Tafsir Surah al-A’raf Ayat 23 – 27 (Doa pengampunan dari Nabi Adam)

Ayat 23: Nabi Adam mengalah dan terus meminta ampun kerana dia sedar dia telah buat salah. Inilah yang Allah hendak dari hambaNya. Allah hendak kita mengaku dan mohon ampun sahaja, jangan melawan. Kalau tahu yang kita sudah buat salah, cepat-cepat minta maaf.

Tapi ramai yang apabila diberitahu mereka buat salah, mereka bukan nak terima, tapi mereka melawan lagi, dengan memberi hujah-hujah yang bathil untuk membenarkan juga kesalahan yang mereka telah lakukan. Ramai yang akan beri alasan, padahal Allah bukan hendak dengar alasan, tapi Allah hendak dengar taubat dari kita.

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Our Lord, we have wronged ourselves, and if You do not forgive us and have mercy upon us, we will surely be among the losers.”

(MALAY)

Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا

Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri,

Doa minta ampun ini diajar sendiri oleh Allah kepada mereka berdua. Kerana kalau Allah tidak ajar mereka, mereka pun tidak tahu bagaimana hendak minta ampun. Jadi, doa ini adalah doa yang baik untuk diamalkan.

Mereka mengaku yang mereka telah menzalimi diri mereka. Kerana mereka tidak berhati-hati dan tidak ikut nasihat Tuhan. Mereka mengaku kekurangan mereka.

Ini amat berlainan sekali dengan Iblis yang tidak mengaku dia bersalah. Malah dia berhujah pula dengan Allah kenapa dia langgar arahan Allah – dia gunakan alasan yang menggunakan logik akal sahaja, iaitu dia lebih tinggi kedudukan dari Nabi Adam. Maka tidaklah patut kalau menggunakan logik akal untuk berhujah dengan Allah. Kena sedarlah Allah siapa dan kita siapa. Berapa ramai yang menggunakan logik akal mereka sampaikan terkeluar dari Islam.

Mereka sangka akal mereka sudah cukup pandai untuk memikirkan kejadian Allah, kerja-kerja Allah dan undang-undang Allah. Ketahuilah yang itu adalah cara syaitan. Ramai yang sangka semua hukum Allah itu boleh dijelaskan dengan logik akal, dan kalau mereka tidak dapat jelaskan dengan logik akal, mereka tidak mahu terima. Mereka sangka Islam perlu menjelaskan semua perkara kepada mereka.

Ini lain dengan sunnah dalam agama. Nabi kita semuanya taat kepada Allah tanpa soal; lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim telah ikut segala arahan Allah, walaupun dari logik akalnya, tidak masuk akal. Sebagai contoh, kenapa pula baginda kena sembelih anaknya Nabi Ismail? Memang kalau difikirkan, perbuatan itu tidak masuk akal, tapi baginda taat juga dan lakukan juga kerana itu pasti arahan dari Allah.

Tetapi ini bukanlah larangan untuk menggunakan akal. Jangan salah anggap pula dengan pemahaman ini. Kita memang digalakkan menggunakan akal untuk melihat apakah hikmah sesuatu perkara itu diwajibkan kepada kita, atau diharamkan kepada kita. Tapi itu adalah untuk mencari hikmah dan melihat apakah kebaikan yang ada dalam hukum itu, supaya kita menjadi semakin mantap dalam melaksanakannya.

Maka bukanlah menggunakan akal untuk mempersoalkan arahan Allah. Kalau silap guna akallah yang menyebabkan ada manusia yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Itu sudah melawan hukum yang telah ditetapkan, itu derhaka.

Dan kadang-kadang kita tidak dapat jumpa pun hikmah sesuatu arahan hukum itu. Dan kalau kita jumpa pun, tidak semestinya ianya benar, kerana itu adalah hasil dari akal kita sahaja, dan akal kita tidak akan dapat capai tahap sempurna untuk mengetahui segala sesuatu dengan benar. Maka kalau kita tidak dapat jumpa hikmah sesuatu arahan Allah, kita tetap kena ikut juga.

Kita kena faham bahawa agama kita bukan memerlukan kita faham sesuatu perkara dalam agama itu, baru kena buat. Tidak semestinya kita akan faham semua arahan Allah, tapi yang pasti kita tetap kena taat. Sebelum masuk Islam, memang kita digalakkan untuk mempersoalkan segala perkara tentang agama Islam, tapi apabila kita telah buat keputusan untuk masuk Islam dan kita telah faham siapa diri kita dan siapa Allah, maka kita tidak ada hak untuk mempersoalkan hukum yang Allah telah berikan.

وَإِن لَم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ

dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.

Dalam ayat ini, Nabi Adam dan Hawa memohon keampunan dari Allah dan juga memohon rahmat. Kenapa dua perkara ini yang diperlukan? Kerana ianya ada dua perkara yang amat penting. Kalau kita sudah buat salah, kenalah kita minta ampun dan maaf atas kesalahan kita. Dan kalau permohonan kita sudah dimakbulkan, maka kita sudah selamat.

Tapi tidak semestinya selamat itu sesuatu yang bagus sangat. Memang sudah selamat tapi itu sebenarnya tidaklah hebat sangat. Sebagai contoh, kita selamat dari masuk dalam penjara, tapi itu tidak semestinya kita dapat kelebihan-kelebihan lain, tidak semestinya dapat hidup baik dan mewah, contohnya. Maka kerana itu kita kena juga minta rahmat dari Allah. Tapi kenalah dimulakan dengan permintaan keampunan kerana itu yang lebih penting.

Ini juga mengajar kita yang kita tidak dihalang dari meminta rahmat dari Allah walaupun baru sahaja buat dosa. Lihatlah bagaimana Nabi Adam terus meminta rahmat dari Allah selepas meminta ampun. Kerana baginda kenal Allah, dan tidak hilang harapannya kepada Allah. Kalau bukan berharap rahmat dari Allah, dengan siapa lagi kita boleh berharap?


Ayat 24:

قالَ اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتاعٌ إِلىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Descend, being to one another enemies. And for you on the earth is a place of settlement and enjoyment [i.e., provision] for a time.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.

قالَ اهبِطوا

Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian

Allah berfirman: turunlah kamu semua. Dikatakan ‘semua’, kerana yang turun ke dunia itu termasuk juga zuriat mereka berdua. Dan maksudnya ‘semuanya’, kerana termasuk Iblis diturunkan juga dari syurga ke dunia.

بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ

sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. 

Setengah mereka akan jadi musuh setengah yang lain. Inilah perangai manusia apabila duduk di dunia. Kalau semuanya duduk syurga tidak ada masalah kerana tiada permusuhan di syurga.

Tetapi bila manusia duduk di dunia, macam-macam masalah ada. Lelaki jadi musuh kepada wanita, wanita jadi musuh kepada lelaki, manusia jadi musuh kepada syaitan dan sebaliknya. Dan permusuhan sesama manusia pun sudah banyak. Itu semua kita akan tempuhi selama mana kita hidup di dunia ini.

وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتاعٌ إِلىٰ حينٍ

Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.

Bagi kita semua di dunia ini, telah ada satu tempoh yang ditetapkan untuk kita tinggal di dunia ini. Ingatlah yang tempat tinggal di dunia ini untuk sementara waktu sahaja. Sampai masa kita akan dimatikan dan sampai masa, dunia akan kiamat dan semua akan mengadap Allah nanti.


Ayat 25:

قالَ فيها تَحيَونَ وَفيها تَموتونَ وَمِنها تُخرَجونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Therein you will live, and therein you will die, and from it you will be brought forth.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.

قالَ فيها تَحيَونَ

Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup

Allah kata: kamu akan hidup di dunia. Di sinilah tempat kita cari kehidupan kita, dari kita lahir, sampai kita menghembuskan nafas terakhir. Di sinilah juga tempat yang kita gunakan untuk mengumpul pahala untuk dibawa ke akhirat kelak. Maknanya, jangan ingat makan sahaja tapi hendaklah beringat untuk mengumpul amal dan pahala.

وَفيها تَموتونَ

dan di bumi itu kamu mati,

Dan selepas menjalani kehidupan sekian lama, kita akan mati dan mati itu pun semasa di dunia. Kita kena sentiasa ingat tentang kematian. Ini penting kerana dengan ingat kematian lah yang menyebabkan kita takut untuk melakukan dosa.

وَمِنها تُخرَجونَ

dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.

Dan dari dunia inilah nanti kita semua akan dihidupkan kembali. Kita akan dikuburkan dan kita akan dibangkitkan dari kubur yang dalam tanah itu juga nanti.

Habis Ruku’ 2 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


Ayat 26: Allah beri nasihat kepada anak Adam dengan empat nasihat. Setiap satu ayat itu dimulai dengan lafaz ‘Wahai anak Adam’.

Ini adalah ayat sokongan kepada Dakwa kedua: ikut wahyu yang Allah sampaikan dan jaga hukum Allah.

Ini adalah nasihat pertama:

يا بَني آدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا يُواري سَوآتِكُم وَريشًا ۖ وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ ۚ ذٰلِكَ مِن آياتِ اللَّهِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O children of Adam, We have bestowed upon you clothing to conceal your private parts and as adornment. But the clothing of righteousness – that is best. That is from the signs of Allāh that perhaps they will remember.

(MALAY)

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

يا بَني آدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian

Selepas dengar kisah datuk kamu dan apa yang telah terjadi kepada mereka berdua, maka dengarlah nasihat dalam ayat ini. Sebelum ini Allah telah menceritakan bagaimana Nabi Adam dan Hawa telah diberi hukuman semasa di syurga di atas kesalahan mereka, dimana mereka telah dinampakkan dengan aurat mereka, apabila pakaian mereka dicabut.

Dan sekarang dalam ayat ini pula, Allah beritahu yang Dia telah menurunkan pakaian untuk kita. Ini menunjukkan yang kita tidak salah (tidak mewarisi dosa Nabi Adam dan Hawa). Kerana kalau kita salah, kita pun mewarisi hukuman yang dikenakan kepada mereka berdua (terus ditelanjangkan). Tapi nampaknya tidaklah begitu.

Jadi ini menolak fahaman sesat ‘dosa warisan’ (Original Sin) yang dipegang oleh puak Kristian. Mereka kata kita manusia adalah makhluk yang disumpah, lahir-lahir terus ada dosa. Itu adalah fahaman yang karut sekali kerana bersangka buruk dengan Allah dan alasan itu tidak ada dalilnya.

يُواري سَوآتِكُم

untuk menutup auratmu

Tujuan pakaian pakaian itu diturunkan untuk kita adalah untuk menutup aurat. Jadi, kalau pakai pakaian, tapi tidak menutup aurat, itu tidaklah seperti yang dikehendaki oleh Allah. Itu maknanya tidak pakai pakaian sebenarnya.

وَريشًا

dan untuk perhiasan. 

Jadi, pakaian itu diberikan kepada kita untuk menutup aurat dan juga sebagai perhiasan. Tutup aurat itu wajib dan memakai perhiasan itu hukumnya harus. Dibolehkan asalkan tidak melakukan perkara yang haram.

Ini adalah kerana lafaz ريشًا bermaksud ‘keindahan pada pakaian’. Jadi, kita bukan sahaja disuruh untuk menutup aurat kita tapi kita juga digalakkan untuk memakai pakaian yang cantik. Nabi pun dalam sirah dan hadis, disebut selalu memakai pakaian yang cantik-cantik. Ada pakaian yang diberi kepada baginda sebagai hadiah oleh para sahabat.

Oleh itu, berpakaianlah dengan kemas dan cantik. Allah mahu supaya kita cantik dengan pakaian kita. Kerana itu Dia telah menurunkan kepada kita pakaian yang cantik-cantik. Cuma bagi wanita, janganlah pakai pakaian yang menarik perhatian lelaki.

وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ

Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.

Tapi dalam menyebut tentang pakaian yang zahir, Allah menyebut bahawa pakaian taqwa lebih baik lagi. Itu adalah pakaian rohani iaitu ketaatan kepada Allah. Oleh kerana taqwa itu dalam hati, jadi kita perlu mencantikkan hati kita sepertimana kita juga disuruh mencantikkan pakaian kita.

Juga ia bermaksud pakaian yang dipakai itu hendaklah pakaian yang menunjukkan taqwa. Bukannya pakaian yang ketat dan menunjukkan bentuk badan. Ramai antara kita yang pakai pakaian yang sudah tutup aurat kononnya, tapi kalau pakaian itu ketat, ia tidak sesuai dan tidak menepati syarak lagi. Jangan juga pakai pakaian yang menunjukkan kesombongan kerana Allah tidak suka orang yang sombong.

ذٰلِكَ مِن آياتِ اللَّهِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

Allah mahu kita ingat kepadaNya. Oleh itu, hendaklah kita memakai pakaian dan dalam masa yang sama, dengan pakaian itu kita boleh ingat kepada Allah.

Ini menunjukkan segala apa yang kita lakukan adalah dalam rangka untuk mengingatkan kepada Allah. Dalam pakai baju pun boleh ingat kepada Allah. Semasa pakai baju, ingatlah yang baju itu diberi oleh Allah. Dan kita pakai baju itu kerana mengikut arahan Allah untuk menutup aurat kita. Dan kita seboleh mungkin pakai pakaian yang menunjukkan ketaqwaan kita.

Ini penting untuk diingati dan kerana itu ada doa yang Nabi ajar semasa pakai baju. Kita diingatkan sentiasa yang baju itu diberi oleh Allah, Allah telah beri nikmat kepada kita supaya dapat pakai baju yang cantik.

وَقَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ، حَدَّثَنَا أصْبَغُ، عَنْ أَبِي الْعَلَاءِ الشَّامِيِّ قَالَ: لَبِسَ أَبُو أُمَامَةَ ثَوْبًا جَدِيدًا، فَلَمَّا بَلَغَ تَرْقُوَتَه قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي مَا أُوَارِي بِهِ عَوْرَتِي، وَأَتَجَمَّلُ بِهِ فِي حَيَاتِي. ثُمَّ قَالَ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنِ اسْتَجَدَّ ثَوْبًا فَلَبِسَهُ فَقَالَ حِينَ يَبْلُغُ تَرْقُوَتَهُ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي مَا أُوَارِي بِهِ عَوْرَتِي، وَأَتَجَمَّلُ بِهِ فِي حَيَاتِي ثُمَّ عَمَدَ إِلَى الثَّوْبِ الَّذِي خَلُقَ أَوْ: أَلْقَى فَتَصَدَّقَ بِهِ، كَانَ فِي ذِمَّةِ اللَّهِ، وَفِي جِوَارِ اللَّهِ، وَفِي كَنَفِ اللَّهِ حَيًّا وَمَيِّتًا، [حَيًّا وَمَيِّتًا، حَيًّا وَمَيِّتًا] “

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yazid ibnu Harun, telah menceritakan kepada kami Asbag, dari Abul Ala Asy-Syami yang menceritakan bahawa Abu Umamah memakai pakaian baru, ketika pakaiannya sampai pada tenggorokannya, dia mengucapkan doa berikut: Segala puji bagi Allah yang telah memberi saya pakaian untuk menutupi aurat saya dan untuk memperindah penampilan dalam hidup saya. Kemudian Abu Umamah mengatakan, dia pernah mendengar Umar ibnul Khattab bercerita bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Barang siapa memakai pakaian baru dan di saat memakainya hingga sampai pada tenggorokannya dia mengucapkan doa berikut, “Segala puji bagi Allah yang telah memberi saya pakaian untuk menutupi aurat saya dan untuk memperindah penampilan dalam hidup saya,” kemudian dia menuju ke pakaian bekasnya dan menyedekahkannya, maka dia berada di dalam jaminan Allah dan berada di sisi Allah serta berada di dalam pemeliharaan Allah selama hidup dan mati(nya).

Doa Ketika Memakai Pakaian 

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ كَسَانِىْ هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِحَوْلٍ مِنِّىْ وَلاَقُوَّةٍ

Segala puji bagi Allah yang memberi aku pakaian ini dan memberi rizqi dengan tiada upaya dan kekuatan dariku


Ayat 27: Ini nasihat kedua.

يا بَني آدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطانُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِنَ الجَنَّةِ يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوآتِهِما ۗ إِنَّهُ يَراكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم ۗ إِنّا جَعَلنَا الشَّياطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O children of Adam, let not Satan tempt you as he removed your parents from Paradise, stripping them of their clothing¹ to show them their private parts. Indeed, he sees you, he and his tribe, from where you do not see them. Indeed, We have made the devils allies to those who do not believe.

  • The garments of Paradise.

(MALAY)

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.

يا بَني آدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطانُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِنَ الجَنَّةِ

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga,

Jangan lagi kamu ditipu oleh syaitan seperti datuk nenek kamu telah dikeluarkan dari syurga. Jangan biarkan mereka datang kepada kamu pun. Kamu patut benci kepada syaitan kerana segala keburukan yang ada pada mereka, termasuklah kerana mereka telah menyebabkan Datuk dan Nenek kita yang telah susah kerana dikeluarkan dari syurga kerana tipu daya mereka.

Macam juga kalau ada orang yang kacau ahli keluarga kita, kita pun marah kepada mereka, bukan? Maka kenalah kita benci kepada syaitan. Tapi adakah kita rasa begitu? Adakah kita rasa yang Nabi Adam dan Hawa itu sebagai orang yang tidak ada kena mengena dengan kita, sampaikan kita tidak rasa sakit hati pun apabila mereka diperlakukan sedemikian oleh Iblis?

Jangan begitu, hendaklah kita sayang kepada mereka berdua seperti juga kita sayang kepada ibubapa kita sendiri. Musuh kepada mereka, juga musuh kepada kita. Maka sebagai musuh kita, kita hendaklah tahu bagaimana cara mereka menipu manusia, iaitu dengan belajar ilmu Talbis Iblis (Belitan Iblis) supaya kita tahu dengan jelas bagaimana untuk mempertahankan diri kita dari tipuan syaitan dan iblis.

يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوآتِهِما

ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya.

Lihatlah apa yang telah syaitan lakukan, dia telah menyebabkan tercabut pakaian Nabi Adam dan Hawa yang akibatnya ternampak aurat mereka. Tidakkah kita rasa marah dengan perbuatan syaitan itu? Oleh itu, jangan ikut syaitan. Jangan termakan dengan pujukan dan bisikan mereka, dan kenalah kita belajar bagaimanakah cara-cara mereka menipu.

Dalam sejarah bangsa Arab, sebelum kedatangan Islam, golongan Jahiliyyah tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang. Ini pun adalah dari tipu daya syaitan juga. Mereka beri hujah, kena berbogel sebab semasa mereka dijadikan oleh Allah taala, dalam keadaan bogel juga. Ini adalah kerana mereka telah berjaya menelanjangkan tok nenek kita, maka sentiasa sahaja mereka berusaha untuk menelanjangkan anak cucunya.

إِنَّهُ يَراكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم

Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. 

Ayat ini memberitahu kita yang syaitan boleh tengok kita, dia dan anak keturunan dia – dari kalangan jin. Dan bukan itu sahaja, Allah beritahu juga yang kita sendiri tidak boleh nampak mereka.

Perkara ini penting untuk diketahui kerana ada ramai yang ada masalah dengan perkara ini. Ramai yang kata mereka boleh nampak jin, nampak hantu, boleh rasa jin ada berapa ekor dalam bilik, boleh nampak bayangan jin, boleh scan jin dan sebagainya. Ini tidak patut berlaku kerana yang sepatutnya kita tidak boleh langsung nampak mereka.

Dan kalau kisah yang manusia boleh nampak, itu ada dua kemungkinan: mungkin kerana seseorang itu ada karomah atau kerana memang orang itu memang rapat dengan syaitan. Kerana rapat dengan jin sampai boleh nampak dan rasa kehadiran jin.

Adat kebiasaannya, manusia memang tidak boleh nampak syaitan. Rupa asal syaitan tidak boleh tengok, tapi yang biasa nampak itu hanya jelmaan dia sahaja. Ini boleh terjadi kalau mereka menjelma macam rupa manusia (atau hantu). Seperti juga macam malaikat, kalau mereka menjelma jadi manusia pun boleh tengok. Tapi itu jarang berlaku. Kalau dapat karomah pun, tidaklah sentiasa boleh nampak jin syaitan itu.

Jadi, kalau ada orang yang kata mereka boleh nampak atau scan jin, itu ada masalah. Berkemungkinan besar, mereka boleh rasa kehadiran jin itu kerana mereka sendiri ada amalan salah yang mereka selalu beramal, yang telah mendekatkan jin dengan mereka. Ini termasuklah mereka yang banyak mengamalkan ‘perubatan Islam’ yang sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Islam.

Amalan mereka banyak yang syirik dan bidaah, sampaikan jin suka duduk dengan mereka. Kerana amalan mereka sebenarnya memanggil jin sahaja. Jadi kalau berubat dengan mereka, kerana nanti bukannya buang jin, tapi tambah jin lagi.

Ayat ini juga memberitahu kita, jin syaitan itu sentiasa sahaja memerhatikan kita, kerana tugas mereka memang untuk menyesatkan kita dengan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik. Ini adalah kelebihan sementara yang Allah berikan kepada mereka, dalam rangka mereka hendak menyesatkan kita.

 

إِنّا جَعَلنَا الشَّياطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ

Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.

Allah telah beritahu yang Dia jadikan syaitan teman rapat bagi orang yang tidak beriman. Itulah sebabnya, kalau ada fahaman dan amalan syirik, syaitan akan jadi teman rapat dia. Selalu duduk dekat dengan dia, selalu menampakkan diri kepada mereka yang mengamalkan amalan syirik itu.

Syaitan akan sentiasa hendak membogelkan manusia. Sebab itu kalau kita lihat orang yang tidak beriman, bagaimana pakaian mereka? Mereka berpakaian yang tidak sesuai – pakai baju, tapi sebenarnya berbogel. Maka, kita jangan jadi macam mereka. Selalu kita risaukan tentang pakaian perempuan, tapi bagaimana dengan lelaki? Lelaki pun kena jaga juga bab pakaian. Pakailah pakaian yang tutup seluruh tubuh kita, pakai baju yang labuh sikit. Jangan pakaian yang ketat yang boleh menarik perhatian wanita.

Untuk wanita pula, janganlah sangka tutup aurat itu dengan pakai pakaian yang setakat menutup sahaja. Tapi hendaklah dijaga perawakan juga. Kadangkala, ada yang sudah tutup aurat dari segi pakaian, tapi cara cakap mereka, cara jalan mereka, cara mereka bergaul, tidak sesuai dengan cara Islam. Ini kerana mereka tidak jaga pergaulan mereka dengan lelaki. Kita nampak senang sahaja mereka bercakap-cakap dan berinteraksi dengan orang bukan mahram mereka. Ini tidak patut.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Februari 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Baqarah Ayat 34 – 37 (Arahan sujud kepada Adam a.s.)

Ayat 34:

وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكٰفِرينَ

Sahih International

And [mention] when We said to the angels, “Prostrate before Adam”; so they prostrated, except for Iblees. He refused and was arrogant and became of the disbelievers.

Malay

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلٰئِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ

Maka ketika Kami berfirman kepada malaikat: sujudlah kamu kepada Adam,

Allah perintah malaikat dan jin untuk sujud kepada Nabi Adam.

فَسَجَدُوا

semua sekali sujud 

Bagaimana cara sujud adalah khilaf di kalangan ulama. Imam Jalalain kata, ianya hanya sekadar tunduk hormat sahaja, bukan macam sujud meletakkan dahi atas bumi macam dalam solat. Kerana sujud macam dalam solat itu hanya khusus antara hamba dan Allah sahaja. Pendapat ini kuat. Tapi ada juga ulama yang kata sujud yang seperti sujud dalam solat. Allahu a’lam.

إِلَّا إِبْلِيسَ

kecuali Iblis;

Semua malaikat sujud tetapi tidak Iblis. Perkataan ‘Iblis’ itu maksudnya ‘putus asa dari rahmat’. Sampai bila-bila dia tidak akan dapat rahmat kerana dia pernah derhaka kepada Allah. Makhluk yang paling kecewa untuk duduk dalam syurga.

Bukanlah ayat ini mengatakan yang Iblis itu malaikat. Tapi kerana Iblis itu sudah lama beribadat kepada Allah, dia telah diletakkan bersama dengan para malaikat yang lain.

أَبَىٰ

dia enggan;

Perkataan ini bermaksud – tidak mahu mengikut arahan orang yang ada kuasa atas kita. Kadang-kadang ada kawan minta tolong dengan kita, tapi kita enggan – tapi itu adalah enggan bukan kepada orang yang berkuasa atas kita.

Keengganan Iblis itu adalah dosa besar kerana enggan menurut perintah Allah.

وَاسْتَكْبَرَ

dan dia sombong;

Kenapa enggan? Kerana sombong dalam hati. Kerana rasa dia besar. Sepatutnya dia taat sahaja kepada Allah. Dia fikir dia lebih mulia sebab dia dijadikan dari api dan lebih mulia dari makhluk yang dijadikan dari tanah. Api duduk di atas dan tanah duduk di bawah.

Maka, dia fikir dia lebih mulia. Maknanya dia guna akal untuk tolak wahyu. Allah ajar kepada kita, yang guna akal tolak wahyu telah menjadi Iblis, maka kalau kita pun guna akal tolak wahyu, jadi iblis lah juga.

Iblis juga sombong kerana dia telah lama hidup dan telah lama beribadat kepada Allah. Jadi dia rasa dia lebih layak dari Adam. Kerana padanya, Adam baru sahaja dijadikan dan tidak buat ibadat lagi pun.

Apakah yang Iblis hendak? Dia sebenarnya hendakkan pangkat. Tapi bukan pangkat yang tinggi pun. Kita sebagai manusia selalunya berebut pangkat pemimpin, pangkat tinggi dalam kerajaan dan sebagainya. Tapi apa yang diberikan kepada Adam adalah pangkat menjadi ‘hamba’ kepada Allah.

Itu adalah pangkat dalam agama juga. Ini bermakna, itu pun ada juga hendak. Bukan setakat pangkat yang tinggi sahaja. Jadi, kita boleh lihat bagaimana dalam masyarakat, ada yang berebut pangkat untuk jadi imam surau, berebut hendak menjadi siak masjid, atau jadi ahli jawatankuasa dalam surau. Pangkat dalam agama pun ada orang yang berebut. Jadi, berhati-hatilah. Kalau kita pun macam itu, maka kita telah mengikuti perangai Iblis.

وَكَانَ مِنَ الْكٰفِرِينَ

Maka jadilah dia dari kalangan yang kafir;

Maknanya, iblis telah melakukan dua kesalahan: enggan untuk taat dan sombong. Kita pun ada juga bersifat begitu. Ada orang yang apabila diajak belajar tentang tauhid, enggan terima kerana sombong tak mahu belajar. Mereka sombong kerana ingat mereka telah tahu.

Allah hendak mengatakan bahawa Iblis itu telah kafir sebelum disuruh sujud kepada Adam lagi. Kerana perkataan yang digunakan adalah ‘كَانَ’, iaitu bermaksud yang telah lepas. Cuma dia menyembunyikan kekafirannya itu.

Dalam ayat dalam surah lain nanti, kita akan belajar bagaimana Iblis telah memberi alasan kenapa dia tidak mahu sujud kepada Adam. Dia kata kerana dia telah dijadikan dari api dan Adam dari tanah. Dia telah menggunakan logik untuk memberi alasan kepada keengganannya menurut perintah itu. Jadi, kalau kita pun pakai alasan yang kita sangka sebagai logik, tapi menolak arahan Allah, maka kita pun telah mengikuti jejak langkah iblis.


Ayat 35:

وَقُلنا يٰئآدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ وَكُلا مِنها رَغَدًا حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And We said, “O Adam, dwell, you and your wife, in Paradise and eat therefrom in [ease and] abundance from wherever you will. But do not approach this tree, lest you be among the wrongdoers.”

Malay

Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.

 

وَقُلْنَا يٰئآدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ

Dan Kami berfirman kepada Nabi Adam: Tinggallah kamu dan pasangan kamu dalam syurga;

Allah beri izin kepada Nabi Adam untuk tinggal dalam syurga.

Perkataan ‘سكن’ yang digunakan itu pun sudah bermaksud bahawa Nabi Adam dan Hawa tidak akan tinggal lama di Syurga itu. Kerana makna perkataan itu dalam bahasa Arab adalah untuk tinggal sekejap sahaja dan akan meneruskan perjalanan ke tempat lain.

Dalam dalam ayat 30 Surah Baqarah ini pun Allah telah berfirman kepada malaikat bahawa Dia hendak menjadikan khalifah di bumi. Maka, memang tempat Adam adalah di bumi, bukan terus duduk di Syurga.

Allah bercakap terus kepada Nabi Adam kerana dia adalah ketua keluarga. Ketua keluarga dalam sesuatu keluarga itu adalah lelaki.

وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا

dan kedua-dua kamu makanlah dengan penuh selera;

Nak makan seberapa banyak pun, makanlah. Nak guna apa, gunalah. Tidak ada sekatan.

حَيْثُ شِئْتُمَا

dimana sahaja kamu ingini;

Maknanya, buatlah apa yang kamu berdua nak buat, tapi ada syarat:

وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ

Jangan kamu hampiri pokok ini;

Ingat, nama pokok itu bukanlah ‘Pokok Khuldi’, tapi ianya adalah sejenis pokok. Tidak ada dalam nas yang sahih yang menyebut nama pokok itu. Yang kata nama pokok itu Pokok Khuldi, adalah Iblis, jadi kita tak boleh pakai nama itu. Ada mufassirin yang kata pokok gandum, tapi tidak dapat dipastikan dengan jelas.

Allah titahkan dua perkara: titah suruhan dan titah larangan. Titah suruhan itu luas tapi titah larangan itu satu sahaja. Iaitu jangan dekati satu pokok. Pokok apa kita tak tahu. Nabi tak beritahu dan sahabat pun tak tanya. Kita pun tak perlu nak tahu.

Oleh itu, satu sahaja larangan. Mudah sangat dah sepatutnya, kalau dikirakan. Yang lain buatlah apa nak buat. Arahan yang umum dan satu larangan. Tapi perangai manusia, yang dilarang itulah yang mereka nak buat. Kadang-kadang bukan mereka nak buat pun, tapi kerana bisikan syaitan yang dengki kepada manusia.

Allah nak beritahu dalam ayat yang syariat Allah itu mudah sahaja. Yang jadi berat itu adalah apabila manusia reka sendiri benda yang tidak disuruh dalam syarak. Iaitu yang menambah nambah perkara yang bidaah yang kemudian menyusahkan manusia.

فَتَكُونَا مِنَ الظّٰلِمِينَ

maka kamu berdua akan jadi orang yang zalim;

Selepas Allah beritahu larangan, Allah beritahu juga akan terjadi kalau mereka langgar juga larangan itu, mereka akan dikira sebagai orang yang zalim. Ini adalah ancaman dari Allah.  Mereka akan dikira sebagai zalim kerana melanggar perintah dan akan masuk neraka.


Ayat 36: Allah memperkenalkan pihak ketiga yang menyebabkan pecah belah.

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطٰنُ عَنها فَأَخرَجَهُما مِمّا كانا فيهِ ۖ وَقُلنَا اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتٰعٌ إِلىٰ حينٍ

Sahih International

But Satan caused them to slip out of it and removed them from that [condition] in which they had been. And We said, “Go down, [all of you], as enemies to one another, and you will have upon the earth a place of settlement and provision for a time.”

Malay

Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

 

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطٰنُ عَنْهَا

Telah menggelincirkan mereka berdua oleh syaitan daripada syurga;

Dalam surah lain, diceritakan bahawa semasa Iblis disuruh sujud, Nabi Adam belum lagi dijadikan atau baru sahaja dijadikan. Bila disuruh sujud, Iblis tidak mahu. Apabila ditanya kenapa dia tak mahu sujud, Iblis jawab kerana Allah jadikan Nabi Adam dari tanah dan dia (Iblis) Allah jadikan dari api.

Tanah adalah jenis bahan yang duduk dibawah dan api jenis yang duduk di atas. Oleh itu, dia rasa dia lebih tinggi kedudukannya. Dan dia telah dijadikan dulu lagi dan sudah banyak buat ibadat. Padahal Nabi Adam belum buat ibadat lagi. Dia rasa dia lebih baik. Iblis telah jadi sombong.

Maka, Allah halau Iblis dari syurga. Apabila dihalau, Iblis kata kerana dia dihalau, dia akan sesatkan seluruh anak cucu Adam. Supaya nanti akhirnya manusia akan masuk dalam neraka bersama dengannya. Dibenarkan oleh Allah untuk Iblis goda anak cucu Adam.

Allah berikan alat perhubungan antara Adam dan Iblis. Jadi, walaupun dia tidak berjumpa dengan Nabi Adam, kerana dia telah dikeluarkan dari syurga, tapi Nabi Adam kenal Iblis. Kerana telah diberitahu kepada Adam bahawa Iblis adalah musuh mereka berdua. Telah diberitahu semasa mereka berdua ada dalam syurga lagi.

Iblis minta supaya dia dibenarkan menggoda Nabi Adam dan anak cucunya sehingga hari dibangkitkan nanti. Maknanya, dia tak mahu mati. Allah berikan tempoh kepadanya. Tapi syaitan hanya boleh goda manusia yang sama perangai dengan dia sahaja. Kalau yang berpegang kemas dengan ajaran tauhid, dia tidak boleh goda.

Syaitan telah hubungi Nabi Adam menceritakan bagaimana dia kena halau dari syurga. Dia nasihat kepada Nabi Adam supaya jangan jadi macam dia. Kononnya dia nak nasihat kepada Nabi Adam cara untuk kekal dalam syurga. Maka, dia telah suruh Adam makan pokok yang terlarang itu.

Tapi Nabi Adam kata dia tidak boleh makan pokok itu. Sebab Adam ingat lagi bahawa Allah telah melarangnya menghampiri pokok itu. Iblis kata, Allah juga telah sekat dia dan kerana dia tidak makan pokok itulah yang menyebabkan dia kena halau dari Syurga. Lihatlah bagaimana liciknya tipuan dari Iblis.

Oleh kerana rayuan dan bisikan Iblis itu bertalu-talu, maka Nabi Adam telah termakan pujukan Syaitan. Iblis kata, kalau Nabi Adam makan pokok itu, dia akan jadi macam malaikat dan akan hidup kekal dalam syurga. Dan dia kata lagi, yang Tuhan kata, ‘jangan hampiri’, bukan Dia kata ‘jangan makan’.

Maka, Nabi Adam akhirnya telah makan pokok larangan itu. Bila dia makan, dia pun suruh Hawa makan juga. Takut nanti kalau Hawa tak makan, mereka akan berpisah. Tapi dalam tafsir lain, dikatakan bahawa Iblis goda Hawa dan Hawalah yang menyebabkan Nabi Adam makan.

Itu adalah fitnah kepada Hawa. Sampai memburukkan kaum wanita. Itu semua adalah karut sahaja. Padahal dalam Qur’an, dikatakan Nabi Adamlah yang makan dulu pokok itu. Orang Kristian sampai menamakan Hawa dengan nama ‘Eve’, dan mereka kata dari kata Eve itulah datangnya kata evil – kejahatan. Kerana kepada mereka, Eve lah punca segala kejahatan.

Bila makan, maka pakaian mereka tertanggal dengan sendiri. Telanjanglah mereka berdua. Maka, tahulah Nabi Adam bahawa mereka telah derhaka dengan Tuhan. Mereka telah mengambil daun dari pokok-pokok dalam Syurga untuk menutup tubuh mereka.

فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ

Maka dikeluarkan mereka berdua daripada syurga, tempat yang pernah mereka tinggal padanya; 

Allah kata ‘jangan’, dia kata boleh. Maknanya dalam kehidupan seharian kita, syaitan akan pusing mana yang tidak boleh, dia akan suruh kita buat. Inilah caranya. Dia terbalikkan yang boleh dan tidak boleh.

Syaitanlah penyebab turunnya Nabi Adam dari syurga. Dia bukannya suruh Nabi Adam buat salah tapi dia pujuk. Dia kata larangan dari Allah itu adalah kerana kalau Nabi Adam makan, Nabi Adam akan kekal di syurga. Syaitan kata Allah tak bagi makan pokok itu sebab Allah nak keluarkan Nabi Adam dari syurga.

Dan kalau Nabi Adam tak makan, memang akan terkeluarlah dia nanti. Dan syaitan sampai namakan pokok itu Pokok Khuldi – Pokok Kekal. Panjang dan lama dia memujuk Nabi Adam sampai Nabi Adam termakan. Akhirnya syaitan berjaya menghalalkan yang haram.

Syaitan akan sentiasa hendak menggelongsorkan manusia dari ikut syariat. Lalu bagaimana kita nak lawan dengan syaitan kerana kita tak nampak mereka? Allah ajar dalam ayat ini yang kalau ada keinginan untuk menolak syariat, itu adalah bisikan syaitanlah itu. Syaitan tidak suka wahyu ditegakkan. Allah beri peringatan jangan kita terjadi macam tok nenek dulu.

وَقُلْنَا اهْبِطُوا

Dan Kami (Allah) berfirman: Keluarlah kamu dari syurga ini;

Dari bahasa yang digunakan, bukan bermaksud ‘kamu berdua’. Tapi dalam bentuk jamak (plural). Maka, ada mufassir yang kata, yang disuruh keluar dalam ayat ini termasuk sekali dengan Iblis.

بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ

Sebahagian dari kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain;

Apabila mereka ada zuriat nanti, keturunan mereka akan jadi musuh sesama sendiri. Jadi musuh sebahagian yang lain. Iaitu kita akan balik kepada kejadian asal manusia. Kerana setiap manusia ada nafsu yang berlainan. Keinginan pun berlainan. Ianya membawa kepada perbezaan pendapat dan akan terjadilah permusuhan.

Orang yang hak akan dimusuhi oleh orang yang batil. Dan berbagai-bagai lagi jenis permusuhan yang ada.

وَلَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ

Bagi kamu di bumi itu tempat tinggal yang sementara; 

Duduk sekejap sahaja. Akan pergi ke tempat selama-lamanya.

وَمَتٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ

dan suatu kesenangan sehingga tempoh kamu mati;

Perkataan مَتَاعٌ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud ‘barang keperluan yang digunakan’. Tapi barang itu tidak penting. Macam kain buruk kita buat lap meja, ianya digunakan, tapi tidaklah ianya satu benda yang penting. Inilah hakikat dunia. Ianya hanya untuk keperluan kita sahaja. Oleh itu, jangan kita jadi materialistik sampai dunia itu masuk ke dalam hati kita. Ianya hanyalah keperluan sahaja.

Kita adalah anak cucu Nabi Adam yang tidak bersalah makan pokok itu. Tapi kita duduk di dunia. Kerana dalam ayat ini, ianya adalah perintah dari Allah untuk kita tinggal di dunia.


Ayat 37: Allah nak ingatkan dalam ayat sebelum ini yang manusia akan ikut sifat tok nenek kita iaitu penyakit lupa. Kerana lupa, dan kerana lupa itulah yang menyebabkan terkeluar dari syurga. Dan lupa itu pula disebabkan oleh syaitan. Kalau bukan kerana syaitan, manusia tidak lupa. Lebih-lebih lagi lupa tentang syariat.

Kesilapan lupa tidak sama dengan perbuatan yang sengaja. Lain hukuman kalau lupa dan sengaja. Kerana iblis tidak sujud bukan kerana lupa, tapi sengaja tak mahu sujud kerana degil. Tapi Nabi Adam makan pokok itu kerana lupa. Maka, kerana silapnya adalah kerana lupa, harapan untuk kembali ke syurga masih ada lagi.

Maka, apabila Nabi Adam sedar yang dia telah melakukan kesilapan, maka baginda telah beristighfar memohon ampun kepada Allah taala. Baginda adalah bapa kepada sekalian manusia dan akalnya amat hebat dan waras. Dikatakan bahawa akal Nabi Adam itu lebih hebat dari seratus umatnya.

Dengan akalnya itu, baginda telah memohon keampunan kepada Allah dengan lafaz yang berbagai-bagai bentuk ucapan, doa dan istighfar. Dengan harapan yang tinggi untuk merayu kepada Allah supaya Allah sayang dia balik dan ampunkan segala dosanya. Tapi Allah tidak pandang sikit pun doa-doa dari Nabi Adam itu. Maknanya, perkataan yang terbit dari akal manusia tidak diterima.

فَتَلَقّىٰ ءآدَمُ مِن رَّبِّهِ كَلِمٰتٍ فَتابَ عَلَيهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

Sahih International

Then Adam received from his Lord [some] words, and He accepted his repentance. Indeed, it is He who is the Accepting of repentance, the Merciful.

Malay

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.

 

فَتَلَقَّىٰ ءآدَمُ مِنْ رَّبِّهِ كَلِمٰتٍ

Maka Nabi Adam telah menerima beberapa kalimah taubat daripada Tuhannya,

Akhir sekali, Allah ajar sendiri cara untuk melafazkan doa keampunan kepadaNya. Allah hendak mengajar bahawa syariat tetap syariat. Akal tidak boleh menandingi syariat. Sebab itu mereka yang belajar ilmu logik dan ilmu akal, ilmu kalam, jangan cuba melawan wahyu. Akal kena tunduk kepada wahyu.

Hanya apabila Adam belajar doa dari wahyu ilahi, barulah Allah menerima doa ampun Nabi Adam itu. Nabi menerima beberapa kalimat istighfar. Barulah Allah menerima taubatnya. Sebab itulah dalam kita berdoa kepada Allah dalam hal apa pun, adabnya adalah kita cari dulu doa yang Nabi ajar.

Carilah doa yang sesuai dengan keadaan kita. Kalau ada, maka pakailah doa itu dan guna. In sha Allah, ianya lebih baik dari doa yang reka sendiri. Boleh doa yang kita reka, tapi yang sebaik-baiknya, kita cari dulu. Banyak doa yang Nabi dah ajar kepada umatnya. Macam-macam doa yang sesuai digunakan.

Nabi Adam telah turun ke dunia, ada riwayat yang mengatakan selama 300 tahun baru berjumpa dengan Hawa. Mereka turun bukan tempat yang sama. Hawa turun di Sri Lanka dan Nabi Adam turun di Afrika. Masing-masing mendengar suara masing-masing tapi tidak tahu di mana. Keadaan kawasan yang hampir serupa antara dua tempat itu.

Dalam masa yang sama, Adam telah memohon ampun diatas kesalahan yang telah dilakukannya. Lama baru diterima taubat Nabi Adam. Mengikut riwayat hadis, kalau dicampurkan separuh anak cucu Nabi Adam semua sekali kecerdikan mereka, baru sama dengan kecerdikan Nabi Adam.

Maka, walaupun Nabi Adam seorang yang cerdik, sudah biasa hidup di syurga dan tinggal bersama para malaikat, tetapi apabila dia telah bertaubat menggunakan lafaz bahasa yang dia tahu, tidak diterima taubat itu. Sentiasa dia bertaubat, tapi tidak diterima. Dalam waktu itu, dia telah duduk di dalam keadaan yang payah.

Bayangkan dia telah pernah tinggal di syurga dulu, tapi sekarang terpaksa hidup mencari makan sendiri. Dua dunia yang amat berbeza. Dia seperti duduk dalam penjara kalau dibandingkan dengan kehidupan dia dahulu.

Sehinggalah Allah mengajar kalimah taubat untuk digunakan Nabi Adam barulah diterima taubatnya. Doanya adalah seperti apa yang termaktub dalam A’raf:23

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Maka, sesiapa yang kena bala, maka ajarkanlah doa Nabi Adam ini kepada dia. Kerana selalunya mereka yang jatuh bala itu adalah kerana dia ada salah dengan Tuhan. Oleh itu, dia kena minta ampun kepada Allah dan sebaik-baik doa taubat adalah seperti yang diajar oleh Allah.

فَتَابَ عَلَيْهِ

maka diterima taubat Nabi Adam;

Maknanya, kalau kita berdoa, kena ikut apa yang Tuhan suruh. Tak boleh reka-reka. Sebaik-baik doa adalah doa yang telah diajar oleh Allah dan Nabi. Kalau kita tidak tahu, bolehlah kita buat setakat lafaz kita yang kita biasa.

 إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Allah taala itu sifatNya Maha Menerima taubat lagi Maha Belas Kasihan

Ada dua sifat Allah yang disebut dalam ayat ini: Menerima Taubat dan Maha Belas Kasihan. Maksudnya, Allah suka menerima taubat hambaNya. Apabila Allah telah terima taubat hambaNya itu, Dia tidak akan menyusahkan hambaNya itu selama-lamanya di akhirat. Itulah sifat Rahim Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Mac 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan