Pengenalan
Kenapa kita perlu meneliti kaitan antara ayat-ayat di dalam Al-Qur’an?
Allah adalah sebaik-baik daripada semua penutur. Dan semua ucapan tertakluk kepada organisasi. Semua ucapan, walaupun satu perkataan, adalah sebuah organisasi daripada beberapa huruf. Dari beberapa huruf itu membentuk satu perkataan. Dan setiap ayat ialah susunan kata-kata yang memberi makna apabila diletak bersama-sama. Setiap perenggan ialah organisasi beberapa ayat. Dan setiap bab adalah sebuah organisasi daripada perenggan. Setiap buku merupakan sebuah organisasi daripada beberapa bab yang disusun satu persatu. Dan setiap buku adalah sebahagian dari subjek yang merupakan sebuah organisasi dari pelbagai buku-buku yang membincangkan satu topik yang sama. Buku satu, buku dua, buku tiga, buku empat dan seterunya. Dan dari banyak subjek ia boleh menjadi perpustakaan supaya semua pengetahuan manusia dapat dikongsikan bersama. Perhatikan semua ini bermula dengan susunan secara harfiah satu huruf selepas huruf yang lain, bukan? Dan ini merupakan sesuatu yang diilhamkan oleh Ilahi.
Kita tidak mampu mereka sendiri bahasa. Allah telah beritahu kita yang Dia lah yang telah mengajarkan manusia dengan bahasa. Allah berfirman di dalam Rahman:4
عَلَّمَهُ الْبَيَانَ
Dia lah yang telah mengajar manusia berkata-kata.
Dan sudah tentu anda pernah lalui di dalam mana-mana pendidikan, guru yang paling berkesan yang pernah anda belajar darinya adalah yang paling teratur dalam ucapan mereka. Kalau dapat guru yang merapu, anda pun tidak boleh faham apa yang dia sampaikan. Apabila seseorang bercakap dengan anda dan anda boleh kesan kata-kata mereka yang terdapat permulaan, pertengahan, dan akhir. Apabila anda mendengar seseorang bercakap, mereka mempunyai cara yang jelas untuk menyampaikan semua idea mereka, tentu anda senang faham. Jadi sesuatu penceritaan melibatkan organisasi kata dan ayat-ayat yang baik, tersusun cantik. Ini kerana struktur dan organisasi perkataan dalam ucapan merupakan komponen yang diperlukan berkomunikasi dengan baik. Tetapi jika ucapan tidak mempunyai organisasi, sekejap cakap A kemudian melompat ke D, tentu kita lelah untuk memahaminya, bukan?
Sebaik mana pun kata-kata manusia yang puitis, sehebat mana pun buku yang ditulis, tidaklah dapat menandingi kehebatan Kalam Allah. Imam al-Baihaqi pernah berkata:
“Kelebihan kalamullah (ucapan Allah) berbanding kalam makhluk adalah seperti kelebihan (perbezaan) Allah di atas makhluk-Nya.”
Hamiduddin Farahi (seorang ulama besar dari India, m. 1930) membawa revolusi dalam cara kita melihat struktur teks Al-Qur’an. Beliau terkenal dengan teori Nazm al-Qur’an (Keserasian/Susunan al-Qur’an). Sebelum Farahi, ramai sarjana beranggapan bahawa ayat-ayat al-Quran kadangkala melompat-lompat topiknya tanpa kaitan yang jelas. Farahi menolak pandangan ini sekeras-kerasnya. Kata Farahi:
“Bagaimana mungkin Allah yang telah menyusun tulang-temulang di dalam tubuh manusia dengan begitu teliti, dan menyusun bintang-bintang di langit dengan perkiraan yang tepat, akan membiarkan firman-Nya (al-Qur’an) turun tanpa susunan dan kaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain?”
Kalau kita membaca terjemahan Al-Qur’an, memang kita tidak akan nampak susunan yang indah di dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana Al-Qur’an mempunyai susunannya yang tersendiri, bukan seperti susunan manusia yang kita boleh nampak dengan mudah. Kalau kita ada satu pandangan yang susunan ayat kena begini dan begitu, ia tidak boleh dipakai pada Al-Qur’an, kerana susunan ayat-ayat di dalam Al-Qur’an adalah susunan tuan punya perkataan, iaitu Allah sendiri.
Jadi ayat-ayat di dalam Al-Qur’an berkait antara satu sama lain. Kadang-kadang ia tidak jelas kelihatan kerana ia bukan duduk di dalam satu ayat yang sama. Sebagai contoh, Allah sebut Nabi Musa di dalam satu surah, kemudian memberi penjelasan lain tentang baginda di dalam surah yang lain. Maka kita kena baca kesemua ayat tentang Nabi Musa untuk memahami apa yang terjadi. Contoh lain Allah sebut syirik di satu tempat dan kemudian menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan syirik di tempat yang lain. Jadi kita tidak boleh faham ayat Al-Qur’an dengan hanya melihat satu tempat sahaja.
Kaitan Antara Permulaan dan Penutup Surah
Sekarang mari kita lihat kaitan antara pembukaan Surah Yusuf (prolog) dan penutupnya (epilog). Prolog Surah Yusuf adalah Ayat 1 – 3 dan Epilog Surah Yusuf adalah Ayat 102 – 111. Selain darinya (Ayat 4 – 110) adalah kisah baginda.
Dan kita boleh pecahkan lagi kepada beberapa bahagian lagi supaya kita nampak keindahan kaitan antara dua bahagian ini. Pertamanya kita kaitkan antara Ayat 1 – 2 dengan Ayat 111.
Di dalam Ayat 1, Allah menyebut tentang Al-Qur’an dengan menekankan bahawa ia adalah wahyu Ilahi. Digunakan kalimah تِلكَ (itu) sebagai isyarat ketinggian Al-Qur’an itu. Ia ada di Lauh Mahfuz dan kerana itu digunakan istilah ٱلكِتَـٰبِ yang merujuk kepada kitab yang di langit itu. Ia menekankan kemuliaan Al-Qur’an. Dan kemudian disebut sifat Al-Qur’an iaitu ia adalah ٱلمُبِينِ. Kalimah ٱلۡمُبِينِ ini di dalam bentuk Lazim (Intransitif) dan Muta’addi (Transitif). Ini bermaksud bahawa ia adalah kitab yang jelas. Mesejnya jelas, arahannya jelas, panduannya jelas. Tetapi ia bukan sahaja jelas, ia juga menjelaskan. Menjelaskan. Apakah perbezaan antara jelas dan menjelaskan?
Jikalau kita baca sesuatu dan apa yang kita baca itu jelas, kita akan senang faham. Maksudnya ia jelas. Kemudian apa yang kita baca itu pula menjelaskan sesuatu perkara. Ini bermaksud ia menjelaskan. Jika ia menjelaskan, ia memberi cahaya pada perkara-perkara lain. Ia beza antara terang dan menerangi. Apabila sesuatu bilik terang, maknanya saya boleh nampak apa yang berlaku di dalam bilik itu. Maksud bilik itu menerangi bermakna ruang tamu pun dinyalakan oleh bilik ini. Oleh itu, Al-Quran itu jelas pada dirinya sendiri dan ia juga menjelaskan. Al-Qur’an menjelaskan apa yang perlu hamba lakukan dalam pelbagai situasi. Ia menjelaskan bagaimana emosi anda perlu dikawal. Ia juga menjelaskan bahawa ia adalah Kalam Allah. Ia terus menjelaskan bahawa ia bukan tulisan manusia tapi datang dari Ilahi.
Di dalam Ayat 2, Allah menyebut Al-Qur’an itu adalah قُرءٰنًا (bacaan). Kalau di dalam Ayat 1 tadi disebut ia adalah ٱلكِتَـٰبِ (tulisan). Bacaan tidak sama kesannya dengan tulisan, bukan? Jadi dalam tulisan pun ada, dalam bacaan pun ada. Dan Allah tambah dengan kata ia adalah bacaan عَرَبِيًّا (di dalam Bahasa Arab). Dan kemudian Allah sebut tujuannya adalah لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ (agar kamu memahaminya). Digunakan bahasa yang mudah difahami, bahasa yang indah. Tujuannya supaya kita boleh faham menggunakan apa? Menggunakan akal.
Sekarang kita lihat pula Ayat 111. Tapi bukanlah keseluruhan ayat tapi bahagian kedua dari ayat itu. Allah kata Al-Qur’an itu مَا كَانَ حَدِيثً۬ا يُفۡتَرَىٰ (bukanlah cerita yang direka) dan ini menguatkan firmanNya di dalam Ayat 1 تِلكَ yang memberi isyarat bahawa Al-Qur’an adalah kalam Ilahi dan sekarang di dalam Ayat 111 Allah memberitahu lagi yang ia bukan rekaan.
Di dalam Ayat 111, Allah memberitahu تَصدِيقَ ٱلَّذِى بَينَ يَدَيهِ (membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya) dan bukankah di dalam Ayat 1 Allah telah memberitahu yang Al-Qur’an adalah kitab yang المُبينِ (yang menjelaskan)? Ia dilakukan dengan memperbetulkan kisah-kisah yang telah diubahsuai di dalam kitab-kitab yang ada pada Ahli Kitab. Yang mana benar, disabitkan dan yang mana tidak benar, telah diperbetulkan oleh Al-Qur’an yang bersifat المُبينِ.
Ayat 1 menggunakan kalimah المُبينِ dan Ayat 111 menggunakan kalimah تَفصِيلَ. Kedua-dua kalimah ini mengandungi makna ‘menjelaskan’. Dan kedua-duanya memberi makna pemisahan dan penyambungan. Iaitu untuk menjelaskan sesuatu, kena dibezakan dan diletakkan kaitan antara perkara yang berbeza untuk memberi penjelasan.
Di dalam Ayat 111 Allah menyebut tentang هُدًى (petunjuk). Bagaimana untuk mendapat هُدًى ini? Allah telah berikan syaratnya di dalam Ayat 2 iaitu تَعقِلونَ (kalian berfikir). Kerana hanya dengan berfikirlah baru seseorang dapat mengambil petunjuk yang Allah telah sediakan di dalam Al-Qur’an. Dan apabila mendapat petunjuk itu, apa yang pemikir Al-Qur’an akan dapat? Itulah telah diberitahu رَحمَةً yang akan diberikan kepada mereka yang mahu. Syarat utamanya adalah kena menggunakan akal.
Tapi bagi siapa? Di dalam Ayat 111 disebut لِقَومٍ يُؤمِنُونَ (bagi kaum yang mahu beriman). Dan mereka ini adalah golongan yang sama juga disebut di dalam Ayat 2 iaitu mereka yang mahu berfikir تَعقِلونَ. Mereka yang mahu mengukuhkan iman mereka hendaklah berfikir kerana iman itu turun dan naik. Dan cara untuk menaikkan iman adalah dengan ilmu. Semakin banyak ilmu seseorang, semakin tinggi imannya.
Sekarang kita perhatikan bahagian awal dari Ayat 3. Allah berfirman نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ (Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik). Frasa ini memberikan pelbagai makna. Ini bermakna yang terbaik daripada semua cerita. Ini bermaksud kaedah terbaik untuk menceritakan kisah. Ia bermaksud bahagian-bahagian yang paling indah dalam cerita dan versi cerita yang paling indah, kerana terdapat juga versi yang hodoh, yang ada di luar sana, yang beredar di dunia.
Kemudian perhatikan bahagian pertama dari Ayat 111 لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal). Perhatikan kaitan di antara dua bahagian ini kerana kedua-duanya ada kalimah قَصَصِ, bukan? Di dalam Ayat 3, Allah mengatakan kisah itu kisah yang paling indah, dan di hujungnya, Allah beritahu kenapa ia paling indah, kerana ia ada عِبرَةٌ. Di permulaan surah, Allah sudah beritahu bahawa kisah inilah kisah yang paling indah dan akhirnya setelah kisah itu siap disampaikan, barulah sekarang Allah jelaskan kenapa ia indah.
Sekarang perhatikan bahagian terakhir Ayat 3 بِمَآ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ (dengan mewahyukan Al Qur’an ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui).
Dan perhatikan permulaan Ayat 102 ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَۖ وَمَا كُنتَ لَدَيهِم (Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka). Di dalam kedua-dua bahagian ini kalimah wahyu iaitu أَوۡحَيۡنَآ dan نُوحِيهِ. Di dalam kedua-dua bahagian ini juga Allah menyebut ketidaktahuan Nabi Muhammad iaitu وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ dan وَمَا كُنتَ لَدَيهِم.
Di permulaan surah Allah gunakan ismul isyarah هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ yang bermaksud dekat, dan di hujung Allah gunakan ismul isyarah yang bermaksud jauh ذٰلِكَ. Ini adalah kerana walaupun Nabi Muhammad sudah diwahyukan dengan Al-Qur’an itu, tapi jangan lupa yang ia datangnya dari jauh, dari Allah yang di langit tinggi.
Dan perhatikan di setiap bahagian itu ada ditambah dengan kalimah إِذ (ketika). Pertamanya, Nabi Muhammad pasti tidak tahu ketika Nabi Yusuf bercakap dengan bapanya Nabi Ya’qub. Dan di hujung Allah sebut Nabi Muhammad tidak ada ketika abang-abang Nabi Yusuf bersepakat di dalam rancangan mereka.
Yang hebatnya adalah di dalam dua-dua bahagian ini ada kalimah yang sama. Yang menambahkan keindahan penceritaan ini. Kalau kita bercakap, kita tidak boleh susun pun kata-kata kita kalau tidak ada skrip. Tapi Allah bukanlah macam kita. Dan para sahabat sendiri mungkin tidak perasan perkara ini. Kerana mereka menerima Al-Qur’an secara auditori (قُرۡءَٲنًا) tetapi kita sekarang menerima Al-Qur’an lebih kepada bentuk pembacaan (ٱلۡكِتَـٰبِ). Mendengar dan membaca memberi kesan berbeza kepada pelajar. Jadi kerana itu bagus kalau kita sekali sekala membaca, tapi jangan lupa juga untuk mendengar bacaan Al-Qur’an.
Ayat 103 – 110
Kita telah bincangkan tentang kaitan antara permulaan dan pengakhiran surah ini. Di tengah-tengahnya Allah selitkan Ayat 103 – 110 sebagai pengajaran. Seolah-olah Ayat 102 terus bersambung dengan Ayat 111.
ذٰلِكَ مِنۡ أَنۢبَآءِ ٱلۡغَيۡبِ نُوحِيهِ إِلَيۡكَۖ وَمَا كُنتَ لَدَيۡہِمۡ إِذۡ أَجۡمَعُوٓاْ أَمۡرَهُمۡ وَهُمۡ يَمۡكُرُونَ (١٠٢) لَقَدۡ كَانَ فِى قَصَصِہِمۡ عِبۡرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِۗ مَا كَانَ حَدِيثً۬ا يُفۡتَرَىٰ وَلَـٰڪِن تَصۡدِيقَ ٱلَّذِى بَيۡنَ يَدَيۡهِ وَتَفۡصِيلَ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ وَهُدًى وَرَحۡمَةً لِّقَوۡمٍ يُؤۡمِنُونَ (١١١)
Dan di tengah-tengahnya ada Ayat 103 – 110. Kenapa Allah selit ayat-ayat itu di sini? Ia datang selepas sahaja Allah sebut perancangan abang-abang Nabi Yusuf وَمَا كُنتَ لَدَيۡہِمۡ إِذۡ أَجۡمَعُوٓاْ أَمۡرَهُمۡ وَهُمۡ يَمۡكُرُونَ (padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.) Dan kemudian Allah terus bercakap tentang golongan Quraisy Mekah. Seolah-olah Allah hendak memberitahu Nabi Muhammad, bukan sahaja abang-abang Nabi Yusuf sahaja yang membuat rancangan, tapi ‘abang-abang’ Rasulullah dari kalangan Quraisy juga sedang membuat membuat rancangan terhadap baginda termasuk rancangan untuk membunuh baginda. Bukan sahaja keluarga baginda dari kalangan Bani Ismail (orang Arab) tapi keluarga baginda dari jalur Nabi Ibrahim iaitu Bani Israil juga sedang membuat rancangan terhadap baginda. Allah memberitahu yang golongan Quraisy dan juga Bani Israil itu tidak akan beriman, walaupun baginda hendak sangat mereka beriman.
Kalau kita perhatikan ayat-ayat ini, ia di dalam bentuk khitab kepada seorang. Ini adalah kerana Allah sebenarnya mula-mula bercakap kepada Nabi Muhammad. Akan tetapi ia juga dipanjangkan kepada kita juga, sebagai pembaca Al-Qur’an. Ayat-ayat itu kita telah tafsirkan sebelum ini jadi kita beri ringkasan sahaja di sini. Kalau perasan, ayat-ayat di dalam gugusan ini adalah teguran dari Allah kepada Musyrikin Mekah ketika itu, tentang betapa degilnya mereka.
Ayat 103: Segala banyak tanda-tanda yang Allah telah berikan di dalam alam ini, mereka tetap juga tidak mahu beriman.
Ayat 104: Teruknya mereka itu menolak dakwah Nabi Muhammad, sedangkan bukan baginda minta duit mereka pun.
Ayat 105: Penolakan kepada Nabi Muhammad, bukanlah perkara baru, kerana Allah sendiri mereka telah pernah tolak.
Ayat 106: Dan kalau pun ada yang beriman, iman mereka tidak sempurna, kerana tetap mereka mensyirikkan Allah. Mereka kenal Allah, tahu Allah itu Tuhan, akan tetapi mereka sembah dan berdoa kepada berhala, kepada para Malaikat, kepada orang mati yang mereka anggap sebagai wali.
Ayat 107: Walaupun mereka telah melakukan syirik, akan tetapi mereka rasa selamat sahaja. Ini kerana mereka berharap bantuan dari entiti-entiti yang mereka sembah dan minta tolong seperti para malaikat yang mereka anggap sebagai anak Tuhan, para wali yang telah mati yang mereka anggap boleh membantu mereka. Mereka rasa mereka selamat kerana mereka sangka para malaikat, berhala dan wali itu semua akan ‘payung’ mereka. Kesannya, mereka tidak takut melakukan dosa kerana mereka sangkap mereka akan selamat.
Ayat 108: Oleh kerana mereka itu sangka yang mereka juga melakukan kebaikan atas amalan-amalan mereka, maka Nabi Muhammad disuruh memberitahu manakah jalan yang benar, iaitu jalan yang baginda ikuti. Dan Nabi Muhammad disuruh untuk menekankan yang baginda tidak akan melakukan syirik.
Ayat 109: Apa yang Nabi Muhammad sampaikan itu bukanlah perkara baru tapi itulah juga yang telah disampaikan oleh para Rasul zaman berzaman sebelum baginda. Jadi boleh rujuk sejarah dan perhatikan kesan akibat bagi kaum yang menolak Rasul mereka, apabila mereka dimusnahkan. Umat-umat terdahulu lagi hebat rumah-rumah mereka dari penduduk Mekah itu, tapi mudah sahaja Allah hancurkan. Lihatlah piramid yang sampai sekarang teguh berdiri, tapi penduduknya telah dimusnahkan lama dahulu. Jadi kalau mahu rumah yang kekal abadi, kejarlah rumah di syurga.
Ayat 110: Yang manusia perlukan adalah keselamatan. Sebab itu kita ada rumah, bukan? Akan tetapi keselamatan yang sebenarnya adalah dari Allah. Dan keselamatan itu adalah di akhirat. Allah yang menentukan siapa yang akan diselamatkan. Yang pasti, yang penjenayah tidak akan selamat.
Komposisi Cincin
Di dalam Ayat 3, kita telah jelaskan apakah Komposisi Cincin itu. Dan sepanjang tafsir surah ini, kita telah senaraikan Komposisi tersebut. Sebenarnya ada cincin di dalam cincin. Iaitu kita akan buatkan pula cincin untuk Ayat 103 – 110 ini. Tak tahulah pembaca boleh faham ke tidak dengan cincin-cincin ini semua. Kalau tidak faham, boleh skip sahaja. Ia lebih kepada menjadi nota buat saya kerana setiap posting saya akan baca semula sekurang-kurangnya 7 kali (spaced repitition) dalam masa 6 bulan. Dan saya akan rujuk semula setiap kali saya mengajar.
Kaitan antara Ayat 103 & 110. Kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun kita bersungguh-sungguh dakwah kepada mereka. Begitulah yang telah dihadapi oleh para Rasul. Apakah kesan emosi kepada para Rasul? Sehingga para Rasul itu rasa mereka didustakan, nampak seperti tidak ada harapan. Akan tetapi Allah akan beri kemenangan kepada para Rasul itu. Yang selamat akan diselamatkan, dan yang tetap degil akan diberikan dengan azab, dan mereka tidak dapat menolak azab itu.
Kaitan antara Ayat 104 & 109. Para Rasul dan pendakwah tidak meminta upah atau bayaran pun di dalam dakwah mereka mengajak orang beriman kepada Tauhid. Yang mereka mahukan adalah balasan pahala dan ‘upah’ di akhirat kelak dan itulah yang lebih baik. Jadi di sini ia mengajar kita tentang apakah yang lebih penting dan berharga, balasan di dunia atau di akhirat? Tentulah di akhirat lebih baik dan lebih kekal.
Kaitan antara Ayat 105 & 109. Allah menyebut tentang kebanyakan manusia yang tidak mengendahkan tanda-tanda pada langit dan bumi. Oleh kerana itu mereka telah mensyirikkan Allah. Dan bukan sahaja mereka tidak mengendahkan tanda-tanda pada alam, mereka juga mengendahkan para Rasul yang diutuskan kepada mereka. Dan kesan dari penolakan mereka itu apa? Ramai yang telah dikenakan azab pada tempat tinggal mereka, yang orang kemudian boleh perhatikan. Ia sebagai peringatan kepada orang yang datang kemudian.
Kaitan antara Ayat 106 & 108. Allah memberitahu bahawa kebanyakan manusia yang beriman itu, mereka beriman dalam melakukan syirik. Maknanya bukanlah mereka tidak kenal Allah, tidak sembah Allah. Mereka kenal dan mereka beriman dengan Allah. Tapi iman mereka tidak sempurna. Mereka tidak beriman dalam Tauhid kerana mereka masih juga melakukan syirik. Ini sama sahaja dengan Musyrikin Mekah yang kenal Allah tapi di dalam masa yang sama, menyembah berhala. Jadi Iman dan Tauhid tidak semestinya seiring. Ramai yang keliru tentang hal ini sampaikan ada yang melakukan syirik tanpa sedar. Maka Nabi Muhammad disuruh menegaskan tentang jalan baginda iaitu jalan Tauhid yang tidak melakukan syirik.
Ayat 107 pula boleh dibahagikan kepada dua jenis kejadian: azab dan Hari Kiamat. Ada dua Takhwif yang Allah sebut, sama ada Takhwif Dunawi atau Takhwif Ukhrawi. Inilah dua perkara yang Allah selalu ancam kepada pembaca Al-Qur’an supaya beringat.
Allahu a’lam. Sambung ke ringkasan kisah Nabi Yusuf ini.
Kemaskini: 31 Mac 2026
Rujukan:
Nouman Ali Khan (deeper look)





