Tafsir Surah Hajj Ayat 56 – 59 (Balasan kepada Muhajireen)

Ayat 56:

المُلكُ يَومَئِذٍ ِللهِ يَحكُمُ بَينَهُم ۚ فَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ في جَنّٰتِ النَّعيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[All] sovereignty that Day is for Allāh;¹ He will judge between them. So they who believed and did righteous deeds will be in the Gardens of Pleasure.

  • None will compete with Him for authority at that time.

(MELAYU)

Kekuasaan di hari itu ada pada Allah, Dia memberi keputusan di antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan beramal saleh adalah di dalam syurga yang penuh kenikmatan.

 

المُلكُ يَومَئِذٍ ِللهِ يَحكُمُ بَينَهُم

Kekuasaan di hari itu ada pada Allah, Dia memberi keputusan di antara mereka.

Pada hari kiamat itu akan jelas nyata bahawa kekuasaan penuh adalah milik Allah. Bukan di akhirat sahaja Allah berkuasa, tapi di dunia ini lagi. Mungkin pada dunia ini ramai manusia yang sangka mereka ada kuasa walaupun sebenarnya tidak, tetapi di akhirat kelak mereka pasti akan mengaku bahawa Allah sahaja yang Maha berkuasa.

Allah akan buat hukum secara amali di akhirat kelak kerana hukum secara teori sudah diberikan di dalam wahyu dan penghukuman di akhirat itu hanyalah secara amali sahaja. Waktu itu hendak bahagikan mana ahli syurga dan mana ahli neraka sahaja. Maka kita kenalah tengok wahyu untuk tahu mana betul dan mana salah. Jangan di akhirat kelak baru tahu.

 

فَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ في جَنّٰتِ النَّعيمِ

Maka orang-orang yang beriman dan beramal saleh adalah di dalam syurga yang penuh kenikmatan.

Setelah dibuat hukuman secara amali itu, mereka yang beriman sempurna dan beramal dengan amalan soleh dan sunnah akan dimasukkan ke dalam syurga. Semoga kita termasuk golongan ini. Aameen.


 

Ayat 57: Ayat takhwif ukhrawi. Kalau yang beriman dan beramal soleh masuk syurga, yang kafir masuk mana?

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئايٰتِنا فَأُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who disbelieved and denied Our signs – for those there will be a humiliating punishment.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, maka bagi mereka azab yang menghinakan.

 

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئايٰتِنا

Dan orang-orang yang engkar dan mendustakan ayat-ayat Kami,

Kita tulis ‘engkar’ dan bukan kafir kerana nak meluaskan maknanya. Supaya jangan ada salah faham: yang masuk neraka bukan orang non-Muslim sahaja. Kita kena faham yang kalau dilahirkan dalam keluarga Islam, nama pun Islam dan buat amal ibadat seperti solat dan puasa, belum tentu masuk syurga lagi.

Kalau seseorang itu mengaku Muslim tapi dalam masa yang sama dia mendustakan ayat-ayat Allah, wahyu Qur’an dan hadis, mereka itu tidak selamat juga. Berapa ramai umat Islam sendiri yang tolak wahyu? Mereka tak belajar tafsir Qur’an dan kerana jahil wahyu maka mereka tolak ajaran tauhid yang ada dalam Qur’an.

Dan apabila ada pendakwah tauhid datang kepada mereka dan memberitahu makna-makna dari ayat Qur’an, mereka bantah. Maka kerana mereka bantah lah yang menyebabkan mereka jadi kufur.

Maka perkara ini bukan main-main. Maka janganlah kita ambil ringan perkara ini. Kalau tidak setuju, janganlah terus tolak tapi dengarlah dulu. Belajarlah dan carilah maklumat sampai puas hati.

 

فَأُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

maka bagi mereka azab yang menghinakan.

Bagi mereka hanya ada azab yang menghinakan untuk mereka. Mereka jadi hina kerana masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya. Alangkah malangnya kalau sudah lahir dalam keluarga Islam, tapi akhirnya masuk neraka!


 

Ayat 58: Ayat ini ada berkaitan dengan jihad iaitu selepas kebenaran jihad diberikan kepada umat Islam. Apabila umat Islam sudah menjalankan jihad, maka daerah umat Islam akan bertambah luas dan daerah kufur akan semakin kecil.

Begitulah keadaan di Madinah dimana asalnya negara Islam hanya kecil sahaja tetapi ia telah berkembang dan semakin besar apabila umat Islam menjalankan jihad. Ini mengajar kita yang jihad kena dijalankan.

وَالَّذينَ هاجَروا في سَبيلِ اللهِ ثُمَّ قُتِلوا أَو ماتوا لَيَرزُقَنَّهُمُ اللهُ رِزقًا حَسَنًا ۚ وَإِنَّ اللهَ لَهُوَ خَيرُ الرّٰزِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who emigrated for the cause of Allāh and then were killed or died – Allāh will surely provide for them a good provision. And indeed, it is Allāh who is the best of providers.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka dibunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezeki yang baik (syurga). Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.

 

وَالَّذينَ هاجَروا في سَبيلِ اللهِ

Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah,

Allah memuji mereka yang berhijrah di jalan Allah. Apabila daerah umat Islam sudah banyak maka menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk berhijrah pergi ke tempat-tempat kediaman umat Islam yang lain. Jangan lagi tinggal di negara kafir yang menghalang seorang Muslim untuk menjalankan agamanya dengan sempurna.

Maka untuk itu, Khalifah Islam kena pastikan ada daerah Islam yang luas. Supaya orang Muslim dapat tinggal di negara Islam itu. Supaya senang untuk mereka beramal dengan amalan Islam.

Allah puji mereka yang berhijrah kerana mereka sanggup untuk meninggalkan kampung halaman mereka, harta dan kaum kerabat mereka kerana hendak menjaga agama. Kerana mungkin kalau tempat tinggal di tempat asal mereka, mereka tidak dapat hendak beramal agama Islam, maka hendaklah mereka meninggalkan tempat tinggal.

Kerana agama yang lebih penting dari tempat tinggal yang disayangi. Begitulah yang dilakukan oleh para sahabat yang berada di Mekah. Kerana Mekah bukan lagi tempat yang selamat untuk mereka mengamalkaan agama Islam.

Allah puji dan akan beri balasan yang banyak kerana meninggalkan tanah halaman asal, keluarga dan sanak saudara, harta dan segala kelengkapan hidup di tempat lama, bukanlah senang.

 

ثُمَّ قُتِلوا أَو ماتوا

kemudian mereka dibunuh atau mati, 

Disebut mereka yang dibunuh dalam ayat ini. Tapi waktu ayat ini diturunkan, umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, bukan? Kalau begitu bukankah sudah tidak ada yang dibunuh? Memang mereka sudah berhijrah tapi Allah hendak memberi isyarat bahawa ada peperangan yang akan berlaku. Jadi akan ada yang akan mati dalam peperangan.

Dan mungkin semasa dalam perjalanan hijrah itu, ada yang mati di dalam perjalanan. Atau mereka tidak berperang tapi akhirnya mati di tempat yang mereka hijrah. Maka kepada mereka yang mati dan terbunuh itu apakah balasan bagi mereka?

 

لَيَرزُقَنَّهُمُ اللهُ رِزقًا حَسَنًا

benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezeki yang baik

Untuk Hijrah itu para sahabat telah meninggalkan rumah kampung halaman dan segala harta mereka tetapi Allah memberitahu yang Dia akan membalas dan menggantikan segala itu dan Allah adalah yang sebaik-baik pemberi. Allah pasti akan memberi rezeki yang baik.

Maka Allah nak pujuk supaya mereka jangan risau kalau mereka tinggalkan kampung halaman mereka, harta benda dan kaum kerabat mereka kerana mereka akan dapat yang lebih dari itu.

Kalimat رِزقًا حَسَنًا bermaksud sama ada nikmat khas dalam syurga atau dapat melihat wajah Allah.

Ayat ini sama halnya dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya:

{وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللهِ}

Barang siapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. (An-Nisa: 100)

 

وَإِنَّ اللهَ لَهُوَ خَيرُ الرّٰزِقينَ

Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.

Tidak ada yang boleh beri lebih baik dari Allah. Kalau Allah beri, ianya amat hebat dan berkekalan. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Swt. dalam firman-Nya:

{وَلا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ}

Janganlah kalian mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. (Ali Imran: 169)


 

Ayat 59:

لَيُدخِلَنَّهُم مُّدخَلًا يَرضَونَهُ ۗ وَإِنَّ اللهَ لَعَليمٌ حَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will surely cause them to enter an entrance with which they will be pleased, and indeed, Allāh is Knowing and Forbearing.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah akan memasukkan mereka ke dalam suatu tempat (syurga) yang mereka menyukainya. Dan sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Penyantun.

 

لَيُدخِلَنَّهُم مُّدخَلًا يَرضَونَهُ

Sesungguhnya Allah akan memasukkan mereka ke dalam suatu tempat (syurga) yang mereka menyukainya. 

Kalimah مُدخَلًا yang digunakan menunjukkan bahawa tempat masuk syurga itu sendiri sudah hebat, apatah lagi yang di dalamnya. Pintunya pun sudah hebat, tambahan pula segala kelengkapan di dalamnya.

Syurga adalah tempat yang mereka akan redha dengannya. Apabila mereka masuk ke dalam syurga, mereka pasti akan redha dengan apa yang ada di dalamnya.

 

وَإِنَّ اللهَ لَعَليمٌ حَليمٌ

Dan sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Penyantun.

Allah bersifat حَليمٌ yang bermaksud Allah tahu segala dugaan yang kita lalui. Bukannya Allah tak tahu, tapi Allah biarkan sebagai dugaan untuk kita. Allah tahu bukan senang nak tinggalkan kampung halaman. Allah tahu bukan senang untuk pergi ke tempat yang baru, tempat yang tidak biasa.

Allah janji yang semua dugaan itu akan menjadi pahala dan mendapat balasan syurga kalau mereka bersabar dengannya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Mei 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Hajj Ayat 52 – 55 (Syaitan ganggu para Nabi)

Ayat 52:

وَما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ مِن رَّسولٍ وَلا نَبِيٍّ إِلّا إِذا تَمَنّىٰ أَلقَى الشَّيطٰنُ في أُمنِيَّتِهِ فَيَنسَخُ اللهُ ما يُلقِي الشَّيطٰنُ ثُمَّ يُحكِمُ اللهُ ءآيٰتِهِ ۗ وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not send before you any messenger or prophet except that when he spoke [or recited], Satan threw into it [some misunderstanding]. But Allāh abolishes that which Satan throws in; then Allāh makes precise His verses.¹ And Allāh is Knowing and Wise.

  • Clarifying those issues which were misunderstood to remove any doubt.

(MELAYU)

Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang rasul pun dan tidak (pula) seorang nabi, melainkan apabila dia mempunyai sesuatu keinginan, syaitan pun memasukkan godaan-godaan terhadap keinginan itu, Allah menghilangkan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, dan Allah menguatkan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

 

وَما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ مِن رَّسولٍ وَلا نَبِيٍّ

Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang rasul pun dan tidak (pula) seorang nabi, 

Dari ayat ini apabila Allah meletakkan Rasul dan Nabi di dalam satu ayat, bermaksud ada perbezaan antara seorang Nabi dan seorang Rasul, iaitu mereka itu tidak sama. Rasul adalah Nabi yang bawa syariat baru tapi Nabi menggunakan syariat yang dibawa oleh Rasul. Semua Rasul adalah Nabi tapi tidaklah setiap Nabi itu seorang Rasul.

Dalam ayat ini, Allah hendak menceritakan dugaan yang dihadapi oleh para Nabi dan Rasul itu.

 

إِلّا إِذا تَمَنّىٰ أَلقَى الشَّيطٰنُ في أُمنِيَّتِهِ

melainkan apabila dia mempunyai sesuatu keinginan, syaitan pun memasukkan godaan-godaan terhadap keinginan itu, 

Ayat ini ada masalah untuk ditafsirkan kerana ada ahli tafsir yang mengatakan apabila Nabi atau Rasul itu mempunyai keinginan, maka syaitan akan membisikkan was-was ke dalam hati mereka. Ini tidak tepat.

Untuk memahami ayat ini kita kena tahu apakah kehendak para rasul dan nabi itu; bukankah mereka hendak supaya semakin ramai umat mereka yang masuk Islam? Dan kerana itu mereka berharap supaya pemuka-pemuka masyarakat mereka akan masuk Islam kerana dengan itu akan menyebabkan ramai lagi orang masuk Islam.

Para Rasul beranggapan, dengan cara itu akan mempercepatkan cara menarik orang ke dalam Islam. Kerana masyarakat awam selalunya akan ikut kelakuan pemimpin mereka.

Ini memang ada dalam keinginan manusia dan kerana itu orang-orang kita selalu suka kalau dengar orang-orang besar atau orang terkenal (seperti artis dan ahli sukan) masuk Islam, kerana ianya tentu akan menarik minat orang lain untuk masuk ke dalam agama Islam. Dan kerana itulah Nabi Muhammad berdoa supaya Umar masuk Islam.

Ini kerana Umar itu adalah orang yang berwibawa dan apabila dia masuk Islam, ramai orang akan tertarik kepada Islam. Sekurang-kurangnya, ia menarik orang lain untuk tengok apakah sebenarnya agama Islam itu.

Begitulah keinginan para Rasul dan Nabi itu. Akan tetapi syaitan tidak akan membiarkan rancangan rasul dan nabi itu menjadi kenyataan dan kerana itu mereka akan gunakan segala usaha untuk menggagalkan rancangan itu. Lihatlah kisah seperti mana Nabi Nuh dengan anaknya – apabila baginda mahu anaknya beriman, syaitan berusaha keras untuk menghalang anaknya dari beriman dan dari masuk Islam.

Dan begitu juga yang terjadi kepada Nabi Muhammad dengan bapa saudaranya Abu Talib  – di mana syaitan akan menghantar segala bala tentera untuk menghalang Abu Talib dari masuk Islam. Inilah yang dimaksudkan godaan syaitan itu. Bukannya digoda kepada para Nabi dan Rasul tetapi mereka yang rapat dengan para Nabi dan Rasul itu.

 

فَيَنسَخُ اللهُ ما يُلقِي الشَّيطٰنُ

Allah menghilangkan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, 

Apabila itu terjadi maka tentulah para nabi dan rasul itu akan putus semangat dalam berdakwah. Akan tetapi Allah tidak membenarkannya dimana Allah akan menaikkan semangat kepada Nabi dan Rasul itu kembali.

Satu lagi kesan, syaitan hendak membantutkan dakwah para Rasul itu. Kerana mereka nak orang tolak ajaran Rasul itu. Orang akan berhujah: tengoklah keluarga dia sendiri pun tak beriman dengan dia, kenapa kita pula nak beriman dengan dia? Maka Allah halang perkara ini dari berlaku. Walaupun ahli keluarga sendiri menentang, tapi akan ada sahaja orang lain yang menerima dakwah itu.

 

ثُمَّ يُحكِمُ اللهُ ءآيٰتِهِ

dan Allah menguatkan ayat-ayat-Nya. 

Dan Allah kemudian menguatkan tanda-tandaNya.

Satu lagi maksud ayat ini adalah apabila Nabi dan pendakwah membacakan ayat-ayat Qur’an kepada manusia maka syaitan akan membisikkan ke dalam hati orang-orang kafir untuk menolaknya. Syaitan akan ambil kesempatan itu dan kemungkinan yang terjadi adalah dua – iaitu sama ada orang kafir itu mendengar bisikan syaitan itu ataupun Allah buka hati orang itu untuk menerima wahyu.

Itulah maksudnya Allah menghilangkan apa yang dibisikkan oleh syaitan itu. Kemudian Allah teguhkan ayat-ayat Qur’an yang dibacakan oleh Nabi itu ke dalam hati orang itu. Allah beri kefahaman ayat Qur’an itu kepada orang itu dan kerananya dia beriman.

 

وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

Allah lebih mengetahui siapa yang layak untuk menerima dakwah dari wahyu itu dan siapa yang tidak layak menerima wahyu itu.

Dan Allah Maha Bijaksana bagaimana membuat keputusan siapakah yang layak menerima agama dan siapa yang tidak layak.


 

Ayat 53:

لِّيَجعَلَ ما يُلقِي الشَّيطٰنُ فِتنَةً لِّلَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ وَالقاسِيَةِ قُلوبُهُم ۗ وَإِنَّ الظّٰلِمينَ لَفي شِقاقٍ بَعيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[That is] so He may make what Satan throws in [i.e., asserts] a trial for those within whose hearts is disease¹ and those hard of heart. And indeed, the wrongdoers are in extreme dissension.

  • See footnote to 2:10.

(MELAYU)

agar Dia menjadikan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, sebagai cubaan bagi orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan yang kasar hatinya. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu, benar-benar dalam permusuhan yang sangat,

 

لِّيَجعَلَ ما يُلقِي الشَّيطٰنُ فِتنَةً

agar Dia menjadikan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, sebagai cubaan

Rancangan syaitan itu menjadi ujian bagi manusia. Rancangan apa? Iaitu mereka berhujah yang keluarga para Nabi dan Rasul itu sendiri tidak beriman. Ini adalah ujian yang besar. Kalau zaman sekarang pun kita boleh dengar kadangkala hujah penentang akan berkata: “kau tengoklah sendiri, ahli keluarga dia pun tak terima apa yang dia sampaikan itu…. “

 

لِّلَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ وَالقاسِيَةِ قُلوبُهُم

bagi orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan yang keras hatinya. 

Rancangan itu berjaya bagi orang lemah sahaja. Dan syaitan amat pandai kerana menggunakan situasi itu untuk menghalang manusia yang ada penyakit di dalam hati mereka dari masuk Islam. Ini adalah kerana mereka akan melihat bagaimana Nabi Muhammad contohnya tidak dapat mengislamkan bapa saudaranya sendiri, maka tentulah agama Islam itu tidak benar, mereka kata.

Dan kerana penyakit itu hati mereka menjadi amat keras. Walaupun disampaikan wahyu Allah kepada mereka, mereka tetap tidak menerimanya.

Ayat ini juga bermaksud Allah menjadikan bisikan syaitan itu sebagai ujian bagi orang-orang yang ada penyakit ragu-ragu di dalam hati mereka. Iaitu kepada orang Islam yang ada penyakit munafik di dalam diri mereka dan walaupun mereka duduk bersama Nabi ataupun bersama orang orang mukmin yang lain, mereka tidak dapat menerima fahaman wahyu itu.

Dan ada satu golongan lagi yang amat keras hati mereka sampaikan mereka tidak mahu duduk di dalam majlis Nabi. Iaitu orang yang memang zalim dan degil.

 

وَإِنَّ الظّٰلِمينَ لَفي شِقاقٍ بَعيدٍ

Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu, benar-benar dalam permusuhan yang sangat,

Zalim yang dimaksudkan adalah syirik. Mereka yang ada fahaman syirik memang sangat memusuhi ajaran tauhid. Mereka langsung tidak pergi kepada Nabi.

Kalau golongan munafik, ada juga yang sanggup datang kepada Nabi walaupun berpura-pura. Tapi kerana mereka sanggup duduk dekat dengan Nabi, ada kemungkinan ada ayat yang mereka dengar yang membuka hati mereka. Maka mereka ini ada harapan lagi.


 

Ayat 54: Ini pula tentang orang yang ada sifat inabah (cenderung kepada kebenaran) di dalam dirinya.

وَلِيَعلَمَ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَيُؤمِنوا بِهِ فَتُخبِتَ لَهُ قُلوبُهُم ۗ وَإِنَّ اللهَ لَهادِ الَّذينَ آمَنوا إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And so those who were given knowledge may know that it is the truth from your Lord and [therefore] believe in it, and their hearts humbly submit to it. And indeed is Allāh the Guide of those who have believed to a straight path.

(MELAYU)

dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, menyakini bahawasanya Al Qur’an itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus.

 

وَلِيَعلَمَ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ

dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, menyakini

Dalam ayat sebelum ini Allah telah memberitahu rancangan syaitan untuk menghalang orang-orang yang ada penyakit di dalam hati mereka dari beriman. Mereka akan melihat bagaimana  Nabi dan Rasul (juga para pendakwah) itu tidak dapat mengislamkan ahli keluarga mereka sendiri maka dengan itu mereka mengatakan Islam itu tidak benar.

Apabila orang yang ada ilmu tentang wahyu melihat perkara ini benar-benar terjadi di hadapan mata mereka, maka ini akan menambah iman mereka kerana mereka sedar bahawa Allah telah beritahu perkara ini awal-awal lagi. Mereka lihat sendiri bagaimana hujah ini digunakan oleh manusia. Maka yakinlah mereka bahawa Qur’an ini memang benar. Qur’an memang menceritakan apa yang ada dalam hati manusia.

Satu persatu ayat-ayat dalam Qur’an ini menjadi kenyataan. Kerana itu memang menarik apabila belajar tafsir dan kita boleh lihat bagaimana apa yang ada dalam Qur’an ini menjelma di depan mata kita.

 

أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّكَ

menyakini bahawasanya Al Qur’an itulah yang hak dari Tuhan-mu

Memang Qur’an ini bawa kebenaran dari Tuhan. Maka ayat-ayat ini akan mengukuhkan hati pelajar Qur’an kerana mereka akan melihat bagaimana Allah menzahirkan perbuatan-perbuatan manusia di hadapan mata mereka dan waktu itu mereka akan terpesona dan yakin bahawa ayat-ayat Qur’an ini memang bukan tulisan manusia.

 

فَيُؤمِنوا بِهِ فَتُخبِتَ لَهُ قُلوبُهُم

lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya

Maka mereka akan beriman dan bertambah keimanan mereka. Mereka akan percaya dengan ayat-ayat yang lain. Mereka akan taat sepenuhnya kerana hati mereka sudah lembut untuk menerimanya.

 

وَإِنَّ اللهَ لَهادِ الَّذينَ آمَنوا إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus.

Allah beritahu yang Dia pasti akan memberi hidayah. Iaitu kepada mereka yang ada inabah dalam hati mereka.

Kalau baca tentang kerja dan rancangan syaitan yang amat hebat sebelum ini, maka mungkin ada yang kata: “bagaimanalah nak dakwah kepada orang lain.” Maka Allah nak beritahu jangan risau kerana Allah ada cara nak beri hidayah kepada manusia. Asalkan mereka ada keinginan kepada kebenaran, Allah akan tarik hati mereka kepada jalan yang lurus.


 

Ayat 55: Ayat takhwif ukhrawi. Sekarang Allah sebut tentang orang yang tidak ada inabah.

وَلا يَزالُ الَّذينَ كَفَروا في مِّريَةٍ مِنهُ حَتّىٰ تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً أَو يَأتِيَهُم عَذابُ يَومٍ عَقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who disbelieve will not cease to be in doubt of it until the Hour comes upon them unexpectedly or there comes to them the punishment of a barren Day.¹

  • One which will not be followed by night and therefore will not give birth to a new day, referring to the Day of Resurrection.

(MELAYU)

Dan tidak berhenti orang-orang kafir itu berada dalam keragu-raguan terhadap Al Qur’an, hinggalah datang kepada mereka saat (kematiannya) dengan tiba-tiba atau datang kepada mereka azab hari kiamat.

 

وَلا يَزالُ الَّذينَ كَفَروا في مِّريَةٍ مِنهُ

Dan tidak berhenti orang-orang kafir itu berada dalam keragu-raguan terhadap Al Qur’an,

Orang-orang kafir itu sentiasa sahaja ragu-ragu dengan perkara yang tidak perlu diragukan pun. Miryah adalah ragu kepada perkara yang tidak patut diragui. Sebagai contohnya ragu tentang kepanasan matahari. Yang ragu kepadanya memang karut, bukan? Adakah patut ragu tentang matahari sedangkan ia amat jelas?

Dan kebenaran Islam itu memang jelas-jelas nyata kalau kita mempelajarinya. Yang meraguinya memang tidak patut. Kebenaran Islam itu lebih jelas daripada panasnya matahari. Tapi orang yang kafir, mereka akan tetap ragu. Sampai bila?

 

حَتّىٰ تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً

hinggalah datang kepada mereka saat (kematiannya) dengan tiba-tiba

Mereka duduk dalam keraguan sampaikan mereka akhirnya mati dan sudah terlambat untuk berbuat apa-apa lagi.

Keraguan adalah perkara yang biasa sebenarnya. Ramai yang mulanya ragu apabila dibawakan dengan ajaran tauhid yang berlainan dengan fahaman mereka. Tapi keraguan itu perlu dibaiki dengan membuat kajian. Tanya orang atau pun buat pembacaan untuk mencari jawapan. Cari dengan niat untuk mengetahui apakah kebenaran. Akhirnya dengan meneliti dalil dan hujah yang dibawa, keraguan itu boleh hilang.

Tapi orang tetap kafir, mereka akan terus menerus dalam keraguan mereka. Kerana mereka tidak mahu mencari kebenaran. Sampai bila? Mereka akan terus berada dia dalam keadaan ragu-ragu sehinggalah kematian itu datang kepada mereka dengan tiba-tiba. Mereka tidak ada usaha nak memikirkan sama ada ajaran yang dibawa itu benar atau tidak. Akhirnya mereka tetap dalam keraguan sampailah mereka mati.

 

أَو يَأتِيَهُم عَذابُ يَومٍ عَقيمٍ

atau datang kepada mereka azab hari kiamat.

Dan mereka akan terima nasibnya di Hari Kiamat nanti. Kalimah عَقيمٍ bermaksud sesuatu yang tidak ada kebaikan padanya dan tidak akan berhenti atau berkurangan; dan digunakan juga untuk wanita yang mandul kerana mereka tidak dapat mengeluarkan anak; ia juga digunakan untuk tanah yang tidak dapat menumbuhkan apa-apa tanaman.

Oleh itu hari Kiamat dan Hari akhirat adalah hari yang tidak ada kebaikan langsung kepada mereka yang terus berada dalam keraguan dan mati dalam kafir.

Jangan kita sangka ayat ini untuk orang yang bukan Islam sahaja. Kalau seseorang itu namanya sahaja Muslim tapi hatinya engkar kepada wahyu, mereka juga akan mengalami nasib yang sama.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Hajj Ayat 47 – 51 (Ada yang minta azab)

Ayat 47: Ayat Zajrun dan Takhwif Duniawi. Allah tidak terus beri azab kepada mereka yang kufur walaupun mereka minta azab. Bukanlah kerana azab itu tidak ada, tetapi ada hikmah kenapa Allah tangguhkan azab itu untuk mereka.

وَيَستَعجِلونَكَ بِالعَذابِ وَلَن يُخلِفَ اللهُ وَعدَهُ ۚ وَإِنَّ يَومًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلفِ سَنَةٍ مِّمّا تَعُدّونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they urge you to hasten the punishment. But Allāh will never fail in His promise. And indeed, a day with your Lord is like a thousand years of those which you count.

(MELAYU)

Dan mereka meminta kepadamu agar azab itu disegerakan, padahal Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janji-Nya. Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu.

 

وَيَستَعجِلونَكَ بِالعَذابِ

Dan mereka meminta kepadamu agar azab itu disegerakan,

Allah menceritakan bagaimana ada orang kafir yang meminta supaya dipercepatkan azab kepada mereka. Mereka kata kalau benar mereka akan kena azab, maka cepatkan lah! Memang permintaan yang kurang ajar dan bodoh sekali. Sepatutnya minta ditangguhkan azab, tapi mereka minta dipercepatkan pula.

Mereka berani berkata begitu kerana mereka sangka azab itu beberapa hari sahaja padahal Allah hendak memberitahu bahawa masa pada sisi Allah adalah lama, bukan sehari dua tetapi beribu ribu tahun pada perhitungan manusia. Kerana sehari pada Allah adalah seribu tahun dalam kiraan kita.

Pengertian ayat ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ}

Dan (ingatlah) ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata “Ya Allah, jika betul (Al-Qur’an) ini, dialah yang benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih” (Al-Anfal:32)

 

وَلَن يُخلِفَ اللهُ وَعدَهُ

padahal Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janji-Nya. 

Allah tidak pernah memungkiri janjiNya dan kerana itu apabila Allah berjanji untuk memberi azab maka mereka tetap akan dikenakan dengan azab. Cuma belum sampai masanya sahaja.

Maka jangan sangka Allah main-main dalam memberi ancaman. Kalau manusia beri ancaman, ada kemungkinan mereka gertak sahaja dan tak buat pun. Tapi kalau Allah yang berjanji maka memang Allah akan lakukan.

 

وَإِنَّ يَومًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلفِ سَنَةٍ مِّمّا تَعُدّونَ

Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu.

Janganlah pandang ringan azab yang diancam oleh Allah itu. Ianya bukan sekejap-sekejap sahaja tapi amat-amat lama. Dan amat-amat teruk sekali. Memang tak sanggup nak tahan. Jangan bila sudah masuk neraka baru menyesal.

Mujahid mengatakan bahawa makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{يُدَبِّرُ الأمْرَ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الأرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ}

Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu. (As-Sajdah: 5)


 

Ayat 48:

وَكَأَيِّن مِّن قَريَةٍ أَملَيتُ لَها وَهِيَ ظالِمَةٌ ثُمَّ أَخَذتُها وَإِلَيَّ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for how many a city did I prolong enjoyment while it was committing wrong. Then I seized it, and to Me is the [final] destination.

(MELAYU)

Dan berapa banyaknya kota yang Aku tangguhkan (azab-Ku) kepadanya, yang penduduknya berbuat zalim, kemudian Aku azab mereka, dan hanya kepada-Kulah kembalinya (segala sesuatu).

 

وَكَأَيِّن مِّن قَريَةٍ أَملَيتُ لَها وَهِيَ ظالِمَةٌ

Dan berapa banyaknya kota yang Aku tangguhkan (azab-Ku) kepadanya, yang penduduknya berbuat zalim, 

Allah tangguhkan azab kepada mereka walaupun mereka itu telah zalim pada Allah, iaitu dengan melakukan syirik dalam hati dan amalan mereka. Tidaklah Allah terus azab mereka kalau buat syirik dan kalau mereka menentang. Allah beri tangguh kerana beri peluang untuk bertaubat.

 

ثُمَّ أَخَذتُها وَإِلَيَّ المَصيرُ

kemudian Aku azab mereka, dan hanya kepada-Kulah kembalinya (segala sesuatu).

Apabila telah sampai keputusan Allah untuk azab mereka barulah azab itu akan dikenakan. Maka tunggu sahaja kalau kamu berani. Jangan kamu sangka kamu terlepas kerana sekarang kamu tidak kena lagi. Kamu tak kena azab kerana Allah tangguhkan sahaja. Kena tetap kena juga nanti.


 

Ayat 49: Ayat targhib kepada beriman dan beramal soleh.

قُل يا أَيُّهَا النّاسُ إِنَّما أَناْ لَكُم نَذيرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “O people, I am only to you a clear warner.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Hai manusia, sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan yang nyata kepada kamu”.

 

قُل يا أَيُّهَا النّاسُ

Katakanlah: “Hai manusia,

Mesej Qur’an adalah mesej global. Maka kerana itu kadang-kadang Allah akan khitab kepada seluruh manusia.

Tapi orang bukan Islam tidak baca Qur’an, bukan? Bagaimana mereka nak tahu ayat ini? Maka kenalah kita sebagai umat Islam yang belajar Qur’an sampaikan kepada mereka. Kerana itulah memang penting dakwah kepada non-Muslim dijalankan berterusan.

 

إِنَّما أَناْ لَكُم نَذيرٌ مُّبينٌ

sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan yang nyata kepada kamu”.

Allah suruh Nabi Muhammad beritahu yang baginda hanyalah sebagai penyampai berita sahaja dan tidak ada penentuan azab pada baginda kerana azab itu ada pada Allah. Allah yang buat keputusan azab, bukannya Nabi Muhammad. Jadi kalau minta azab kepada baginda pun baginda tidak boleh berikan.

Ayat ini memberi isyarat kepada kita bahawa surah ini banyak berkenaan ancaman dan bukan berita gembira.


 

Ayat 50: Ayat tabshir.

فَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who have believed and done righteous deeds – for them is forgiveness and noble provision.

(MELAYU)

Maka orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia.

 

فَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ

Maka orang-orang yang beriman dan beramal saleh,

Iaitu yang beriman sempurna – tanpa ada fahaman syirik.

Dan mereka buktikan iman mereka itu dengan mengerjakan amal yang soleh – amal yang ada contoh daripada Rasulullah. Iaitu bukan amal bidaah.

 

لَهُم مَّغفِرَةٌ

bagi mereka ampunan

Mereka yang sebegitu akan dapat pengampunan yang besar dari Allah. Kita semua banyak dosa dan mengharapkan sangat ampunan dari Allah. Jadi cara untuk dapat ampunan adalah dengan iman dan amal soleh.

Cara untuk Allah beri pengampunan adalah sama ada Allah campakkan keinginan dalam hati mereka untuk bertaubat dan Allah terima taubat itu; atau Allah terus ampunkan begitu sahaja tanpa mereka minta ampun pun. Ini pun boleh juga.

 

وَرِزقٌ كَريمٌ

dan rezeki yang mulia.

Rezeki yang mulia itu bermaksud cara pemberian rezeki yang baik kerana diberikan kepada mereka dalam keadaan yang mulia. Dan untuk memahaminya, bandingkan jikalau kita memberi makanan kepada haiwan di mana kita akan baling saja makanan itu; atau bayangkan seorang bos yang membayar gaji pekerjanya tetapi dengan cara yang kurang ajar. Dia letak sahaja cek itu dengan muka yang masam. Allah tidak begitu dalam beri rezeki kepada manusia. Dia beri dengan kasih sayang.

Muhammad ibnu Ka’b Al-Qurazi mengatakan, “Bilamana anda mendengar Allah Swt. berfiman: ‘dan rezeki yang mulia. ‘ (Al-Hajj: 50) Maka ertinya itu adalah syurga.”


 

Ayat 51:

وَالَّذينَ سَعَوا في ءآيٰتِنا مُعٰجِزينَ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the ones who strove against Our verses, [seeking] to cause failure¹ – those are the companions of Hellfire.

  • i.e., trying to undermine their credibility and thereby defeat the Prophet ().

(MELAYU)

Dan orang-orang yang berusaha dengan maksud menentang ayat-ayat Kami dengan melemahkan (kemahuan untuk beriman); mereka itu adalah penghuni-penghuni neraka.

 

وَالَّذينَ سَعَوا في ءآيٰتِنا مُعٰجِزينَ

Dan orang-orang yang berusaha dengan maksud menentang ayat-ayat Kami dengan melemahkan

Ini adalah tentang mereka yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan Qur’an. Ada antara manusia yang baca dan kaji Qur’an untuk mencari kesalahan dan kesilapan, dan mereka kononnya telah jumpa kesalahan-kesalahan yang ada di dalam Qur’an itu dan mereka memberitahu kepada orang orang lain.

Mereka cuba melemahkan para nabi yang menyampaikan ayat-ayat Allah atau mereka hendak melemahkan pendakwah-pendakwah yang menyampaikan wahyu kepada manusia.

Mujahid mengatakan, makna yang dimaksudkan ialah menghalang-halangi manusia dari mengikuti Nabi Saw. Hal yang sama telah dikatakan oleh Abdullah ibnuz Zubair, yakni menghalang-halangi. Mereka kaji ayat Qur’an bukannya untuk cari kebenaran tapi nak cari keburukan. Kemudian mereka cerita kepada orang lain.

Kalau zaman sekarang lagi senang nak buat dengan adanya medan internet dan sebagainya. Malangnya mereka tidak ada ilmu dan fahaman mereka cetek. Benda yang mereka sangka salah itu sebenarnya boleh dijawab oleh mereka yang ada ilmu.

Tapi kerana kesalahan mereka itu, mereka telah menyebabkan ramai yang ragu-ragu dengan Qur’an dan agama Islam. Kerana ramai sahaja yang baca dan terus terima. Mereka itu jenis senang sahaja percaya dengan berita-berita bohong. Maka ini satu lagi tugas kita: menjelaskan salah faham di kalangan manusia dan menolak pembohongan orang jahat.

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

mereka itu adalah penghuni-penghuni neraka.

Kerana jahatnya hati dan usaha mereka itu, tempat mereka adalah di neraka dan mereka akan kekal di dalamnya. Bukan sahaja mereka yang masuk neraka, tapi ada orang lain yang masuk neraka juga kerana salah mereka. Kerana ada yang termakan dengan apa yang mereka sampaikan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Hajj Ayat 43 – 46 (Allah beri tangguh)

Ayat 43: Ayat sebelum ini telah disebut contoh golongan yang menentang Rasul mereka dan mereka telah dikenakan dengan azab yang menghancurkan mereka. Disambung Takhwif Dunia dalam ayat ini.

وَقَومُ إِبرٰهيمَ وَقَومُ لوطٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the people of Abraham and the people of Lot

(MELAYU)

dan kaum Ibrahim dan kaum Luth,

 

Diingatkan kembali kisah Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim tidak asing lagi bagi Arab Mekah kerana mereka pun mengaku ikut syariat Nabi Ibrahim. Tapi agaknya mereka lupa bagaimana kaum baginda telah tolak ajakan tauhid baginda. Maka Allah ingatkan mereka dalam Qur’an siapakah sebenarnya Nabi Ibrahim dan apakah pegangan akidah baginda.

Belajarlah apa yang telah dilakukan oleh kaum baginda. Sepatutnya kalau mereka kata mereka ikut Nabi Ibrahim, kenalah ikut fahaman tauhid baginda juga.

Nabi Luth a.s. adalah anak saudara Nabi Ibrahim. Jadi Arab Mekah pun kenal juga baginda. Kaum baginda juga dikenakan dengan azab yang menghancurkan mereka kerana tolak ajaran dan suruhan baginda.

Maka Arab Mekah kenalah ambil pengajaran dari kisah-kisah itu. Janganlah mereka pun nak tolak Rasul mereka juga (Nabi Muhammad). Mereka tak takutkah dikenakan dengan azab seperti umat-umat terdahulu?


 

Ayat 44: Allah sambung dengan kisah umat-umat terdahulu.

وَأَصحٰبُ مَديَنَ ۖ وَكُذِّبَ موسىٰ فَأَملَيتُ لِلكٰفِرينَ ثُمَّ أَخَذتُهُم ۖ فَكَيفَ كانَ نَكيرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the inhabitants of Madyan. And Moses was denied, so I prolonged enjoyment for the disbelievers; then I seized them, and how [terrible] was My reproach.

(MELAYU)

dan penduduk Madyan, dan telah didustakan Musa, lalu Aku tangguhkan (azab-Ku) untuk orang-orang kafir, kemudian Aku azab mereka, maka (lihatlah) bagaimana besarnya kebencian-Ku (kepada mereka itu).

 

وَأَصحٰبُ مَديَنَ

dan penduduk Madyan,

Kaum Madyan juga telah menolak Rasul mereka, Nabi Syuaib a.s.

 

وَكُذِّبَ موسىٰ

dan telah didustakan Musa,

Nabi Musa pun telah ditolak oleh umat baginda. Nabi Musa adalah Nabi yang utama dalam Bani Israil tapi baginda pun ada masalah dengan umat sezaman dengan baginda.

Atau, ia mungkin bermaksud yang Nabi Musa didustakan boleh bangsa Koptic (kaum Firaun) yang tidak menerima baginda sebagai Nabi. Sedangkan Bani Israil terima baginda sebagai Nabi (cuma degil untuk ikut arahan).

Dan waktu ini Nabi Muhammad sudah berinteraksi dengan Bani Israil di Madinah, maka kerana itu sudah disebut nabi-nabi mereka. Antara tujuannya adalah untuk menunjukkan persamaan antara para Nabi itu dengan Nabi Muhammad.

 

فَأَملَيتُ لِلكٰفِرينَ ثُمَّ أَخَذتُهُم

lalu Aku tangguhkan (azab-Ku) untuk orang-orang kafir, kemudian Aku azab mereka,

Ini adalah sesuatu yang menakutkan dimana Allah memberitahu yang Dia membenarkan orang-orang kafir itu untuk berbuat apa sahaja kesalahan yang mereka lakukan dan kemudian semuanya itu akan direkod dan dikenakan azab kepada mereka. Allah tidak terus azab mereka tapi beri tangguh kepada mereka.

Kalimah فَأَملَيتُ bermaksud Allah ‘memanjangkan tali’  seperti tuan anjing yang memanjangkan tali anjingnya sampaikan anjing itu tidak perasan yang dia ada tali kerana ia boleh bergerak agak jauh. Dia sudah rasa bebas tanpa kekangan. Maka kerana itu dia akan berlari jauh kerana dia sangka dia bebas dan akhirnya apabila sudah tegang tali itu, ia akan menjerut lehernya sendiri. Maka tentu kesakitan itu lebih tinggi lagi kerana dia tidak sangka ada tali dan kerana dia telah berlari jauh dan laju. Jerutan tali itu tentu amat kuat sekali.

Maka begitu juga dengan pelaku dosa yang dibiarkan sahaja oleh Allah untuk buat apa yang dia hendak, dan tiba-tiba mereka akan dikenakan dengan azab dan waktu itu mereka amat terkejut sekali. Kerana mereka tak sangka mereka boleh kena begitu. Mereka sangka mereka bebas tapi sebenarnya tidak kerana manusia tertakluk dengan syariat.

Ia juga bermaksud Allah tidak terus azab golongan musyrik itu selepas mereka mendustakan rasul-rasul mereka tetapi Allah beri tangguh kepada mereka. Kerana Allah beri kesempatan kepada mereka. Setelah sekian lama barulah Allah beri azab kepada mereka setelah mereka tetap juga dengan pendustaan mereka itu.

Allah amat penyabar. Bayangkan, ulama mengatakan dari saat Firaun mengatakan dia itu tuhan, Allah hanya matikan dia selepas 40 tahun. Ianya adalah masa yang amat lama.

Maka janganlah Musyrikin Mekah sangka yang mereka selamat kerana selama ini walaupun mereka buat syirik, tapi tidak kena apa-apa pun. Allah melihat sahaja buat masa itu. Jangan mereka salah sangka dengan mengatakan yang apa yang mereka lakukan itu tidak ada masalah. Kerana ada yang hujah begini: “aku buat benda-benda yang dikatakan salah dan syirik itu tapi tidak kena apa-apa pun… kalau ia salah tentu Allah tak benarkan, tentu Allah beri tanda… tapi tidak ada pun.”

 

فَكَيفَ كانَ نَكيرِ

maka (lihatlah) bagaimana besarnya kebencian-Ku

Kalimah نَكيرِ dari ن ك ر yang bermaksud benci, tidak disukai. Kalimah ini digunakan dalam ayat ini merujuk kepada balasan azab yang Allah akan kenakan kepada mereka.

Digunakan kalimah نَكيرِ untuk memberitahu kepada kita bahawa azab itu memang tidak disukai dan tidak dapat diterima dan ditahan oleh orang-orang yang dikenakan dengannya iaitu mereka tidak ikut ajaran Rasul mereka. Maknanya azab itu bukan azab kecil-kecilan.


 

Ayat 45:

فَكَأَيِّن مِّن قَريَةٍ أَهلَكنٰها وَهِيَ ظالِمَةٌ فَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها وَبِئرٍ مُّعَطَّلَةٍ وَقَصرٍ مَّشيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a city did We destroy while it was committing wrong – so it is [now] fallen into ruin¹ – and [how many] an abandoned well and [how many] a lofty palace.²

  • Literally, “fallen in upon its roofs,” i.e., after the roofs of its buildings had caved in, the walls collapsed over them.
  • i.e., How many wells have been left inoperative, and how many palaces have been emptied of their occupants in the past.

(MELAYU)

Berapa banyaknya kota yang Kami telah membinasakannya, yang penduduknya dalam keadaan zalim, maka (tembok-tembok) kota itu roboh menutupi atap-atapnya dan (berapa banyak pula) sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi,

 

فَكَأَيِّن مِّن قَريَةٍ أَهلَكنٰها وَهِيَ ظالِمَةٌ

Berapa banyaknya kota yang Kami telah membinasakannya, yang penduduknya dalam keadaan zalim,

Bukan ‘kota’ yang dimaksudkan tapi penduduk kota itu. Banyak telah disebut kaum yang dimusnahkan kerana kedegilan dan kurang ajar mereka. Dan tentunya lagi banyak kaum-kaum yang tidak disebut dalam Qur’an. Itulah balasan yang Allah boleh kenakan kepada Musyrikin Mekah.

 

فَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها

maka (tembok-tembok) kota itu roboh menutupi atap-atapnya

Maksud literal ayat ini adalah: dinding jatuh ke atas bumbung. Ini kerana apabila sesuatu kaum itu telah dimatikan lama sangat sampaikan tidak ada orang yang menjaga rumah-rumah lagi. Sampaikan yang mula jatuh adalah bumbung (kerana bumbung tidak kuat) dan lama kelamaan dinding pun jatuh juga di atas bumbung itu.

Arab Mekah membanggakan Mekah tapi Allah nak ingatkan yang tempat tinggal macam mana kuat dan hebat pun Allah boleh musnahkan.

 

وَبِئرٍ مُّعَطَّلَةٍ

dan telaga yang telah ditinggalkan

Dan berapa banyak telaga yang telah dibiarkan yang dulunya semasa ada penduduk, ia digunakan sebagai sumber air tetapi setelah dihancurkan umat itu maka telaga itu terbiar sahaja.

Allah suruh bayangkan kerana pada zaman itu, kalau ada telaga mereka memang akan jaga sungguh sebab ada kepentingan air. Tapi kalau Allah sudah musnahkan penduduknya maka telaga pun sudah tidak ada orang yang kisah lagi. Mereka nak jadi macam itukah? Mereka nak hilang begitu sahaja kah?

 

وَقَصرٍ مَّشيدٍ

dan istana yang tinggi,

Rumah, mahligai atau istana kaum dahulu yang hebat pun telah ditinggalkan atau hancur kerana  sudah tidak ada lagi yang tinggal dan menjaganya. Yang tinggal hanyalah bangunan sahaja.

Kalau ada istana maknanya itu kaum yang hebat. Malah lebih hebat dari Arab Mekah itu kerana rumah mereka tanah liat sahaja. Allah nak beritahu, kaum yang lebih hebat dari mereka pun Allah boleh hancurkan begitu sahaja. Kerana kalau mereka duduk dalam benteng dan istana atau kubu yang kukuh pun, azab Allah tetap tidak dapat dihalang. Ini disebut dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكُكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ}

Di mana saja kalian berada, kematian akan mendapatkan kalian, walaupun kalian di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (An-Nisa: 78)


 

Ayat 46:

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَتَكونَ لَهُم قُلوبٌ يَعقِلونَ بِها أَو آذانٌ يَسمَعونَ بِها ۖ فَإِنَّها لا تَعمَى الأَبصٰرُ وَلٰكِن تَعمَى القُلوبُ الَّتي فِي الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So have they not traveled through the earth and have hearts by which to reason and ears by which to hear? For indeed, it is not eyes that are blinded, but blinded are the hearts which are within the breasts.

(MELAYU)

maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.

 

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ

maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi,

Tidakkah mereka berjalan di muka bumi ini dan melihat alam ini dengan mata hati? Lihatlah kepada peninggalan kaum-kaum yang telah dihancurkan itu. Ada yang dekat sahaja dengan mereka dan mereka boleh tengok sendiri dengan mata mereka sendiri.

 

فَتَكونَ لَهُم قُلوبٌ يَعقِلونَ بِها

lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami 

Berjalanlah dan lihatlah peninggalan itu dan cubalah guna akal yang Allah telah berikan untuk ambil pengajaran. Gunakan mata hati untuk menyelami maksud yang tersirat. Jangan tengok dengan mata kepala sahaja.

 

أَو آذانٌ يَسمَعونَ بِها

atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? 

Gunalah telinga dan pendengaran mereka untuk ambil pengajaran. Dengar dulu apa yang hendak disampaikan oleh Rasul dan pendakwah tauhid kepada mereka. Dengarlah dulu, jangan terus tolak.

 

فَإِنَّها لا تَعمَى الأَبصٰرُ

Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta,

Mata manusia yang celik memang boleh melihat. Tapi yang penting itu bukan penglihatan mata fizikal tapi mata hati. Kalau mata fizikal buta tapi mata hati hidup, itu lebih baik.

 

وَلٰكِن تَعمَى القُلوبُ الَّتي فِي الصُّدورِ

tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.

Tapi kalau mata hati yang buta, memang malang. Mereka mungkin berjalan dan melihat kawasan-kawasan yang telah dihancurkan itu tetapi mereka tidak mengambil pengajaran dari penduduk penduduk itu. Ini adalah kerana mata hati mereka telah tertutup.

Maka kenalah ambil pengajaran dari apa yang Allah telah lakukan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Hajj Ayat 39 -42 (Kebenaran untuk berperang)

Ayat 39: Dari ayat ini hingga ke ayat 41 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia memberitahu tujuan jihad dan penubuhan Negara Islam.

Inilah ayat yang penting dalam surah ini – ia mengandungi kebenaran untuk berperang dengan Musyrikin Mekah. Ini isyarat kepada umat Islam untuk membuat persiapan membina kekuatan. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya.

أُذِنَ لِلَّذينَ يُقٰتَلونَ بِأَنَّهُم ظُلِموا ۚ وَإِنَّ اللهَ عَلىٰ نَصرِهِم لَقَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Permission [to fight] has been given to those who are being fought,¹ because they were wronged. And indeed, Allāh is competent to give them victory.

  • Referring here to the Prophet’s companions.

(MELAYU)

Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu,

 

أُذِنَ لِلَّذينَ يُقٰتَلونَ بِأَنَّهُم ظُلِموا

Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya.

Inilah ayat yang memberi kebenaran kepada Muhajirin Mekah untuk berperang dengan Musyrikin Mekah yang telah menghalau mereka keluar dari Mekah dan telah menindas orang-orang Muslim sewaktu mereka di Mekah dulu. Ayat ini diturunkan semasa umat Islam meninggalkan Mekah yang dicintai.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yahya ibnu Daud Al-Wasiti, telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Yusuf, dari Sufyan, dari Al-A’masy, dari Muslim Al-Batin, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa ketika Nabi Saw. keluar dari Mekah.

Kalimat izin yang digunakan di dalam ayat ini amat penting kerana sebelum itu, walaupun para sahabat telah meminta-minta untuk berperang dengan Musyrikin Mekah, tetapi tidak dibenarkan oleh Allah sehingga apabila diturunkan ayat ini di mana Allah memberi keizinan kepada mereka. Jadi ini adalah ayat penting sebagai titik tolak peperangan dalam Islam.

Salah satu penyebab kejayaan di Mekah dalam berdakwah adalah kerana para sahabat tidak menggunakan kekerasan dalam berdakwah. Waktu itu walaupun para sahabat telah dikasari dan dikenakan dengan berbagai seksaan dan penindasan. tetapi mereka tidak dibenarkan untuk membalas langsung.

Sedangkan apabila di Madinah nanti akan ada ayat yang memberitahu bahawa boleh mempertahankan diri. Ini kerana keadaan di Mekah dan Madinah tidak sama. Semasa di Mekah, umat Islam lemah dan kalau mereka bertindak dengan membalas kekasaran dengan kekasaran, boleh menyebabkan keadaan lebih buruk lagi.

Kerana itulah setelah penduduk Yasrib (Madinah) berbaiat kepada Rasulullah Saw. di malam ‘Aqabah, yang ketika itu jumlah mereka ada lapan puluh orang lebih, mereka berkata, “Wahai Rasulullah, bolehkah kami menyerang penduduk lembah ini?” Mereka bermaksud orang-orang yang ada di Mina di malam-malam Mina. Maka Rasulullah Saw. bersabda, “Sesungguhnya aku belum diperintahkan untuk melakukannya.”

Ini adalah kerana dalam berdakwah, kesabaran mesti tinggi. Kerana kalau mereka balas serang, maka akan ada hujah di kalangan penentang Islam yang mengatakan: “Lihatlah pengikut-pengikut Muhammad ini, memang melakukan kekecohan dan porak peranda. Mari kita serang dan musnahkan mereka semuanya!”.

Dan memang puak penentang menunggu sahaja peluang itu terjadi supaya mereka boleh musnahkan semua sekali orang mukmin waktu itu. Maka kalau itu terjadi, maka tentulah buruk.

Dalam ayat ini, Allah Taala memberi keizinan kepada orang mukmin untuk berperang dengan orang kafir kerana orang mukmin yang mula-mula sekali dizalimi. Kerana itulah kalau kita kaji apa yang terjadi dalam sejarah dan dalam mana-mana zaman, kita akan melihat bagaimana peperangan yang terjadi dari dulu sampai sekarang adalah kerana dimulai oleh orang-orang kafir. Mereka yang menindas orang lain dan berlaku zalim dan mereka lah yang menyebabkan kekecohan dalam dunia ini.

Begitu juga sekarang ini apabila ada orang Islam yang buat benda bodoh seperti bom orang awam, serang sana sini, tangkap pelancong dan sebagainya, sampai menjadikan orang bukan Islam salah sangka yang agama Islam adalah agama yang keras dan teroris. Memang pelik sungguh akal mereka – mereka nak orang lain masuk agama Islam tapi mereka tunjukkan perangai yang buruk. Macam mana kepala otak mereka boleh sangka yang perbuatan mereka itu akan menyebabkan orang masuk Islam?

Jadi semasa di Mekah, umat Islam tidak dibenarkan untuk serang balas keganasan ke atas mereka. Dan apabila Nabi Muhammad dan para sahabat tidak membalas keganasan yang telah dikenakan kepada mereka, maka ianya telah memberi satu pandangan yang baik dari orang luar yang melihat bagaimana umat Islam itu sebenarnya tidak bersalah tetapi mereka telah ditindas dan kerana itu hati-hati mereka yang belum beragama Islam telah terbuka kepada Islam.

Mereka terpanggil untuk melihat apakah benda penting sangat yang dipertahankan oleh orang-orang Islam itu sampai mereka sanggup diseksa? Mereka dizalimi tetapi mereka sanggup mempertahankannya? Maka mereka yang duduk di atas pagar akan cari apakah maksud islam itu dan apabila mereka melihat mesej Islam itu, ramai dari mereka yang masuk Islam. Inilah cara nak ajak orang luar kepada agama Islam, bukannya dengan bom orang!

 

وَإِنَّ اللهَ عَلىٰ نَصرِهِم لَقَديرٌ

Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu,

Dan Allah berjanji untuk memberi pertolongan kepada umat Islam dan Allah memberitahu yang Dia mampu untuk memberi pertolongan dan kemenangan walaupun orang-orang Mekah itu lebih kuat daripada golongan Muhajirin dan Ansar yang berada di Madinah.

Maka jangan kamu rasa lelah dan lemah untuk berperang dengan Musyrikin Mekah itu. Bergantung kepada Allah sahaja sudah cukup untuk memberi kemenangan kepada mereka.

Pasti umat Islam akan menang kalau ikut syarat-syarat yang telah digariskan dalam agama. Kerana kalau tak ikut syarat pun Allah takkan tolong. Maka kena belajarlah syarat-syarat itu sebagaimana yang telah diajar dalam Surah Tawbah dan Surah Baqarah.

Allah boleh sahaja beri kemenangan kepada umat Islam tanpa melalui peperangan. Tapi Allah hendak menguji mereka dan memberi kematian syahid kepada mereka. Ini seperti yang disebut dalam ayat yang lain:

{فَإِذا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَضَرْبَ الرِّقَابِ حَتَّى إِذَا أَثْخَنْتُمُوهُمْ فَشُدُّوا الْوَثَاقَ فَإِمَّا مَنًّا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَاءً حَتَّى تَضَعَ الْحَرْبُ أَوْزَارَهَا ذَلِكَ وَلَوْ يَشَاءُ اللَّهُ لانْتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَكِنْ لِيَبْلُوَ بَعْضَكُمْ بِبَعْضٍ وَالَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَلَنْ يُضِلَّ أَعْمَالَهُمْ. سَيَهْدِيهِمْ وَيُصْلِحُ بَالَهُمْ وَيُدْخِلُهُمُ الْجَنَّةَ عَرَّفَهَا لَهُمْ}

Apabila kalian bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang), Maka pancunglah batang leher mereka. Sehingga apabila kalian telah mengalahkan mereka, maka tawanlah mereka dan sesudah itu kalian boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berhenti. Demikianlah, apabila Allah menghendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka, tetapi Allah hendak menguji sebahagian kalian dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang gugur pada jalan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan amal mereka. Allah akan memberi pimpinan kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenal-kan-Nya kepada mereka. (Muhammad: 4-6)

Dan Allah hendak beri kelebihan kepada umat Islam yang mereka sendiri akan balas kezaliman yang telah dikenakan kepada mereka. Kerana kaum sebelum itu, musuh mereka dihancurkan dengan azab, tanpa melibatkan campur tangan umat Islam. Bila dapat balas dengan tangan sendiri, itu lebih memuaskan. Ini disebut dalam ayat yang lain:

{قَاتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ اللَّهُ بِأَيْدِيكُمْ وَيُخْزِهِمْ وَيَنْصُرْكُمْ عَلَيْهِمْ وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ. وَيُذْهِبْ غَيْظَ قُلُوبِهِمْ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ}

Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan-tangan kalian dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kalian terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman, dan meng­hilangkan panas hati orang-orang mukmin. Dan Allah menerima taubat orang yang dikehendaki-Nya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha bijaksana. (At-Taubah: 14-15)

Dan seperti yang diberitahu, ini juga adalah ujian kepada umat Islam untuk membuktikan keimanan mereka.

{أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تُتْرَكُوا وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَلَمْ يَتَّخِذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلا رَسُولِهِ وَلا الْمُؤْمِنِينَ وَلِيجَةً وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ}

Apakah kalian mengira bahawa kalian akan dibiarkan (begitu saja), sedangkan Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kalian dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan. (At-Taubah: 16)


 

Ayat 40: Allah memberitahu bentuk kezaliman yang telah dikenakan kepada umat Islam semasa di Mekah.

الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيٰرِهِم بِغَيرِ حَقٍّ إِلّا أَن يَقولوا رَبُّنَا اللهُ ۗ وَلَولا دَفعُ اللهِ النّاسَ بَعضَهُم بِبَعضٍ لَّهُدِّمَت صَوٰمِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوٰتٌ وَمَسٰجِدُ يُذكَرُ فيهَا اسمُ اللهِ كَثيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ اللهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللهَ لَقَوِيٌّ عَزيزٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They are] those who have been evicted from their homes without right – only because they say, “Our Lord is Allāh.” And were it not that Allāh checks the people, some by means of others, there would have been demolished monasteries, churches, synagogues, and mosques in which the name of Allāh is much mentioned [i.e., praised]. And Allāh will surely support those who support Him [i.e., His cause]. Indeed, Allāh is Powerful and Exalted in Might.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: “Tuhan kami hanyalah Allah”. Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa,

 

الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيٰرِهِم بِغَيرِ حَقٍّ

(iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar,

Salah satu kezaliman yang dikenakan kepada orang-orang Islam di Mekah adalah mereka dihalau dari kampung halaman mereka. Dan dihalau itu pula tanpa alasan yang benar – kalau sebab mereka buat salah, memang patutlah, tapi ini tidak berlaku.

Ini bukan sahaja terjadi kepada Muslim Mekah tapi zaman berzaman. Yang jelas sekarang kita boleh lihat bagaimana umat Islam Palestin telah dihalau oleh puak Israel. Dan kalau dulu, memang sudah ada yang diganggu kerana iman mereka kepada Allah – kerana ada manusia zalim yang tidak akan puas hati dengan manusia yang mengamalkan islam dengan benar.

 

إِلّا أَن يَقولوا رَبُّنَا اللهُ

kecuali kerana mereka berkata: “Tuhan kami hanyalah Allah”.

Apakah kesalahan umat Islam yang dihalau itu? Ianya hanya kerana mereka mengatakan yang Tuhan mereka adalah Allah. Ini disebut dalam firman Allah Swt. dalam kisah ashabul ukhdud, yaitu:

{وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلا أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ}

Dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. (Al-Buruj: 8)

Oleh kerana itu, sebenarnya orang Islam dihalau kerana mereka menegakkan tauhid kerana mereka kata Hanya Allah sahaja yang boleh disembah dan diseru dalam doa. Marah dan benci orang kafir apabila umat Islam beraqidah begitu. Kerana mereka ada fahaman yang kalau nak doa, kena ada wasilah (perantara). Maka kalau umat Islam pun nak amal tawasul, maka mereka ada fahaman orang kafir sebenarnya.

 

وَلَولا دَفعُ اللهِ النّاسَ بَعضَهُم بِبَعضٍ

Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain,

Akan ada sahaja manusia yang zalim dan kepala otak tidak betul macam golongan ISIS, IS dan yang sewaktu dengannya. Orang kafir pun lagi teruk. Kalau mereka dapat kuasa di dunia, berkemungkinan besar mereka akan melakukan keganasan di muka bumi kerana itulah sifat manusia.

Jangan kata orang kafir, kalau orang Islam yang jauh dari wahyu pun begitu juga. Kerana dalam sejarah Islam pun ada kisah bagaimana kerajaan Islam pun ada tindas manusia juga. Kebodohan tidak kenal sesiapa. Kalau umat islam pun tidak terlepas dari sifat bodoh.

Tapi kalau mereka salah guna kuasa, tidaklah mereka berkekalan. Kerana Allah jatuhkan mereka menggunakan golongan yang lain. Kerana kalau mereka terus dibiarkan maka akan rosaklah dunia. Jadi dalam mereka sangka mereka kuat, akan ada golongan lain yang akan lebih kuat dari mereka yang akan menjatuhkan mereka.

 

لَّهُدِّمَت صَوٰمِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوٰتٌ وَمَسٰجِدُ يُذكَرُ فيهَا اسمُ اللهِ كَثيرًا

tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah.

Allah menggunakan sebahagian daripada orang Islam untuk menghalang orang-orang kafir dan jikalau Allah tidak buat begitu maka akan hancurlah semua rumah ibadat dan tempat belajar agama. Kerana Allah nak mempertahankan agamaNya. Maka puak yang zalim akan dihancurkan. Keharmonian akan distabilkan semula.

Kalaimah صَوٰمِعُ adalah tempat-tempat ibadat yang kecil yang dipakai oleh para rahib. Demikianlah menurut Ibnu Abbas, Mujahid, Abul Aliyah, Ikrimah Ad-Dahhak, dan lain-lainnya.

Kalimah بِيَعٌ pula adalah tempat peribadatan yang jauh lebih besar daripada yang pertama dan memuat lebih banyak orang di dalamnya; milik orang-orang Nasrani juga, sama dengan yang pertama. Demikianlah menurut pendapat Abul Aliyah, Qatadah, Ad-Dahhak, Ibnu Sakhr, Muqatil ibnu Hayyan, dan Khasif serta lain-lainnya.

Kalimah صَلَوٰتٌ dalam ayat ini adalah synagoue iaitu rumah ibadat Yahudi. Dalam Islam kemudiannya digunakan kalimah صَلَوٰتٌ juga kerana ia menunjukkan tempat di mana solat dijalankan.

Itu semua adalah tempat melakukan ibadat kepada Allah dan dulunya, memang disebut nama Allah sebelum nama Allah diselewengkan oleh mereka. Dari segi susunan, dimulai dengan tempat ibadat yang paling kecil sampailah kepada masjid, iaitu yang paling banyak disebut nama Allah.

 

وَلَيَنصُرَنَّ اللهُ مَن يَنصُرُهُ

Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya.

Allah beritahu dalam ayat ini yang Allah pasti dan pasti (ada penekanan kerana kalimah لَيَنصُرَنَّ adalah dalam bentuk mubalaghah) akan membantu sesiapa sahaja yang membantunya.

Tetapi Allah tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun maka ayat ini bermaksud Allah akan membantu sesiapa sahaja yang membantu  Nabi Muhammad dan agama Allah. Maknanya, sesiapa yang membantu rasul mereka di dalam menegakkan agama Allah, maka mereka itu dikira sebagai membantu Allah.

Jadi kalau sekarang ini kita melihat Allah tidak membantu kita di dalam menentang musuh-musuh kita, maka kita perlu bertanya kepada diri kita: adakah kita sebenarnya membantu agama Allah? Kerana jikalau kita benar-benar membantu agama Allah, Allah telah berjanji yang Dia pasti akan memberi bantuanNya. Takut kita sahaja perasan kita bantu agama Islam tapi entah-entah tidak.

 

إِنَّ اللهَ لَقَوِيٌّ عَزيزٌ

Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa,

Allah boleh bantu dan memenangkan sesiapa sahaja kerana Allah Maha Gagah dan boleh mengalahkan sesiapa sahaja. Maka kalau Allah nak bantu, adakah sesiapa yang boleh halang Allah? Tentu tidak. Maka kenalah berharap kepada Allah.

Berdoalah kepada Allah supaya bantu kita. Dan mintalah Allah perbetulkan diri kita. Kerana mungkin kita ada buat salah dan kita tidak tahu. Maka minta Allah tunjukkan apakah kesalahan kita supaya kita boleh baiki keadaan diri kita. Jangan perasan yang diri itu benar sahaja.

Kadang-kadang di dalam Qur’an apabila Allah memberitahu yang Dia menguji ataupun Allah beritahu Dia marah kepada sesuatu pihak, Allah tidak menggunakan ayat yang penuh tetapi Allah menggunakan ayat yang tergantung untuk kita isikan sendiri.

Ini sebagaimana kalau guru-guru di sekolah yang marah kepada anak muridnya dia akan berkata: “tahu tak apa akan jadi kepada mereka yang tidak buat kerja rumah?” Dan kemudian guru itu senyap sahaja. Tentu anak murid akan takut kerana mereka akan bayangkan macam-macam hukuman. Sengaja sahaja guru itu tak cakap apakah hukuman yang akan dikenakan supaya pelajar fikir sendiri.

Begitu juga kita sebagai pendengar dan juga pembaca Qur’an ini sepatutnya ada sedikit intelek untuk mengisi tempat kosong itu seperti mana kita faham yang guru itu memberi ancaman dan amaran kepada sesiapa yang tidak buat kerja rumah.

Maka Allah tidak beritahu apakah balasan kepada mereka yang zalim. Yang pasti ianya tentu amat teruk sekali.


 

Ayat 41: Allah Taala hanya memberi bantuan kepada orang yang ada sifat-sifat keimanan dan bukanlah hanya kerana nama mereka Muslim. Ini adalah Ayat Tabshir.

الَّذينَ إِن مَّكَّنّٰهُم فِي الأَرضِ أَقامُوا الصَّلوٰةَ وَآتَوُا الزَّكوٰةَ وَأَمَروا بِالمَعروفِ وَنَهَوا عَنِ المُنكَرِ ۗ وَِلِلهِ عٰقِبَةُ الأُمورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And they are] those who, if We give them authority in the land, establish prayer and give zakāh and enjoin what is right and forbid what is wrong. And to Allāh belongs the outcome of [all] matters.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.

 

الَّذينَ إِن مَّكَّنّٰهُم فِي الأَرضِ

(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi

Dalam ayat sebelum ini, Allah kata Dia akan bantu umat Islam. Tapi siapakah yang akan dibantu itu? Allah beritahu sifat-sifat mereka.

Mereka itu apabila diberikan kemenangan akan menegakkan agama.

 

أَقامُوا الصَّلوٰةَ وَآتَوُا الزَّكوٰةَ

nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, 

Allah memberitahu dalam ayat ini bahawa golongan yang baik itu jikalau mereka diberi kekuasaan di dalam dunia mereka akan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Maknanya mereka itu melakukan ibadat kepada Allah. Disebut dua ibadah itu kerana mewakili ibadah-ibadah lain.

Kemudian Allah senyap dan tidak memberitahu apakah balasan untuk mereka. Maka ini menunjukkan yang balasan yang akan diberikan kepada mereka dalam bentuk nikmat amat hebat sekali sampaikan tidak dapat dibayangkan, tak dapat nak diceritakan kerana akal kita tidak akan faham.

Yang pertama sekali Allah sebut adalah mendirikan solat. Maka ini mengajar kita bahawa masjid-masjid perlu menjalankan solat berjemaah. Maka kita kena budayakan solat berjemaah di masjid iaitu kepada orang-orang lelaki. Jangan asyik solat di rumah dan pejabat sahaja. Orang sunnah kena solat di masjid. Walaupun mungkin imam itu bukan sunnah, tapi kita tetap kena pergi juga solat berjemaah.

Dan kemudian disebut tentang zakat iaitu mengajar kita yang institusi zakat perlu dikemaskan supaya dapat memudahkan orang membayar dan memudahkan pemberian zakat kepada orang yang memerlukan. Alhamdulillah negara kita sudah ada institusi ini.

Cuma pembaikan perlu dilakukan. Kita pasti yang pihak yang berkenaan telah dan sedang melakukan yang terbaik dari pihak mereka. Memang ada suara yang menegur, tapi dalam masa yang sama, kenalah kita sokong. Maka kenalah kita bayar zakat kita kepada Pusat Pungutan Zakat.

Kita juga kena ada sistem untuk memberitahu kepada umat Islam bagaimana cara mengira zakat dengan mudah dan bagaimana cara untuk mengeluarkan zakat. Kerana ramai yang tidak tahu tentang kewajipan zakat. Mereka yang berniaga dan ada harta pun tidak mengeluarkan zakat harta kerana mereka sangka yang bila mereka sudah bayar zakat fitrah (lebih kurang RM 7 seorang, mereka sudah dikira bayar zakat). Ini adalah kejahilan tahap tinggi!

Maka kena sampaikan maklumat kepada umat dan kena mudahkan mereka untuk menyumbang. Boleh gunakan kemajuan teknologi yang ada untuk tujuan ini. Alhamdulillah sekarang ada usaha ke arah itu kerana alat telekomunikasi amat mudah sekarang. Ramai yang boleh buat app yang hebat-hebat.

 

وَأَمَروا بِالمَعروفِ وَنَهَوا عَنِ المُنكَرِ

menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar;

Satu lagi sifat mereka adalah mengajak kepada kebaikan dan menghalang keburukan. Mereka menjalankan tugas dakwah. Mereka prihatin kepada apa yang dilakukan oleh masyarakat. Mereka akan menyampaikan ajaran agama kepada manusia. Pembelajaran agama dipentingkan.

Dan mereka akan menegur kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Maknanya tidaklah mereka lihat sahaja. Macam zaman sekarang, banyak kesalahan yang dilakukan manusia dan ramai yang lihat sahaja. Ini kerana kita takut kalau kita tegur, kita pula yang kena marah. Seolah-olah kena biarkan sahaja apa manusia nak buat, tak boleh tegur.

Tak bolehlah begitu. Kalau kesalahan yang berlaku, kenalah tegur. Manusia kalau tidak ditegur, memang akan semakin jauh dengan agama. Kerana syaitan buat kerja mereka untuk menyesatkan manusia, takkan kita tak buat kerja kita menegur manusia? Kita tegur sahaja, janganlah marah.

Dan itulah yang telah dilakukan oleh para sahabat yang kita perlu contohi mereka.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Abur Rabi’ Az-Zahrani, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Zaid, dari Ayyub dan Hisyam, dari Muhammad yang mengatakan bahawa Usman ibnu Affan pernah mengatakan, “Ayat ini diturunkan berkenaan dengan kami (para sahabat), iaitu firman-Nya: ‘(yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan salat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah dari perbuatan yang mungkar’ (Al-Hajj: 41) Kami telah diusir dari rumah kami tanpa alasan yang benar, melainkan hanya kerana kami beriman bahawa Allah adalah Tuhan kami. Kemudian Dia meneguhkan kedudukan kami di suatu negeri, maka kami mendirikan salat, menunaikan zakat, dan memerintahkan berbuat kebajikan serta mencegah dari perbuatan mungkar, dan kepada Allah-lah dikembalikan semua urusan. Ayat ini diturunkan berkenaan dengan aku dan sahabat-sahabatku.

 

وَِلِلهِ عٰقِبَةُ الأُمورِ

dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.

Segala kebaikan adalah milik Allah. Allah akan balas kebaikan kepada mereka yang layak mendapatnya.


 

Ayat 42: Dari ayat ini sehingga ayat 62 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengandungi ancaman kebinasaan. Allah menyebut lagi kaum dan kota-kota yang telah binasa zaman sebelumnya. Kaum yang menentang Nabi akan diazab dan menjadi penghuni neraka.

Allah juga menjamin orang Islam yang beriman yang berhijrah atau yang telah terkorban akan diberi balasan syurga.

Ayat ini adalah takhwif duniawi dan tasliah.

وَإِن يُكَذِّبوكَ فَقَد كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَعادٌ وَثَمودُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they deny you, [O Muḥammad] – so, before them, did the people of Noah and ‘Aad and Thamūd deny [their prophets],

(MELAYU)

Dan jika mereka (orang-orang musyrik) mendustakan kamu, maka sesungguhnya telah mendustakan juga sebelum mereka kaum Nuh, ‘Aad dan Tsamud,

 

وَإِن يُكَذِّبوكَ

Dan jika mereka (orang-orang musyrik) mendustakan kamu,

Kalau Musyrikin Mekah itu mendustakan Nabi Muhammad, Allah nak beritahu yang  itu adalah perkara biasa sahaja

 

فَقَد كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَعادٌ وَثَمودُ

maka sesungguhnya telah mendustakan juga sebelum mereka kaum Nuh, ‘Aad dan Tsamud,

Ianya perkara biasa kerana sebelum Nabi Muhammad itu ditolak, nabi-nabi yang lain pun juga telah didustakan. Memang begitulah manusia zaman berzaman. Ada yang akan beriman tapi yang lebih ramai akan menolak.

Allah beri contoh kaum Nabi Nuh, Aad dan Tsamud. Kaum Nabi Nuh semua sudah tahu kisah mereka termasuklah Musyrikin Mekah itu. Dan Kaum Aad dan Tsamud disebut kerana Arab Mekah itu dekat sahaja dengan mereka dan selalu melalui kawasan peninggalan mereka semasa dalam musafir mereka. Mereka tahu itu adalah tempat orang yang kena azab dunia kerana menentang Rasul mereka.

Maka janganlah bersedih sangat kalau dakwah kita pun kena tolak juga. Kalau para Nabi pun ditolak juga, apatah lagi kalau dakwah dari kita? Para Nabi yang hebat dan pandai berdakwah itu pun kena tolak, apakah pula yang baru berjinak nak berdakwah?

Manusia yang degil, tetap akan menolak. Tapi ingatlah yang bukanlah salah kita dalam berdakwah sahaja, tapi kerana memang mereka degil akan menolak. Maka janganlah salahkan diri kita kalau itu berlaku.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain