Usul 8: Memahami Al-Qur’an Berdasarkan Tertib Turun Ayat Dan Surah

(8) Memahami Al-Qur’an Berdasarkan Tertib Turun Ayat Dan Surah (فهم القرآن على صوء الترتيب النزولي)

Al-Qur’an boleh difahami dengan dua cara:
(i) Memahaminya berdasarkan tertib turun ayat-ayat dan surah-surah al-Qur’an.
(ii) Memahaminya berdasarkan tertib yang terdapat di dalam mushaf (al-Qur’an) yang ada di hadapan kita sckarang.

Memahami al-Qur’an berdasarkan tertib turun ayat-ayatnya merupakan usul kelapan bagi tafsir al-Qur’an yang baik. Untuk mengetahui tertib turun ayat-ayat al-Qur’an dan surah-surahnya, anda tidak dapat tidak mestilah mengetahui sebab-sebab turunnya (asbabun nuzul) terlebih dahulu. Dan ia dapai dipastikan apabila anda betul-betul mahir tentang sirah Nabi s.a.w. Semua peristiwa yang berlaku kepada Nabi s.a.w. semasa Baginda berada di Mekah perlu diketahui dan dipastikan kesahihannya. Dcemikian juga dengan peristiwa yang berlaku kepada Baginda s.a.w. semasa di Madinah.

Anda perlu sedar bahawa al-Qur’an baru turun ke dunia setelah nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi rasul ketika berumur 40 tahun. Al-Qur’an turun kepada Baginda secara beransur-ansur. la turun sejajar dengan perjalanan hidup Baginda. Oleh itu orang yang cuba memahami al-Qur’an tanpa pengetahuan tentang sirah (perjalanan hidup) Nabi s.a.w. bukan sahaja akan kecundang, malah akan tersasul jauh dari kebenaran. Bukan dia sahaja akan tersesat jalan, malah akan menyesatkan pula orang-orang lain.

Dengan berpandukan riwayat-riwayat sahih berhubung dengan sebab-sebab turun ayat-ayat atau surah-surah, akan mudahlah kepada anda memahami al-Qur’an.

(a) Surah-Surah Makkiyyah Dan Madaniyyah 

Para pelajar mestilah terlebih dahulu mengetahui dan memahami tentang tertib surah-surah Makkiyyah, kemudian tertib surah-surah Madaniyyah.

Apa yang dimaksudkan dengan surah-surah Makkiyyah ialah surah-surah yang  diturunkan kepada Nabi s.a.w. sebelum Baginda berhijrah ke Madinah. Sama ada ia diturunkan di Mekah atau di tempat-tempat lain. Dan yang dimaksudkan dengan surah-surah Madaniyyah pula ialah surah-surah yang diturunkan kcpada Baginda selepas berhijrah ke Madinah. Sama ada ia memang diturunkan di Madinah atau di luar Madinah. Surah yang paling akhir diturunkan dengan lengkap kepada Rasulullah s.a.w. ialah surah an-Nashr. la diturunkan kepada Nabi s.a.w. di Mina dalam peristiwa haji wadaa’ yang berlaku pada tahun ke sepuluh hijrah.

Satu perkara penting yang perlu sekali diketahui anda sekarang ialah riwayat Ibnu Dhurais yang dikaitkan dcngan Ibnu ‘Abbaas tentang tertib surah-surah sama sekali tidak boleh dipegang, kerana ia adalah munqathi’. Sanad riwayat yang dikemukakan oleh as-Suyuthi tentang tertib surah-surah juga bermasalah, ia juga tidak harus dijadikan pegangan.

(b) Bilangan Surah-Surah Makkiyyah Dan Madaniyyah

Surah-surah Makkiyyah ada 90 kesemuanya dan surah-surah Madaniyyah pula ada 24 kesemuanya. Sesetengah orang berpendapat, surah-surah ar-Ra’ad, ar-Rahman, ad-Dahr dan az-Zilzaal adalah surah-surah Madaniyyah. Sedangkan yang sebetulnya, keempat-empat surah itu adalah Makkiyyah. Untuk lebih jelas, surah-surah Makkiyyah dan surah-surah Madaniyyah itu dalam tertib nuzulnya perlulah dibahagikan pula kepada beberapa peringkat. Misalnya

(i) Peringkat permulaan,
(ii) Peringkat pertengahan, dan
(iii) Peringkat akhir.

Untuk memahami dan menentukan tertib turun surah-surah Makkiyyah agak sukar. Anda terpaksa menggunakan bukti-bukti luaran dan juga bukti-bukti dalaman dalam usaha menentukannya. Bukti luaran mungkin berdasarkan sesuatu peristiwa yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih. Bukti dalaman pula akan diperolehi dengan mengkaji isi kandungan surah berkenaan. Di dalamnya akan ada isyarat-isyarat yang menunjukkan ia termasuk dalam surah yang diturunkan pada peringkat-peringkat tertentu.

Peringkat-Peringkat Kehidupan Rasulullah S.A.W Semasa Di Mekah

Peringkat kehidupan Rasulullah s.a.w. semasa di Mekah dapat dibahagikan kcpada empat bahagian. Dalam empat bahagian itulah turun 90 surah kepada Baginda s.a.w. Di bawah ini dikemukakan carta menyatakan empat peringkat kehidupan Rasulullah s.a.w. semasa di Mekah.

Empat Peringkat Kehidupan Rasulullah S.A.W Semasa Di Mekah

Peringkat pertama Bermula dari baginda menjadi Nabi sehingga tahun ketiga kenabian. Dakwah Rasulullah di peringkat ini berlangsung secara sulit dan ia berterusan selama tiga tahun  Dalam masa ini 13 surah diturunkan kepada baginda.
Peringkat kedua Bermula dari tahun keempat hingga tahun kelima kenabian Ia berlangsung dalam masa dua tahun. Dalam masa ini dakwah mula disampaikan oleh Rasulullah kepad umum secara terbuka Dalam masa ini sebanyak 42 surah diturunkan kepada Nabi.
Peringkat ketiga  Bermula dari tahun keenam hingga tahun kesepuluh kenabian. Ia berlangsung dalam masa lima tahun. Dalam masa ini sebanyak 22 surah diturunkan kepada Rasulullah.
Peringkat keempat Bermula dari tahun kesebelas kenabian hingga ke tahun berhijrah ke Madinah. Ia berlangsung dalam masa tiga tahun Dalam masa ini sebanyak 13 surah diturunkan kepada Nabi.
Jumlah tahun adalah 13 tahun Jumlah kesemua sekali surah-surah Makkiyah ialah 90 surah. 

  1. Senarai surah-surah yang diturunkan di peringkat pertama Kenabian.

Wahyu pertama bermula dengan turunnya lima ayat daripada Surah al-Alaq. Turunnya ialah pada bulan Ramadhan. Dalam masa tiga tahun pertama itu turun sebanyak 13 surah (tidak semesti selengkapnya) kepada Rasulullah. Perinciannya dapat lihat dalam carta di bawah ini:

Surah 96: al-Alaq 5 ayat pertama Surah al-Alaq merupakan wahyu yang mula-mula sekali diturunkan kepada Nabi kita Muhammad SAW.
Surah 74: al-Muddaththir Selepas itu turun pula 5 ayat di permulaan Surah al-Muddaththir.
Surah 73: al-Muzzammil 8 ayat di permulaannya diturunkan.
Surah 1: Fatihah Ia mempunyai 7 ayat dan diturunkan lengkap sebagai satu surah.
Surah 93: ad-Dhuha Surah ini mengandungi 11 ayat. Ia diturunkan selengkapnya selepas tempoh senggang turun wahyu (فترت الوحي) untuk menghiburkan hati Nabi.
Surah 94: Alinsyirah Surah ini juga diturunkan selepas tempoh senggang turun wahyu (فترت الوحي) untuk menghiburkan hati Nabi.
Surah 81: at-Takwir Sebahagian besar kandungan surah ini menggambarkan keadaan dan suasana di hari kiamat. Manusia diberi peringatan tentangnya.
Surah 82: Alinfithar Surah ini juga menggambarkan perihal hari kiamat. Manusia diberi peringatan tentangnya.
Surah 97: al-Qadr Surah ii menyatakan kelebihan dan nilai wahyu Allah berupa al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.
Surah 99: az-Zizaal Ia menggambarkan perihal hari kiamat dan mengingatkan manusia tentangnya.
Surah 100: al-Aadiyaat Selain menceritakan tetnang kehidupan selepas kematian, surah ini juga menceritakan tentang beberapa sifat keji manusia
Surah 101: al-Qaari’ah Surah ini menceritakan tentang hari kiamat dan beberapa perkara yg akan nyata di hari itu.
Surah 103: al-Ashr Rahsia yang membuatkan seseorang manusia tidak kerugian dalam kehidupan dunia diberitahu oleh Allah melalui surah ini.

2. Senarai surah-surah yang diturunkan di peringkat kedua Kenabian.

Kira-kira 42 surah diturunkan di peringkat kedua ini. Di peringkat ini, Nabi telah berdakwah kepada umum secara terbuka. 23 surah daripadanya diturunkan selepas baginda memulakan dakwah kepada umum secara terbuka. Ia bermula pada tahun ke 4 Hijrah bersamaan 613 Masehi. 7 daripadanya diturunkan sebelum berlakunya hijrah para sahabat ke Habasyah. Dan 12 daripadanya pula diturunkan selepas hijrah mereka ke sana.

Perincian 23 surah yang diturunkan selepas baginda memulakan dakwah kepada umum secara terbuka dapat anda lihat di dalam carta berikut:

Surah 112: al-Ikhlas Melalui surah ini, Nabi diperintah supaya menyampaikan aqidah dan konsep توحد الذات (pengesaan Dzat Allah)
Surah 95: at-Tin Ia diturunkan di zaman/peringkat pendustaan oleh orang-orang kafir terhadap Nabi.
Surah 55: ar-Rahman Ia diturunkan di zaman/peringkat pendustaan oleh orang-orang kafir terhadap Nabi.
Surah 77: al-Mursalat Ia diturunkan di zaman/peringkat pendustaan oleh orang-orang kafir terhadap Nabi.
Surah 75: al-Qiyaamah Peringatan daripada Allah agar tidak diikuti pimpinan yang menolak kewujudan hari akhirat.
Surah 76: ad-Dahr atau al-Insaan Jalan yang benar (السبيل) telah pun diberikan oleh Allah kepada manusia (dan jin), maka mereka tidak patut lagi mengkufuriNya.
Surah 78: an-Naba’ Perbandingan keadaan golongan الطاغين atau golongan yang tidak percayakan hari akhirat dengan orang-orang yang bertaqwa (المتقين) di akhirat nanti.
Surah 79: an-Naazi’aat Perbandingan di antara orang-orang yang menjalani kehidupan dunia dengan penuh kesedaran dan keyakinan tentang akan adanya hari kiamat dan hari pembalasan dan orang-orang yang tidak mempercayainya di sampaing menjalani kehidupan dunia dengan melampau batas hukum Tuhan.
Surah 83: al-Mutaffifin Penyelewengan dalam pengurusan harta benda di kalangan masyarakat yang mengejek dan menghina perjuangan dakwah Nabi.
Surah 84: al-Insyiqaaq Ia diturunkan ketika masyarakat sedang mengejek dan menghina ajaran yg dikemukan oleh Rasulullah.
Surah 80: Abasa Tatasusila dakwah dalam masyarakat yang menghina dan mencemuhi ajaran Islam.
Surah 87: al-A’la Diturunkan ketika Nabi sibuk memberi peringatan kepada masyarakat tentang hari kemudian.
Surah 88: al-Ghasyiyah Surah ini juga diturunkan ketika Nabi sibuk memberi peringatan kepada masyarakat tentang hari kemudian.
Surah 102: at-Takaatsur Faham kebendaan yang sangat menebal di kalangan pimpinan Quraisy Mekah didedahkan. akibat buruk yang akan diterima mereka di hari kemudian juga dideahkan di dalam surah ini.
Surah 104: al-Humazah Akhlak buruk dan sifat bakhil pimpinan Quraisy.
Surah 105: al-Fiil Peringatan kepada kaum Quraisy, khususnya pimpinan mereka bahawa Ka’bah akan dijaga Allah.
Surah 106: Quraisy Perintah kepada pimpinan Quraisy agar menyembah empunya Rumah Allah.
Surah 107: al-Maa’un Pendedahan akibat yang akan menimpa pimpinan Quraisy kerana mendustakan hari akhirat.
Surah 108: al-Kautsar Ramalan kebinaan yang akan dialami pimpinan Quraisy.
Surah 109: al-Kaafirun Bicara terus terang dengan pimpinan Quraisy
Surah 111: al-Masad Ramalan kebinasaan yang akan dialami pemimpin tertinggi Quraisy dan isterinya
Surah 113: al-Falaq Perintah mengisytiharkan tauhid rububiyah kepada umum.
Surah 114: an-Naas Perintah mengisytikharkan tauhid uluhiyah dan kekuasaan mutlak adalah hak Allah semata-mata.

Peringatan:

Di peringkat Nabi SAW didustakan, turun Surah al-Falaq dan ayat-ayat yang berbaki daripada Surah al-Muddatstsir dan al-Muzzammil.

Surah-surah yang diturunkan sebelum sahabat berhijrah ke Habasyah

Selepas peringkat kedua tadi, bermulalah zaman penentangan kaum Quraisy terhadap Nabi. Ia menjadi semakin memuncak sehingga akhirnya mendorong sesetengah sahabat memilih untuk berhijrah ke Habasyah. Tujuh surah berikut diturunkan sebelum mereka berhijrah ke sana:

Surah 29: al-Ankabut Di dalamnya ada isyarat kepada hijrah ke Habasyah.
Surah 30: ar-Ruum Di dalamnya terhadap berita gembira bahawa orang-orang Islam akan mendapat kejayaan setelah diuji.
Surah 31: Luqmaan Larangan mengikut kedua ibu bapa dalam aqidah syirik mereka.
Surah 39: az-Zumar Di dalamnya juga terjadap isyarat kepada hijrah ke Habasyah.
Surah 18: al-Kahfi Adab-adab penyampaian agama kepada penganut-penganut agama Kristian di Habasyah.
Surah 19: Maryam Penyampaian aqidah tauhid kepada penganut-penganut agama Kristian dan penolakan terhadap ajaran tiga tuhan yang dibawa mereka.
Surah 20: Thaaha Seruan tauhid kepada penganut-penganut agama Kristian.

 

Hijrah Pertama dan Kedua ke Habasyah

Hijrah pertama ke Habasyah telah berlaku pada 5 Rajab tahun kenabian (selepas Rasulullah dilantaik menjadi Nabi dan Rasul), bersamaan dengan 614 Masehi. Pada kali ini seramai 12 orang laki-laki dan 4 orang muslimah telah berhijrah ke Habasyah di bawah pimpinan Sayyidina Uthman r.a.

Dalam hijrah kedua pula seramai 82 orang laki-laki dan muslim dan 18 orang muslimah telah berhijrah ke sana.

Surah-surah yang diturunkan selepas para sahabat berhijrah ke Habasyah

Selepas sekumpulan para sahabat berhijrah ke Habasyah, sejumlah 12 surah diturunkan kepada baginda. Di peringkat ini baginda dituduh dengan pelbagai tuduhan. Bukan sekadar itu sahaja, malah ajaran yang dibawa baginda juga didustakan. Carta di bawah ini menunjukkan senarai 12 surah berkenaan:

 

Surah 32: as-Sajdah Rasulullah dituduh sebagai pereka al-Quran dan penimbul fitnah.
Surah 56: al-Waqiah Surah ini diturunkan di zaman Nabi didustakan.
Surah 50: Qaaf Mengandungi perintah Allah kepada Rasulullah agar terus memberi peringatan walaupun didustakan.
Surah 51: ad-Dzaariyat Rasulullah dituduh sebagai gila dan tukang sihir.
Surah 52: at-Thuur Rasulullah dituduh dengan pelbagai tuduhan, seperti penyair, gila, tukang tenung dan mereka-reka sendiri al-Quran.
Surah 67: al-Mulk Nabi SAW dituduh sesat.
Surah 68: al-Qalam Rasulullah dituduh gilan dan dirasuk.
Surah 69: al-Haqqah Rasulullah dituduh penyair, gila dan telah mengada-ngadakan al-Quran.
Surah 70: al-Ma’arij Ancaman kebinaan terhadap pimpinan Quraisy yang begitu materialistik dan mata duitan.
Surah 71: Nuuh Etika dakwah dan ancaman kebinasaan kepada orang-orang yang engkar seperti telah berlaku kepada kaum Nabi Nuuh dahulu.
Surah 91: as-Syams Ia turun ketika Nabi didustakan. Akibat pendustaan, bangsa mana pun mungkin dimusnahkan seperti kaum Tsamud.
Surah 92: al-Lail Diturunkan di zaman pendustaan orang-orang kafir terhadap Nabi SAW.

 

Peringatan: 

Ayat-ayat terakhir di dalam Surah an-Najm juga turun di peringkat ini. Sementara beberapa ayat di permulaannya pula diturunkan pada tahun ke 12 kenabian sempena berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raaj.

 

3. Surah-surah yang diturunkan di antara tahun ke 6 dan ke 10 kenabian. 

Di peringkat ketiga kehidupan Rasulullah SAW di Mekah, sejumlah kira-kira 22 surah diturunkan kepada baginda. Mula-mula turun 9 surah pasca kemarau yang berlaku di Mekah. Kemudian turun pula 13 surah selepas umat Islam betul-betul ditindas dan dizalimi. Di permulaan peringkat ketiga ini Sayyidina Hamzah telah memeluk agama Islam. Tiga hari kemudian Sayyidina Umar pula memeluk agama Islam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Zulhijjah tahun keenam kenabian bersamaan 615 Masehi.

Pada tahun ke 7 kenabian bersamaan 616 Masehi, telah berlaku kemarau yang dahsyat di Mekah. 9 surah yang diturunkan pasca kemarau yang berlaku pada tahun ke 7 kenabian itu adalah seperti berikut:

Surah 21: al-Anbiyaa Rasulullah dituduh sebagai penyair dan seorang yang dirasuk.
Surah 23: al-Mukminoon Dituduh gila
Surah 25: al-Furqaan Dituduh sebagai seorang yang terkena sihir dan seorang yang mengada-ngadakan Quran
Surah 26: asy-Syu’araa’ Rasulullah diragui dan dituduh gila.
Surah 27: an-Naml Diragui dan dituduh tukang sihir.
Surah 28: al-Qashash Nabi tidak berkuasa memberi hidayat kepada Abu Thalib.
Surah 44: ad-Dukhan Baginda dituduh gila dan diajar oleh orang lain.
Surah 45: al-Jaatsiyah Ancaman kepada pemimpin-pemimpin materialis dan ateis.
Surah 54: al-Qamar Diturunkan dizaman pendustaan orang-orang kafir terhadap Nabi.

Di peringkat ini juga Nabi dipulau dan diboikot oleh orang-0rang kafir Quraisy selama 3 tahun. Dalam masa 3 tahun itu Nabi dan keluarga serta pengikut-pengikut dibenarkan bebas hanya di kawasan Syi’bi Bani Haasyim atau Syi’bi Abi Thaalib sahaja. Peristiwa ini bermula pada bulan Muharram tahun ke 7 kenabian bersamaan 616 Masehi. Ia berterusan hingga ke bulan Muharram tahun ke 10 kenabian bersamaan 619 Masehi.

Surah-surah yang diturunkan ketika penindasan dan kekejaman penguasa-penguasa kafir Quraisy terhadap para sahabat berada di kemuncaknya

Di peringkat ini turun kepada Rasulullah kira-kira 11 surah. Nabi pada ketika itu bukan sahaja dituduh, malah ketegangan kadang-kadang sampai kepada pakatan jahat mereka untuk membunuh baginda. Di penghujung peringkat inilah turun kepada Rasulullah dua surah daripada surah-surah Hawaamim.

Surah 34: Saba’ Rasulullah dituduh sebagai tukang sihir, gila dan pereka Quran.
Surah 35: Faathir Pakatan jahat terhadap Rasulullah.
Surah 36: Yaasin Tuduhan sebagai penyair terhadap Rasulullah. Sifat jalaal Allah juga dinyatakan di dalamnya.
Surah 37: as-Shaffaat Rasulullah dituduh sebagai tukang sihir dan gila.
Surah 38: Shaad Rasulullah dituduh sebagai tukang sihir dan pendusta besar.
Surah 85: al-Buruj Ancaman kebinasaan kepada kaum kafir Quraisy kerana penindasan dan kekejaman mereka yang melampau ke atas umat Islam.
Surah 86: at-Thaariq Ia diturunkan di zaman berlakunya konspirasi, komplot dan pakatan jahat untuk membunuh Nabi SAW.
Surah 89: al-Fajr Firman Allah إِنَّ رَبَّكَ لَبِالمِرصادِ (Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi) merupakan ancaman kebinasaan daripada Allah kepada penguasa-penguasa Quraisy yang zalim.
Surah 90: al-Balad Kezaliman terhadap baginda sendiri sudah dianggap halal.
Surah 40: Haamiim al-Mu’min Ancaman kebinasaan seperti yang telah berlaku kepada Firaun.
Surah 41: Haamiim as-Sajdah Ancaman kebinasaan seperti yang telah berlaku kepada kaum Aad dan Tsamud.

Peringkat kehidupan Rasulullah ini berakhir dengan baginda dan para pengikut dibebaskan daripada kepungan di Syi’bi Bani Hasyim. Di peringkat itulah juga Abu Thaalib dan Khadijah meninggal dunia. Kemudiannya Rasulullah berkahwin dengan Saudah dan pergi pula ke Tha’if untuk berdakwah.

Perinciannya adalah seperti berikut:

(a) Abu Thaalib meninggal dunia pada bulan Rajab 10 tahun kenabian bersamaan 619 Masehi.

(b) Dua bulan selepas itu Sayyidatina Khadijah pula meninggal dunia iaitu pada bulan Ramadhan tahun ke 10 kenabian.

(c) Nabi berkahwin dengan Saudah pada bulan Syawwal tahun 10 kenabian bersamaan 619 Masehi.

(d) Pergi berdakwah ke Thaa’if pada tahun ke 10 kenabian bersamaan Jun 619 Masehi. Pada ketika itulah dipercayai turun surah al-Ahqaaf dan al-Jin kepada baginda SAW.

Surah 46: al-Ahqaaf al-Quran diperdengarkan kepada kumpulan jin.
Surah 72: al-Jin Selepas mendengar al-Quran kumpulan jin itu memeluk agama Islam dan menjadi pendakwah.

 

4. Surah-Surah Yang Diturunkan Pada Tiga Tahun Terakhir Kehidupan Rasulullah S.A.W. Di Mekah 

Beberapa peristiwa penting yang berlaku pada tahun-tahun berkenaan yang merupakan peringkat keempat kehidupan Rasulullah s.a.w. di Mekah:

(a) Berkahwin dengan ‘Aaisyah. la berlangsung pada bulan Syawwal tahun ke 11 kenabian bersamaan 620 Masehi. Bagaimanapun kehidupan sebagai suami isteri mereka baru bermula selepas hijrah ke Madinah.

(b) Enam orang daripada puak Khazraj datang dari Madinah ke Mekah lalu memeluk agama Islam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Zulhiijah tahun 11 kenabian bersamaan 620 Masehi.

(c) Berlakunya peristiwa Israa’ Mi’raaj dan kefardhuan sembahyang lima waktu. Peristiwa Mi’raaj berlaku pada 27 Rajab tahun ke 12 kenabian bersamaan 621 Masehi. Selepas peristiwa Mi’raaj, sebahagian daripada Surah an-Najm diturunkan dan diturunkan juga Surah Bani Israil atau Surah al-Israa’.

(d) Berlakunya bai’ah ‘Aqabah pertama. 12 orang Anshaar datang dari Madinah ke Mekah lalu memeluk agama Islam. 10 orang daripada mereka adalah puak Khazraj dan 2 orang daripada puak Aus. Peristiwa ini berlaku pada butan Zulhijjah tahun 12 kenabian bersamaan 621 Masehi.

(e) Berlakunya bai’ah ‘Aqabah kedua. Pada kali ini seramai 72 orang Madinah datang kepada Nabi s.a.w. lalu memeluk agama Islam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Zulhijjah tahun 13 kenabian bersamaan 622 Masehi.

Di peringkat keempat yang merupakan peringkat terakhir kehidupan Rasulullah s.a.w. di Mekah turun kira-kira 13 surah. Di bawah ini dikemukakan perinciannya:

Surah 10: Yunus Di zaman keraguan dan pelbagai tuduhan terhadap Nabi SAW seperti tukang sihir, pereka al-Quran dan sebagainya.
Surah 11: Huud Juga diturunkan di zaman keraguan dan pelbagai tuduhan terhadap Nabi.
Surah 12: Yusuf Perancangan sedang dibuat untuk menghalau Rasulullah dari bumi Mekah.
Surah 13: ar-Ra’d Pelbagai komplot dan pakatan jahat dirancang terhadap Rasulullah.
Surah 14: Ibrahim Pelbagai komplot dan pakatan jahat dirancang terhadap Rasulullah.
Surah 15: al-Hijr Diturunkan dalam suasana ejekan dan tuduhan-tuduhan liar terhadap Nabi.
Surah 16: an-Nahl Di dalamnya terdapat isyarat kepada hijrah ke Madinah.

Pada tahun ke 12 kenabian berlaku peristiwa Mi’raaj kepada Nabi. Pada tahun ini dipercayai turun 2 surah kepada baginda. Di dalamnya ada tersebut tentang peristiwa itu. Di dalam Surah Isra’ diajarkan kepada Nabi doa hijrah. Dalam perjalanan Rasulullah dari Mekah ke Palestin untuk Mi’raaj ke langit itu ditayangkan kepada Rasulullah, suasana di Madinah yang akan menjadi tempat penghijrahan baginda.

Dua surah berkenaan adalah:

Surah 17: Israa’ atau Bani Israil Selain tersebut apa yg berlaku pada malam Mi’raaj itu, terdapat juga isyarat tentang penubuhan negara Islam di Madinah.
Surah 53: an-Najm Peristiwa di malam Mi’raaj dikemukakan di permulaan surah ini.

 

Empat surah yang akan dikemukakan nanti dipercayai telah turun pada tahun ke 13 kenabian, beberapa ketika sebelum Nabi berhijrah ke Madinah:

 Surah 42: Haamim asy-Syura Penjelasan tentang kemasyarakatan Islam.
 Surah 43: Haamim az-Zukhruf  Penyempurnaan hujah terhadapan kaum kafir Quraisy dan amaran terakhir kepada mereka.
 Surah 6: al-An’am  Penyempurnaan hujah terhadapan kaum kafir Quraisy dan amaran terakhir kepada mereka.
 Surah 7: al-A’raaf Penyempurnaan hujah terhadapan kaum kafir Quraisy dan amaran terakhir kepada mereka.

 

Hijrah Ke Madinah

Pada 27 Safar tahun ke 14 kenabian, Rasulullah berhijrah ke Madinah bersama Abu Bakar.

24 surah telah diturunkan setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah. Carta di bawah ini menunjukkan tertib turun ayat-ayat dan surah-surah semasa Nabi berada di Madinah:

Nama Surah Zaman Turun Isi Kandungan Utama
1 Surah al-Jumu’ah: 3 ayat terakhirnya Pada 1 Hijrah: Sembahyang Jumaat pertama kali didirikan di Quba’ Khutbah Jumaat dan hukum hakam sembahyang Jumaat
2 Surah al-Hajj: ayat 25 – 78 Pada 1 Hijrah Kebenaran berperang demi mempertahankan diri.
3 Surah at-Taghabun Pada 1 Hijrah Pendahuluan ajaran jihad dan infaaq di jalan Allah.
4 Surah al-Baqarah Tahun ke 2 Hijrah. Sebelum Perang Badr Perubahan arah qiblat dan kepimpinan serta hukum-hukum syariat baharu.
5 Surah at-Thalaaq Tahun ke 2 Hijrah. Sebelum Perang Badr Penggunaan hukum Thalaaq dan azab yang menimpa umat yang lalu.
6 Surah Muhammad Tahun ke 2 Hijrah. Sebelum Perang Badr Etika perang dan galakan berinfaaq.
7 Surah al-Anfaal Tahun ke 3 Hijrah. Selepas Perang Badr. Etika perang dan hukum hakam harta rampasan perang.
8 Surah ash-Shaff Tahun ke 3 Hijrah. Selepas Perang Uhud. Kamu akan beroleh kemenangan jika kamu membela agama Allah.
9 Surah Aali Imraan Tahun ke 3 Hijrah Usaha-usaha untuk memenangkan agama Islam.
10 Surah al-Hasyr Bulan Rabi’ulawwal tahun ke 4 Hijrah Rawatan penyakit nifaaq dengan sifat-sifat Allah.
11 Surah an-Nisa’. Tahun ke 4 Hijrah Sistem masyarakat yang kukuh bermula daripada kekeluargaan hingga kepada kenegaraan.
12 Surah al-Hadid Tahun ke 4 Hijrah Tegaknya keadilan dan kesaksamaan.
13 Surah al-Ahzaab Di antara tahun ke 4 dan ke 5 Hijrah Hukum-hukum kekeluargaan, ketenteraan dan kemasyarakatan.
14 Surah al-Mujaadilah Tahun ke 5 Hijrah Hukum hakam zihaar dan lain-lain
15 Surah al-Munafiqun Tahun ke 6 Hijrah. Pada tahun ini juga berlaku perang dengan Bani al-Mushthaliq. Jangan jadi munafiq. Sebaliknya berbelanjalah di jalan Allah.
16 Surah an-Nuur Tahun ke 6 Hijrah Hukum hakam kekeluargaan dan kemasyarakatan.
17 Surah al-Fath Tahun ke 6 Hijrah. Sekembali dari Suluh Hudaibiyah Berita gembira akan menakluk Farsi dan Afrika.
18 Surah al-Jumu’ah dari ayat 1 hingga 8 Selepas penaklukan Khaibar pada bulan Muharram tahun ke 7 Hijrah Jawatan kerasulan dan penyucian jiwa.
19 Surah al-Maa’idah Tahun ke 7 Hijrah Undang-undang Islam dan sekularisma.
20 Surah at-Tahrim Tahun ke 8 Hijrah Kehidupan kekeluargaan dan peranan wanita.
21 Surah al-Mumtahanah Tahun ke 8 Hijrah Kewarganegaraan wanita dan peranannya dalam pengintipan.
22 Surah al-Hujuraat Tahun ke 9 Hijrah Hak-hak Allah, Rasul dan orang Islam.
23 Surah at-Taubah Pada bulan Rajab tahun ke 9. Sama ada sebelum atau selepas Perang Tabuk. Jihad dengan orang-orang musyrikin, Yahudi dan Nasara.
24 Surah al-Bayyinah Tahun ke 10 Hijrah Orang-orang yang tidak percaya kepada Nabi Muhammad sebagai Nabi terakhir adalah ahli neraka.
25 Surah an-Nashr Pada bulan Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah di Mina Pemberitahuan tentang kewafatan Nabi.

Rasulullah wafat pada bulan Rabi’ulawwal tahun ke 11 Hijrah.

Allahu a’lam. Sambung ke usul yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Asri

Sessi 2

Sessi 3

Sessi 4

Sessi 5

Sessi 6

Sessi 7

Sessi 8

Sessi 9

Sessi 10

Sessi 11

Sessi 12

Sessi 13

Sessi 14

 

Usul 7: Tafsir Al-Qur’an Berpandukan Ayat Sebelum Dan Selepas

(7) Tafsir Al-Qur’an Berpandukan Ayat Sebelum Dan Selepas ( تفسير القرآن بما سبق وما لحق من القرأن )

Di sana terdapat beberapa istilah untuk menyatakan usul ketujuh ini. Tafsir al-Qur’aan berdasarkan

(a) Kesesuaian antara ayat-ayatnya (بالنظر إلى تناسب الايات)
(b) Perkaitan antara ayat-ayatnya (ربط الايات)
(c) Perhubungan antara ayat-ayatnya (ربط الكلام)
(d) Berdasarkan ayat selepas dan sebelumnya atau siyaaq dan sibaaqnya.


Usul ketujuh ini sangat istimewa dan penting kerana beberapa sebab berikut:

(i) ia menampakkan wujudnya keseragaman dan kesinambungan di dalam firman Allah,

(ii) ia membuktikan tertib kitabi al-Qur’an (tertib al-Qur’an seperti yang terdapat di dalam Mushaf hari ini) benar-benar diredhai Allah dan ia termasuk dalam perkara tauqifi (perkara yang ditentukan oleh Allah melalui RasulNya). Tidak ada sebarang campur tangan manusia, baik Sahabat mahupun Tabi’in dalam penyusunannya,

(iii) tertib al-Qur’an seperti yang terdapat di dalam Mushaf hari ini, meskipun tidak mengikut tertib nuzulnya, tetap mengandungi ciri-ciri i’jaz.

(iv) Pengaplikasian usul ketujuh ini dengan baik akan memadamkan kritikan dan kemusykilan sesetengah pihak yang menda’wa susunan ayat-ayat al-Qur’an berkecamuk dan tidak menarik.

(v) Keperluan siyaaq dan sibaaq untuk menentukan ma’na dan maksud asal sesuatu ayat lebih-lebih lagi diperlukan apabila terdapat riwayat tentang sebab nuzulnya yang kelihatan janggal dan tidak secocok dengan ayat-ayat selepas dan sebelumnya.

(vi) Da’waan golongan sesat dan menyeleweng seperti Syi’ah Rafidhah dan lain-lain bahawa sesetengah ayat al-Qur’an tergantung kerana ada beberapa ayat sebelum dan selepasnya telah dibuang oleh para Sahabat dengan sendirinya akan lenyap apabila anda berjaya mempertautkan ayat berkenaan dengan siyaaq dan sibaaqnya.

(vii) Sebagaimana siyaaq dan sibaaq (ayat yang tersebut selepas dan sebelum sesuatu perkataan) banyak membantu kita memahami ma’na dan maksud sesuatu perkataan di dalam sesuatu ayat, begitu juga ia banyak membantu kita memahami ma’na dan maksud sesuatu ayat itu sendiri.

Sebelum mengemukakan contoh-contoh ma’na dan maksud ayat yang difahami berdasarkan siyaaq dan sibaaq, elok kiranya dilihat terlebih dahulu betapa siyaaq dan sibaaq memainkan peranan yang penting dalam menentukan ma’na dan maksud sesuatu perkataan di dalam sesuatu ayat.


Di bawah ini dikemukakan beberapa contohnya:

(i) Perkataan الحكمة misalnya, menurut Abu Hayyan mempunyai 30 ma’na. la pada asalnya bererti kebijaksanaan. Inilah ertinya yang masyhur dan popular. Tetapi jika anda membaca ayat 261 hingga 274 di dalam Surah al-Baqarah, anda akan dapati 14 ayat berkenaan berbicara tentang berbelanja di jalan Allah. Di dalam ayat 269 daripadanya tersebut firman Allah yang terkandung di dalamnya perkataan الحكمة.

Firman Allah: يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا, apakah di sini juga perkataan itu seharusnya dipakai dengan makna popularnya atau dengan makna-mananya yang lain? Para ulama yang mengambil kira siyaaq dan sibaaqnya akan berkata, makna-makna yang lain kurang sesuai dipakai di sini. Ia di sini lebih sesuai dipakai dengan erti sifat murah hati, sifat suka berderma dan berbelanja dijalan Allah.

(ii) Perkataan المتقين disebut Allah sebanyak 41 kali di dalam al-Qur’aan. Ma’na asalnya ialah orang-orang yang bertaqwa. Ia dipakai oleh para mufassirin dengan maksud-maksud yang sesuai dengan siyaaq dan sibaaqnya. Di dalam Surah at-Taubah ayat 4, ia dipakai dengan ma’na orang-orang yang menepati dan memenuhi janji-janjinya. Berdasarkan siyaaq dan sibaaq, ia secara khususnya digunakan untuk orang-orang yang menepati dan memenuhi janji-janjinya dalam konteks polisi dan dasar luar negara. Lihat Surah at-Taubah, ayat 1 – 7. Di dalam Surah at-Qashash ayat 83, mengambil kira siyaaq dan sibaaq, perkataan المتقين seharusnya dipakai dengan ma’na orang-orang yang menggunakan kuasa dalam batas-batas peraturan dan undang-undang. Dan ia secara lebih khusus berkaitan dengan pihak berkuasa. Di dalam Surah an-Naba’ ayat 31 pula ia digunakan dengan ma’na orang-orang yang menjalani kehidupan dunia dengan penuh kesedaran dan keyakinan tentang akan adanya hari kiamat dan hari pembalasan. Perkataan المتقين digunakan di situ sebagai lawan kepada perkataan الطاغين yang telah disebutkan sebelumnya itu di dalam ayat 22. Perkataan الطاغين di sini telah dipakai dengan erti yang lebih khusus, laitu orang-orang yang menjalani kehidupan dunia dengan melampaui batas hukum Tuhan serta tidak mempunyai kesedaran kepercayaan akan adanya hari kiamat dan hari pembalasan. Lihat Surah an-Naba ayat 21 -36.

(iii) Perkataan المسرفين disebut Allah  sebanyak 7 kali di dalam al-Qur’an. Ma’na asal dan popularnya ialah berbelanja melebihi keperluan dalam perkara-perkara yang diharuskan. Tetapi pada beberapa tempat, melihat kepada siyaaq dan sibaaq, ma’na itu langsung tidak sesuai dengannya. Fir’aun juga dikatakan termasuk salah seorang dari kalangan المسرفين. Jadi ma’na المسرفين yang sesuai dengan orang-orang seperti Fir’aun ialah orang-orang yang melampaui batas dalam keganasan dan kekejamannya. Lihat ayat 31 di dalam Surah ad-Dukhan. Juga ayat 83 di dalam Surah Yunus dan ayat 43 Surah Ghafir.

Sekarang tibalah masanya untuk dikemukakan contoh-contoh  ma’nadari  maksud ayat yang difahami berdasarkan siyaaq dan sibaaqnya. Di bawah ini diberikan hanya 3 contoh sahaja sebagai panduan dan pedoman:

(i) Ayat ke 16, 17, 18 dan 19 di dalam Surah al-Qiyamah. Zahirnya tidak bersesuaian dengan siyaaq dan sibaaq. Keempat-empainya kelihatan tergantung di tengah-tengah ayat-ayat lain yang berbicara tentang apa yang akan berlaku di hari kiamat nanti. Perhatikan ayat-ayat berkenaan dan terjemahannya di bawah ini:

لَا أُقْسِمُ بِيَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Aku bersumpah dengan hari kiamat. (1)

وَلَا أُقْسِمُ بِالنَّفْسِ اللَّوَّامَةِ

dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri) (2)

أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَلَّن نَّجْمَعَ عِظَامَهُ

Apakah manusia mengira, bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya? (3)

بَلَىٰ قَادِرِينَ عَلَىٰ أَن نُّسَوِّيَ بَنَانَهُ

bukan demikian,sebenarnya Kami berkuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna. (4)

بَلْ يُرِيدُ الْإِنسَانُ لِيَفْجُرَ أَمَامَهُ

bahkan manusia itu hendak membuat ma’shiat terus menerus. (5)

يَسْأَلُ أَيَّانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ

Ia bertanya (secara mengejek)-“Bilakah hari kiamat itu?”(6)

فَإِذَا بَرِقَ الْبَصَرُ

Maka apabila mata terbelalak (ketakutan), (7)

وَخَسَفَ الْقَمَرُ

dan apabila bulan telah hilang cahayanya, (8)

وَجُمِعَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ

dan matahari dan bulan dikumpulkan, (9)

يَقُولُ الْإِنسَانُ يَوْمَئِذٍ أَيْنَ الْمَفَرُّ

(maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): “Ke manakah hendak melarikan diri?” (10)

كَلَّا لَا وَزَرَ

Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! (11)

إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمُسْتَقَرُّ

hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali, (12)

يُنَبَّأُ الْإِنسَانُ يَوْمَئِذٍ بِمَا قَدَّمَ وَأَخَّرَ

pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan. (13)

بَلِ الْإِنسَانُ عَلَىٰ نَفْسِهِ بَصِيرَةٌ

bahkan manusia itu menjadi saksi terhadap dirinya sendiri. (14)

وَلَوْ أَلْقَىٰ مَعَاذِيرَهُ

Meskipun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri). (15)

لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ

Janganlah engkau (wahai Muhammad) – kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu),(16)

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ

Sesungguhnya Kami jamin untuk mengumpulkannya (di dalam dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya, (17)

فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu dengan perantaraan Jibril), maka bacalahmenurut  bacaannya itu; (18)

ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ

Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan). (19)

كَلَّا بَلْ تُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ

Sekali-kali janganlah demikian.(Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. (20)

وَتَذَرُونَ الْآخِرَةَ

Dan meninggalkan (kehidupan) akhirat (yang kekal abadi kehidupannya), (21).

Tetapi berdasarkan tafsiran al-Qaffaal yang mengambil kira siyaaq dan  sibaaqnya tidak ada sebarang keadaan  ketergantungan (ayat 16-19) pada firman Allah di dalam Surah aI-Qiyaamah tadi. Ini kerana menurut beliau, keempat-empat ayat tersebut juga berkaitan dengan hari kiamat. Orang yang dihadap cakap oleh Allah di dalam firmanNya:

 لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ

itu bukanlah Nabi s.a.w. Sebaliknya ia ditujukan kepada seluruh umat manusia. Kerana setiap manusia di hari Qamar kelak akan membaca buku suratanamalan  masing-masing berdasarkan firman Allah s.w.t. di dalam ayat

اقْرَأْ كِتَابَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا

Bermaksud: Bacalah buku (suratan amalanmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan). (Al-Isra’:14).

Menurut al-Qaffaal, perkara ini telahdijelaskan  oleh Allah s.w.t. di dalam Sibaaq ayat-ayat tersebut, lalu di dalam ayal ke tiga belas sebelumnya:

يُنَبَّأُ الْإِنسَانُ يَوْمَئِذٍ بِمَا قَدَّمَ وَأَخَّرَ

Bermaksud: Pada hari itu, manusia akan diberitahu tentang apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan. (al-Qiyaamah: 13).

Lalu apabila bacaan mereka sampai kepada catitan-catitan amalan buruk  masing-masing, mereka akan mempercepatkan bacaan kerana gerun dan takut kepada balasan yang akan diterima serta malu untuk  mendedahkannya di hadapan khalayak ramai di Mahsyar nanti.

Pada ketika itulah dikatakan kepadanya:

لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ

Menurut al-Qaffaal, maksudnya ialah  janganlah engkau membaca dengan cepat suratan amalanmu itu. Kerana,

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ

Qaffaal mentafsirkannya dengan kata beliau: “Sesungguhnya Kami telah mengumpulkan segala-galanya di dalam buku suratan amalanmu itu dan Kami pasti akan membacanya (di hadapanmu)” Ayat kelapan belas selepasnya, iaitu:

فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Menurut tafsiran al-Qaffaal adalah: Apabila Kami selesai membacanya, terima sajalah kandungan apa yang dibawa itu”. Ayat kesembilan belas selepasnya pula. iaitu:

ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ

Menurut tafsiran al-Qaffaal adalah: “Kemudian Kami akan menjelaskan balasan bagi setiap amalan buruk yang telah kamu lakukan.

Tatsiran al-Qaffaal ini sesuai sangat dengan siyaaq dan sibaaqnya, meskipun ia tidak selaras dengan tafsiran Ibnu ‘Abbaas, di mana beliau mengaitkannya dengan peristiwa Nabi s.a.w. mempercepatkan bacaan Baginda untuk mengikuti bacaan Jibril yang menjadi asbabun Nuzul bagi ayat-ayat yang berkenaan. Kebanyakan penterjemah al-Qur’an dalam bahasa Melayu memilih tafsiran Ibnu ‘Abbaas di sini. Apa yang perlu sekali diketahui dan difahami ialah tatsiran ibnu Abbaas itu sebenarnya  merupakan tafsiran kedua  baginya sedangkan tafsiran pertama dan asal baginya adalah seperti yang diberikan oleh al-Qaffaal tadi.


(ii) Contoh kedua: Allah berfirman di dalam Surah Shaad:

۞ وَهَل أَتاكَ نَبَأُ الخَصمِ إِذ تَسَوَّرُوا المِحرابَ

Bermaksud: dan sudahkah sampai kepadamu (Wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat; (21)

إِذ دَخَلوا عَلىٰ داوودَ فَفَزِعَ مِنهُم ۖ قالوا لا تَخَف ۖ خَصمانِ بَغىٰ بَعضُنا عَلىٰ بَعضٍ فَاحكُم بَينَنا بِالحَقِّ وَلا تُشطِط وَاهدِنا إِلىٰ سَواءِ الصِّراطِ

iaitu ketika mereka masuk kepada (Nabi) Daud, lalu ia terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya; “Janganlah takut. (kami ini) dua orang yang berselisihan, salah seorang dari kami telah berlaku zaliin kepada yang lain; oleh iu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yaug lurus,(22)

إِنَّ هٰذا أَخي لَهُ تِسعٌ وَتِسعونَ نَعجَةً وَلِيَ نَعجَةٌ واحِدَةٌ فَقالَ أَكفِلنيها وَعَزَّني فِي الخِطابِ

“Sebenarnya orang ini ialah saudara (seagama)ku; ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; Dalam pada itu, ia (mendesakku dengan) berkata: ‘Serahkanlah yang seekor itu kepadaku’, dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu .(23)

قالَ لَقَد ظَلَمَكَ بِسُؤالِ نَعجَتِكَ إِلىٰ نِعاجِهِ ۖ وَإِنَّ كَثيرًا مِنَ الخُلَطاءِ لَيَبغي بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ إِلَّا الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ وَقَليلٌ ما هُم ۗ وَظَنَّ داوودُ أَنَّما فَتَنّاهُ فَاستَغفَرَ رَبَّهُ وَخَرَّ راكِعًا وَأَنابَ ۩

Berkata dia (Nabi Daud); “Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambmg-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengah yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh; sedang mereka amatlah sedikit! dan (Nabi) Daud (setetah berfikir sejurus) mengetahui bahawa sebenaraya Kami sedang mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat),(24)

فَغَفَرنا لَهُ ذٰلِكَ ۖ وَإِنَّ لَهُ عِندَنا لَزُلفىٰ وَحُسنَ مَآبٍ

Maka Kami ampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).(25) (Shaad: 21-25).

Persoalan mungkin timbul di dalam hati sesetengah orang bahawa apakah yang dimaksudkan Allah dengan firmanNya di dalam ayat 24 dan 25 dari Surah Shaad yang dikemukakan di atas?

Apakah bentuk ujian dan cobaan Allah terhadap Nabi Daud a.s.? Apakah Nabi Daud telah melakukan apa-apa dosa besar sehingga beliau memohon ampun kepada Tuhan sambil merebahkan diri bersujud dan bertaubat?

Untuk memecahkan persoalan ini macam-macam jawapan telah diberikan oleh para mufassirin. Ada di antara mereka mengemukan riwayat-riwayat Israiliyat yang menunjukkan memang Nabi Daud telah melakukan dosa besar. Dosa besar yang dilakukan beliau ialah membunuh Uria, seorang pahlawan yang amat setia kepada beliau dengan sengaja menghantarnya ke medan perang supaya ia terbunuh. Dan memang ia terbunuh. Maksud Daud melakukan begitu tidak lain hanyalah untuk dapat mengahwini isterinya Batsyeba.

Ada yang mengatakan, kesalahan Daud sebenamya terletak pada beliau terus  memenangkan pihak yang memiliki seekor anak kambing tanpa mendengar terlebih dahulu keterangan pihak yang memiliki 99 ekoi kambing. Sepatutnya beliau mendengar terlebih dahulu keterangan dari kedua-dua belah pihak yang berselisih sebelum membuat sesuatu keputusan. Kesilapan itulah yang mendorong Daud beristighfar dan bertaubat kepada Allah, apabila mengingatkan apa yang berlaku kepadanya itu sebenarnya merupakan ujian Allah.

Ada pula yang mengatakan, orang-orang yang datang dengan memanjat pagar atau dinding istana Daud sememangnya bermaksud membunuh beliau. Setelah mereka mendapati ada ramai pengawal di kawasan mihrab tempat Nabi Daud beribadat, mereka berpura-pura mengemukakan kes seperti tersebut di dalam ayat 22-23 Surah Shaad. Nabi Daud mengetahui maksud sebenar mereka. Beliau telah bertekad untuk menghukumi mereka dengan seberat-berat hukunum. Tetapi setelah berfikir bahawa semua itu adalah ujian Allah kepadanya, beliau membatalkan maksud asalnya hendak menghukum mereka. Nabi Daud sedar bahawa tindakan yang paling layak dan sesuai dengan kedudukan beliau ialah mema’afkan, bukan membalas dendam. Maka beliau terus beristighfar dan bertaubat kepada Allah atas ketelanjurannya itu. Oleh kerana Daud telah betul-betul insaf, Allah terus mengampunkan kesalahan dan keterlanjurannya, dan macam-macam lagi…Namun semuanya tidak mengambil kira siyaaq dan sibaaq ayat-ayat tersebut.

Maulana Hifzur Rahman Sevhaarwi di dalam Qasas al-Qur’annya berbeza daripada mufassir-mufassir yang lain kerana beliau mengaitkan ayat-ayat tersebut dengan siyaaq dan sibaaqnya. Menurut beliau, berdasarkan riwayat Ibnu ‘Abbaas yang dihukum sahih oleh al-Haakim dan az-Zahabi, Nabi Daud telah membahagikan hari-hari dalam kehidupannya kepada empat bahagian. Satu hari khusus untuk beribadat kepada Allah. Satu hari untuk menyelesaikan kes-kes yang dikemukakan kepada beliau. Satu hari khusus untuk memenuhi keperluan peribadi dan keluarganya dan satu hari pula untuk memimpin dari membimbing kaumnya, Bani Israil. Pembahagian hari-hari seperti itu kurang sesuai dengan kedudukan seorang khalifah dan raja. Seorang khalifah dan raja seperti Nabi Daud tidak sepatutnya mengkhususkan sehari suntuk untuk beribadat semata-mata, walaupun ibadat adalah sesuatu yang amai disukai Allah dan merupakan tujuan sebenar kejadian Jin dan manusia. Kerana pada hari-hari yang lain juga tentunya Nabi Daud ada beribadat. Sama sekali tidak dapat dibayangkan adanya hari-hari seseorang nabi yang langsung tidak diisi dengan sebarang ibadat. Ibadat tentu ada dalam amalan harian seseorang nabi. Cuma mengkhususkan satu hari untuk ibadat semata-mata, di mana ia langsung tidak dapat dihubungi dan ditemui sesiapa pun dalam keadaan bagaimana sekalipun adalah sesuatu yang tidak layak dan tidak sesuai dengan kedudukan seorang nabi lagi raja seperti Daud. Itulah sebabnya Allah berfirmian di dalam ayat berikutnya begini:

يا داوودُ إِنّا جَعَلناكَ خَليفَةً فِي الأَرضِ فَاحكُم بَينَ النّاسِ بِالحَقِّ وَلا تَتَّبِعِ الهَوىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَضِلّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ بِما نَسوا يَومَ الحِسابِ

Bermaksud: Wahai Daud, Sesungguhnya Kami menjadikanmu khalifah (penguasa) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan hukum syariat yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. (Shaad: 26)

Sebagai seorang khalifah beliau seharusnya mengutamakan masyarakat daripada kepentingan dan kesukaan peribadi sendiri. Beliau sepatutnya lebih banyak memberi masa untuk membimbing dan menyelesaikan masalali ra’yat jelatanya.

Akibat daripada pembahagian hari-hari seperti itulah berlaku apa yang telah berlaku. la diceritakan oleh Allah di dalam Surah Shaad bermula dari ayat 21 hingga 25. Peristiwa yang tersebut di dalam ayat 21 hingga 25 ini merupakan sindiran dan teguran Allah secara tidak langsung kepada Daud. Namun Daud dapat menangkapnya, kerana beliau seorang yang bijaksana. Beliau terus beristightar, bersujud dan bertaubat kepada Allah atas ketelanjurannya itu. Maka taubatnya diterima Allah. Selepas iu pembahagian hari-hari dalam kehidupan Nabi Daud tidak lagi berjalan seperti sebelumnya.

Perhatikan siyaaqnya, iaitu ayat 26 Surah Shaad yang dikemukakan tadi. Dan perhatikan pula sibaaqnya di bawah ini:

وَشَدَدنا مُلكَهُ وَآتَيناهُ الحِكمَةَ وَفَصلَ الخِطابِ

Bermaksud: dan Kami kuatkan kerajaannya serta Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan. (Shaad:20).

Bukankah kedua-duanya berada dalam jalinan yang sangat teguh dan indah bersama-sama dengan beberapa ayat dari Surah Shaad yang mengisahkan ujian Allah terhadap Nabi Daud a.s ? Tafsiran ini kuat dan menarik kerana selain ia mengambil kira siyaaq dan sibaaq ayat, ia juga mengambil kira riwayat dan dirayat hadits berkenaannya.


(iii) Contoh ketiga: Siapakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan ‘Ahlul Bait’ di akhir ayat 33 Surah al-Ahzaab ini?

إِنَّما يُريدُ اللَّهُ لِيُذهِبَ عَنكُمُ الرِّجسَ أَهلَ البَيتِ وَيُطَهِّرَكُم تَطهيرًا

Bermaksud: Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan dosa dari kamu wahai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya,

Adakah ia isteri-isteri Rasulullah s.a.w. atau keluarga Baginda seumumnya atau individu-individu tertentu seperti kata golongan Syiah?
Menerima orang-orang lain selain isteri-isteri Rasulullah s.a.w. sebagai Ahlul Bait di dalam ayat ini bererti memutuskannya daripada kalam Allah sebelum dan selepasnya. Jika dilihat kepada siyaaq dan sibaaqnya, jelas yang dimaksudkan dengannya ialah isteri-isteri Rasulullah s.a w. Mengatakan bukan isteri-isteri Rasulullah yang dimaksudkan di sini bererti melakukan penyelewengan terhadap ma’na al-Qur’an (التحريف المعنوي للقرآن).

Di bawah ini dikemukakan ayat berkenaan lengkap dengan siyaaq dan sibaaqnya:

يا نِساءَ النَّبِيِّ مَن يَأتِ مِنكُنَّ بِفاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ يُضاعَف لَهَا العَذابُ ضِعفَينِ ۚ وَكانَ ذٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسيرًا

Bermaksud; Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. (30)

۞ وَمَن يَقنُت مِنكُنَّ لِلَّهِ وَرَسولِهِ وَتَعمَل صالِحًا نُؤتِها أَجرَها مَرَّتَينِ وَأَعتَدنا لَها رِزقًا كَريمًا

Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia. (31)

يا نِساءَ النَّبِيِّ لَستُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّساءِ ۚ إِنِ اتَّقَيتُنَّ فَلا تَخضَعنَ بِالقَولِ فَيَطمَعَ الَّذي في قَلبِهِ مَرَضٌ وَقُلنَ قَولًا مَعروفًا

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti wanita yang lain, kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembul manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah (dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan) (32)

وَقَرنَ في بُيوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجنَ تَبَرُّجَ الجاهِلِيَّةِ الأولىٰ ۖ وَأَقِمنَ الصَّلاةَ وَآتينَ الزَّكاةَ وَأَطِعنَ اللَّهَ وَرَسولَهُ ۚ إِنَّما يُريدُ اللَّهُ لِيُذهِبَ عَنكُمُ الرِّجسَ أَهلَ البَيتِ وَيُطَهِّرَكُم تَطهيرًا

dan hendaklah kamu tetap diam di rumahmu serta janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan dosa dari kamu wahai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya. (33)

وَاذكُرنَ ما يُتلىٰ في بُيوتِكُنَّ مِن آياتِ اللَّهِ وَالحِكمَةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ كانَ لَطيفًا خَبيرًا

dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumahmu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan Hikmah (Sunnah Nabimu). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (34). (al-Ahzaab:30-34).

Mengatakan ganti nama jama’ muzakkar yang tersebut di dalam firman Allah: إِنَّما يُريدُ اللَّهُ لِيُذهِبَ عَنكُمُ الرِّجسَ أَهلَ البَيتِ وَيُطَهِّرَكُم تَطهيرًا menghalang perkataan Ahlul Bait dipakai dengan erti isteri-isteri nabi sa.w. adalah berpunca daripada kejahilan tentang bahasa ‘Arab dan kurangnya penelitian terhadap kalam Allah di dalam al-Qur’an.

Sambung ke Usul yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Asri

Usul 6: Tafsir al-Qur’an menggunakan aqal

(6) Tafsir a]-Qur’an menggunakan aqal fikiran (تفسير القرآن بالرأي)

Usul keenam ialah menyatakan pendapat setelah meneliti, merenung dan mengkaji al-Qur’an berpandukan usul-usul yang tersebut di atas. Allah mengurniakan aqal kepada manusia. Al-Qur’an pula menggesa manusia menggunakan aqalnya. Maka seseorang ahli tafsir hendaklah sentiasa menggunakan ‘aqal dalam kajiannya terhadap al-Qur’an. Dengan menggunakan ‘aqal, wujudlah kefahaman yang mendalam tentang agama (تفقه في الدين). Lihailah bagaimana doa Rasulullah s.a.w. untuk Ibnu ‘Abbaas, seorang yang kemudiannya terbilang sebagai tokoh utama dalam tafsir. Bukankah baginda mendoakan agar beliau mendapat kefahaman yang mendalam tentang agama dan agar diajar Allah kepadanya ilmu tafsir al-Qur’an? Begini doanya:

اللهم فقهه فى الذين و علمه في التأويل

Bermaksud: “Ya Allah, kurniakanlah kepadanya (Ibnu ‘Abbaas) kefahaman yang mendalam tentang agama dan ajarlah dia ilmu tafsir al-Qur’an.” (Hadits riwayat Ahmad dan Ibnu Abi Syaibah).

Saiyyidina ‘Ali pernah berkata: tidak ada apa-apa ilmu khusus atau rahsia pada kami, selain kefahaman tentang al-Quran yang Allah kurniakan kepada seseorang إلّا فهما يعطيه الله رجلا في القرأن. (Atsar riwayat al-Bukhari). Kata-kata Saiyyidina Ali ini selain menolak da’waan golongan Bathiniah, menonjolkan juga betapa istimewanya kefahaman hasil kajian terhadap al-Qur’an dengan menggunakan aqal fikiran. Kefahaman dan pemahaman al-Qur’an secara mendalam itulah sebenarnya yang dikatakan tafsir al-Qur’an menggunakan fikiran (التفسير بالرأي المذموم).

Peringatan:

Perlu sekali difahami dengan baik pengertian mentafsir al-Qur’an dengan menggunakan fikiran. Sesetengah orang mengharamkan semua bentuk tafsir yang menggunakan ‘aqal fikiran. Sesetengah yang lain pula mengambil kesempatan daripadanya dan bertindak mentafsirkan al-Qur’an dengan sewenang-wenang dan sesuka hati. Imam Ibnu Taimiyyah di dalam Muqaddimah Usul Tafsirnya telah menulis beberapa panduan penting berhubung dengan perkara ini. Penulis akan menyaringnya menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas. Kata beliau: “Tafsir menggunakan fikiran terbahagi kepada dua.

(a) Tafsir menggunakan fikiran yang terpuji (تفسير بالرأي المحمود).

(b) Tafsir menggunakan akal fikiran yang tercela (تفسير بالرأي المذموم)

Tafsir menggunakan fikiran yang terpuji ialah mentafsir sesuatu ayat al-Qur’an secara bersepadu. Dengan cara mengemukakan ayat-ayat lain yang ada kaitan dengannya, mengemukakan hadits-hadits sahih yang membantu penafsirannya disamping membatalkan hadits-hadits dha’if dan maudhu’ yang dikaitkan dengannya, menyebutkan ijma’ Sahabat jika ada, membawa beberapa pendapat mereka dan mentarjihkan mana yang rajih daripadanya, menyatakan pendapat Tabi’in yang boleh dan tidak boleh dijadikan dalil, membincangkannya berdasarkan qaedah bahasa ‘Arab secara tuntas, lalu mengemukakan pendapat atau membuat kesimputan dan keputusan berlandaskan dalil-dalil yang kukuh dan teguh. Mentafsirkan al-Qur’an dengan cara seperri itulah yang dikatakan ‘tafsir menggunakan fikiran yang terpuji’. Tafsir seperti ini memang terpuji dan menjamin kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

Tafsir menggunakan fikiran yang tercela pula ialah tafsir dengan menggunakan fikiran semata-mata tanpa menghiraukan segala usul yang telah disebutkan sebelum ini. Orang yang mentafsir al-Qur’an menggunakan fikiran tercela akan mencari dalil-dalil atau sokongan-sokongan daripada al-Qur’an untuk menyokong dan menguatkan sesuatu fahaman yang telah sedia padanya. Dia mengutamakan aqalnya dan menolak hadits-hadits sahih yang bercanggah dengannya. Dia tidak percayakan mukjizat. Dia bahkan selalu saja menyalahi qaedah-qaedah bahasa Arab yang disepakati ahli-ahli bahasa. Pentafsir seperti ini bukan sekadar tercela malah akan diseksa Allah di akhirat nanti. Ini kerana ia bukan sahaja menyesatkan dirinya, malah menyebabkan orang-orang lain juga sesat. Semoga AIlah melindungi kita semua daripada perbuatan sebegini. Menurut Imam Ibnu Taimiyyah r.a. perbuatan mentafsir al-Qur’an dengan menggunakan ‘aqal semata-mata adalah haram. Setelah menukilkan sekian banyak kata-kata Sahabat dan Tabi’in tentang tafsir menggunakan fikiran yang terpuji, beliau berkata, tidak salah mentafsirkan al-Qur’an menggunakan fikiran yang terpuji itu. Mana ada ahli tafsir di dunia ini yang langsung tidak mengguna fikirannya, kemudian menyatakan pendapatnya ketika mentafsir al-Qur’an? Kata beliau lagi: “Adapun orang yang mahir dalam bahasa Arab dan alim tentang syariat, maka tidak mengapa ia mentafsir al-Qur’an menurut pendapatnya.” Para ulama salaf akan memberikan pendapat mereka tentang sesuatu ayat al-Qur’an, jika mereka mempunyai pengetahuan tentangnya. Dalam keadaan mereka tidak mempunyai pengetahuan pula, mereka akan mendiamkan diri sahaja. Mendiamkan diri dalam keadaan anda mempunyai pengetahuan tentang al-Qur’an adalah satu dosa besar. la termasuk dalam menyembunyikan agama Allah.

Seorang ahli tafsir, biar bagaimana hebat dan ikhlas sekalipun, tetap mungkin melakukan kesilapan. Kerana ia tetap seorang manusia. la hanya seorang umat, bukan seorang nabi atau rasul yang ma’shum. Bagaimanapun ada perbezaan di antara kesilapan yang berlaku pada seorang pentafsir ahli as-Sunnah yang ikhlas dan pentafsir dari kalangan ahli bid’ah. Pentafsir dari kalangan ahli as-Sunnah yang ikhlas dan menggunakan qaedah-qaedah usul tafsir dengan sebaik-baiknya diampunkan jika tersalah dalam pentafsirannya. Sedangkan pentafsir dari kalangan ahli bid’ah tetap dikira bersalah, meskipun benar dalam pentafsirnnnya. Ini kerana kebenaran dan ketepatan tafsirannya hanyalah satu kebetulan semata-mata.

Perincian Yang Tidak Berfaedah Dalam Tafir

Seseorang pelajar tafsir hendaklah mengetahui bahawa di dalam sesetengah tafsir yang menjadi rujukan umat terdapat sekian banyak cerita yang dikaitkan dengan sesuatu firman Allah s.w.t. Padahal ia langsung tidak berasas dan tidak bersanad. Malah terdapat juga di dalamnya perincian-perincian yang tidak berfaedah. Oleh itu apabila mentafsir al-Qur’an, anda hendaklah berpada dengan riwayat-riwayat yang sahih meskipun ia tidak terperinci. Sibuk mencari ma’lumat tentang berapakah panjang dan lebar bahtera Nabi Nuh a.s. adalah sesuatu yang sia-sia dan tidak berfaedah. Berapakah bilangan bilangan Ashab al-Kahfi juga sesuatu yang tidak perlu dipastikan. Kalau ia betul-betul diperlukan, tentu Allah dan RasulNya telah memberitahu tentangnya. Apa yang perlu ditekankan sebenarnya ialah tentang maksud al-Qur’an mengemukakan sesuatu cerita. Kenapa misalnya Allah telah memerintah Nabi Nuh supaya membuat bahtera? Kenapa Ashab al-Kahfi terpaksa berlindung di dalam gua tempat persembunyian mereka. Apakah perkara yang mendorong mereka lari ke gua itu?

Sambung ke Usul yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Asri

Usul 5: Tafsir Quran dengan Qaedah Bahasa Arab

(5) Tafsir Al-Qur’an Berpandukan Qaedah-Qaedah Bahasa ‘Arab (تفسير القرآن بقواعد اللغة العربية)

Usul kelima ialah mentafsir al-Qur’an berpandukan qaedah-qaedah bahasa Arab. Usul ini tidak kurang pentingnya daripada usul-usul yang tersebut sebelumnya.

Pentafsir mestilah seorang yang mempunyai latar belakang yang kukuh dalam bahasa ‘Arab. la mestilah mahir dalam ilmu Nahu, Sharaf, bahasa ‘Arab dan Balaghah dengan segala cabang-cabangnya. la mestilah mengetahui semua bentuk tasybih, ist’arah, kinayah dan sebab-sebab ijaaz serta ithnaab, selain mampu mengesan sesuatu yang mahzuf (dibuang) di dalam sesuatu ayat, dan lain-lain perbahasan yang termasuk di bawah ilmu Bayan, Ma’ani dan Badi’ yang menipakan cabang-cabang ilmu Balaghah.

Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa ‘Arab. Tanpa penguasaan bahasa ‘Arab seseorang tidak mungkin dapat memahami al-Qur’an. Hadits-hadits Rasulullah s.a.w. juga dalam bahasa ‘Arab. Baginda s.a.w. bahkan merupakan orang Arab yang paling fasih. Oleh itu seseorang yang hendak mentafsir al-Qur’an mestilah mengetahui selok-belok bahasa ‘Arab fusha yang digunakan di zaman Nabi s.a.w. Sya’er-sya’er Arab Jahiliah juga mestilah dijadikan rujukan, kerana ia merupakan contoh penggunaan bahasa Arab fusha (standard) yang tulen. Itulah sebabnya Ibnu ‘Abbaas berkata: Jika timbul apa-apa kemusykilan (berhubung dengan bahasa ‘Arab) kepadamu, carilah jawapannya di dalam Sya’er (Arab jahiliah). Kerana Sya’er (Arab jahiliah) itu adalah kamus bahasa’Arab.

Di bawah ini akan dikemukakan dua contoh penyelewengan dalam tafsir akibat mengabaikan usul kelima.

(a) Ada golongan anti hadits yang tidak mengerti bahasa ‘Arab menterjemahkan firman Allah: اضرب بعاك الحجر yang sebenarnya bererti: “pukullah batu itu dengan tongkatmu”, tapi mereka salah terjemah: “bawalah pengikutmu berjalan di bukit”. Penterjemah anti hadits itu tidak mengetahui bahawa ضرب yang muta’addi bi nafsih bererti pukul atau memukul. Perkataan ضرب yang muta’addi dengan في sahaja bererti berjalan, berpergian atau bersiar-siar.

(b) Seorang sufi sesat pula mentafsirkan firman Allah di dalam ayat ke 69 Surah al’Ankabut: وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ المُحسِنينَ yang makna sebenarnya ialah: “dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik”, tapi dia salah tafsir “dan sesungguhnya Allah benar-benar telah menggilap orang-orang sufi.” Si jahil ini tidak sedar bahawa لام pada perkataan لَمَعَ bukan فاء fi’il, tetapi لام التأكيد (Lam yang merupakan kata penguat pada khabar إِنَّ.

Sambung ke Usul yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Asri

Usul 4: Tafsir Quran dengan Atsar Tabi’in

(4) Tafsir Al-Qur’an Dengan Atsar Tabi’in (تفسير القرآن بآثار التابعين)

Sumber keempat tafsir Qur’an ialah atsar Tabi’in dan pendapat-pendapat mereka, dengan syarat ia sampai kepada kita (umat) melalui saluran nukilan yang sahih. Terutamanya atsar Tabi’in dari kalangan murid-murid Ibnu ‘Abbaas r.a. seperti Mujahid, Ikrimah, Qataadah, Hasan Bashri, Ibnu Sirin dan lain-lain. Tabi’in ialah generasi umat Islam yang merupakan pelapis kepada generasi para Sahabat. Ramai daripada mereka merupakan murid-murid Sahabat. Mereka menerima ilmu agama Islam daripada Sahabat Nabi s.a.w. sendiri. Mereka dinamakan Tabi’in kerana telah betul-betul mengikut SunnahNabi s.a.w. dan menurut jejak langkah para Sahabat Baginda s.a.w. Allah di dalam al-Qur’an menyebutkan mereka sebagai وَالَّذينَ اتَّبَعوهُم بِإِحسانٍ (dan orang-orang yang menurut [jejak langkah] mereka [Sahabat muhajirin dan anshar] dengan baik). (at-Taubah:100).

Oleh kerana kalangan Tabi’in yang utama telah menerima tafsir al-Qur’an daripada para Sahabat yang memang mahir dan ahli dalam bidang tafsir, kata-kata dan pendapat-pendapat mereka juga perlu diletakkan di hadapan apabila anda hendak mentafsir al-Qur’an. Walau bagaimanapun beberapa perkara di bawah ini perlulah sentiasa diingat:

(a) Apa yang diperselisihkan di kalangan Tabi’in bukan merupakan hujah dalam agama. Tetapi apa-apa yang diijma’kan mereka merupakan hujah menurut kebanyakan ulama.

(b) Riwayat-riwayat berhubung dengan tafsir dinukilkan dcngan dua cara. Pertama dengan bersanad. Kedua, tanpa sanad. Atsar Sahabat dan Tabi’in yang dinukilkan dengan sanad yang kuat sahaja diterima. Riwayat-riwayat Sirah dan Maghazi yang tidak sahih tidak seharusnya digunakan untuk mentafsir al-Qur’an. Imam Ahmad berkata: “Ada tiga perkara (kebanyakannya) tidak bersanad; tafsir, malahim (cerita-cerita peperangan) dan maghazi (Sirah Nabi s.a.w.).” Sebabnya Imam Ahmad berkata begitu kerana kebanyakan riwayat berhubung dengannya kalau ada pun sanadnya, ia sama ada munqathi atau mursal.

Di bawah ini dikemukakan dua contoh tafsir dengan atsar Tabi’in. Dalam mentafsirkan firman Allah yang terdapat di dalam ayat 31 Surah an-Nur iaitu أَوِ التّابِعينَ غَيرِ أُولِي الإِربَةِ مِنَ الرِّجالِ yang bermaksud: “atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita.”

Qataadah (m.118H) seorang Tabi’i yang terkenal berpendapat, ia bererti orang-orang yang bergantung hidupnya kepada seseorang untuk mendapat makanan dan minumannya. Mereka pula telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan.

Menurut Mujahid (m.107H) pula, ia adalah laki-laki bodoh yang langsung tidak ada keinginan kepada wanita.

Sambung ke Usul yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Asri