Bab 7: Semua Nama Allah Adalah Baik

Bab 7: Semua Nama Allah Adalah Baik

Allah banyak memuji di dalam Al-Qur’an Al-Karim, nama-nama-Nya yang mulia dan menyifatinya dengan kebaikan. Allah mengulang penyifatan-Nya tersebut di dalam Al-Quran dalam empat tempat.

[Kalimah al-husna bukan sahaja bermaksud ‘baik’, tetapi ia juga bermaksud ‘terbaik’. Sebab itulah kita pun sudah biasa dengan gelaran asmaul husna (nama-nama yang terbaik) kerana kalimah الحُسنىٰ adalah jamak bagi الأحسن dan bukanlah الحسن. Ia adalah dalam bentuk feminine yang superlative.

Maknanya tidak ada yang lebih baik dalam apa bentuk sekali pun. Dalam semua benda lain, ada baik dan buruknya (pro and cons). Seperti kita beli telefon, ada bagus dan ada ciri yang tidak bagus di dalam telefon itu. Namun apabila Allah ‎ﷻ sebut nama-Nya الحُسنىٰ ia bermaksud tidak ada yang tidak baik di dalamnya. Sudahlah terbaik, tidak ada yang tidak baik.

Kalimah الأَسماءُ الحُسنىٰ yang selalu kita sebut ini adalah disebut di dalam 4 tempat di dalam Al-Qur’an.]

وَلِلَّهِ الأَسماءُ الحُسنىٰ فَادعوهُ بِها وَذَرُوا الَّذينَ يُلحِدونَ في أَسمائِهِ سَيُجزَونَ ما كانوا يَعمَلونَ

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” (QS. Al-A’raf: 180)

[Dalam ayat ini disebut untuk memulaukan orang yang menyimpang dalam hal asmaul husna ini. Ini nanti akan dibincangkan di dalam tajuk yang lain nanti, in sha Allah.]

قُلِ ادعُوا اللهَ أَوِ ادعُوا الرَّحمٰنَ أَيًّا ما تَدعوا فَلَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ

Katakanlah: “Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik)

اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ

“(Dialah) Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.” (QS. Thaha: 8)

هُوَ اللهُ الخٰلِقُ البارِئُ المُصَوِّرُ لَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ يُسَبِّحُ لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

“Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul Husna. Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” Hashr: 24

Di dalam ayat-ayat ini, ada penyifatan tentang nama-namaNya dengan kebaikan, maksudnya nama-nama tersebut sampai kepada puncak kesempurnaan dan kebaikan, tidak ada yang lebih baik darinya dari segala segi. Bahkan nama-nama tersebut memiliki kebaikan yang sempurna secara mutlak, dikeranakan ia adalah nama-nama yang terbaik dan termulia. Seperti yang Allah telah berfirman:

وَلَهُ المَثَلُ الأَعلىٰ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

“Dan bagi-Nyalah sifat yang Maha Tinggi di langit dan di bumi;’ (QS. Ar-Ruum: 27) maksudnya, yang sempurna dan yang agung dalam dzat, nama, dan sifat-Nya.

[Allah ‎ﷻ telah memberikan perumpamaan yang terbaik. Kita tidak tahu hakikat nama Allah ‎ﷻ yang sebenarnya. Namun begitu, Allah ‎ﷻ telah berikan perumpamaannya supaya kita faham sikit-sikit. Seperti kita tahu makna ‘sayang’, akan tetapi kita tahu dan dapat faham bagaimanakah sayang tahap Allah ‎ﷻ itu. Tetapi kita dapat juga tahu sikit-sikit kerana bagaimana kita hendak berdoa kepada Allah‎ ﷻ jika kita tidak tahu sedikit sebanyak makna ‘sayang’ itu? Namun begitu, apa sahaja yang kita faham mengenai sifat Allah‎ ﷻ itu terlebih-lebih lagi daripada apa yang kita faham.

Sebagai contoh, Rasulullah ﷺ pernah memberi perumpamaan tentang cemburu manusia. Kemudian baginda sebut: Allah ‎ﷻ lagi cemburu.

Nama-nama Allah ‎ﷻ sudah sempurna tanpa perlu ditokok tambah lagi. Kita tidak mampu untuk menambahbaik nama-nama itu. Memang di luar kemampuan akal kita.

Seumpama selawat untuk Rasulullah ﷺ. Allah ‎ﷻ suruh kita selawat. Tetapi kita pun tidak tahu bagaimana selawat terbaik. Jadi bagaimana selawat kita? Kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ, bukan? Cuba lihat lafaz selawat kita: Ya Allah, selawatlah kepada Nabi. Ini kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu apa terbaik untuk baginda.

Akan tetapi ada juga golongan yang rasa tidak cukup dengan hal ini. Mereka nampak selawat itu biashe-biashe sahaja. Maka ada yang sanggup menokok nambah dengan pelbagai jenis selawat-selawat rekaan. Ini bahaya dan hanya membuang masa. Ia tidak patut dilakukan.

Dan golongan sebegitu juga pun rasa nama Allah‎ ﷻ yang sudah hebat itu pun tidak cukup. Maka ada yang reka nama-nama Allah ‎ﷻ yang lain. Yang entah datang dari mana. Ada yang konon kata itu adalah zikir para malaikat. Bilakah masa pula mereka berjumpa dan berbincang dan belajar daripada malaikat? Entahlah. Ini selalunya daripada golongan yang suka mimpi sebab rajin tidur. Semua dapat daripada mimpi-mimpi mereka. ]

Oleh kerana ini, nama-nama Allah adalah sebaik-baiknya nama dan tidak ada yang lebih baik darinya. Tidak ada yang menyamai, menandingi, serta yang menyerupai maknanya. Ada pun mengertikan (menerjemahkan) nama Allah dengan bahasa atau kata yang lain, tidak akan sama dengan kata asalnya, tetapi hal tersebut hanya sekadar untuk mendekatkan kepada pemahaman, dikeranakan kesempurnaannya dalam makna dan lafazhnya. Dikeranakan lafazh dan maknanya yang baik, maka ia adalah nama-nama yang baik, sebagaimana sifat-sifat-Nya Maha sempurna.

Nama-nama-Nya tersifati dengan kebaikan semuanya, tidak ada nama-Nya yang tidak baik, kerana itu adalah nama-nama yang terpuji. Allah Ta’ala dikeranakan keagungan, kesempurnaan, kemuliaan, dan keindahan-Nya tidaklah dinamakan, melainkan dengan nama-nama yang baik, sebagaimana Dia tidak disifati, melainkan dengan sebaik-baiknya sifat dan tidak disanjung, kecuali dengan sebaik-baiknya sanjungan.

[Kita memang ada sentiasa terjemahan nama-nama Allah‎ ﷻ itu. Akan tetapi terjemahan dan penjelasan kita tentang maknanya, tidak ada dapat menyamai makna yang sebenar. Seperti kita kata Dia bersifat Raheem. Kita hanya boleh bandingkan dengan sifat sayang seorang ibu sahaja. Akan tetapi sayang Allah ‎ﷻ lebih lagi daripada itu dan kita tidak ada contoh.

Dan sayang Allah ‎ﷻ bukan seperti sayang makhluk. Sebagai contoh, jika Allah‎ ﷻ kenakan musibah kepada kita, ia masih lagi tanda sayang; bukannya tanda Allah ‎ﷻ benci kepada kita. Pelik, bukan?

Ini seperti firman Allah dalam Sajdah:21

وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan Sesungguhnya Kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar).

Allah ‎ﷻ berikan musibah kecil ini kerana sayang kepada kita. Ini kerana apabila kita kena musibah, ia akan memberi kesan kepada kita, mengingatkan kita kepada Allah ‎ﷻ dan kembali kepada jalan yang benar. Maka ini salah satu cara Allah ‎ﷻ ingin memberikan peringatan kepada manusia dan mengembalikan dia kepada jalan yang benar. Manusia ini kadangkala bila sudah jatuh terduduk barulah dia sedar diri dan mahu bertaubat.

Maka kalau Allah ‎ﷻ kenakan benda buruk kepada kita bukanlah itu tanda Allah ‎ﷻ benci kepada kita. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak beri peringatan kepada kita. Maka Allah ‎ﷻ beri musibah boleh jadi tanda Allah sayang kepada kita. Kalau kita tidak dapat faham perkara ini, maka alangkah ruginya. Ini kerana manusia tidak nampak aspek ini pada sifat Allah‎ ﷻ.

Sedarlah yang Allah‎ ﷻ maha tahu apa yang kita perlukan kerana Dia yang menjadikan kita. Maka kerana itu ada benda yang kita doa, Allah ‎ﷻ tidak beri. Sebenarnya ada kebaikan kerana Allah ‎ﷻ yang tahu apa yang baik bagi kita. Bukan semua benda manusia doa, Allah ‎ﷻ kena beri. Kerana kalau Allah ‎ﷻ beri semua yang manusia minta, rosaklah alam ini. Sebab ada yang doa supaya hujan tidak turun. Tapi petani perlukan hujan, bukan? Maka keperluan alam Allah ‎ﷻ akan sediakan mengikut kadar keperluan. Bukannya kena ikut kehendak kita.

Maka jangan bandingkan cara sayang makhluk dengan cara sayang Allah ‎ﷻ pula. Sebab tidak akan sama. Kita tidak akan mampu. Maka terjemahan nama-nama Allah ‎ﷻ hanyalah cubaan kita untuk mengenali Allah ‎ﷻ. Namun kita tidak akan dapat pemahaman yang sepenuhnya.]

Nama-nama Allah semuanya baik dikeranakan ia menunjukkan akan sifat yang sempurna dan agung bagi-Nya. Adapun jika nama itu baik, tetapi tidak menunjukkan akan sifat yang sempurna, maka itu bukanlah nama Allah. Nama yang tidak menunjukkan akan sifat sempurna, kemungkinan menunjukkan akan kekurangan atau terbagi menjadi sifat terpuji dan sifat yang tercela. Hal ini bukanlah termasuk nama Allah.

Semua nama Allah itu harus berdasar dalil dan menunjukkan akan sifat kesempurnaan dan kemuliaan bagi Allah Ta’ala. Nama-nama Allah semuanya baik ditinjau dari sisi makna dan hakikatnya, bukan hanya dari lafazhnya, kerana jika hanya dari lafazhnya tanpa makna tidaklah boleh dikatakan baik, dan tidak dapat menunjukkan pujian dan kesempurnaan. Hal tersebut akan menjadikan nama Allah yang menunjukkan akan kekerasan, kemurkaan, dan seksa boleh diganti dengan nama yang menunjukkan akan kasih sayang dan kebaikan, atau sebaliknya.

Semisal, “Ya Allah sesungguhnya aku telah menzalimi diriku, maka ampunilah aku, kerana Engkau sangat pedih siksamu”; atau: “Ya Allah berilah aku, kerana engkau yang dapat mencegah dan menggenggam”, dan lain sebagiannya dari ucapan yang kurang tepat.

[Maka nama Allah ‎ﷻ bukan sahaja terbaik, tetapi sifat-Nya juga terbaik. Ini tidak sama seperti manusia yang hanya sebut pada nama sahaja namun tidaklah menjadi sifat dia. Sebagai contoh, mungkin nama dia Nur Islam tetapi tidak nampak pun cahaya keislaman pada dirinya. Mungkin nama dia Razak tetapi dia miskin, asyik tidak cukup rezeki sahaja. Maknanya setakat pada nama sahaja.

Nama manusia gelaran bagi dia sahaja. Sebab manusia tetap kena ada nama, kalau tidak ada nama susah pula kita hendak panggil dia, bukan? Namun nama Allah ‎ﷻ baik, sifat-Nya juga baik dan terbaik. Ia bukan hanya panggilan semata-mata.

Walau bagaimanapun bukanlah hanya sifat yang cantik-cantik seperti pemurah, pemaaf sahaja. Ada juga nama Allah ‎ﷻ yang menakutkan seperti yang keras seksaan-Nya. Ini pun sifat Allah ‎ﷻ juga. Jangan pandang sifat yang kita suka sahaja. Kena lihat juga kepada nama-nama Allah ‎ﷻ yang menakutkan kita supaya kita takut untuk membuat dosa. Kenalah sebut juga.

Ini penting kerana kena ada khauf dan raja’. Takut dan harap dua-dua kena ada. Kalau berharap sahaja tanpa ada sifat takut kepada Allah ‎ﷻ, maka manusia akan menjadi lalai dan tidak takut membuat dosa. Dan dibimbangi manusia rasa bagaikan senang sahaja hendak masuk syurga.

Semua nama Allah ‎ﷻ hendaklah ada dalil sandarannya. Kena diambil daripada Al-Qur’an atau daripada hadith yang sahih. Tidak boleh direka-reka seperti golongan sufi reka nama Allah menjadi hu-hu-hu (Dia-Dia-Dia). Ini adalah rekaan yang bathil.

Lebih teruk lagi kalau dengan miau kucing pun ada yang kata itu adalah lafaz ya raheem, ya raheem. Ini adalah mengarut kerana tiada dalil dan kita pun tidak tahu bahasa kucing. Ya binatang malah benda jamad (yang tidak hidup) pun ada berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi tidaklah perlu kita hendak terjemah pula zikir mereka itu.

99 nama yang selalu dinasyidkan oleh masyarakat kita pun tidak sahih kesemuanya. Nanti kita akan senaraikan yang sahih dan kita akan bincangkan satu persatu.

Nama Allah ‎ﷻ bukan sahaja baik dari segi lafaz sahaja tetapi maknanya sekali. Maka kena belajar apakah maksud sesuatu nama itu supaya kita tidak tersilap faham.

Allah ‎ﷻ juga tidak ada nama tanpa makna. Nama Allah ‎ﷻ bukan kosong. Semua nama Allah ‎ﷻ ada maknanya yang kita kena pelajari. Bila kita pelajari maka kita akan lebih mengenali Allah ‎ﷻ. Nama Allah ‎ﷻ bukan sekadar nama. Berbeza dengan nama manusia yang mungkin tidak kena mengena dengan nama dia. Akan tetapi nama Allah ‎ﷻ semua ada maknanya. ]

Oleh kerana itu, setiap nama Allah menunjukkan akan makna kesempurnaan dan tidak menunjukkan akan nama yang lain. Ar-Rahmaan, menunjukkan akan sifat kasih sayang, Al-Aziz menunjukkan akan sifat kemuliaan, Al-Khaliq menunjukkan sifat penciptaan, Al-Karim menunjukkan sifat kedermawanan, Al-Muhsin menunjukkan sifat kebaikan, dan lain seterusnya. Meskipun semua nama tersebut menunjukkan akan Dzat yang satu iaitu Allah Ta’ala. Ditinjau dari sisi dzat, maka nama-nama tersebut sahih maknanya, tetapi jika ditinjau dari sisi sifat, maka maknanya berbeza-beza sesuai dengan penunjukan setiap nama.

Al-Allamah Ibnu Al-Qayyim Rahimahullah berkata, “Semua nama Allah Ta’ala menunjukkan akan nama-nama yang terpuji. Seandainya hanya menunjukkan akan lafazhnya saja tanpa makna, tidaklah menunjukkan akan pujian.” Allah Ta’ala telah menyifat semuanya dengan kebaikan. Allah Ta’ala berfirman, “Hanya milik Allah asma-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. ” (QS. Al-A’raaf: 180). Maka nama-nama itu tidak menunjukkan akan kebaikan jika hanya menunjukkan akan lafazh tanpa menunjukkan akan kesempurnaan sifat-sifat-Nya.

Oleh kerana itu, ketika seorang orang Arab Badwi mendengar seseorang membaca,

وَالسّارِقُ وَالسّارِقَةُ فَاقطَعوا أَيدِيَهُما جَزاءً بِما كَسَبا نَكٰلًا مِّنَ اللهِ
“Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan dari apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah.” (QS. Al-Maidah:38) kemudian orang tersebut mengakhirinya dengan “Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” orang Arab itu mengatakan, “Yang terakhir ini bukanlah kalamullah.” Orang yang membaca tersebut mengatakan, “Apakah engkau mendustakan kalamullah?” Dia berkata, “Tidak, tetapi ini bukan kalamullah, orang ini membaca lagi, (وَاللهُ عَزيزٌ حَكيمٌ) Maka orang Arab itu berkata, “Engkau benar (sekarang), Dia Maha Mulia, maka Dia menghukumi dan (memerintahkan) untuk memotong (tangan pencuri), seandainya Dia mengatakan, “Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” tidaklah Dia memerintahkan untuk memotong (tangan pencuri).

Oleh kerana ini, jika ayat tentang rahmat diakhiri dengan nama yang menunjukkan akan azab atau sebaliknya, maka tidaklah tepat pengungkapannya.”

[Nama Allah ‎ﷻ itu sudah sempurna. Mana-mana nama Allah ‎ﷻ tidak boleh hendak ditambahbaik lagi. Tidak ada ruang lagi sebenarnya untuk ditambah baik maka jangan kita hendak reka nama yang baru.

Ia juga tidak ada kekurangan pada nama itu. Berbeza dengan perkara lain ada pro and cons akan tetapi nama Allah ‎ﷻ semuanya baik. Tidak ada sudut buruk pada mana-mana nama Allah ‎ﷻ.

Memang ada nama Allah‎ ﷻ yang menunjukkan sifat keras, akan tetapi itu juga adalah kebaikan. Jangan kita bandingkan dengan benda yang ada sudut baik dan sudut buruk pula. Walaupun sifat Allah ‎ﷻ yang keras seperti sifat keras yang menghukum makhluk-Nya, itu pun sebenarnya adalah baik kerana semua nama Allah ‎ﷻ adalah baik.

Nama Allah‎ ﷻ memang sudah sesuai dan digunakan bersesuaian dengan keadaannya. Ada masa Allah ‎ﷻ menggunakan sifat lembut dan ada masa Allah ‎ﷻ menggunakan sifat yang keras. Maksudnya walaupun ada sifat Allah ‎ﷻ yang lembut dan ada sifat yang kasar, itu memang sifat Dia. Ia berasal daripada Dzat yang sama sahaja.

Akan tetapi mungkin ada bertanya kenapa seperti berlawanan pula dua sifat itu? Jawab: Kerana ia sifat mengikut kepada penerima sifat itu. Jika orangnya baik, maka Allah ‎ﷻ akan bersikap lembut dengannya. Sedangkan bagi orang jahat, maka Allah ‎ﷻnakan bersifat keras dengannya.

Jika kita tidak faham makna nama-nama Allah ‎ﷻ maka ada kemungkinan kita gunakan nama Allah ‎ﷻ dalam doa yang tidak kena seperti dalam contoh yang diberikan di atas. Sebab itu seorang Arab Badwi seperti dalam riwayat di atas boleh tahu yang bacaan qari (orang yang hafal Al-Qur’an) pada ayat Al-Qur’an itu tersilap.

Walaupun dia sendiri tidak hafal Al-Qur’an akan tetapi dia faham bahawa sifat itu tidak kena pada ayat itu.

Ini kerana ayat itu tentang hukuman kepada orang yang mencuri, maka tidak patut kalau sifat Rahmah yang disebut. Apabila melibatkan hukuman, maka sifat kuasa Allah ‎ﷻ yang patut disebut. Kerana Allah ‎ﷻ berkuasa untuk mengenakan hukuman. Jika ayat itu tentang pengampunan Allah ‎ﷻ, barulah sesuai digunakan sifat-Nya yang pemaaf.

Dan sifat kebijaksanaan juga patut disebut dalam ayat yang menyebut tentang hukuman. Kerana Allah ‎ﷻ bijak dalam memilih hukum bagi manusia. Walaupun ada manusia jahil yang tidak setuju dengan hukuman hudud. Mereka rasa ia “barbaric” dan mereka kasihan kepada yang kena hukum. Ini tersilap dalam menilai dan menggunakan nafsu semata-mata. Mereka sibuk hendak fikirkan tentang penjenayah yang dihukum keras, tetapi bagaimana dengan mangsa? Mereka hendak sangat jaga kebajikan penjenayah sampai lupa kepada mangsa pula.

Contohnya pengedar dadah yang dibunuh dengan hukuman mati. Ada yang sibuk kasihan dengan keluarga pengedar dadah itu yang ditinggalkan. Mereka kata jika dia dibunuh nanti mungkin keluarganya tidak keruan. Kesiannya keluarga dia!

Akan tetapi tidakkah difikirkan apa kesan pengedar dadah itu kepada masyarakat? Selama ini berapa ramai keluarga yang porak peranda kerana dadah yang dia edarkan dan berapa banyak manusia dia sudah rosakkan? Hendak selamatkan nyawa dia seorang sampaikan beribu-ribu lagi keluarga menjadi rosak?

Maka jangan persoalkan hukuman yang Allah ‎ﷻ telah tentukan bagi manusia. Itu memang sudah hukuman yang terbaik untuk kita. Maka kena pertahankan dan kena jalankan hukuman Allah ‎ﷻ dalam masyarakat.

Bukan semuanya nama Allah ‎ﷻ lembut-lembut belaka. Ada sahaja nama Allah ‎ﷻ yang keras dan adalah realiti. Kena terima semuanya. Jangan jadi seperti golongan Kristian yang hendak nama Tuhan yang lembut dan pemaaf sahaja. Sedangkan Allah ‎ﷻ juga Dzat yang adil. Tidak patut Tuhan melepaskan orang jahat hanya kerana sifat pemaaf-Nya sahaja. Maka memang kena ada sifat yang keras. ]

Oleh sebab itu, sesungguhnya berdoa kepada Allah dengan nama-nama-Nya yang diperintahkan dalam firman-Nya, “Maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma’ul husna itu,” tidak akan terwujud, kecuali dengan memahami makna nama-nama tersebut. Kerana jika orang tersebut tidak memahami makna-maknanya, mungkin ketika dia berdoa menyebutkan nama Allah bukan pada tempatnya, seperti mengakhiri permintaan rahmat dengan nama yang berkaitan dengan azab atau sebaliknya. Hal ini akan merosak ucapan dan ketidaktepatan dalam pengungkapan.

Barangsiapa yang merenungkan doa-doa yang ada dalam Al-Qur’an dan sunnah Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam, maka dia akan mendapati bahawa tidaklah doa tersebut diakhiri, melainkan dengan nama-nama Allah yang terbaik dan masih memiliki keterkaitan dengan doa tersebut. Allah Ta’ala berfirman,

رَبَّنا تَقَبَّل مِنّا إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ
“Ya Rabb kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS. Al-Baqarah: 127)

رَبَّنا آمَنّا فَاغفِر لَنا وَارحَمنا وَأَنتَ خَيرُ الرّٰحِمينَ
“Ya Rabb kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling Baik.” (QS. Al-Mukminun:109)

رَبَّنَا افتَح بَينَنا وَبَينَ قَومِنا بِالحَقِّ وَأَنتَ خَيرُ الفاتِحينَ
“Ya Rabb kami, berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil) dan Engkaulah Pemberi keputusan yang sebaik-baiknya.” (QS. Al-A’raf: 89),

Demikianlah yang ada dalam setiap doa-doa yang tercantum dalam Al-Qur’an dan sunnah.

Sesungguhnya pengenalan seorang muslim terhadap sifat-sifat Allah yang tercakup dalam nama-nama-Nya yang baik, boleh menambahkan pengagungan, pemuliaan, dan semangat dalam memahami makna-maknanya yang mulia dan kandungannya yang agung serta menjauhkannya dari kesesatan orang-orang yang menyimpang, takwil orang-orang yang di atas kebatilan, dan dari prasangka orang-orang yang jahil.

[Apabila telah tahu maksud nama-nama Allah ‎ﷻ, maka dia tidak buat benda yang salah dan silap. Seseorang itu akan pandai menggunakan nama-nama Allah ‎ﷻ yang sesuai dalam doa. Dan bila sudah belajar, tidaklah seseorang itu meneka-neka maksud nama-nama Allah ‎ﷻ. ]

Dari sini boleh kita simpulkan pelajaran dan buah yang boleh dipetik dari penyifatan bagi nama-nama Allah, dalam poin-poin berikut ini:

1) Nama-nama tersebut menunjukkan akan sebaik-baiknya nama dan semulia-mulianya sifat. Allah Ta’ala adalah Dzat yang tersifati dengan kemuliaan, kesempurnaan, dan keindahan.

[Maka kita akan pandang Allah ‎ﷻ dengan segala sifat kebesaran]

2) Di dalam nama-nama Allah tersebut terkandung pengagungan, pemuliaan, pembesaran, dan penampakan akan keagungan, pujian, kesempurnaan, kemuliaan, dan kebesaran-Nya.

[Dalam kehidupan manusia pun, terdapat gelaran-gelaran yang digunakan dalam kalangan kita seperti Dato’, Dr., Abang, Sheikh dan sebagainya. Ini semua adalah gelaran penghormatan. Maka tambahan pula ia hendaklah digunakan dengan Allah ‎ﷻ. Memang Allah ‎ﷻ mahu kita agungkan Diri-Nya dengan gelaran-gelaran itu. ]

3) Setiap nama Allah menunjukkan akan sifat kesempurnaan bagiNya. Oleh kerana itulah, ia disebut dengan Al-Husna (yang paling baik), dan sifat-sifat-Nya semuanya adalah sifat kesempurnaan, kemuliaan, dan perbuatan-perbuatan-Nya penuh dengan hikmah, rahmat, kebaikan, dan keadilan.

[Semua nama Allah ‎ﷻ menunjukkan sifat Allah ‎ﷻ dan bukannya nama yang kosong. Jadi kita kenal sifat-Nya dengan nama-Nya. Dan segala sifat-sifat itu adalah sifat yang terbaik dan tertinggi. ]

4) Tidak ada satu nama pun yang mengandung kejelekan atau kekurangan. Kejelekan tidak boleh disandarkan kepada-Nya. Tidak ada satu pun kejelekan yang masuk dalam dzat, sifat, mahu pun perbuatan-Nya, maka tidak boleh disandarkan kepada-Nya, baik kepada perbuatan maupun sifat.

[Kita kena berhati-hati dalam hal ini. Takut-takut kita berkata sesuatu yang tidak sesuai dengan Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, salah satu nama Allah‎ ﷻ adalah al-Haya’ (Paling Pemalu). Sifat malu adalah baik dan kerana itulah ia adalah salah satu nama Allah ‎ﷻ. Tidak ada keburukan dalam sifat ini, kerana itulah Allah ‎ﷻ menggunakan sifat ini.

Maka kena pandang semuanya baik pada sifat ini. Malangnya ada yang mengatakan malu itu pun ada yang tidak baik. Mereka kata berdasarkan kepada perbincangan kitab hikmah, ada malu yang tidak baik (malu tidak bertempat, orang kata).

Ini adalah kata-kata yang bahaya kerana sifat malu itu semuanya baik. Ini seperti yang telah disebut dalam riwayat Muslim,

اَلْـحَيَاءُ خَيْرٌ كُلُّهُ.

“Malu itu kebaikan seluruhnya.”

Maka apabila ada berbunyi kata ada malu yang tidak baik, itu sudah berlawanan dengan wahyu. Contohnya ada kata jika malu hendak jadi imam sampai kena bertolak-tolak, maka ini sudah tidak baik. Atau ada orang yang malu untuk membuat kebaikan.

Kalau menggunakan logik akal kita sahaja, mungkin kita rasa: “Eh betul jugak ni….mana ada baiknya kalau malu nak jadi imam dan malu nak buat kebaikan?”

Namun ini sudah menolak hadith. Mari kita bincangkan sedikit. Bayangkan seseorang yang malu menjadi imam. Adakah ini buruk? Ya kita rasa ia buruk bagi dia tetapi jika dia menjadi imam juga, bagaimana? Entah dia tidak tahu menjadi imam dan menjadikan salat itu tidak sempurna….atau dia menjadi imam dan pandai baca Qur’an dan sebagainya, tetapi dia menjadi riak! Atau kemudian selepas itu, dia sibuk tertanya-tanya apa pendapat orang dengan perbuatannya tadi? Ingin tahu bagus ke tidak, pula. Maka sudah jadi tidak baik, bukan? Maka malu bagi dia sebenarnya adalah baik.

Ini mengajar kita supaya jangan mempersoalkan nama-nama Allah ‎ﷻ. Jangan kita kata ada dua sudut pula pada nama Allah‎ ﷻ. Jangan kata: sifat ini ada baik tetapi ada buruknya! Jangan memandai-mandai!

Bagaimana dengan kata-kata manusia: “Yang baik dari Allah, yang tidak baik dari saya sendiri….. “

Sebenarnya semua baik atau buruk itu daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang mengizinkan ia terjadi. Jika kita tahu yang Allah ‎ﷻ yang mengizinkan sesuatu musibah terjadi, maka senang kita hendak terima.

Cuma janganlah kita menyalahkan Allah ‎ﷻ pula. Jangan jadi seperti Iblis yang salahkan Allah ‎ﷻ (dia kata Allah ‎ﷻ yang sesatkan dia). Jadi kena pandai bezakan. Musibah yang terjadi adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ. Tetapi perbuatan dosa itu daripada kita. Jika membuat dosa, maka bertaubatlah sahaja. Jadilah seperti Nabi Adam عليه السلام yang setelah membuat salah, baginda bertaubat. Itu sahaja, janganlah salahkan Allah ‎ﷻ pula.

Kita kena terima musibah dengan baik dan cuba mencari apakah kebaikan di sebaliknya. Entah-entah ada kebaikan yang kita tidak nampak. Ada benda yang pada rupanya nampak negatif tapi padahal ia adalah positif. Seperti doktor yang memotong kaki orang yang sakit. Memanglah nampak tidak bagus, tetapi bila dipotong kaki itu, ia untuk menyelamatkan nyawa. Jika kita dapat fikir sebegini, maka hidup kita akan lebih senang dan kita lebih bersangka baik dengan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ lebih tahu apa yang layak, apa yang baik bagi kita. Kita kena belajar redha dengan apa sahaja qada’ dan qadar Allah ‎ﷻ terhadap kita. ]

5) Sesungguhnya Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk berdoa dengan nama-nama-Nya, dalam firman-Nya, “maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma’ul husna itu”.

Doa ini mencakup doa ibadah dan doa mas’alah (permintaan). Hal ini adalah semulia-mulianya ketaatan dan pendekatan kepada-Nya.

[Doa ibadah adalah doa-doa yang termasuk ibadah seperti dalam Fatihah semasa salat dan ibadah-ibadah lain. Doa mas’alah adalah apa-apa sahaja keperluan hidup kita.

Dengan menyeru Allah ‎ﷻ dengan cara begini, kita sebenarnya melakukan ibadah kerana doa kepada Allah ‎ﷻ adalah ibadah. Dan dengan doa menggunakan nama-nama Allah ‎ﷻ dapat mendekatkan diri dengan Allah‎ ﷻ. Ikut sahaja apa yang Allah ‎ﷻ suruh dan Allah ‎ﷻ suruh seru Dia dengan nama-Nya. ]

6) Sesungguhnya Allah menjanjikan syurga-Nya bagi orang yang mengamalkan Al-Asma’ Al-Husna secara hafalan, pemahaman, dan pengamalan yang sesuai dengan kandungannya. Ini merupakan berkah dari nama-nama Allah. Taufik ini hanya milik Allah.

[Nama Allah bukan hanya 99. Namun jika kita belajar 99 nama sahaja sekurang-kurangnya, dijanjikan syurga bagi kita.

Tetapi bukan setakat hafal sahaja seperti fahaman sesetengah orang. Akan tetapi kena difahami dan diamalkan seperti yang sepatutnya. Ini nanti kita akan belajar bagaimana caranya. ]

Sambung ke bab yang seterusnya

Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad syarahan kitab Fikih Asma’ul Husna

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s