadaan yang payah.
Bayangkan dia telah pernah tinggal di syurga dulu, tapi sekarang terpaksa hidup mencari makan sendiri. Itu adalah dua dunia yang amat berbeza. Dia seperti duduk dalam penjara kalau dibandingkan dengan kehidupan dia dahulu.
Sehinggalah Allah mengajar kalimah taubat untuk digunakan Nabi Adam barulah diterima taubatnya. Doanya adalah seperti apa yang termaktub dalam A’raf:23
قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ
Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.
Maka, sesiapa yang kena bala, maka ajarkanlah doa Nabi Adam ini kepada dia. Kerana selalunya mereka yang jatuh bala itu adalah kerana dia ada buat salah dengan Tuhan. Oleh itu, dia kena minta ampun kepada Allah dan sebaik-baik doa taubat adalah seperti yang diajar oleh Allah.
فَتَابَ عَلَيْهِ
maka diterima taubat Nabi Adam;
Setelah menggunakan kalimat doa ampun yang Allah ajar, maka taubat Nabi Adam telah diterima. Maknanya, kalau kita berdoa, sebaik-baiknya ikut apa yang Tuhan suruh. Tak boleh reka-reka. Sebaik-baik doa adalah doa yang telah diajar oleh Allah dan Nabi. Kalau kita tidak tahu, bolehlah kita buat setakat lafaz kita yang kita biasa.
إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Allah taala itu sifatNya Maha Menerima taubat lagi Maha Belas Kasihan
Ada dua sifat Allah yang disebut dalam ayat ini: Menerima Taubat dan Maha Belas Kasihan. Maksudnya, Allah suka menerima taubat hambaNya. Apabila Allah telah terima taubat hambaNya itu, Dia tidak akan menyusahkan hambaNya itu selama-lamanya di akhirat. Itulah sifat Rahim Allah.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 22 September 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan