Tafsir Surah al-Fath Ayat 1 – 3 (Perjanjian Hudaibiyah)

Pengenalan: 

Dalam Surah Muhammad sebelum ini, telah disebut tentang jihad qital. Apabila umat Islam sanggup untuk berjuang mempertahankan agamanya dan mengikuti cara-cara yang telah ditetapkan oleh agama, maka Allah ﷻ akan beri kejayaan (fath) kepada mereka.

Dan kejayaan itu ada dua jenis: iaitu kejayaan rohani di mana orang mukmin mendapat redha Allah ﷻ dan dimasukkan ke dalam syurga; dan satu lagi adalah kejayaan jasmani di mana mereka dapat menang peperangan dan menegakkan agama di tempat-tempat yang baharu. Dan mereka boleh dapat harta ghanimah yang banyak.

Apabila para mujahideen yang berperang pada jalan Allah ﷻ dapat membuka negara Islam yang baharu dan entah berapa ramai orang-orang yang tidak kenal Islam dan kemudian masuk Islam, maka mereka akan mendapat balasan pahala yang banyak mengikut bilangan setiap orang yang masuk agama Islam.

Kemudian akan dapat pula pahala keturunan orang-orang itu yang kemudian masuk Islam dan mengamalkan Islam. Dari anak cucu cicit sampailah ke Kiamat selagi mereka duduk dalam Islam. Dan ini juga termasuk kemenangan rohani kerana mereka mendapat pahala yang banyak. Kemenangan rohani ini lebih banyak ditekankan oleh Allah ﷻ  kerana ia membawa seseorang itu ke syurga.

Ada ulama’ yang mengatakan Fath yang dimaksudkan di dalam surah ini adalah kejayaan Pembukaan Mekah apabila semua orang musyrik Mekah itu masuk ke dalam agama Islam. Ini berlaku pada tahun lapan Hijrah.

Tetapi sesetengah ulama’ yang lain mengatakan Fath yang dimaksudkan di dalam surah ini adalah Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku pada tahun enam Hijrah dan pendapat ini adalah pendapat yang lebih kuat. Umat Islam pada waktu itu langsung tidak berperang tetapi Allah ﷻ sudah kira itu sebagai satu kemenangan. Kerana pembukaan Kota Mekah itu sebenarnya berhasil dari ekoran Perjanjian Hudaibiyah ini.

حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ مُوسَى عَنْ إِسْرَائِيلَ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ عَنْ الْبَرَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ تَعُدُّونَ أَنْتُمْ الْفَتْحَ فَتْحَ مَكَّةَ وَقَدْ كَانَ فَتْحُ مَكَّةَ فَتْحًا وَنَحْنُ نَعُدُّ الْفَتْحَ بَيْعَةَ الرِّضْوَانِ يَوْمَ الْحُدَيْبِيَةِ كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعَ عَشْرَةَ مِائَةً وَالْحُدَيْبِيَةُ بِئْرٌ فَنَزَحْنَاهَا فَلَمْ نَتْرُكْ فِيهَا قَطْرَةً فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَاهَا فَجَلَسَ عَلَى شَفِيرِهَا ثُمَّ دَعَا بِإِنَاءٍ مِنْ مَاءٍ فَتَوَضَّأَ ثُمَّ مَضْمَضَ وَدَعَا ثُمَّ صَبَّهُ فِيهَا فَتَرَكْنَاهَا غَيْرَ بَعِيدٍ ثُمَّ إِنَّهَا أَصْدَرَتْنَا مَا شِئْنَا نَحْنُ وَرِكَابَنَا

‘Telah menceritakan kepada kami ‘Ubaidullah bin Musa dari Isra’il dari Abu Ishaq, dari Al Bara’ رضي الله عنه dia berkata: Kalian mengira penaklukan kota Makkah adalah kemenangan dan memang itu suatu kemenangan. Namun kami menganggap kemenangan itu bermula saat Bai’atur Ridwan pada peristiwa Hudaibiyah. Saat itu kami bersama Nabi ﷺ berjumlah seribu empat ratus orang. Hudaibiyah adalah sebuah sumur lalu kami mengambil airnya hingga tidak bersisa setitis pun. Setelah kejadian itu terdengar oleh Nabi ﷺ, baginda segera mendatangi sumur itu dan duduk di tepi sumur tersebut, selanjutnya beliau minta diambilkan bekas, baginda berwudhu’ sambil berkumur-kumur, kemudian baginda berdoa dan menuangkan airnya ke dalam sumur tersebut. Setelah kami mendiamkan sejenak, akhirnya kami dapat minum sesuka kami hingga puas, begitu juga dengan haiwan-haiwan tunggangan kami”. [Sahih al-Bukhari no. 3835]

Asalnya perjanjian ini untuk 10 tahun tetapi tidak sampai dua tahun ianya telah dirosakkan oleh Musyrikin Mekah. Kepentingan perjanjian ini adalah gencatan senjata yang menyebabkan Rasulullah ﷺ boleh berdakwah ke tempat-tempat yang lain.

Sebelum ini banyak puak-puak Arab yang lain dari Quraish Mekah itu takut untuk mendekati Madinah dan umat Islam kerana takut tidak dipersetujui oleh Quraisy Mekah. Ini kerana Quraisy Mekah itu dihormati dari zaman dahulu lagi kerana mereka yang menjaga Kaabah.

Tetapi dengan adanya Perjanjian Hudaibiyah itu, puak-puak Arab yang lain rasa mereka sudah terbuka untuk pergi ke Madinah untuk lebih mengenali agama Islam. Dan apabila mereka dengar saja wahyu Allah ﷻ itu walaupun sedikit, ia telah membuka hati mereka untuk terus menerima Islam dan kerana itu pengaruh Islam semakin besar. Itu adalah satu kejayaan dan kemenangan yang besar.

Salah satu terma perjanjian di dalam Hudaibiyah itu adalah: jikalau orang Mekah pergi ke Madinah untuk masuk Islam, maka mereka itu hendaklah dikembalikan ke Mekah. Maka adalah satu kisah di mana ada orang Mekah yang pergi ke Madinah untuk bertemu dengan Rasulullah ﷺ dan masuk Islam dan mereka minta supaya mereka tidak dikembalikan.

Akan tetapi kerana menghormati perjanjian itu maka Rasulullah ﷺ terpaksa membenarkan mereka diambil kembali oleh puak Mekah. Memang sudah ada pun wakil dari puak Musyrikin Mekah yang datang untuk menuntut mereka.

Maka di dalam perjalanan balik itu, lelaki yang telah masuk Islam itu telah mendapat ilham bagaimana untuk melepaskan dirinya. Dia buat helah untuk melihat pedang lelaki musyrik itu yang cantik dan selepas dia dapat memegang pedang itu, dia telah menggunakan pedang itu untuk membunuh lelaki musyrik itu. Dia telah bebas dan dia terus kembali semula ke Madinah untuk bertemu dengan Rasulullah ﷺ.

Maka Rasulullah ﷺ memberitahu yang mereka tetap tidak dapat duduk di Madinah. Baginda suruh mereka duduk di mana-mana tempat yang lain kalau mereka tetap tidak mahu pulang ke Mekah. Maka lelaki itu duduk di satu perkampungan di luar daerah Mekah dan dia dengan kawan-kawan yang lain yang juga dihantar untuk duduk di situ (setelah masuk Islam dan tidak dapat duduk di Madinah) telah merompak dan menyamun rombongan perdagangan Musyrikin Mekah.

Sampaikan puak Musyrikin Mekah jadi resah dengan keadaan itu. Sampaikan akhirnya Musyrikin Mekah minta Rasulullah ﷺ panggil mereka duduk sahaja di Madinah. Daripada mereka menyekat kafilah mereka, baiklah mereka duduk di Madinah sahaja.

Latar belakang surah ini: Ianya diturunkan berkenaan Perjanjian Hudaibiyah. Dan surah ini dikatakan diturunkan dalam perjalanan pulang Rasulullah ﷺ dan para sahabat dari Mekah ke Madinah selepas termaktubnya perjanjian itu.

Perjanjian itu terjadi pada Tahun Kelima Hijrah selepas Peperangan Ahzab yang hampir-hampir menyebabkan kemusnahan umat Islam. Kerana yang menyerang Madinah waktu itu bukanlah tentera dari Mekah sahaja tetapi gabungan dengan puak-puak yang lain. Jadi ianya adalah peristiwa yang amat besar dan amat memberi kesan kepada umat Islam.

Selepas Perang Ahzab, iaitu pada tahun enam Hijrah, Nabi ﷺ telah memberitahu yang umat Islam akan mengerjakan umrah di Mekah. Waktu itu lebih kurang 2,000 umat Islam pergi bermusafir ke Mekah bersama Rasulullah ﷺ. Mereka pergi mengerjakan umrah itu tanpa membawa senjata perang.

Memang mereka bawa pedang, tetapi pedang itu di dalam sarungnya dan ini adalah biasa sahaja bagi orang Arab. Kerana setiap lelaki memang sentiasa membawa pedang, kerana tanpa pedang, dia bukanlah seorang lelaki. Kerana itulah apabila ada golongan yang murtad dan mereka kembali masuk Islam pada zaman Saidina Abu Bakar رضي الله عنه, hukuman kepada mereka adalah mereka tidak boleh bawa pedang. Itu adalah satu penghinaan kepada mereka.

Apabila puak Mekah mendengar tentang kedatangan Rasulullah ﷺ dan orang mukmin ke Mekah, mereka sudah risau kerana tradisi mereka tidak boleh menghalang sesiapa pun untuk datang melawat Kaabah. Tetapi apabila umat Islam Madinah yang datang, mereka ada dilema.

Sudahlah nama baik mereka sudah menurun selepas peperangan Ahzab (kerana tidak dapat mengalahkan Muslim) dan sekarang kalaulah mereka halang juga umat Islam untuk datang melawat Kaabah, mereka tentulah terus hilang hormat yang diberikan oleh masyarakat Arab kepada mereka.

Ini penting kerana waktu itu mereka masih lagi dihormati kerana mereka dikira sebagai ‘Penjaga Kaabah’ dan sebagai Penjaga Kaabah, mereka kenalah mengalu-ngalukan kedatangan sesiapa pun yang mahu datang beribadah di Kaabah. Tetapi dalam masa yang sama, takkan mereka hendak benarkan musuh mereka untuk datang ke kawasan rumah mereka pula?

Tambahan pula mereka baru sahaja berperang tidak lama sebelum itu. Jadi apabila mereka dengar kedatangan puak Islam ke Kaabah maka mereka sudah susah hati kerana mereka di dalam dilema.

Khalid Al Waleed (yang waktu itu belum masuk Islam lagi) telah pergi bersama-sama dengan 200 orang untuk menangkap Muslimin yang datang itu, tetapi mereka kena pastikan penangkapan itu dibuat sebelum mereka masuk ke dalam kawasan Mekah lagi. Ini adalah helah supaya mereka boleh kata yang mereka tidak serang pendatang ke Kaabah itu di Tanah Haram, tetapi di luar.

Nabi Muhammad ﷺ mendapat maklumat tentang rancangan itu dan baginda telah mengarahkan umat Islam untuk tidak melalui Badar tetapi terus menuju ke Hudaibiyah dan pasang khemah di sana.

Dan di situ baginda telah memulakan proses Umrah di mana mereka sudah sembelih binatang dan sebagainya (sudah berihram) maka sudah terlambat bagi puak Musyrikin Mekah untuk menangkap mereka lagi kerana mereka sudah mulakan proses Umrah. Kalau Musyrikin Mekah tangkap juga, maka nama mereka akan jadi malu.

Baginda mengarahkan umat Islam untuk berhenti di Hudaibiyah kerana unta baginda tidak mahu bergerak lagi. Para sahabat mengatakan unta baginda itu berhenti kerana dia kepanasan dan sebagainya, tetapi baginda kata apa yang berlaku itu seperti kejadian tentera Abrahah menyerang Mekah. Waktu itu gajah yang terbesar sekali tidak mahu bergerak lagi, maka mereka kena berhenti di situ.

Maknanya, unta baginda itu dipandu oleh Allah ﷻ. Maka mereka telah berhenti di Hudaibiyah dan mereka telah memasang khemah dan baginda telah mengerjakan Solat Khauf di situ yang memberi isyarat bahawa mereka memang dalam keadaan berjaga-jaga. Kerana mereka tidak pasti apakah yang akan dilakukan oleh puak Musyrikin Mekah.

Saidina Uthman رضي الله عنه sebagai seorang yang dihormati di Mekah telah dihantar oleh Nabi ﷺ sebagai duta ke Mekah untuk berjumpa dengan pemimpin di Mekah dan berbincang. Beliau disuruh untuk menyampaikan mesej bahawa mereka datang itu bukan untuk berperang dan bukan untuk buat kacau tetapi mereka seperti orang-orang Arab yang lain yang datang ke Kaabah kerana mahu mengerjakan ibadat di situ.

Puak Musyrikin Mekah tidak tahu hendak buat apa dalam keadaan itu, jadi apabila Uthman رضي الله عنه sampai kepada mereka maka mereka telah menahan beliau. Kerana mereka memang dalam kebingungan sampaikan mereka buat tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan. Dan apabila Uthman رضي الله عنه tidak kembali sekian lama, dan telah ada ura-ura tersebut yang beliau telah dibunuh, maka baginda telah membuat keputusan yang penting.

Kita kena ingat bahawa Madinah waktu itu sudah menjadi sebuah negara berdaulat dan apabila Saidina Uthman رضي الله عنه dihantar, beliau pergi sebagai seorang duta negara dan membunuh seorang duta adalah penyebab boleh jadi perang. Maka baginda meminta bai’ah dari umat Islam yang berada di situ yang mereka akan berperang dan bai’ah ini diadakan di bawah satu pokok.

Ada kisah menarik juga tentang pokok itu. Kerana akhirnya ia  telah dipotong oleh Saidina Umar رضي الله عنه. Ini adalah kerana ramai orang yang pergi mencari-cari pokok itu dan solat di situ untuk mengambil berkat di pokok itu. Maka Saidina Umar رضي الله عنه tidak mahu ianya berleluasa kerana boleh menyebabkan syirik maka ianya dipotong. Takut nanti ada orang yang jahil ambil berkat pula dari pokok itu.

Kembali kepada kisah di Hudaibiyah. Maka baginda telah mengambil bai’ah dari umat Islam bahawa mereka akan bersama baginda untuk berperang dengan Musyrikin Mekah kerana mereka tidak boleh membiarkan perkara itu dilakukan kerana membunuh duta adalah kesalahan yang amat besar.

Mengetahui tentang bai’ah para sahabat itu, Musyrikin Mekah semakin tidak keruan. Kita kena sedar bahawa tidak sama kalau berperang di luar dan berperang di bandar. Kerana kalau berperang di luar, hanya tentera sahaja yang akan terbunuh tetapi jikalau berperang di bandar akan menyebabkan kanak-kanak dan wanita juga boleh terbunuh. Maka Musyrikin Mekah jadi serba salah kerana kalau peperangan ini dibenarkan berlaku, maka ia akan membahayakan anak isteri mereka juga.

Maka kerana takut, mereka telah melepaskan Uthman رضي الله عنه dan mereka menghantar wakil untuk berbincang dengan Rasulullah ﷺ. Akhirnya, dipendekkan cerita, mereka telah mengadakan perjanjian yang dinamakan Perjanjian Hudaibiyah dengan umat Islam.

Ini sebenarnya adalah satu kesilapan besar mereka. Ini adalah kerana syarat-syarat yang diletakkan di dalam perjanjian itu sebenarnya berpihak kepada umat Islam walaupun nampak pada zahirnya yang ianya berpihak kepada Musyrikin Mekah pada awalnya. Sebagai contoh, mereka mengatakan bahawa mereka mahu gencatan senjata selama 10 tahun.

Yang keduanya, jikalau ada penduduk Mekah yang masuk Islam dan pergi ke Madinah, maka mereka itu hendaklah dikembalikan ke Mekah. Sedangkan jikalau ada golongan munafik yang pergi berlindung ke Mekah, orang ini tidak boleh dikembalikan ke Madinah.

Ketiganya umat Islam tidak boleh mengerjakan Umrah pada tahun itu dan mereka kena kembali ke Madinah. Bayangkan kesusahan yang telah dilalui oleh puak Islam itu yang berjalan sekian jauh tetapi hajat mereka tidak tercapai dan mereka kena berjalan balik. Mereka bukan macam kita yang pergi mengerjakan Umrah dengan naik kapal terbang dan naik bas atau kereta. Mereka kena jalan kaki!

Jadi bayangkan perasaan umat Islam waktu itu yang memang telah bersedia untuk berperang dan ditambah lagi dengan syarat perjanjian itu yang nampak berat sebelah dan mereka rasa ini memalukan mereka. Maka ramai antara mereka yang tidak puas hati dengan apa yang berlaku.

Sampaikan apabila Rasulullah ﷺ suruh mereka membuka ihram sebagai tanda tamat Umrah mereka, tidak ada seorang pun yang melakukannya. Kerana mereka tidak faham apa yang berlaku dan mereka tidak dapat menerima keputusan yang telah dibuat oleh baginda di dalam Perjanjian Hudaibiyah itu.

Dan mereka tidak faham bagaimana mereka boleh hendak pecat ihram mereka sedangkan mereka tidak menjalankan pun ibadat Umrah lagi. Baginda marah dengan para sahabat waktu itu dan masuk ke dalam khemah baginda. Akhirnya apabila salah seorang isteri baginda memberitahu baginda untuk mula membuka ihram baginda dan melakukan tahallul, barulah sahabat-sahabat yang lain ikut. Ini juga satu pengajaran untuk kita: buat sesuatu sebagai contoh, jangan cakap sahaja kepada orang bawahan kita.

Tetapi kita kena faham perasaan mereka waktu itu. Bayangkan mereka baru sahaja memenangi Perang Ahzab dan sekarang mereka terpaksa tunduk kepada Musyrikin Mekah? Begitulah perasaan mereka apabila mereka disuruh untuk berundur.

Tambahan pula apabila perjanjian itu dibuat, Musyrikin Mekah tidak mahu menulis pada perjanjian itu yang Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul Allah dan mereka suruh memadamnya. Kisah ini panjang dan kisah yang lengkap boleh dibaca di dalam sirah.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia menjanjikan kemenangan demi kemenangan bagi kaum Muslimin.

إِنّا فَتَحنا لَكَ فَتحًا مُّبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Fatḥ: The Conquest.

Indeed, We have given you, [O Muḥammad], a clear conquest¹

•Ibn Mas‘ūd said, “You [people] consider the conquest to be that of Makkah, but we consider it to be the Treaty of al-Ḥudaybiyyah.” Al-Bukhārī reported a similar quotation from al-Barā’ bin ‘Āzib. Although initially regarded by the companions as a setback, the treaty, in effect, served to promote the spread of Islām, which led to the conquest of Makkah two years later.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata,

 

Lihatlah bagaimana surah ini dimulakan di mana Allah ﷻ mengatakan yang Dia telah memberikan kemenangan yang nyata kepada buat Muslim. Tetapi awalnya mereka tidak nampak kejayaan itu. Allah ﷻ kata kejayaan itu bukan sahaja besar tetapi kejayaan yang jelas nyata. Kenapa Allah ﷻ katakan yang kejayaan itu nyata sedangkan para sahabat tidak nampak yang mereka telah menang?

Jadi kerana kekeliruan ini kita perlu bincangkan supaya kita boleh faham. Mari kita lihat dari sudut pandang Musyrikin Mekah pula yang memandang kepada kumpulan Muslim yang sedang datang ke Mekah untuk mengerjakan umrah itu. Kita kena ingat bahawa beberapa tahun sebelum itu puak Islam ini adalah golongan yang miskin dan dizalimi oleh mereka.

Pada Musyrikin Mekah, golongan Muslim itu adalah golongan sesat (yang meninggalkan agama nenek moyang) yang perlu dimusnahkan. Dan akhirnya beberapa kerat ‘golongan sesat’ ini telah melarikan diri ke Madinah dan sekarang mereka datang dengan kekuatan yang hebat setelah berkali-kali mengalahkan Musyrikin Mekah di medan peperangan. Mereka itu dulunya golongan hamba yang lemah, golongan minoriti dan tidak dipandang hebat oleh pemuka-pemuka Mekah itu.

Walaupun ‘golongan sesat’ itu telah menjadi satu negara tetapi mereka masih lagi menganggap golongan Muslim itu sebagai golongan terroris dan dari dulu lagi negara yang berdaulat tidak akan mengadakan perjanjian dengan terroris. Tetapi sekarang nampaknya mereka terpaksa untuk melakukan perjanjian dengan puak Muslim itu. Ini menunjukkan bahawa pada waktu itu, mereka telah terpaksa menerima puak Muslim sebagai satu negara yang berdaulat yang boleh diadakan perjanjian dengan mereka. Ini adalah satu pengiktirafan kepada negara Islam di Madinah itu. Inilah kesilapan strategik yang dilakukan oleh puak Mekah itu.

Dan kita kena sedar yang perjanjian gencatan senjata ini selalunya dilakukan kerana satu pihak takut untuk berperang dengan pihak yang lain. Ini amat memalukan bagi Musyrikin Mekah sebenarnya kerana baru tahun lepas mereka telah datang ke Madinah untuk memusnahkan umat Islam. Waktu itu, mereka sombong kerana mereka kata senang sahaja untuk memusnahkan umat Islam itu tetapi lihatlah sekarang bagaimana mereka terpaksa mengadakan perjanjian gencatan senjata dengan mereka pula.

Bayangkan, dulu mereka tidak berjaya menghapuskan negara Islam dan sekarang mereka itu sedang berada di pintu rumah mereka dan orang-orang luar akan melihat bagaimana ini semua menjadi satu tanda bahawa Musyrikin Mekah itu sedang di dalam keadaan yang lemah.

Sekarang semua puak Arab dapat lihat bagaimana Quraisy yang dipandang tinggi dan disegani dahulu telah menjadi lemah. Oleh kerana itu puak-puak Arab yang di berada di sekitar Mekah itu sudah nampak kedaulatan negara Islam yang sedang naik dan mereka juga selepas itu telah mengadakan perjanjian yang sama juga dengan negara Islam Madinah.

Jadi memang kalau dilihat kepada teks perjanjian itu nampak seperti perjanjian itu berat sebelah kepada puak Quraisy, tetapi di sebaliknya ia mengandungi kejayaan yang besar. Tetapi memang tidak nampak asalnya dan kena dijelaskan baru nampak manakah kejayaan itu. Kerana itu penting belajar tafsir Al-Qur’an untuk memahami perkara ini.

Dengan adanya perjanjian gencatan senjata dengan Quraisy Mekah itu, ia telah memberi peluang kepada Rasulullah ﷺ dan orang mukmin untuk melakukan dakwah yang sebelum ini mereka tidak dapat lakukan dengan baik. Kerana sebelum ini mereka terpaksa bersiap siaga dan selalu berhati-hati kerana takut jikalau mereka akan diserang oleh Musyrikin Mekah pada bila-bila masa sahaja. Tentulah usaha dakwah tertahan-tahan kerana keadaan tidak tenang. Tetapi dengan adanya gencatan senjata itu, maka perkara itu tidak perlu dibimbangkan lagi dan mereka sudah boleh untuk menjalankan kerja-kerja dakwah dengan lebih teratur dan lebih selesa.

Oleh itu, baginda sudah boleh pergi menghubungi semua puak-puak Arab yang lain dan boleh mengadakan perjanjian dengan mereka. Kerana waktu itu adalah untuk mengadakan perjanjian dan mengambil pihak masing-masing. Quraisy juga cuba mengekalkan kedudukan mereka dan dalam masa yang sama, pihak Islam cuba mempengaruhi puak-puak yang lain. Masing-masing mencari kawan.

Maka, ada puak-puak Arab yang melihat kejayaan puak Islam. Jadi, mereka berpihak kepada Muslim dan ada yang masih berpihak kepada Quraisy dan ada yang tidak mahu ada kena mengena dengan salah satu di antaranya. Kalau dahulu umat Islam ini adalah seperti negara serpihan yang tidak ada penyokong langsung, tetapi dengan adanya Perjanjian Hudaibiyah ini pengaruh mereka semakin membesar.  Yang jelas penyokong-penyokong Quraisy Mekah semakin berkurangan.

Selain dari itu, akan ada satu kemenangan yang mereka akan dapat. Ada puak Yahudi yang telah memecahkan Perjanjian Madinah dengan Nabi Muhammad ﷺ. Sebelum itu, Bani Quraizah (salah satu dari puak Yahudi di Madinah) telah dimusnahkan. Namun, ada golongan Yahudi yang bersekongkol dengan Musyrikin Mekah untuk menyerang Madinah. Mereka telah bertahan di Khaibar selepas Peperangan Ahzab.

Sebelum itu, Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat menyerang mereka kerana mereka berkawan dengan Mekah dan kalau baginda serang mereka, maka Mekah akan menghantar bantuan. Akan tetapi sekarang selepas Perjanjian Hudaibiyah ini, maka baginda boleh menumpukan usaha untuk memusnahkan mereka kerana pihak Mekah tidak boleh membantu mereka itu lagi (kerana gencatan senjata). Oleh itu selepas pulang dari Hudaibiyah, umat Islam telah menyerang Yahudi di Khaibar dan kisah itu ada di dalam surah ini juga nanti.

Jadi secara ringkasnya, ‘kemenangan yang jelas nyata’ ini bukan hanya merujuk kepada kejayaan di dunia sahaja tetapi juga kepada kejayaan di akhirat kerana dengan perjanjian ini ramai yang dapat masuk Islam. Kerana perjanjian dapat dijalankan dengan puak-puak Arab yang lain. Maka mereka telah nampak kebenaran Islam itu dan mereka telah masuk Islam beramai-ramai.


 

Ayat 2: Ekoran dari perjanjian Hudaibiyah itu.

لِّيَغفِرَ لَكَ اللهُ ما تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَما تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَيَهدِيَكَ صِرٰطًا مُّستَقيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That Allāh may forgive for you what preceded of your sin [i.e., errors] and what will follow and complete His favor upon you and guide you to a straight path

(MELAYU)

supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap kesilapanmu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus,

 

لِّيَغفِرَ لَكَ اللهُ ما تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَما تَأَخَّرَ

supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap kesilapanmu yang telah lalu dan yang akan datang

Sekali lagi Allah ﷻ menggunakan perkataan ذنب seperti yang digunakan sebelum ini di dalam Surah Muhammad. Kita telah sebut sebelum ini bahawa kesalahan ذنب pada Nabi ﷺ ini adalah ‘kesilapan strategik’ sahaja dan hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh menegur Rasulullah ﷺ. Maka ada ulama’ yang memberi terma ‘dosa soori’ sahaja (seakan-akan dosa tapi bukan dosa) kerana yang sebenarnya bukan dosa pun.

Bukti yang baginda tidak melakukan dosa dan kesalahan, kerana kalaulah ada, tentulah Musyrikin Mekah telah menggunakan perkara itu sebagai hujah untuk mereka menolak baginda. Tetapi seperti kita tahu, tidak ada satu pun hujah mereka terhadap akhlak baginda.

Allah ﷻ memberi kelegaan kepada Rasulullah ﷺ di mana baginda tidak perlu risau lagi tentang kesilapan strategik yang baginda mungkin lakukan dulu kerana mulai dari hari itu Allah ﷻ akan memandu baginda ke arah jalan yang lurus. Kerana sebelum itu umat Islam tidak tahu bagaimanakah cara bagi mereka untuk menawan Mekah dan membersihkan Ka’bah dari berhala dan sekarang Allah ﷻ memberitahu yang Dia akan memandu mereka. Sebelum itu mereka hanya dapat berharap sahaja.

 

وَيُتِمَّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ

serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu

Allah ﷻ akan memenuhkan nikmatNya ke atas mereka yang membawa isyarat bahawa Allah ﷻ akan membersihkan Ka’bah dengan tangan mereka sendiri.

Ini penting kerana bagaimana agama Islam boleh menjadi lengkap jikalau Ka’bah yang menjadi kiblat mereka masih lagi dipenuhi dengan berhala? Maka proses pembersihan Ka’bah pasti kena dijalankan untuk menyempurnakan nikmat itu. Dan ia akan dijalankan dengan tangan orang Mukmin.

Juga bermaksud dengan tangan Nabi ﷺ akan menyelamatkan ramai manusia yang masuk Islam dan berakhir ke syurga. Dan syari’at yang dibawa oleh baginda akan sampai ke serata pelusuk dunia.

Juga bermaksud baginda akan diberikan dengan ramai pengikut. Kerana ramai Rasul عليهم السلام yang tidak ramai pengikut, jadi nikmat kepada mereka tidak sempurna. Kepada Nabi Muhammad ﷺ akan diberikan banyak pengikut dan menjadikan baginda bangga dengannya.

 

وَيَهدِيَكَ صِرٰطًا مُّستَقيمًا

dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus,

Dan supaya Allah ﷻ memandu baginda ke jalan yang lurus. Akan tetapi bukankah Rasulullah ﷺ telah menjadi Rasul selama 13 tahun? Oleh itu ayat ini bukan bermaksud jalan lurus dalam agama tetapi jalan lurus kepada kejayaan. Dengan kejayaan itu akan menegakkan agama Islam dengan lebih kukuh dan membuka jalan untuk menyampaikan agama Islam ke seluruh pelosok alam.

Juga ia boleh bermaksud yang Allah ﷻ akan ajar jalan syariat kepada baginda. Akan diberikan banyak ayat-ayat hukum selepas ini.


 

Ayat 3:

وَيَنصُرَكَ اللهُ نَصرًا عَزيزًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [that] Allāh may aid you with a mighty victory.

(MELAYU)

dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).

 

Allah ﷻ jadikan Perjanjian Hudaibiyah itu supaya Allah ﷻ boleh memberi bantuan yang ada kuasa (bukan bantuan biasa) – kerana itu digunakan kalimah عَزيزًا di dalam ayat ini. Ada sesuatu yang akan membantu umat Islam. Selepas perjanjian itu, Nabi ﷺ menunggu sahaja puak Quraisy memecahkan perjanjian itu kerana ia akan memberi peluang kepada baginda untuk menyebarkan lagi Islam.

Dan memang tidak lama selepas itu ada puak-puak yang bersekongkol dengan Quraisy yang menyerang puak Islam. Itu adalah punca memecahkan perjanjian itu. Maka Abu Sufyan dengan segera telah bergegas ke Madinah untuk meminta maaf kepada Rasulullah ﷺ (kerana takut baginda menyerang balas). Beliau merayu-rayu kepada Rasulullah ﷺ untuk memaafkan kejadian itu dan meneruskan perjanjian itu tetapi tidak diterima oleh Rasulullah ﷺ.

Jadi Allah ﷻ beri jalan kepada Rasulullah ﷺ dan umat Islam untuk menjayakan rancangan untuk mengambil alih Kaabah dari Musyrikin Mekah. Dan selepas itu kejayaan demi kejayaan dalam peperangan yang dijalankan oleh pihak Islam.

Ini adalah kerana baginda dan para sahabat tetap taat dengan arahan dari Allah ﷻ. Waktu awal perjanjian itu, ada juga sahabat tidak puas hati dengan keputusan itu, kerana mereka tidak nampak kebaikan Perjanjian itu pada Islam, tetapi mereka tetap taat dan ikut walaupun mereka tidak faham. Kerana ketaatan mereka itu, mereka dapat kejayaan.

Ayat ini juga bermaksud Allah ﷻ memberi pertolongan kepada umat Islam yang tak dapat dikalahkan dan kerana itulah zaman berzaman manusia kafir cuba untuk memusnahkan Islam tetapi mereka tidak akan berjaya. Allah ﷻ akan sentiasa memberi bantuan supaya agama Islam ini sentiasa akan hidup.

Juga bermaksud yang Allah ﷻ akan beri pertolongan kepada umat Islam untuk mengerjakan Haji. Oleh itu pada tahun hadapannya baginda dengan sebilangan umat Islam yang lebih ramai telah menuju ke Mekah untuk mengerjakan Haji. Inilah bantuan dari Allah ﷻ yang ‘mempunyai kuasa’ kerana sekarang umat Islam dapat masuk ke dalam Mekah dengan aman. Tidaklah takut-takut seperti pertama kali pergi untuk mengerjakan Umrah dulu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah al-Fath Ayat 1 – 3 (Perjanjian Hudaibiyah)”

Leave a comment