Bab 9: Pembahagian Nama-nama Allah Menurut Makna-maknanya

Bab 9: Pembahagian Nama-nama Allah Menurut Makna-maknanya

Di antara yang bermanfaat dalam pembahasan fiqh al-asma’ al-husna adalah mengenal pembahagiannya sesuai dengan makna dan penunjukannya. Nama-nama tersebut pun terbahagi menjadi beberapa bahagian menurut makna-maknanya.

Kita kena faham dengan baik hal ini kerana kalau tidak kita akan keliru mana berkaitan sifat Allah ‎ﷻ dan mana nama Allah‎ ﷻ ( Asmaul Husna) kerana sifat Allah‎ ﷻ itu banyak tetapi, tidaklah semua menjadi namaNya. Sebagai contoh, Allah‎ ﷻ menyebut Dia جعل (menjadikan) tetapi‎ itu bukanlah namaNya الچاعل.

1⃣. Yang menunjukkan akan sifat dzatiyah.

Sifat dzatiyah adalah sifat yang senantiasa Allah ‎ﷻ tersifati dengannya. Sifat tersebut tidak akan terlepas dari Dzat-Nya dan tidak berkaitan dengan kehendak Allah‎ ﷻ. Di antara nama-nama Allah ‎ﷻ tersebut adalah:

➡️ Al-Hayyu menunjukkan akan sifat kehidupan.
➡️ Al-‘Alim menunjukkan akan sifat ilmu.
➡️ As-Sami menunjukkan akan sifat pendengaran.
➡️ Al-Bashir menunjukkan akan sifat penglihatan.
➡️ Al-Qawi menunjukkan akan sifat kekuatan.
➡️ Al-Ali menunjukkan akan sifat ketinggian.
➡️ Al-Aziz menunjukkan akan sifat kemuliaan.
➡️ Al-Qadir menunjukkan akan sifat kekuatan.

Sifat-sifat tersebut adalah sifat dzatiyah kerana sifat-sifat tersebut selalu melekat (bersama) pada diriNya dan tidak terlepas daripada dzat-Nya serta tidak terkait dengan kehendak-Nya.

Ini semua adalah sifat-sifat yang berterusan dan tidak akan terhenti. Sebagai contoh, hayah (hidup) tidak akan hilang tetapi sifat marah kekadang ada dan kekadang hilang. Sifat ilmu Allah‎ ﷻ juga tidak akan pernah hilang dan tidak pernah berhenti berilmu. Sedangkan kita ada masa tidak berilmu dan sampai satu masa akan nyanyuk juga.

2⃣. Yang menunjukkan akan sifat fi’liyah.

Sifat fi’liyah adalah sifat yang berkaitan dengan kehendak Allah‎ ﷻ. Jika Dia berkehendak , Dia akan melakukannya dan jika tidak, Dia tidak akan melakukannya. Di antara nama-nama tersebut adalah:

➡️ Al-Khaliq menunjukkan akan sifat penciptaan.
➡️ Ar-Razzaq menunjukkan akan sifat memberi rezeki.
➡️ At-Tawwab menunjukkan akan sifat memberi taubat.
➡️ Al-Ghafur menunjukkan akan sifat memaafkan.
➡️ Ar-Raheem menunjukkan akan sifat kasih sayang.
➡️ Al-Muhsin menunjukkan akan sifat memberi kebaikan.
➡️ Al-‘Afwu menunjukkan akan sifat memaafkan.

Ada masa Allah‎ ﷻ akan menghukum dan ada masa mengampunkan. Hal ini berkaitan dengan perbuatan Allah‎ ﷻ yang mengikut kehendak Allah‎ ﷻ sama ada hendak buat atau tidak. Allah‎ ﷻ akan beri kepada mereka yang layak dan bukan kepada semua.

Semua sifat-sifat ini adalah sifat fi’liyah kerana berkaitan dengan kehendak Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ berfirman:

يَخۡلُقُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ‌ۚ

“Allah‎ ﷻ menciptakan apa yang Dia kehendaki.” [An-Nur: 45]

وَٱللَّهُ يَرۡزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيۡرِ حِسَابٍ۬

“Dan Allah ‎ﷻ memberi rezeki kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tanpa batas.” [Al-Baqarah: 212]

وَيَتُوبُ ٱللَّهُ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ‌ۗ

“Dan Allah‎ ﷻ menerima taubat orang-orang yang dikehendaki-Nya. ” [At-Taubah: 15]

يَغۡفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَڪَانَ ٱللَّهُ غَفُورً۬ا رَّحِيمً۬ا

“Dia memberi ampun kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengazab sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah ‎ﷻ Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(AI-Fath: 14)

يُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ وَيَرۡحَمُ مَن يَشَآءُ‌ۖ وَإِلَيۡهِ تُقۡلَبُونَ

“Allah‎ ﷻ mengazab sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberi rahmat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan hanya kepada-Nya-lah kamu akan dikembalikan.” [Al-Ankabut: 21]

وَأَحۡسِن ڪَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَ‌ۖ

“Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah ‎ﷻ telah berbuat baik
kepadamu,” [Al-Qashash: 77]

وَلَقَدۡ عَفَا ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ۬

“Tetapi Allah ‎ﷻ benar-benar telah memaafkan mereka. Sungguh, Allah‎ ﷻ Maha Pengampun, Maha Penyantun.” [Ali Imran: 155]

3⃣. Yang menunjukkan akan penyucian diri-Nya daripada kekurangan, aib dan hal-hal yang tidak layak bagi kemuliaan, kesempurnaan dan keagungan-Nya, seperti Al-Quddus (Yang Maha suci), As-Salam (Yang Maha selamat), dan As-Subbuh (Yang Maha suci).

Semua nama-nama di atas menunjukkan akan penyucian, pembersihan, dan pembebasan Rabb daripada sifat kekurangan, kejelekan, hal-hal yang tidak layak bagi-Nya serta (penyucian) daripada tandingan, sekutu dan yang menyerupai-Nya.

Allah menyucikan diri-Nya daripada setiap hal yang menafikan sifat kesempurnaan, kemuliaan dan keagungan-Nya. Dia terlepas dari sekutu, tandingan, dan yang serupa dengan-Nya. Maha tinggi Allah ‎ﷻ dari hal-hal tersebut. Penyucian ini merupakan bahagian daripada kandungan makna-maknanya.

Al-Quddus menunjukkan akan kesucian. As-Salam menunjukkan akan keselamatan daripada sifat kekurangan dan aib. As-Subbuh menunjukkan akan kesucian. Allah Ta’ala berfirman,

سُبۡحَـٰنَ رَبِّكَ رَبِّ ٱلۡعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ (١٨٠) وَسَلَـٰمٌ عَلَى ٱلۡمُرۡسَلِينَ (١٨١) وَٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (١٨٢)

“Maha Suci Rabbmu yang mempunyai keperkasaan daripada apa yang mereka katakan. Dan kesejahteraan dilimpahkan ke atas para rasul. Segala puji bagi Allah ‎ﷻ Rabb seru sekalian alam.” [Ash-Shaafaat: 180-182].

Ini dinamakan ‘taqdis’. Membersihkan seseorang daripada sebarang kekurangan. Contohnya kalau ada yang berkata “guru saya takkan salah”. Ini pun peringkat taqdis. Ia tidak patut dilakukan bagi makhluk, tetapi ia layak bagi Allah‎ ﷻ sahaja. Maka jangan kita taqdis kepada sesiapa sahaja makhluk kerana amat bahaya dan sebab inilah ada banyak kultus di dalam dunia. Umat Islam pun tidak terlepas daripada perkara ini kerana ada yang berkata guru mereka macam maksum lah (takkan tok guru kami salah, tak tahu?).

Ia hampir sama dengan ‘tanzih’. Maka kita kena sedar yang Allah ‎ﷻ bersih daripada sifat-sifat kekurangan.

Tetapi hendaklah pembersihan itu ada nasnya. Bukannya kita reka sendiri. Ada yang reka sebagai contoh yang berkata ‘Allah ‎ﷻ tidak di mana-mana, wujud tanpa tempat’. Ini adalah kebodohan kerana hendak membersihkan Allah ‎ﷻ dari sifat ‘bertempat’. Tetapi mereka reka sendiri fahaman ini. Sedangkan Allah‎ ﷻ sebut Dia di langit.

Maka kita bersihkan Allah ‎ﷻ dari sifat zalim, tiada belas kasihan, lupa, tidur, nyanyuk, terlepas pandang, dan sebagainya. Kerana memang Allah‎ ﷻ sendiri bersihkan.

Allah ‎ﷻ tidak ada lawan bagi-Nya. Tidak ada yang setanding dengan-Nya. Sebagai contoh, tidaklah Allah ‎ﷻ berlawan dengan Iblis syaitan, kerana mereka itu bukan lawan bagi Allah‎ ﷻ. Senang sahaja jika Allah‎ ﷻ hendak memusnahkan Iblis dan syaitan dengan begitu sahaja. Jadi macam mana hendak melawan dengan Allah‎ ﷻ? Sebaliknya Iblis dan syaitan adalah lawan kepada kita, musuh kita, bukannya kepada Allah‎ ﷻ. Syaitan dapat sesatkan kita pun atas izin Allah‎ ﷻ, bukannya atas kekuatan mereka.

4️⃣ Yang menunjukkan akan sifat yang banyak bukan satu sifat saja. Jadi, nama tersebut mencakup sifat-sifat yang banyak.

[Nama itu satu, tetapi mengandungi banyak makna. Mungkin ia berkait dengan sifat, mungkin berkait dengan perbuatan Allah ﷻ. Namun yang pasti, ia membawa banyak makna. Ia menambah makna kepada nama-nama yang lain.]

Di antara nama-nama Allah tersebut adalah Al-Majid, Al-Hamid, Al-‘Adzim, Ash-Samad, As-Sayyid.

Al-Majid (tersanjung) merupakan nama yang mencakup sifat-sifat kesempurnaan. Lafaznya menunjukkan akan hal ini, dan menunjukkan erti keluasan, banyak, dan bertambah. Hal ini sebagaimana yang dikatakan dalam ungkapan, ‏في كلّ شجر نار واستمجد المرخ والعفار “Di setiap pohon terkandung api dan bertambah banyak.”

[Maksudnya setiap pokok ada potensi untuk mengeluarkan api. Namun ia menjadi melampau dan berlebihan lagi استمجد apabila menggunakan dua jenis pokok المرخ dan العفار. Memang ada dua jenis pokok yang kalau digosok bersama, boleh mengeluarkan api. Walaupun pokok itu masih basah lagi.]

Nama Allah “Al-Majid” menunjukkan kepada keagungan sifat-sifat-Nya, banyaknya dan keluasannya, dan menunjukkan kepada keagungan kekuasaan serta kerajaan-Nya, dan menunjukkan kepada keesaan-Nya dalam kesempurnaan, kemuliaan dan keindahan yang mutlak. Nama tersebut bukan menunjukkan akan satu sifat, akan tetapi menunjukkan akan beberapa sifat.

Al-Hamid yaitu nama yang mencakup semua bentuk pujian, iaitu semua sifat kesempurnaan. Semua sifat-Nya layak untuk dipuji.

[Tidak kira apa sahaja yang Allah ﷻ buat, Dia tetap terpuji. Kalau Dia beri nikmat, Dia terpuji; akan tetapi kalau Dia menyeksa pun, Dia tetap terpuji juga. Tiada waktu tertentu sahaja Dia terpuji. Bukan satu keadaan sahaja, tetapi dalam semua keadaan.

Segala puji pulang kepada Allah ﷻ. Katakanlah anak kita pandai, siapa yang menjadikan dia begitu? Tentulah Allah ﷻ. Memang budak itu layak dipuji, tetapi pujian lebih lagi kepada Allah ﷻ kerana Dia yang menjadikan budak itu pandai.

Oleh itu, sifat Al-Hamid ini terpakai kepada semua sifat-sifat yang lain. Semua sifat-sifat yang lain itu semua sifat yang terpuji. Ini kerana ada dalam banyak-banyak sifat itu sifat yang kita suka, tetapi ada juga yang kita takut, bukan? Maka itu pun sifat yang terpuji juga. ]

Al-‘Azhim adalah nama bagi dzat yang sempurna keagungan nama dan sifat serta perbuatan-Nya yang tersifati dengan sifat-sifat yang banyak dari sifat-sifat kesempurnaan, kemuliaan, dan keindahan.

[Manusia ada sedikit kelebihan pada satu bahagian, tetapi lemah di bahagian yang lain. Mungkin kaya, tetapi tidak ada anak pula. Namun Allah ﷻ tidak ada langsung kekurangan.]

As-Samad adalah nama yang mencakup keluasan sifat, yang sempurna ilmu, hikmah, kelembutan, kekuasaan, kemuliaan, keagungan, dan semua sifat-sifat-Nya.

[As-Samad bermaksud kesempurnaan bagi semua sifat Allah ﷻ. Ada banyak sifat, bukan? Semua sifat-sifat itu sempurna belaka. Bayangkan kalau kita hendak serah diri kita kepada doktor untuk bedah kita. Namun bayangkan sekiranya ilmu kedoktoran kita lebih hebat daripada dia, bagaimana? Contohnya kita berkelulusan dari UK berbanding dengan dia hanya berkelulusan dari India? Atau kita peringkat pakar, tetapi dia hanya peringkat biasa sahaja.

Atau contoh lain pula, kita naik kapal terbang tetapi baru dapat maklumat dia baru sebulan dapat lesen memandu kapal terbang. Tentu ada rasa takut bukan? Maknanya kita tidak mahu serahkan diri kita kepada sesuatu yang tidak sempurna. Namun begitu, apabila Allahﷻ bersifat As-Samad, kita sanggup menyerahkan segala diri kita kepada-Nya kerana kita tahu yang Dia sempurna.

Maka kita sanggup untuk bergantung kepada Allah ﷻ kerana Dia As-Samad.]

Inilah empat bahagian nama Allah yang penting untuk diketahui dan apa yang terkandung dalam nama-nama Allah tersebut. Hal ini memiliki banyak manfaat dan pelajaran yang berharga dalam memahami nama-nama Allah dan apa yang terkandung di dalamnya.

[Kita hanya sanggup untuk beriman dengan semua asma’ ini kalau kita memahaminya dan kenal Allah ﷻ.]

Dari apa yang disebutkan di atas juga terdapat penjelasan bahawa nama-nama Allah mengandung sifat, bukan hanya sekadar nama belaka untuk pengenalan. Bahkan itu adalah nama-nama yang menunjukkan akan sifat-sifat kesempurnaan yang melekat pada diri-Nya yang mengharuskan pujian dan sanjungan.

[Untuk nama kita, kadangkala tidak kena mengena dengan sifat kita pun. Contoh nama Badang, tetapi tidak ada kekuatan pun. Atau ada gelaran orang panggil ‘hensem’, namun tidak lah kacak pun.]

Di antara nama-nama Allah tersebut, ada yang menunjukkan akan sifat dzatiyah, ada pula yang menunjukkan akan sifat fi’liyah, dan ada pula yang menunjukkan akan sifat kesucian dan sejumlah sifat-sifat yang banyak. Selain itu, bukan hanya sekadar nama belaka yang tidak menunjukkan satu sifat pun. Allah memuji diri-Nya dengan nama-nama-Nya dan Dia terpuji dengannya. Allah Ta’ala berfirman,

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ‌ۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ

“Dialah Allah, tidak ada Ilah (yang berhak disembah) melainkan Dia. Dia mempunyai al-asmaaul husna (nama-nama yang baik).” (Thaha: 8)

وَلِلَّهِ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ

“Hanya milik Allah asma-ul husna,” (Al-A’raaf: 180)

Oleh kerananya, jika ada nama yang tidak menunjukkan akan sifat terpuji, maka nama tersebut tidak termasuk nama Allah kerana semua nama Allah itu baik. Hal itu disebabkan kerana nama tersebut mengandung sifat kesempurnaan dan kemuliaan bagi-Nya.

[Bukan semua perbuatan Allah ﷻ boleh dijadikan sebagai nama Allah ﷻ pula. Mesti ada dalil yang ia digunakan sebagai nama Allah ﷻ. Jangan keluarkan sendiri asmaul Husna tanpa dalil kerana sekiranya kita reka sendiri, belum tentu nama itu adalah nama yang terpuji dan mungkin tidak sesuai bagi Allah ﷻ.

Contohnya Allah ﷻ ada melakukan مكر (rancangan) tetapi tidaklah Allah ﷻ digelar الماكر pula. ]

Oleh kerananya, jelas kesalahan ucapan orang yang menggolongkan “Ad-Dahru” sebagai salah satu nama Allah yang baik dengan berdalil kepada hadits qudsi,

يُؤْذِينِي ابْنُ آدَمَ يَسُبُّ الدَّهْرَ وَأَنَا الدَّهْرُ بِيَدِي الْأَمْرُ أُقَلِّبُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ

“Anak Adam menyakiti diri-Ku, dia mencela Ad-Dahru (zaman). Padahal Aku adalah Ad-Dahru, ditangan-Ku segala perkara, Akulah yang mempergantikan malam dan siang.” (Muttafaqun ‘Alaihi) HR. Bukhari nombor 4826 dan Muslim nomor 2246 dari hadits Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu.

[Ada orang yang marah kepada masa, contohnya dia berkata “Alaahhh, kenapa cepat sangat masa berjalan ni?” Dalam masa yang sama, ada pula yang sembah masa dengan berkata: “Masa adalah segala-galanya….” Ini pun salah juga.

Sebenarnya Allah ﷻ hendak memberitahu tentang masa, bukannya hendak beritahu yang Dia itu ‘Masa’. Masa itu dibuat oleh Allah ﷻ. Maka jika seseorang itu mencela masa, maknanya dia telah mencela Allah ﷻ yang membuat masa. Sama seperti jika kita marahkan cawan pecah maka bersepah kacanya, bukannya kita marahkan cawan tetapi orang yang pecahkannya, bukan? ]

Tidak ada dalam nama “Ad-Dahru”, hal yang menunjukkannya sebagai nama Allah kerana Ad-Dahru maknanya adalah waktu. Allah-lah yang mempergantikan malam dan siang. Barangsiapa yang mencela waktu yang diatur dan dipergantikan oleh Allah, maka dia berarti mencela yang mempergantikannya iaitu Allah Ta’ala. Allah telah menjelaskan hal tersebut dalam firman-Nya, “Di tangan-Ku segala perkara, Aku mempergantikan malam dan siang.” Ad-Dahru merupakan nama yang tidak mengandung makna yang dapat digolongkan sebagai nama Allah yang baik. Ad-Dahru merupakan nama yang menunjukkan waktu. Nama-nama Allah semuanya baik, bukan sekadar nama yang tidak bermakna.

Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad syarahan kitab Fikih Asma’ul Husna

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s