Tafsir Surah Waqiah Ayat 14 – 27 (Nikmat dalam syurga)

Ayat 14: Maka bukanlah kelebihan jadi muqarraboon ini kepada orang dahulu sahaja. Kita masih ada peluang lagi. Tapi tidak ramailah.

وَقَليلٌ مِّنَ الآخِرينَ

Sahih International

And a few of the later peoples,

Malay

Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.

 

Tidak ramai dari golongan  yang datang selepas golongan yang awal. Antara mereka itu adalah orang-orang yang menyebar agama. Kerja sebar ugama bukan kerja ustaz, guru dan kerajaan sahaja. Tapi kerja dakwah ini adalah kerja semua orang. Kena beritahu kepada orang lain, termasuklah orang-orang kafir.

Nabi bersabda: “Masih akan terus ada sekelompok orang dari ummatku yang menegakkan kebenaran, mereka tidak akan dicelakakan oleh orang yang menghinakan mereka dan tidak juga orang yang menentang mereka sampai hari Kiamat.”

Ini bermakna, akan sentiasa ada golongan umat Islam ini yang sentiasa berada atas jalan yang benar, walaupun sedikit. Maka kita kenalah buka mata kita dan cari siapakah mereka. Bila sudah jumpa, maka bergabunglah dengan mereka dan tolong mereka untuk menyampaikan dakwah.

Dan memang mereka itu memang golongan yang sedikit. Dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat lain memberitahu kita yang mereka ini tidak ramai. Semoga kita termasuk dalam golongan itu.

Dari dua ayat ini, ulama’ berbeza pendapat tentang penafsirannya:

1. ‘Golongan dahulu’ adalah umat semua para Nabi sebelum Nabi Muhammad. Dan umat kemudian adalah umat Nabi Muhammad sampai ke kiamat.

2. Golongan awal dan kemudian itu dari kalangan umat Nabi Muhammad semuanya. Maknanya ayat ini hendak menyatakan tentang umat Nabi Muhammad sahaja. Golongan awal yang rapat dengan Allah iaitu para sahabat itu lebih ramai dari golongan kemudian.

Dan ini pun boleh diterima kerana semakin lama manusia, semakin lemah iman mereka. Peratusan golongan awal ini lebih tinggi dari golongan sekarang. Memang kita lebih ramai dari mereka (dari segi kuantiti) tapi tidak tinggi dari segi kualiti.

3. Ayat ini merujuk kepada golongan awal dan golongan yang kemudian dari ‘setiap’ Rasul. Maksudnya ramai bilangan orang yang muqarraboon itu semasa awalnya. Tetapi lama kelamaan umat mereka pun jauh dari agama dan sikit sahaja yang rapat dengan Allah. Samalah juga dengan umat Nabi Muhammad.

Ketiga-tiga pendapat ini tidaklah banyak bezanya maka ketiga-tiganya boleh diterima pakai.


 

Ayat 15: Setelah masuk syurga, Allah terangkan pula keadaan dalam syurga itu.

عَلىٰ سُرُرٍ مَّوضونَةٍ

Sahih International

On thrones woven [with ornament],

Malay

(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;

 

Iaitu tempat duduk (kita panggil pelamin sahajalah kerana tidak ada nama dalam bahasa Melayu) yang bertatahkan emas dan permata. Ianya ditenun dengan emas. Maknanya ianya adalah tilam yang indah sekali.

Dan ianya tilam yang dibuat dengan kemas dan sedap untuk ditiduri. Tak sakit badan kalau tidur di atasnya. Kalau di dunia, entah tilam kita tidak sedap, jadi sakit badan selepas tidur, bukan? Ia tidak akan terjadi di syurga nanti.

Mereka duduk melepak sahaja di atas tempat duduk itu sambil melihat segala keindahan syurga itu. Kerana syurga itu semua dia yang punya. Dia duduk sambil menikmati keindahan, sambil makan dan sambil memuaskan nafsu seks dia, dan apa-apa sahaja yang dia hendak buat. Kerana tidak ada ibadat lagi, tidak ada kerja yang perlu dilakukan. Maka duduk-duduk sahajalah kerjanya.


 

Ayat 16: 

مُتَّكِئينَ عَلَيها مُتَقٰبِلينَ

Sahih International

Reclining on them, facing each other.

Malay

Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.

 

Mereka duduk di barisan hadapan. Iaitu tidak duduk di belakang orang lain. Iaitu wajah sebahagian dari mereka berhadapan dengan wajah sebahagian yang lain, tiada seorang pun yang berada di belakang yang lainnya. Kerana kalau ada orang di hadapan kita, sudah tidak nampak jelas pula apa yang berlaku di hadapan.

Mereka juga duduk berhadapan dengan pelayan-pelayannya. Semua yang ada di depannya adalah rakyat dia semuanya. Apa sahaja yang dia tengok, itu adalah haknya. Dia cuma bagi arahan sahaja. Kalau di dunia, banyak yang kita tengok bukan hak kita belaka.


 

Ayat 17: Penjelasan dari Allah lagi tentang keadaan di syurga yang diberikan kepada golongan Muqarraboon itu.

يَطوفُ عَلَيهِم وِلدٰنٌ مُّخَلَّدونَ

Sahih International

There will circulate among them young boys made eternal

Malay

Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, –

 

Pelayan-pelayan itu akan kekal umur mereka dalam belasan tahun, tidak meningkat umur mereka. Mereka tidak akan jadi tua-tua. Kalau sekarang di dunia, selalunya pelayan adalah orang-orang muda dan tugas mereka adalah jadi valet di hotel-hotel dan sebagainya.

Mereka muda dan kerana itu mereka bersemangat untuk bekerja. Dan kita pun senang nak arah-arahkan mereka kerana mereka muda. Kalau tua, tentu kita agak segan nak beri arahan kerana ada rasa hormat di hati, bukan?

Memang umur penghuni syurga tidak akan berubah-ubah. Tetap pada satu umur sahaja. Kalau perempuan akan sentiasa berumur 28 tahun dan lelaki akan sentiasa berumur 33 tahun. Begitu juga para pelayan itu tidak meningkat usia mereka. Kerana kalau pelayan di hotel atau di restoran, apabila mereka telah tua, mereka diganti dengan orang muda yang lain. Sedangkan pelayan-pelayan di syurga akan kekal tidak ditukar-tukar.

Ada yang kata bahawa pemuda-pemuda itu adalah anak orang kafir yang mati kecil. Ada yang kata Tuhan cipta mereka secara khas.

Ada pula pendapat yang kata mereka itu anak-anak Muslim yang mati sebelum baligh. Maka mereka tidak ada pahala untuk dibalas dengan syurga dan dosa untuk dibalas dengan neraka. Maka mereka ditugaskan jadi pelayan di syurga sahaja.

Maka mereka berkhidmat kepada ahli syurga sahaja. Tapi ini agak lemah kerana dalam ayat Tur:21 telah disebut yang anak-anak orang mukmin akan dimasukkan sekali dengan ibu bapanya dalam syurga. Kerana itu lebih sesuai kalau kita katakan mereka itu adalah anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh. Allahu a’lam.

Mereka itu ramai menjadi pelayan tuan syurga, mungkin ada beribu dalam satu-satu istana. Seorang penghuni syurga pula ada banyak istana.

Nota: Ada juga golongan gay yang kata, pelayan-pelayan lelaki ini untuk memuaskan nafsu golongan gay yang masuk ke syurga. Mereka kata Allah maha pemurah, golongan gay pun Allah ada bagi layanan untuk memuaskan nafsu seks! Ma sha Allah, sudahlah buruk perangai, mereka itu jahil dan bodoh sangat! Mana pula golongan gay akan masuk syurga? Golongan gay masuk neraka!

Begitulah antara cara manusia memusing dan mengatakan benda yang tidak benar tentang Al-Qur’an. Ini jenis syaitan sudah kawal mereka sampai mereka boleh kata begitu.


 

Ayat 18: Apa tugas pelayan-pelayan itu? Apa yang mereka bawa?

بِأَكوابٍ وَأَباريقَ وَكَأسٍ مِّن مَّعينٍ

Sahih International

With vessels, pitchers and a cup [of wine] from a flowing spring –

Malay

Dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.

 

بِأَكْوَابٍ

Dengan gelas-gelas;

Pelayan-pelayan dalam syurga itu akan berpusing dalam syurga membawa air minuman untuk tuannya. Gelas itu nampak macam kaca, tapi diperbuat dari emas.

Kalimah أكواب digunakan untuk gelas jenis tidak ada pemegang. Ini memudahkan untuk digunakan kerana boleh pegang mana-mana bahagian sahaja.

 

وَأَبَارِيقَ

dan teko-teko;

Dan teko-teko itu juga diperbuat dari emas. Atau dipanggil kendi. Ianya ada pemegang kalau dibandingkan dengan أكواب. Ianya tentulah jenis yang layak untuk syurga. Tidaklah dapat kita nak bayangkan. Tentulah amat hebat sekali.

 

وَكَأْسٍ مِنْ مَعِينٍ

dan piala-piala dipenuhi dengan air arak;

Kalimah كأس adalah bekas minuman yang dipenuhi dengan air. Piala itu dipenuhi dengan arak kerana bagi orang Arab, kalau digunakan kalimah كأس memang ia jenis untuk diisi arak.

Memang semasa kita di dunia kita tidak boleh minum arak. Tapi di syurga, arak boleh diminum. Seperti juga lelaki tidak boleh pakai sutera semasa di dunia, tapi di syurga akan dipakaikan dengan sutera yang berkualiti tinggi.

Ada berbagai jenis arak dan minuman yang ada dalam syurga. Arak itu adalah cairan arak yang tulen. Kerana di dunia ini hanya tiruan sahaja. Dan arak itu jauh lebih sedap dari arak di dunia. Arak di dunia sebenarnya bukan sedap sangat. Orang minum kerana nak pening-pening sahaja. Kerana nak dapat pening itu, mereka minum juga arak yang tidak sedap dan masam itu. Lama kelamaan, mereka sudah biasa dengan rasa yang tidak sedap itu.

Dan arak itu boleh diambil dari sungai yang mengalir dalam rumahnya sahaja. Kalimah مَعِينٍ dari ع ي ن yang bermaksud mata air dan مَعِينٍ bermaksud mata air yang mengalir. Kerana dalam istananya, ada empat batang sungai, dari madu, susu, arak dan air.


 

Ayat 19: Apakah minuman yang diberi itu?

لّا يُصَدَّعونَ عَنها وَلا يُنزِفونَ

Sahih International

No headache will they have therefrom, nor will they be intoxicated –

Malay

Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.

 

لَا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا

Tidak memeningkan kepala kerana meminumnya,

Sudahlah arak itu sedap, ia tidak memeningkan pula seperti arak yang di dunia sekarang. Selalunya kalau malam minum arak, esoknya akan pening sepanjang hari (hangover). Nak buat kerja atau pergi ke mana-mana pun tidak boleh. Ada cahaya cerah pun sudah sakit mata, kalau ada bunyi bising, sakit lagi.

Jadi pening itu tidak bagus kerana kalau minum arak dan pening, itu bukan perkara baik. Kalau sudah pening, takkan nak minum lagi? Jadi tidak dapat nak minum banyak kalau begitu. Kalau tidak boleh minum banyak, itu sudah bukan nikmat namanya.

 

وَلَا يُنْزِفُونَ

dan tidak menyebabkan mabuk;

Bukan sahaja arak itu tidak memeningkan, ia juga tidak memabukkan. Kerana mabuk itu bukan sifat yang baik, bukan? Kerana kalau sudah mabuk, sudah tak tentu arah dan buat perkara yang tidak patut, cakap benda kurang ajar dan lucah. Kalau mereka nampak diri mereka semasa mereka mabuk, mereka pun akan malu.

Air itu diambil dari sungai-sungai yang mengalir di dalam istananya. Pelayan-pelayan itu akan mencedok dari sungai itulah. Penghuni syurga minum arak itu bukan kerana dahaga. Kerana sesiapa yang masuk syurga, tidak akan dahaga dan tidak akan lapar sampai bila-bila.

Tapi kenapa makan dan minum juga? Kerana nak menikmati makanan dan minuman itu. Dan cara makan mereka adalah cara makan orang yang tidak lapar. Makan dengan tenang untuk menikmati makanan syurga yang memang sedap.

Khamr di dunia terdapat empat hal: mabuk, menyebabkan kepala pusing, menyebabkan muntah dan kencing banyak. Tapi khamr di syurga nanti tidak ada semua itu.


 

Ayat 20: Tadi disebut tentang minuman, bagaimana pula dengan makanan?

وَفٰكِهَةٍ مِّمّا يَتَخَيَّرونَ

Sahih International

And fruit of what they select

Malay

Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,

 

Mereka akan dapat apa yang mereka hendak. Mereka boleh pilih mana yang mereka suka. Kerana kalimah يَتَخَيَّرونَ bermaksud mereka pilih, iaitu ambil masa untuk pilih. Maknanya mereka akan dipersembahkan dengan banyak sekali makanan dan mereka boleh pilih ikut suka mereka, tidak kelam kabut. 

Buah-buah semua jenis, termasuklah Durian Musang King atau apa sahaja (sebagai contoh sahaja kerana memang ada buah-buahan yang ada di dunia yang akan diberi di syurga). Ada makanan yang manusia itu tahu ada di dunia, tapi dia tidak berpeluang rasa semasa di dunia.

Buah-buahan itu ada yang diperbuat dari emas. Nampak macam durian, tapi diperbuat dari emas. Ada yang diperbuat dari perak. Bagaimana pula boleh makan emas pula? Rupanya memang semasa di dunia ini lagi sudah ada makanan yang diperbuat dari emas. Kalau zaman dulu kita tidak pernah tengok, tapi zaman sekarang sudah ada. Ini dilakukan oleh mereka yang kaya sangat sampai tidak tahu apa yang mereka nak buat dengan duit mereka. 

Bata jongkong bina istana diperbuat dari jongkong emas dan plaster dari kasturi. Antara dinding ke dinding 63 batu jaraknya. Tidak ada tandas dan bilik air kerana tidak perlu kerana ahli syurga tidak buang najis.

Walaupun mereka makan banyak, tapi tak buang najis pun. Mereka makan banyak sekali sama dengan kadar seribu orang makan, tapi tidak berak dan kencing. Makanan yang mereka makan itu akan keluar ikut liang peluh yang ianya berbau wangi.

Tidak ada malam dalam syurga. Siang sentiasa supaya penghuninya dapat menikmati kenikmatan sepanjang masa. Kerana kalau ada malam, maka ada tidur. Bila tidur, sudah kurang masa untuk nikmat pula dan ini rugi. Maka tidak ada malam di syurga. 


 

Ayat 21: 

وَلَحمِ طَيرٍ مِّمّا يَشتَهونَ

Sahih International

And the meat of fowl, from whatever they desire.

Malay

Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.

 

وَلَحْمِ طَيْرٍ

Dan daging burung; 

Dalam riwayat dikatakan burung itu sebesar unta. Ini berdasarkan Sabda Nabi:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا سَيَّارُ بْنُ حَاتِمٍ، حَدَّثَنَا جَعْفَرُ بْنُ سُلَيْمَانَ الضَّبُعِيُّ، حَدَّثَنَا ثَابِتٍ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ طَيْرَ الْجَنَّةِ كَأَمْثَالِ الْبُخْتِ، يَرْعَى فِي شَجَرِ الْجَنَّةِ”. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ هَذِهِ لَطَيْرٌ نَاعِمَةٌ فَقَالَ: “أَكَلَتُهَا أَنْعَمُ مِنْهَا -قَالَهَا ثَلَاثًا-وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَأْكُلُ مِنْهَا”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sayyar ibnu Hatim, telah menceritakan kepada kami Ja’far ibnu Sulaiman Ad-Dab’i, telah menceritakan kepada kami Sabit, dari Anas yang menceritakan bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda: Sesungguhnya burung syurga itu besarnya seperti unta, burung-burung itu terbang dengan bebasnya di pohon-pohon syurga. Maka Abu Bakar r.a. berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya burung syurga itu benar-benar burung yang hidupnya senang.” Rasulullah Saw. bersabda: Aku akan memakannya dan merasa lebih senang darinya —sebanyak tiga kali—. Dan sesungguhnya aku berharap semoga engkau termasuk salah seorang yang memakannya.

Berjenis-jenis burung dan jenis daging yang akan diberikan kepada ahli syurga. Memang bahagian makanan tidak perlu risau.

 

مِمَّا يَشْتَهُونَ

daripada apa yang mereka ingini;

Kalimah dari ش ه و yang darinya dijadikan kalimah ‘syahwat’, iaitu keinginan. Mereka akan dapat resipi apa sahaja yang mereka minta. Ikut keinginan selera mereka nak makan jenis apa hari itu. Kerana orang lain suka cara masak yang lain.

Contohnya mereka minta hidangan itu dalam cara masakan negeri Perak. Tapi lagi sedap dari apa yang kita rasa dalam dunia. Itu masakan yang dia tahu. Dia juga akan diberi dengan apa yang dia tidak pernah tahu wujud sebelum itu. Contohnya, kita tak tahu macam mana masakan syurga.


 

Ayat 22: Bagaimana pula pasangan mereka? Kalau nikmat banyak tapi tidak ada pasangan pun tidak menarik, bukan?

وَحورٌ عينٌ

Sahih International

And [for them are] fair women with large, [beautiful] eyes,

Malay

Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,

 

Kalimah حورٌ nisbah kepada kulitnya yang cantik. Dan kalimah عينٌ pula nisbah kepada matanya yang cantik. Kalimah عينٌ bermaksud mata, dan ia juga bermaksud mereka cantik dipandang. Maknanya, mata mereka cantik dan mereka juga cantik dipandang.

Ini adalah dua kecantikan yang selalunya menarik perhatian lelaki, bukan? Maka Allah berikan kecantikan jenis ini kepada mereka. Dan tentulah perkara-perkara yang lain tentang mereka pun serba serbi cantik.

Seperti yang kita selalu dengar, pasangan syurga akan diberikan dengan bidadari. Dan mata mereka itu bukan sahaja cantik tapi ‘bermata jeli’. Maksudnya mereka bermata kuyu, mata yang hendak ‘dicampuri’, hendak digauli. Kalau di dunia, kadang-kadang suami kena merayu isteri untuk ‘bersama’, tapi di syurga, bidadari itu yang mahukan kita.

Mata mereka juga akan terjaga. Mereka akan tengok pasangannya sahaja, tak tengok lain. Kalau kita bawa isteri kita di dunia dulu jalan-jalan, mata mereka rambang hendakkan macam-macam yang ada di kedai-kedai. “abang, abang… cantik kan beg tangan tu bang, kan? Kalau pakai dengan baju raya tahun ni… aduhaiiiiii…..” Tapi bidadari ini tidak memandang kepada yang lain, tetapi kepada kita sahaja. Kerana pada mereka, tuan merekalah yang paling kacak dan paling hebat.

Jadi bidadari itu memang cantik. Tapi kriteria kecantikan di syurga tidak sama dengan kriteria kecantikan di dunia. Kerana mereka makhluk jenis lain dan penghuni syurga pun sudah jadi makhluk lain juga. Fizikal kita sudah lain dan keinginan pun mungkin sudah lain dari keinginan di dunia. Dan kalau kita baca hadis tentang bidadari di syurga itu, dikatakan kita boleh nampak urat darah mereka.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Rombongan yang pertama masuk syurga adalah dengan wajah bercahaya bak rembulan di malam purnama. Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya seperti bintang-bintang yang berkemilau di langit. Masing-masing orang di antara mereka mempunyai dua isteri, dimana sum-sum tulang betisnya kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada bujangan.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Kalau di dunia, boleh nampak tulang sum-sum, bagaimana itu cantik, bukan? Agaknya kita lari dari orang sebegitu, tapi ia akan menjadi cantik untuk kita nanti. Jadi jangan nilai keadaan di akhirat dengan keadaan di dunia sekarang.


 

Ayat 23:

كَأَمثٰلِ اللُّؤلُؤِ المَكنونِ

Sahih International

The likenesses of pearls well-protected,

Malay

Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.

 

Mereka seolah-olah seperti mutiara yang tersimpan. Kalau mutiara di dunia, tentu kita simpan dengan baik, bukan? Kita letak dalam kotak supaya tidak berdebu.

Di dalam hadis disebut bidadari itu sebelum dipertemukan dengan pasangan ahli syurganya, mereka duduk dalam mutiara yang jin dan manusia lain tidak pernah tengok. Ini adalah kerana bidadari itu dicipta secara langsung oleh Allah untuk melayan penghuni syurga. Mereka tidak ada kehidupan lain sebelum itu. Mereka tidak ada emak ayah dan tidak ada bekerja sebelum itu. Mereka duduk tunggu penghuni syurga datang sahaja. Mereka tuan mereka datang sahaja.

Dan jangan tak tahu yang ketua bagi bidadari itu semua adalah isteri yang dari kalangan manusia dunia. Kalau bidadari itu cantik, isteri dia akan lebih cantik dari bidadari. Kerana bidadari tidak pernah ada ujian, tidak pernah buat ibadat. Tapi isterinya ada amalan semasa di dunia, telah lulus ujian di dunia. Jadi maqamnya tentulah lebih tinggi dari bidadari itu. Maka tentulah mereka akan dijadikan lebih cantik lagi dari bidadari itu. Takkan bidadari lagi cantik dari mereka pula.

Syaikh Ibnu Utsaimin menjelaskan,

المرأة الصالحة في الدنيايعني: الزوجةتكون خيراً من الحور العين في الآخرة ، وأطيب وأرغب لزوجها ، فإن النبي صلى الله عليه وعلى آله وسلم أخبر أن أول زمرة تدخل الجنة على مثل صورة القمر ليلة البدر

Wanita solihah di dunia – iaitu para isteri – lebih baik dibandingkan bidadari di akhirat. Mereka lebih indah dan lebih dicintai suaminya. Kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam menyebutkan bahawa  kelompok pertama yang masuk syurga itu seperti cahaya bulan di malam purnama. (Fatawa Nur ‘ala ad-Darb, 12/58)

Itu kalau isterinya masuk syurga sekali. Kalau tidak masuk sekali, dia akan diberi dengan wanita dari dunia yang lain yang juga telah lulus ujian semasa di dunia. Termasuk juga kalau isteri masuk syurga, tapi suami masuk neraka. Isteri itu akan diberikan dengan suami yang lain.

Maka jangan takut kalau anda tidak pernah ada pasangan di dunia. Kerana anda pasti akan diberikan dengan pasangan lain di syurga nanti yang anda pasti akan redha dengan mereka.


 

Ayat 24:

جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

As reward for what they used to do.

Malay

(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.

 

Allah berikan segala kesenangan dan nikmat itu kerana perbuatan baik manusia dan jin itu semasa di dunia. Kerana mereka taat kepada Allah dan menjalankan segala perintah dan menjauhkan diri dari laranganNya, maka balasannya adalah syurga yang mereka akan kekal di dalamnya.

Perbuatan amal kebaikan kita tidak layak untuk mendapatkan tiket untuk masuk ke syurga sebenarnya. Ini adalah kerana syurga itu amat mahal. Tak mampu kita nak membayar harga masuk syurga itu. Tapi Allah dengan rahmatNya, menerima amalan kita yang sedikit itu dan dibalas dengan syurga yang jauh berkali-kali ganda lebih baik dari amalan kita.

Jadi, kita tidak boleh kata amalan kita akan memasukkan kita ke dalam syurga. Kerana amalan kita takkan cukup. Cuma Allah sahaja yang sanggup terima amalan kita yang sedikit itu dan balas dengan syurga yang jauh lebih hebat.

Kita pun selalu dengar: kita tidak masuk syurga dengan amalan kita, tapi dengan rahmat Allah. Dan inilah rahmat Allah: Allah terima amalan kita yang sedikit itu dan balas dengan syurga yang berjuta kali ganda lebih hebat.


 

Ayat 25: 

لا يَسمَعونَ فيها لَغوًا وَلا تَأثيمًا

Sahih International

They will not hear therein ill speech or commission of sin –

Malay

Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; –

 

لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا

Tidaklah mereka akan mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia;

Di syurga nanti tidak ada cakap-cakap kosong, lucah, cemburu dan sebagainya. Semua itu hanya memudarkan nikmat sahaja kerana tidak menggembirakan langsung. Semua perasaan buruk itu telah dicabut semua sekali. Maknanya, ada perasaan gembira sahaja di di syurga nanti.

Termasuk perasaan yang dicabut adalah perasaan teringat dan sayang kepada orang-orang yang dulunya dia sayang di dunia, tapi mereka itu masuk dalam neraka.

Contohnya, katakanlah anaknya dimasukkan ke dalam neraka. Allah akan cabutkan perasaan sayang dan teringat kepada anaknya itu. Termasuk juga ibu bapa, adik beradik, suami dan isteri atau sesiapa sahaja. Kerana kalau dia teringat, tentulah dia akan bersedih mengenangkan orang yang dia sayang dulu. Dan sedih bukanlah perasaan yang boleh ada di syurga. Kalau dia teringat pun, pada peringkat awal di syurga sahaja.

Jadi tidak ada kata-kata yang sia-sia. Antara contoh cakap kosong adalah, kalau kita nampak kereta cantik, kita kata “eh, cantiknya kereta tu.” Selepas itu sambung macam-macam. Itu adalah contoh cerita perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah apa-apa pun. Dan kita memang suka buat perkara ini, bukan? Kalau bersembang dari satu topik ke satu topik tak habis-habis.

Akan tetapi, orang beriman kalau dengar orang bercakap kosong, dia kena lari dan tidak campur dengan mereka. Ini kerana bercakap kosong itu pun sudah tidak bagus dan merbahaya kerana boleh bawa kepada perkara yang berdosa.

 

وَلَا تَأْثِيمًا

dan tidak ada dosa;

Sudah tidak ada dosa lagi dalam syurga. Bukan sahaja tidak ada dosa, tapi perkara yang membawa kepada dosa pun tidak ada. Kerana kalimah إثم itu adalah dosa tapi kalimah تأثيم adalah perkara yang membawa kepada dosa.

Sebagai contoh, kadangkala kita nak bercakap sembang biasa sahaja tapi lama kelamaan bercakap kepada perkara yang membawa kepada dosa. Iaitu bersembang dengan kawan kita tapi lama kelamaan mulalah bercerita tentang orang itu dan ini dan akhirnya jadi mengumpat, bukan? Jadi ini adalah contoh satu perkara dari percakapan. Itu pun tidak ada di syurga nanti.

Dan sudah tidak ada ibadat. Maknanya tidak ada solat, puasa dan apa sahaja ibadat yang diwajibkan ke atas penghuninya. Ini kerana mereka itu tinggal dalam syurga untuk menikmati kehidupan sahaja. Sampai bila? Selama-lamanya.

Dan nikmat yang paling besar adalah dapat berjumpa Tuhan. Ada hamba Allah yang dapat jumpa Tuhan, pagi sekali dan petang sekali. Tidakkah kita mahu untuk jumpa Tuhan? Tapi Tuhan hanya berjumpa dengan penghuni syurga sahaja. Iaitu Allah akan masuk dalam syurga dan beri salam kepada penghuninya.

Waktu itu Allah akan bercakap-cakap dengan makhlukNya. Alangkah nikmatnya kalau dapat hidup sebegitu. Banyak hadis yang menceritakan tentang Allah berkata-kata dengan makhluknya dalam syurga. Maka ini adalah akidah ahli Sunnah. Yang tidak menerimanya adalah mereka yang tidak faham.


 

Ayat 26: 

إِلّا قيلًا سَلٰمًا سَلٰمًا

Sahih International

Only a saying: “Peace, peace.”

Malay

Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain).

 

Apabila berjumpa penghuni syurga yang lain, mereka menceritakan tentang kenikmatan yang mereka dapati. Mereka akan beri salam sesama mereka. Mereka amat suka dengan apa yang mereka dapat, maka mereka tidak berhenti menceritakan kelebihan-kelebihan yang mereka dapat itu.

Maknanya juga mereka bercakap dengan aman. Tidak takut tersalah cakap. Kalau di dunia, kita kena berhati-hati kalau bercakap, bukan? Kalau orang yang sudah berkahwin, mereka akan tahu perkara ini. Kadangkala nak cakap sesuatu, tapi tercakap benda yang lain dan tergurislah hati pasangan kita, bukan? Tapi di syurga nanti, bersembang lama pun tapi tidak menyebabkan sesiapa pun akan terasa dan terguris hati.

Maknanya, mereka dalam keadaan yang gembira dan senang. Tidak ada yang akan sebut mereka ada masalah atau tidak tenang hati. Segalanya baik-baik sahaja di syurga. Semua penghuni syurga akan hidup dalam keadaan sejahtera, aman, sihat dan teramat suka. Di dunia tidak akan terjadi perkara ini.

Semuanya akan gembira, maka itu pun penting juga. Kerana kalau kita sekarang gembira semasa di dunia, tapi bila dengar orang lain ada masalah, kita pun serabut juga fikiran kita, bukan? Tapi di syurga nanti, semua akan sebut berita baik sahaja. Semua menceritakan nikmat yang mereka terima dari Allah sahaja.


 

Ayat 27: Ini adalah golongan kedua pula. Ayat 27 – 40 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia berkenaan Ashabul Yamin.

Sebelum ini telah disebut tentang golongan yang Muqarraboon (rapat) dengan Allah. Sekarang golongan yang lain pula iaitu yang menerima Kitab Amalan mereka dari tangan kanan. Mereka ini masih lagi golongan orang Mukmin tapi kedudukan mereka di bawah kedudukan golongan yang pertama tadi.

وَأَصحٰبُ اليَمينِ ما أَصحٰبُ اليَمينِ

Sahih International

The companions of the right – what are the companions of the right?

Malay

Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu!

 

وَأَصْحَابُ الْيَمِينِ

Dan golongan kanan;

Kebanyakan dari orang mukmin tak dapat masuk golongan pertama. Kerana golongan itu bukanlah golongan yang majoriti. Mereka itu adalah golongan yang teramat istimewa. Kita berharap, kalau kita tidak dapat menjadi golongan pertama itu, harapnya kita dapat masuk dalam golongan yang kedua ini.

 

مَا أَصْحَابُ الْيَمِينِ

Siapakah golongan kanan itu;

Allah buat pertanyaan dalam ayat ini sebagai penarik perhatian kepada pembaca Al-Qur’an. Macam kita apabila bercerita dengan orang lain, kita tanya: “nak tahu? nak tahu tak?” Jadi ini sebagai penarik perhatian manusia.

Ataupun kalimah ini dalam bentuk ta’jub: alangkah beruntungnya mereka itu!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Waqiah Ayat 1 – 13 (Tiga golongan di Akhirat)

Pengenalan:

Surah ke 56 ini mengandungi 96 ayat. Ianya telah diturunkan di Mekah. Ramai yang mengamalkannya kerana dikatakan bahawa ianya akan memurahkan rezeki kita.

Sebenarnya tiada hadis sahih yang mengatakan fadhilat membaca Surah al-Waaqiah ini akan memurahkan rezeki. Maka hendaklah kita baca surah ini kerana hendakkan pahala dan untuk memahami ajaran dari Allah untuk kita, bukannya untuk rezeki.

Hadis palsu fadhilat surah waqiah
Fadhilat umum membaca Quran memang banyak. Tetapi fadhilat-fadhilat khusus sesuatu surah kebanyakannya hanya rekaan pemalsu hadis sahaja.

Surah ini adalah berkenaan tauhid fil akhirah. Iaitu tentang mengesakan Allah dalam penciptaan Hari Pembalasan. Iaitu kita hendaklah beriman kepada Hari Kiamat, Tiupan Sangkakala, Padang Mahsyar, Kebangkitan Semula, Syurga dan juga Neraka.

Tidak patut kalau kita tidak tahu tentang perkara-perkara ini. Kerana Allah telah menceritakannya dengan panjang lebar dalam Al-Qur’an. Kalau kita tidak tahu, bermakna kitalah yang tidak belajar Al-Qur’an.

Selalunya, orang kita hanya tahu serba sedikit sahaja. Tapi tidak tahu dengan secara mendalam. Ini kerana kebanyakan dari orang kita amat jauh dengan Al-Qur’an. Kalau ada pun, mereka setakat membaca sahaja, tapi tidak faham apa yang mereka baca. Ini adalah amat malang sekali kalau berlaku kerana mereka tidak mengambil rahmat dari Al-Qur’an.

Maksud Surah ini adalah tentang tauhid. Ini disebut di akhir surah ini. Setelah memberitahu segala perkara maka di hujung surah, Allah berfirman: فَسَبِّح (bertasbihlah). Maksudnya membersihkan Allah dari fahaman-fahaman syirik terhadapNya. Fahaman-fahaman syirik itu semuanya kena ditolak. Kena sembah, doa dan sujud kepada Allah sahaja; ikut Allah sahaja, jangan campur aduk dari ajaran-ajaran yang datang bukan dari Islam.

Allah juga hendak memberitahu balasan di akhirat akan ikut amalan semasa di dunia. Sebagaimana pelbagai jenis amalan di dunia, maka di akhirat juga ada pelbagai balasan bagi manusia.

Surah ini berkait rapat dengan surah sebelum ini iaitu Surah Rahman. Cuma ada keterbalikan dalam surah ini kalau dibandingkan dengan Surah Rahman. Surah Rahman dimulai dengan menceritakan kemuliaan Al-Qur’an dan ini disebut di bahagian akhir Surah Waqiah pula.

Seperti Surah Rahman terdapat banyak soalan dan dalam Surah Waqiah ini juga ada soalan, tapi dalam bentuk yang lain.

Dalam Surah Rahman di bahagian akhir disebut tentang golongan yang rapat dengan Allah dan dalam surah Waqiah ini nanti akan sebut tentang mereka dahulu di bahagian awal.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro. Ayat 1 – 9 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberi gambaran Hari Kiamat di mana manusia akan dibahagikan kepada tiga kelompok/darjat.

Allah mulakan surah ini dengan mengingatkan kita tentang Kiamat.

إِذا وَقَعَتِ الواقِعَةُ

Sahih International

When the Occurrence occurs,

Malay

Apabila berlaku hari kiamat itu,

 

Kalimah ‘waqiah’ bererti peristiwa besar. ‘Peristiwa Besar’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Hari Kiamat. Kalimah al-Waqiah yang digunakan sebagai nama surah ini adalah salah satu dari banyak-banyak nama Hari Kiamat.

Kalimah الواقِعَةُ diambil dari kalimah asal و ق ع yang bermaksud ‘berlaku’, ‘pasti’. Ianya digunakan sebagai nama lain bagi Hari Kiamat kerana hari Kiamat itu pasti terjadi dan pasti ada. Tidak dapat tidak, ia pasti akan berlaku. Cuma kita sahaja tidak tahu bilakah masanya ia akan berlaku.

Apabila ada huruf ة (ta’ marbootah) pada kalimah الواقِعَةُ itu, ia menunjukkan yang ia adalah sesuatu yang besar.


 

Ayat 2: 

لَيسَ لِوَقعَتِها كاذِبَةٌ

Sahih International

There is, at its occurrence, no denial.

Malay

Tiada sesiapa pun yang dapat mendustakan kejadiannya.

 

Apabila berlaku tsunami, ada yang kata sudah hendak kiamat, tapi tidak juga. Kemudian, ada gempa bumi, tidak kiamat juga lagi. Bermakna, apabila berlaku kejadian seperti itu, ada yang boleh lagi kata: “ini bukan kiamat lagi”. Tapi, apabila Kiamat benar-benar datang nanti, tidak ada sesiapa yang boleh mendustakannya. Semua akan terima yakin yang ini memang hari kiamat.

Apabila Nabi Muhammad memberitahu bahawa akan ada hari Kiamat dan kebangkitan semula di mana semua manusia akan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan mereka di dunia, maka Musyrikin Mekah menolak baginda. Mereka tak percaya ianya akan terjadi kerana pada mereka ianya mustahil.

Tapi nanti apabila berlaku kiamat yang sebenar, tidak ada sesiapa lagi yang berkata itu bukan Kiamat. Kerana tidak sama musibah dan malapetaka alam kalau dibandingkan dengan Kiamat nanti. Semua orang akan tahu, itulah Kiamat yang selalu disebut-sebut.

Maksud kedua, orang yang tolak akan berlakunya Kiamat, waktu itu mereka tidak dapat nak tolak lagi. Nak tolak macam mana lagi, sedangkan ia sedang berlaku di depan mata mereka?

Dan kalimah كاذِبَةٌ juga boleh bermaksud ‘penolakan’. Bila ia sudah mula berlaku, ia tidak akan dapat ditahan lagi. Ia pasti akan terus berlaku.

Dan tanda-tanda Kiamat pun sudah ada berlaku waktu itu. Antaranya, matahari telah naik dari barat. Tapi ianya berlaku selama 12 jam sahaja. Kemudian turun balik dan akan naik balik dari sebelah timur. Dikatakan bahawa selepas kejadian itu, kiamat akan berlaku dalam masa 120 tahun. Tapi kejadian itu berlaku dengan tidak ada orang Islam seorang pun.

Dan apabila berlaku kiamat, langit terbelah dan akan keluar api dari langit. Bila tengok itu sahaja, tak sempat nak buat apa-apa lagi. Nak beri pesan kepada sesiapa pun tidak sempat langsung. Orang yang mengandung sangat terkejut semasa kejadian itu, dia akan gugurkan anak dalam kandungannya.

Orang yang sedang menyusu anak, akan membaling anaknya kerana terkejut dan takut sangat dengan kejadian kiamat. Maka akan mati semua makhluk tujuh langit dan tujuh bumi melainkan yang dikehendaki oleh Allah. Kejadian-kejadian ini banyak disebut dalam Al-Qur’an dan kita kena baca semua ayat Al-Qur’an itu mendapatkan kesemua cerita dengan lengkap. Dan tambahan maklumat kena baca dan belajar dari Hadis Sahih.

Apabila ditiup sangkakala, maka akan mati semua makhluk. Melainkan yang dikehendaki Allah, iaitu malaikat seramai 12 orang. Kemudian, malaikat itu semuanya akan dimatikan satu persatu dan akhirnya akan tinggal Malaikat Israfil sahaja. Waktu itu Allah akan tanya Israfil: “Siapa lagi yang ada, wahai Israfil?” Israfil akan jawab: “Hanya aku dan Kamu ya Allah”. Maka Tuhan akan kata: “Mati kamu wahai Israfil!”.

Jadi makhluk mati dengan tiga cara:

Pertama, dengan perantaraan Malaikat Maut.
Kedua, dengan tiupan sangkakala.
Ketiga, dengan perintah Tuhan.

Jadi, apabila berlakunya kiamat, semua orang akan tahu bahawa itu memang Kiamat. Semua orang tidak boleh menidakkan kiamat sedang berlaku. Tapi waktu itu mereka tak sempat nak pesan kepada sesiapa pun. Bila berlaku sahaja Kiamat, dia pun akan terus mati.


 

Ayat 3: Apakah tujuan Hari Kiamat itu?

خافِضَةٌ رّافِعَةٌ

Sahih International

It will bring down [some] and raise up [others].

Malay

Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).

 

خَافِضَةٌ

Merendahkan;

Allah hendak memberi balasan kepada mereka yang engkar semasa hidup di dunia. Iaitu mereka yang engkar kepada perintah Allah. Mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka dan kedudukan mereka akan direndahkan dengan serendah-rendahnya.

Ada yang akan dimasukkan sehingga ke bahagian paling bawah neraka. Walaupun mereka dulu di dunia adalah orang-orang yang berkedudukan tinggi dan terhormat.

Ia juga bermaksud yang benda yang asalnya tinggi akan direndahkan, seperti gunung-gunung, bukit bukau akan direndahkan. Bintang-bintang juga akan jatuh. Begitu juga bangunan-bangunan tinggi akan jatuh dan macam-macam lagi benda tinggi akan jatuh.

 

رَافِعَةٌ

Meninggikan;

Dan ada puak yang lain yang akan diangkat kedudukan mereka supaya dimasukkan ke dalam syurga. Mereka itu boleh dinaikkan tinggi sampai ke tingkatan Syurga Naim walaupun dulu mereka semasa di dunia adalah orang-orang yang rendah miskin hina dina. Ini adalah kerana mereka taat kepada perintah Allah dan mengamalkan ajaran dan fahaman tauhid.

Dan begitu juga ia membawa maksud yang benda-benda rendah akan dinaikkan. Contohnya air laut akan naik dan melimpah. Manusia yang telah ditanam rendah akan dikeluarkan.


 

Ayat 4: Allah menceritakan keadaan semasa Kiamat itu kelak. Cubalah bayang-bayangkan keadaan itu untuk beri takut kepada diri kita. Kerana kalau kita dapat sematkan rasa takut dalam hati kita, tentu kita takut untuk buat dosa.

إِذا رُجَّتِ الأَرضُ رَجًّا

Sahih International

When the earth is shaken with convulsion

Malay

(Ia berlaku) semasa bumi digoncang dengan sebenar-benar goncangan.

 

Pertamanya, Kiamat itu nanti akan menyebabkan bumi ini bergoncang dengan kuat sekali. Sampaikan manusia yang ada waktu itu hendak berdiri pun tidak boleh kerana kuat sangat goncangan itu. Mereka akan jatuh seperti orang mabuk jatuh.

Kalau sekarang di dunia, memang kadangkala ada gempa bumi. Tapi ianya berlaku di satu-satu kawasan sahaja. Tapi pada hari Kiamat nanti, ianya berlaku di seluruh dunia. Tambahan pula, goncangan gempa bumi beberapa saat sahaja dan berhenti; goncangan Kiamat ini tidak akan berhenti. Ini tidak pernah terjadi lagi dalam sejarah.

Dan goncangan itu sampai menyebabkan air laut akan melimpah. Kalau kita letak air dalam besen dan kita goncang besen itu, tentulah air akan berkocak dan melimpah keluar. Apabila bumi digoncang, air lautan akan sampai ke daratan. Melompat air itu ke kawasan yang makhluk tinggal (kawasan darat) dan akan melemaskan mereka.

Waktu itu, tidak ada tempat yang akan selamat. Kalau kejadian Tsunami dulu, sebahagian tempat sahaja yang kena, tapi apabila Kiamat nanti, semua tempat akan tenggelam.


 

Ayat 5: Apa yang akan terjadi kepada gunung ganang yang kukuh itu?

وَبُسَّتِ الجِبالُ بَسًّا

 Sahih International

And the mountains are broken down, crumbling

Malay

Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,

 

Kalimah ب س س digunakan juga apabila tepung diuli. Ini memberi isyarat yang nanti akan sampai masanya gunung terpecah dan hancur jadi debu. Kita telah sebut bagaimana benda yang dari bawah naik ke atas dan yang atas akan jatuh ke bawah. Begitulah yang akan terjadi kepada gunung nanti.

Zaman sekarang, manusia melihat gunung ganang itu amat kukuh. Orang Arab pun memang terpesona dengan gunung ganang itu. Kerana itu Allah selalu gunakan gunung sebagai contoh. Allah nak beritahu, gunung yang mereka lihat kukuh itu nanti akan hancur sehancur-hancurnya.


 

Ayat 6: Kemudian apa jadi kepada gunung ganang itu?

فَكانَت هَباءً مُّنبَثًّا

Sahih International

And become dust dispersing.

Malay

Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran,

 

فَكَانَتْ هَبَاءً

Maka terjadilah ia seperti debu

Gunung itu akan hancur sampai jadi debu. Ianya akan pecah dan bukan sahaja pecah, tapi jadi sampai debu. Maknanya, memang teruk dan kuat sekali goncangan Kiamat nanti sampai gunung pun boleh jadi debu.

 

مُنْبَثًّا

berterbangan;

Dan debu-debu itu akan berterbangan ke merata arah. Gunung-ganang akan tercabut dari paksinya dan hancur jadi debu. Hancur jadi debu dan diterbangkan dan dihamburkan oleh angin. Bagai kapas yang diterpa angin. Begitulah gambaran betapa teruknya Kiamat nanti.


 

Ayat 7: Apa yang akan terjadi selepas itu? Setelah bumi ini hancur, maka tinggal akhirat sahaja. Tempat tinggal asal kita di dunia tidak ada lagi.

وَكُنتُم أَزوٰجًا ثَلٰثَةً

Sahih International

And you become [of] three kinds:

Malay

Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya);

 

Dipendekkan cerita, selepas semuanya mati, semua makhluk akan hancur semuanya. Dan setelah berlalu sekian masa yang lama, makhluk akan dibangunkan dari kubur-kubur mereka.

Kalimah زوج selalunya digunakan untuk ‘pasangan’ atau kelompok. Iaitu mereka yang memerlukan satu sama lain. Macam di dunia sekarang, ada kumpulan yang besar yang memerlukan pertolongan sesama mereka. Sebagai contoh, orang-orang politik memerlukan sesama sendiri untuk terus berkuasa.

Semua golongan itu akan bangkit serentak. Dan semua akan dibawa ke Mahsyar berduyun-duyun untuk mengadap Allah. Dan semua manusia dan jin akan dibahagikan kepada tiga golongan besar. Ada banyak jenis pembahagian manusia nanti, tapi secara umumnya, akan terbahagi kepada tiga golongan sahaja.


 

Ayat 8: Allah menceritakan satu persatu golongan besar itu. Ingat, ada tiga golongan semua sekali. Ini adalah golongan yang pertama.

فَأَصحٰبُ المَيمَنَةِ ما أَصحٰبُ المَيمَنَةِ

Sahih International

Then the companions of the right – what are the companions of the right?

Malay

Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu?

 

فَأَصْحٰبُ الْمَيْمَنَةِ

Satu puak golongan kanan;

Mereka ini adalah yang menerima buku amalannya dengan tangan kanan di Mahsyar. Kitab itu dalam bentuk skrol. Apabila mereka menerima kitab amalan mereka itu dengan tangan kanan mereka, maka bergembiralah mereka.

‘Kanan’ selalu dikaitkan dengan kebaikan dan golongan yang baik dan benar, di dunia ini lagi. Sebagai contoh, ada golongan yang dipanggil ‘golongan kanan’. Itu memberi maksud yang golongan itu adalah golongan yang diiktiraf oleh kerajaan.

Dan ini digunakan seantero dunia, tidak kira kerajaan Islam atau tidak. Memang kanan menjadi sesuatu yang dihormati. Orang Arab pun faham sebegini dan kalau ada tetamu yang mereka hendak muliakan, maka mereka akan letakkan orang itu di sebelah kanan.

Dan kanan juga amat penting dalam Islam. Kerana itu sunat untuk memulakan sesuatu yang baik dari sebelah kanan dahulu seperti wuduk, makan, melangkah masuk masjid dan sebagainya. Kanan memang ada kelebihan dalam agama Islam pun.

 

مَا أَصْحٰبُ الْمَيْمَنَةِ

Siapakah mereka yang dalam golongan kanan itu.

Kalimah ما ini boleh jadi ma istifham (pertanyaan). Allah tanya pembaca Al-Qur’an soalan ini kerana Allah hendak memberitahu kepada kita.

Ini adalah cara Allah menarik minat manusia iaitu dengan tanya kepada kita, pembaca Al-Qur’an ini. Sebagaimana kalau kita mengajar orang lain, kita kata: “Nak tahu tak? Nak tahu tak?”. Dengan menarik perhatian mereka dahulu, mereka lebih suka hendak tahu apa yang kita hendak sampaikan. Maka sekarang Allah tanya: hendakkah kita tahu siapakah ‘golongan kanan’ itu?

Atau kalimah ما dalam ayat ini boleh menjadi ma ta’jub. Alangkah bertuahnya mereka yang dapat Kitab Amalan dari tangan kanannya. Allah juga hendak menceritakan bagaimana dia pun suka apabila dia dapat kitab amalan di tangan kanannya. Dan dalam ayat lain disebut yang dia akan bagi orang lain tengok dan baca Kitab Amalannya kerana dia bangga dengan keputusan di dalam kitab itu.


 

Ayat 9: Golongan kedua pula adalah Golongan Kiri.

وَأَصحٰبُ المَشئَمَةِ ما أَصحٰبُ المَشئَمَةِ

Sahih International

And the companions of the left – what are the companions of the left?

Malay

Dan puak pihak kiri; – alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?

 

وَأَصْحٰبُ الْمَشْئَمَةِ

Dan golongan kiri;

Mereka ini nanti akan lari dari kitab amal mereka. Ini adalah kerana mereka sendiri takut untuk membaca apa yang tertulis dalam kitab itu kerana mereka tahu yang mereka telah banyak melakukan kesilapan dan dosa semasa di dunia. Maka mereka pun nak lari jauh-jauh dari kitab amalan mereka sendiri.

Akan tetapi semasa mereka lari itu, kitab itu akan mengejar mereka dan semasa tangan mereka di belakang, dia akan tertangkap kitab amalan itu dengan tangan kirinya.

 

مَا أَصْحٰبُ الْمَشْئَمَةِ

Siapakah golongan kiri ini?

Mereka ini adalah golongan yang celaka. Dan mereka golongan yang tidak selamat. Memang dari di dunia ini pun ‘kiri’ selalu dikaitkan dengan perkara yang negatif. Sampaikan golongan penentang kerajaan di mana-mana pun akan dipanggil ‘golongan haluan kiri’.

Masyarakat Arab juga tidak suka kepada kiri kerana ia dianggap sebagai sial. Ada amalan khurafat yang mereka lakukan, iaitu apabila hendak bermusafir mereka akan lepaskan burung. Kalau burung terbang ke kanan maka itu tanda perjalanan itu akan jadi baik; tapi kalau terbang ke kiri, maka itu isyarat yang musafir itu akan menemui bala. Maka mereka mengaitkan kiri dengan perkara buruk dan sial.

Dan kalau seseorang tetamu diletakkan di bahagian kiri, maka itu adalah satu penghinaan kepada mereka.

Dan bahagian kiri juga tidak molek dalam Islam. Kerana itu kita makan dengan tangan kanan, tapi untuk membasuh najis kita disuruh menggunakan tangan kiri, bukan? Ini pun sudah memberi isyarat yang kiri itu tidak baik.

Kalimah ما dalam ayat ini adalah ma ta’jub. Alangkah celaka dan hinanya mereka ini. Di Mahsyar nanti, mereka akan duduk di sebelah kiri.

Juga boleh bermaksud Allah bertanya kepada pembaca Al-Qur’an untuk menarik perhatian kepada siapakah golongan Kiri itu dan apakah ciri-ciri mereka.


 

Ayat 10: Ini pula adalah golongan ketiga. Ayat 10 – 26 adalah Perenggan Makro Kedua dan memberi pengenalan kepada kelompok as-Sabiqun. Mari kita belajar siapakah mereka dan semoga kita boleh menjadi golongan ini.

وَالسّٰبِقونَ السّٰبِقونَ

Sahih International

And the forerunners, the forerunners –

Malay

Dan orang-orang yang telah mendahului, yang akan mendahului;

 

Kalimah السّٰبِقونَ yang pertama adalah mubtada’ dan kalimah السّٰبِقونَ yang kedua adalah khabar. Kalimah السّٰبِقونَ dari katadasar س ب ق yang bermaksud ‘awal’. Mereka ini adalah Golongan Awal. Sebelum orang lain beriman, mereka sudah beriman. Oleh kerana itu di Mahsyar nanti, mereka akan duduk paling dekat dengan Allah.

Dari segi bahasa, سابق adalah isim bagi mereka yang menang pertandingan. Yang memang telah menang. Maknanya Allah hendak memberi isyarat yang golongan itu telah menang. Ini adalah kerana mereka ini yang selalu bersegera dalam hal kebaikan. Mereka yang mula-mula beriman, mula menawarkan diri untuk berjihad, untuk infak dan sebagainya. Mereka berlumba-lumba dalam membuat kebaikan.

Mereka ini adalah golongan Islam kelas pertama. Pada zaman Nabi, merekalah golongan Muhajirin dan Ansar. Golongan Muhajirin sanggup tinggalkan semua sekali harta mereka di Mekah apabila mereka berpindah ke Madinah. Mereka hanya bawa apa sahaja yang mereka boleh bawa atas unta sahaja (atau di belakang tubuh mereka sahaja). Harta yang mereka tinggalkan kerana tak boleh bawa, semuanya diambil oleh Musyrikin Mekah.

Dan Puak Ansar pula telah menyambut golongan Muhajirun itu. Diberikan sebahagian harta mereka kepada golongan Muhajirun itu. Yang isteri ramai, akan memberikan isterinya kepada mereka juga.

Setiap dari mereka digandingkan dengan sahabat dari Mekah itu supaya dapat membantu apa yang patut. Kerana Muhajirin datang dengan tidak ada apa-apa, jadi mereka memerlukan bantuan dalam kehidupan mereka. Itulah sahabat Nabi yang amat mulia dan mereka mendapat pujian dari Allah sendiri kerana pengorbanan mereka itu.

Tak ramai lagi sahabat masa itu. Semasa Perang Badr pada tahun 2 Hijrah, sahabat Nabi yang berperang hanya seramai 313 orang sahaja. Semasa tahun 7 Hijrah, iaitu semasa Perang Khandak, perang yang ada kisah gali parit keliling Madinah itu, sahabat Nabi hanya seramai tiga ribu orang sahaja. Itu bermakna, wahyu telah turun selama 20 tahun kalau ditambah dengan 13 tahun Nabi di Mekah.

Semasa Perang Ahzab, di mana semua orang kafir bergabung memerangi orang Islam Madinah, mereka hanya tiga ribu orang sahaja dan mereka menentang 12 ribu orang kafir. Keadaan masa itu amat genting sekali tapi tidak pernah pun Nabi buat solat Hajat berjemaah waktu itu sebelum perang.

Nabi hanya berdoa: “Kalau Kamu tidak bantu kami ya Allah, maka tidak akan ada orang yang akan sebut namaMu ya Allah.” Maka Tuhan bawa turun angin ribut menentang orang kafir. Maka kerana itu kita tekankan yang Solat Hajat berjemaah bukan dari syariat kita sebenarnya. Ianya adalah amalan bidaah rekaan sahaja.

Selepas itu, semasa terjadinya Perjanjian Hudaybiah, sahabat Nabi hanya seramai lebih 1,400 sahaja yang pergi hendak mengerjakan Umrah di Mekah. Tapi apabila Penaklukan Mekah, waktu itu sudah berpuluh ribu yang masuk Islam. Kemudian selepas itu yang datang buat Haji bersama dengan Nabi pun sudah ramai, seratus ribu lebih yang datang sekali.

Bermakna, dalam mengambil jalan sunnah ini, pada permulaannya memang susah, tapi lama kelamaan, orang akan dapat menerima kebenaran agama ini dan ramai lagi yang akan masuk.

Tapi ianya hendaklah dimulai oleh golongan yang awal. Kalau zaman Nabi, mereka itu adalah para sahabat di Mekah dan golongan Ansar di Madinah. Maka semoga kita termasuk golongan yang awal ini. Maka kena sabarlah dahulu untuk menyampaikan dakwah sunnah ini.

Jadi kebanyakan dari mereka adalah dari golongan Islam yang awal. Golongan zaman sekarang yang termasuk dalam golongan awal ini adalah mereka yang mula-mula menerima ajaran tauhid yang disampaikan oleh guru yang mengajar mengikut sunnah.

Memang awalnya tidak ramai golongan Sunnah ini, sampaikan ada yang ditindas oleh pihak yang ada kedudukan. Tapi jangan kita bagi haru hati kita. Sebagaimana pihak awal zaman Nabi mendapat kelebihan, maka kita sebagai golongan awal ini juga akan dapat kelebihan berganda-ganda juga.

Mereka inilah yang akan mula-mula masuk syurga. Ini adalah kerana mereka yang mula-mula beriman dari setiap umat. Maknanya ada umat yang beriman dengan Nabi Muhammad, Nabi Musa dan Nabi-nabi lain. Kita tidak ada Nabi lagi, tapi kita yang mula-mula beriman dengan ajaran Sunnah di negara kita.

Boleh juga bermaksud, mereka yang pertama sekali pergi ke masjid dan yang pertama sekali pergi berjuang di jalan Allah. Dan orang yang bersegera berbuat kebaikan seperti yang diperintahkan kepada mereka. Mereka tidaklah tunggu orang lain dan ikut orang lain. Mereka terus buat sahaja.

Dan kerana mereka telah melakukannya, ramai yang mengikuti mereka. Kerana ada orang yang ikut mereka, maka pahala orang yang mengikut itu juga akan diberikan kepada orang yang mula-mula buat. Maka pahala mereka akan berganda-ganda kerana dalam saham dari pahala orang lain.

Oleh itu, sesiapa yang di dunia ini berlumba-lumba menuju kebaikan, maka di akhirat kelak akan termasuk orang-orang yang paling dulu mendapatkan kemuliaan. Semoga kita termasuk dalam golongan ini.


 

Ayat 11: Penerangan tentang Golongan Muqarraboon ini. Jadi mereka juga dikenali dengan nama ‘muqarraboon’ selain dari ‘musaabiqoon’.

أُولٰئِكَ المُقَرَّبونَ

Sahih International

Those are the ones brought near [to Allah ]

Malay

Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah),

 

Apakah kelebihan golongan awal itu? Mereka juga akan didekatkan dengan Allah. Di Mahsyar nanti, mereka duduk dekat dengan Allah sebagai penghormatan untuk mereka.

Sepatutnya ayat ini jadi أُولٰئِكَ هُمُ المُقَرَّبونَ baru jadi lengkap tapi kerana balaghah, dibuangkan kalimah هُمُ kerana Allah hendak mendekatkan lagi kedudukan mereka. Seolah-olah tidak ada lagi penghalang antara mereka dan Allah. Dalam ayat ini sahaja sudah tunjuk kedekatan mereka itu.

Ini adalah satu kelebihan, bukan? Kerana kalau kita duduk dekat dengan orang besar dalam kerajaan pun kedudukan kita sudah tinggi. Apatah lagi kalau dekat itu dengan Allah pula!

Kalau kalimah مُقرَب digunakan, ia bermaksud terus didekatkan. Tapi kalimah مُقَرَّب dalam wazan yang lain bermaksud seseorang yang didekatkan sedikit demi sedikit. Di Mahsyar nanti mereka akan didekatkan sedikit demi sedikit.

Ini memberi isyarat bahawa mereka juga sudah begitu semasa di dunia. Iaitu mereka melalui proses untuk mendekatkan diri kepada Allah. Kerana mendekatkan diri dengan Allah bukannya segera tapi memerlukan usaha dari kita. Kena belajar sikit-sikit dan kadangkala jatuh sekejap tapi naik kembali. Ini biasa sahaja.

Maka mereka itu adalah golongan yang mengamalkan tauhid dan ajaran Sunnah. Akan tetapi guru yang ajar ajaran salah mengatakan mereka yang muqarraboon itu adalah golongan yang baca wirid dengan banyak pula. Kononnya kalau wirid banyak, akan didekatkan dengan Allah. Kalau wirid dan zikir itu yang sunnah, tidak mengapalah. Tapi malangnya mereka diajar mengamalkan wirid dan zikir yang salah.

Jadi sebenarnya bukanlah begitu. Yang hampir dengan Allah adalah orang yang mula-mula percaya kepada ajaran Tauhid. Semasa orang lain tidak mahu terima lagi, mereka dulu yang terima.

Kalau anda baca dan terima penulisan ini, besar kemungkinan anda juga termasuk ke dalam golongan ini. Kerana ia bukanlah hanya terbuka kepada orang-orang yang dahulu, tapi kita di zaman sekarang pun boleh dapat juga kelebihan ini.

Ini kerana kalau kita ambil jalan tauhid ini, memang mengalami banyak rintangan dan tentangan dari manusia lain. Termasuk dari orang yang beragama Islam pun. Oleh kerana ada kesusahan dan dugaan yang besar dan sanggup sabar, maka Allah balas dengan beri kedudukan tinggi.

Maka kerana susahnya pegangan ini, maka Allah berikan kelebihan yang amat besar kepada mereka yang sabar dan terus istiqamah dalam mengamalkan tauhid. Dan bukanlah hanya mengamalkannya sahaja, tapi kena sampaikan juga kepada orang lain. Jangan simpan sendiri sahaja.


 

Ayat 12: Kemudian Allah terangkan terus apakah kelebihan yang akan didapati oleh golongan Muqarraboon itu.

في جَنّٰتِ النَّعيمِ

Sahih International

In the Gardens of Pleasure,

Malay

(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.

 

Mereka akan ditempatkan di dalam kebun-kebun syurga yang penuh nikmat di dalamnya. Syurga adalah tempat untuk menikmati pemberian Allah sahaja. Dan kalimah النَّعيمِ bermaksud ianya adalah nikmat yang sempurna. Ianya adalah tempat rehat, bukan tempat buat kerja. Tidak ada ibadat lagi di syurga.

Di dunia kita kena tahan nafsu kita, tidak boleh itu dan ini. Tapi di syurga nanti, ianya tempat untuk memuaskan nafsu kita ikut sekehendak kita. Ini adalah balasan bagi mereka yang menahan nafsu mereka semasa di dunia.

Sebagai contoh, kalau di dunia mereka menahan diri mereka dari berzina, maka di syurga nanti mereka akan diberikan pasangan dan bidadari untuk memuaskan nafsu mereka sepuas-puasnya. Dan kekuatan lelaki di syurga tidak sama dengan kekuatan di dunia. Kekuatan seorang lelaki adalah seperti kekuatan seratus orang lelaki!


 

Ayat 13: Golongan Muqarraboon ini memang tidak ramai.

ثُلَّةٌ مِّنَ الأَوَّلينَ

Sahih International

A [large] company of the former peoples

Malay

(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;

 

Peratusan mereka yang termasuk dalam golongan muqarraboon ini tidak banyak. Dari bilangan yang tidak banyak itu pula, sebahagian besarnya dari golongan terdahulu.

Kalimah ثُلَّةٌ ini dari segi bahasa bermakna 1/3 sahaja. Tapi kalau dibandingkan secara keseluruhan, mereka itu lebih ramai. Ini kerana bilangan mereka ramai. Jadi peratusan dari bilangan yang ramai, adalah tinggi.

Memang mereka itu tidak ramai. Bayangkan, yang hijrah bersama Nabi ke Madinah dalam 80 orang sahaja. Semasa Perang Badr, orang Islam dalam 400 orang sahaja. Itulah kelebihan mereka dan Nabi pernah bersabda: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun setelahnya, dan kemudian kurun setelahnya,”

Siapakah antara kita yang hendak masuk dalam golongan ini? Kalau kita yang dahulu menerima tauhid ini, in sha Allah kita juga akan dikira sebagai termasuk dalam golongan orang yang awal.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi