Tafsir Surah Ankabut Ayat 59 – 63 (Musyrikin Mekah kenal Allah)

Ayat 59: Siapakah yang akan dimasukkan ke dalam syurga itu?

الَّذينَ صَبَروا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who have been patient and upon their Lord rely.

(MELAYU)

(yaitu) yang bersabar dan bertawakkal kepada Tuhannya.

 

الَّذينَ صَبَروا

(iaitu) mereka yang bersabar

Yang ada peluang untuk masuk ke dalam syurga adalah mereka yang bersabar. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada mereka, mereka sabar dan berserah kepada Allah. Sabar itu maksudnya mereka redha dengan apa yang Allah telah tentukan kepada mereka.

Mereka terima ketentuan Allah kerana mereka sedar yang mereka hanya hamba sahaja dan Allah boleh buat apa-apa sahaja kepada mereka. Oleh itu mereka bersabar dalam mempertahankan agama, berhijrah kepada Allah serta memisahkan diri dari musuh-musuh Allah, rela berpisah dengan keluarga dan kaum kerabat demi kerana Allah dan mengharapkan pahala yang ada di sisi-Nya serta percaya kepada apa yang dijanjikan oleh-Nya.

Mereka yang sabar menerima dugaan dalam menegakkan agama Allah akan diberikan balasan yang amat besar. Ini adalah kerana sabar itu bukan senang. Ada yang menentang dakwah tauhid dan penentangan itu kadangkala amat pedih. Tapi orang yang kuat imannya, tetap terus berada dalam agama tauhid ini dan terus menyampaikannya kepada manusia lain kerana ada sabar dalam dirinya.

 

وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

dan bertawakkal kepada Tuhannya.

Mereka berserah kepada Allah setelah melakukan ketaatan kepada Allah. Inilah maksud tawakal. Maknanya kena taat kepada suruhan Allah dan tinggalkan yang Allah larang, kemudian apa yang terjadi, terima sahaja. Maka mereka kena berserah dan tawakal kepada Allah dalam hal agama dan juga hal keduniaan.

Mereka tidak meletakkan pengharapan mereka kepada keluarga mereka, harta mereka, kaum mereka, perniagaan mereka dan lain-lain lagi tapi tawakal mereka adalah kepada Allah sahaja. Kerana mereka tahu yang keluarga, harta, kaum dan perniagaan mereka tidak ada kuasa, tapi Allahlah yang berkuasa penuh.

Untuk tawakal, kenalah ada usaha dulu. Janganlah sampai tidak kerja, dan bila ditanya macam mana nak makan, ada yang jawab: “kami tawakal kepada Allah sahaja”. Ini adalah fahaman yang bodoh dan salah dan bukanlah fahaman yang benar. Kita kena usaha dan selepas usaha, barulah serah kepada Allah. Kerana hasil sesuatu perkara itu dalam kehendak Allah.

Kita hanya boleh usaha sahaja. Dan Allah nak tengok dulu usaha kita. Kerana itu Allah suruh Nabi dan para sahabat berperang menentang musuh, walaupun Allah boleh sahaja nak kalahkan musuh baginda terus. Tapi Allah nak lihat usaha manusia.


 

Ayat 60: Sebelum ini telah disebut tentang hijrah dan apabila hendak berhijrah maka tentulah yang hendak berhijrah itu akan memikirkan bagaimana hendak makan dan minum sedangkan tempat tinggal sekarang, semua itu sudah ada.

Maka Allah cerita tentang rezeki. Allah akan beri rezeki lebih-lebih lagi kepada mereka yang hijrah kerana agama.

وَكَأَيِّن مِّن دابَّةٍ لّا تَحمِلُ رِزقَهَا اللهُ يَرزُقُها وَإِيّاكُم ۚ وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a creature carries not its [own] provision. Allāh provides for it and for you. And He is the Hearing, the Knowing.

(MELAYU)

Dan berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

وَكَأَيِّن مِّن دابَّةٍ لّا تَحمِلُ رِزقَهَا

Dan berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya sendiri.

Binatang tidaklah membawa rezekinya di atas tubuhnya, bukan? Binatang pun kena keluar cari rezeki juga. Jadi tentu semasa berhijrah ke tempat yang lebih baik, seorang muhaajir (orang yang berhijrah) itu tidak dapat nak bawa segala harta dia, bukan?

Yakinlah kepada rezeki dari Allah sebagaimana binatang. Binatang itu keluar mencari makanan di pagi hari dan Allahlah yang akan memberikan rezeki itu kepadanya. Apabila binatang itu pulang, perutnya sudah penuh dan kenyang. Allah Swt. telah berfirman:

{وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأرْضِ إِلا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ}

Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Manfuz). (Hud: 6)

 

اللهُ يَرزُقُها وَإِيّاكُم

Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu 

Siapa yang beri makanan kepada binatang itu? Tentulah Allah. Semua rezeki ditentukan oleh Allah dan kita tidak tahu bila dan bagaimana rezeki itu akan masuk ke dalam perut kita.

Tiada selain Allah yang memberikan rezeki itu, hanya Allah sahaja. Maka hanya minta rezeki kepada Allah sahaja. Doa kepada Allahlah sahaja. Tak perlu minta kepada roh Nabi, wali dan malaikat kerana mereka tidak dapat beri rezeki kepada makhluk. Mereka pun mengharapkan rezeki dari Allah.

Ada para sahabat di Mekah yang kena boikot oleh orang kafir kerana mereka telah masuk Islam, maka Allah hendak mengingatkan mereka bahawa rezeki itu Allah yang bagi. Maka janganlah takut.

Memang ‘boikot ekonomi’ adalah salah satu daripada dugaan yang dikenakan kepada orang Islam kerana para penentang menggunakan berbagai-bagai cara untuk menzalimi para sahabat. Antaranya mereka akan gunakan bab harta dan pendapatan.

Sampai sekarang perkara ini masih juga dilakukan oleh mereka yang jahat terhadap orang-orang Islam. Maka ada yang takut masuk Islam kerana mereka takut perniagaan mereka akan terganggu, ibubapa sudah beri bantuan kewangan lagi dan sebagainya. Maka Allah nak beritahu, jangan takut masuk Islam.

Yakin dengan Allah kerana bukan manusia yang beri rezeki, tapi Allah. Kalau ada yang boikot, kacau perniagaan, buang kerja dan sebagainya untuk halang masuk Islam, jangan takut. Allah tetap akan beri rezeki kepada mereka. Pada peringkat awal kena bersabar.

 

وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ

dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah maha mendengar rintihan hati manusia yang memerlukan pertolongan. Maka berdoalah kepadaNya.

Allah juga maha tahu bagaimana nak berikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Allah akan beri perkara yang diperlukan. Maka jangan takut dan segan berdoa kepada Allah. Tak perlu ajar Allah apa nak buat dengan kita, kerana Allah tahu. Mengadu sahaja kepada Allah dan Allah akan berikan jalan penyelesaian yang terbaik.


 

Ayat 61: Ayat 61 – 65 adalah Perenggan Makro 7a. Ia mengingatkan kita yang Allah itu Pencipta, ilah dan hakim.

Ayat 61 ini adalah dalil aqli iktirafi. Ada fahaman Musyrikin Mekah itu yang benar dan diiktiraf oleh Allah dalam ayat ini. Musyrikin Mekah itu memang kuat menentang Nabi Muhammad dan para sahabat akan tetapi ada fahaman mereka yang sama dengan fahaman Islam.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ لَيَقولُنَّ اللهُ ۖ فَأَنّىٰ يُؤفَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you asked them, “Who created the heavens and earth and subjected the sun and the moon?” they would surely say, “Allāh.” Then how are they deluded?

(MELAYU)

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar).

 

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menjadikan langit dan bumi

Soalan itu boleh ditanya kepada Musyrikin Mekah dan juga orang kafir sekarang pun. Siapa yang maha berkuasa untuk mencipta langit dan bumi yang amat luas ini?

 

وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ

dan menundukkan matahari dan bulan?” 

Tanya lagi kepada mereka: Bulan, matahari dan segala planet di Bima Sakti dan mana-mana galaksi, siapakah yang berkuasa untuk menundukkan dan menguruskan?

 

لَيَقولُنَّ اللهُ

Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, 

Bila ditanya soalan di atas, maka Musyrikin Mekah akan jawab: “Allah”. Mereka akan jawab tanpa belah bahagi lagi. Kerana mereka memang kenal Allah itu.

Ramai dari kalangan masyarakat kita yang hairan dan terkejut dengan perkara ini. Kebanyakan dari masyarakat Islam kita sangka Musyrikin Mekah itu mestilah tak kenal Allah, lawan Allah, benci kepada Allah, bukan? Padahal sebenarnya mereka itu kenal Allah, bukan tak kenal. Malah, Musyrikin Mekah pun menyembah Allah juga. Tapi kerana jauh dari ilmu agama, maka jawapan sebegini memang mengejutkan mereka.

Pengalaman saya apabila beritahu kepada ramai orang yang Musyrikin Mekah itu kenal Allah, sembah Allah dan juga berdoa kepada Allah, ramai yang terkejut. Tidak hairan sangat kerana memang ramai yang jahil agama. Semasa mereka terpinga-pinga saya akan tanya mereka: “apa nama bapa Nabi Muhammad?”. Sudah tentu mereka akan jawab: ‘Abdullah’. Maka saya akan tanya balik: “bukan Abdullah itu maksudnya ‘hamba Allah’?” Barulah mereka mula terima.

Macam Musyrikin Mekah mereka memang terima yang Allahlah yang menjadikan alam ini dan menguasaiNya. Ini tidak pernah menjadi masalah bagi mereka. Mereka memang kenal Allah. Masalahnya mereka ‘tambah’ sembah dan doa kepada selain Allah juga. Mereka sembah Allah tapi dalam masa yang sama mereka sembah juga entiti selain Allah; mereka doa kepada Allah tapi dalam yang sama, mereka berdoa kepada selain Allah juga.

Sebenarnya sama sahaja akidah Musyrikin Mekah dan sesetengah orang Islam yang jahil wahyu. Orang kita pun ada yang sembah selain Allah; ada juga berdoa kepada selain Allah. Dan kalau Musyrikin Mekah buat begitu, kita panggil mereka ‘Musyrikin’ Mekah. Kalau orang Malaysia yang buat, kita nak panggil apa? ‘Musyrikin’ Malaysia?

Musyrikin Mekah tahu yang Allah lah satu-satunya Tuhan. Yang mereka sembah selain Allah itu adalah ‘ilah-ilah’ sahaja (atau tuhan-tuhan ‘mini’ sahaja bagi mereka). Mereka tidak samakan kedudukan ilah-ilah itu setaraf dengan Allah.

Dan kalau soalan ini ditanya kepada orang kafir yang lain, mereka ada yang jawab: “yang menjadikan alam ini adalah ‘Tuhan yang satu’.” Mereka mungkin tidak tahu nama ‘Allah’, tapi iktikad mereka, memang ada satu entiti yang menjadikan alam ini. Cuma namaNya mereka tidak tahu. Jadi mereka hanya kata: ‘Tuhan yang satu’.

Sekarang Allah berhujah dengan mereka, apabila sudah percaya kepada satu Tuhan, maka kesan yang kena ikut adalah menegakkan keadilan kerana agama bukan hendak manusia percaya kepada satu tuhan sahaja, tetapi kena ikut apakah arahanNya dan salah satu darinya adalah menegakkan keadilan.

Keadilan adalah kesan yang pertama yang kita sepatutnya dapat setelah kita belajar agama. Tapi malangnya, mereka seperti terima Allah itu Tuhan di alam ini dan mengurus alam ini tetapi anehnya mereka seperti rasa Allah tidak layak untuk mengurus kehidupan mereka. Mereka rasa Allah tak layak buat keputusan dan hukum yang mereka kena ikut.

Kerana itu mereka rasa yang mereka boleh buat sesuka hati mereka sahaja. Sepatutnya apabila sudah anggap Allah sebagai Tuhan yang Mencipta, kenalah terima Allah sebagai berkuasa penuh. Maka kenalah tahu apa yang Dia hendak kita lakukan dan kenalah kita taat.

 

فَأَنّىٰ يُؤفَكونَ

maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar).

Allah ejek mereka dalam ayat ini: walaupun sudah kenal Allah, tapi masih boleh kena tipu? Walaupun segala hujah diberikan dengan hebat, tapi masih tidak mahu terima? Walaupun ada Rasulullah di kalangan mereka, masih lagi menolak baginda?

Bukan mereka sahaja kena perli. Kalau masyarakat kita macam Musyrikin Mekah itu pun, termasuk dalam ejekan Allah ini. Sudah banyak sekali dalil-dalil diberikan dari Al-Qur’an dan hadis, tapi macam mana lagi boleh terpesong? Tak guna akalkah?


 

Ayat 62: Ini adalah Dalil Aqli di mana Allah terus memperkenalkan DiriNya supaya kita semakin kenal Allah. Ini adalah tentang ujian rezeki. Manusia ramai yang terkesan dan gagal dengan ujian rezeki. Ramai yang takut nak amalkan agama dengan benar kerana takut tak makan, takut hidup susah. Maka Allah nak ingatkan kita tentang rezeki.

اللهُ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ وَيَقدِرُ لَهُ ۚ إِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh extends provision for whom He wills of His servants and restricts for him. Indeed Allāh is, of all things, Knowing.

(MELAYU)

Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia (pula) yang menyempitkan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

اللهُ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ

Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya

Rezeki di tangan Allah. Allah boleh beri rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah boleh beri dengan banyak sekali sampai tidak boleh nak kira berapa banyak duit dia. Kalau mahu rezeki yang banyak, maka kena minta dengan Allah.

Maka jangan risau tentang rezeki. Bukan manusia yang berikan rezeki, tapi Allah. Maka kena taat kepada Allah sahaja. Jangan takut dengan manusia. Jangan takut rezeki kita dihalang kalau kita tak ikut cakap manusia. Kerana bukan manusia berikan rezeki.

 

وَيَقدِرُ لَهُ

dan Dia (juga) yang menyempitkan baginya. 

Allahlah yang mengembangkan rezeki manusia dan Dia juga yang boleh sempitkan. Kedua-duanya dalam tangan Allah. Allah yang buat keputusan. Ada orang yang Allah berikan rezeki yang banyak dan kemudian Allah tarik balik sampai jadi muflis.

Penduduk Mekah itu ekonominya daripada penjagaan Kaabah dan berhala-berhala itu. Mereka tidak ada sumber pendapatan lain lagi yang besar. Apabila ramai penduduk Tanah Arab meletak berhala mereka di Kaabah dan mereka datang melawatnya maka ia membuka peluang perniagaan yang besar kepada mereka kerana sentiasa ada sahaja orang yang datang. Perniagaan mereka berkembang maju dengan adanya Kaabah itu.

Oleh itu apabila Nabi Muhammad mengatakan mereka kena memusnahkan berhala itu maka tentulah mereka tidak suka kerana mereka lihat yang ianya akan mengganggu pendapatan mereka. Siapa lagi nak datang ke Mekah kalau tidak ada berhala lagi di sana?

Apabila mereka risau tentang rezeki mereka, maka Allah memberitahu bahawa Allahlah yang memberikan rezeki itu dan bukannya berhala-berhala itu. Allah boleh ganti punca rezeki mereka dengan cara lain. Sekarang ini Tanah Arab itulah yang kaya raya kerana Allah berikan banyak minyak di sana.

Jadi ini adalah persoalan tentang ekonomi sebenarnya dan bukan sahaja tentang kepercayaan. Kerana kadangkala manusia menolak sesuatu perkara kerana mereka nampak perkara itu terkait dengan harta. Dan perkara ini akan disentuh lagi di dalam surah selepas ini.

 

إِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah maha mengetahui segala perkara. Allah tahu apa yang ada dalam hati manusia. Allah tahu kerisauan manusia tentang harta.


 

Ayat 63: Dalil aqli iktirafi sekali lagi.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَحيا بِهِ الأَرضَ مِن بَعدِ مَوتِها لَيَقولُنَّ اللهُ ۚ قُلِ الحَمدُ ِلِلهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you asked them, “Who sends down rain from the sky and gives life thereby to the earth after its lifelessness?” they would surely say, “Allāh.” Say, “Praise to Allāh”; but most of them do not reason.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”, tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya).

 

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّماءِ ماءً

Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menurunkan air dari langit

Air hujan amat penting untuk kehidupan. Kerana itu Allah selalu sahaja menyebut tentang air, terutama air hujan dalam Al-Qur’an. Maka Allah suruh tanya kepada Musyrikin Mekah itu, siapakah yang menurunkan hujan itu?

 

فَأَحيا بِهِ الأَرضَ مِن بَعدِ مَوتِها

lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?”

Penting sekali air itu. Kerana dengan air itulah yang menghidupkan tanah ini. Ada tanah yang gersang kerana kering kontang, tapi apabila hujan diturunkan padanya, tanah itu itu hidup segar. Kerana dengan air dapat menumbuhkan tanaman.

Dan dengan tanaman itu dapat dimakan oleh binatang. Dan kita pula makan tanaman dan juga binatang itu. Maka amat penting sekali air hujan itu. (Tapi malangnya, orang kita tak suka kalau hujan sebab ganggu program mereka).

 

لَيَقولُنَّ اللهُ

Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, 

Sekali lagi Musyrikin Mekah akan jawab: “Allah”. Mereka memang terima yang Allahlah yang menurunkan hujan dan segala rezeki tetapi mereka tidak tahu apa yang mereka patut lakukan. Sepatutnya kenalah mereka bersyukur kepada Allah dan taat kepadaNya.

Masalahnya mereka tidak faham maksud alhamdulillah itu. Kerana jikalau mereka benar-benar percaya dan yakin kepada kalimah itu maka mereka tidak akan bergantung kepada selain Allah. Sepatutnya kalau Allah yang berikan hujah itu, maka puji Allahlah sahaja.

 

قُلِ الحَمدُ ِلِلهِ

Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”,

Maka Allah suruh sebut alhamdulillah. Maksudnya: segala pujian yang khas untuk Allah. Ini kita telah bincangkan panjang lebar dalam Surah Fatihah.

Musyrikin Mekah memang ada juga guna kalimah الحمد (pujian yang khas kerana ada ال di dalamnya) tapi mereka berikan juga pujian khas itu untuk sembahan mereka yang selain Allah juga.

Maka itu adalah salah dan kerana itu Allah mengingatkan yang ‘pujian yang khas’ hanya untuk Allah. Jadi lafaz alhamdulillah ini juga termasuk di dalam perkara tauhid. Tidak boleh kita samakan kedudukan makhluk sama dengan Allah. Tak boleh kita puji makhluk lain seperti kita puji Allah.

 

بَل أَكثَرُهُم لا يَعقِلونَ

tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya).

Tapi ramai yang tidak pegang akidah tauhid ini. Mereka tidak faham tentang tauhid. Mereka tidak mahu terima yang ilah hanya Allah sahaja. Mereka terima Allah adalah Tuhan dan ilah. Tapi pada mereka, bukan Allah sahaja satu-satunya ilah.

Maksud ilah adalah tempat sandaran dan tempat harapan. Sepatutnya kita bergantung dan berharap sepenuhnya kepada Allah. Tapi ada manusia yang tidak meletak sandaran hati kepada Allah sahaja. Mereka masih banyak berharap kepada makhluk.

Maka pemahaman ilah ini selalu disebut dalam banyak sekali ayat dalam Al-Qur’an. Disebut berkali-kali supaya manusia boleh faham. Supaya manusia tidak ada alasan tidak faham kerana telah banyak diterangkan dalam Al-Qur’an.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 17 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s