Baqarah Ayat 31: Di dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ beritahu yang Dia mengetahui apa yang para malaikat itu tidak tahu. Seolah-olah Allah ﷻ memberitahu kepada para malaikat: Kamu mungkin fikir perkara yang sama akan berlaku jika meletakkan manusia di bumi, bukan? Akan tetapi ada suatu yang berbeza pada kali ini.
Ayat ini setelah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan. Allah ﷻ terus menceritakan kejadian selepas baginda dijadikan dan tidak disebutkan kisah kejadian Adam itu. Harus diingatkan Al-Qur’an bukanlah buku sejarah yang mengikut kronologi atau novel yang menceritakan kisah berturutan semuanya. Ada disebut dalam hadith bagaimana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan maka kenalah dirujuk kepada hadith akan kisahnya itu.
وَعَلَّمَ ءآدَمَ الأَسمآءَ كُلَّها ثُمَّ عَرَضَهُم عَلَى المَلٰٓئِكَةِ فَقالَ أَنبِئوني بِأَسماءِ هٰٓؤُلاءِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
And He taught Adam the names – all of them. Then He showed them to the angels and said, “Inform Me of the names of these, if you are truthful.”
Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.
وَعَلَّمَ ءآدَمَ الْأَسْمَآءَ كُلَّهَا
Dan Allah mengajar Nabi Adam nama-nama benda semua sekali;
Sekarang disebut nama khalifah yang akan dijadikan itu. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ namanya dan baginda adalah datuk kita. Kita semua adalah keturunan baginda. Kerana itu gelaran kepada baginda adalah أبو البشر. Terdapat juga banyak pendapat yang tidak boleh dipertanggungjawabkan yang kita ini adalah keturunan versi Adam ke 40 lah, Adam ke berapa dan sebagainya. Kononnya terdapat banyak versi Adam telah dijadikan. Ini semua adalah dongeng sahaja kerana tidak ada dalilnya.
Di dalam ayat 29 telah disebut nikmat-nikmat material yang telah diberikan kepada manusia. Namun begitu terdapat juga jenis nikmat material (zahir) dan ada jenis yang bukan material seperti ilmu pengetahuan. Ini pun nikmat juga. Nanti kita akan lihat dengan nikmat inilah yang telah mengangkat status Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melebihi para malaikat. Kerana ilmu yang ada inilah yang menyebabkan manusia lebih layak menjadi khalifah di muka bumi, bukannya para malaikat.
Allah ﷻ telah ajarkan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nama-nama segala benda semuanya sekali tanpa satu pun yang ditinggalkan. Kalimah الْاَسْمَاۤءَ boleh diterjemahkan sebagai nama-nama, dan juga kualiti (kelebihan). Sebab itulah nama-nama Allah ﷻ dipanggil الْاَسْمَاۤءَ الحسني. Ia bukanlah sekadar nama tetapi merangkumi kualiti Allah ﷻ sekali. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan dengan ilmu untuk mengenal benda. Setiap benda akan ada namanya. Maka Allah ﷻ ajar nama-nama segala bentuk objek benda, makhluk, batu, tanah, pasir, air, daun, serangga, haiwan, planet, matahari, bintang, langit, angkasa sama ada bernyawa atau tidak itu dan kegunaan dan kelebihannya sekali. Begitu juga jenis-jenis pokok yang segala macam, cara untuk menanamnya dan lain-lain lagi. Allah ﷻ berikan keistimewaan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, boleh mengenali segala jenis benda dan boleh mengingati nama-namanya. Allah ﷻ sendiri yang ajar kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Jelas di sini bermakna, ilmu tentang dunia datangnya daripada Allah ﷻ juga. Maka ingatlah yang kita semua bergantung ilmu daripada Allah ﷻ. Ini penting diberitahu kerana ada yang kata memang ilmu syariat agama daripada Allah ﷻ tetapi ilmu keduniaan datang daripada manusia sendiri. Namun begitu dalam ayat ini, kita dapat tahu bahawa ilmu dunia pun daripada Allah ﷻ juga.
Ada juga yang mengatakan bahawa ilmu yang dimaksudkan adalah Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan dengan potensi untuk mengetahui. Bukanlah dia diberikan dengan pengetahuan tentang semua benda kerana bukan semua benda ada lagi. Akan tetapi baginda sudah ada potensi untuk mengenalinya nanti.
Satu lagi pendapat adalah Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diajar dengan kemahiran nama. Iaitu Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajarkan nama dan kualiti segala benda, dan ini bermakna baginda telah diajar segala jenis bahasa. Ini kerana semua bahasa akan memperkenalkan kata nama (noun) sesuatu benda itu. Sebagaimana seorang anak kecil yang baru belajar, dia akan belajar mengenali nama sesuatu benda terlebih dahulu. Ini daddy, itu mummy, ini meja dan sebagainya. Maka, kata nama adalah asas sesuatu bahasa, malah semua bahasa yang wujud di dunia ini. Oleh itu sekarang kita tahu yang manusia pertama yang diajar kosa kata secara keseluruhan adalah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Kita pula sebagai anak cucu Adam diajar hanya sebahagian bahasa dan ia adalah ‘anak’ kepada induk bahasa yang telah diajar kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita kena ingat yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajar secara langsung oleh Allah ﷻ sendiri. Maka, ini bermaksud yang semua bahasa telah diajar oleh Allah ﷻ melalui wahyu. Tidak ada satu bahasa pun yang wujud di bumi ini yang bukan datang daripada-Nya. Ini kerana semua bahasa berasal daripada nenek moyang kita, dan nenek moyang itu berasal daripada moyang di atasnya sehinggalah sampai kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajar oleh Allah ﷻ. Maka, di sini juga mengajar kita bahawa semua bahasa haruslah dimuliakan kerana semuanya telah diajar oleh Allah ﷻ. Kita tidak sepatutnya mengejek-ejek sesuatu bahasa atau dialek kerana ia seumpama mengejek Allah ﷻ, bukan?
Satu lagi implikasi daripada pelbagai bahasa ini adalah penggunaan istilah di dalam ilmu. Setiap pengetahuan ilmu dan sains ada istilahnya tersendiri. Bidang kedoktoran ada istilahnya, bidang kepeguaman ada istilahnya dan seterusnya dalam semua bidang lain. Dengan erti kata lain, segala ilmu yang telah diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah asas kepada seluruh kemajuan intelektual manusia. Segala-galanya telah diajar kepada manusia pertama ini agar baginda dapat menurunkan ilmunya ini kepada generasi seterusnya.
Nenek moyang kita telah mencatat semua ilmu-ilmu ini dan diberikan terma-terma (istilah-istilah) yang bersesuaian. Manusia kemudiannya selepas itu menambah baik terma-terma tersebut. Dengan ini, bidang ilmu dapat berkembang menjadi semakin canggih. Ini bermakna, manusia tidak dapat bergerak maju ke hadapan tanpa ilmu-ilmu asas ini. Kemajuan dan pembangunan ilmu manusia di dalam semua bidang merupakan perancangan Allah ﷻ sejak awal lagi dan ia bermula dengan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Oleh sebab itu, apabila anda belajar ilmu fizik, biologi, perubatan, kewangan dan apa sahaja bidang pun, anda sebenarnya menyambung pembelajaran dan ilmu yang berasal daripada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka, jangan kata yang belajar pengajian agama sahaja yang berkait rapat dengan Allah ﷻ, sedangkan semua bidang pengajian berkait rapat dengan Allah ﷻ! Anda sendiri yang membuat pengasingan itu, bukannya Allah ﷻ.
Kitab Allah mahukan kita mendalami segala ilmu-ilmu di alam ini dan mengajak kita mempelajari tentang segala-galanya yang bermanfaat. Allah ﷻ berfirman di dalam Hud: 61
هُوَ اَنْشَاَكُمْ مِّنَ الْاَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيْهَا
Dia telah menciptakanmu dari bumi (tanah) dan menjadikanmu pemakmurnya,
Dalam Bahasa Arab moden kalimah اسْتَعْمَر bermaksud menjajah. Manakala dalam Bahasa Arab lama pula ia bermaksud Allah ﷻ meletakkan kita di bumi dan Dia mahukan kita membangunkan dan memajukan bumi. Bagaimanakah kita boleh memajukan dan memakmurkan bumi jika kita tidak belajar sains?
Sebagai contoh, pertanian dapat dilakukan apabila manusia belajar cara pengairan yang betul. Dari situ, bandar-bandar dapat berkembang maju. Ini tidak akan dapat berlaku tanpa ilmu sains. Tahukah anda dari mana asalnya tamadun Islam? Ia berasal daripada ilmu sains juga. Malangnya, kita telah lama dipengaruhi oleh pemikiran sekular yang mengasingkan agama dan sains sehingga kita menganggap ilmu sekular ini tidak penting. Sedangkan kita belajar di sini yang Allah ﷻ telah mewahyukan ilmu sekular terlebih dahulu kepada manusia. Allah ﷻ tidak pun menyebut lagi tentang ibadah kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan?
Amat malang sekali umat Islam telah berada dalam kebekuan intelektual sehingga kita telah mengasingkan dan membezakan pengetahuan ilmu agama dengan ilmu sains. Atau kita boleh katakan di antara ‘ilmu wahyu’ dan ‘ilmu penciptaan’. Di sini kita telah mempelajari bahawa Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan kemuliaan untuk mempelajari ilmu ciptaan dan itu merangkumi segala jenis ilmu. Allah ﷻ tidak menghadkan ilmu ciptaan kerana Dia telah berfirman وَعَلَّمَ اٰدَمَ الْاَسْمَاۤءَ كُلَّهَا di mana kalimah كُلَّهَا bermaksud segala-galanya, termasuk segala idea dan konsep yang abstrak. Maka ilmu yang diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah teramat luas sekali.
Apa yang telah dikurniakan kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentulah amatlah mengagumkan. Malah ada di antara kita telah dikurniakan sebahagian daripada ilmu yang istimewa ini. Ada di antara kita diberikan ilmu sastera dan puisi, ada pula yang berseni dan ada pula yang hebat dalam bidang sejarah dan bahasa, dan ada pula yang mahir dalam bidang sains dan perubatan.
Oleh itu, walau dalam bidang apapun kehebatan anda itu, ia merupakan sebahagian kecil pecahan daripada ilmu yang telah dikurniakan kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ilmu itu telah diberikan kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk diturunkan kepada kita semua. Oleh sebab itu juga, janganlah berasa bersalah pula jika kita mahir ilmu keduniaan ini. Jika anda hebat dalam ilmu apa sekalipun, ingatlah bahawa ia merupakan anugerah daripada Allah ﷻ yang telah diturunkan daripada generasi ke generasi sehingga sampai kepada anda.
Satu lagi pendapat maksud الْاَسْمَاۤءَ adalah nama-nama manusia iaitu anak cucunya. Maksud ini boleh diambil daripada hadith berikut:
حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ، حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ، حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “ لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ مَسَحَ ظَهْرَهُ فَسَقَطَ مِنْ ظَهْرِهِ كُلُّ نَسَمَةٍ هُوَ خَالِقُهَا مِنْ ذُرِّيَّتِهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَجَعَلَ بَيْنَ عَيْنَىْ كُلِّ إِنْسَانٍ مِنْهُمْ وَبِيصًا مِنْ نُورٍ ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى آدَمَ فَقَالَ أَىْ رَبِّ مَنْ هَؤُلاَءِ قَالَ هَؤُلاَءِ ذُرِّيَّتُكَ فَرَأَى رَجُلاً مِنْهُمْ فَأَعْجَبَهُ وَبِيصُ مَا بَيْنَ عَيْنَيْهِ فَقَالَ أَىْ رَبِّ مَنْ هَذَا فَقَالَ هَذَا رَجُلٌ مِنْ آخِرِ الأُمَمِ مِنْ ذُرِّيَّتِكَ يُقَالُ لَهُ دَاوُدُ . فَقَالَ رَبِّ كَمْ جَعَلْتَ عُمْرَهُ قَالَ سِتِّينَ سَنَةً قَالَ أَىْ رَبِّ زِدْهُ مِنْ عُمْرِي أَرْبَعِينَ سَنَةً . فَلَمَّا انْقَضَى عُمْرُ آدَمَ جَاءَهُ مَلَكُ الْمَوْتِ فَقَالَ أَوَلَمْ يَبْقَ مِنْ عُمْرِي أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَوَلَمْ تُعْطِهَا ابْنَكَ دَاوُدَ قَالَ فَجَحَدَ آدَمُ فَجَحَدَتْ ذُرِّيَّتُهُ وَنَسِيَ آدَمُ فَنَسِيَتْ ذُرِّيَّتُهُ وَخَطِئَ آدَمُ فَخَطِئَتْ ذُرِّيَّتُهُ ” . قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ . وَقَدْ رُوِيَ مِنْ غَيْرِ وَجْهٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم .
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Tatkala Allah menciptakan Adam, Dia mengusap punggungnya, maka berjatuhanlah semua roh yang bakal Dia ciptakan daripada anak keturunannya sampai hari kiamat. Dan Dia letakkan di antara kedua mata setiap orang daripada mereka seberkas cahaya, kemudian Dia tunjukkan kepada Adam. Adam pun bertanya, “Duhai Rabb-ku, siapakah mereka ini?” Allah berfirman, “Mereka ini adalah keturunanmu.” Lalu dia melihat salah seorang daripada mereka yang cahaya di antara kedua matanya menakjubkannya, lantas dia berkata, “Duhai Rabb-ku, siapakah dia ini?” Kata Allah, “Dia salah seorang keturunanmu dalam kalangan umat terkemudian, namanya Dawud.” Lalu Adam berkata lagi, “Duhai Rabb-ku, berapakah Engkau jadikan umurnya?” Kata Allah, “Enam puluh tahun.” Adam berkata, “Duhai Rabb-ku, tambahkanlah untuknya daripada umurku sebanyak empat puluh tahun.” Ketika umur Adam telah habis, Malaikat Maut mendatanginya. Baginda pun berkata, “Bukankah usiaku ini masih tersisa empat puluh tahun lagi?” Malaikat berkata, “Bukankah telah engkau berikan untuk putramu Dawud?” Baginda (Rasulullah) bersabda, “Adam melakukan pengingkaran, maka anak cucunya juga melakukan pengingkaran, Adam lupa, maka anak cucunya juga lupa, dan Adam bersalah, maka anak cucunya juga bersalah.”
(Jami’ At-Tirmidzi 3076)
Status: Hasan (Darussalam)
Setiap seorang daripada kita berada di situ ketika kejadian itu dan ini bermakna roh kita semua telah ditunjukkan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebelum ini, apa yang kita tahu adalah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberitahu tentang nama-nama kita, bukan? Jangan lupa yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga diberitahu mengenai kualiti kita juga. Sebagaimana seorang bapa yang seharusnya mengenali anak-anaknya.
Maka, di sini kita boleh lihat maksud kalimah الْاَسْمَاۤءَ juga membawa maksud nama-nama kita. Ia bukan bermaksud ‘benda’ sahaja. Pelajar bahasa Arab boleh menghargai fakta ini kerana Allah ﷻ telah menyambung firman-Nya dengan ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلٰۤىِٕكَةِ kemudian Dia perlihatkan kepada para malaikat. Dhomir (kata ganti) هم bukan digunakan untuk benda yang tidak bernyawa tetapi untuk manusia. Ini kerana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajar nama-nama manusia terlebih dahulu dan kemudian barulah ditunjukkan kita kepada para malaikat.
ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلٰٓئِكَةِ
kemudian dibentangkan benda-benda itu kepada malaikat;
Allah ﷻ tunjukkan benda-benda dan nama-nama itu kepada para malaikat pula. Mereka diberi peluang pula untuk menamakan benda-benda atau nama yang telah diajarkan. Akan tetapi masa yang diberikan adalah lama kerana kalimah yang digunakan adalah ثُمَّ yang bermaksud ‘selepas’ iaitu selepas sengkang waktu yang lama. Maknanya bukanlah terus ditunjukkan kepada para malaikat.
فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَآءِ هَٰٓؤُلَاءِ
kemudian Dia berkata kepada malaikat: beritahu kepadaKu nama benda-benda ini
Allah ﷻ bentangkan benda-benda itu kepada malaikat supaya malaikat boleh sebut nama benda-benda itu. Allah ﷻ menyoal malaikat untuk sebut nama benda-benda itu. Sebenarnya perintah ini bukan bertujuan untuk mereka menjawab, kerana Allah ﷻ tahu yang mereka tidak akan dapat menjawabnya, tetapi pertanyaan itu bertujuan untuk membuktikan kekeliruan mereka.
إِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِينَ
sekiranya kamu benar.
Sekiranya mereka benar seperti yang mereka dakwa yang makhluk yang diciptakan itu (manusia) akan menjadi seperti makhluk yang sebelum itu (jin). Atau, sekiranya benar sangkaan para malaikat itu yang mereka itu lebih layak untuk menjadi khalifah di mukabumi.
Maka soalan Allah ﷻ: “Bolehkah kamu namakan kesemua manusia ini dan kualiti yang ada pada mereka?” Malaikat tidak dapat menjawabnya. Allah ﷻ tanyakan soalan ini kepada mereka kerana mereka yang terlebih dahulu bertanyakan soalan kepada Allah ﷻ. Iaitu soalan mereka yang bertanyakan mengapa Allah ﷻ mahu menjadikan khalifah baru di bumi. Maka, sekarang Allah ﷻ memberitahu mereka jenis khalifah apakah yang akan diletakkan di bumi ini. “Adakah kamu tahu nama-nama mereka, kualiti dan kelebihan yang ada pada diri mereka, wahai malaikat?” “Tidak”, jawab mereka. Mereka tidak tahu.
Maksudnya Allah ﷻ sedang menegaskan yang malaikat tidak boleh menuduh yang manusia akan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh jin sebelum ini. Itu adalah pemikiran yang pra matang. Mereka tidak boleh menghukum manusia berdasarkan apa yang makhluk sebelumnya telah lakukan.
Apakah pengajarannya di sini? Prinsip ini bukan sahaja ditujukan kepada malaikat tetapi untuk kita juga. Jika seseorang telah melakukan kesilapan di masa silam, ini tidaklah bermakna yang anak cucunya akan terus melakukan kesilapan yang sama.
Jika seorang Muslim telah melakukan dosa di masa silamnya, tidaklah bermakna generasi seterusnya akan melakukan dosa yang sama. Malang sekali, kita telah membina satu perasaan yang merisaukan tentang masa depan kita berdasarkan sejarah silam kita. Sama ada tentang diri kita sendiri ataupun ummah. Kaum Muslim suka melakukan perkara ini, bukan? Malah bukan hanya untuk Muslim sahaja, bahkan untuk bukan Islam juga. Kita biasa dengar, “Ah, puak kafir ni sudah sebati perangai macam ni, takkan berubah dah!” Adakah anda mendapat jaminan daripada Allah ﷻ yang mereka akan berterusan berperangai dan bersikap begitu sampai bila-bila?
Lihatlah perangai puak Quraisy. Ya, pada masa silam merekalah yang paling kuat menentang Rasulullah ﷺ. Namun begitu, daripada puak yang samalah lahirnya manusia hebat imannya seperti Khalid ibn Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan ramai lagi para sahabat lain yang tiada tolok bandingnya hebat. Oleh sebab itu, janganlah kita menghakimi manusia berdasarkan masa silam mereka. Para malaikat telah diajar yang cara pemikiran sebegini adalah tidak betul. Maka, kita juga harus mengambil pengajaran yang sama di sini.
Adakah jin sebelum kita itu telah diajar ilmu sains dan teknologi? Tidak, hanya manusia diberikan ilmu tersebut. Maka, apabila manusia menjadi khalifah di bumi, mereka akan melakukan perkara yang hebat. Daripada bahan-bahan mentah di bumi ini, manusia akan mencipta, mereka bentuk benda-benda baru. Anda sendiri boleh melihatnya sedang berlaku, bukan? Lihatlah tahap mana kita berada sekarang. Ia telah terbukti sejak zaman berzaman. Maka, di sini Allah ﷻ sedang memberitahu para malaikat agar tidak memandang rendah manusia ini kerana dalam kalangan mereka akan ada para nabi dan rasul.
Lihat hadith di atas mengenai Nabi Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menarik perhatian Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sehingga baginda telah menghadiahkan 40 tahun daripada jangka hayat hidupnya kepada Nabi Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jika anda mempelajari mengenai Nabi Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Al-Qur’an apakah yang akan anda temui? Agaknya apakah yang telah menjadikannya begitu istimewa sekali? Baginda telah diberikan kelebihan untuk mengharmonikan alam. Apabila baginda memuji-muji Allah ﷻ, gunung-ganang dan unggas menyertai baginda. Baginda telah mencipta baju besi yang menunjukkan ilmu pengetahuannya yang tinggi. Baginda juga telah diberikan kelebihan mentadbir urus yang hebat yang tidak diberikan kepada rasul-rasul yang lain.
Dalam erti kata yang lain, baginda telah benar-benar menjaga bumi dan menjadi khalifah yang sebenar. Baginda merupakan seorang khalifah yang benar-benar istimewa sekali. Maka sebab itulah, Nabi Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menarik perhatian Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda mengaguminya dan berasakan beliau layak untuk tinggal lebih lama lagi di atas bumi ini. Ini kerana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah mengenali ciri-ciri kelebihan dan kualiti setiap daripada anak-anaknya.
Baqarah Ayat 32: Malaikat adalah sejenis makhluk yang tidak makan, tidak minum, tidak tidur dan sebagainya. Maka, mereka tidak perlu kepada nama-nama benda yang diketahui oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka memang mereka tidak mengenali nama semua benda itu.
قالوا سُبحٰنَكَ لا عِلمَ لَنآ إِلّا ما عَلَّمتَنآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ العَليمُ الحَكيمُ
They said, “Exalted are You; we have no knowledge except what You have taught us. Indeed, it is You who is the Knowing, the Wise.”
Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
قَالُوا سُبْحٰنَكَ
Malaikat jawab: Maha Suci Engkau
Subhanallah – Maha Suci Engkau daripada jahil. Kami sahaja yang jahil, tetapi Engkau tidak. Kami tidak tahu melainkan apa yang Engkau ajar kepada kami. Engkau sahaja yang Maha Mengetahui. Malaikat menjawab Allah ﷻ sempurna, tidak ada kekurang sedikit pun. Maknanya tasbih mereka itu menyucikan Allah ﷻ daripada apa sahaja sifat kekurangan. Untuk kita pula, bilakah waktunya kita mengucapkan tasbih? Ketika kita mengatakan sesuatu yang tidak sepatutnya. Ini bermaksud yang mereka sedang menarik semula kata-kata mereka yang melampau apabila mereka telah salah sangka dengan kebolehan manusia.
Ucapan tasbih darpadai para malaikat ini mereka kemukakan sebelum menyampaikan ketidaktahuan mereka, menunjukkan betapa mereka tidak bermaksud membantah atau memprotes ketetapan Allah ﷻ menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi, sekaligus sebagai pertanda “penyesalan” mereka atas ucapan atau kesan yang ditimbulkan oleh pertanyaan mereka sebelum ini.
Di sini juga mengandungi pengajaran, untuk menjadi pemimpin (khalifah) memerlukan ilmu, barulah pentadbiran menjadi baik. Begitulah kita telah sebutkan sebelum ini di dalam Yusuf: 55 bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta baginda dilantik sebagai Menteri Kewangan kerana kelayakan baginda dari segi ilmu.
قالَ اجعَلني عَلىٰ خَزائِنِ الأَرضِ ۖ إِنّي حَفيظٌ عَليمٌ
Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”.
لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَآ
Tidaklah ada pengetahuan pada kami melainkan apa yang Engkau ajar kepada kami;
Malaikat lihat benda-benda itu tetapi tidak boleh menyebut namanya. Maknanya malaikat pun tidak tahu. Mereka hanya ada ilmu yang Allah ﷻ sampaikan kepada mereka sahaja. Tidaklah mereka ada ilmu ghaib dengan sendiri melainkan apa yang Allah ﷻ beritahu. Maka tidak patut kalau manusia sembah malaikat. Tidak juga patut kita berdoa minta tolong kepada malaikat kerana untuk seseorang itu bantu kita, hendaklah dia tahu apa yang kita perlukan, apa yang terbaik untuk diberikan kepada kita, bukan? Hanya Allah ﷻ sahaja tempat yang layak untuk kita berdoa kerana Allah ﷻ tahu permintaan kita, Allah ﷻ tahu apa yang terbaik buat kita.
Mungkin ada yang kata, mana adil kalau begitu – ajar nama benda-benda kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kemudian tanya baginda, kemudian tanya kepada malaikat tanpa diajar nama-nama benda itu. Ini bukanlah isu adil atau tidak. Allah ﷻ beri ilmu kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kerana itu ada kelebihan kepada baginda. Allah ﷻ boleh beri kelebihan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Itu hak Allah ﷻ. Tidak disebut yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diajar ilmu itu secara rahsia; mungkin diberitahu kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan juga para malaikat secara umum, tetapi mereka sahaja yang tidak boleh tangkap atau tidak boleh faham. Atau, cara ilmu itu diberi kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara ilham, sebagaimana fitrah seorang bayi tidak perlu diajar mencari puting susu ibunya, tetapi terus sahaja dia tahu.
Begitulah, ada juga yang mengatakan Allah ﷻ juga mengajar nama benda-benda itu kepada malaikat, tetapi mereka tidak dapat mengingatinya. Ini kerana manusia seperti memiliki sekeping cip dalam otak untuk membolehkan kita mengingati dalam jangka yang lama. Ini merupakan pandangan kedua, dan kedua-dua pendapat boleh diterima.
Di sini para malaikat mengaku yang mereka tidak tahu. Ini adalah kualiti yang bagus; bila tidak tahu, cakap sahaja tidak tahu. Kebiasaannya ini adalah penyakit orang berilmu; mereka mempunyai ego yang tinggi menyebabkan mereka susah hendak mengaku tidak tahu kerana takut kedudukan mereka menjadi rendah di mata manusia terutama sekali di mata anak murid mereka. Semoga kita belajar daripada para malaikat yang mengaku apabila mereka tidak tahu. Antara contoh yang boleh dikongsi dalam permasalahan sebegini adalah kisah Imam Malik رَحِمَهُ اللَّهُ apabila ditanya kepadanya beberapa persoalan oleh murid-muridnya:
سُئِلَ عَنْ ثَمَانِيَةٍ وَأَرْبَعِينَ مَسْأَلَةً فَقَالَ فِي ثِنْتَيْنِ وَثَلَاثِينَ مِنْهَا: لَا أَدْرِي
“Ditanya (Imam Malik) 48 persoalan, maka jawab Imam Malik 32 daripadanya dengan aku tidak tahu.”
[Lihat: Syarah al-Zurqani ‘ala al-Muwatta’, 1/54]
Kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa seorang imam yang hebat di zamannya sehingga Imam Malik رَحِمَهُ اللَّهُ digelar sebagai Imam Dar al-Hijrah tidak malu untuk mengatakan beliau tidak tahu dalam sesuatu permasalahan. Suasana pada hari ini cukup berbeza apabila kebanyakan para penceramah tanpa segan dan malu menjawab setiap persoalan yang diajukan tanpa didasari dengan ilmu. Kesan daripada sikap sebegini, masyarakat akan menjadi huru-hara dan akan timbul banyaknya fitnah.
Oleh itu jangan malu untuk berkata: لَا أَدْرِي. Di dalam Sunan al-Darimi ada diriwayatkan bahawa al-Sya’bi رَحِمَهُ اللَّهُ (seorang tabein) telah berkata dengan sanad yang sahih:
لَا أَدْرِي نِصْفُ الْعِلْمِ
“Ucapan aku tidak tahu separuh daripada ilmu.”
(Riwayat al-Darimi (186), 1/276)
Kita sepatutnya berasa bimbang kalau mengeluarkan pendapat sendiri kerana takut ia adalah salah. Tambahan pula kita ditakutkan dengan sebuah hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ أُفْتِيَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ إِثْمُهُ عَلَى مَنْ أَفْتَاهُ
“Barangsiapa yang diberi fatwa tanpa ilmu, maka dosanya akan ditanggung oleh orang yang memberi fatwa.”
(Riwayat Abu Daud (3657))
Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan dan sanad hadith ini kesemua perawinya adalah thiqah
إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana
Allah ﷻ yang Maha Tahu segala-galanya, ilmu Allah ﷻ tidak terbatas. Di sini dalam kalimah إِنَّكَ sudah ada maksud ‘Engkau’ jadi kenapa ditambah dengan kalimah أَنْتَ pula? Ia adalah sebagai penekanan dan juga eksklusif iaitu *hanya* Allah ﷻ sahaja yang memiliki sifat الْعَلِيمُ dan الْحَكِيمُ.
Kalimah الْعَلِيمُ daripada kalimah علم yang menurut pakar-pakar bahasa bererti menjangkau sesuatu sesuai dengan keadaannya yang sebenar. Allah ﷻ dinamai الْعَلِيمُ kerana pengetahuan-Nya yang amat jelas sehingga terungkap baginya hal-hal yang sekecil-kecilnya apa pun.
Kalimah الْحَكِيمُ maksudnya Maha Bijaksana. Yang Memiliki hikmah, dan hikmah antara lain bererti mengetahui yang paling utama untuk segala-galanya, baik pengetahuan mahupun perbuatan. Seorang yang ahli dalam melakukan sesuatu dinamai ‘hakeem’. Hikmah juga diertikan sebagai sesuatu yang bila digunakan atau diperhatikan akan menghalang terjadinya mudharat atau kesulitan yang lebih besar atau mendatangkan kemaslahatan dan kemudahan yang lebih besar. Allah ﷻ Maha Bijaksana yang membuat keputusan manakah yang patut dilakukan. Di dalam ayat ini Allah ﷻ bijaksana di dalam memilih mana pengetahuan yang diketahui oleh satu makhluk dan tidak yang lainnya.
Ayat ini hendak mengatakan, kalau tidak kerana kurnia Allah ﷻ untuk memberikan ilmu kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Sama ada ilmu tentang agama, atau ilmu tentang kehidupan juga.
Maka tahulah para malaikat bahawa ketetapan Allah ﷻ menjadi manusia sebagai khalifah di bumi adalah keputusan yang tepat. Dulu mereka kata mereka boleh menjadi khalifah kerana mereka itu dan ini, bukannya kerana mereka berlagak. Namun mereka cuma menawarkan khidmat mereka sahaja. Sekarang mereka sedar yang mereka tidak layak sebenarnya.
Walaupun kedudukan mereka begitu rapat dengan Allah ﷻ, mereka masih sedar akan batas dan sentiasa merendah diri. Namun, bagaimana dengan kita? Mungkin kita sebagai pelajar agama yang telah belajar peringkat demi peringkat, menghadiri kursus demi kursus, seminar demi seminar dan seterusnya telah berjaya menjadi pelajar yang penuh dengan ilmu di dada dan paling cemerlang di antara pelajar lain. Bagaimana dengan sikap kita? Malangnya ramai yang kita lihat semakin tinggi ilmunya, semakin bongkak pula malah suka memandang rendah orang lain.
Sepatutnya lagi tinggi ilmu seseorang itu, makin rendah dia tunduk ke bumi. Itulah tanda keilmuan, dan para malaikat sedar akan hakikat ini. Malaikat telah diajar agar tidak menghakimi sesuatu perkara terlalu awal. Begitu juga dengan kita, apabila kita bertemu seseorang buat pertama kali dan langsung tidak tahu apa-apa mengenai diri mereka, janganlah kita tergesa-gesa membuat penghakiman ke atas diri mereka.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 24 Julai 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

