Nahl Ayat 66: Bermula ayat ini sehingga ayat 83 adalah Perenggan Makro ke 3 (Bahagian 6) Ia berkenaan Dalil Tauhid Rububiyyah dan Hari Akhirat.
Allah ﷻ suruh kita lihat alam ini sebagai pengajaran untuk kita. Oleh itu, orang yang rapat dengan Al-Qur’an, mereka lihat dunia ini tidak sama dengan orang lain. Walaupun orang lain nampak biasa sahaja alam ini, tetapi orang yang baca Al-Qur’an, yang memikirkan ayat-ayat Al-Qur’an, mereka lihat dengan pandangan yang lain. Pandangan mereka lebih mendalam dan mampu meningkatkan iman mereka.
وَإِنَّ لَكُم فِي الأَنعٰمِ لَعِبرَةً ۖ نُّسقيكُم مِّمّا في بُطونِهِ مِن بَينِ فَرثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خالِصًا سائِغًا لِّلشّٰرِبينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And indeed, for you in grazing livestock is a lesson. We give you drink from what is in their bellies – between excretion and blood – pure milk, palatable to drinkers.
(MELAYU)
Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberimu minum dari pada apa yang berada dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.
وَإِنَّ لَكُم فِي الأَنعٰمِ لَعِبرَةً
Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu.
Sekarang Allah ﷻ suruh lihat binatang ternak seperti unta, sapi, dan kambing pula kerana padanya juga ada pengajaran. الأَنعٰمِ adalah binatang ternak yang dibela oleh manusia untuk kegunaan kita. Itu jenis binatang yang jinak-jinak supaya senang kita hendak tangkap dan jaga. Kalaulah makanan kita daripada jenis harimau dan singa, tentu susah kita, bukan?
Ayat sebelum ini Allah ﷻ sebut tentang air yang diturunkannya. Dengan air itu tumbuh berbagai jenis tanaman yang menjadi makanan bagi binatang ternak. Hasilnya ia akan mengeluarkan susu untuk diminum oleh manusia.
Kalimah عِبرَةً adalah daripada katadasar ع ب ر yang bermaksud menyeberangi; mentafsir; nyatakan dengan jelas; melalui; pertimbangkan; renungkan; mengambil kira; dapatkan pengalaman; amaran; hormat; amaran; contoh; pengajaran; ambil pengajaran. Oleh itu ‘Ibrah’ adalah sesuatu yang boleh menyebabkan kita menangis kerana ia pelajaran yang sangat kuat. Ia adalah sesuatu yang menusuk ke dalam kalbu. Ia sesuatu yang kita lihat secara zahir akan tetapi ia boleh menyampaikan kita kepada sesuatu yang tidak zahir. Sebagai contoh, kita melihat langit yang zahir tetapi ia mengingatkan kita kepada kebesaran Allah ﷻ yang tidak zahir.
Kerana itulah Allah ﷻ suruh orang Arab (penerima wahyu Al-Qur’an yang awal) untuk lihat binatang ternak. Pada zaman mereka binatang ternak itu ada di mana-mana (berbeza dengan kita sekarang yang berada di arus moden bandar harus cari dahulu baru jumpa). Maka senang untuk mereka memikirkannya. Zaman sekarang mungkin susah kita hendak nampak binatang ternak, maka kena ingat bila ayat-ayat Al-Qur’an ini diturunkan.
Bagaimanakah pula hanya dengan melihat haiwan ternakan itu kita hingga boleh menangis? Kalau kita perhatikan dengan hati yang tulus, kita boleh lihat yang binatang ternak itu hidup di padang pasir tandus yang dikelilingi kematian. Semua maklum padang pasir tentunya air susah untuk didapati namun Allah ﷻ beri juga air kepada binatang-binatang itu untuk hidup.
Jikalau orang Arab lihat dan memikirkan perkara ini, mereka akan terkesan dan boleh menangis kerana sumber pendapatan mereka adalah daripada susu binatang ternak itu. Mereka sepatutnya terkenangkan betapa tinggi nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka sampaikan mereka boleh menangis.
نُّسقيكُم مِّمّا في بُطونِهِ
Kami memberimu minum dari pada apa yang berada dalam perutnya
Bukan sahaja Allah ﷻ turunkan air dari langit, tetapi Allah ﷻ beri kita minuman daripada binatang ternak itu yang datang daripada dalam perut mereka. Itulah susu daripada lembu, unta, kambing dan lain-lain. Itulah yang dilakukan oleh penternak binatang ternak itu apabila mereka memerah susu. Kemudian kita beli dan kita minum dengan lazatnya. Ma shaa Allah!
Di sini digunakan dhomir ه untuk merujuk kepada lembu itu sedangkan di dalam Mukminoon: 21 dhomir ها yang digunakan وَإِنَّ لَكُم فِي الأَنعٰمِ لَعِبرَةً ۖ نُّسقيكُم مِّمّا في بُطونِها. Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan kedua-duanya boleh digunakan. Selalunya untuk jamak, digunakan dhomir ها akan tetapi dhomir ه juga boleh digunakan.
Di sini ada tanda-tanda mukjizat Al-Qur’an yang kita akan belajar. Allah ﷻ beritahu yang minuman (susu) itu diproses di dalam perut binatang ternak. Manusia sejak dulu lagi tahu yang makanan yang dimakan oleh binatang itulah yang menjadi susu. Bukan sahaja binatang, manusia pun begitu juga. Sebab itu kalau ibu yang menyusu berpuasa, susunya kurang sebab bahan untuk memproses susu sudah berkurangan. Kerana itulah dibenarkan wanita yang menyusukan anak untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan.
Akan tetapi manusia dahulukala tidak tahu bagaimana prosesnya makanan menjadi susu. Bagaimanakah hanya dengan memakan rumput hijau, keluar susu berwarna putih pula. Begitu juga, manusia dahulu tidak tahu bagaimana daripada rumput hijau itu boleh menjadi daging, tulang dan lain-lain. Sains Moden telah datang untuk menjelaskan peringkat-peringkat yang menyampaikan kita kepada pembentukan susu yang bersih lagi mudah diminum oleh orang-orang yang meminumnya, lantas ia mendedahkan kepada kita sebahagian tanda-tanda kebesaran Allah ﷻ, yang bertepatan dengan yang diberitakan kepada kita di dalam Al-Qur’an berkaitan rahsia-rahsia pembentukan susu di dalam perut haiwan-haiwan ternakan itu. Kesannya adalah ia menzahirkan kebesaran Allah ﷻ sebagai Maha Pencipta yang memberi nikmat ke atas hamba-hamba-Nya.
Manusia tidak dapat mengetahui bagaimana terbentuknya susu di dalam perut haiwan ternakan melainkan setelah mereka berjaya menemui rahsia sistem penghadaman, dan mengetahui tugas anggota-anggotanya, juga setelah penemuan sistem pengaliran darah serta hubungannya dengan proses penyedutan bahan-bahan makanan daripada usus-usus kecil dan kemasukannya ke dalam darah. Semua kajian itu telah mengambil satu jangka masa yang panjang bagi perkembangan peralatan-peralatan dan penemuan rahsia-rahsia yang berterusan selama hampir lima kurun. Ini kerana ada 3 perkara yang perlu ada:
a) peralatan dan perkakas kajian
b) ilmu tentang tugas-tugas anggota-anggota penghadaman
c) ilmu tentang kitaran darah
Pengkaji zaman dahulu tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi di dalam perut haiwan. Sehinggalah pada tahun 1866M telah dicipta perkakas pemotong tisu-tisu tubuh haiwan. Kemudian pada tahun 1883M baru seorang pengkaji bernama Meyer berjaya meletakkan keratan-keratan spesimen pada kepingan slaid menggunakan putih telur. Kemudian pada tahun 1902M barulah mikroskop dua mata dicipta membolehkan melihat perkara-perkara yang halus. Kemudian pada tahun 1931M, Ernst Ruska telah berjaya mencipta mikroskop elektron yang dapat melihat pembesaran sehingga 70 ribu kali ganda.
Penemuan-penemuan saintifik telah bertali arus dan telah berjaya mengenal tugas anggota-anggota sistem penghadaman bermula dari tahun 1833M sehinggalah sempurna ilmu itu pada kurun ke-20 yang dapat menjelaskan aktiviti-aktiviti yang berurutan bagi proses-proses penghadaman yang terdiri daripada penguraian protein-protein melalui rangkaian enzim-enzim pankreas dan usus. Sistem penghadaman binatang dan juga manusia bukanlah satu proses melibatkan satu organ badan sahaja. Namun ia adalah sistem yang amat kompleks yang bermula sejak daripada makanan itu dimasukkan ke dalam mulut. Ma shaa Allah!
Setelah manusia menemui rahsia-rahsia penghadaman, peringkat-peringkatnya, tugas-tugas anggota sistem penghadaman, kitaran darah, tugas jantung dan pembuluh-pembuluh darah, pergerakannya di dalam tubuh, hubungannya dengan sistem penghadaman serta seluruh tubuh yang juga termasuk di dalamnya: kantung-kantung dan kelenjar-kelenjar susu pada haiwan-haiwan ternakan, manusia telah dapat mengetahui cara pembentukan susu daripada makanan yang dimakan oleh haiwan-haiwan ternakan.
Kitaran darah telah dikaji bermula daripada pengkaji Muslim bernama Ibnu Nafis (hidup 1205 – 1288). Kajian telah berterusan sehinggalah ke pertengahan kurun ke 20. Maklumat terperinci telah diketahui tentang perjalanan makanan di dalam pembuluh darah setelah pengkaji berjaya meletakkan isotop nuklear pada makanan. Isotop itu seperti tanda yang diletakkan pada makanan dan pengkaji mengikuti perjalanan makanan itu di dalam badan.
مِن بَينِ فَرثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خالِصًا
susu yang bersih dari antara tahi dan darah,
Apa yang datang daripada perut binatang itu adalah susu segar. Ia adalah bersih kerana warnanya putih elok sahaja. Kalau tak elok, kita pun tak lalu hendak meminumnya.
Allah ﷻ beritahu yang susu segar itu terbit daripada فَرثٍ iaitu bahagian dalam perut binatang itu dan dikatakan ia adalah najis tahi yang duduk di antara isi perut dan juga ada darah. Itulah payudara binatang itu. Walaupun ia datang dari tempat yang dekat dengan darah dan tahi, tetapi bila kita minum susu itu, tidak ada rasa tahi dan darah pun, bukan? Allah ﷻ boleh bahagikan susu itu supaya tidak ada kesan kotoran daripadanya. Tahi, darah dan susu berjalan ke tempat salurannya masing-masing bila makanan yang ada di dalam perut haiwan itu telah diproses.
Darah mengalir ke arah urat-urat, air susu mengalir ke arah payudara, sedangkan air kencing mengalir ke arah kemaluan, dan tahi disalurkan ke tempat pembuangannya. Dengan kata lain, masing-masing daripada ketiga-tiga benda itu tidak bercampur dengan yang lain setelah terpisah (teruraikan), tidak pula berubah.
Yang ajaibnya, kalau kita tebuk perut binatang itu di kawasan itu, kita tidak akan jumpa susu. Ia harus keluar daripada payudara itu baru ada susu. Ini adalah kehebatan yang Allah ﷻ jadikan untuk kita lihat. Cara Allah ﷻ proses dalam tubuh binatang itu memang amat hebat.
Akan tetapi bercanggahan ahli-ahli tafsir berkenaan makna ayat yang mulia ini dengan sebab percanggahan mereka di dalam memahami petunjuk-petunjuk sebahagian lafaz. Segolongan mereka membayangkan bahawa pernyataan مِن بَينِ datang untuk ‘pembahagian’; iaitu daripada sebahagian hampas atau daripada sebahagian darah. Iaitu susu itu terjadi daripada sebahagian hampas/tahi dan darah untuk menjadi susu. Manakala segolongan yang lain pula berpendapat ia adalah ‘kedudukan’; iaitu duduknya susu itu pada satu tempat yang di antara darah dan hampas.
Telah datang satu riwayat yang dhoif daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang konteksnya:
“Bahawa haiwan melata memakan bahan ragut, apabila ia telah tetap di dalam perutnya haiwan tersebut akan mengisarnya, maka bahagian bawahnya menjadi hampas, bahagian pertengahannya menjadi susu dan bahagian atasnya menjadi darah“.
(Hadith ini telah didatangkan oleh kebanyakan ahli-ahli Tafsir, di antara mereka adalah Al-Baidhowi, Al-Qurtubi, Abu As-Saud, As-Syaukani, Ibnu Al-Jauzi di dalam Zad Al-Masir, Al-Alusi di dalam Ruh Al-Ma’ani dan lain-lain lagi)
Sebahagian ahli-ahli Tafsir tadi telah membuat ulasan terhadap kata-kata yang dinasabkan kepada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا setelah mereka memerhatikan bahawa ia menyalahi realiti yang disaksikan. Lantas berkata Abu As-Saud, Al-Baidhowi dan Al-Alusi; bahawa susu dan darah tidak terbentuk di dalam perut. Di dalam Ruh Al-Ma’ani berkata Al-Alusi: “dan telah mengulas perkara tersebut -yakni kata-kata Ibnu Abbas-, Ar-Razi dengan kata-katanya: “Dan boleh untuk seseorang yang berpendapat mengatakan; susu dan darah tidak terhasil di dalam perut dan bukti yang menunjukkan kepadanya adalah pancaindera, kerana haiwan-haiwan sering disembelih dan tidak dilihat di dalam perutnya apa-apa daripada perkara tersebut. Dan jika berlaku penghasilan apa yang dinyatakan di dalamnya, nescaya pasti akan dilihat pada sebahagian keadaan, dan sesuatu yang penyaksian menunjukkan kepada ketidakbenarannya, tidak harus [kita] pergi kepadanya“.
Segolongan ahli Tafsir menyatakan bahawa hampas ialah sumber darah dan susu, yakni darah keluar daripada hampas dan susu juga keluar daripada hampas. Telah berpendapat sedemikian Al-Baidhowi ketika beliau mentakwilkan kata-kata yang dinasabkan kepada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dengan katanya: “Sekiranya ia benar, maka yang dimaksudkan adalah pertengahannya adalah bahan susu dan atasnya adalah bahan darah, kerana kedua-duanya tidak terbentuk di dalam perut“. Dan telah berpendapat dengannya As-Syaukani Fath Al-Qodir.
Sementara ramai dalam kalangan ahli-ahli Tafsir telah menyatakan, apa yang bertepatan dengan yang didatangkan oleh Sains Moden; bahawa kandungan-kandungan susu diekstrak daripada hampas dan kemudian ia diekstrak daripada darah. Di antara orang-orang yang berpendapat sedemikian adalah Al-Qurtubi, Abu As-Saud, pemilik Ma’ani Al-Qur’an serta di dalam Zad Al-Masir oleh Ibnu Jauzi رَحِمَهُ اللَّهُ pada kata-kata beliau: “Hampas adalah apa yang di dalam perut haiwan, dan maknanya adalah susu asalnya adalah makanan, lantas disaring daripada makanan tersebut darah, dan hampas kekal di dalam perut, dan disaring daripada darah {susu yang bersih yang mudah diminum lagi sedap-sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.}“
Demikianlah kita perhatikan percanggahan ahli-ahli Tafsir di dalam masalah ini, dengan sebab ketiadaan melimpahnya pengetahuan saintifik pada zaman mereka. Walaupun begitu, Allah ﷻ telah menghidayahkan sebahagian ahli-ahli Tafsir kepada kefahaman yang betul bagi makna مِن بَينِ bahawa ia bermaksud daripada sebahagian hampas, kemudian daripada sebahagian darah, meskipun ketidaktahuan mereka tentang tatacara yang tidak disaksikan oleh manusia kecuali setelah beratus-ratus tahun semenjak turunnya ayat yang mulia ini.
Sesungguhnya lafaz خالِصًا di dalam ayat tersebut merupakan bukti lain bahawa bahan-bahan susu diekstrak dari tengah-tengah darah setelah ia diekstrak daripada hampas. At-Tabari رَحِمَهُ اللَّهُ telah mengisyaratkan kepada makna ini dengan kata-katanya: “Ia disaring daripada campuran darah dan hampas, oleh itu kedua-duanya tidak bercampur dengannya“. Namun ahli-ahli Tafsir tidak mengisyaratkan makna yang zahir ini, dan hanya meringkaskan kepada pendapat; bahasa خالِصًا memberi maksud susu tersebut tidak diiringi warna darah dan tidak juga bau hampas, sebagaimana yang dikatakan oleh Al-Baidhowi dan Al-Baghowi; atau merah darah dan kotoran hampas; sebagaimana yang dikatakan oleh Al-Qurtubi dan As-Syaukani; atau bersih daripada apa-apa noda yang terdapat pada darah dan hampas dari segi sifat-sifat, sebagaimana yang dikatakan oleh Abu As-Saud dan dua pemilik Tafsir Al-Jalalain.
Mari kita lihat dari segi sains bagaimana susu terbentuk dan bagaimana ayat ini menjadi bukti mukjizat Al-Qur’an yang agung.
Peringkat-peringkat Pembentukan Susu Yang Bersih Lagi Memuaskan
Pembentukan susu berlaku di dalam haiwan ternakan dengan koordinasi yang teratur dan pemeringkatan yang teliti di antara sistem penghadaman, sistem peredaran darah dan sistem peranakan, melalui kelenjar-kelenjar susu di dalam kantung susu serta organ-organ yang lain; di mana Allah ﷻ telah menjadikan bagi setiap organ tersebut tugas dan kerja-kerja khas yang ia laksanakan bagi membentuk -di akhir pusingan- susu yang bersih lagi memuaskan untuk orang-orang yang meminumnya dan boleh kita himpunkan peringkat-peringkat pembentukan susu seperti berikut:
1) Penghadaman
Penghadaman berlaku mengikut beberapa bentuk, di antaranya penghadaman mekanikal, penghadaman kimia dan penghadaman mikrob melalui (penapaian) bakteria yang terdapat di dalam perut haiwan ternakan.
Proses penghadaman bermula di dalam mulut dengan dua bentuknya: penghadaman (gerakan) dan (penapaian); di mana berlaku pemotongan bahan ragut dengan kunyahan dan penggaulannya dengan air liur yang mengandungi enzim amilase yang akan melaksanakan penghadaman permulaan, seterusnya di dalam perut majmuk (perut lembu ada 4 bahagian) di mana berlaku penghadaman mekanikal, mikrob dan kimia.
Seterusnya berlaku penolakan bongkah makanan daripada perut ternakan ke mulut untuk diulang semula pengunyahan dan penggaulannya dengan air liur, dan kemudian ia ditelan kembali agar bakteria perut haiwan dapat beroperasi terhadapnya; merungkaikan gula dan protein. Sesudah itu, berlaku penghadaman penapaian di dalam perut sebenar dengan pepsin dan renin.
Dengan proses-proses penghadaman ini, makanan ternakan bertukar kepada hampas, dan dengan perpindahan hampas ke usus kecil yang halus, proses penghadaman akan berterusan dan hampas tersebut akan didedahkan kepada enzim-enzim yang menghadamkan di dalam usus kecil, pankreas dan cecair hempedu di dalam hati. Dengan ini, selesailah penguraian makanan yang mengandungi molekul-molekul yang amat kompleks kepada molekul-molekul yang ringkas.
Kanji dan gula-gula yang kompleks bertukar kepada gula-gula ringkas, minyak ditukar kepada asid lemak, protein-protein bertukar kepada asid amino dan peptid-peptid. Manakala vitamin-vitamin, garam-garam mineral dan air, [kesemuanya] tidak memerlukan kepada penghadaman sebelum penyerapannya. Hampas yang keras sesudah penghadamannya di dalam usus kecil akan bertukar kepada hampas yang cair.
2) Penyaringan Daripada [Bahan] Pertengahan Hampas
Vilus-vilus (benjolan-benjolan dalam usus kecil) kemudian melakukan penyerapan bahan-bahan makanan yang telah dirungkaikan melalui beberapa cara. Bahan-bahan ini sampai ke dalam saluran-saluran darah yang halus yang terletak di bawah tisu epitelium, dan darinya ke saluran-saluran darah yang besar dan seterusnya masuk ke dalam aliran kitaran darah.
3) Penyaringan Daripada [Bahan] Pertengahan Darah
Kemudian darah akan menjalankan pemindahan bahan-bahan makanan ini ke semua sel-sel tubuh yang termasuk di antaranya; sel-sel kantung susu yang akan disempurnakan di dalamnya penyedutan kandungan-kandungan susu dari pertengahan darah.
Aliran darah ke lambung susu adalah amat penting untuk penghasilan susu memandangkan bahawa diperlukan lebih kurang 500 isi padu darah untuk menghasilkan 1 isi padu susu. Seekor lembu yang menghasilkan 45.36 kilogram susu sehari akan memerlukan kepada sekurang-kurangnya 27,300 liter darah beredar ke lambung susu. Sistem pengaliran luas yang diperlukan untuk memindahkan darah ke lambung susu (seperti yang ditunjukkan di dalam rajah di atas).
4) Pembuatan Susu Di Dalam Kantung Susu
Kantung susu adalah sebuah ‘bandar industri’ yang terdiri daripada beberapa segmen (lobe), dan setiap segmen terdiri daripada sebilangan pangsa kecil (lobule), dan setiap pangsa kecil mengandungi di antara 150 – 220 alveoli mikro. Alveoli mikro adalah berupa binaan yang menyerupai kantung di mana dibuat dan dikeluarkan susu. Setiap alveoli dikira sebagai unit pembuatan tersendiri yang terdiri daripada ruang bagi menghimpunkan susu, yang dilingkungi dengan satu lapisan dari sel epitelium.
Setiap sel di dalam unit pembuatan ini adalah satu unit sempurna yang tersendiri, mengubah apa yang di dalam ruangannya, yang berupa bahan-bahan mentah yang datang daripada darah, kepada titisan halus susu yang dikeluarkan pada ruangan tersebut.
Sel epitelium susu merupakan [tempat] yang Allah ﷻ jadikan di dalamnya seluruh proses-proses pembuatan susu dengan isi kandungannya yang beraneka. Kandungan-kandungan asas untuk susu sampai ke lapisan bawah sel susu (BM), lalu setiap kandungan akan mengambil laluan melaluinya untuk sampai kepada bahagian yang sesuai di dalam sel berkenaan; di mana berlaku terhadapnya proses-proses yang ditentukan oleh Yang Maha Mengetahui rahsia dan yang tersembunyi, lalu ia akan keluar dari bahagian atas sel tersebut sebagai bahan baru yang terbentuk bersama-sama bahan-bahan lain yang menghasilkan susu yang memuaskan lagi sedap untuk orang-orang yang meminum.
Begitulah berakhirnya pengembaraan yang berketentuan dengan perintah Allah ﷻ terhadap kandungan-kandungan susu. Tidak di dalam kemampuan satu makhluk pun dalam kalangan manusia, bagaimana diberikan pengetahuan dan kemampuan, untuk meniru walau satu pun sel susu yang membuat susu. Akan tetapi, Allah ﷻ Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui telah menjadikan pada sel yang tidak kelihatan kecuali dengan mikroskop ini, satu kompleks pembuatan sempurna yang membuat susu di sepanjang waktu, pada hidupan-hidupan yang direzekikan oleh Allah ﷻ zuriat yang memerlukan kepada susu tersebut.
Bentuk Ei’jaz
Tidak ada seorang pun mengetahui (sebelum penemuan peralatan pembedahan pada dua kurun yang lalu) rahsia-rahsia apa yang berlaku di dalam sistem penghadaman pada haiwan dan manusia, serta tugas-tugas sistem tersebut yang kompleks dan hubungannya dengan peredaran darah, dan peringkat-peringkat pembentukan susu di dalam perut haiwan-haiwan ternakan.
Apabila telah sempurna penciptaan radas-radas dan uji kaji saintifik sepanjang beratus tahun, manusia mendapat tahu bahawa kandungan-kandungan susu diekstrak, setelah penghadaman makanan, dari tengah-tengah hampas makanan, dan ia mengalir dengan aliran darah untuk sampai ke kelenjar-kelenjar susu pada lambung haiwan-haiwan betina, yang akan melakukan pengekstrakan kandungan-kandungan susu dari tengah-tengah darah, tanpa meninggalkan apa-apa kesan terhadap susu sama ada daripada hampas mahupun daripada darah, dan ditambah kepadanya, di dalam alveoli-alveoli susu, unsur gula susu yang menjadikannya memuaskan lagi sedap untuk orang-orang yang meminum.
Rahsia-rahsia ini dahulunya terhijab daripada manusia, oleh itu mereka tidak menemuinya melainkan setelah pengembaraan yang lama daripada eksperimen-eksperimen dan kajian-kajian saintifik yang mengambil masa beratus-ratus tahun, serta digunakan di dalamnya alat-alat yang direka untuk pertama kalinya di tangan para pengkaji, yang ia tak pernah wujud di sisi manusia sebelum dari itu. Akan tetapi Al-Qur’an Al-Karim menyingkapnya di hadapan pembaca-pembacanya dengan secantik-cantik susunan ayat dan seringkas-ringkas lafaz, sebelum seribu empat ratus tahun.
Siapakah yang mengajarkan Nabi Muhammad ﷺ, di tengah-tengah seluruh manusia pada zaman tersebut, rahsia-rahsia sistem penghadaman, sistem peredaran darah dan perincian-perincian yang berlaku di dalam kelenjar-kelenjar susu jika bukan Tuhan yang mengetahui rahsia di Bumi dan di Langit, serta Dia mengetahui rahsia-rahsia apa yang Dia jadikan daripada hidupan-hidupan? Maka itu menjadi saksi bahawa Al-Qur’an telah turun dengan ilmu Allah ﷻ dan bahawa Muhammad ﷺ adalah utusan Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ di dalam Nisa’: 166:
لٰكِنِ اللهُ يَشهَدُ بِما أَنزَلَ إِلَيكَ ۖ أَنزَلَهُ بِعِلمِهِ ۖ وَالمَلائِكَةُ يَشهَدونَ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ شَهيدًا
(Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkan-Nya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmu-Nya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini).
Sains moden menjadi bukti kepada kebenaran Al-Qur’an. Kalau zaman dahulu ia tidak difahami kerana zaman dahulu sains adalah perkara baru. Akan tetapi semakin sains berkembang dan manusia semakin percaya kepada sains, Allah ﷻ bukakan satu persatu kebenaran yang ada di dalam Al-Qur’an ini. Untuk otak yang memikirkan, mereka akan nampak kebenaran yang ada di dalam ayat-ayat-Nya. Bukan satu ini sahaja kebenaran sains yang tepat ditunjukkan di dalam Al-Qur’an, malah terlalu banyak sekali. Kalau kita katakan ia adalah satu kebarangkalian sahaja, takkan semua ayat-ayat itu 100% tepat? Kalau satu sahaja, kita bolehlah kata: ‘Ahh ini kebarangkalian sahaja’. Namun kalau semuanya benar!?
سائِغًا لِّلشّٰرِبينَ
yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.
Susu yang segar bersih itu Allah ﷻ jadikan sebagai minuman yang senang dan lazat sekali diminum. Tidak rasa darah atau tahi. Sedap sahaja kita minum berteguk-teguk. Sekarang dicampur pula dengan berbagai perisa yang menjadikan ia lebih sedap. Ia juga adalah minuman yang berzat untuk kita. Ada kebaikan dari segi kesihatan, bukan setakat menghilangkan dahaga sahaja. Malah anak-anak kita diberi dengan susu untuk tumbesaran mereka.

Susu kaya dengan sumber vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh. Sumber vitaminnya adalah :
vitamin A
vitamin D
vitamin K
kumpulan vitamin B iaitu;
riboflavin
niasin
vitamin B6
vitamin B12.
Sumber mineralnya pula adalah :
kalsium
magnesium
fosforus
potassium
zink
ferum/zat besi
Kalsium adalah penting untuk menjadikan tulang dan gigi yang kuat. Ia amat diperlukan oleh kanak-kanak dan orang dewasa untuk kekuatan tulang. Penyerapan kalsium dan pertumbuhan tulang pada waktu kemuncaknya adalah sehingga umur 20 tahun, dan kemudian berkurangan pada sekitar umur 30 tahun. Pengambilan kalsium yang mencukupi, ditambah pula dengan pengambilan vitamin D, boleh meningkatkan jisim tulang dan ia juga boleh mengurangkan kehilangan jisim tulang semasa penuaan.
Selain kalsium, susu dan produk tenusu juga kaya dengan protein. Daripada hidangan makanan yang diambil setiap hari, tiada satu pun yang boleh menyamai kepentingan dan kebaikan yang boleh diperoleh daripada segelas susu.
Susu adalah makanan yang mengandungi hampir kesemua nutrien yang diperlukan oleh badan. Malah, susu juga adalah sumber nutrisi utama yang perlu diberikan kepada anak pada peringkat awal pertumbuhan mereka dan ia harus diamalkan sepanjang usia.
Ayat ini mengandungi hukum tidak salah untuk menikmati makanan asalkan ia halal dan didapati dengan cara halal. Bukanlah zuhud itu bermaksud sampai kena tinggalkan kesedapan dunia.
Susu di sini juga adalah perumpamaan. Kalau air perumpamaan kepada wahyu, susu pula adalah perumpamaan kepada Al-Qur’an. Al-Qur’an itu bersih suci murni daripada kekotoran. Ia tidak bercampur dengan benda-benda yang buruk. Ia juga senang untuk diterima oleh hati yang mahukan kebenaran. Sebagaimana susu itu bersih walaupun di tepinya ada tahi dan darah; sebagaimana susu itu senang diminum. Kalau kita belajar tafsir, kita akan nampak betapa mudahnya hendak memahami agama ini.
Semasa peristiwa Isra’ Mi’raj juga Rasulullah ﷺ telah memilih susu dan ia adalah pilihan yang tepat. Ini seperti disebut di dalam Sahih Muslim,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أُسْرِيَ بِي لَقِيتُ مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام فَنَعَتَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا رَجُلٌ حَسِبْتُهُ قَالَ مُضْطَرِبٌ رَجِلُ الرَّأْسِ كَأَنَّهُ مِنْ رِجَالِ شَنُوءَةَ قَالَ وَلَقِيتُ عِيسَى فَنَعَتَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا رَبْعَةٌ أَحْمَرُ كَأَنَّمَا خَرَجَ مِنْ دِيمَاسٍ يَعْنِي حَمَّامًا قَالَ وَرَأَيْتُ إِبْرَاهِيمَ صَلَوَاتُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَأَنَا أَشْبَهُ وَلَدِهِ بِهِ قَالَ فَأُتِيتُ بِإِنَاءَيْنِ فِي أَحَدِهِمَا لَبَنٌ وَفِي الْآخَرِ خَمْرٌ فَقِيلَ لِي خُذْ أَيَّهُمَا شِئْتَ فَأَخَذْتُ اللَّبَنَ فَشَرِبْتُهُ فَقَالَ هُدِيتَ الْفِطْرَةَ أَوْ أَصَبْتَ الْفِطْرَةَ أَمَّا إِنَّكَ لَوْ أَخَذْتَ الْخَمْرَ غَوَتْ أُمَّتُكَ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata, “Nabi ﷺ bersabda: “Semasa aku dibawa berjalan dalam peristiwa Isra’, aku telah bertemu dengan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.” Lalu Nabi ﷺ memberikan gambaran mengenainya, ‘Maka ternyata dia seorang lelaki -aku mengira baginda bersabda- yang tinggi sederhana dan berambut ikal, seolah-olah dia seorang lelaki daripada Kabilah Syanu’ah.’ Baginda bersabda lagi: ‘Dan aku telah berjumpa dengan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.’ Lalu baginda memberi gambaran mengenainya: ‘Ternyata dia berwajah dan berperawakan sederhana, berkulit merah, seakan-akan baru keluar dari bilik mandi.’ Baginda bersabda lagi: ‘Kemudian aku melihat Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dan akulah keturunannya yang paling mirip dengannya. Lalu dibawa kepadaku dua bekas, salah satunya berisi susu dan satu lagi berisi arak. Dikatakan kepadaku, ‘Ambillah mana saja yang kamu suka’, lalu aku mengambil bekas yang berisi susu dan meminumnya. Kemudian Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata kepadaku, ‘Engkau memang telah diberi petunjuk dengan fitrah atau kamu menepati fitrah, seandainya kamu mengambil arak, nescaya sesatlah umatmu’.”
(Sahih Muslim (245))
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 17 April 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA




