Bab 8: Kesungguhan Ahli Sunnah Dalam Perbahasan Al-Asma’ Al-Husna
Sesungguhnya antusias ahlussunnah wal jama’ah dalam perbahasan Al-Asma’ Al-Husna dan dalam semua pembahasan agama adalah sikap antusias yang benar dan di atas jalan yang lurus, kerana dibangun di atas nash-nash syariat serta selalu berpegang kepada Al-Qur’an dan Sunnah tanpa mengurangi atau menambahi. Mereka beriman dengan apa yang ada dalam Al-Qur an dan Sunnah dari nama-nama dan sifat-sifat Allah Ta’ala, dan memperlakukannya apa adanya serta menetapkannya sesuai dengan zhahirnya.
[Golongan Ahli Sunnah memang amat menjaga ketauhidan nama-nama Allah ﷻ dan Sifat-Nya kerana ia adalah sebahagian daripada perkara Tauhid (Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma’ wa sifat). Sekarang kita sedang belajar elemen ketiga iaitu Asma’ wa sifat. Dan kita pun tahu, tauhid adalah perkara yang terpenting dalam agama. Jika tersilap dalam bab Tauhid, alangkah ruginya. Maka mengenal nama-nama Allah ﷻ amatlah penting.
Untuk menjadi seorang Muwahhidoon (orang yang berpegang dengan Tauhid), seorang Muslim memahami dan menjaga Tauhid dari segi tiga perkara: Rububiyah, Uluhiyah dan Nama-nama-Nya. Jika rosak salah satu komponen, maka terkeluar dari lembah tauhid dan masuk ke dalam syirik. Sebab ketiga-tiga elemen ini adalah rukun.
Kena jaga sungguh-sungguh kerana ini adalah hal agama. Ia juga merupakan perintah daripada Allah ﷻ. Kita ambil tahu dan belajar bukan kerana politik, kepentingan keduniaan dan apa-apa pun. Hanya kerana Allah ﷻ semata-mata.
Yang Ahli Sunnah kena pegang adalah daripada nas-nas Al-Qur’an dan hadith. Mereka tidak tambah dan tidak mengurangkan. Tidak tambah dan reka-reka daripada fahaman sendiri. ]
Mereka tidak menyelewengkan maknanya dari yang sebenarnya, tidak pula menyimpangkan nama-nama Allah dan ayat-ayat-Nya, tidak pula mempertanyakan sifat tersebut, serta tidak menyerupakannya dengan sifat makhluk. Kerana Allah Ta’ala tidak ada yang serupa dan yang sama dengan-Nya sesuatu pun dan tidak boleh disamakan dengan makhluk-Nya.
[Mereka tidak melakukan ‘ilhad’ iaitu melencong daripada makna asal. Mereka meletakkan sifat yang layak dengan Allah ﷻ. Tidak samakan sifat Allah ﷻ dengan sifat makhluk. ]
Mereka beriman bahawa para rasul-Nya yang telah memberitahukan tentang Allah melalui sifat-sifat tersebut adalah orang-orang yang jujur dan wajib untuk dibenarkan. Ucapan mereka adalah wahyu dari Allah dan tugas mereka adalah menyampaikan ajaran Allah.
Hal ini berlainan dengan orang-orang yang berkata tentang Allah tanpa ilmu, tetapi dari apa yang diwahyukan oleh akal mereka yang kerdil dan pemahaman mereka yang sempit serta nit mereka yang jelek.
[Seperti contohnya apabila Nabi ﷺ kata Allah ﷻ di langit, adakah Nabi ﷺ reka sendiri? Tidak, ia daripada wahyu Allah, bukan? Baginda hanya menyampaikan sahaja. Maka inilah yang sepatutnya kita pegang kerana wahyu kata begitu.
Namun, malangnya ada golongan bid’ah yang reka sifat-sifat Allah ﷻ. Antaranya kata Allah tidak bertempat, ada di mana-mana. Ini tidak ada nas wahyu yang mengatakan sedemikian. Ini sangkaan akal sahaja dan ini amat bahaya. Yang sepatutnya kita sebagai manusia dan umat Islam adalah kena ikut wahyu. ]
Oleh kerananya, Allah berfirman:
سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ
Maha Suci Tuhanmu Yang mempunyai keperkasaan dari apa yang mereka katakan.
وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ
Dan kesejahteraan dilimpahkan atas para rasul.
وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.
(Shaafaat:180-182)
Allah menyucikan diri-Nya dari apa yang disifatkan oleh orang-orang yang menyelisihi para rasul. Dia pun mengucapkan salam kepada para Rasul dikeranakan selamatnya ucapan mereka dari kekurangan dan celaan. Kemudian Allah memuji diri-Nya atas keesaan-Nya dengan sifat-sifat terpuji yang sempurna yang layak bagi-Nya.
[Allah ﷻ suci daripada sifat-sifat yang direka oleh golongan jahiliyah dan juga ahli bid’ah. Contohnya golongan jahiliah kata Allah ﷻ memerlukan perantaraan (wasilah) dalam berdoa.
Sejahtera ke atas Rasul kerana mereka tidak reka fahaman baru, tetapi mereka ikut apa sahaja apa yang disampaikan oleh Allah ﷻ.
Allah dipuji kerana Dia mempunyai sifat-sifat kepujian yang layak dipuji kerana sifat-Nya yang maha sempurna. ]
Demikianlah keadaan orang-orang yang mengikuti para rasul, mereka menetapkan apa yang telah ditetapkan oleh para rasul Allah terhadap Rabb mereka dari sifat kesempurnaan dan kemuliaan, seperti Dia berbicara dengan hamba-Nya, kecintaan-Nya, kasih sayang-Nya kepada mereka dan ketinggian-Nya di atas semua makhluk-Nya, bersemayam-Nya di atas Arsy, kemurkaan-Nya kepada para musuh-musuh-Nya dan lain sebagainya dari sifat-sifat-Nya yang mulia.
Mereka mengimani semua hal ini dan memperlakukannya sesuai apa adanya, tanpa mempertanyakan sifat-sifat tersebut, atau menyerupakannya dengan makhluk, atau menyelewengkan maknanya yang menjerumuskan kepada peniadaan terhadap sifat-sifat Rabb.
Bahkan cukuplah sunnah Rasul bagi mereka dan mereka tidak melampaui batasan-batasannya dengan berbuat bid’ah yang sesat atau hawa nafsu yang jahat. Dengan itulah, mereka meraih derajat yang tinggi dan kedudukan yang mulia di dunia dan di akhirat. Jalan mereka amat jelas, metode mereka paling lurus, petunjuk mereka paling benar, bahkan itulah kebenaran yang tidak ada duanya lagi dan itulah petunjuk yang tidak ada selainnya, kecuali kesesatan.
[Kita kena jadi seperti golongan yang disebut ini iaitu menerima apa sahaja yang Allah ﷻ sebut dalam wahyu. Mereka tidak menyibukkan diri dengan pertanyaan ‘bagaimana’ keadaan Allah ﷻ. Mereka tidak melakukan takwil.
Maksudnya mengubah makna sifat Allah ﷻ. Melencong daripada apa yang disebut. Sebagaimana ada golongan takwil istiwa kepada istawla (menguasai). Ini telah membawa kepada ta’til (mengosongkan). Apa masalahnya? Mengosongkan Tuhan daripada sifat. Ini kerana jika menafikan sifat Tuhan, maka akan menafikan kewujudan Tuhan. Sebagai contoh apabila kata Allah ﷻ tidak bertempat, Allah tidak itu dan ini….maka ini menafikan sifat Allah ﷻ dan akhirnya menafikan kewujudan Allah ﷻ.
Ahli sunnah wal jamaah tidak begitu. Mereka menerimapakai apa yang wahyu sebut dan Allah ﷻ mengangkat kedudukan mereka. Selain daripada mereka itu adalah sesat.
Sebagai contoh aliran ilmu kalam. Ada ajaran Islam yang dicampur adukkan dengan fahaman Yunani. Maka fahaman mereka telah dicemari dengan fahaman falsafah. Ada di antara mereka yang menafikan sifat Allah ﷻ kerana telah terikut dengan fahaman salah. Mereka mahu membezakan sangat dengan makhluk, tetapi dalam masa yang sama menafikan sifat Allah ﷻ pula.
Kaedah mereka gunakan adalah ‘negatif’. Mereka mahu membezakan Tuhan dengan makhluk, maka mereka menafikan sifat yang ada pada makhluk dengan sifat Allah ﷻ. Makhluk ada mata, maka Tuhan tidak ada mata; makhluk bergerak maka Tuhan tidak bergerak. Maka bagaimana pula dengan kewujudan Allah? Mereka terpaksa kata Allah tidak wujud, dan juga tidak ‘tidak wujud’. Pening! Maka kaedah ilmu kalam tidak boleh disesuaikan dengan ilmu falsafah. Mana boleh ambil falsafah Aristotle dan Plato yang tidak beriman dengan Allah ﷻ? Agama Islam ini indah dan mudah hendak difahami namun tela disusahkan pula oleh ilmu kalam.
Aristotle dan Plato memang kena buat falsafah untuk menolak tuhan-tuhan mereka yang pelik. Mereka kena tolak fahaman salah kaum mereka daripada fahaman Greek Yunani. Sesenang hati saja mengguling tuhan-tuhan yang lain, berkelahi dan berperang, ada anak hasil hubungan dengan manusia. Maka sifat sebegini tidak boleh diterima oleh otak manusia yang waras. Jadi Plato kena cari formula untuk menjernihkan fahaman aneh dari Yunani. Maka dia kena takwil sifat Tuhan. Akan tetapi kita sebagai orang Islam tidak perlu hendak takwil kerana Allah ﷻ sendiri telah menerangkan kepada kita nama, sifat-Nya. Kita tidak berhajat kepada takwilan sifat Tuhan kerana telah diberitahu kepada kita.
Jangan ragu-ragu dengan pemberitahuan dalam wahyu. Jika Allah ﷻ beritahu Dia istiwa’ di Arash, kita terima; kalau Allah ﷻ beritahu Dia menjadikan Adam عليه السلام dengan dua tangan-Nya, maka kita terima sahaja tanpa perlu memikirkan lebih daripada itu. ]
Metode mereka (ahli sunnah wal jamaah) dalam pembahasan ini tegak di atas dua landasan yang kukuh dan dasar yang kuat, iaitu penetapan tanpa penyerupaan dan penyucian tanpa pengingkaran. Mereka tidak menyerupakan sifat-sifat Allah dengan sifat makhluk-Nya, sebagaimana mereka tidak menyerupakan Dzat Allah dengan dzat makhluk-Nya. Mereka tidak mengingkari sifat-sifat kesempurnaan dan kemuliaan-Nya yang telah disebutkan dalam Al-Qur’an dan sunnah Rasul Shallallahu Alaihi wa Salam. Bahkan mereka mengimani bahawa Allah tidak ada yang serupa dengan-Nya sesuatu apa pun dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
[Ahli sunnah terima sahaja segala sifat yang telah diberitahu kepada kita dalam nas, tanpa menyamakannya dengan sifat makhluk. Contohnya apabila dikatakan Allah ﷻ ada qudrat, tentunya qudrat Allah ﷻ tidak sama dengan qudrat makhluk. Allah ﷻmendengar tetapi tentulah tidak sama dengan kita. Allah ﷻ juga berkata-kata tetapi tidaklah sama dengan cara makhluk.
Senang sahaja untuk faham sifat Allah ﷻ ikut fahaman Sunnah.
Kita menyucikan sifat Tuhan daripada yang tidak patut bagi-Nya. Bila kita kata Tuhan tidak sama dengan makhluk, tidaklah bermakna kita menolak sifat yang Tuhan sebut dalam sunnah. Terdapat juga Ahli bid’ah ada yang menerima sifat Tuhan tetapi tamsil (menyerupakan). Seperti Syiah rafidhah: mereka kata mata Tuhan sekian dan sekian. Ini karut dan ini ajaran bathiniah yang menyamakan Tuhan dengan makhluk. Begitu juga dengan Kristian yang melukis rupa Tuhan siap ada janggut, tua dan sebagainya. Bayangkan sifat tua adalah sifat yang aib, tetapi mereka kenakan kepada Tuhan! Tuhan tidak tua dan tidak muda kerana itu adalah sifat manusia.
Kemudian ada pula yang hendak ‘menyucikan’ sifat Allah ﷻ sampai langsung tidak boleh sama langsung. Mereka kata makhluk melihat, jadi Allah tidak melihat; manusia berkata-kata, maka Allah tidak berkata-kata.. dan lain-lain penolakan mereka. Asalkan makhluk ada sifat itu, mereka tolak. Ini juga salah.
Sedangkan untuk Ahli Sunnah, kita berada di tengah-tengah. Inilah jalan yang lurus. Kita ithbat sifat Tuhan seperti yang disebut dalam Sunnah tanpa tamsil (menyerupakan), dan kita mensucikan sifat Tuhan tanpa ta’til (mengosongkan). Kita tidak menolak terus sifat-sifat Allah ﷻ yang telah disebut dalam Sunnah.
Yang beri sifat Tuhan kepada kita adalah Allah ﷻ sendiri, maka mana mungkin kita boleh menolaknya? Jangan reka fahaman-fahaman baru pula. Sebagai contoh fahaman yang kata: ‘Tuhan tidak bertempat’? Bilakah pula masanya ada dalil yang mengatakan Tuhan tidak bertempat?
Maka jangan nafikan sifat yang Allah ﷻ telah sebutkan dalam nas. Memang Allah ﷻ ada menafikan sifat-sifat tertentu. Akan tetapi itu semua adalah sifat-sifat kekurangan. Sebagai contoh, sifat buta, bisu, mati, beranak, beristeri. Ini sifat kekurangan yang dinafikan Tuhan kerana ia mengandungi aib. Kalau manusia beranak dan beristeri memang tidak ada masalah kerana kita memerlukan anak dan pasangan. Akan tetapi ia aib bagi Allah ﷻ; Tuhan sekelian alam. Ini kerana kita manusia yang bekeperluan di mana, kita akan tua dan memerlukan anak, bukan? Namun Allah ﷻ tidak akan tua dan tidak memerlukan sesiapa.
Maka jika Allah ﷻ bertempat pun, tidaklah ia sesuatu yang aib kerana bertempat itu sifat bagi yang wujud. Apa sahaja yang wujud, akan bertempat dan Allah ﷻ itu wujud. Yang wujud akan bertempat, bergerak dan buat sesuatu. ]
Iman seperti ini terhitung sebagai prinsip keimanan yang kukuh dan dasar yang kuat, yang tidak ada keimanan bagi orang yang tidak mengimaninya. Barangsiapa yang menolak sesuatu dari nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya, maka dia tidaklah beriman. Demikianlah orang yang mempertanyakan serta menyerupakannya dengan sifat makhluk, maka dia tidak beriman. Mahasuci Allah dari apa yang mereka sifatkan dan Maha tinggi Dia dari apa yang dikatakan oleh orang-orang yang zalim.
[Maka iman seperti iman Ahli Sunnah wal Jamaah inilah yang benar. Jika tidak beriman seperti yang Allah ﷻ telah sebut di dalam nas, maka telah kafirlah orang itu. Maka ini adalah perkara yang besar, bukan hal main-main. Kalau menolak mana-mana sifat Allah ﷻ yang disebut dalam Al-Qur’an, maka dia telah kufur. Rukun iman itu mestilah beriman dengan sifat-sifat Allah ﷻ seperti yang Dia telah sampaikan.
Jangan jadi seperti Nasrani yang percaya Tuhan wujud, tetapi mereka reka fahaman-fahaman lain tentang sifat Allah ﷻ. Mereka kata Allah ﷻ ada anak pula. Maka, mereka telah menjadi kafir kerana fahaman triniti mereka itu.
Mereka juga ada fahaman tuhan ada di mana-mana; ada yang masuk dalam wine, dalam roti, duduk gereja, dalam santos-santos mereka dan macam-macam lagi. Kemudian makan roti dan minum wine, jadi tuhan masuk dalam badan pula! Ini semua adalah fahaman mengarut yang direka-reka. Asalnya kerana tidak ada asas kepada sifat-sifat Allah ﷻ.
Kalau dengan orang sufi lagi mengarut. Sampai yang sangka mereka itu sendiri adalah Tuhan, jelmaan Tuhan, atau Tuhan tajalli kepada dirinya. Ini kerana tidak belajar sifat-sifat Allah ﷻ yang benar.]
Nu’aim bin Hammad Rahimahullah berkata, “Barangsiapa yang menyerupakan Allah dengan sesuatu dari makhluk-Nya, maka dia kafir dan barangsiapa yang mengingkari apa yang Allah sifatkan diri-Nya dengannya, maka dia kafir. Tidaklah hal yang Allah dan Rasul-Nya sifatkan diri-Nya dengannya itu mengandung penyerupaan dengan makhluk.”
[Siapakah Nu’aim? Beliau adalah seorang ulama’ tabi’ tabi’in besar, guru kepada Imam Bukhari. Beliau kata sifat yang Allah ﷻ sebut dalam Al-Qur’an dan hadith yang sahih tidak ada penyerupaan dengan makhluk, melainkan ia adalah sifat yang hakiki, yang benar.]
Imam Ahmad Rahimahullah berkata, “Allah tidak boleh disifati, melainkan dengan apa yang Allah sifati diri-Nya dengannya atau yang telah disifati oleh Rasul-Nya Shallallahu Alaihi wa Sallam dan tidak boleh melampaui batasan Al-Qur’an dan sunnah.”
[Kena terima yang Allah ﷻ sendiri beritahu tentang Diri-Nya atau diberitahu oleh Rasul-Nya. Jangan kita memandai-mandai reka fahaman baru tentang Allah ﷻ.]
Ibnu Abdi Barr Rahimahullah berkata, “Tidak boleh diyakini dalam masalah nama dan sifat Allah, melainkan yang telah tercantum dalam Al-Qur’an dan hadits yang sahih atau yang telah disepakati oleh para ulama. Apa yang disebutkan dalam hadits Ahad tentang hal tersebut atau selainnya, wajib untuk diterima dan tidak boleh dibantah.”
[Beliau adalah ulama’ besar Maghribi (negeri-negeri Islam sebelah barat) seperti Mesir. Sumber selain Al-Qur’an dan Sunnah adalah ijmak (kesepakatan) ulama-ulama salaf.
Hadith jenis Ahad pun boleh diterima, asalkan ia sahih, boleh diterima dan jangan disanggah. Ini kerana ada juga fahaman sesetengah golongan yang tidak menerima hadith jenis Ahad dalam bab Akidah. Ini adalah fahaman yang tersilap.]
Di antara nikmat Allah kepada hamba-Nya yang paling mulia adalah taufik-Nya kepada hamba tersebut untuk mengikuti jalan lurus yang berdasarkan Al-Qur an dan Sunnah Rasul Shallallahu Alaihi wa Sallam serta jauh dari penyelewengan orang-orang yang di atas kebatilan dan penyimpangan orang-orang yang sesat. Bahkan mereka berjalan di atas jalan yang satu dan tidak berselisih dalam satu permasalahan pun tentang nama-nama Allah, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya. Bahkan mereka semuanya menetapkan apa yang ada dalam Al-Quran dan As-Sunnah secara kesepakatan dari yang pertama sampai yang terakhir. Mereka tidak menakwil, menyelewengkan, dan tidak pula membatalkan serta tidak pula menyerupakan, bahkan mereka menerima apa adanya. Mereka menyikapinya dengan penuh keimanan dan pengagungan serta meyakininya sebagai satu kesatuan dan jalan yang satu. Seolah-olah lisan mereka berkata, “Ajaran ini datangnya dari Allah, tugas menyampaikan itu di pundak rasul dan kewajiban kita tunduk patuh. ” Kesepakatan ahlussunnah ini sepanjang sejarah termasuk seterang-terangnya bukti akan kebenaran dan kelurusan manhaj (metode) mereka.
[Hendaklah kita bersyukur menjadi Ahli Sunnah wal Jamaah. Ini adalah nikmat yang amat besar. Bukan hanya sekadar nikmat menjadi Muslim sahaja, tetapi nikmat menjadi Ahli Sunnah juga. Ini kerana ia berada di atas jalan yang benar. Islam yang paling benar adalah ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah. Ia bersih, tidak bercampur dengan ajaran-ajaran lain kerana ada banyak ajaran lain yang sudah bercampur dengan ajaran bathil yang lain, yang dicedok dari luar.
Ahli Sunnah tidak ada percanggahan antara mereka. Contohnya kalau ditanya kepada mereka: “Allah di mana”? Semua akan jawab: di langit. Sama sahaja jawapan jika ditanya kepada sahabat, tabien, tabi’ tabein. Sama sahaja jawapan kalau ditanya kepada ahli sunnah sekarang tidak kira mereka di negara mana, zaman mana.
Jika ditanya kepada kumpulan-kumpulan yang lain, berbagai-bagai jawapan akan ada. Kemudian mereka akan saling kafir mengkafir sesama sendiri kerana hanya mahu terima fahaman mereka sendiri sahaja. Fahaman daripada Al- Qur’an dan Sunnah mereka tidak ambil kisah sangat. Begitulah yang terjadi jika menggunakan ajaran akidah yang tidak kemas dan sealiran dengan wahyu.
Sedangkan ahli sunnah di mana-mana akan memberi jawapan yang sama sahaja, kerana sumber rujukan pun sama. Maka, yang manakah kita kehendaki?
Kita juga konsisten dalam hal Asma wa Sifat kerana kita beriman sebenar-benarnya dengan wahyu. Tugas kita hanya menerima ajaran yang disampaikan kepada kita dari jalan wahyu; iaitu dengan menyerah diri bulat-bulat kepada Risalah Allah. Maka, kenalah belajar apakah itu sunnah.
Melihat samanya pegangan kita yang dipegang zaman berzaman, sebagai bukti bahawa jalan ini adalah jalan yang benar dan terpelihara. Jika ia tidak benar, ia tidak akan kekal sampai sekarang. Walaupun ada banyak fahaman rekaan baru dan menyeleweng, namun fahaman dan pegangan sunnah ini akan kekal, akan ada yang memegangnya kerana ia adalah ajaran yang benar.]
Oleh kerana itu, Abu Al-Muzhaffar As-Sam’aani Rahimahullah berkata, “Di antara hal yang menunjukkan bahawa ahlul hadits (ahlussunnah) berada di atas kebenaran, iaitu jika engkau memperhatikan semua kitab-kitab mereka dari yang pertama hingga yang terakhir, yang dahulu maupun yang sekarang, engkau akan mendapatinya di atas satu metode, meskipun mereka berbeza negara, waktu, jauhnya tempat tinggal mereka. Mereka menyikapinya sesuai dengan manhaj yang satu, yang mereka tidak menyimpang dan menyelisihinya. Hati mereka seperti satu hati dan engkau tidak akan mendapati perselisihan atau perbezaan dalam penukilan mereka sedikit pun. Bahkan seandainya engkau mengumpulkan ucapan mereka dan penukilan mereka dari para pendahulu mereka, engkau akan mendapatinya seolah-olah bersumber dari satu hati dan satu lisan. Apakah ada bukti yang lebih jelas tentang kebenaran mereka daripada hal ini? Allah Ta’ ala berfirman,
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Qur’an? Kalau kiranya Al-Qur’an itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.” (An-Nisa’: 82)
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara, ” (Ali Imran: 103)
Adapun jika engkau melihat kepada ahli bid’ah, mereka berpecah belah, bergolong-golongan, dan berkelompok-kelompok. Hampir-hampir tidak engkau jumpai dua orang di antara mereka yang berada di atas satu jalan dalam akidah. Sebahagian mereka membid’ahkan sebahagian yang lain, bahkan meningkat sampai saling mengkafirkan. Seorang anak mengafirkan orang tuanya, seorang saudara mengkafirkan saudaranya, seorang tetangga mengkafirkan tetangganya. Selama-lamanya engkau akan mendapati mereka dalam perpecahan dan perselisihan. Hingga habis usia mereka dan tidak pernah bersatu ucapan mereka.”
Beliau juga berkata, “Dan sebab terjadinya kesepakatan ahli hadits iaitu bahawasanya mereka mengambil agama ini dari Al-Qur’an dan Sunnah, dari dalil naql. Hal itu pun menjadikan mereka bersatu dan bersepakat. Sedangkan ahlu bid’ah mengambil agama ini dari akal fikiran mereka sendiri, maka hal tersebut menjadikan mereka berselisih dan berpecah belah. Hal in dikeranakan nukilan dan riwayat dari para tsiqaat (ulama yang terpercaya) serta yang kuat hafalannya sedikit terjadi perbezaan. Meskipun seandainya terdapat perbezaan dalam ucapan atau kata-kata, tetapi hal tersebut tidak membahayakan agama dan tidak pula mengotorinya. Adapun hasil akal fikiran dan bisikan hati, maka sangat sedikit yang bersatu, bahkan setiap orang memiliki pendapat yang berbeza-beza.”
[Abu Al-Muzhaffar As-Sam’aani merupakan ulama’ mazhab Syafi’iy. Beliau memberi hujah tetapnya ahli sunnah di atas satu metode zaman berzaman. Jikalau berlainan mazhab pun, namun dalam bab akidah mereka sama sahaja. Tanya kepada satu ulama’, kemudian tanya kepada ulama’ yang lain, sama sahaja jawapan dan hujah yang diberi berkenaan bab akidah ini.
Salah satu daripada bukti kebenaran itu adalah tidak adanya percanggahan. Seperti yang Allah ﷻ sebut dalam [Nisa: 82]. Fahaman Ahli Sunnah tetap sama kerana ambilan pegangannnya adalah daripada wahyu yang sama. Ini berbeza kalau diambil daripada kitab selain daripada Allah, maka akan berbeza-beza fahaman yang timbul.
Dan Allah ﷻ telah memerintahkan kita berpegang dengan akidah yang satu seperti disebut dalam [Ali Imran:103]. Maka, kenalah kita pegang akidah yang Allah ﷻ dan Rasul-Nya sudah ajar.
Bandingkan pula fahaman dengan golongan yang bukan Sunnah. Pelbagai jenis fahaman yang tidak cukup nafas untuk disebut mengenai semua kumpulan mereka. Lain kumpulan, lain pula fahamannya. Contohnya kita lihat Syiah, yang mempunyai berjenis-jenis mazhab pula di dalamnya. Begitu juga dengan kumpulan lain. Sedangkan Ahli Sunnah ada satu sahaja. Jika nampak berlainan, itu kerana orang lain yang meletakkan nama lain.
Kasihan kepada ahli bid’ah yang asyik bergaduh kerana berbeza pendapat dalam aliran mereka. ]
Sesungguhnya kesalahan dalam nama-nama Allah serta sifat- sifat-Nya bukan seperti kesalahan dalam masalah lainnya. Kewajiban bagi setiap muslim adalah menelusuri jejak ahlussunnah wal jama’ah dan berpegang teguh dengan metode mereka, kerana mereka berada di atas kebenaran.
Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu Anhu berkata, “‘Barangsiapa di antara kalian yang ingin mencari suri tauladan, maka jadikanlah orang yang telah meninggal sebagai suri tauladan kerana orang yang masih hidup tidak selamat dari fitnah. (Suri tauladan itu) adalah para shahabat Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam, mereka adalah semulia-mulianya umat ini, orang yang paling baik hatinya, paling mendalam ilmunya, paling sedikit berlebih-lebihan. Mereka adalah sekelompok manusia yang Allah pilih untuk menemani Nabi-Nya dan menegakkan agama-Nya. Oleh kerana itu, kenalilah jasa-jasa mereka dan ikuti jejak mereka serta berpegang teguhlah dengan akhlak dan agama mereka sesuai dengan kemampuan kalian, kerana mereka berada di atas jalan yang lurus.”
Mereka adalah pakar dalam hal ini kemudian para tabi’in dan yang mengikuti mereka dengan baik. Semoga Allah menganugerahkan kepada kita nikmat untuk berpegang teguh dengan metode mereka, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan.
[Maknanya hendaklah kita mengambil agama ini daripada mereka yang telah diberikan kelebihan hampir dengan Nabi ﷺ. Nabi ﷺ pun sudah memberi “stamp of approval” (cop kelulusan) kepada mereka, iaitu kepada tiga golongan terawal: Sahabat, tabien dan tabi’ tabein. Mereka inilah yang digelar golongan ‘salaf’ (golongan yang terdahulu). Maka kerana itulah kita mementingkan sangat apa kata-kata mereka dan pegangan mereka dalam hal agama ini. ]
Sambung ke bab yang seterusnya
Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad syarahan kitab Fikih Asma’ul Husna