Tafsir Surah Hud Ayat 110 – 112 (Istiqamah)

KITAB TAURAT

Hud Ayat 110: Ayat Tasliah

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ فَاختُلِفَ فيهِ ۚ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّهُم لَفي شَكٍّ مِّنهُ مُريبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly given Moses the Scripture, but it came under disagreement. And if not for a word¹ that preceded from your Lord, it would have been judged between them. And indeed they are, concerning it [i.e., the Qur’ān], in disquieting doubt.

(MALAY)

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab (Taurat) kepada Musa, lalu diperselisihkan tentang Kitab itu. Dan seandainya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Tuhanmu, nescaya telah ditetapkan hukuman di antara mereka. Dan sesungguhnya mereka dalam keraguan yang menggelisahkan terhadap Al-Qur’an.

 

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab (Taurat) kepada Musa,

Disebut tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sekali lagi. Banyak sekali kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Al-Qur’an kerana ada persamaan antara perjuangan baginda dengan Nabi Muhammad ﷺ. Seperti yang kita telah tahu, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan dengan Kitab Taurat. Maknanya Bani Israil pun turut mendapat kitab wahyu sepertimana Nabi Muhammad ﷺ dan umatnya mendapat Al-Qur’an. Namun apa yang dilakukan oleh Bani Israil itu? Kita akan lihat selepas ini.

Lihatlah apabila Allah ‎ﷻ sayang, Allah ﷻ berikan ilmu kepada manusia. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ )) أَخْرَجَه البُخَارِي وَ مُسْلِم
Daripada Muawiyah رَضِيَ اللهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: (( Barangsiapa yang dikehendaki Allah ﷻ kebaikan baginya, maka Allah ﷻ akan menjadikan dia faham dalam bidang agama.))
(Riwayat Bukhari No. 216)

 

فَاختُلِفَ فيهِ

lalu diperselisihkan tentang Kitab itu.

Walaupun Kitab Taurat itu adalah kitab wahyu daripada Allah ‎ﷻ, namun masih lagi umat baginda berselisih tentangnya. Ada yang terima dan ada yang tidak terima. Malah ada yang sanggup dan tergamak mengubah ayat-ayat dalam Taurat itu sampaikan menyebabkan kekeliruan bertambah dalam agama.

Maka, ayat ini juga adalah sebagai tasliah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja ditolak apabila menyampaikan ajaran wahyu. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun pernah ditolak. Begitu juga kita yang membawa ajaran wahyu ini kepada masyarakat akan ditolak juga. Memang ramai yang akan menentang dan ini adalah perkara biasa. Jangan kita goyah dan putus semangat kerana akan ada juga yang akan menerima dakwah ini walaupun mungkin tidak ramai.

Umat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ragu-ragu dengan Taurat. Maka janganlah kita pun jadi seperti itu juga berkenaan dengan Al-Qur’an ini. Janganlah tidak belajar tafsir Al-Qur’an sampaikan berselisih pula tentang makna ayat-ayat dalam Al-Qur’an. Perbezaan pendapat itu memang tentu akan ada, tetapi jangan sampai berselisih teruk sangat. Kalau belajar dengan elok, tentu tidak berlaku perselisihan.

Malangnya, ramai yang tidak belajar, maka mereka cuba mentafsir sendiri ayat-ayat dalam Al-Qur’an. Mereka tidak belajar kesemua ayat Al-Qur’an, dan apabila mereka baca satu-satu ayat tanpa dikaitkan dengan ayat-ayat yang lain, mereka menjadi keliru.

Banyak sekali kata-kata bathil yang dikeluarkan oleh masyarakat kita tentang ayat-ayat Al-Qur’an. Apabila kita lihat, kita akan perasan yang mereka jadi begitu kerana mereka tidak belajar. Kita tahu yang mereka rujuk kepada satu-satu ayat sahaja dan tidak baca ayat-ayat lain.

Kalau kita perhatikan sekarang ini umat Islam banyak yang berselisih fahaman. Ini adalah kerana mereka sudah tidak berpegang lagi dengan ajaran Al-Qur’an. Sebenarnya berpegang dengan Al-Qur’an adalah satu-satunya jalan untuk menyatupadukan kita kerana Al-Qur’an itu hanya satu sahaja. Akan tetapi umat Islam sudah lama jauh dengan ajaran Al-Qur’an maka kerana itu perpecahan yang berlaku sekarang ini amat banyak sekali. Kerana itu walaupun Al-Qur’an ini satu sahaja tetapi umat Islam masih bertelagah sesama sendiri.

Ternyata di sini sekiranya ada kitab pun, belum tentu selamat daripada kekufuran kerana orang kafir ini ada dua jenis: yang ada kitab dan yang tidak ada kitab. Ini seperti firman Allah ﷻ dalam Bayyinah: 1

لَم يَكُنِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ وَٱلمُشرِكِينَ
Orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik

Yang tidak ada kitab seperti Musyrikin Mekah itu kita fahamlah kenapa mereka kufur. Akan tetapi yang kafir walaupun ada kitab seperti Bani Israil itu amat menyedihkan sekali. Kerana itulah sekiranya kita pun tidak berpegang dengan Al-Qur’an kitab kita ini, ada besar kemungkinan kita boleh menjadi kafir juga! Maka tolonglah jangan berasa diri ini selamat walaupun sudah beragama Islam jikalau kita tidak berpegang dengan ajaran Al-Qur’an. Jangan perasan hati sudah suci bersih tetapi Al-Qur’an langsung tidak dibaca apatah lagi memahaminya.

 

 

وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَينَهُم

Dan seandainya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Tuhanmu, nescaya telah ditetapkan hukuman di antara mereka.

Umat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah melakukan perselisihan yang amat besar sekali. Apa yang mereka lakukan itu sudah layak untuk dihukum. Namun Allah ﷻ telah tetapkan kepada Diri-Nya untuk menangguh hukuman sehingga di akhirat kelak. Kalimah كَلِمَةٌ bermaksud ketetapan daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ telah membuat keputusan.

Maka tidaklah Allah ﷻ terus menghukum mereka. Kalau tidak, tentu mereka awal-awal lagi sudah dikenakan azab. Akan tetapi Allah ﷻ beri peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri mereka. Allah ﷻ beri peluang manusia untuk bertaubat. Kalaulah Allah ﷻ terus mengazab manusia yang menentang dan tidak endahkan wahyu, maka tentulah tidak akan ada sesiapa yang hidup lagi di atas muka bumi ini. Sebagai contoh lihatlah Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang pada mulanya amat menentang Rasulullah ﷺ dan umat Islam. Akan tetapi beliau diberikan kesempatan oleh Allah ﷻ untuk bertaubat dan menjadi seorang muslim yang baik.

Begitu juga dengan kita yang sebelum ini tidak tahu menahu langsung tentang Al-Qur’an dan pengajaran yang ada di dalamnya. Maka tentulah ada kesalahan-kesalahan yang kita telah lakukan sebelum ini. Akan tetapi alhamdulillah Allah ﷻ beri peluang kepada kita untuk belajar tafsir dan mengubah cara hidup kita dan pegangan agama kita.

Namun begitu kita pun tahu masih ramai lagi kawan-kawan kita dan juga ahli keluarga kita yang tidak endahkan tentang pelajaran tafsir ini. Mereka belum lagi diberi kesempatan oleh Allah ﷻ untuk belajar. Maka tanggungjawab ke atas kita lah untuk mengajak mereka.

Dapat pula diertikan bahawa Allah ﷻ tidak akan mengazab seseorang melainkan sesudah tegaknya hujah ke atas orang itu dan rasul telah diutuskan kepadanya, seperti yang disebutkan di dalam firman Allah ﷻ:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولا
dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.
(Al-Isra: 15)

 

وَإِنَّهُم لَفي شَكٍّ مِّنهُ مُريبٍ

Dan sesungguhnya mereka dalam keraguan yang menggelisahkan terhadap Al-Qur’an.

Walaupun mereka tidak terus dikenakan dengan azab, namun ketahuilah mereka yang berselisih tentang wahyu Allah ﷻ itu, berada dalam keraguan. Mereka tidak percaya kerana mereka tolak kehendak hati mereka. Mereka tidak dapat menerima wahyu yang Allah ﷻ sampaikan, sama ada Taurat atau Al-Qur’an atau wahyu-wahyu yang lain.

Juga boleh bermaksud, mereka ragu tentang azab itu. Ada yang percaya dan ada yang tidak. Apabila mereka ragu, mereka mengelirukan orang lain juga kerana tidak tetap hati mereka. Ada yang percaya, tetapi maklumat yang mereka ada tidak lengkap. Mereka juga tidak yakin sepenuhnya. Mereka rasakan bagaikan ada, namun sekali sekala rasa bagaikan tidak ada pula. Maka, jangan kita ragu dengan adanya Hari Kiamat dan azab itu.

Masyarakat kita pun yang masih ramai yang ragu-ragu tentang apa yang kita sampaikan di dalam Al-Qur’an ini. Ini adalah kerana mereka tidak pernah mendengar penafsiran ayat-ayat Al-Quran sampaikan apabila pertama kali mereka mendengarnya, mereka rasa ini adalah ajaran yang pelik. Ini biasa sahaja kerana kebanyakan manusia akan ragu-ragu dengan perkara yang baru mereka dengar. Akan tetapi mereka tidak boleh terus berada di dalam keraguan. Mereka kena mendapatkan penjelasan, mungkin dengan bertanya, mungkin dengan membaca. Yang penting, mereka kena dapatkan kepastian kerana berterusan berada di dalam keraguan adalah amat bahaya sekali.


 

Hud Ayat 111:

وَإِنَّ كُلًّا لَّمّا لَيُوَفِّيَنَّهُم رَبُّكَ أَعمٰلَهُم ۚ إِنَّهُ بِما يَعمَلونَ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, each [of the believers and disbelievers] – your Lord will fully compensate them for their deeds. Indeed, He is Acquainted with what they do.

(MALAY)

Dan sesungguhnya kepada masing-masing (mereka yang berselisih itu) pasti Tuhanmu akan menyempurnakan dengan cukup, (balasan) pekerjaan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

 

وَإِنَّ كُلًّا لَّمّا لَيُوَفِّيَنَّهُم رَبُّكَ أَعمٰلَهُم

Dan sesungguhnya kepada masing-masing (mereka yang berselisih itu) pasti Tuhanmu akan menyempurnakan dengan cukup, (balasan) pekerjaan mereka.

Masing-masing manusia, apakala dibangkitkan oleh Allah ﷻ, nescaya Tuhan akan balas mereka dengan azab hasil daripada amalan yang mereka lakukan. Mereka akan dibalas dengan lengkap dan tidak akan ditinggalkan sedikit pun.

 

إِنَّهُ بِما يَعمَلونَ خَبيرٌ

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

Allah ﷻ akan balas semua sekali kerana Dia tahu apa yang mereka lakukan. Tidak ada sesiapa yang boleh menidakkan, menipu Allah ﷻ. Semuanya ada dalam ilmu Allah ﷻ.


 

NASIHAT KEPADA ORANG BERIMAN

Hud Ayat 112: Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan ayat ini adalah ayat yang paling berat diwahyukan kepada Rasulullah ﷺ. Di awal surah ini kita sebut antara surah yang menyebabkan rambut Rasulullah ﷺ beruban adalah Surah Hud ini. Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan ayat inilah yang dimaksudkan. Iaitu tentang Istiqamah yang kita akan bentangkan sebentar lagi.

فَاستَقِم كَما أُمِرتَ وَمَن تابَ مَعَكَ وَلا تَطغَوا ۚ إِنَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So remain on a right course as you have been commanded, [you] and those who have turned back with you [to Allāh], and do not transgress. Indeed, He is Seeing of what you do.

(MALAY)

Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

فَاستَقِم كَما أُمِرتَ

Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu

Ini adalah suruhan Allah ﷻ: tetap teguh sepertimana yang kamu telah diarahkan. Inilah yang selalu dikatakan sebagai istiqamah. Iaitu teguh pada pendirian, tidak melencong atau menyeleweng ke kiri kanan, dan tidak pernah mundur dan tetap. Istiqamah itu mestilah menurut seperti yang Allah ﷻ ajar kita kerana Allah ﷻ sebut di sini: كَما أُمِرتَ.

Maka Nabi Muhammad ﷺ diingatkan untuk teruskan mengikut ajaran Tauhid ini. Jangan goyang walaupun ada banyak tentangan dan halangan. Untuk tahu apakah yang disuruh, maka kenalah belajar wahyu. Ada banyak perkara yang mesti ditegakkan dan kalau tidak belajar, bagaimana hendak tahu?

عَنْ أَبِيهِ عَنْ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الثَّقَفِيِّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قُلْ لِي فِي الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ وَفِي حَدِيثِ أَبِي أُسَامَةَ غَيْرَكَ قَالَ قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ فَاسْتَقِمْ
Daripada [Sufyan bin Abdullah ats-Tsaqafi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] beliau berkata, “Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku dalam Islam suatu perkataan yang mana aku tidak menanyakannya kepada seorang pun tentangnya setelahmu -dan dalam riwayat hadith Abu Usamah- selainmu.’ Maka baginda menjawab: ‘Katakanlah, ‘aku beriman kepada Allah’ lalu beristiqamahlah.”
(Sahih Muslim (55))

 

Syarah: Daripada pertanyaan sahabat di atas, iaitu Sufyan bin Abdillah Al-Tsaqafi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tersirat bahawa iman dan istiqamah memiliki kepentingan yang tidak dapat digantikan dengan nilai-nilai lainnya dalam kehidupan. Ini terlihat daripada pertanyaan beliau kepada Rasulullah ﷺ, ‘Wahai Rasulullah, katakanlah padaku satu perkataan yang aku tidak perlu lagi bertanya pada orang lain selain daripadamu.’ Kemudian Rasulullah ﷺ menjawabnya dengan dua hal yang terangkai menjadi satu: istiqamah dan iman.

Dua hal ini merupakan aspek yang sangat penting dalam keislaman seseorang. Ini kerana Iman (sebagaimana digambarkan di atas) merupakan dasar keislaman seseorang Muslim. Tanpa Iman semua amal manusia akan hilang sia-sia. Sehingga tidak mungkin istiqamah tegak tanpa adanya nilai-nilai keimanan. Penggambaran Rasulullah ﷺ dalam hadith ini, seiring sejalan sekaligus menguatkan firman Allah ﷻ dalam Al-Qur’an tentang istiqamah iaitu Fussilat: 30.

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللهُ ثُمَّ استَقٰموا تَتَنَزَّلُ عَلَيهِمُ المَلٰئِكَةُ أَلّا تَخافوا وَلا تَحزَنوا وَأَبشِروا بِالجَنَّةِ الَّتي كُنتُم توعَدونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Di dalam ayat Fussilat: 30 ini Allah ﷻ memberitahu kita balasan yang sangat hebat bagi orang yang istiqamah di dalam iman. Akan tetapi Hasan al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan ramai yang boleh cakap رَبُّنَا اللهُ akan tetapi tidak ramai yang boleh istiqamah kerana ia bukanlah sesuatu yang senang dilakukan kerana ada banyak halangan dan cabaran.

Yang paling penting adalah istiqamah di atas Tauhid. Suatu ketika orang yang paling besar keistiqamahannya (Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) ditanya oleh seseorang tentang istiqamah. Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab, ‘Istiqamah adalah bahwa engkau tidak menyekutukan Allah terhadap sesuatu apapun.’ Mengenai hal ini, Ibnu Qayim Al-Jauzi رَحِمَهُ اللَّهُ memberi komentar bahawa Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menggambarkan istiqamah dalam bentuk tauhidullah (mengesakan Allah ﷻ). Ini kerana seseorang yang dapat istiqamah dalam tauhid, in sya Allah dia akan dapat istiqamah dalam segala hal di atas jalan yang lurus. Dia pun akan beristiqamah dalam segala aktiviti dan segala keadaan.

Berikut adalah beberapa cara dalam mewujudkan sikap istiqamah:

1. Mengikhlaskan niat semata-mata hanya mengharap Allah ﷻ dan kerana Allah ﷻ. Ketika beramal, tiada yang hadir dalam jiwa dan fikiran kita selain hanya Allah ﷻ dan Allah ﷻ. Ini kerana keikhlasan merupakan dasar dalam bertawakal kepada Allah ﷻ. Tidak mungkin seseorang akan bertawakal, tanpa diiringi rasa ikhlas.

2. Bertahap dalam beramal. Jangan perasan ingin melakukan sesuatu perkara ibadah banyak sekaligus. Maksudnya ketika menjalankan suatu ibadah, kita hendaknya memulai daripada sesuatu yang kecil namun rutin. Bahkan sifat rutin ini jika dipandang perlu, harus bersifat sedikit dipaksakan. Sehingga akan terwujud sebuah amalan yang rutin meskipun sedikit. Kebiasaan inilah yang in sya Allah menjadi bekal kepada keistiqamahan. Seperti dalam membaca Al-Qur’an, dalam qiyamullail dan lain sebagainya; hendaknya dimulai daripada sedikit demi sedikit, kemudian ditingkatkan menjadi lebih baik lagi. Namun cuba tetapkan masa tertentu atau had tertentu (contohnya satu muka Al-Qur’an selepas setiap kali solat).

3. Diperlukan adanya kesabaran kerana untuk melakukan suatu amalan yang bersifat berterusan dan rutin, memang merupakan amalan yang berat. Kadangkala sebagai seorang insan, kita terkadang dihinggapi rasa malas. Oleh itu diperlukan kesabaran dalam menghilangkan rasa malas ini untuk menjalankan ibadah atau amalan yang akan diistiqamahi.

4. Istiqamah tidak dapat direalisasikan melainkan dengan berpegang teguh terhadap ajaran Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman di dalam Ali Imran: 101:

وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ وَأَنتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ ءآيَاتُ اللَّهِ وَفِيكُمْ رَسُولُهُ وَمَن يَعْتَصِم بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Qur’an), dan dalam kalangan kamu ada Rasul-Nya (Muhammad)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

5. Istiqamah juga sangat terkait erat dengan tauhidullah. Oleh itu dalam beristiqamah seseorang benar-benar harus mentauhidkan Allah ﷻ daripada segala sesuatu apapun yang di muka bumi ini. Ini kerana mustahil istiqamah dapat direalisasikan, apabila ada elemen kemusyrikan, meskipun hanya fenomena yang sangat kecil daripada kemusyrikan tersebut, seperti riya’. Menghilangkan sifat riya’ dalam diri kita merupakan bentuk istiqamah dalam keikhlasan.

6. Istiqamah juga akan dapat direalisasikan jika kita memahami hikmah atau hakikat daripada ibadah ataupun amalan yang kita lakukan tersebut. Sehingga ibadah tersebut terasa nikmat kita lakukan. Demikian juga sebaliknya, jika kita merasakan ‘kehampaan’ atau ‘kegersangan’ daripada amalan yang kita lakukan, tentu hal ini menjadikan kita mudah jemu dan kemudian meninggalkan ibadah tersebut. Maka kena belajar tentang ibadah yang kita lakukan dan kenapa Allah ﷻ mewajibkan ke atas kita.

7. Istiqamah juga akan sangat terbantu dengan adanya amal berjemaah. Ini kerana dengan ada teman dalam beramal, akan lebih membantu dan mempermudah hal apapun yang akan kita lakukan. Jika kita salah, tentu ada yang menegur. Jika kita lalai, tentu yang lain ada yang mengingatkan. Ini amat berbeza ketika kita seorang diri. Ditambah lagi, suasana beramal secara bersama memberikan ‘sesuatu yang berbeza’ yang tidak akan kita rasakan ketika beramal seorang diri.

8. Memperbanyak membaca dan mengupas mengenai keistiqamahan para salafussoleh dalam meniti jalan hidupnya, kendatipun berbagai cubaan dan ujian yang sangat berat menimpa mereka. Justeru mereka merasakan kenikmatan dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan cubaan tersebut.

9. Memperbanyak berdoa kepada Allah ﷻ, agar kita semua dianugerahi sifat istiqamah kerana walau bagaimana hebatnya usaha kita, namun jika Allah ﷻ tidak mengizinkannya, tentulah hal tersebut tidak akan terwujud.

Yang paling penting kita istiqamah ada di dalam hal tauhid. Kemudiannya tentang beramal dengan amalan yang sunnah dan meninggalkan amalan-amalan yang bid’ah kerana dua perkara inilah yang menjadi masalah bagi manusia termasuk umat Islam. Kita telah katakan bahawa bab istiqamah ini menjadi berat bagi Rasulullah ﷺ sampai beruban kepala baginda. Akan tetapi kita pun tahu yang baginda tetap istiqamah di atas agama Islam hingga ke hujung hayat baginda. Maka apakah yang baginda takutkan? Tidak lain dan tidak bukan adalah tentang umat baginda, iaitu kita ini lah.

Allah ﷻ memberi motivasi kepada umat Islam untuk istiqamah seperti firman-Nya di dalam Jin: 16

وَأَلَّوِ استَقٰموا عَلَى الطَّريقَةِ لَأَسقَينٰهُم مّاءً غَدَقًا
(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): “Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.

Maka Allah ﷻ beri kelebihan dunia jikalau istiqamah. Selain itu, dari segi rohani pun Allah ﷻ akan bantu seperti firman-Nya di dalam Ahqaf: 13

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ استَقٰموا فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Maknanya jikalau kita istiqamah maka hati kita akan tenang tanpa gundah gulana. Akan tetapi jikalau masih ada lagi rasa resah gelisah di hati, kita maka kita kena periksa diri kita semula, adakah kita ini istiqamah di atas jalan Allah ﷻ ini?

 

وَمَن تابَ مَعَكَ

dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu

Bukan Nabi sahaja yang disuruh untuk menegakkan, tetapi pengikut baginda juga mesti menegakkan agama. Mereka itu telah bertaubat daripada melakukan amalan syirik dan selepas keluar daripada syirik, kena lihat semula apakah yang perlu dilakukan dan ditegakkan.

Maka inilah sebenarnya berat bagi Rasulullah ﷺ kerana baginda bukan sahaja mesti istiqamah tetapi baginda juga mesti mengajak dan memastikan para sahabat dan umat Islam juga istiqamah. Kalau hanya melibatkan diri baginda sahaja tentu senang sahaja baginda lakukan, akan tetapi apabila baginda perlu juga mengajak umat baginda, maka itulah yang menjadi berat bagi baginda.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ tidak kata ‘orang-orang yang beriman bersama baginda’ tetapi ‘orang-orang yang bertaubat bersama baginda’. Kenapa? Ini adalah kerana kaitan yang rapat antara dosa dan kebolehan kita untuk mengamalkan Islam. Ini kerana dosa-dosa boleh menghalang kita untuk istiqamah. Ini kerana ada titik-titik hitam dalam diri kita. Ini disebut dalam hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih, namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang disebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (Muthafifin:14).
Sunan Ibn Majah (4234)
Status: Hasan

 

Oleh itu untuk istiqamah, kita hendaklah menjaga diri kita daripada melakukan dosa terutama sekali dosa-dosa yang besar.

 

وَلا تَطغَوا

dan janganlah kamu melampaui batas. 

Yang penting, jangan melampau batas dan menderhaka, jangan melawan kehendak Allah ﷻ. Jangan buat melebihi apa yang Allah ﷻ telah gariskan. Jangan perasan hendak buat lebih seperti amalan-amalan bid’ah itu lebih-lebih lagi jangan reka fahaman baru tentang agama kerana ia boleh membawa kepada kesyirikan.

Apabila seseorang telah bertaubat daripada dosa kemusyrikan dan telah mengakui diri menjadi seorang Muslim, nescaya hidupnya mempunyai batas-batas yang tidak boleh dilanggar. Yang penting kena ikut sebagaimana yang disuruh oleh Allah ﷻ dan Rasulullah. Jangan berkeras kepala melawan arahan daripada Allah ﷻ dan daripada Nabi. Terutama sekali tentang Tauhid dan Sunnah. Jangan reka fahaman baru dan buat amalan-amalan yang baru. Bagi orang awam hendaklah menilai sebelum melakukan amalan-amalan yang diajar kepada mereka.

Begitu juga, dalam kita berurusan dengan orang kafir, termasuk orang yang mengamalkan syirik dan bid’ah juga, janganlah kita melampaui batas. Sebagai contoh, kalau mereka melakukan perkara yang salah, janganlah sampai kita hina atau kita sakiti tubuh badan mereka. Kenalah kita beri nasihat kepada mereka.

 

إِنَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Sekiranya kamu melawan dan tidak tegakkan agama, ke mana kamu hendak lari? Kamu tidak akan dapat lari ke mana-mana pun kerana Allah ﷻ tahu segala apa yang kamu lakukan. Semuanya telah tertulis.

Tadi di ayat 111 telah diberitahu bahawasanya apa saja gerak-geri orang-orang yang masih syak dan ragu-ragu itu diketahui oleh Tuhan, maka sekarang disebut gerak-geri orang yang telah bertaubat dan menyatakan iman, lalu hidup di sekeliling Nabi, disuruh teguh pada pendirian, tetap pada pegangan, pun diketahui oleh Allah ﷻ juga. Maka di hujung ayat ini Tuhan pun memberi peringatan bahawa mereka tidaklah lepas daripada pandangan Allah ﷻ. Oleh sebab itu nyatalah bahawa ayat ini menyuruh bergerak terus, melangkah di dalam hidup menegakkan amal yang didorong oleh iman yang benar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment