Tafsir Surah al-Maidah Ayat 3 – 4 (Senarai perkara yang haram dimakan)

Maidah Ayat 3: Kita lihat lagi ayat-ayat hukum dalam Surah Maidah ini.

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلٰمِ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلٰمَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Prohibited to you are dead animals, blood, the flesh of swine, and that which has been dedicated to other than Allāh, and [those animals] killed by strangling or by a violent blow or by a head-long fall or by the goring of horns, and those from which a wild animal has eaten, except what you [are able to] slaughter [before its death], and those which are sacrificed on stone altars, and [prohibited is] that you seek decision through divining arrows. That is grave disobedience. This day those who disbelieve have despaired of [defeating] your religion; so fear them not, but fear Me. This day I have perfected for you your religion and completed My favor upon you and have approved for you Islām as religion. But whoever is forced by severe hunger with no inclination to sin – then indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

MALAY

Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ

Diharamkan bagimu (memakan) bangkai,

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang makanan yang halal yang tidak boleh diharamkan. Dalam ayat ini pula adalah perkara-perkara haram yang tidak boleh dihalalkan. Kalau buat juga, itu juga termasuk dalam perkara syirik amali. Sekarang kita belajar makanan-makanan yang haram dimakan.

Yang pertama disebut adalah bangkai iaitu binatang yang mati sendiri tanpa melalui proses penyembelihan atau proses pemburuan (kerana kalau diburu, ada kemungkinan kita tidak sempat sembelih dan binatang itu sudah mati apabila kita sampai kepadanya, atau dibawa kepada kita oleh binatang buruan kita).

Semua bangkai binatang adalah haram dimakan kecuali dua sahaja: iaitu bangkai belalang dan ikan. Ini kerana ada hadith yang menyentuh berkenaan perkara ini:

Daripada Ibn ‘Umar رضي الله عنهما, Rasulullah ﷺ bersabda:

أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ الْحُوتُ وَالْجَرَادُ

Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai: ikan dan belalang.

(Sunan Ibn Majah (3218))

Dari segi saintifik, binatang yang mati dengan sendiri (bangkai) tidak elok dimakan kerana ia tidak disembelih dan kerana itu darahnya masih mendap dalam tubuhnya. Oleh kerana itu kekotoran dan bahan yang tidak elok di dalam darah itu akan masuk ke dalam badan kita kalau memakannya.

 

وَا  لدَّمُ

dan darah

Darah juga haram dimakan. Dalam ayat yang lain, disebut sebagai tambahan maklumat, darah yang haram itu adalah ‘darah yang mengalir’ (Rujuk An’am:145). Jadi, hati dan limpa walaupun berdarah, boleh dimakan.

Dan kalau ada sedikit darah yang melekat pada daging, itu tidak mengapa. Tidaklah perlu dibasuh daging itu sampai langsung tidak ada darah. Boleh rujuk pada ayat Baqarah:173

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Kasir ibnu Syihab Al-Mizhaji, telah menceritakan kepada kami Mu­hammad ibnu Sa’id ibnu Sabiq, telah menceritakan kepada kami Amr (yakni Ibnu Qais), daripada Sammak, daripada Ikrimah, daripada Ibnu Abbas, baha­wa dia pernah ditanya mengenai limpa. Maka dia menjawab, “Makanlah limpa itu oleh kalian.” Mereka berkata, ‘Tetapi limpa itu adalah da­rah?” Maka Ibnu Abbas رضي الله عنهما menjawab, “Sesungguhnya yang diharamkan atas kalian itu hanyalah darah yang mengalir.”

Di dalam riwayat yang lain:

قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ مُحَمَّدُ بْنُ إِدْرِيسَ الشَّافِعِيُّ: حَدَّثَنَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِيهِ عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ “أحِلَّ لَنَا مَيْتَتَانِ ودمان، فأما الميتتان فالحوت والجراد، وأما الدمان فَالْكَبِدُ وَالطُّحَالُ”.

Abu Abdullah Muhammad ibnu Idris Asy-Syafii mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Zaid ibnu Aslam, daripada ayahnya, daripada Ibnu Umar secara marfu’ bahawa Ra­sulullah ﷺ telah bersabda: Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Adapun dua jenis bangkai iaitu ikan dan belalang, dan dua jenis darah iaitu hati dan limpa.

 

وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

dan daging babi,

Daging babi seperti yang kita sedia maklum adalah haram, dan ini termasuk bulu, kulit dan tulangnya. Disebut daging sahaja dalam ayat ini kerana daging yang paling banyak daripada bahagian tubuh babi itu tetapi ia mewakili semua anggota tubuh babi itu. Jadi tidak bolehlah kalau hendak dimakan sup tulang babi pula.

 

وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ

dan yang disembelih atas nama selain Allah,

Iaitu binatang yang disembelih bukan kerana Allah ‎ﷻ. Kalau pada zaman Jahiliah, ada binatang yang asalnya halal dimakan tetapi disembelih atas nama berhala dan selain Allah ‎ﷻ.

Amat meyedihkan sekali, pada zaman sekarang pun ada juga perkara ini berlaku dalam kalangan orang Islam kita. Ini kerana ada yang jahil agama yang sembelih binatang mereka dengan tujuan untuk menjamu jin dan hantu. Ini juga adalah haram dimakan kerana tujuan mereka sembelih binatang itu adalah untuk membesarkan selain Allah ‎ﷻ. Daging sembelihan itu haram dimakan walaupun baca Basmalah semasa disembelih dan sembelih dengan cara Islam.

 

وَالْمُنْخَنِقَةُ

dan yang tercekik,

Binatang yang mati tercekik juga haram dimakan. Sama ada dicekik secara sengaja atau tidak sengaja. Katakanlah kita tambat lembu kita dan mungkin ia hendak melarikan diri kerana ketakutan dan oleh kerana lehernya terikat, maka, lembu itu mati terjerut.

 

وَالْمَوْقُوذَةُ

dan yang terpukul,

Iaitu binatang yang dipukul sampai mati, iaitu dipukul dengan benda berat tetapi tidak tajam. Orang Arab Jahiliah biasa memukul sahaja binatang ternakan mereka sampai mati untuk dimakan.

 

وَالْمُتَرَدِّيَةُ

dan yang jatuh,

Ada binatang yang naik tempat yang tinggi dan kemudian terjatuh dari tempat tinggi itu dan mati. Ini pun haram dimakan kerana ia adalah bangkai.

 

وَالنَّطِيحَةُ

dan yang ditanduk, 

Ada binatang yang berkelahi sesama sendiri dan binatang yang lain menanduknya sampai mati. Atau yang dilanggar dengan kenderaan yang laju.

 

وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ

dan yang diterkam binatang buas,

Ada binatang yang dibaham binatang buas lain. Bintang buas seperti harimau dan anjing liar telah tangkap dan makan sedikit. Ini juga haram dimakan walaupun binatang buas itu menerkam bahagian sembelihan (tengkuk) binatang ternak itu.

 

إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ

kecuali yang sempat kamu menyembelihnya,

Kecuali kalau kita sempat sembelih sebelum binatang itu mati. Sama ada binatang itu telah tercekik, dipukul, ditanduk atau diterkam oleh binatang buas, tetapi sebelum sempat ia mati, kita sempat sembelih dan binatang itu mati dengan sembelihan kita. Jadi tentulah tidak termasuk 4 jenis yang disebut di awal ayat ini.

Mungkin kita nampak ada binatang yang hampir mati, tetapi sebelum mati kita terus menyembelihnya. Atau ada binatang buas yang sudah jatuhkan binatang yang boleh dimakan, dan mereka sedang memamah binatang itu, dan kita halau dan sembelih dengan segera semasa binatang itu hidup lagi.

Waktu itu haiwan yang dimaksudkan itu masih menggerak-gerakkan telinganya, atau menendang-nendang dengan kakinya atau matanya masih terkedip-kedip lagi, menandakan ia masih hidup. Maka cepat-cepatlah kita sembelih dan sembelihan itu boleh dimakan.

 

وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

dan yang disembelih untuk berhala.

Ada binatang yang disembelih di patung berhala. Ini pun tidak boleh dimakan. Ataupun disembelih dekat dengan berhala, pun haram juga untuk dimakan walaupun semasa menyembelihnya disebut nama Allah ‎ﷻ. Kita kena ingat bahawa masyarakat Arab kenal Allah ‎ﷻ dan anggap Allah ‎ﷻ itu Tuhan juga.

 

وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلٰمِ

Dan mengundi nasib dengan anak panah,

Kita juga diharamkan daripada mencari untung nasib dengan benda. Dahulu di masa Jahiliah orang-orang Arab sering melakukannya. Azlam merupakan tiga buah anak panah, pada salah satunya bertuliskan kata ‘lakukanlah’, pada yang kedua bertuliskan ‘jangan kamu lakukan’, sedangkan pada yang ketiganya tidak terdapat tulisan apa pun.

Menurut sebahagian orang, pada yang pertama bertuliskan ‘Tuhanku memerintahkan kepadaku’, pada yang kedua ber­tuliskan ‘Tuhanku melarangku’, dan pada yang ketiganya kosong, ti­dak ada tulisan. Kemudian mereka akan kocok anak-anak panah itu.

Jika telah dikocok, lalu keluarlah panah yang bertuliskan kata perintah, maka orang yang bersangkutan mengerjakannya; atau jika yang keluar kata larangan, maka dia meninggalkannya. Jika yang ke­luar adalah anak panah yang kosong, maka dia mengulanginya lagi.

Zaman sekarang, mungkin tidak menggunakan anak panah, tetapi ada juga yang membuat keputusan dengan menggunakan duit syiling atau dadu. Itu pun boleh termasuk dalam pengharaman ini juga.

وَرَوَى ابْنُ مَرْدُويه مِنْ طَرِيقِ إِبْرَاهِيمَ بْنِ يَزِيدَ، عَنْ رَقَبةَ، عَنْ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ عُمَيْر، عَنْ رَجاء بْنِ حَيْوَة، عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَنْ يَلِج الدَّرَجَاتِ مَنْ تَكَهَّن أَوِ اسْتَقْسَمَ أَوْ رَجَعَ مِنْ سَفَرٍ طَائِرًا”.

Ibnu Murdawaih meriwayatkan melalui jalur Ibrahim ibnu Yazid, daripada Ruqabah, daripada Abdul Malik ibnu Umair, daripada Raja ibnu Haiwah, daripada Abu Darda yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ telah ber­sabda: Tidak akan masuk syurga orang yang melakukan tenung atau mengundi nasib atau kembali daripada berpergian kerana tatayyur.

Allah ‎ﷻ melarang melakukan perkara itu kerana melakukan perbuatan tersebut akan mengakibatkan kefasikan, kesesatan, kebodohan, dan kemusyrikan. Allah ‎ﷻ telah memerin­tahkan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, apabila mereka me­rasa ragu dalam urusan mereka, hendaknya mereka melakukan isti­kharah kepada-Nya, iaitu dengan menyembah-Nya, kemudian memo­hon petunjuk daripada-Nya tentang perkara yang hendak mereka lakukan.

Kenapa hal ini disebut tentang makanan sembelihan pula? Ini kerana pada zaman jahiliyah, mereka menggunakan hal ini untuk membahagikan binatang sembelihan di berhala. Asalnya mereka berkongsi binatang tetapi kemudian apabila sudah disembelih, mereka menggunakan anak panah pula untuk menentukan daging itu milik siapa. Jadi ada yang kehilangan bahagiannya terus.

 

ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ

itu adalah kefasikan. 

Yang telah disebut adalah jenis fasik sehingga mengakibatkan mereka boleh keluar agama, maknanya sampai menjadi kufur. Ini kerana ia termasuk dalam Syirik Amali. Malangnya ramai membuatnya kerana jahil agama.

Inilah bahayanya jahil kerana boleh masuk neraka sebab mereka hanya mengikut sahaja amalan yang salah. Syaitan akan membisikkan amalan-amalan yang salah kepada mereka dan mereka tidak menolaknya kerana mereka kosong tiada ilmu. Terutama sekali jika mereka jauh daripada ilmu Al-Qur’an dan hadith. Maka mereka terima semua yang diberitahu kepada mereka tanpa usul periksa.

 

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ

Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu,

Apabila turun surah-surah akhir ini termasuk Surah Maidah, maka orang-orang kafir telah berputus asa untuk menyesatkan umat Islam kerana kalau kita berpegang dengan Al-Qur’an, mereka tidak akan boleh mengalahkan kita. Ayat ini diturunkan di hari Arafah pada tahun Nabi Muhammad ‎ﷺ mengerjakan Haji. Ini bermakna, tanah Arab telah jatuh ke tangan Muslim.

Mereka tidak akan dapat memusnahkan Islam dan mereka tidak dapat mengembalikan agama mereka lagi atau mengembalikan orang Islam kepada agama lama mereka. Kerana itulah mereka akan menghalang orang Islam daripada memahami Al-Qur’an. Mereka melakukannya dengan cara melekakan umat Islam daripada mempelajari agama sehinggakan umat Islam sendiri hanya muslim dari segi nama sahaja, namun jauh daripada ilmu agama.

 

فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ

sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. 

Maka tidak perlu bimbanglah dengan orang kafir itu dan apa yang mereka rancang untuk lakukan. Kita tidak perlu takut kerana kita yakin yang Allah ‎ﷻ akan menolong kita atas mereka. Yang perlu kita lakukan adalah takut kepada Allah ‎ﷻ dan dengan takut itu, kita menjaga hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Jika dahulu umat Islam takut-takut kalau diserang pihak kufar, namun sekarang mereka boleh menumpukan perhatian kepada ibadah dan mengembangkan agama Islam.

 

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, 

Ini ayat yang amat penting untuk kita faham. Allah ‎ﷻ telah sempurnakan agama itu maksudnya agama telah sempurna dari segi hukum. Segala hukum yang sepatutnya turun, telah diturunkan.

Bukanlah bermakna segala ayat Al-Qur’an telah turun kerana ayat akhir turun adalah dalam Surah Baqarah. Namun segala ayat hukum untuk kita amalkan telah diturunkan dengan turunnya ayat ini dan selepas ini tidak ada lagi ayat hukum yang akan diturunkan. Hanya ada ayat-ayat yang tidak berkenaan hukum sahaja diturunkan. Dan 80 hari selepas ayat ini diturunkan, Nabi Muhammad ﷺ pun wafat.

Ayat ini sebagai dalil yang kukuh kepada puak Sunnah sebagai hujah untuk mengatakan yang agama ini telah lengkap dan tidak perlu ditambah dengan amalan-amalan yang bid’ah. Malangnya, ramai yang tidak faham ayat ini. Ramai yang menokok tambah hal dalam agama, seolah-olah agama belum lengkap lagi.

Sebagai contoh, kalau ada yang mati, akan dibuat Majlis Tahlil. Ini tidak dibuat pada zaman Nabi ﷺ (zaman agama telah lengkap). Apakah tidak ada orang mati pada zaman itu? Tentu ada, tapi tidaklah dilakukan amalan-amalan bid’ah seperti Majlis Tahlil itu.

 

وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي

dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, 

Maksudnya, kita tidak perlu nikmat daripada sesiapa lagi sebab Allah ‎ﷻ sudah berikan Al-Qur’an kepada kita.

Itmam – selesai sesuatu dan tidak perlu bantuan dari luar lagi. Contohnya kita telah siapkan rumah.

Ikmal – selesai projek ataupun apa yang kita hendak lakukan dan usaha kita itu telah keluarkan hasil. Islam sudah nampak berjaya.

Maka nikmat yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah kejayaan umat Islam dan kejatuhan musuh mereka yang syirik. Umat Islam sudah tidak perlu takut lagi dan boleh meneruskan usaha untuk mendakwah agama Islam ke seluruh dunia.

 

وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلٰمَ دِينًا

dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu. 

Hanya Islam sahaja agama yang diiktiraf untuk kita amalkan. Tidak ada deen lain lagi. Deen – cara berurusan dengan apa sahaja. Semua perkara tentang agama telah Allah ‎ﷻ ajar dan telah disampaikan oleh Nabi ﷺ. Terdapat hadith yang menarik tentang ayat ini:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا جَعْفَرُ بْنُ عَوْن، حَدَّثَنَا أَبُو العُمَيْس، عَنْ قَيْسِ بْنِ مُسْلِمٍ، عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ مِنَ الْيَهُودِ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ آيَةً فِي كِتَابِكُمْ، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ الْيَهُودِ نَزَلَتْ لَاتَّخَذْنَا ذَلِكَ الْيَوْمَ عِيدًا. قَالَ: وَأَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ قَوْلُهُ: {الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي} فَقَالَ عُمَرُ: وَاللَّهِ إني لَأَعْلَمُ الْيَوْمَ الَّذِي نَزَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَالسَّاعَةَ الَّتِي نَزَلَتْ فِيهَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، نَزَلَتْ عَشية عَرَفَة فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ja’far ib­nu Aun, telah menceritakan kepada kami Abul Umais, daripada Qais ibnu Muslim, daripada Tariq ibnu Syihab yang menceritakan bahawa ada se­orang lelaki Yahudi datang kepada Khalifah Umar ibnul Khattab, lalu berkata, “Hai Amirul Mu’minin, sesungguhnya kamu biasa membaca suatu ayat dalam Kitab kamu, seandainya hal itu diturunkan kepada kami golongan orang-orang Yahudi, nescaya kami akan menjadikan hari itu sebagai hari raya.” Khalifah Umar رضي الله عنه bertanya, “Ayat apakah itu?” Orang Yahudi tersebut membacakan firman-Nya: Pada hari ini telah Kusempurnakan bagi kalian agama kalian, dan telah Kucukupkan kepada kalian nikmat-Ku. (Al-Maidah: 3) Maka Khalifah Umar رضي الله عنه berkata, “Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar mengetahui hari ayat ini diturunkan kepada Rasulullah ﷺ dan saat penurunannya kepada Rasulullah ﷺ iaitu pada petang hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat.”
Imam Bukhari meriwayatkannya daripada Al-Hasan ibnus Sabbali, daripada Ja’far ibnu Aun dengan lafaz yang sama. Imam Muslim, Imam Turmuzi, dan Imam Nasai meriwayatkannya melalui pelbagai jalur daripada Qais ibnu Muslim dengan lafaz yang sama.

Dan sememangnya semasa penurunan itu adalah dua hari raya: Hari Jumaat sebagai hari raya mingguan dan juga Hari Raya Aidil Adha. Ini juga mengajar kita satu konsep perayaan dalam agama Islam. Kita tidak raikan kerana kejadian yang besar-besar seperti kelahiran atau kematian sesiapa, penaklukan negara atau kemerdekaan dan sebagainya.

Perayaan di dalam agama adalah kerana ibadah sahaja dan telah ditentukan oleh Islam semenjak dari zaman Rasulullah ﷺ lagi. Maka perayaan yang direka-reka oleh umat Islam tidak patut dilakukan seperti meraikan kelahiran Nabi Muhammad ﷺ, kematian ulama’ atau wali, kematian Sayyidina Hussein dan sebagainya. Perayaan kita tidaklah seperti Yahudi dan Nasrani yang mengingati hari-hari tertentu yang mereka rasa hari besar mereka.

 

فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ

Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, 

Allah ‎ﷻ mengajar dan suruh kita makan makanan yang halal kerana mengandungi kesan baik apabila kita makan makanan halal. Dan terdapat kesan buruk kalau kita makan makanan yang haram. Bukannya Allah ‎ﷻ hendak menyusahkan kita dengan mengurangkan jenis makanan untuk kita.

Walaupun Allah ‎ﷻ telah melarang, tetapi Islam adalah agama yang praktikal. Jika dalam keadaan terdesak, lain pula hukum yang digunakan. Dalam keadaan darurat, makanan tidak ada, dan dalam keadaan lapar, maka makanan yang asalnya haram dimakan, dibenarkan kita makan. Namun hendaklah lapar itu bukan lapar biasa sahaja, tetapi kena jenis lapar yang amat yang kalau tidak makan, boleh mati. Dan waktu itu tidak ada sumber makanan yang lain.

Mestilah juga dalam kita tidak ada condong hendak memakan benda haram. Bukannya kita sengaja cari peluang hendak merasa makan khinzir, tetapi kita terpaksa makan sebab lapar sangat dan takut mati kalau tidak makan.

 

فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dalam keadaan seperti di atas, maka tidaklah berdosa kalau kita makan. Malah kita kena makan kerana kita wajib menjaga nyawa kita. Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita yang terpaksa makan itu kerana Allah ‎ﷻ maha pengampun dan Allah ‎ﷻ sayangkan kita dan Allah ‎ﷻ mahu kita meneruskan hidup kita, walaupun terpaksa makan makanan yang haram.


 

Maidah Ayat 4: 

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They ask you, [O Muḥammad], what has been made lawful for them. Say, “Lawful for you are [all] good foods and [game caught by] what you have trained of hunting animals¹ which you train as Allāh has taught you. So eat of what they catch for you, and mention the name of Allāh upon it, and fear Allāh.” Indeed, Allāh is swift in account.

  • Such as dogs, falcons, etc.

MALAY

Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?”. Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu; kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu melepaskannya). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya.

 

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ

Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?”. 

Setelah disebutkan perkara yang haram, sekarang ditanya pula manakah yang halal untuk mereka?

 

قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ

Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik

Ini adalah jawapan secara umum. Semua yang baik itu dihalalkan untuk kita memakannya. Maknanya, apa yang Allah ‎ﷻ haramkan adalah tidak baik bagi kita sebenarnya. Begitulah hukum yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.

Banyak dalam dunia ini yang syariat tidak haramkan. Lebih banyak yang halal daripada yang haram. Kalau tidak ada dalil pengharaman, maka boleh sahaja makan kerana kembali kepada hukum asal: harus.

Kalau ada sesuatu perkara yang kita tidak pasti boleh dimakan atau tidak, Imam Syafi’iy رحمه الله berkata kena dilihat sama ada orang Arab Quraish makan ataupun tidak. Ini kerana Al-Qur’an turun kepada mereka dan seeloknya kita ikut selera mereka. Mereka itu dijadikan kayu ukur. Kalau sesuatu itu jijik bagi mereka, maka jijik jugalah sepatutnya untuk kita.

 

وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ

dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatih nya untuk berburu;

Juga dihalalkan untuk memakan binatang yang ditangkap oleh binatang buruan kita. Ini orang Melayu rasanya tidak mengamalkannya jadi ia agak asing bagi kita. Selalunya binatang buruan yang digunakan adalah anjing. Anjing itu akan menangkap binatang yang hendak dimakan.

Kesimpulannya ialah jawarih ertinya haiwan-haiwan pemangsa, seperti anjing, burung helang, dan lain sebagainya yang serupa. Haiwan itu yang tangkapkan makanan bagi kita dan kita boleh makan makanan yang ditangkap itu, walaupun bila sampai kepada kita, binatang buruan itu sudah pun mati.

 

تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللهُ

kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu.

Boleh makan binatang yang ditangkap oleh binatang yang diajar memburu seperti anjing. Bukanlah anjing biasa, tetapi anjing yang telah dilatih. Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa Dia lah yang mengajar kita cara bagaimana melatih binatang itu. Kerana itu semasa ditangkap haiwan buruan itu, selalunya haiwan yang hendak dimakan itu cuma dicederakan tetapi belum mati lagi. Ini kerana anjing itu menangkap haiwan buruan itu untuk kita, bukan untuk dia.

Maka jika anjing bawakan binatang yang telah ditangkap itu dan anjing itu tidak makan daripada binatang itu. Kalau gunakan helang pula, tanda helang itu telah dilatih adalah ia akan ikut arahan. Kalau kita panggil dia, dia akan datang walaupun sedang mengejar buruan. Ini penting kerana kalau sudah dilatih, bermakna binatang pemburu itu memburu untuk kita, bukan untuk diri dia sendiri.

 

فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ

Maka makanlah daripada apa yang ditangkapnya untukmu, 

Maka binatang yang ditangkap oleh binatang buruan kita itu boleh dimakan. Walaupun kadang-kadang bila ia sampai kepada kita, binatang yang diburu itu telah mati pun.

Binatang yang kita gunakan sebagai binatang pemburuan ini dikenali sebagai Mukallibeen. Terdapat beberapa syarat:

    1. Kita kena ajar binatang itu bagaimana memburu. Oleh itu, bukan mereka pandai sendiri.
    2. Kita yang lepaskan binatang itu pergi. Oleh itu, dia pergi dengan arahan dan boleh berhenti kalau kita suruh. Maknanya binatang yang mendengar kata.
    3. Dan dia tidak makan sedikit pun daripada binatang  yang dia tangkap, kerana dia memang tangkap untuk kita. Mereka pegang sahaja dengan gigi mereka. Orang Arab banyak menggunakan anjing sebagai binatang pemburu. Selain daripada anjing, ada juga yang menggunakan burung helang (falcon). Maka tidak ada masalah kalau menggunakan anjing. Allah ‎ﷻ yang menjadikan anjing untuk kegunaan kita.

Maka jangan benci kepada anjing. Malangnya masyarakat kita salah faham tentang hukum sehinggakan budak-budak dan orang tua yang berperangai seperti budak dan akalnya seperti budak, bencikan anjing. Sampaikan ada yang baling anjing dengan batu kerana benci sahaja. Dan makin dahsyat ada yang sehingga sanggup membunuh pun.

 

وَاذْكُرُوا اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ

dan sebutlah nama Allah atas binatang itu

Ini ada satu lagi syaratnya: semasa kita melepaskan mukallibeen itu, kita baca bismillah. Jadi, mulut mukallibeen itu sebagai ganti kepada pisau. Oleh itu, ia bagaikan seolah-olah kita sembelih binatang itu (dengan gigi binatang mukallibeen itu). Kerana itulah kalau binatang itu sampai kepada kita sudah mati, kita boleh makan, kerana seumpama ia telah disembelih.

Disebut di dalam kitab Sahihain daripada Addi ibnu Hatim yang telah menceritakan:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أُرْسِلُ الْكِلَابَ المعلَّمة وَأَذْكُرُ اسْمَ اللَّهِ. فَقَالَ: “إِذَا أَرْسَلْتَ كَلْبَكَ المعلَّم وَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ، فَكُلْ مَا أَمْسَكَ عَلَيْكَ“. قُلْتُ: وَإِنْ قَتَلْنَ؟ قَالَ: “وَإِنْ قَتَلْنَ مَا لَمْ يُشْرِكْهَا كَلْبٌ لَيْسَ مِنْهَا، فَإِنَّكَ إِنَّمَا سَمَّيْتَ عَلَى كَلْبِكَ وَلَمْ تُسَمِّ عَلَى غَيْرِهِ“. قُلْتُ لَهُ: فَإِنِّي أَرْمِي بالمِعْرَاض الصَّيْدَ فَأُصِيبُ؟ فَقَالَ: “إِذَا رَمَيْتَ بِالْمِعْرَاضِ فَخَزق فَكُلْهُ، وَإِنْ أَصَابَهُ بعَرْض فَإِنَّهُ وَقِيذٌ، فَلَا تَأْكُلْهُ

Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku melepaskan anjing pemburu yang telah dilatih dan aku menyebutkan asma Allah.” Rasulullah ﷺ menjawab, “Apabila kamu melepaskan anjing terlatihmu dan kamu sebut asma Allah, maka makanlah selagi anjingmu itu menangkap haiwan buruan untukmu.” Aku ber­tanya, “Sekalipun haiwan buruan itu telah dibunuhnya?” Rasu­lullah ﷺ bersabda, “Sekalipun telah dibunuhnya selagi tidak ditemani oleh anjing lain yang bukan daripada anjing-anjingmu, kerana sesungguhnya kamu hanya membaca tasmiyah untuk an­jingmu, bukan membacanya untuk anjing lain.” Aku bertanya ke­padanya, “Sesungguhnya aku melempar haiwan buruan dengan tombak dan mengenainya.” Rasulullah ﷺ menjawab, “Jika kamu melemparnya dengan tombak dan tombak itu menembus tubuhnya, maka makanlah. Tetapi jika yang mengenainya ialah bahagian sampingnya (tengahnya), sesungguhnya haiwan buruan itu mati kerana terpukul, jangan kamu makan.”

Menurut lafaz lain yang juga daripada keduanya (Imam Bukhari dan Imam Muslim) disebutkan seperti berikut:

إِذَا أَرْسَلْتَ كَلْبَكَ فَاذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ، فَإِنْ أَمْسَكَ عَلَيْكَ فَأَدْرَكْتَهُ حَيًّا فَاذْبَحْهُ، وَإِنْ أَدْرَكْتَهُ قَدْ قُتِلَ وَلَمْ يَأْكُلْ مِنْهُ فَكُلْهُ، فَإِنَّ أخْذ الْكَلْبِ ذَكَاتُهُ”

Jika kamu melepaskan anjing pemburumu, bacalah asma Allah; dan jika ia menangkap haiwan buruannya untukmu, lalu kamu jumpai masih hidup, sembelihlah haiwan buruan itu. Jika kamu menjumpainya telah mati dan anjingmu tidak memakannya, ma­kanlah, kerana sesungguhnya terkaman anjingmu itu merupakan sembelihannya.

Menurut riwayat lain yang ada pada Imam Bukhari dan Imam Mus­lim disebutkan seperti berikut:

“فَإِنْ أَكَلَ فَلَا تَأْكُلْ، فَإِنِّي أَخَافُ أَنْ يَكُونَ أَمْسَكَ عَلَى نَفْسِهِ.”

Dan jika anjingmu itu memakannya, maka janganlah kamu ma­kan, kerana sesungguhnya aku merasa khuatir bila anjingmu itu menangkapnya untuk dirinya sendiri.

Sebahagian ulama’ mengatakan yang dimaksudkan daripada ayat ini ialah perintah membaca bismillah sewaktu hendak makan. Seperti yang disebutkan di dalam hadith Sahihain, 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّم رَبِيبه عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ فَقَالَ: “سَمّ اللَّهَ، وكُل بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ”

bahawa Rasulullah ﷺ mengajari anak tirinya, iaitu Umar ibnu Abu Salamah. Untuk itu baginda ﷺ bersabda: Sebutlah asma Allah, dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah (makanan) yang dekat denganmu.

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهُمْ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ قَوْمًا يَأْتُونَنَاحَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِكُفْرٍبلُحْمانٍ لَا نَدْرِي أَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهَا أَمْ لَا؟ فَقَالَ: “سَمّوا اللَّهَ أَنْتُمْ وكلوا.”

Daripada Siti Aisyah رضي الله عنها bahawa mereka pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ada suatu kaum yang baru masuk Islam datang kepada kami dengan membawa dua jenis daging, tanpa kami ketahui apakah mereka menyebut nama Allah (ketika menyembelihnya) atau tidak.” Rasulullah ﷺ bersab­da: Sebutlah nama Allah oleh kalian sendiri, lalu makanlah.

Maksud hadith ini adalah tidaklah perlu kita hendak periksa dengan terperinci sangat. Kalau yang sembelih itu orang Islam, maka kita bersangka baiklah yang dia sudah sembelih cara Islam. Tidaklah kita perlu sampai dilihat cara dia sembelih pula.

 

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya.

Yang penting, kita kena bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ. Taqwa maksudnya taat atas apa sahaja hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan untuk kita. Maka kita kena belajar dahulu hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan kepada kita.

Takutlah kepada Allah ‎ﷻ kerana kalau kita tidak taat, Allah ‎ﷻ boleh mengenakan azab kepada kita dan azab Allah ‎ﷻ itu amat cepat. Maka jangan lupa kewajipan kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, jangan sibuk memburu sampai lupa untuk salat pula.

Apabila Allah sebut hisabNya amat cepat, ia mempunyai tiga makna,

1. Hisab Allah sudah dekat, boleh datang bila-bila masa sahaja. Maka jangan lengah dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Dalilnya adalah Anbiya’:1

اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ

Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).

2. Hisab sebelum mati. Allah boleh beri terus balasan semasa di dunia lagi dan kadangkala ia sangat cepat. Contohnya selepas kita baca Al-Qur’an dan selepas solat, kita terus rasa tenang. Dan kalau kita buat dosa, selepas buat dosa sahaja kita rasa bersalah, bukan? Kadang selepas kita buat dosa, Allah terus beli balasannya secara ‘cash’. Sebagai contoh, maka kita melihat aurat orang lain, kemudian Allah beri kepala kita terlanggar dinding.

3. Apabila Allah buat pengiraan hisab di akhirat, ia cepat sahaja. Menunggu di Mahsyar yang lama, sampai keresahan yang amat besar sampaikan makhluk akan pergi dari satu Rasul ke Rasul yang lain untuk minta Allah percepatkan hisab. Dan apabila Mahkamah Pengadilan dimulakan, ia akan selesai dalam masa setengah hari sahaja. Ada yang kata satu hari dan ada yang kata selama memerah susu sahaja. Bagaimana mungkin Allah lakukan audit yang sebegini?

Pernah Saidina Ali ditanya tentang hal ini. Beliau jawab sebagaimana Allah mampu untuk memberikan rezeki kepada semua makhlukNya tanpa tertinggal, maka begitu jugalah Allah mampu untuk membuat pengiraan hisab itu serentak. Kita sahaja yang tidak dapat bayangkan kerana ia adalah perkara ghaib dan akal kita tidak mampu mencapai pemahaman itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mac 2021

Ringkasan Surah Maidah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 1 – 2 (Penuhi perjanjian)

Pengenalan:

Kaitan dengan Surah Baqarah: Dalam Surah Baqarah telah disebut tentang akidah syirik dalam bentuk iktikadi (dalam hati) dan amali (perbuatan). Dalam Surah Maidah ini banyak disebut tentang syirik dari segi amali sedangkan sebelum ini, Surah Ali Imran hanya sebut syirik iktikadi sahaja.

Surah Baqarah banyak menyebut tentang golongan Yahudi

Surah Ali Imran banyak menyebut tentang golongan Nasara.

Surah Nisa menyebut tentang golongan Munafik.

Dalam Surah Maidah ini pula, menggabungkan ketiga-tiga kumpulan itu: Yahudi, Nasara dan Munafiqun.

Empat golongan sesat tafsir Quran

Surah Maidah ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian :

1-66 adalah bahagian pertama. Ia adalah tentang syirik amali. Disebut tentang syirik amali dahulu kemudian baru disebut syirik iktikadi.

67-120 adalah bahagian kedua. Disebut tentang syirik iktikadi dahulu sebelum syirik amali.

Dalam surah ini juga disebut tentang pemutusan hubungan dengan Yahudi dan Nasara. Ini adalah kerana kalau tidak memutuskan hubungan baik dengan mereka, kita akan dikira sebagai sebahagian daripada mereka.

Surah ini juga mengandungi teguran kepada Yahudi dan Nasara kerana mereka hendak menyesatkan manusia sedangkan mereka itu adalah pemegang kitab wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Sepatutnya mereka yang mengajar manusia ke arah kebaikan tetapi mereka menjadi sebaliknya pula. Jadi surah ini mengingatkan kita supaya jangan kita jadi seperti mereka. Ini kerana ada juga dalaam kalangan umat Islam yang berperangai seperti mereka.

Surah ini ada mengandungi ayat-ayat Umur Muslihah dan kebanyakannya tentang Salat.

Juga mengandungi ayat-ayat Umur Munazimah tentang bagaimana hendak berurusan dengan pencuri.

Ia turut mengandungi ayat-ayat tentang amar makruf nahi mungkar.

Surah ini diturunkan lewat periode di Madaniah iaitu selepas Perjanjian Hudaibiyah, sebahagiannya semasa Penaklukan Mekah dan sebahagian lagi semasa baginda di dalam perjalanan mengerjakan Haji. Pada periode itu umat Islam sudah kuat. Ini bermakna waktu itu hukum-hakam hampir dilengkapkan kerana daulah Islamiah (negara Islam) sudah berdiri dan memerlukan hukum hakam yang lengkap untuk mengurusnya.

Oleh kerana diturunkan di hujung periode kenabian baginda, maka hukum hakam di dalamnya adalah kekal (ayat-ayat muhkam). Ini kerana pasti tidak akan ada pemansuhan kepada ayat-ayat di dalamnya kerana jangkamasa hayat Nabi sudah tidak lama lagi. Kerana kalau ada pemansuhan, ia memansuhkan hukum hakam yang di awal kenabian baginda.


 

Ayat 1: Tentang syirik amali.

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعٰمِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنتُمْ حُرُمٌ إِنَّ اللهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fulfill [all] contracts.¹ Lawful for you are the animals of grazing livestock except for that which is recited to you [in this Qur’ān] – hunting not being permitted while you are in the state of iḥrām.² Indeed, Allāh ordains what He intends.

  • ¹ Which includes promises, covenants, oaths, etc.
  • ² The state of ritual consecration for ḥajj or ‘umrah.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki.

 

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Ini adalah ajaran yang amat penting dalam Islam – sempurnakan perjanjian kita. Ia dimulakan dengan disebut ‘wahai orang-orang beriman’ maka ia adalah hukum yang perlu dipegang bagi orang yang mahu beriman. Yang paling utama adalah sempurnakan janji dengan Allah ‎ﷻ untuk taat kepada-Nya. Kalau perjanjian ini tidak diutamakan, tidak bermakna lagi segala perkara lain.

Oleh kerana ada disebut tentang al-uqud di dalam ayat ini, maka nama lain bagi Surah Maidah adalah Suratul Uquud.

Perjanjian yang perlu disempurnakan bukan dalam hal agama sahaja tetapi termasuk segala bentuk perjanjian. Itu termasuklah antara pasangan suami isteri, dalam dan luar negara, perjanjian yang melibatkan urusan kerja dan sebagainya. Semua sekali mesti dipenuhi dan ini adalah kewajipan kita.

Ada perjanjian yang bertulis dan ada yang tidak bertulis dengan perjanjian yang tidak bertulis tetapi telah dipersetujui bersama. Sebagai contoh, terdapat kontrak sosial untuk memberikan layanan yang baik kepada manusia yang lain. Banyak sekali yang termasuk dalam perkara ini. Memang tidak ada bertulis, tidak berjanji sambil berjabat tangan tetapi ada perkara yang diharapkan daripada orang lain.

Begitu juga, dalam negara Malaysia kita ini, sudah ada kontrak sosial antara orang Melayu dan bangsa-bangsa yang lain untuk hidup dengan harmoni. Memang asal keturunan mereka dari negara India dan China namun itu sudah lama dahulu. Keturunan mereka sekarang ini adalah penduduk negara ini dan sama-sama tinggal di sini. Mereka tidak ada keinginan untuk pulang ke negara asal datuk nenek mereka lagi. Maka, janganlah ada yang hendak menghalau mereka kembali pula kalau ada yang tidak kena, jika terdapat isu-isu perkauman yang timbul.

Ada ulamak bahagikan uqood ini kepada tiga jenis secara umumnya:

1. Perjanjian dengan Allah ﷻ.

2. Perjanjian dengan diri sendiri untuk menunaikan kewajipan. Contohnya menunaikan nazar.

3. Perjanjian sesama manusia. Tapi mestilah yang halal mengikut syarak. Kerana kalau perjanjian yang haram, ia dari awal lagi telah tertolak.

 

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعٰمِ

Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak

Selepas sebut tentang ‘perjanjian’ sebelum ini, maka sekarang disebut tentang binantang ternak. Apakah kaitannya? Perjanjian sebelum ini disebut umum sahaja dan sekarang ada pengkhususan. Iaitu perjanjian kita dengan Allah ﷻ untuk ikut hukumNya termasuk hukum sembelihan. Iaitu kita boleh makan binatang ternak selepas disembelih mengikut cara yang dikehendakiNya. Selepas disembelih begitu, maka ia halal dimakan oleh kita.

Ini adalah perkara halal yang tidak boleh diharamkan, iaitu binatang ternak dan binatang-binatang lain yang boleh dimakan. Yang dimaksudkan dengan an’am ialah binatang ternak yang pada umumnya jinak, seperti unta, lembu, dan kambing. Juga binatang yang pada umumnya liar, seperti kijang, banteng, dan kuda belang.

Kalau haramkan juga, itu adalah perbuatan syirik amali. Hukum mengharamkan adalah milik mutlak Allah ‎ﷻ, jangan ada yang memandai-mandai mengharamkan sesuatu yang Allah‎ ﷻ telah halalkan. Ia telah menolak hadiah yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita (kufur nikmat) dengan cara terbuka. Dan kalau haramkan juga, itu sudah mengambil alih tugas Allah ‎ﷻ, sedangkan mengadakan hukum adalah hak Dia sahaja.

Kalau buat juga, itulah yang termasuk dalam ruang syirik, kerana menduakan Allah‎ ﷻ dari segi membuat hukum. Untuk beri penerangan yang lebih jelas, Allah ‎ﷻ berikan contoh satu perbuatan seperti dalam ayat ini.

Semua binatang ternak halal belaka untuk dimakan. بَهِيمَةُ adalah binatang yang berkaki empat yang dibela atau diburu yang makan makanan tumbuhan. Oleh itu jangan pantang daripada memakannya. Jangan kata binatang ini tidak boleh makan atas sebab-sebab tertentu yang tidak ada dalam syarak. Ini banyak dilakukan oleh Musyrikin Mekah tetapi malangnya ada juga dilakukan oleh masyarakat Melayu kita. Ini banyak dijelaskan dalam Surah al-An’am.

Jadi ringkasnya perjanjian dengan Allah ﷻ bab binatang ternak ini adalah:

– Bila makan kena syaratnya

– Jangan pakai makan sahaja binatang yang ada

– Jangan diharamkan mana yang halal

 

إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

kecuali apa yang telah dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.

Sebelum ini telah disebut hukum pemakanan binatang. Sekarang disebut pengecualiannya pula.

Pertama tidak boleh kerana memang telah diharamkan dan dijelaskan dalam Al-Qur’an juga, iaitu ada binatang yang diharamkan dengan jelas seperti khinzir dan juga bangkai. Surah Maidah ini adalah Surah Madaniah, jadi ada ayat-ayat tentang pengharaman makanan yang telah dijelaskan dalam ayat-ayat sebelum Surah Maidah diturunkan. Juga akan dijelaskan lagi ayat-ayat seterusnya daripada surah Maidah ini.

Ini mengajar kita, kalau ada pengharaman tentang makanan, ia mestilah ada dalil daripada wahyu, sama ada daripada ayat-ayat Al-Qur’an ataupun hadith Nabi ﷺ yang sahih.

 

غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنتُمْ حُرُمٌ

tidak dihalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram

Binatang ternak halal dimakan akan tetapi ini satu lagi pengeculian. Ia diharamkan berburu kepada mereka yang berihram semasa mereka mengerjakan Haji. Binatang ternak memang halal dimakan dan diburu, cuma waktu itu sahaja yang tidak boleh – mereka yang dalam ihram.

Oleh itu, kalau ternampak binatang yang diburu semasa dalam perjalanan mengerjakan haji, maka tidak dibolehkan untuk berburu. Ini pun perjanjian yang perlu dipenuhi antara kita dengan Allah ‎ﷻ kerana pada waktu itu tidak ada orang lain nampak. Walaupun orang lain tidak nampak kita pergi berburu, tetapi kita kena yakin yang Allah‎ ﷻ nampak apa yang kita lakukan.

Kita mungkin susah hendak faham ayat ini, kerana kita kalau pergi mengerjakan Umrah atau Haji, makanan sudah tersedia banyak. Namun pada zaman itu, makanan mereka adalah daripada hasil berburu.

 

إِنَّ اللهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ

Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki.

Terpulang sahaja kepada Allah ‎ﷻ hendak buat bagaimana dan membuat apa sahaja hukum sebab Dia Tuhan dan Dia boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Tidak perlu tanya kenapa Allah ‎ﷻ suruh buat begini dan begitu.

Memang segala apa hukum yang telah ditetapkan itu ada hikmahnya namun kadangkala tidak perlu ditanya dan kita tidak perlu tahu. Yang penting, kita tahu kedudukan kita dan kita sedar kedudukan Allah ‎ﷻ.

Begitu pun, kalau kita cuba untuk mencari hikmah pengharaman sesuatu, maka boleh juga, namun tidaklah kita yakin yang perkara itu adalah benar kerana itu adalah usaha kita sahaja yang tidak semestinya benar. Oleh itu, kalau kita tidak jumpa pun sebab sesuatu perkara itu diharamkan, ia adalah tetap haram sama ada kita faham ataupun tidak.

Allah ﷻ dengan segala kebijaksanaanNya telah mencipta alam ini dan apa yang patut padanya. Maka kerana itu kita boleh makan binatang ternak itu. Tidaklah ada ketidakadilan padanya seperti yang diwar-warkan oleh golongan animal rights. Memang makhluk rendah dicipta untuk kegunaan makhluk atas. Tanah digunakan oleh tanaman – tanaman digunakan oleh binatang – binatang pula dimakan oleh kita. Tidak ada lagi makhluk atas kita, maka kerana itu kita manusia bukan makanan makhluk lain.


 

Ayat 2: Sekarang disebut dua jenis perkara lagi yang kita perlu penuhi sebagai penjanjian dengan Allah ﷻ (janji untuk taat). Satu tentang syiar-syiar Allah ﷻ dan satu lagi tentang keadilan kepada semua.

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعٰئِرَ اللهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلَا الْهَدْيَ وَلَا الْقَلٰئِدَ وَلَا ءآمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوٰنًا وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوٰنِ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not violate the rites of Allāh or [the sanctity of] the sacred month or [neglect the marking of] the sacrificial animals and garlanding [them] or [violate the safety of] those coming to the Sacred House seeking bounty from their Lord and [His] approval. But when you come out of iḥrām, then [you may] hunt. And do not let the hatred of a people for having obstructed you from al-Masjid al-Ḥarām lead you to transgress. And cooperate in righteousness and piety, but do not cooperate in sin and aggression. And fear Allāh; indeed, Allāh is severe in penalty.

MALAY

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id, dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.

 

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعٰئِرَ اللهِ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah,

Syiar bermaksud ‘lambang’ dalam bahasa kita. Allah ‎ﷻ berpesan supaya kita jangan langgar lambang-lambang agama Allah ‎ﷻ, seperti Tanah Haram, Bulan Haram. Janganlah kita dengan beraninya tidak menghormati lambang-lambang itu. Tidak halal bagi kita merosakkannya.

Lambang-lambang itu mesti dihormati kerana ia mengingatkan kita kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, jangan lakukan perkara yang tidak sepatutnya pada syiar-syiar Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, tidak boleh berbunuhan di kawasan Tanah Haram. Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan, yang dimaksudkan dengan syiar-syiar Allah‎ ﷻ ialah manasik Haji. Dan menurut Mujahid, Safa dan Marwah, serta hadyu dan budna juga termasuk syiar-syiar Allah ‎ﷻ.

Oleh itu, apa yang dimaksudkan dengan syiar Allah juga menjadi perbahasan. Salah satunya adalah benda dan satu lagi adalah perbuatan manusia yang menjadi tanda yang orang itu adalah seorang Muslim seperti solat, azan, Haji, khitan, berjanggut dan lain-lain lagi. Tanda-tanda sebagai Muslim ini juga perlu dijaga, jangan dilanggar. Ini juga termasuk perjanjian. Jadi jangan buat separuh dan tinggalkan separuh.

 

وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ

dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, 

Selepas disebut syiar Allah secara umum (termasuk ibadah) maka sekarang disebut khusus satu ibadah iaitu ibadah Haji. Ada undang-undang terbabit yang khusus tentang ibadah Haji. Sebagai contoh, ada empat bulan haram yang diharamkan berperang dalam bulan itu.

Waktu itu adalah waktu untuk bertenang dan melakukan ibadah di Kaabah (mengerjakan Haji). Kalau asyik berperang sahaja, tentu susah orang nak pergi buat Haji, bukan? Maka, sudah zaman berzaman telah ditetapkan empat bulan itu tidak boleh berperang, tidak halal untuk berperang. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada orang Islam tentang perkara ini.

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan daripada Abu Bakrah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda dalam Haji Wada’:

إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُم، ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدة، وَذُو الْحِجَّةِ، وَالْمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَر الَّذِي بَيْنَ جُمادى وَشَعْبَانَ”.

Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana keadaannya di hari Allah ‎ﷻ menciptakan langit dan bumi; satu tahun adalah dua belas bulan; empat bulan di antaranya adalah Bulan Haram:tiga berturut-turut, iaitu Zul Kae’dah, Zul Hijjah, dan Muharram serta Raeab Mudar jatuh di antara bulan Jumada dan bulan Sya’ban.

Ada juga pendapat yang mengatakan hukum larangan tentang bulan-bulan Haram ini telah dimansukhkan. Allahu a’lam. Ini memerlukan perbincangan yang lebih panjang.

 

وَلَا الْهَدْيَ

dan (jangan mengganggu) binatang-binatang had-ya, 

Ia bermaksud binatang yang akan disembelih semasa Haji. Binatang-binatang itu telah ditanda oleh mereka yang telah berniat untuk menjadikannya binatang korban nanti. Mungkin belum dibawa ke Mekah lagi, namun sudah ditanda.

 

وَلَا الْقَلٰئِدَ

dan binatang-binatang qalaa-id,

Dan jangan diganggu binatang-binatang yang telah dipakaikan kalung untuk korban. Itu adalah tanda yang binatang itu akan disembelihkan. Binatang itu telah ditanda untuk disembelih kerana Allah ‎ﷻ.

Antara perkara yang boleh melanggar ayat ini adalah apabila binatang-binatang itu ditahan dari sampai ke Kaabah, dicuri. Juga boleh dikira melanggarnya dengan ditunggangi dan diperah susunya.

 

وَلَا ءآمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَٰنًا

dan (jangan mengganggu) orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keridhaan dari Tuhannya

Satu lagi larangan berkenaan ibadah Haji. Sebelum ini disebut tentang larangan ganggu binatang sembelihan yang dibawa untuk Haji. Sekarang disebut orang yang hendak ke sana.

Maka Allah ﷻ larang halang orang-orang yang mengunjungi Baitullah dengan tujuan yang aman. Mereka itu datang ke Baitullah kerana hendak mencari kurnia dan redha Allah ‎ﷻ. Jangan halang mereka dari ke Kaabah dan jangan sakiti mereka.

Waktu itu Mekah telah dikuasai oleh Muslim. Nanti akan ada pelbagai ragam manusia yang akan datang. Allah ‎ﷻ mengingatkan supaya jangan dihalang mereka daripada mengunjungi Baitullah. Tambahan pula sebelum itu telah lama peperangan antara mereka. Jadi tentu ada sakit hati dengan orang yang pernah sakiti mereka. Allah ﷻ larang dari balas dendam begitu.

Secara umumnya tidak boleh halang orang dari mengerjakan Haji dan Umrah. Oleh kerana itu, penjaga Tanah Haram tidak boleh menyekat Visa Haji tanpa sebab yang munasabah kerana kita tidak boleh menghalang orang hendak beribadah di Masjidil Haram.

Namun, larangan halangan ini adalah untuk mereka yang hendak melakukan ibadah Islam. Pada zaman Jahiliyah dahulu, orang-orang musyrik juga melakukan ibadah di Kaabah tetapi sekarang, tentu tidak ada, hanya ada orang Islam sahaja yang dibenarkan masuk untuk melakukan ibadah. Kalau untuk tujuan berbuat selain daripada itu, orang kafir tidak dibenarkan masuk ke Tanah Haram. Allah ‎ﷻ telah berfirman:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا}

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini. (At-Taubah: 28)

 

وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا

dan apabila kamu telah keluar dari Ihram, maka bolehlah berburu.

Bila sudah keluar daripada Ihram, maka boleh berburu. Selalunya ayat berbunyi sebegini adalah ayat suruhan tetapi dalam ayat ini ia bermaksud memberi hukum ‘harus’, bukan ‘suruh’ sebab sebelum ini telah ada ayat larangan. Maka boleh berburu binatang selepas tahallul.

Kalau silap faham, mungkin ada yang keliru. Nanti ada yang kata sunnah kena ada aktiviti berburu pula – bukan begitu maksudnya. Kita zaman sekarang tidak perlu berburu lagi untuk makan sebab senang sahaja hendak mendapatkan makanan di Mekah.

 

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا

Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum yang telah menghalangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat melampau batas

Jangan pula kerana benci kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu menghalang mereka daripada pergi ke Masjidil Haram. Jangan juga kamu balas dendam kepada mereka kerana mereka dahulu pernah menghalang kamu daripada datang ke Masjidil Haram. Ini tentang kisah Perjanjian Hudaybiyah yang disentuh dalam Surah Fath.

Sekarang memang kamu sudah ada kuasa tetapi jangan disala gunakan kuasa itu. Dahulu mungkin kamu ada berperang dengan mereka dan kamu masih ada rasa marah kepada mereka, namun jangan itu dijadikan penyebab untuk menghalang mereka. Sekarang mereka sudah memeluk Islam maka dibenarkan untuk mereka datang ke Mekah.

Allah‎ ﷻ mengingatkan kepada orang Islam kerana selalunya mereka yang menang yang selalu menyalahgunakan kuasa. Dulu memang mereka zalim. Tapi Allah ﷻ larang balas dengan dengan melakukan kezaliman pula. Satu kezaliman tidaklah membenarkan balas dengan kezaliman pula. Islam ajar buat keadilan, bukannya kezaliman.

Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan menganiaya orang lain kerana benci kepada mereka. Termasuk juga tidak boleh halang orang dari tempat umum, seperti masjid, terutama sekali Masjidil Haram. Sekali pun penjenayah, tapi mereka juga ada hak dan Islam memang agama yang menjaga hak manusia walaupun mereka telah pernah zalim, walaupun mereka itu penjenayah. Hebat agama Islam ini.

Dalam ayat ini banyak larangan. Dalam ayat seterusnya nanti, Allah ‎ﷻ mengajar yang sepatutnya dilakukan.

 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, 

Kita haruslah bekerjasama untuk kebaikan, menegakkan agama Islam kerana agama Islam ini hendaklah disebarkan ke serata dunia. Jangan berperang sesama sendiri sampai kerja dakwah tidak dapat dijalankan. Dalam kehidupan kita, memang kita berharap kepada orang lain. Bukannya kita boleh buat semua benda sendiri. Sudah mati pun kena ada orang tolong kuburkan kita, bukan?

Kita perlukan pertolongan bukan sahaja di dunia tapi apabila kita sudah mati nanti. Ini kerana kita memerlukan juga doa dari orang yang hidup, syafaat dari orang lain jika ada, dan berterusannya pemberian pahala dari orang yang hidup (bukan sedekah pahala tapi kalau meneruskan ilmu yang kita ajar, contohnya). Ini kerana sedekah pahala tidak ada dalam syarak (seperti majlis Tahlil).

Begitu juga kita sekarang, hendaklah saling tolong-menolong dan bekerjasama dalam menjalankan tugas kita sebagai hamba Allah ‎ﷻ di mukabumi ini. Tolong menolonglah untuk melakukan kebaikan. Terdapat banyak jenis kebaikan. Asalkan benda baik, maka hendaklah kita ringankan tangan untuk membantu sesama sendiri.

Bukan dalam hal agama sahaja, tapi dalam hal keduniaan pun kita memerlukan bantuan dari orang lain. Maka janganlah sombong dalam dunia. Sebaiknya kita juga tolong orang lain supaya mereka pun tolong kita juga. Memang begitulah sistem yang Allah ﷻ jadikan dalam dunia ini. Semua memerlukan masing-masing. Yang kaya tetap memerlukan orang yang miskin untuk berkhidmat dengan mereka. Yang berniaga memerlukan orang yang membeli dan yang membeli memerlukan orang yang berjualan.

Allah ﷻ yang jadikan keinginan kepada manusia untuk bekerja dan berkhidmat. Bukan ada paksaan pun dari sesiapa bagi mereka memberi servis kepada orang lain. Kerana kalau dipaksa-paksa, manusia memang tidak suka. Jadi Allah ﷻ telah timbulkan dalam hati kita keinginan kepada sesuatu pekerjaan. Ada yang suka bekerja berniaga, ada yang suka berkhidmat, ada yang suka bercucuk tanam dan sebagainya. Cuba kita fikirkan perkara ini semasa kita membeli barang, duduk di hotel, naik grab apabila hendak ke mana-mana.

 

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوٰنِ

dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. 

Jangan pula bekerjasama dengan orang lain untuk melakukan keburukan. Ini amat buruk sekali. Ini adalah ayat yang boleh digunakan untuk umum. Apa sahaja perkara keburukan, jangan kita ikut campur dan ikut serta. Kenalah kita pastikan sama ada sesuatu pekerjaan itu untuk kebaikan atau untuk keburukan. Kalau untuk kebaikan, kita ikut tolong, tetapi kalau untuk keburukan, jangan kita ikut serta.

Lihat ayat ini, tidak sebut tolong orang Muslim, tapi bertolongan dalam perkara baik. Bukannya asal Muslim sahaja kita kena tolong. Yang penting bertolongan dalam perkara baik. Kalau Muslim buat perkara baik, ya kita tolong.

Tapi kalau ada yang hendak berbuat keburukan, kita bukan sahaja tidak menyertainya, tetapi kita juga hendaklah menghalang dia daripada melakukannya, sebagaimana disebut dalam satu riwayat.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هُشَيْم، حَدَّثَنَا عَبِيدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي بَكْرِ بْنِ أَنَسٍ، عَنْ جَدِّهِ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا”. قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا نَصَرْتُه مَظْلُومًا، فَكَيْفَ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ ظَالِمًا؟ قَالَ: “تَحْجِزُهُ تَمْنَعُهُفَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasyim, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah ibnu Abu Bakar ibnu Anas, daripada datuknya (iaitu Anas ibnu Malik) yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Tolonglah saudaramu, baik dalam keadaan berbuat aniaya atau dianiaya. Lalu ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, orang ini dapat kutolong jika dia dianiaya. Tetapi bagaimanakah menolongnya jika dia berbuat aniaya?” Maka Rasulullah ﷺ menjawab: Kamu cegah dan kamu halangi dia daripada perbuatan ani­aya, itulah cara menolongnya.

Kita tolong orang zalim dengan menghalang dia dari terus melakukan kezaliman. Kerana kita akan menyelamatkan dia dari dikenakan dengan hukuman di akhirat kelak dari kezalimannya itu.

Kalau kita tolong orang buat baik, kita sama-sama dapat pahala, tidak dikurangkan pahala orang yang kita tolong itu. Kalau kita tolong orang buat jahat, kita pun dapat dosa sama dengan orang itu, tidak dikurangkan dosa dia. Kerana takut dapat dosa beginilah yang menyebabkan ramai dari kalangan ulama’ zaman dahulu tidak mahu terlibat dengan pemerintah yang zalim. Kerana membantu pemerintah  yang zalim akan dalam saham dosa.

Inilah cara Allah ﷻ mendidik manusia dan menjaga keharmonian negara. Pemerintah tidak dapat hendak menghalang manusia dari melakukan kesalahan, tidak kira berapa banyak polis pun digunakan. Tapi dengan didikan agama, manusia akan takut sendiri dengan Allah ﷻ yang ghaib. Mereka yang beriman akan takut hendak buat dosa. Tidak perlu pun dipantau oleh pihak berkuasa.

 

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.

Yang penting, kita kena hidup di dunia ini dengan mengerjakan taqwa dengan menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Kenalah kita taat kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻtelah memberikan ancaman-Nya kepada kita – kalau tidak dijaga hukum, maka akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat nanti.

Maka kerajaan yang bijak sepatutnya menggalakkan masyarakat belajar wahyu dan takut Allah ﷻ kerana mudah nanti kerja mereka. Tapi malangnya ini tidak dilakukan sekarang. Mereka tidak menggunakan cara yang diajar oleh Allah ﷻ ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mac 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an