Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 105 – 108 (Orang berilmu akan senang beriman)

Isra’ Ayat 105: Setelah menguraikan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama umatnya dan penolakan mereka terhadap mukjizat-mukjizat yang dibawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – huraian yang bertujuan menenangkan hati Nabi Muhammad ﷺ – kini Allah ‎ﷻ kembali membicarakan Al-Qur’an yang menjadi bahan uraian kelompok ayat-ayat yang lalu.

Di sini Allah ﷻ memuji Al-Qur’an yang diturunkan-Nya. Bermula ayat ini sehingga ke hujung adalah Perenggan Makro ke 10. Allah ﷻ memberitahu dalam perenggan ini tentang menjaga hak Al-Qur’an dan juga Tauhid.

وَبِٱلحَقِّ أَنزَلنَـٰهُ وَبِٱلحَقِّ نَزَلَ‌ۗ وَمَآ أَرسَلنَـٰكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And with the truth We have sent it [i.e., the Qur’ān] down, and with the truth is has descended. And We have not sent you, [O Muḥammad], except as a bringer of good tidings and a warner.

(MELAYU)

Dan Kami turunkan (Al Qur’an) itu dengan sebenar-benarnya dan Al Qur’an itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.

 

وَبِٱلحَقِّ أَنزَلنَـٰهُ وَبِٱلحَقِّ نَزَلَ‌ۗ

Dan Kami turunkan (Al Qur’an) itu dengan sebenar-benarnya dan Al Qur’an itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. 

Ini adalah titah Allah ﷻ kepada orang Mekah dan setiap manusia. Allah ﷻ hendak menekankan yang diturunkan Al-Qur’an itu adalah untuk menyampaikan kebenaran. Ini adalah kerana orang Mekah itu sangka mereka benar, kerana mereka kata mereka ikut agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi tidak sebenarnya. Oleh itu, Allah ﷻ beritahu kebenaran yang sebenarnya melalui Al-Qur’an ini dan memang berlainan sekali dengan apa yang mereka faham.

Al-Qur’an itu turun dengan kebenaran. Tidak ada perubahan langsung dari dulu sampai sekarang. Segala apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu tidak ada yang bersalahan antara satu sama lain dan tidak bertentangan langsung dengan fitrah kehendak manusia.

Dari segi bahasa ٱلحَقُّ adalah sesuatu yang tetap dan mantap tidak berubah-ubah. Ini seperti Allah ﷻ itu satu, azab kubur, syurga neraka dan lain-lain perkara yang telah disebut di dalam wahyu. Sedangkan ٱلبَـٰطِلُ‌ pula adalah lawan kepada ٱلحَقُّ iaitu sesuatu yang sentiasa berubah-ubah. Perkara yang bathil seperti syirik dan bid’ah sentiasa berubah-ubah. Lihatlah fahaman syirik dan bid’ah yang tidak tetap. Sekejap mereka buat begini, kemudian mereka tukar pula kepada amalan yang lain, bukan?

Firman-firman-Nya pun adalah haq yakni tidak berubah-ubah. Kebenaran yang tidak bersumber daripada Allah ﷻ, sifatnya relatif, boleh jadi hari ini benar dan esok boleh jadi salah. Boleh jadi juga sebahagian kandungannya benar dan sebahagian lainnya keliru. Sesuatu yang diragukan tidaklah bersifat haq, kerana ia tidak mantap di hati, demikian juga kebatilan, kerana kebatilan pasti lenyap, cepat atau lambat.

Ada dua kalimah al-haq digunakan dalam ayat ini. Menurut ibn Asyur , kata al-haq yang pertama adalah dengan erti lawan kepada keraguan (kerana itu tidak ada keraguan yang menyentuh Al-Qur’an), manakala al-haq yang kedua dalam erti lawan kebathilan.

Atau kita boleh tafsirkan kalimah بِٱلحَقِّ أَنزَلنَـٰهُ bermaksud tujuan Allah ﷻ turunkan Al-Qur’an adalah untuk menegakkan kebenaran dan kalimah بِٱلحَقِّ نَزَلَ‌ bermaksud Al-Qur’an ini penuh dengan kebenaran baik akidah dan syariat, mahupun akhlak dan semua informasinya.

 

وَمَآ أَرسَلنَـٰكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.

Nabi Muhammad ﷺ diutus untuk memberi peringatan dan berita gembira. Kepada mereka yang beriman dan mahu mengikut wahyu yang benar itu, mereka akan mendapat berita gembira; sebaliknya kepada mereka yang degil dan menolak wahyu itu, mereka akan diberikan dengan ancaman dan peringatan. Kerana itu engkau tidak perlu risau dan bersedih hati jika umatmu menolak kebenaran Al-Qur’an, kerana tugasmu tidak lebih daripada sekadar menyampaikan dan menjelaskan.

Ini juga sebagai penegasan bahawa Nabi ﷺ tidak memiliki sedikit campur tangan pun dalam wahyu Ilahi itu kecuali menyampaikan dan menjelaskannya. Baginda tidak dapat menambah atau mengurangi atau menggantinya, baik atas kehendaknya sendiri, mahupun atas usul umatnya atau para penentang.

Dari sini kita dapat tahu yang tugas Nabi hanya menyampaikan. Bukan ada yang lain, kerana susunan ayat itu adalah إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا. Didahulukan kalimahإِلَّا sebagai penegasan. Ini berbeza dengan orang yang menggunakan ayat “saya datang untuk mengajar” dengan “saya tidak datang melainkan untuk mengajar sahaja”. Dua-dua mengajar bukan? Akan tetapi kalau yang pertama itu boleh jadi juga dia buat benda yang lain. Namun begitu ayat yang kedua menegaskan dia tidak buat benda lain melainkan mengajar semata-mata.

Fakta menarik: ayat ini ada bomoh gunakan untuk berubat. Ia tidak ada kena mengena dengan perubatan.

.


 

Isra’ Ayat 106: Setelah menjelaskan tujuan kehadiran Al-Qur’an dan kandungannya yang kesemuanya adalah haq dan benar, kini dijelaskan bahawa cara turunnya adalah haq dan benar.

 

وَقُرءَانًا فَرَقنَـٰهُ لِتَقرَأَهُ ۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكثٍ وَنَزَّلنَـٰهُ تَنزِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [it is] a Qur’ān which We have separated [by intervals] that you might recite it to the people over a prolonged period. And We have sent it down progressively.

(MELAYU)

Dan Al Qur’an itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.

 

وَقُرءَانًا فَرَقنَـٰهُ لِتَقرَأَهُ ۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكثٍ

Dan Al Qur’an itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia

Kalimah فَرَقنَـٰهُ boleh bermaksud tujuan Al-Qur’an ini adalah untuk memisahkan antara golongan yang beriman dengannya dan yang tidak beriman. Ia juga membezakan antara kebenaran dan kebathilan, kerana itulah nama lain bagi Al-Qur’an adalah Al-Furqaan.

Maksudnya yang lain adalah Allah ﷻ menurunkan ayat-ayat Al-Qur’an itu sedikit demi sedikit. Seperti yang kita tahu, Al-Qur’an tidak diturunkan sekaligus seperti Kitab Taurat. Kalimah فَرَق bermaksud pecahkan, iaitu Allah ﷻ pecahkan Al-Qur’an itu kepada beberapa bahagian. Allah ﷻ menunggu kejadian-kejadian yang berlaku supaya umat dapat menggunakannya apabila perlu. Maka Al-Qur’an itu diturunkan sedikit demi sedikit dan ini adalah rahmat sebenarnya. Tidaklah Al-Qur’an itu diturunkan dengan sekali gus sampai menyusahkan para sahabat untuk mengamalkannya.

Ini juga sebagai jawapan kepada golongan penentang yang mempersoalkan kenapa Al-Qur’an tidak diturunkan serentak, kenapa kena tunggu sikit-sikit? Allah ﷻ telah jawab di dalam Furqan: 32

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لَولا نُزِّلَ عَلَيهِ القُرءآنُ جُملَةً وٰحِدَةً ۚ كَذٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلنٰهُ تَرتيلًا
Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa Al Qur’an itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”; demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacanya secara tartil (teratur dan benar).

Ketika kaum musyrikin mengusulkan agar Al-Qur’an turun sekaligus, Allah ﷻ menjelaskan bahawa turunnya beransur-ansur adalah untuk memperkuat hati Nabi ﷺ dengan kedatangan Jibril  setiap kali dengan datangnya membawa wahyu-wahyu Ilahi; dan membacakannya dengan tartil sehingga mudah dihafal dan beransur dapat diamalkan, agar setiap kali ada pertanyaan atau persoalan yang muncul, Nabi Muhammad ﷺ terus dapat memperoleh jawaban dan solusinya dengan segar dan jelas, tanpa harus bersusah-payah mencari seandainya Al-Qur’an turun sekaligus.

Maka Rasul dan sahabat عَلىٰ مُكثٍ (menunggu-nunggu) kedatangan ayat Al-Qur’an untuk memperjelaskan satu-satu perkara dan permasalahan. Apabila sesuatu kejadian berlaku yang memerlukan hukum daripada Allah ﷻ, Nabi dan para sahabat menunggu wahyu daripada Allah ﷻ. Maka ayat-ayat yang turun itu amat bermakna kerana menyelesaikan masalah dan isu yang mereka sedang hadapi.

Untuk kita hari ini, begitulah juga kita ini kena bersabar untuk belajar Al-Qur’an ini sedikit demi sedikit. Jangan hanya cepat mahu habis sahaja, sampaikan tidak tahu mana satu hendak diamalkan dahulu. Jikalau terlalu banyak dipelajari dalam satu masa, mungkin tidak faham sangat jadinya.

Kalimah yang digunakan adalah لِتَقرَأَهُ ۥ عَلَى ٱلنَّاسِ. Ini bermaksud Al-Qur’an ini untuk semua manusia, bukan orang tertentu sahaja, bukan juga hanya untuk orang Islam sahaja. Orang bukan Islam pun harus disampaikan dengan ajaran Al-Qur’an juga. Namun adakah kita melakukannya? Akan tetapi bagaimana kita orang Islam hendak menyampaikannya kalau kita sendiri tidak faham? Buat malu sahaja kerana kalau mahu cerita apa Al-Qur’an ini pun kita tidak tahu.

Setakat tahu baca sahaja tidak cukup. Orang Melayu kita tahu baca sahaja, bukan? Yang ada sedikit kesedaran mahu juga mereka membacanya sehingga khatam sekali setahun Sahaja iaitu ketika bulan Ramadan. Semasa kecil ramai sahaja belajar baca, kemudian apabila mula dewasa dan bekerja, sibuk dengan kehidupan sendiri. Bila sudah tua bangka tidak boleh hendak buat apa-apa lagi, barulah ingin kembali kepada Islam kononnya. Mulalah hendak pergi kelas. Namun kelas apa? Kelas baca Al-Qur’an balik! Baca pun tergagap-gagap, agak-agaknya bila pula boleh faham Al-Qur’an? Apatah lagi hendak sampaikan kepada orang bukan Islam lagi. Namun bila lihat orang kafir buat itu dan ini, tidak hormatkan Al-Qur’an, tahu pula marah. Padahal kita sendiri pun tidak menghormati Al-Qur’an itu. Padahal orang kafir itu buat benda salah kerana mereka tidak tahu apa itu agama Islam. Kenapa? Kerana orang Islam sendiri tidak sampaikan ajaran Islam kepada mereka. Maka kalau kita lihat orang lain menentang agama Islam, kita kena tanya diri kita: sudah adakah orang sampaikan ajaran Al-Qur’an kepada dia ini?

Akhir sekali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut di dalam surah ini. Di dalam surah ini 10 kali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut.

1. Pertamanya di dalam ayat ke 9 iaitu Allah ﷻ memberitahu yang ٱلقُرءَانِ ini menunjuk kepada jalan yang lebih lurus.

2. Kemudian Allah ﷻ menyebut ٱلقُرءَانِ di dalam ayat 41 dengan menyebut ia menggunakan kaedah تصريف supaya manusia senang memahami ajaran yang disampaikan.

3. Di dalam ayat 45 kita diberitahu lagi satu maklumat tentang ٱلقُرءَانِ. Ia menjadi pembimbing kepada orang yang percaya adanya akhirat, akan tetapi kepada orang yang tidak percaya akhirat, ia akan menjadi dinding yang menghalang.

4. Di dalam ayat 46 kita diberitahu yang orang musyrik melarikan diri apabila Al-Qur’an hanya menyebut Allah ﷻ sahaja Tuhan yang Esa.

5. Di dalam ayat 60 disebut satu ancaman di dalam neraka iaitu Zaqqum tetapi Musyrikin Mekah memperolok-olokkannya. Maknanya mereka memperolok dan mengejek Al-Qur’an.

6. Di dalam ayat 78 kita diberitahu yang para malaikat hadir untuk mendengar bacaan Al-Qur’an di waktu Solat Subuh.

7. Di dalam ayat 82 kita diberitahu yang Al-Qur’an ibarat serampang dua mata. Sebagaimana ia menjadi penawar dan rahmat kepada orang-orang mukmin, ia juga menjadi sebab kepada orang-orang yang zalim bertambah rugi.

8. Di dalam ayat 88 sebelum ini, Al-Qur’an mencabar sekalian manusia dan jin untuk saling bekerjasama menulis kalam seperti Al-Qur’an. Nescaya mereka tidak akan mampu melakukannya.

9. Di dalam ayat 89, kita diberitahu menggunakan kaedah تصريف, Al-Qur’an telah mengemukakan banyak sekali hakikat dengan penuh kebijaksanaan untuk untuk menyempurnakan hujah terhadap manusia. Maksud تصريف ialah menggunakan pelbagai gaya bahasa dan ragam bahasa dalam mengemukakan sesuatu perkara, walaupun begitu kebanyakan manusia tetap dengan pendirian mereka menolaknya.

10. Di dalam ayat ini kita diberitahu yang Al-Qur’an diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad ﷺ selama 23 tahun. Penurunan yang secara beransur-ansur ini dapat dimanfaatkan oleh para sahabat yang menerimanya buat pertama kali.

 

وَنَزَّلنَـٰهُ تَنزِيلاً

dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.

Oleh kerana keperluan manusia itu berperingkat, maka kerana itu penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa yang lama selama lebih kurang 23 tahun. Sebagai contoh, kita boleh lihat dalam ayat-ayat Al-Qur’an, pengharaman arak mengambil masa tiga peringkat. Oleh kerana ia dilakukan sedikit demi sedikit, maka ia memberi kesan yang bagus untuk mengubah masyarakat.

Ini kerana kalaulah pengharaman itu dilakukan terus, tentu ramai yang akan menentang kerana mereka sudah lama minum arak. Tentu mereka akan memberontak kalau tiba-tiba diharamkan terus arak itu. Oleh itu, Allah ﷻ mulakan dengan mengatakan ia lebih banyak keburukan daripada kebaikan – kemudian Allah ﷻ meletak hukum tidak boleh minum arak apabila hendak solat sahaja kerana tidak boleh solat dalam keadaan mabuk – kemudian barulah diharamkan terus setelah sekian lama.

Oleh kerana fikiran para sahabat sudah dikondisi dengan keburukan arak itu, akhirnya mereka sudah bersedia untuk meninggalkannya terus apabila ayat haram arak diturunkan. Turunlah ayat secara beransur itu ketika timbul suatu persoalan yang sedang dihadapi atau pertanyaan yang memerlukan jawapan. Dapat dibacakan Nabiﷺ kepada sahabat dengan bertenang, tidak terburu-buru, sehingga dapat difahamkan betul-betul.


 

Isra’ Ayat 107: Setelah diberitahu ciri-ciri Al-Qur’an yang hebat itu, maka sekarang ajak manusia untuk beriman dengannya.

قُل ءَامِنُواْ بِهِۦۤ أَو لَا تُؤمِنُوٓاْ‌ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلعِلمَ مِن قَبلِهِۦۤ إِذَا يُتلَىٰ عَلَيہِم يَخِرُّونَ لِلأَذقَانِ سُجَّدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Believe in it or do not believe.” Indeed, those who were given knowledge before it¹ – when it is recited to them, they fall upon their faces in prostration,

  • i.e., the righteous among the People of the Scriptures who recognize the truth contained in the Qur’ān.

(MELAYU)

Katakanlah: “Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman (sama saja bagi Allah). Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud,

 

قُل ءَامِنُواْ بِهِۦۤ أَو لَا تُؤمِنُوٓاْ‌ۚ

Katakanlah: “Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman

Setelah diberikan dengan segala hujah, Allah ﷻ pulangkan kepada manusia yang mendengar Al-Qur’an ini – pilih sama ada mahu ikut beriman dengan Al-Qur’an ini atau tidak. Ini kerana Allah ﷻ tidak paksa sesiapa untuk beriman. Allah ﷻ beri kelebihan memilih kepada manusia dan jin. Sama sahaja kedudukan Allah ﷻ sama ada kamu beriman atau tidak.

Kerana itu manusia dan jin diberikan dengan akal untuk memilih. Kerana sudah ada akal, maka telah diberikan hujah yang panjang lebar dalam wahyu dan telah dibangkitkan para Rasul untuk menyampaikannya. Kalau gunakan akal, maka tentu akan sampai kepada kebenaran.

Ayat ini bukanlah beri pilihan kepada manusia untuk tidak beriman pula. Jangan salah faham dengan ayat ini. Arahan untuk beriman memang sudah ada, namun kalau tidak mahu beriman juga, memang akan dikenakan dengan hukuman yang keras nanti di akhirat.

Al-Qur’an tidak memerlukan orang beriman kepadanya kerana bukti tentang kebenarannya telah sangat jelas lagi sempurna, dan dengan demikian ia tidak memerlukan keimanan siapa pun. Di dalam ayat 105 pun telah disebut وَبِٱلحَقِّ أَنزَلنَـٰهُ وَبِٱلحَقِّ نَزَلَ‌. Kalau ada yang beriman kepadanya, maka itu untuk kemaslahatan diri orang yang beriman itu sendiri, dan yang mengingkarinya pun akan menghadapi sendiri konsekuensi pengingkarannya.

Maka kena ingat yang kalau tidak mahu beriman, memang boleh, maka kena azablah nanti. Kalau berani tidak beriman, silakan. Allah ﷻ tidak memerlukan iman kita kerana Allah ﷻ tidak memerlukan iman kita. Begitulah maksudnya.

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلعِلمَ مِن قَبلِهِۦۤ إِذَا يُتلَىٰ عَلَيہِم يَخِرُّونَ لِلأَذقَانِ سُجَّدًا

Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas dagu-dagu mereka sambil bersujud,

Maka gunakanlah akal kamu untuk memilih jalan mana. Sama ada mahu beriman dengan wahyu Al-Qur’an ini atau tidak. Namun Allah ﷻ ingatkan tentang mereka yang sudah ada kitab – iaitu Ahli Kitab dalam kalangan Yahudi dan Nasara. Iaitu segolongan kecil dalam kalangan mereka yang soleh. Iaitu mereka yang berpegang kepada kitab sucinya dan menegakkannya serta tidak meng¬ubah dan tidak menggantikannya dengan yang lain.

Begitulah orang-orang yang ada ilmu, yang telah membaca kitab-kitab yang dahulu, baik Taurat atau Injil, atau Mazmur Daud, atau Amsal Sulaiman atau Munajat Ayub atau yang lain, demi dibacakan Al-Qur’an itu kepada mereka, menggeletar terus pengaruhnya atas mereka, hingga langsung mereka tersungkur meniarapkan muka ke bumi, bersujud kepada Tuhan, kerana percaya akan kebenaran wahyu itu. Orang-orang itu ada terdapat di Makkah, seperti Zaid bin ‘Amr bin Nufail dan orang tua Waraqah bin Naufal, dan terdapat juga di Madinah, seperti Abdullah bin Salam.

Begitulah ada orang seperti Zaid bin ‘Amr bin Nufail, yang telah banyak mengembara ke negeri lain, terutama ke negeri Syam dan suka bertanya-tanya. Meskipun belum ada agama yang dipeluknya, namun beliau mengakui bahawa Allah ﷻ itu Esa adanya dan dia benci penyembahan kepada berhala.

Waraqah bin Naufal pun telah mempelajari agama Nasrani, sampai beliau mengetahui isi kandungan Injil. Beliau telah mendapat intisari ajaran Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang Tauhid. Sebab itu setelah Khadijah رضي الله عنها, anak saudaranya, membawa Nabi Muhammadﷺ menemuinya seketika mula-mula baginda menerima wahyu, Waraqah bin Naufal dengan serta-merta mengatakan bahawa yang mendatangi Muhammad ﷺ itu adalah Nomus (Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), atau Ruhul-Qudus, yang telah datang juga kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sampai beliau sendiri mengatakan kepercayaannya kepada risalah Nabi Muhammad ﷺ, dan akan datang masanya kelak baginda akan diusir orang dari negerinya, dan sekiranya beliau masih hidup di waktu itu beliau bersedia mengikut baginda ke mana pun pergi. Namun beliau meninggal tidak berapa lama kemudian.

Abdullah bin Salam pula adalah seorang pendeta Yahudi di Madinah, yang bebas berfikir kerana ilmunya yang luas. Ketika Rasulullah ﷺ mulai pindah ke Madinah, di hari yang pertama beliau menyelinap ke tengah orang ramai untuk memperhatikan dan mendengarkan syarahan Rasulullah ﷺyang pertama. Syarahan itu tidak panjang namun beliau terus tertarik dan mengakui “Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Muhammad adalah RasulAllah.”

Itulah orang-orang berilmu ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلعِلمَ. Baik di zaman Mekah, atau kelak sesudah itu di Madinah, ataupun seterusnya, selama orang itu masih memegang ilmunya. Ilmu apa? Ilmu mengenal Allah ﷻ. Orang yang otaknya bagus, boleh menerima pelajaran. Begitulah orang yang bijak pandai, banyak pengalaman dan otaknya cerdas, senang untuk menerima ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Kerana itu kalau kita perhatikan, banyak golongan professional yang menerima ajaran Sunnah kerana ia mesra akal. Yang masih lagi di takuk lama adalah orang-orang kampung yang tidak banyak belajar dan tidak berpendidikan tinggi.

Allah ﷻ menceritakan bagaimana apabila mereka mendengar Al-Qur’an dibacakan, mereka tidak dapat mengawal diri, sampai terjatuh atas dagu mereka. Kita boleh faham mereka tidak dapat kawal diri kerana kalimah yang digunakan adalah لِلأَذقانِ bukannya على لأَذقانِ untuk mengisyaratkan bahawa kekhusyukan menjadikan mereka tersungkur dalam keadaan tanpa menguasai diri. Ini kerana kalau terjatuh sendiri, kita akan terjatuh atas dagu kita, bukannya dahi kita.

Kalimah لأَذقانِ adalah daripada ذ ق ن yang bermaksud ‘dagu-dagu’. Ada yang mentafsirkan dagu itu sebagai wajah. Kerana dagu adalah sebahagian daripada wajah. Mereka amat terkesan dengan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini dan mereka menerimanya dan merasa takjub dengannya. Mereka juga kenal Allah ﷻ dan kerana mereka kenal Allah ﷻ, mereka takut kepada Allah ﷻ sampai terus sujud kepada-Nya. Allah ﷻ telah sebut di dalam Fatir: 28

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama (orang-orang yang berilmu)

Akan tetapi kenapa dagu pula? Sepatutnya kalau sujud di atas dahi, bukan? Memang selalunya sujud atas dahi taetpi mereka terjatuh atas dagu mereka kerana tidak dapat mengawal diri akibat terpesona sangat. Ini adalah rabbi-rabbi Bani Israil yang sekian lama terunggu-nunggu kedatangan Nabi akhir zaman yang hampir tidak percaya yang mereka dapat bertemu dengan baginda. Ini kerana keturunan mereka turun temurun sudah lama menunggu baginda dan mereka terkejut kerana mereka diberi peluang untuk melihat perkara itu berlaku ketika mereka masih hidup.

Keturunan nenek moyang mereka hanya dapat sampaikan pesanan supaya tunggu kedatangan Nabi akhir zaman itu di Madinah (Yathrib) dan diturunkan pesanan itu turun temurun. Apabila mereka yang berada pada zaman itu yang dapat memenuhi harapan itu mereka rasakan betapa bertuahnya mereka! Kerana itu mereka terjatuh di atas dagu, dan bukan atas dahi mereka.

Ataupun, memang ada umat dahulu yang sujud di atas dagu mereka. Pengkritik Al-Qur’an mengatakan Al-Qur’an telah tersilap menggunakan kalimah dagu kerana manusia hanya sujud pada dahi sahaja. Ini tidak benar setelah kajian Egyptologist mendapati memang ada paderi Mesir yang sujud di atas dagu. Ini adalah maklumat baru yang kita hanya tahu di zaman moden ini setelah dibongkar gambar-gambar tentang kehidupan mereka. Tapi dengan maklumat ini, sekali lagi maklumat Al-Qur’an didapati tepat seperti yang telah berlaku di zaman dahulu. Inilah mukjizat Al-Qur’an yang menunjukkan ia adalah Kalamullah dan tidak pernah menipu.

.

Bukti Paderi Mesir yang sujud di atas dagu

Isra’ Ayat 108: Ayat sebelum ini adalah tentang perbuatan mereka yang terus sujud dan ini adalah kalimah yang keluar daripada mulut mereka pula.

وَيَقُولُونَ سُبحَـٰنَ رَبِّنَآ إِن كَانَ وَعدُ رَبِّنَا لَمَفعُولاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “Exalted is our Lord! Indeed, the promise of our Lord has been fulfilled.”

(MELAYU)

dan mereka berkata: “Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi”.

 

وَيَقُولُونَ سُبحَـٰنَ رَبِّنَآ

dan mereka berkata: “Maha Suci Tuhan kami,

Sambil mereka sujud, mereka menyucikan Allah ﷻ. Tasbih maksudnya mengatakan Allah ﷻ suci daripada kata-kata manusia yang tidak patut tentang Allah ﷻ.

Sebagai contoh, ada yang kata Allah ﷻ ada anak, maka tasbih itu menolak fahaman itu; ada yang kata Allah ﷻ memerlukan perantara untuk berdoa kepada-Nya, maka tasbih menolak fahaman syirik itu. Maksudnya, mereka menolak segala fahaman syirik tentang Allah ﷻ.

Tafsiran kedua, tasbih mereka itu adalah bermaksud: Allah ﷻ suci daripada memungkiri janji. Ini adalah kerana Ahli Kitab itu memuji Allah ﷻ kerana telah memenuhi janji untuk mengangkat Nabi akhir zaman dari Yathrib seperti yang disebut dalam kitab-kitab mereka.

Apa yang mereka lakukan ini adalah zikir jenis terbaik. Apa itu zikir terbaik? Iaitu yang dilakukan apabila kita sedar kebesaran Allah ﷻ atau melihat kebesaran Allah ﷻ. Yang kedua adalah kita zikir dan kemudian baru kita memikirkan kebesaran Allah ﷻ. Yang ketiga jenis zikir lemah sedikit, iaitu sebut sahaja tetapi tidak faham apa-apa. Ini yang banyak dilakukan oleh orang kita.

Satu lagi contoh zikir setelah melihat kebesaran Allah ﷻ adalah seperti disebut di dalam Ali Imran: 191

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.

 

إِن كَانَ وَعدُ رَبِّنَا لَمَفعُولاً

sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi”.

Mereka sekarang memuji Allah ﷻ kerana janji Allah ﷻ itu telah dipenuhi. Iaitu janji untuk mengangkat Nabi akhir zaman. Sekarang mereka menjadi umat yang berpeluang untuk bertemu dan beriman dengan Rasul akhir zaman itu. Alangkah beruntungnya mereka!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment