Ayat 166:
وَما أَصَٰبَكُمْ يَومَ التَقَى الجَمعانِ فَبِإِذنِ اللَّهِ وَلِيَعلَمَ المُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And what struck you on the day the two armies met [at Uḥud] was by permission of Allāh that He might make evident the [true] believers
MALAY
Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera – di medan perang Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya) beriman.
وَما أَصَٰبَكُمْ يَومَ التَقَى الجَمعانِ فَبِإِذنِ اللَّهِ
Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah,
Apa yang berlaku adalah dengan izin Allah ﷻ. Allah ﷻ yang takdirkan ia terjadi sebegitu rupa. Semuanya dalam perancangan Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ tidak takdirkan ia jadi begitu, ia tidak akan terjadi.
Ini hanya boleh diterima oleh mereka yang percaya dan redha dengan qadha dan qadar Allah ﷻ. Ini memerlukan perasaan rendah diri, sedar diri ini hamba dan yakin dengan apa sahaja ketentuan daripada Allah ﷻ. Kurangkan perasaan hendak menyoal apa sahaja yang terjadi. Jangan sikit-sikit, soal; sikit-sikit hendak soal kenapa jadi begini dan begitu.
وَلِيَعلَمَ المُؤمِنينَ
dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya) beriman.
Satu lagi tujuan Allah ﷻ berbuat begitu adalah supaya Allah ﷻ boleh zahirkan siapakah yang sebenarnya golongan mukmin. Ia bertujuan untuk dibandingkan dengan orang yang munafik.
Ayat ini kita kena terjemah begini; iaitu Allah ﷻ hendak ‘zahirkan’ kepada semua manusia, siapakah yang benar-benar mukmin. Jangan kita salah faham pula – takut ada yang sangka Allah ﷻ tidak tahu siapakah yang mukmin, sampai Allah ﷻ kena uji dahulu, baru Allah ﷻ tahu.
Itu adalah faham yang salah kerana Allah ﷻ sudah tahu hati manusia. Tidak mungkin Allah ﷻ tidak tahu isi dalam hati manusia yang Dia sendiri cipta. Namun, manusia yang tidak tahu hati manusia yang lain. Maka, Allah ﷻ hendak tunjukkan. Dengan ujian sebegini, maka akan nampak mana yang mukmin dan mana yang tidak. Maka orang mukmin selepas itu kena berhati-hati dengan orang yang ada sifat-sifat munafik.
Ayat 167: Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ kata Dia hendak menzahirkan siapakah yang sebenarnya orang mukmin. Kali ini Allah ﷻ sebut yang Dia jadikan kejadian pada Perang Uhud itu untuk menzahirkan siapakah yang munafik juga. Allah ﷻ hendak bezakan manakah yang mukmin dan mana yang munafik.
وَلِيَعلَمَ الَّذينَ نافَقوا ۚ وَقيلَ لَهُم تَعالَوا قَٰتِلُوا۟ في سَبيلِ اللَّهِ أَوِ ادفَعوا ۖ قالوا لَو نَعلَمُ قِتالًا لَّٱتَّبَعْنَٰكُمْ ۗ هُم لِلكُفرِ يَومَئِذٍ أَقرَبُ مِنهُم لِلْإِيمَٰنِ ۚ يَقولونَ بِأَفْوَٰهِهِم مّا لَيسَ في قُلوبِهِم ۗ وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما يَكتُمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And that He might make evident those who are hypocrites. For it was said to them, “Come, fight in the way of Allāh or [at least] defend.” They said, “If we had known [there would be] fighting, we would have followed you.” They were nearer to disbelief that day than to faith, saying with their mouths what was not in their hearts. And Allāh is most knowing of what they conceal –
MALAY
Dan juga dengan tujuan Dia hendak menzahirkan siapakah yang munafik, ketika dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)”. Mereka menjawab: “Kalaulah kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu (turut berperang)”. Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.
وَلِيَعلَمَ الَّذينَ نافَقوا
Dan dengan tujuan Dia hendak menzahirkan siapakah yang munafik,
Selain daripada hendak menzahirkan siapakah yang beriman, Allah ﷻ juga hendak menzahirkan siapakah munafik yang sebenarnya. Ujian seperti yang terjadi di Perang Uhud itu boleh menzahirkan siapakah mukmin dan siapakah yang munafik.
Penzahiran siapakah mereka yang munafik itu penting kerana mereka tidak boleh dibiarkan begitu saja dalam kemunafikan mereka. Mereka perlu ditarbiyah. Ini kerana umat Islam perlu melakukan banyak perkara lagi untuk menegakkan syiar Islam. Ini baru Perang Badr dan Uhud. Banyak lagi peperangan yang akan dihadapi dan kerja dakwah yang perlu dijalankan.
Islam tidak akan berkembang jikalau ramai munafik dalam kalangan mereka. Zaman sekarang, seorang khalifah pun harus memerhatikan rakyatnya kalau-kalau ada sifat-sifat sebegini, supaya mereka tahu siapakah yang munafik dan kena mulakan proses pentarbiyahan.
Sama juga dengan ayat sebelum ini, bukanlah Allah ﷻ tidak tahu siapakah yang munafik. Cuma Allah ﷻ hendak menzahirkan sahaja kepada orang mukmin yang lain.
وَقيلَ لَهُم تَعالَوا قَٰتِلُوا۟ في سَبيلِ اللَّهِ
ketika dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah
Ini adalah apabila dikatakan kepada puak munafik, ketika mengajak mereka untuk berjihad di jalan Allah ﷻ. Waktu itu mereka sedang meninggalkan medan perang. Seperti yang telah disebut sebelum ini, ada 300 orang tentera Islam yang meninggalkan medan Perang Uhud sebelum ia bermula. Mereka dipimpin oleh Abdullah bin Ubay.
أَوِ ادفَعوا
atau pertahankanlah
Atau kalau mereka tidak mahu berjihad di jalan Allah ﷻ, sekurang-kurangnya marilah sama-sama mempertahankan tempat tinggal kita daripada musuh. Sebab mereka pun tinggal di kota Madinah juga. Sekarang musuh dari Mekah sudah datang untuk menyerang tempat tinggal mereka. Musuh bukan kira siapa munafik ke mukmin, mereka akan bunuh semua sekali.
قالوا لَو نَعلَمُ قِتالًا لَّٱتَّبَعْنَٰكُمْ
Mereka menjawab: “Kalaulah kami tahu ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu
Mereka sekarang beri alasan pula. Terjemahan pertama: “Kalaulah kami ni tahu berperang…..” Maknanya mereka beri alasan yang mereka tidak pandai berperang. Mereka hendak tunggu dan lihat sahaja.
Tafsir kedua: Puak munafik itu menggunakan alasan yang pada mereka, tidak ada peperangan pun. Mereka kata yang datang itu dari Mekah, dan orang-orang Islam itu pun dari Mekah juga (Muhajirn). Jadi mereka ingin mengatakan, memang tidak akan berlaku peperangan dan itu semua adalah gimik orang-orang Mekah sahaja.
Mereka kononnya hendak berkata: “Kalau kami tahu memang benar-benar ada perang, tentulah kami ikut serta. Tapi kami tak ikut kerana kami tak sangka akan ada perang.” Itu adalah alasan mereka sahaja.
هُم لِلكُفرِ يَومَئِذٍ أَقرَبُ مِنهُم لِلْإِيمَٰنِ
Mereka ketika itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman.
Mereka dakwa mereka mukmin tetapi apabila mereka cakap begitu mereka menzahirkan kekufuran mereka. Sebelum ini, yang mereka kata mereka beriman itu, hanya cakap-cakap sahaja. Sekarang telah zahir sifat mereka yang sebenarnya. Hati mereka memang cenderung kepada kufur.
يَقولونَ بِأَفْوَٰهِهِم مّا لَيسَ في قُلوبِهِم
Mereka selalu menyebut dengan mulut mereka apa yang tidak ada dalam hati mereka
Mereka selalu sebut yang mereka beriman, tetapi tidak sebenarnya. Hati mereka kufur. Sebab itulah mereka digelar ‘munafik’. Mereka selalu cakap benda yang kononnya nampak baik, tetapi hati mereka tidak percaya pun. Mereka juga kata mereka hendak kebaikan sebenarnya, namun tidak begitu. Sifat-sifat mereka semua disebut-sebut dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang lain.
وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما يَكتُمونَ
Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.
Mereka cuba menipu orang-orang Islam yang lain dengan mengatakan mereka beriman tetapi Allah ﷻ tahu apa yang mereka sembunyikan dalam hati mereka, iaitu kekufuran mereka. Sekarang Allah ﷻ mengajar kita cara-cara untuk kenal mereka. Bukan dalam ayat ini sahaja, tetapi ada disebut dalam ayat-ayat yang lain juga.
Ayat 168: Allah ﷻ menjelaskan lagi apakah sifat-sifat orang munafik.
الَّذينَ قالوا لِإِخْوَٰنِهِمْ وَقَعَدوا لَو أَطاعونا ما قُتِلوا ۗ قُل فَادرَءوا عَن أَنفُسِكُمُ المَوتَ إِن كُنتُم صَٰدِقِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those who said about their brothers while sitting [at home], “If they had obeyed us, they would not have been killed.” Say, “Then prevent death from yourselves, if you should be truthful.”
MALAY
Merekalah juga yang mengatakan tentang hal saudara-saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang Uhud), sedang mereka sendiri tidak turut berperang: “Kalaulah mereka taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.
الَّذينَ قالوا لِإِخْوَٰنِهِمْ وَقَعَدوا لَو أَطاعونا ما قُتِلوا
Mereka yang mengatakan tentang hal saudara-saudaranya, sedang mereka sendiri tidak turut berperang: “Kalaulah mereka taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh”.
Mereka sanggup kata begini tentang saudara seagama mereka – لِإِخوانِهِم – yang lain. Allah ﷻ kata mereka itu ‘ikhwan’ (saudara), tetapi itu dari segi zahir sahaja kerana mereka duduk bersama semasa di dunia. Zahirnya mereka nampak bersaudara namun pada hakikatnya mereka kufur dan tidak sama kedudukan mereka.
Waktu itu mereka duduk-duduk sahaja – وَقَعَدوا – maknaya mereka tidak sertai jihad. Lafaz قَعَد dari segi bahasa bermaksud duduk yang lama. Jadi bukanlah bermaksud duduk lepaskan lelah tetapi duduk tanpa membuat sesuatu.
Mereka kata kalau orang mukmin itu ikut mereka, duduk tidak pergi berperang, tentulah mereka tidak mati. Mereka amat jahil tentang realiti semasa. Apakah mereka sangka mereka boleh mengelakkan mati?
قُل فَادرَءوا عَن أَنفُسِكُمُ المَوتَ إِن كُنتُم صَٰدِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.
Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ jawab kepada mereka: Kalau begitu, elaklah daripada mati kalau kamu benar. Kalau kamu kata duduk rumah tidak mati, cubalah kamu elak daripada kematian kalau kamu mampu.
Kata-kata mereka itu adalah kata-kata yang tidak beriman. Sedangkan mereka sendiri tahu yang mati itu wajib. Berperang mungkin mati, kalau duduk di rumah pun, kalau maut datang menjemput, akan mati juga. Semua orang akan mati, sama ada di rumah atau di medan perang.
Ayat 169: Ini adalah ayat tabshir (berita gembira). Orang munafik hanya memikirkan tentang dunia sahaja dan tidak fikir tentang akhirat. Mereka sangka mati itu adalah penghabisan. Namun Allah ﷻ menjelaskan bahawa orang yang mati pada jalan Allah ﷻ itu tidaklah mati biasa.
وَلا تَحسَبَنَّ الَّذينَ قُتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَل أَحياءٌ عِندَ رَبِّهِم يُرزَقونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And never think of those who have been killed in the cause of Allāh as dead. Rather, they are alive with their Lord, receiving provision,
MALAY
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
وَلا تَحسَبَنَّ الَّذينَ قُتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ أَمْوَٰتًۢا
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati,
Jangan sekali-kali kamu sangka begitu. Orang yang mati di jalan Allah ﷻ bukan mati biasa tetapi mereka itu dinamakan ‘mati syahid’. Dalam Surah Baqarah ayat 154, Allah ﷻ telah pun sebut tentang perkara ini dan diulang kembali dalam ayat ini.
Namun kali ini dalam ayat ini ada penekanan iaitu Allah ﷻ beritahu kita, jangan sekali-kali kita sampai berfikir begitu. Maknanya, ada penekanan di situ yang amat kuat. Jangan kita layan perasaan itu, kerana itu adalah perasaan yang salah. Kalau terlintas, kena buang jauh-jauh andaian salah itu. Kadang-kadang syaitan memang akan membisikkan pemahaman yang salah, tetapi kita kena tolak dan tolak itu dengan ilmu.
بَل أَحياءٌ
tidak, bahkan mereka hidup
Mereka yang mati syahid itu sebenarnya ‘hidup’, iaitu mereka hidup dengan cara istimewa di sisi Tuhan. Bukan hidup dengan kita, tetapi dengan Allah ﷻ. Mati sahaja, roh para syuhada’ akan terus dihantar ke syurga. Di sana mereka terus menikmati kehidupan yang penuh nikmat. Ini juga telah diberitahu dalam Surah Baqarah.
Maknanya, sangkaan puak munafik yang mereka yang mati di Jalan Allah ﷻ itu rugi adalah amat jauh sekali daripada kebenaran. Tidak mungkin mendapat balasan syurga itu merupakan sesuatu yang rugi pula, bukan?
عِندَ رَبِّهِم يُرزَقونَ
di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
Ini adalah penambahan daripada ayat 154 surah Baqarah. Allah ﷻ menambah dalam ayat ini bahawa mereka itu diberikan dengan rezeki. Rezeki itu bukanlah rezeki zahir tetapi rezeki hissi. Makna “hissi” adalah, segala keajaiban yang dapat dilihat ataupun dapat dirasakan oleh pancaindera.
Kita pun tidak pasti apakah yang diberikan kepada mereka. Tentunya sesuatu yang amat istimewa. Allah ﷻ tidak sebut sebab otak kita tidak dapat bayangkan. Orang Munafik tidak nampak perkara ini, kerana mereka hanya nampak rezeki yang zahir sahaja, rezeki yang di dunia sahaja. Merekalah yang kerugian yang amat besar sekali kerana tidak mengejar perkara ini.
Ayat 170: Allah ﷻ berikan sedikit penerangan tentang apakah yang para syuhada’ itu dapat.
فَرِحينَ بِما ءَاتَىٰهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ وَيَستَبشِرونَ بِالَّذينَ لَم يَلحَقوا بِهِم مِّن خَلفِهِم أَلّا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Rejoicing in what Allāh has bestowed upon them of His bounty, and they receive good tidings about those [to be martyred] after them who have not yet joined them – that there will be no fear concerning them, nor will they grieve.
MALAY
(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
فَرِحينَ بِما ءَاتَىٰهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ
mereka bersukacita dengan kurniaan Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka,
Kita tidak tahu dengan pasti apakah yang diberikan kepada mereka, tetapi yang pasti, mereka gembira dengan pemberian Allah itu. Lafaz فَضلِ adalah apabila kita dapat sesuatu yang lebih daripada apa yang kita harapkan dan yang kita layak dapat. Kalau sama dengan apa yang patut kita dapat, itu dinamakan ajrun – upah – آجر.
وَيَستَبشِرونَ بِالَّذينَ لَم يَلحَقوا بِهِم مِّن خَلفِهِم
dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai orang-orang yang belum menyertai mereka, yang masih tinggal di belakang,
Dan mereka tumpang gembira dengan sahabat-sahabat yang belum mati, tetapi akan menyusuli mereka. Mereka bergembira menunggu sahabat-sahabat mereka itu. Mereka tahu sahabat-sahabat mereka itu akan menyertai mereka tidak lama lagi, dan sahabat-sahabat mereka itu juga akan merasai nikmat-nikmat yang mereka sedang rasai itu.
Begitulah kalau kita dapat sesuatu yang bagus, tentu kita tidak sabar-sabar hendak lihat bagaimana perasaan sahabat kita dapat benda yang sama, bukan? Begitulah mereka nanti.
أَلّا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
bahawa tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Mereka tidak akan bimbang untuk menghadapi akhirat kerana apa yang menanti mereka itu amat baik.
Dan mereka tidak akan berdukacita meninggalkan dunia kerana mereka tahu yang mereka akan menuju ke tempat yang lebih baik dari dunia.
Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka tidak mati begitu sahaja seperti sangkaan orang munafik.
Ayat 171: Masih lagi tentang penjelasan tentang kegembiraan para syuhada’ itu.
۞ يَستَبشِرونَ بِنِعمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضلٍ وَأَنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They receive good tidings of favor from Allāh and bounty and [of the fact] that Allāh does not allow the reward of believers to be lost –
MALAY
Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.
يَستَبشِرونَ بِنِعمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضلٍ
Mereka bergembira dengan balasan nikmat daripada Allah dan limpah kurnia-Nya;
Gembira dengan nikmat yang Allah ﷻ telah beri kepada mereka. Mereka amat gembira kerana mereka diberi peluang mati syahid, bukannya mati dengan cara lain. Ini kerana semua makhluk akan tetap mati, namun Allah ﷻ pilih mereka untuk mati syahid. Itu adalah nikmat yang amat besar.
Seperti yang kita telah sebut, lafaz فَضلِ bermaksud ia adalah sesuatu pemberian yang lebih daripada yang sepatutnya dan selayaknya kita dapat. Ada pendapat yang mengatakan, فَضلِ yang dimaksudkan adalah, Allah ﷻ tambah dengan nikmat lain, iaitu keredhaan daripada-Nya.
وَأَنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُؤمِنينَ
dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.
Allah ﷻ tidak akan sia-siakan balasan kepada orang beriman. Allah ﷻ akan balas dengan lebih lagi daripada yang sepatutnya mereka terima. Bayangkan, kita hidup berapa tahun sahaja di dunia, dengan amal yang tidaklah berapa banyak. Namun Allah ﷻ balas dengan nikmat yang tidak terhingga sampai bila-bila, kekal abadi.
Sekian Ruku’ 17 dari 20 ruku’ surah ini
Ayat 172: Ayat tabshir (berita gembira). Ada kisah yang perlu disebut di sini (Asbabun Nuzul) untuk memahami ayat ini.
Semasa puak musyrikin Mekah dalam perjalanan pulang dari medan pertempuran, mereka terfikir, apa kata kalau mereka musnahkan terus penduduk Islam di Madinah? Ini adalah kerana mereka rasa mereka telah menang dan tengah kuat masa itu, jadi mereka terfikir untuk ambil kesempatan itu. Sebab kalau mereka biarkan lagi, tahun depan hendak dilawan lagi.
Oleh kerana itu, mereka telah mengadakan mesyuarat sesama mereka sebelum sempat sampai ke Mekah lagi. Hasil daripada mesyuarat itu, mereka buat keputusan untuk patah balik dan serang lagi puak Muslimin sampai habis hancur mereka semua sekali.
Allah ﷻ memberi wahyu kepada Nabi ﷺ tentang perkara itu. Nabi ﷺ disuruh untuk mengajak para sahabat untuk bersedia untuk melawan semula tentera Musyrikin Mekah itu, walaupun mereka waktu itu dalam keadaan lemah dan sakit. Apabila Allah ﷻ suruh, itu bermakna yang Allah ﷻ akan bantu mereka.
Bila Nabi ﷺ beritahu mereka, mereka semua bersetuju tanpa soal. Apabila ada kesanggupan dalam diri umat Islam walaupun dalam keadaan yang amat payah kerana baru lepas kalah, ramai yang cedera dan sebagainya, Allah ﷻ terus campakkan perasaan takut ke dalam hati orang kafir. Mereka takut sungguh sampai tidak berani untuk datang ke kawasan Madinah.
Oleh kerana mereka takut, tetapi mereka tidak mahu malu, mereka telah mengupah satu rombongan daripada bani Abdul Qais untuk pergi ke Madinah dan beri diayah (hasutan) kepada puak Islam supaya jangan berlawan lagi puak Musyrikin Mekah dengan alasan kerana puak Mekah itu kuat.
Puak Musyrikin Mekah itu menawarkan upah unta yang banyak. Tujuan dilakukan itu adalah supaya umat Islam takut dan tidak keluar mempertahankan diri mereka. Sedangkan yang sebenarnya, mereka yang takut.
Sedangkan para sahabat sudah siap menunggu di satu kawasan, menunggu tentera kafir yang dikatakan akan datang dan datanglah rombongan Abdul Qais itu. Mereka pun mereka-reka cerita untuk menakutkan umat Islam. Namun tentera Islam berkata, mereka tidak takut dan gentar. Datanglah banyak mana sekalipun, mereka akan lawan kerana mereka hanya takut kepada Allah ﷻ sahaja. Maka sia-sia sahaja apa nasihat yang diberikan oleh rombongan Abdul Qais itu.
الَّذينَ استَجابوا لِلَّهِ وَالرَّسولِ مِن بَعدِ ما أَصابَهُمُ القَرحُ ۚ لِلَّذينَ أَحسَنوا مِنهُم وَاتَّقَوا أَجرٌ عَظيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those [believers] who responded to Allāh and the Messenger after injury had struck them. For those who did good among them and feared Allāh, is a great reward –
MALAY
Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar.
الَّذينَ استَجابوا لِلَّهِ وَالرَّسولِ
Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan Rasul-Nya
Allah ﷻ memberikan berita gembira kepada para sahabat yang sanggup menyahut semula panggilan Allah ﷻ dan Rasul. Apabila mereka taat kepada ajakan Nabi ﷺ, itu bermaksud mereka sahut kepada Allah ﷻ juga. Apabila baginda memberikan arahan untuk untuk pergi semula berperang, mereka terus pergi.
مِن بَعدِ ما أَصابَهُمُ القَرحُ
sesudah mereka mendapat luka
Kesanggupan mereka itu bukan kesanggupan biasa. Ini kerana mereka sanggup berjuang itu, walaupun setelah mereka ditimpa kecederaan luka di Perang Uhud. Lafaz القَرحُ bermaksud luka yang sedikit. Allah ﷻ hendak kata apa yang mereka kena itu tidak banyak sebenarnya.
لِلَّذينَ أَحسَنوا مِنهُم وَاتَّقَوا أَجرٌ عَظيمٌ
Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar.
Mereka menjaga diri mereka daripada derhaka. Yang buat ihsan – melakukan sesuatu yang lebih baik.
Dan mereka itu juga bertaqwa. Mereka sanggup sahut seruan Nabi ﷺ itu kerana mereka itu bertaqwa. Mereka taat kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya, mereka juga taat kepada Allah ﷻ.
Lalu apa yang terjadi? Para sahabat hanya menunggu sahaja. Sebab Abu Sufyan pula takut dan telah membatalkan rancangan mereka untuk menyerang Madinah. Allah ﷻ menjanjikan pahala upah yang amat besar kepada mereka. Walaupun mereka tidak jadi berperang, namun oleh kerana mereka telah menyatakan kesanggupan mereka, maka itu sudah dikirakan sebagai nilai yang amat besar dan Allah ﷻ akan membalas kesanggupan mereka itu.
Ayat 173: Allah ﷻ teruskan dengan menyebut tentang rombongan yang berniat jahat itu dan apakah yang dikatakan oleh para sahabat kepada mereka.
الَّذينَ قالَ لَهُمُ النّاسُ إِنَّ النّاسَ قَد جَمَعوا لَكُم فَاخشَوهُم فَزادَهُم إِيمَٰنًا وَقالوا حَسبُنَا اللَّهُ وَنِعمَ الوَكيلُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those to whom people [i.e., hypocrites] said, “Indeed, the people have gathered against you, so fear them.” But it [merely] increased them in faith, and they said, “Sufficient for us is Allāh, and [He is] the best Disposer of affairs.”
MALAY
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.
الَّذينَ قالَ لَهُمُ النّاسُ إِنَّ النّاسَ قَد جَمَعوا لَكُم فَاخشَوهُم
Mereka itu adalah mereka yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepada mereka
Lafaz النّاسُ yang pertama merujuk kepada rombongan Abdul Qais yang diupah oleh Abu Sufyan untuk menakutkan puak Muslimin.
Lafaz النّاسُ yang kedua merujuk kepada Puak Musyrikin Mekah. Rombongan Abdul Qais itu diupah untuk menakutkan puak Muslimin. Mereka beritahu kepada puak Muslimin, bahawa puak Mekah itu sedang kumpul senjata dan tentera untuk menyerang Madinah semula.
Ini mengajar kita, bahawa akan sentiasa sahaja ada golongan manusia yang hendak menakutkan umat Islam. Mereka akan memberikan pelbagai maklumat supaya kita menjadi gelabah. Itu semua akan membuang masa kita sahaja. Fikirkanlah, kalau kita tahu pun, bukan boleh buat apa, malah hanya menambah rasa takut kepada kita sahaja.
Yang sepatutnya, kalau kita diberitahu tentang perkara sebegitu, kita serah kepada Allah ﷻ sahaja. Dalam masa yang sama, kita tingkatkan amal ibadat kita. Oleh itu, kita jangan terpedaya dengan Teori Konspirasi yang berbagai-bagai. Itu semua buang masa sahaja. Masalah ini memang banyak terjadi zaman sekarang, tambahan pula manusia sudah semakin senang hendak menyebarkan diayah.
فَزادَهُم إِيمَٰنًا
Maka berita itu makin menambahkan iman mereka
Berita yang disampaikan oleh rombongan Abdul Qais itu tidak menyebabkan ketakutan kepada golongan mukmin, tetapi sebaliknya menambah keimanan mereka.
Bagaimana ia telah meningkatkan iman mereka? Sebab apa yang Allah ﷻ katakan akan terjadi, benar-benar terjadi di hadapan mata mereka. Nabi Muhammad ﷺ telah memberitahu yang tentera Musyrikin Mekah akan menyerang mereka, dan sekarang rombongan Abdul Qais pun mengatakan perkara yang sama. Maka, memang betul apa yang Nabi ﷺ kata.
Kebenaran telah terserlah dan janji Allah ﷻ itu benar. Mereka semakin yakin dengan janji Allah ﷻ yang akan memberi bantuan kepada mereka.
وَقالوا حَسبُنَا اللَّهُ وَنِعمَ الوَكيلُ
lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus
Mereka rasa cukup dengan bantuan Allah ﷻ kerana mereka tahu bahawa Allah ﷻ itu benar dan Allah ﷻ telah berjanji akan membantu mereka. Maka mereka tidak takut apa-apa pun. ini kerana mereka tahu bahawa Allah ﷻ akan mengurus dengan sebaiknya apa yang berlaku. Mereka telah meletakkan kepercayaan mereka sepenuhnya kepada Allah ﷻ.
Ayat 174: Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan kisah bagaimana tentera mukmin telah sanggup untuk kembali ke barisan perang, walaupun mereka telah mengalami kecederaan. Mereka menunggu tentera Musyrikin Mekah yang dikatakan akan menyerang kembali Madinah tetapi tentera Musyrikin Mekah itu ketakutan dan tidak jadi untuk meneruskan niat mereka untuk menyerang umat Islam.
فَانقَلَبوا بِنِعمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضلٍ لَّم يَمسَسهُم سوءٌ وَاتَّبَعوا رِضوٰنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَظيمٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So they returned with favor from Allāh and bounty, no harm having touched them. And they pursued the pleasure of Allāh, and Allāh is the possessor of great bounty.
MALAY
Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
فَانقَلَبوا بِنِعمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضلٍ
mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah,
Apabila tentera Musyrikin Mekah tidak jadi datang, maka tentera Muslimin kembali ke Madinah dengan mendapat نِعمَةٍ (iaitu pahala) daripada Allah ﷻ. Dan bukan itu sahaja, mereka juga mendapat فَضلٍ, iaitu keuntungan perniagaan.
Lafaz فَضلٍ dalam ayat ini bermaksud ‘keuntungan perniagaan’. Ini adalah kerana, apabila penduduk sekitar mendengar berita bahawa akan ada perang semula, ramai yang datang untuk menyaksikan peperangan itu dan ada yang datang untuk berniaga.
Ini kerana kalau berlakunya peperangan, maka akan ada keperluan daripada kedua-dua belah pihak yang berperang kerana dua-dua hendak makan. Mereka selalunya akan mengambil kesempatan (macam pesta pula jadinya). Namun oleh kerana tidak ada Musyrikin Mekah yang muncul, peperangan tidak berlaku, maka mereka hanya berjual beli dengan para sahabat sahaja. Itulah yang dimaksudkan mereka mendapat untung.
لَّم يَمسَسهُم سوءٌ
mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun,
Mereka tidak ditimpa bencana kerana tidak ada peperangan. Pahala dapat badan pun tidak sakit dan penat. Malah, keuntungan pula yang dapat.
وَاتَّبَعوا رِضوٰنَ اللَّهِ
serta mereka pula menurut keredhaan Allah.
Mereka mendapat keredhaan Allah ﷻ kerana mereka taat kepada perintah Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak perlu menjadikan peperangan berlaku barulah diberikan pahala. Asalkan taat sahaja akan dapat pahala.
Sebagaimana kita berdakwah sahaja akan terus mendapat pahala. Tidaklah perlu orang yang kita dakwah itu terima dakwah kita itu baru kita mendapat pahala. Dalam hal para sahabat dalam ayat ini, ketaatan mereka telah dibalas dengan pahala dan redha Allah ﷻ.
وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَظيمٍ
Dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
Allah ﷻ boleh berikan sebanyak mana pun kurnia yang hendak diberikan-Nya kepada makhluk-Nya yang taat. Masih banyak lagi yang Allah ﷻ boleh beri tanpa hadnya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 20 Februari 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan