2. Kenanglah Banyak Nikmat

2. Kenanglah banyak nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Dapat bangun tidur, melihat, bercakap, berjalan dan segala-galanya ini adalah nikmat yang teramatlah banyak.

Maknanya sudah banyak yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Namun kadangkala kita hanya ingat masalah dan perkara yang Allah ‎ﷻ telah tarik sahaja. Sedangkan Dia mungkin tarik satu sahaja, akan tetapi sudah berjuta nikmat Dia telah berikan kepada kita. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ibrahim:34

وَإِن تَعُدّوا نِعمَتَ اللهِ لا تُحصوها
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya.

Memang kita tidak akan dapat menghitung kesemuanya, tetapi hitunglah setakat yang kita mampu. Kajian menunjukkan sekiranya kita menghitung segala nikmat (count our blessings), hasilnya ia akan menggembirakan kita. Kerana barulah kita sedar, ‘Oh banyak juga benda-benda aku sudah ada, jadi kenapa nak fokuskan sangat kepada masalah yang sedikit ini?’ Allah ‎ﷻ ulang 31 kali di dalam Surah ar-Rahman:

فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu berdua, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?

Namun begitulah masalahnya dengan manusia, asyik pandang masalah sahaja. Sedangkan kalaulah dia bandingkan masalah yang sedang dialaminya itu dengan masalah orang lain, tentu dia akan malu tersipu-sipu sendiri yang masalah dia itu kecil molek sahaja. Dalam dia tidak dapat makan, ada orang lain tidak ada makanan; kalau dia tidak ada kasut, orang lain tidak ada kaki! Memang begitulah kalau hendak menghargai nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan, kena pandai melihat kepada orang yang lebih teruk diuji daripada kita. Waktu tu memang kita akan berasa sangat beruntung! Kalau nak lagi mantap perasaan ini, melawat lah ke hospital maka anda akan dapati ramainya orang yang sakit.

Homework: bermula esok, buka mata saja terus fikirkan tiga perkara yang anda bersyukur. Tidak kiralah betapa kecil pun nikmat itu kerana ia adalah tetap nikmat. Akan tetapi manusia sering mengejar-ngejar nikmat yang sukar didapati seperti duit berjuta, sedangkan mereka lupa ada nikmat yang lebih hebat yang telah ada pada mereka. Sebagai contoh, nikmat mata. Sanggupkah anda menukar mata anda itu dengan sebuah istana? Tentu tidak, bukan? Sedarlah bahawa pada fizikal diri kita ini sendiri sudah ada terlalu banyak nikmat yang boleh disyukuri. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Dzariyat:21

وَفي أَنفُسِكُم ۚ أَفَلا تُبصِرونَ
dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?

Baca seterusnya

 

Tulisan asal Penulis

2. (Fikir dan Syukur) فَكِّرْ وَاشْكُرْ

الْمَعْنَى: أَنْ تَذْكُرَ نِعَمَ اللهِ عَلَيْكَ، فَإِذَا هِيَ تَغْمُرُكَ مِنْ فَوْقِكَ وَمِنْ تَحْتِ قَدَمَيْكَ ﴿وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا)

Ingatlah nikmat Allah ke atasmu, maka sesungguhnya ia menyelubungi dari atasmu dan dari bawah tapak kakimu. “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan bilangannya.” Ibrahim:34

صِحَّةٌ فِي بَدَنٍ، أَمْنٌ فِي وَطَنٍ، غِذَاءٌ وَكِسَاءٌ، وَهَوَاءٌ وَمَاءٌ، لَدَيْكَ الدُّنْيَا وَأَنْتَ مَا تَشْعُرُ، تَمْلِكُ الْحَيَاةَ وَأَنْتَ لَا تَعْلَمُ ﴿وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً

(Nikmat itu berupa) kesihatan pada badan, keamanan di tanah air, makanan dan pakaian, udara dan air. Dunia berada di tanganmu sedangkan engkau tidak merasakannya; engkau memiliki kehidupan sedangkan engkau tidak menyedarinya. “Dan (Allah) telah menyempurnakan buatmu nikmat-Nya yang zahir dan yang batin.” Luqman:20

عِنْدَكَ عَيْنَانِ، وَلِسَانٌ وَشَفَتَانِ، وَيَدَانِ وَرِجْلَانِ ﴿فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Engkau mempunyai dua mata, lidah dan dua bibir, serta dua tangan dan dua kaki. “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” Rahman:13 (diulang sebagai 31 kali)

هَلْ هِيَ مَسْأَلَةٌ سَهْلَةٌ أَنْ تَمْشِيَ عَلَى قَدَمَيْكَ، وَقَدْ بُتِرَتْ أَقْدَامٌ؟! وَأَنْ تَعْتَمِدَ عَلَى سَاقَيْكَ، وَقَدْ قُطِعَتْ سُوقٌ؟! أَحَقِيرٌ أَنْ تَنَامَ مِلْءَ عَيْنَيْكَ، وَقَدْ أَطَارَ الْأَلَمُ نَوْمَ الْكَثِيرِ؟!

Adakah perkara mudah untuk engkau berjalan dengan kedua-dua kaki, sedangkan banyak kaki telah kudung? Dan (adakah remeh) untuk engkau bertumpu pada kedua betis, sedangkan banyak betis telah terputus? Adakah kecil nilainya untuk engkau tidur nyenyak sepuas mata, sedangkan kesakitan telah menghilangkan tidur ramai orang?

وَأَنْ تَمْلأَ مَعِدَتَكَ مِنَ الطَّعَامِ الشَّهِيِّ، وَأَنْ تَكْرَعَ مِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ، وَهُنَاكَ مَنْ عُكِّرَ عَلَيْهِ الطَّعَامُ، وَنُغِّصَ عَلَيْهِ الشَّرَابُ بِأَمْرَاضٍ وَأَسْقَامٍ؟!

Dan untuk engkau memenuhi perutmu dengan makanan yang enak, serta meneguk air yang sejuk, sedangkan di sana ada orang yang makanannya terganggu dan minumannya terhalang disebabkan pelbagai penyakit dan kesakitan?

تَفَكَّرْ فِي سَمْعِكَ وَقَدْ عُوفِيتَ مِنَ الصَّمَمِ، وَتَأَمَّلْ فِي نَظَرِكَ وَقَدْ سَلِمْتَ مِنَ الْعَمَى،

Fikirkanlah tentang pendengaranmu yang telah diselamatkan daripada pekak. Renungkanlah tentang penglihatanmu yang telah selamat daripada buta.

وَانْظُرْ إِلَى جِلْدِكَ وَقَدْ نَجَوْتَ مِنَ الْبَرَصِ وَالْجُذَامِ، وَأَلْمِحْ عَقْلَكَ وَقَدْ أَنْعَمَ عَلَيْكَ بِحُضُورِهِ وَلَمْ تُفْجَعْ بِالْجُنُونِ وَالذُّهُولِ.

Lihatlah kulitmu yang telah terselamat daripada penyakit sopak dan kusta. Perhatikanlah akalmu yang telah dikurniakan nikmat kewarasannya, dan engkau tidak diuji dengan gila atau hilang ingatan.

أَتُرِيدُ فِي بَصَرِكَ وَحْدَهُ كَجَبَلِ أُحُدٍ ذَهَباً؟! أَتُحِبُّ بَيْعَ سَمْعِكَ وَزْنَ ثَهْلَانَ فِضَّةً؟! هَلْ تَشْتَرِي قُصُورَ الزَّهْرَاءِ بِلِسَانِكَ فَتَكُونَ أَبْكَمَ؟! هَلْ تُقَايِضُ بِيَدَيْكَ مُقَابِلَ عُقُودِ اللُّؤْلُؤِ وَالْيَاقُوتِ لِتَكُونَ أَقْطَعَ؟!

Adakah engkau mahu menukar penglihatanmu sahaja dengan emas seberat Gunung Uhud? Adakah engkau suka menjual pendengaranmu dengan perak seberat Gunung Thahlan? Adakah engkau mahu membeli istana az-Zahra dengan lidahmu lalu engkau menjadi bisu? Adakah engkau mahu menukar kedua-dua tanganmu dengan kalung mutiara dan delima lalu engkau menjadi kudung?

إِنَّكَ فِي نِعَمٍ عَمِيمَةٍ، وَأَفْضَالٍ جَسِيمَةٍ، وَلَكِنَّكَ لَا تَدْرِي،

Sesungguhnya engkau berada dalam nikmat yang melimpah dan kurniaan yang besar, tetapi engkau tidak menyedarinya.

تَعِيشُ مَهْمُوماً مَغْمُوماً حَزِيناً كَئِيباً، وَعِنْدَكَ الْخُبْزُ الدَّافِئُ، وَالْمَاءُ الْبَارِدُ، وَالنَّوْمُ الْهَانِئُ، وَالْعَافِيَةُ الْوَارِفَةُ،

Engkau hidup dalam kebimbangan, kegundahan, kesedihan, dan kemurungan, padahal engkau memiliki roti yang hangat, air yang sejuk, tidur yang tenang, dan kesihatan yang sempurna.

تَتَفَكَّرُ فِي الْمَفْقُودِ وَلَا تَشْكُرُ الْمَوْجُودَ،

Engkau terlalu memikirkan apa yang hilang dan tidak mensyukuri apa yang ada.

تَنْزَعِجُ مِنْ خَسَارَةٍ مَالِيَّةٍ وَعِنْدَكَ مِفْتَاحُ السَّعَادَةِ، وَقَنَاطِيرُ مُقَنْطَرَةٌ مِنَ الْخَيْرِ وَالْمَوَاهِبِ وَالنِّعَمِ وَالْأَشْيَاءِ،

Engkau merasa rimas dengan kerugian harta, sedangkan engkau memegang kunci kebahagiaan dan timbunan kebaikan, bakat, nikmat, serta segala sesuatu.

فَكِّرْ وَاشْكُرْ ﴿وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Maka fikir dan syukurlah. “Dan pada diri kamu sendiri, mengapa kamu tidak mahu melihat (dan memikirkan bukti kekuasaan Allah)?” Dzariyat:21

فَكِّرْ فِي نَفْسِكَ، وَأَهْلِكَ، وَبَيْتِكَ، وَعَمَلِكَ، وَعَافِيَتِكَ، وَأَصْدِقَائِكَ، وَالدُّنْيَا مِنْ حَوْلِكَ ﴿يَعْرِفُونَ نِعْمَتَ اللَّهِ ثُمَّ يُنكِرُونَهَا﴾.

Fikirkanlah tentang dirimu, keluargamu, rumahmu, pekerjaanmu, kesihatanmu, rakan-rakanmu, dan dunia di sekelilingmu. “Mereka menyedari akan nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya.”

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment