Jin Ayat 5:
وَأَنّا ظَنَنّا أَن لَّن تَقولَ الإِنسُ وَالجِنُّ عَلَى اللهِ كَذِبًا
And we had thought that mankind and the jinn would never speak about Allah a lie.
`Dan bahawa sesungguhnya kita menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.
وَأَنَّا ظَنَنَّا
Dan bahawa sesungguhnya kami menyangka
Mereka menceritakan apakah fahaman mereka dulu. Kerana mereka telah diberikan dengan ajaran-ajaran yang salah dulu. Dan sekarang mereka menceritakan semula. Macam juga orang kita yang percaya dengan ajaran ustaz-ustaz dahulu. Kita terima sahaja apa yang mereka kata. Kita sangkakan tentulah apa yang mereka beritahu dulu itu benar belaka, bukan?
أَن لَّن تَقُولَ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَى اللهِ كَذِبًا
bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.
Mereka dulu tak sangka manusia dan jin akan berani kata perkara yang tidak benar tentang Allah. Mereka sangka apa kesyirikan yang dilakukan oleh manusia dan jin lain itu tentulah benar kerana diberitahu oleh mereka yang dipercayai – takkan mereka hendak menipu pula?
Hanya apabila mereka dengar bacaan Al-Qur’an, baru mereka sedar yang apa yang diberitakan kepada mereka dulu adalah salah sahaja. Mereka tak sangka sampai ada yang berani nak kata perkara yang salah tentang Allah. Tapi, ini memang terjadi.
Beginilah juga yang kena kepada Nabi Adam. Masa Nabi Adam makan pokok larangan, baginda tidak sangka yang iblis sanggup bersumpah atas nama Allah. Allah berfirman dalam A’raf:20
فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِن سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.
وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ
Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua”.
Nabi Adam tak sangka iblis boleh sanggup berbohong atas nama Allah. Tambahan pula Iblis telah bersumpah seperti disebut dalam ayat ini. Apabila Iblis bersumpah, maka Nabi Adam percaya.
Begitulah golongan jin tak sangka ada makhluk yang sanggup berbohong atas nama Allah dengan mudah. Yang berdusta itu macam tak takut pun. Jin pun hairan, bagaimana mereka boleh berani menipu sampai begitu sekali. Selepas dibukakan ilmu Al-Qur’an kepada mereka, barulah mereka tahu yang selama yang diajar oleh tok nenek mereka dahulu adalah dusta sahaja.
Macam zaman kita sekarang pun ada juga. Ada yang berani kata Allah redha dengan ini dan itu tapi rupanya tipu sahaja. Mereka berani berkata sesuatu yang tanpa dalil. Mereka percaya kata-kata ustaz mereka, ulama’ mereka, syeikh mereka, guru tarekat mereka dan sebagainya. Hanya selepas kita belajar sunnah baru tahu mana yang benar.
Tapi memang kena belajarlah dahulu. Kalau tak belajar, tak tahu. Macam jin dalam ayat ini dapat tahu setelah mereka dengar ayat-ayat Al-Qur’an. Itulah kita kata, kena belajar, bukannya ikut ustaz itu dan ini. Malangnya masyarakat kita selalu terima sahaja apa kata ustaz walaupun ustaz itu sendiri tidak tahu. Ustaz itu pun dengar kata-kata guru dia juga dan dia tidak sangka gurunya itu akan berkata perkara yang salah. Jadi, kita kebanyakan percaya atas percaya sahaja.
Lihatlah bagaimana jin-jin itu setelah nampak kebenaran, mereka tidak malu untuk mengaku kesalahan mereka dahulu. Mereka terima bahawa dulu mereka salah. Berapa banyak antara kita yang mengaku dulunya mereka buat salah dengan jadi tekong tahlil, ketua zikir, belajar tarekat dan macam-macam lagi?
Ramai yang tidak mahu mengaku salah. Malah mereka terus juga hendak mempertahankan amalan mereka yang salah. Beginilah masalah orang kita apabila kita beritahu mereka akan mengamalkan ajaran yang benar. Bukannya mereka nak dengar, sebaliknya mereka cari juga jalan untuk mempertahankan amalan mereka itu. Mereka tak boleh nak tolak ajaran ustaz-ustaz dahulu. Inilah yang susah untuk dilakukan.
Kalimah الْإِنسِ merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Akan tetapi kalau perasan, bukan الْإِنسِ sahaja yang digunakan untuk merujuk kepada manusia. Kalau kalimah الْإِنسِ yang digunakan, Al-Qur’an hendak merujuk kepada perbincangan aspek sosial manusia. Kalau kalimah بَني ءآدَمَ yang digunakan, seperti di dalam A’raf:172, perbincangan adalah berkenaan aspek sejarah.
وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka,
Dan jikalau kalimah yang digunakan adalah بَشَرٌ seperti di dalam Ali Imran:47, kandungan perbincangan adalah mengenai aspek semulajadi dan fizikal manusia.
قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ
Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”
Jin Ayat 6: Jin-jin itu buka lagi kisah dahulu.
وَأَنَّهُ كانَ رِجالٌ مِّنَ الإِنسِ يَعوذونَ بِرِجالٍ مِّنَ الجِنِّ فَزادوهُم رَهَقًا
And there were men from mankind who sought refuge in men from the jinn, so they [only] increased them in burden.
Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ
`Dan sesungguhnya dulu ada lelaki dari manusia, meminta perlindungan kepada lelaki dari golongan jin,
Jin-jin itu menceritakan bagaimana ada manusia sudah buat syirik dengan menggunakan jin. Ada manusia yang minta perlindungan kepada jin pula, sedangkan mereka sepatutnya minta tolong kepada Allah. Ini pun ada dilakukan oleh orang kita.
Sebagai contoh, ada yang meminta perlindungan seperti “minta maaf tok nenek, anak cucu nak lalu”. Ini masih lagi diajar kepada anak-anak orang Melayu kalau mereka masuk hutan. Itu sebenarnya minta perlindung kepada jin penunggu hutan itu!
Sebegitulah adat kebiasaan Arab jahiliyah. Mereka akan minta keselamatan dari ketua jin sesuatu tempat itu. Seperti kita tahu, mereka banyak musafir dan mereka selalunya akan berhenti di kawasan padang pasir yang sunyi. Dan mereka minta perlindungan dari jin di tempat itu. Ini adalah syirik. Ini kerana mereka sangka yang setiap tempat yang kosong itu mesti ada penjaga dari kalangan jin dan kalau tidak minta perlindungan jin itu, mereka akan diganggu. Mereka berkata: “Aku berlindung kepada pemimpin jin lembah ini agar aku jangan diganggu atau hartaku atau anakku atau ternakku.”
Orang kita memang ramai yang buat dulu dan masih lagi ada yang buat walaupun zaman sudah moden. Siap belajar macam-macam ilmu bagaimana nak berurusan dan meminta dengan jin. Mereka sanggup buat begitu sebab mereka hendakkan kelebihan dunia. Mereka rasa yang jin itu berkuasa dan boleh berkhidmat untuk mereka dan memberi keuntungan kepada mereka. Malangnya, apa yang mereka belajar dan dapat itu bukan boleh menambah iman tapi menyesatkan mereka sahaja. Itu semua adalah ilmu sihir.
Ada kalangan orang kita yang takut sangat dengan jin. Mereka takut kalau jin mengapa-apakan mereka. Maka sebab itulah mereka rasa yang mereka kena minta perlindungan dari jin-jin itu. Sepatutnya kita bacakan doa yang Nabi ajar. Apabila kita pergi ke sesuatu tempat, kita takut kalau ada yang mengganggu kita, bacakan doa ini.
أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, dari kejahatan apa yang diciptakan-Nya.” (HR. Muslim)
Banyak sangat kepala kita dimainkan oleh perasaan. Semua kita kata jin buat itu, buat ini. Agaknya jin pun marah sebab semua salahkan mereka. Sebagai contoh, kalau anak-anak kita perangai lain sikit, kita kata jin yang kacau. Padahal, kadang-kadang kanak-kanak yang nampak macam-macam itu adalah kerana tekanan psikologi sahaja. Mereka jadi begitu sebab tekanan perasaan. Kadang-kadang sebab kena tinggal oleh ibubapa yang bekerja. Bila sudah besar nanti akan hilang begitu sahaja.
Jin tidak boleh buat apa pun sebenarnya kepada kita. Kalau mereka nak curi makanan kita pun tidak boleh. Ingatlah bahawa mereka boleh makan sisa kita sahaja. Oleh itu, segala ayam golek, pulut kuning yang diminta oleh mereka itu bukan mereka boleh makan pun. Itu bomoh yang makan nanti.
Yang bahaya adalah bisikan mereka. Mereka boleh membisikkan was-was dalam hati kita. Bisikan mereka itu boleh menyebabkan kita fikirkan macam-macam. Itu pun kerana salah kita selalunya, kalau kita beri ‘kunci’ kepada mereka kepada hati kita. Kita beri kunci kepada mereka kalau kita takut kepada mereka, kita percaya mereka ada kuasa dan kalau kita ada amal amalan yang salah.
Kita boleh juga mempertahankan diri dari gangguan jin dengan membaca ayat-ayat muawwizatain (surah al-Falaq dan an-Nas). Begitu juga dengan membaca ayat Kursi. Ataupun paling mudah bacakan istiaazah. Dan kita kena taat kepada suruhan Allah dan tinggalkan dosa kerana kalau kita buat dosa, jin ada usaha untuk ganggu kita. Kalau kita lihat mereka yang kena ganggu, kalau kita periksa, mereka itu solat pun tidak jaga. Mudah sahaja bagi jin nak ganggu mereka yang sebegini.
Dan kita kena bersihkan diri kita luaran juga. Pakai pakaian yang bersih dan bersihkan tempat tinggal kita. Pengamal-pengamal ajaran salah yang berkenaan dengan jin sebenarnya mengamalkan benda-benda yang kotor kerana itulah yang jin suka. Antaranya, mereka akan menyapu najis pada badan mereka untuk beberapa hari semasa pertapaan mereka.
Dan kita kena selalu baca ayat-ayat Al-Qur’an. Apabila masuk rumah, sebut nama Allah. Tapi kena yakin dengan kuasa Allah. Bukan kita baca kosong sahaja. Kalau kita pun tidak percaya, jin pun tidak terkesan dengan bacaan kita itu.
Itu semua adalah perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk mempertahankan diri kita dari gangguan jin. Kerana jin syaitan akan sentiasa mencari peluang untuk mengganggu manusia. Sedangkan Nabi pun pernah diganggu, maka gangguan jin ini adalah benar.
Kenapa kita takut dengan jin sedangkan ada malaikat yang menjaga kita? Sebagai contoh, dalam hadis ada disebut yang apabila kita baca ayat Kursi, Allah akan tugaskan malaikat untuk menjaga kita. Mana lagi kuat, jin atau malaikat? Allah telah berfirman bahawa ada malaikat yang menjaga kita. Seperti firman Allah dalam Rad :11
لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.
Kepada anak-anak kita pun, kenalah kita doakan keselamatan untuk mereka. Dalam hal ini, ada doa yang diajar oleh Nabi.
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَوِّذُ الْـحَسَنَ وَالْـحُسَيْنَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا: أُعِيْذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ
“Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam memperlindungkan Al-Hasan dan Al-Husain Radhiyallahu Anhuma, ‘Aku berlindung kepada Allah untukmu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, dari segala macam syetan, binatang yang berbisa, dan ‘ain (pandangan mata) yang menimpanya (yang mengakibatkan sakit).”‘
Catatan:
Dhomir (kata ganti) pada awal lafazh doa أُعِيْذُكُمَا dapat disesuaikan dengan jenis kelamin dan jumlah anak sebagai berikut:
Satu anak laki-laki: أُعِيْذُكَ
Satu anak perempuan: أُعِيْذُكِ
Dua anak; baik dua anak laki-laki atau dua anak perempuan atau satu anak laki-laki dan satu anak perempuan: أُعِيْذُكُمَا
Tiga anak laki-laki atau lebih, atau anak yang terdiri dari laki-laki dan perempuan berjumlah tiga orang atau lebih: أُعِيْذُكُمْ
Tiga anak perempuan atau lebih: أُعِيْذُكُنَّ
فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Lalu menambah takut/dosa mereka
Kalimah رَهَقًا dari katadasar ر ه ق yang bermaksud bodoh, tipu, jahat, takut dan lain-lain. Apabila jin melihat manusia takut kepada mereka, Jin itu akan tambah lagi perasaan takut itu dalam hati manusia. Bagi manusia yang takut itu, lagi takut. Jin akan bagi orang itu lagi panik. Sampai manusia lagi takut dengan hantu jin. Nak pergi tempat sunyi sahaja dah mula fikir macam-macam.
Dan menambah dosa kepada manusia. Kerana manusia akan buat benda-benda yang syirik. Buat amalan syirik, berlindung dengan jin sendiri dan macam-macam lagi.
Macam sekarang, kita selalu ditakutkan dengan ‘tempat-tempat yang keras’. Ada pula dikatakan ada tempat yang selalu ada kemalangan sebab kononnya ada gangguan hantu. Padahal tempat itu orang selalu pandu laju sebenarnya. Dan kalau kita katakan mereka ada kuasa untuk kacau kita, jin-jin itu akan rasa lebih besar dan mereka akan buat supaya kita lebih takut. Ini disebut dalam satu hadis:
كُنْتُ رَدِيفَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَعَثَرَتْ دَابَّتُهُ فَقُلْتُ تَعِسَ الشَّيْطَانُ . فَقَالَ لاَ تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولَ بِقُوَّتِى وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ
Ketika aku dibonceng Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tiba-tiba unta beliau tergelincir. Serta merta aku berkata, “Celakalah syaitan.” Maka beliau bersabda, “Jangan kamu katakan, ‘celakalah syaitan,’ sebab jika kamu katakan seperti itu maka syaitan akan membesar sebesar rumah dan dengan sombongnya syaitan akan berkata; ‘Itu terjadi kerana kekuatanku’. Akan tetapi, ucapkanlah ‘Bismillah’ sebab jika engkau mengucapkan basmalah syaitan akan mengecil hingga sebesar lalat. “(HR. Abu Dawud)
Jadi ia juga bermaksud, kalau manusia yang pangkatnya itu khalifah bumi, tapi mereka minta pertolongan dan perlindungan dari jin pula (yang sebenarnya rendah kedudukan dari manusia), maka itu akan meningkatkan kesombongan jin itu. Sebab golongan yang hebat dari mereka tapi minta tolong dengan mereka, maka tentulah mereka lagi naik tocang.
Hadis ini mengajar kita, jangan kita besarkan jin itu dengan mengatakan yang mereka boleh buat itu dan ini. Sebaliknya, baca basmalah sahaja.
Kalau ada orang yang mengadu selalu nampak benda-benda pelik, tanya mereka: ada belajar silat tak? Kalau tak, bapa atau ahli keluarga yang lain, ada yang jadi bomoh tak? Atau ada tak mengamalkan mana-mana ayat? Baca ayat pengasihkah, ayat nak bagi orang sayangkah, ayat nak bagi orang tunduk dengan kita dan sebagainya. Apabila kita baca ayat Al-Qur’an kerana niat tertentu, maka dia sudah serahkan kunci kepada jin.
Ramai yang sangka, kalau amal ayat Al-Qur’an, tidak mengapa. Ia adalah salah, kerana ianya adalah sihir juga – sihir dengan ayat Al-Qur’an. Maka mereka akan dinampakkan dengan benda-benda ghaib oleh jin. Orang lain tak nampak, mereka pula yang nampak. Orang lain tak dengar, mereka sahaja yang dengar. Ini adalah kerana qarin yang ada pada kita telah pegang kunci hati kita. Dia telah disihir oleh qarin mereka.
Orang yang dikatakan mati kerana gangguan jin itu bukan kerana dibunuh terus oleh jin tapi adalah kerana mereka kena gangguan fikiran kerana dinampakkan dan didengarkan dengan macam-macam. Yang ganggu fikiran mereka itu adalah jin. Sampai nak makan pun tak lalu. Bila sudah tak mahu makan, maka mereka akan kekurangan zat dan itulah yang akan menyebabkan kematian dari kerana itu.
Macam orang yang kena santau, benda yang mereka nampak seperti jarum, rambut dan sebagainya, tidak ada tapi dinampakkan ada oleh jin. Percayalah bahawa hantu itu tidak boleh buat apa. Hantu bukan boleh gigit kita. Mereka cuma boleh ganggu fikiran sahaja.
Selain daripada menambahkan takut kepada mereka yang sudah sedia takut, perbuatan manusia itu akan menambah-nambah dosa mereka. Apabila manusia meminta tolong kepada jin, jin itu akan menambah dosa manusia. Mereka telah meletakkan harapan dan keselamatan mereka atas jin-jin dan tidak dengan Allah. Itu adalah dosa yang besar. Ianya adalah dosa syirik.
Ingatlah bahawa KPI jin syaitan adalah untuk memasukkan kita dalam neraka. Mereka nak kita masuk neraka dengan melakukan syirik. Iaitu minta tolong kepada mereka dan mereka mahu kita lakukan macam-macam lagi amalan syirik yang disebabkan mereka. Tapi kalaulah mereka cekik manusia atau bunuh manusia, itu tidak boleh memasukkan manusia itu ke dalam neraka. Sedangkan kalau mereka mati dengan cara macam itu, mereka akan dikira sebagai mati syahid dan diampunkan dosa. Tentu iblis sebagai ketua syaitan akan marah anak-anak buah dia.
Kalau kita belajar tentang jin dengan cara sunnah, kita tidak akan takut dengan jin. Tapi kalau belajar dengan bomoh dan sebagainya, akan menyebabkan takut pula dengan jin. Malangnya begitulah kisah yang kita selalu dengar di kalangan kita. Sentiasa sahaja berlegar kisah jin dan hantu di kalangan kita. Sampaikan kesannya, masyarakat kita takut sangat dengan jin.
Padahal, kita kena takut dengan Allah. Apabila takut dengan jin, maka semakin berkuasalah jin atas manusia. Sepatutnya kalau jin kacau kita atau orang lain, kita boleh suruh sahaja mereka tinggalkan dan berhenti dari mengganggu. Jin tidak berani dengan orang mukmin. Tak payah pergi Darul Syifa’.
Mereka yang takut kepada jin dan hantu adalah kerana iman mereka lemah. Mereka tidak faham tentang ilmu tauhid. Mereka tidak percaya bahawa tidak akan berlaku sesuatu melainkan dengan izin Allah. Mereka sangka ada makhluk lain yang ada kuasa untuk memudharatkan kita. Mereka tidak percaya dengan cara-cara yang diajar oleh Nabi.
Dan perkara ini dimudharatkan lagi dengan orang kita yang memang tidak habis-habis bercerita tentang hal-hal yang menakutkan. Suka sangat bercerita dan tengok kisah-kisah seram di TV. Benda itu tidak membawa kebaikan malah kesusahan kepada kita. Buang masa sahaja.
Oleh itu, kena belajar tauhid dan kena kenal Allah dengan sebaiknya. Tidak ada yang dapat memudharatkan kita tanpa izin Allah. Serahkan tawakal kita kepada Allah sahaja. Kena belajar erti tawakal.
Satu lagi kesan perbuatan manusia kepada jin itu, ianya telah menambah kesombongan jin-jin itu. Mereka rasa mereka hebat, kerana manusia minta tolong kepada mereka. Padahal mereka itu kedudukan lebih rendah dari manusia. Ketahuilah bahawa syaitan tidak ada kuasa ke atas kita. Seperti Allah sebut dalam Nisa:76
إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا
sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.
Dalam Al-Qur’an, memang telah disebut bagaimana manusia dan jin bertolong tolongan dalam kesesatan. Ini disebut dalam An’am:128
وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ قَدِ اسْتَكْثَرْتُم مِّنَ الْإِنسِ وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُم مِّنَ الْإِنسِ رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا قَالَ النَّارُ مَثْوَاكُمْ خَالِدِينَ فِيهَا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah”. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
Ada orang yang menggunakan jin untuk melakukan sesuatu. Sebagai contoh, ada yang bela toyol untuk curi duit. Dan ada bomoh memang bela jin sebagai khadam mereka. Ada yang bomoh yang bela jin supaya kacau orang kampung, kemudian orang kampung kena datang jumpa dia untuk ubati dia.
Mereka boleh menggunakan jin-jin itu kerana kerana mereka telah buat perjanjian dengan jin-jin itu. Mereka telah buat sesuatu yang diminta oleh jin. Antaranya mereka amalkan perkara yang salah. Ada yang bertapa sekian-sekian lama. Yang penting, mereka mesti amalkan amalan yang salah. Macam macam perkara buruk yang manusia sanggup lakukan asalkan mereka boleh dapat keuntungan.
Apabila permintaan jin itu dilayan, mereka akan minta macam-macam lagi. Sampaikan mereka minta nyawa manusia. Mulanya mereka minta limau sahaja, tapi akhirnya minta nyawa anak dara. Sebagai contoh, orang Mesir akan mengorbankan nyawa anak dara mereka kalau Sungai Nil kurang. Perbuatan itu hanya berhenti apabila Umar menjadi khalifah. Itulah kisah bagaimana Umar telah menulis surat kepada Sungai Nil. Kisah itu boleh dibaca di sini.
Ini menunjukkan bahawa ramai manusia yang berurusan dengan jin dan selalunya memang untuk keburukan dan bukannya kebaikan. Sepatutnya kita sebagai manusia tidak ada interaksi apa-apa dengan jin. Mereka dengan dunia mereka dan kita dengan alam dunia kita.
Jin Ayat 7:
وَأَنَّهُم ظَنّوا كَما ظَنَنتُم أَن لَّن يَبعَثَ اللهُ أَحَدًا
And they had thought, as you thought, that Allah would never send anyone [as a messenger].
`Dan bahawa sesungguhnya (tidaklah benar) manusia menyangka sebagaimana yang kamu sangka, bahawa Allah tidak sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul (atau tidak akan membangkitkan manusia pada hari kiamat).
وَأَنَّهُمْ ظَنُّوا كَمَا ظَنَنتُمْ
`Dan bahawa mereka sesungguhnya dahulu menyangka sebagaimana yang kamu sangka,
Ada dua kemungkinan maksud ayat ini:
1. Sebelum ini, ayat-ayat adalah tentang apa yang disampaikan oleh jin kepada bangsa mereka dan kali ini Allah pula memberitahu kita dalam ayat ini yang jin-jin itu menyangka sama seperti sangkaan manusia juga.
2. Atau boleh bermaksud yang ayat ini masih lagi dalam percakapan jin memberitahu kaumnya tentang pegangan manusia, yang sama dengan sangkaan bangsa jin juga.
أَن لَّن يَبْعَثَ اللهُ أَحَدًا
bahawa Allah tidak sekali-kali membangkitkan sesiapa
Ada dua tafsir untuk ayat ini:
1. Jin juga menyangka seperti manusia juga, bahawa tidak ada kehidupan selepas mati – makhluk tidak akan dibangkitkan semula. Sama sahaja akidah jin dan manusia dari dulu sampai sekarang. Masih ramai lagi yang tidak percaya kepada hari kebangkitan. Musyrikin Mekah tidak percaya dengan kehidupan selepas mati dan masih ada agama seperti Buddha yang tidak percaya dengan Hari Akhirat. Mereka sangka yang roh manusia akan recycle.
2. Ataupun, boleh juga bermaksud yang yang mereka sangka Allah tidak akan membangkitkan Rasul. Dan sekarang dengan adanya Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, maka fahaman mereka sebelum itu telah dibuktikan sebagai salah sama sekali.
Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 18 September 2023
Rujukan:
Ustaz Adli
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Mutiara al-Qur’an
