Hashr Ayat 10: Ini pula ayat untuk kita semua selepas disebut tentang Muhajirin dan Ansar. Kita juga boleh mengikuti jejak langkah mereka walaupun kita tidak hidup zaman mereka.
Para sahabat daripada golongan Muhajireen dan Ansar itu mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah ﷻ. Boleh rujuk Tawbah:100
وَالَّذينَ جاءوا مِن بَعدِهِم يَقولونَ رَبَّنَا اغفِر لَنا وَلِإِخوانِنَا الَّذينَ سَبَقونا بِالإيمانِ وَلا تَجعَل في قُلوبِنا غِلًّا لِلَّذينَ آمَنوا رَبَّنا إِنَّكَ رَءوفٌ رَحيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [there is a share for] those who came after them, saying, “Our Lord, forgive us and our brothers who preceded us in faith and put not in our hearts [any] resentment toward those who have believed. Our Lord, indeed You are Kind and Merciful.”
(MELAYU)
Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”.
وَالَّذينَ جاءوا مِن بَعدِهِم
Dan orang-orang yang datang sesudah mereka
Iaitu golongan yang mengikut jejak langkah golongan Muhajireen dan Ansar itu dalam menegakkan agama. Ini termasuklah kita juga jikalau kita pun bersifat seperti mereka. Sekiranya kita pun ada usaha dalam menegakkan agama Allah ﷻ ini dengan berdakwah dan mengamalkannya, maka kita pun termasuk juga, aameen.
Jika ayat ini dibaca daripada ayat-ayat pembahagian harta Fai sebelum ini, maka golongan yang datang selepas Muhajireen dan Ansar juga boleh mendapat harta Fai itu. Maka ada tiga golongan yang boleh mendapat harta fai:
1. Muhajireen
2. Ansar
3. Golongan Muslimin lain yang mengikut jejak langkah mereka
Akan tetapi bagaimanakah cara pembahagiannya? Kita telah belajar yang harta Ghanimah adalah harta yang didapati setelah ada peperangan dan harta Fai itu didapati tanpa peperangan. Lalu bagaimana dengan tanah dan bangunan negara yang ditawan dalam peperangan?
Ada sahabat yang mengatakan kalau tanah tempat musuh telah didapati daripada peperangan, maka ia hendaklah dibahagikan mengikut harta Ghanimah (dibahagikan kepada 5 bahagian dan 4/5 daripada bahagian itu diberikan kepada para tentera).
Akan tetapi ini tidak dilakukan oleh Saidina Umar رضي الله عنه setelah kerajaan Islam menakluk Iraq, Syria and Mesir pada zaman pemerintahannya. Beliau telah meletakkan tanah dan hartanah negara-negara itu dalam tangan Baitulmal untuk digunakan untuk kepentingan negara Islam dan rakyatnya secara umum.
Amalan ini ada sunnahnya dalam perbuatan Rasulullah ﷺ. Kita tahu bagaimana dalam peperangan Khaibar, umat Islam telah menang. Namun baginda tidak membahagikan harta dan tanah Khaibar mengikut 5 bahagian tetapi dibahagikan kepada 2 bahagian: satu bahagian diberikan kepada negara Islam dan separuh lagi diberikan kepada para tentera.
Apabila umat Islam menakluk Mekah, baginda tidak juga membahagikan tanah Mekah itu kepada 5 bahagian. Sebaliknya baginda telah memulangkan kembali tanah Mekah itu kepada penduduknya.
Maka ini menjadi hujjah bagi khalifah untuk menggunakan kebijaksanaannya untuk membahagikan tanah yang didapati daripada peperangan mengikut keperluan semasa. Terpulang kepada khalifah Islamiyyah untuk membahagikannya dan rakyat dan tentera kena ikut.
Kerana itulah Saidina Umar رضي الله عنه tidak membahagikan tanah Iraq, Syria and Mesir kepada para pejuang tetapi diletakkan di bawah jagaan BaitulMal. Ini kerana kalau diberikan kepada para tentera, itu akan mencipta satu golongan yang terlalu kaya. Kemudian keturunan mereka akan dapat kekayaan itu dan ia akan berterusan dan akan menyebabkan negara Islam akan rosak kerana ada kasta yang tinggi dan rendah.
Memang ada yang tidak berpuas hati dengan pendapat Umar رضي الله عنه itu dan akhirnya beliau telah mengadakan syura dalam kalangan para sahabat yang masih ada. Perbincangan itu berlangsung selama dua tiga hari, hinggalah Saidina Umar رضي الله عنه membacakan ayat-ayat dalam Surah Hashr ini sebagai dalil. Iaitu jikalau ia dibahagikan kepada para tentera, maka ia akan menyebabkan kekayaan tersimpan di tangan beberapa golongan sahaja. Maka selepas itu semuanya bersetuju dan taat kepada pendapat Umar رضي الله عنه.
Baik, kembali kepada golongan umat Islam sepanjang zaman selepas golongan Muhajireen dan Ansar. Apakah sifat mereka yang memasukkan mereka dalam pujian Allah ﷻ?
يَقولونَ رَبَّنَا اغفِر لَنا
mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami
Alamat mereka yang mengikut golongan terdahulu itu akan berdoa begini. Mereka meminta ampun kepada Allah ﷻ kerana mereka takut bertemu Allah ﷻ dengan bawa dosa mereka.
Maka doa ini amat molek kalau kita hafal dan doa kerana ayat ini adalah ayat doa. Dan doa terbaik adalah kalau diambil daripada Al-Qur’an sendiri.
وَلِإِخوانِنَا الَّذينَ سَبَقونا بِالإيمانِ
dan beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu daripada kami,
Mereka juga meminta ampun bagi pihak golongan terdahulu. Dan yang dimaksudkan adalah golongan Muhajireen dan Ansar. Ini menunjukkan mereka sayang kepada golongan yang beriman. Mereka mendoakan golongan yang beriman sahaja kerana ada golongan sebelum kita yang tidak beriman.
Ini mengajar kita untuk meminta ampun bagi pihak orang yang kita kasihi. Maknanya kalau kita minta ampun untuk mereka, itu sebagai tanda kita kasih kepada mereka.
Ayat ini sebagai dalil kita boleh meminta ampun bagi pihak orang yang telah mati, asalkan mereka tidak musyrik. Oleh itu bila mahu menolong orang yang telah mati, maka minta ampun untuk mereka, bukannya sedekah pahala kerana sedekah pahala seperti majlis tahlil itu tidak ada dalilnya.
وَلا تَجعَل في قُلوبِنا غِلًّا لِلَّذينَ آمَنوا
dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman
Ghil bermaksud iri hati. Iaitu perasaan tidak senang kepada orang lain. Contohnya terdetik dalam hatinya: “Kenapa dia dapat dan aku tak dapat?” Perasaan ini berada di bawah hasad, kerana kalau hasad itu lebih teruk kerana dia mahu supaya apa yang orang lain itu ada ditarik darinya. Akan tetapi sekiranya ghil ini tidak dihapuskan dari hati, lama-kelamaan ia boleh berubah menjadi hasad.
Maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya tiada perasaan ini terutama kepada orang beriman. Kerana ghil ini membawa kepada bahaya. Sakit hati menyebabkan kita tidak berlaku adil, menyebabkan kita benci kepada orang lain sedangkan mereka baik, dan banyak lagi bahayanya.
Ayat ini mengajar kita untuk sayangkan orang-orang Islam sebelum kita. Kita diajar untuk meminta ampun bagi pihak mereka. Maka bukanlah kita mencari-cari salah mereka, sebaliknya kita disuruh menyayangi mereka. Kenalah memandang manusia lain dengan pandangan rahmah, kasih sayang sesama manusia.
Maka bukan sahaja kita menyayangi orang yang telah meninggal dunia, tetapi dalam kalangan kita juga. Kerana itu ada hadith dalam Riwayat Nasa’i di mana Rasulullah ﷺ memberitahu akan datang seorang lelaki ahli syurga. Dan yang datang itu adalah seorang lelaki daripada Ansar. Tiga hari perkara ini berlaku. Sampaikan Abdullah bin Amr al As رضي الله عنه teringin hendak melihat apakah amalan lelaki itu. Abdullah رضي الله عنه minta untuk tinggal sementara di rumah lelaki itu.
Namun Abdullah رضي الله عنه melihat amalan lelaki itu tidaklah banyak. Maka dia bertanya dan lelaki itu kata dia tidak ada rasa dengki atau sakit hati terhadap sesama Muslim. Setiap malam sebelum tidur dia akan memaafkan orang yang ada salah dengannya.
Ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad رحمه الله:
Sahabat Anas ibn Malik رضي الله عنه menceritakan:
كُنَّا جُلُوسًا مَعَ رَسُولِ اللهِ ﷺ فَقَالَ: يَطْلُعُ عَلَيْكُمُ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ. فَطَلَعَ رَجُلٌ مِنَ الْأَنْصَارِ تَنْطِفُ لِحْيَتُهُ مِنْ وُضُوئِهِ قَدْ تَعَلَّقَ نَعْلَيْهِ فِي يَدِهِ الشِّمَالِ، فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ قَالَ النَّبِيُّ ﷺ مِثْلَ ذَلِكَ، فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ مِثْلَ الْمَرَّةِ الْأُولَى. فَلَمَّا كَانَ الْيَوْمُ الثَّالِثُ، قَالَ النَّبِيُّ ﷺ مِثْلَ مَقَالَتِهِ أَيْضًا، فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ عَلَى مِثْلِ حَالِهِ الْأُولَى
Ketika kami duduk bersama Rasulullah ﷺ, baginda bersabda: “Akan datang kepada kalian sekarang seorang calon penghuni syurga.” Tiba-tiba datang seorang Ansar yang air bekas wudhu’nya menitis daripada janggutnya. Beliau mengikatkan sandalnya pada lengan kirinya. Keesokan harinya Nabi ﷺ bersabda seperti itu lagi. Tiba-tiba datang lelaki yang sama dengan sebelumnya. Hari ketiga Nabi ﷺ bersabda seperti itu lagi dan datang lelaki itu lagi dalam keadaan seperti ketika hari pertama.
قَالَ أَنَسٌ: وَكَانَ عَبْدُ اللهِ يُحَدِّثُ أَنَّهُ بَاتَ مَعَهُ تِلْكَ اللَّيَالِي الثَّلَاثَ، فَلَمْ يَرَهُ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ شَيْئًا، غَيْرَ أَنَّهُ إِذَا تَعَارَّ وَتَقَلَّبَ عَلَى فِرَاشِهِ ذَكَرَ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَكَبَّرَ حَتَّى يَقُومَ لِصَلَاةِ الْفَجْرِ.
Anas berkata: ‘Abdullah (ibn ‘Amr) menceritakan bahwasanya beliau bermalam di rumah lelaki itu pada tiga malam tersebut. Beliau tidak melihat orang itu solat malam walau sebentarpun. Tetapi setiap kali beliau terbangun malam dan beralih posisi di atas tilamnya beliau berzikir kepada Allah عَزَّ وَجَلَّ dan bertakbir sampai bangun untuk solat subuh.
قَالَ عَبْدُ اللهِ: غَيْرَ أَنِّي لَمْ أَسْمَعْهُ يَقُولُ إِلَّا خَيْرًا، فَلَمَّا مَضَتِ الثَّلَاثُ لَيَالٍ وَكِدْتُ أَنْ أَحْقِرَ عَمَلَهُ، قُلْتُ: … سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُولُ لَكَ ثَلَاثَ مِرَارٍ: يَطْلُعُ عَلَيْكُمُ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَطَلَعْتَ أَنْتَ الثَّلَاثَ مِرَارٍ، فَأَرَدْتُ أَنْ آوِيَ إِلَيْكَ لِأَنْظُرَ مَا عَمَلُكَ فَأَقْتَدِيَ بِهِ فَلَمْ أَرَكَ تَعْمَلُ كَثِيرَ عَمَلٍ، فَمَا الَّذِي بَلَغَ بِكَ مَا قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ فَقَالَ: مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ.
‘Abdullah (ibn ‘Amr) berkata: “Tetapi aku tidak pernah mendengarnya berkata melainkan yang baik.” Setelah tiga hari dan aku hampir saja menganggap remeh amalnya aku berkata: …”Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda tentang kamu tiga kali: ‘Akan datang kepada kalian sekarang seorang calon penghuni syurga’. Lalu ternyata anda yang datang pada ketiga harinya. Aku bertamu di rumah anda bermaksud melihat amal anda agar boleh aku teladani. Tetapi aku tidak melihat anda banyak beramal. Lalu apa yang istimewanya sehingga Rasulullah ﷺ memuji anda?” Beliau menjawab: “Tidak ada selain yang anda lihat.”
قَالَ: فَلَمَّا وَلَّيْتُ دَعَانِي، فَقَالَ: مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ، غَيْرَ أَنِّي لَا أَجِدُ فِي نَفْسِي لِأَحَدٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ غِشًّا وَلَا أَحْسُدُ أَحَدًا عَلَى خَيْرٍ أَعْطَاهُ اللهُ إِيَّاهُ. فَقَالَ عَبْدُ اللهِ هَذِهِ الَّتِي بَلَغَتْ بِكَ وَهِيَ الَّتِي لَا نُطِيقُ
Setelah aku (Ibn ‘Amr) keluar, beliau memanggilku: “Tidak ada selain yang anda lihat. Kecuali mungkin aku tidak merasakan dalam diriku kotor hati kepada seorang muslim pun dan aku tidak pernah hasad kepada seorang pun yang Allah berikan kebaikan kepadanya.” ‘Abdullah berkata: “Inilah keistimewaan yang anda miliki dan kami tidak mampu.”
(Musnad Ahmad bab musnad Anas ibn Malik no. 12236. Syu’abul-Iman al-Baihaqi bab al-iqtishad fin-nafaqah no. 6181. Al-‘Iraqi menilai hadith ini sahih dalam al-Mughni ‘an Hamlil-Asfar no. 3168. Demikian juga Al-Albani menilai hadith ini sahih dalam Muqaddimah as-Silsilah ad-Dla’ifah).
Maka bagaimana dengan puak Syiah yang menghina bukan sahaja orang Islam tetapi para sahabat baginda yang mulia. Mereka kata hanya beberapa sahabat sahaja yang terus beriman selepas kewafatan Nabi ﷺ; selebihnya murtad belaka. Yang hairannya, masih ada lagi orang yang termakan dengan diayah dan penipuan mereka. Ini adalah kerana kejahilan, sampaikan senang tertipu dengan Syiah yang memang pandai menipu.
Oleh itu, kena jaga hati kita. Memang perasaan ghil ini akan dihilangkan di syurga nanti seperti disebut dalam A’raf: 43. Akan tetapi kalau kita dapat hilangkan semasa di dunia lagi, maka ini lebih baik.
وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِن غِلٍّ
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka
رَبَّنا إِنَّكَ رَءوفٌ رَحيمٌ
Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”.
Allah ﷻ Maha Penyantun kepada hamba-Nya dan bersifat Raheem. Maka kita memuji Allah ﷻ dengan menyebut dua sifat ini supaya memakbulkan doa kita. Begitulah cara tawasul dengan nama-nama Allah .
Sekian Ruku’ 1 daripada 3 ruku’ dalam surah ini.
Hashr Ayat 11: Ayat 11 – 17 adalah Perenggan Makro Ketiga di mana Allah ﷻ suruh putuskan hubungan dengan Kaum Yahudi.
Ayat ini tentang orang munafiq. Salah satu sifat buruk mereka adalah berbaik dengan golongan Yahudi. Mereka mahukan kelebihan daripada puak Yahudi yang kaya dan berpengaruh itu sampaikan mereka berjanji mahu membantu puak Yahudi jikalau ada pertembungan dengan puak Muslim.
۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ نافَقوا يَقولونَ لِإِخوٰنِهِمُ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ لَئِن أُخرِجتُم لَنَخرُجَنَّ مَعَكُم وَلا نُطيعُ فيكُم أَحَدًا أَبَدًا وَإِن قوتِلتُم لَنَنصُرَنَّكُم وَاللهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Have you not considered those who practice hypocrisy, saying to their brothers [i.e., associates] who have disbelieved among the People of the Scripture, “If you are expelled, we will surely leave with you, and we will not obey, in regard to you, anyone – ever; and if you are fought, we will surely aid you.” But Allāh testifies that they are liars.
(MELAYU)
Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang munafik yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab: “Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersamamu; dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapapun untuk (menyusahkan) kamu, dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu”. Dan Allah bersaksi bahawa sesungguhnya mereka benar-benar pendusta.
أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ نافَقوا
Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang munafik
Orang munafik pada zaman Nabi ﷺ adalah mereka yang hanya tunjuk beriman di luar sahaja tetapi sebenarnya mereka tidak percaya kepada Islam. Tubuh mereka bersama dengan orang mukmin namun hati mereka condong kepada golongan Yahudi, iaitu musuh Islam waktu itu di Madinah.
يَقولونَ لِإِخوٰنِهِمُ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ
mereka berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab:
Puak Munafik itu bersekongkol dengan golongan Yahudi sampaikan mereka ada perjumpaan rahsia dengan puak Yahudi. Daripada konteks ayat ini, ulama’ tafsir mengatakan mesej mereka kepada Yahudi Bani Nadhir itu mereka sampaikan setelah Rasulullah ﷺ mengeluarkan arahan kepada Bani Nadhir untuk meninggalkan Madinah dalam masa 10 hari.
Ketua puak munafik iaitu Abdullah bin Ubay telah memberikan mesej rahsia seperti yang disebut dalam ayat ini kepada Bani Nadhir. Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini sebagai komen terhadap mesej mereka itu.
Allah ﷻ kata ‘saudara-saudara’ mereka kerana mereka itu sefahaman di dalam hendak menjatuhkan Islam.
لَئِن أُخرِجتُم لَنَخرُجَنَّ مَعَكُم
“Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersamamu;
Mereka itu sanggup berjanji kepada golongan Yahudi, yang kalau puak Yahudi itu dihalau keluar dari Madinah, maka mereka pun akan keluar juga untuk menjadi teman mereka. Ini kerana mereka kata mereka bersama-sama saling tolong-menolong. Kononnya kalau susah, biar sama-sama susah. Ini adalah dakwaan kosong sahaja sebenarnya.
وَلا نُطيعُ فيكُم أَحَدًا أَبَدًا
dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapapun untuk (menyusahkan) kamu,
Puak Munafik itu juga berjanji yang mereka tidak akan mengikut arahan untuk menyerang puak Yahudi itu. Mereka kata kalau Rasulullah ﷺ suruh serang puak Yahudi, mereka tidak akan taat untuk serang.
Atau ia bermaksud, mereka tidak akan taat kepada sesiapa yang menghalang mereka untuk keluar sekali bersama golongan Yahudi itu (sekiranya mereka dihalau).
وَإِن قوتِلتُم لَنَنصُرَنَّكُم
dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu”.
Malah, puak munafik itu berjanji yang kalau golongan Yahudi itu dierang oleh puak Muslim, mereka akan datang untuk mempertahankan puak Yahudi itu. Begitulah hebat janji puak Munafik itu kepada puak Yahudi. Puak Munafik cakap begitu kerana hendak berbaik sahaja dengan golongan Yahudi.
وَاللهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ
Dan Allah bersaksi bahawa sesungguhnya mereka benar-benar pendusta.
Namun Allah ﷻ yang tahu apakah dalam hati mereka sekarang memberitahu yang golongan Munafik itu tidak akan berperang untuk mempertahankan golongan Yahudi itu. Ini adalah kerana mereka tidak suka untuk berperang. Maka ini adalah kebenaran kerana Allah ﷻ sendiri yang bersaksi.
Hashr Ayat 12:
لَئِن أُخرِجوا لا يَخرُجونَ مَعَهُم وَلَئِن قوتِلوا لا يَنصُرونَهُم وَلَئِن نَّصَروهُم لَيُوَلُّنَّ الأَدبٰرَ ثُمَّ لا يُنصَرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
If they are expelled, they will not leave with them, and if they are fought, they will not aid them. And [even] if they should aid them, they will surely turn their backs; then [thereafter] they will not be aided.
(MELAYU)
Sesungguhnya jika mereka diusir, orang-orang munafik itu tidak akan keluar bersama mereka, dan sesungguhnya jika mereka diperangi, nescaya mereka tidak akan menolongnya; sesungguhnya jika mereka menolongnya, nescaya mereka akan berpaling lari ke belakang; kemudian mereka tidak akan mendapat pertolongan.
لَئِن أُخرِجوا لا يَخرُجونَ مَعَهُم
Sesungguhnya jika mereka diusir, orang-orang munafik itu tidak akan keluar bersama mereka,
Golongan Munafik itu menipu sahaja dalam kata-kata mereka. Kalaulah golongan Yahudi itu dihalau, mereka takkan ikut keluar sekali pun. Mereka tidak akan tinggalkan tanahair mereka.
وَلَئِن قوتِلوا لا يَنصُرونَهُم
dan sesungguhnya jika mereka diperangi, nescaya mereka tidak akan menolongnya;
Dan kalaulah puak Yahudi itu diperangi, golongan munafik itu tidak akan membantu pun.
وَلَئِن نَّصَروهُم لَيُوَلُّنَّ الأَدبٰرَ ثُمَّ لا يُنصَرونَ
sesungguhnya jika mereka menolongnya, nescaya mereka akan berpaling lari ke belakang; kemudian mereka tidak akan mendapat pertolongan.
Dan kalaulah nampak macam mereka hendak membantu, mereka bukan hendak bantu sangat pun. Mereka mungkin akan mengumpul anggota untuk bantu golongan Yahudi itu, tetapi ia seumpama datang ambil nama sahaja. Kemudian mereka akan lari.
Mereka semua tidak akan mendapat pertolongan daripada sesiapa pun kerana Allah ﷻ sudah buat keputusan untuk mengalahkan mereka.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 15 Julai 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
